Oleh MUHAMAD MAT YAKIM
PERNAH dengar cerita lelaki tergila-gilakan lelaki? Yang saya dengar pada pagi minggu lepas
Pengakuan yang kata orang putih, 'straight from the horse's mouth' ataupun terus dari mulut yang empunya cerita, bukan daripada pihak ketiga. Mendengar cerita Zul, 40-an, memang buat saya teruja. Kopi O panas yang tadinya tidak sabar-sabar hendak saya hirup, akhirnya tidak berusik. Langsung saya terlupa pada kopi O itu kerana tumpuan saya, dan seorang lagi kawan, Mazli, seratus peratus adalah kepada Zul yang begitu galak bercerita mengenai kisahnya, tergila-gilakan seorang lelaki bernama Che Man.
"Saya masa itu, kalau tak tengok Che Man dalam sehari, tak boleh duduk. Asal teringat, saya akan lalu depan rumah dia. Kalau dapat tengok dia, Alhamdulillah. Kalau tak dapat, tengok kelibat pun jadilah. Paling tidak, dapat tengok rumah, atau bumbung rumah, terubatlah sikit rindu," katanya tanpa segan silu.
"Sakan hang ni Zul, macam orang kena senyonyong...," kata saya.
"Ya, macam itulah. Kadang-kadang kalau sudah teringat sangat, saya sampai tak boleh tidur. Tengah malam pun saya lalu di depan rumah dia.
Ada pernah pukul dua, tiga pagi pun saya lalu, semata-mata dengan harapan nak tengok dia," katanya lagi.
Itulah cerita Zul yang buat kami berdua, saya dan Mazli terpempan, antara percaya dengan tidak pagi itu.
Akan tetapi melihat pada kesungguhan Zul bercerita, saya yakin dia berkata benar. Zul kawan kami. Hampir setiap pagi kami minum bersama di warung kopi itu.
Ok, saya akan kembalikan anda kepada cerita yang lebih awal, mengapa Zul jadi begitu? Mengapa dia begitu 'admire', tergila-gilakan Che Man yang 10 tahun lebih tua daripadanya?
Apakah kerana dia jadi mangsa tersalah sasaran minyak senyonyong Che Man?
Tidak mungkin. Malah mustahil. Che Man orang masjid, dan sudah lebih setengah abad usianya, mana mungkin Che Man masih 'main' minyak senyonyong yang syirik itu.
Atau apa mungkin Zul pengamal cinta songsang?
Ya, saya percaya inilah kemungkinan yang anda semua sedang fikirkan.
Sebenarnya tidak. Baik Zul, mahupun Che Man, mereka berdua orang baik-baik. Cuma peliknya apa yang sudah berlaku kepada Zul hingga dia jadi begitu. Tidak boleh tak tengok Che Man.
Betullah Zul orangnya baik. Tetapi bukan mustahil pula terutama bagi orang yang pertama kali jumpa untuk berasa curiga terhadapnya. Apa lagi dengan Che Man. Kata Zul, dalam keadaan dia tergila-gilakan Che Man hingga sering sahaja dicari ruang atau peluang untuk berjumpa dan duduk bersama dengan lelaki itu, akhirnya Che Man sendiri terperasan.
"Suatu hari Che Man tanya saya ketika kami terserempak di pekan. Dia ajak saya ke kedai mamak. Saya punyalah seronok, tak payah nak sorok-sorok. Rupa-rupanya tujuan Che Man ajak saya minum, semata-mata kerana dia nak tanya, mengapa saya selalu ikut (ekori) dia.
Kata dia, selama ini, dia sedar saya selalu ikut dia, lalu depan rumah dia malah yang pada waktu tengah malam itu pun dia terperasan.
"Kata Che Man, pernah sekali dua, waktu saya lalu, dia sedang ambil angin di luar rumah, dia nampak saya datang naik motor, tapi saya yang tak perasan dia." Akhirnya, apabila Che Man sudah bertanya begitu, Zul sedar masa yang paling sesuai sudah sampai untuk dia berterus terang kepada Che Man.
"Saya keluarkan dompet, dari dompet itu saya keluarkan sekeping gambar. Gambar itu saya serahkan kepada Che Man. Berubah terus muka dia. Saya tanya Che Man, sama atau tidak? Che Man angguk, kemudian saya kata, ini abang saya. Abdul Rahman namanya. Saya terlalu sayangkan, terlalu rindukan abang saya. Abang saya ini sudah dekat setahun meninggal.
"Kebetulan wajah Che Man saling tak tumpah dengan dia. Sebab itulah, saya selalu cari jalan untuk tengok Che Man. Walaupun Che Man bukanlah abang saya yang sebenar tetapi sekurang-kurangnya reda sikit, terubat sikit rindu saya kepada dia. Percayalah Che Man, saya bukan ada niat tak baik pada Che Man atau keluarga Che Man, saya hanya nak tumpang wajah Che Man yang sama macam abang saya. Itu saja," kata Zul mengimbas.
Zul kemudian mengeluarkan dompetnya, dan ditunjukkan pada kami gambar abangnya. Ya, memang 'sejibik' kata orang wajah abangnya, Abdul Rahman dengan Che Man.
Saya kemudian bertanya kepada Zul, berapa lama dia jadi begitu, 'tergila'gilakan' Che Man?
Jawab Zul, "dekat setahunlah juga!"
Akhirnya terserlah, apa yang mendorongnya jadi begitu adalah kerana kasih sayang yang begitu mendalam seorang adik kepada abangnya.
Setelah si abang meninggal dunia, si adik jadi gila bayang, terindu-rindu akan abangnya setiap masa. Demikian kasih sayang sesama saudara yang sangat dituntut.
Post a Comment