Headlines News :
Home » » Ibu bapa jadi 'penapis' atasi isu pornografi

Ibu bapa jadi 'penapis' atasi isu pornografi

Written By zabidi on Thursday 2 August 2018 | August 02, 2018

Oleh Nor Hatina Shuib

PORNOGRAFI bukan lagi tabu atau larangan yang perlu ditangani secara senyap kerana suka atau tidak, ia masalah serius.

Masalah ini perlu ditangani masyarakat, kerajaan dan ibu bapa kerana apabila ia gagal diberi perhatian, keadaan ini mencalit seribu satu sejarah hitam kepada institusi kekeluargaan.


Kajian Penduduk dan Keluarga Kelima 2014 mendapati 35.3 peratus golongan remaja mudah terdedah kepada pornografi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memandang serius hasil kajian ini kerana 60.8 peratus golongan berkenaan memperoleh akses laman web pornografi menerusi internet.
Ini diikuti 35 peratus lagi melalui telefon pintar, manakala 20 peratus daripada cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD) lucah.

Realitinya, pornografi kanak-kanak, bentuk pelanggaran hak asasi manusia yang serius. Kelompok ini sepatutnya disayangi dan dilindungi, bukan didera atau dieksploitasi secara fizikal, mental mahupun seksual.

Dalam seminar mengenai kesan pornografi terhadap kerosakan otak di Jakarta, Indonesia beberapa tahun lalu, Pakar Bedah Saraf Hospital San Antonio, Amerika Syarikat, Dr Donald L Hilton Jr, mendedahkan ketagihan bahan lucah berupaya mengakibatkan bahagian tengah hadapan otak yang dikenali sebagai 'Ventral Tegmental Area' (VTA) secara fizikalnya mengecil.

Ini berikutan rangsangan dan ketagihan pornografi menimbulkan perubahan tetap kepada bahan kimia 'neurotransmiter' dan melemahkan fungsi kawalan badan yang membuatkan individu ketagih pornografi tidak dapat mengawal kelakuan mereka.

Dr Donald menegaskan kerosakan otak akibat ketagihan pornografi paling teruk, lebih teruk daripada ketagihan dadah kokain.

Internet biak ketagihan

Realitinya, dunia internet tanpa sempadan terlalu mudah 'membiakkan' individu ketagih bahan seks dan merekrut 'perogol' belia tanpa sedar memandangkan semua bahan rangsangan seks boleh diakses hanya di hujung jari.

Jutaan kanak-kanak berkemungkinan, secara sedar atau tidak, melanggan atau membeli sesuatu perkhidmatan, ditawarkan di internet kerana boleh dikatakan kebanyakan pelajar sekolah rendah dan menengah memiliki tablet, telefon dan komputer, yang menjadi medan pengantara untuk mengakses bahan tidak bermoral ini.

Dalam isu ini, kerajaan dilihat proaktif menyusun langkah kawalan. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, awal Julai lalu melihat isu pornografi kanak-kanak agenda penting untuk diperjuangkan dalam kementerian beliau.

Kementerian itu bertegas meneruskan usaha membanteras kesalahan membabitkan pornografi kanak-kanak dengan mewujudkan kerjasama dengan semua pihak berkuasa, termasuk polis.

Polis pula memberi maklum balas positif. Laporan khas New Straits Times sebelum ini menyatakan polis melancarkan perisian bagi mengesan kegiatan pornografi kanak-kanak.

Unit Tindakan Pencegahan Jenayah Internet Kanak-Kanak Malaysia diperkenalkan bagi mengesan mereka yang melayari laman sesawang pornografi kanak-kanak.

Walaupun kerajaan dan anggota masyarakat boleh memantau perkara ini dengan kawalan teknologi, tetapi siapakah individu paling dekat yang boleh menyelamatkan kanak-kanak ini daripada anasir jahat ini sebenarnya?

Makin parah

Menyoroti isu tidak berkesudahan ini, Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal, berkata isu pornografi bukan isu baharu untuk diperkatakan.

Pembabitan remaja terhadap bahan pornografi menjadi semakin parah berikutan perkembangan teknologi dan media baharu yang begitu pesat.

Satu ketika dulu, medium menonton pornografi hanya menerusi video yang dibeli secara haram atau pasaran gelap.

Hari ini, medium berubah dengan capaian lebih mudah menerusi tontonan di internet, telefon pintar dan tablet. Justeru, cara menangani juga perlu berbeza.

Noor Aziah melihat isu itu selayaknya digalas ibu bapa yang memainkan peranan utama memantau kegiatan anak.

Justeru, setiap ibu bapa perlu memiliki ilmu teknologi, terutama dalam kaedah penggunaan gajet seperti telefon, komputer riba dan tablet.

"Kegiatan anak boleh dipantau dengan pemeriksaan laman sesawang yang mereka kerap kunjungi.
"Dalam isu ini, ibu bapa sepatutnya menjadi 'jawatankuasa' penapis filem dan internet kepada anak.

Hanya dengan kawalan dan pemantauan serta didikan agama, barulah gejala tidak bermoral ini dapat dibanteras," katanya.

Undang-undang mengenai pornografi sudah ada dalam Kanun Keseksaan, Akta Kanak-Kanak 2001 dan juga dalam Akta Keganasan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Apa yang lebih utama ialah kefahaman dan kesedaran ibu bapa terhadap isu serius ini dan kempen dalam masyarakat membanteras bahaya pornografi kepada kanak-kanak ini.

Ia satu bentuk eksploitasi terhadap kanak-kanak dengan golongan ini terdedah kepada maksiat dan seks bebas.

Akhirnya mengakibatkan hamil tanpa nikah, kelahiran anak tak sah taraf dan buang bayi serta perkahwinan bawah umur.

Kanak-kanak dan remaja juga sewajarnya mendapat pendidikan reproduktif untuk mengelak mereka diperdaya.

Bagi yang beragama Islam, ilmu agama dapat mengurangkan bahana ini daripada menjalar dan mempengaruhi minda masyarakat.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER