Headlines News :
Home » » Manfaat usia tua tingkat ilmu agama, perbaiki ibadah

Manfaat usia tua tingkat ilmu agama, perbaiki ibadah

Written By zabidi on Wednesday 17 June 2020 | June 17, 2020

UMUR dan rezeki ialah rahsia Allah SWT. Namun, ia suatu yang pasti seperti diyakini seluruh manusia sekalipun yang berfahaman ateis.

Al-Quran sendiri menyatakan dengan jelas seperti firman Allah SWT: Kemudian kamu dilahirkan sebagai bayi, kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa, kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga menjadi dewasa kemudian tua, (dalam pada itu) ada antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Ghafir: 67)


Tua menjanjikan fasa kehidupan berbeza kerana kekuatan fizikal, nafsu dan produktiviti semakin menyusut. Justeru, masa tua sewajarnya diisi aktiviti bersifat pengabdian diri kepada Allah SWT sebagai persediaan. Ini kerana kejayaan hakiki mukmin yang berakidah adalah kejayaan di alam akhirat.

Allah SWT berfirman: "Sesiapa dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dialah orang yang berjaya. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan memperdayakan." (Ali Imran: 185)

Menjengah masuk umur 40 tahun ialah waktu amat signifikan dalam agama untuk menjalani proses persiapan kejiwaan dan kerohanian.

Al-Quran sendiri jelas menyebutkan peringkat umur ini: "Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah dia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai." (Al-Ahqaf: 15)

Nabi SAW juga pernah bersabda mengenai fasa umur 40 tahun ini: "Seorang hamba Muslim apabila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya)." (HR Ahmad)

Jahil ilmu agama ketika tua ialah keadaan yang amat merugikan. Berusahalah mendekatkan diri dengan agama walaupun dalam kekalutan menguruskan keluarga, mengumpul harta dan membesarkan anak ketika muda.

Mulalah menjinakkan diri dengan masjid atau surau apabila ia dibenarkan kelak. Ikuti majlis ilmu, solat berjemaah, ibadat sunat dan menjalinkan persaudaraan. Ada baiknya menghubungkan silaturahim dengan orang soleh, ustaz dan alim ulama supaya dapat mencontohi cara hidup mereka.

Iltizam dengan majlis ilmu boleh mencipta motivasi rohani sangat hebat. Majlis ilmu membekalkan pengetahuan agama yang dapat menyingkap hakikat ketuhanan, syariat dan akhlak Islam. Malah, secara tidak langsung mukmin dapat mendirikan solat berjemaah yang amat menjadi tuntutan Baginda Nabi SAW.

Sementara itu, menjengah umur 40 tahun beriltizam menunaikan solat fardu lima waktu tanpa culas di samping memperbaiki mutunya. Usah solat tergesa-gesa untuk selesai. Biasakan diri dengan wirid selepas solat dan menambah koleksi doa.

Perelok bacaan al-Quran dan mulalah menghafaz surah pilihan seperti al-Sajadah, al-Insan, al-Mulk, al-Waqia'ah dan surah lazim dalam juzuk 30. Begitulah amalan datuk nenek kita dahulu untuk membangunkan keupayaan kerohanian.

Dari sudut kejiwaan, masuk umur 40-an, belajar menyuluh kebobrokan diri. Sudah sampai masanya mendekatkan diri dengan perjalanan ilmu tasawuf supaya dapat menjauhkan diri daripada sifat mazmumah. Berhenti berbicara mengenai orang lain dan belajar memaafkan semua orang.

Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kalian aku tunjukkan orang yang haram baginya disentuh api neraka?" Sahabat berkata: "Mahu, wahai Rasulallah!" Baginda menjawab: "Yang haram tersentuh api neraka adalah orang hayyin, layyin, qarib dan sahl." (HR Tirmidzi dan Ibnu Hiban)

Hayyin dalam hadis itu ialah orang memiliki ketenangan dan tenteram lahir dan batin di samping tidak mudah memaki serta melaknat, manakala layyin bermaksud orang lemah lembut dan bersantun baik dalam tutur kata atau perbuatan. Malahan, selalu menginginkan kebaikan sesama manusia.

Qarib pula ertinya keakraban, iaitu ramah ketika diajak berbicara dan bijak menyantuni manusia serta murah senyuman dan ikhlas ketika melayani manusia. Akhir sekali dalam hadis itu ialah sifat sahl, iaitu orang tidak menyukarkan muamalah atau berurusan dengan orang lain.

Persiapan kejiwaan dan kerohanian perlu dimulakan sewaktu muda. Perubahan dibawa mestilah mencakupi unsur hubungan dengan Allah SWT dan hubungan sesama manusia.

Usah diharapkan perubahan diri akan berlaku secara automatik, bak kata peribahasa Melayu rupa boleh diubah, tabiat dibawa mati. Perubahan perlukan kepada proses dan mujahadah melawan hawa nafsu kuat.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER