Headlines News :
Home » » Reformasi pilihan raya tuntut komitmen rakyat

Reformasi pilihan raya tuntut komitmen rakyat

Written By zabidi on Sunday 21 July 2019 | July 21, 2019

Oleh Khairul Anwar Ahmad Nadzer

Penurunan had umur layak mengundi kepada 18 tahun menjadi salah satu topik hangat diperbincangkan sejak kebelakangan ini. Usul pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, sudah diluluskan di Dewan Rakyat 16 Julai lalu.

Ini menunjukkan, semua ahli Dewan Rakyat bersetuju menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Secara keseluruhannya, majoriti negara yang mengamalkan sistem demokrasi membenarkan rakyat mereka seawal usia 18 tahun untuk mengundi dan menjadi penentu dasar dan hala tuju negara.

Bagi memastikan amalan demokrasi kita mencapai apa yang dikatakan sebagai ‘international best practice’ (amalan terbaik antarabangsa), maka amat wajar cadangan menurunkan umur layak mengundi kepada 18 tahun ini diberi sokongan sepenuh.

Malah, mengikut garis panduan ‘United Nation Convention of Right of Child’, umur 18 tahun ini diiktiraf sebagai cukup dewasa dan boleh membuat keputusan. Jika diteliti juga menerusi perkembangan pembangunan sosial, ekonomi dan politik dalam kalangan orang muda, boleh dikatakan Malaysia sebenarnya bersedia untuk membenarkan belia berumur 18 hingga 20 tahun ini untuk memilih.

Ramai juga yang dilihat mempertikaikan sistem pendidikan Malaysia yang dikatakan tidak memberi persediaan cukup kepada belia untuk terbabit dalam proses pilihan raya. Persoalannya, sampai bila?

Bukankah sepatutnya ini dijadikan peluang terbaik bukan sahaja mengubah umur mengundi, tetapi mengubah sistem pendidikan negara ke arah yang lebih dinamik?

Secara terus terang, jika faktor pendidikan sivik dan pengundi dijadikan alasan untuk menidakkan hak belia 18 hingga 20 tahun untuk mengundi, percayalah bahawa ramai juga belia umur 30 tahun yang masih diragukan kesediaan mereka untuk mengundi.

Banyak penulisan ilmiah universiti tempatan menunjukkan pengundi muda (21 hingga 30 tahun) masih tidak faham asas-asas pilihan raya. Oleh yang demikian, tidak wajar jika faktor umur ini dipersalahkan. Apa yang perlu, adalah memperkasa sistem pendidikan sivik dan pendidikan pengundi di Malaysia, supaya mereka lebih bersedia.

Australia adalah sebuah negara yang boleh dijadikan rujukan dalam isu pendidikan sivik dan pengundi. Australia National Electoral Education Centre sebagai contoh, adalah pusat pendidikan pengundi negara itu yang bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan pengundi kepada segenap lapisan masyarakat bagi mempelajari apa itu demokrasi dan pilihan raya.

Menariknya, antara yang paling ramai membuat lawatan ke tempat itu adalah pelajar berusia 7 hingga 10 tahun dan kanak-kanak orang asal (aboriginal) Australia. Tempoh lawatan adalah selama 90 minit dan modul akan sentiasa diubah suai mengikut tahap pelawat yang hadir.

Modul demokrasi dan pilihan raya ini juga diajar di dalam subjek pendidikan sejak umur 7 tahun.

Pelajar diajar mengenai asas demokrasi, kepentingan mengambil bahagian dan kepentingan membuat pilihan. Paling menarik, subjek pilihan raya ini diubah kepada satu bentuk yang menarik minat dan tidak membebankan.

Antaranya di dalam subjek Pendidikan Jasmani, pilihan raya digunakan untuk menentukan sukan apa yang akan dimainkan. Namun, semua ini menggunakan sistem pilihan raya sebenarnya. Bermula dengan semak peti undi, mengundi dan mengira undi. Melalui elemen ini, pelajar akan belajar apa itu demokrasi, apa kepentingan untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi dan proses memilih dan buat keputusan.

Di situ juga, mereka belajar erti bertanggungjawab. ‘Pilihan Raya’ ini juga akan menjadi semakin serius mengikut perkembangan umur mereka, sehinggalah mereka memilih perwakilan pelajar semasa high school.

Selain penurunan umur 18 tahun, turut diluluskan adalah pendaftaran pemilih secara automatik. Ini bermaksud, pemilih selepas ini tidak lagi perlu memohon untuk menjadi pengundi dalam pilihan raya. Dianggarkan, seramai 22.5 juta pengundi akan layak sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (jika PRU-15 pada 2023).

Pendekatan ini adalah satu pendekatan yang dilihat memudahkan pengundi baharu dan pengundi yang belum mendaftar atas pelbagai alasan. Semestinya, ia adalah satu perkara yang diinginkan oleh semua namun pada hakikatnya, ia bukan satu perkara mudah untuk dilaksanakan.

Penyelarasan alamat kediaman dan juga data integrasi mesti diselesaikan sebelum kita dapat melaksanakan pendaftaran secara automatik ini. Walaupun ia nampak seperti hanya membabitkan urusan operasi antara agensi, implikasi terhadap keputusan ini sebenarnya besar.

Sebagai contoh, jika pendaftaran automatik dilaksanakan, jangan terkejut jika ada pengundi yang alamatnya berdaftar di Sulaiman Court (kini bangunan SOGO, KL) atau perumahan flat di Pekeliling yang sudah dirobohkan baru-baru ini.

Perkara ini adalah kerana tanggungjawab individu untuk menukar alamat kad pengenalan masih dipandang ringan oleh majoriti masyarakat Malaysia. Justeru, apa yang paling mustahak untuk dilaksanakan dengan segera adalah menguatkuasakan dengan lebih serius Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara yang mewajibkan individu untuk menukar alamat kad pengenalan jika tinggal di satu-satu tempat lebih daripada 90 hari.

Dalam elemen data integrasi, sebagai contoh Perkara 119 (3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang itu hilang kelayakan sebagai pemilih jika pada tarikh kelayakan mereka ditahan sebagai orang tidak sempurna akal atau mengalami hukuman pemenjaraan.

Ini memerlukan komitmen agensi berkaitan untuk berkongsi maklumat yang mungkin diklasifikasikan sebagai ‘sensitif’ dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Umum mengetahui, maklumat seperti ini agak sukar untuk dikongsi atas pelbagai alasan kerahsiaan dan perlindungan data.

Justeru, jika pendaftaran automatik ini ingin dilaksanakan, bersediakah agensi terbabit dalam menyatupadukan data berkenaan? Dalam isu ini, SPR sudah memaklumkan bahawa agensi berkenaan memerlukan kurang lebih dua tahun, bagi memastikan sistem ini dapat berjalan dengan sempurna.

Namun, sementara menunggu perkara ini diselesaikan, penulis ingin berkongsi satu kaedah yang dijalankan di Australia yang dinamakan sebagai reserve list (senarai simpanan). Dalam perkara ini, belia seawal usia 16 tahun sudah dibenarkan mendaftar sebagai pemilih dan akan dimasukkan ke dalam reserve list ini.

Apabila mencapai umur 18 tahun, mereka secara automatik akan dimasukkan ke dalam daftar pemilih induk. Perkara yang sama juga boleh dilakukan di Malaysia. Contohnya pada awal sesi persekolahan Tingkatan 5, borang daftar pemilih boleh diisi dan nama mereka dimasukkan ke dalam reserve list.

Ketika umur mereka mencapai 21 tahun (atau 18 tahun jika diluluskan), mereka dimasukkan ke dalam daftar pemilih sebenar. Perkara ini amat wajar dipertimbangkan dan boleh juga dikatakan sebagai ‘hampir automatik’.

Secara kesimpulannya, reformasi pilihan raya yang diluluskan di Dewan Rakyat dilihat begitu mengubah landskap demokrasi negara. Apa yang penting adalah komitmen bukan sahaja daripada SPR dan agensi kerajaan lain, tetapi daripada segenap lapisan masyarakat dalam memastikan hasrat ini berjalan dengan lancar.

Penulis adalah Pelajar Sarjana Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, UiTM, Shah Alam
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER