Headlines News :
Home » » Palestin: Daripada Nakbah ke Arab Spring

Palestin: Daripada Nakbah ke Arab Spring

Written By zabidi on Monday 20 May 2019 | May 20, 2019

Oleh
PADA 9 Mei lalu, Israel menyambut hari kemerdekaannya (yom ha’atzmaut) yang ke-71, meraikan tempoh 71 tahun kejayaannya merampas tanah Palestin dan menjadikan berjuta umat Palestin sebagai mangsa kekejaman yang tidak terbela. Perisytiharan kemerdekaan Israel berlaku pada 14 Mei 1948 oleh perdana menteri pertamanya, David Ben Gurion dan tahun ini, tarikh memperingati hari merdekanya jatuh pada 9 Mei mengikut kalendar Yahudi.
Tahun ini, sambutan kemerdekaan negara haram tersebut dilalui dengan catatan sejarah lebih menggembirakan dan gemilang bagi Israel, semakin mendapat apa yang dihajati. Pada masa sama, warga Palestin semakin terhimpit dan dizalimi. Pada 14 Mei tahun ini juga, Israel meraikan tempoh setahun kedutaan Amerika Syarikat dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, tindakan pengiktirafan Baitulmaqdis yang direbut dengan Palestin sebagai ibu negara Israel.
Pada masa sama, 15 Mei nanti, Palestin dan seluruh umat Islam akan memperingati Nakbah atau hari bencana yang menandakan permulaan satu penderitaan panjang umat Palestin. Sambutan ini semakin penting bagi umat Islam sedunia, kerana tekanan dihadapi Palestin yang semakin hebat sejak sedekad kebelakangan ini dan semakin kritikal apabila Benjamin Netanyahu kekal menerajui Israel selepas menang pilihan raya terbaharu.
Sejak tragedi Nakbah hingga ke hari ini, pertempuran antara Israel dan Palestin bukan hanya berlaku di medan konflik, atau di wilayah Palestina, malah bukan melibatkan dua pihak Israel dengan Palestin. Satu kelemahan utama umat Islam ialah kekurangan pemahaman lebih luas tentang orde dunia dan hubungan kuasa-kuasa yang terlibat dalam percaturan melibatkan Palestin meliputi negara-negara serantau dengan pelbagai kepentingan.
Hingga ke hari ini, percaturan melibatkan hubungan lebih rapat Israel dengan negara-negara Arab yang akan terus membelakangi kepentingan Palestin kurang mendapat perhatian walaupun isu Palestin kebiasaannya mendapat perhatian khusus terutama apabila berlaku perang dan tindakan zalim Zionis pada skala besar. Tumpuan pada semata-mata konflik Palestin dengan Zionis masih pada wilayah Israel, Gaza, dan Tebing Barat dengan tumpuan pada Baitulmaqdis.
Untuk melihat dengan lebih jelas, perhatian perlu diberikan kepada perkembangan sejak keruntuhan daulah Uthmaniyah berpusat di Turki zaman moden selepas Perang Dunia Pertama. Selepas keruntuhannya, kuasa utama dunia Islam, Uthmaniyah kehilangan kawalan ke atas wilayah umat Islam, membawa kepada pemetaan baharu dunia Islam Asia Barat dan Afrika Utara yang akhirnya mewujudkan negara bangsa Israel.
Satu punca utama Israel dapat diwujudkan ialah keruntuhan satu orde dikuasai umat Islam Uthmaniyah di dunia Arab. Berakhir Perang Dunia Kedua, negara-negara Arab terbahagi kepada blok-blok mewakili kepentingan berbeza melibatkan kuasa pro-Barat dengan pro-Soviet, kuasa monarki dengan republik dan kemudian wujud pula pertembungan geopolitik antara Arab Saudi dan Iran.
Semua perkembangan ini mempengaruhi sikap dan dasar luar negara-negara Islam serantau terhadap isu Palestin kerana hubungan dengan kuasa besar Barat amat kuat mempengaruhi kebebasan tindakan negara-negara terbabit. Hari ini, persaingan geopolitik dan ideologi antara dua blok kuasa serantau meletakkan Palestin sebagai buah catur dalam pertimbangan kuasa-kuasa terbabit.
Pada masa sama, perkembangan serantau yang pantas dan rumit turut memberi kesan sama ada secara langsung atau tidak langsung ke atas kedudukan Palestin. Semasa kebangkitan serantau yang digelar Arab Spring dan perang yang menyusulinya di Syria, percaturan melibatkan dua blok ini muncul dengan jelas, tetapi telah ditenggelamkan oleh sentimen sektarian antara mazhab yang dijadikan senjata dalam perang maklumat.
Pakatan Iran-Syria yang lebih banyak membantu Palestin dimusuhi sepenuhnya dan kepentingan strategik melibatkan Palestin dan Israel diabaikan. Akhirnya, selepas lebih lapan tahun Arab Spring, Israel memperoleh kelebihan melalui kerjasama strategik menentangnya yang semakin lemah akibat perang dan perubahan politik yang tercetus hasil percaturan kuasa-kuasa serantau.
Di Gaza, umat semakin terhimpit akibat kekejaman berterusan Israel, manakala di Baitulmaqdis, penguasaan Zionis makin kukuh. Ini semua berlaku tanpa tindak balas bermakna daripada kebanyakan negara Arab. Pada masa sama, kesan perang Arab Spring, Israel sudah meluaskan penguasaan melepasi Golan di Syria.
Kesan kebangkitan juga memberi kelebihan kepada sekutu Israel, pihak Kurdi yang kini menguasai beberapa kawasan daripada sebahagian Syria bersempadan Turki hingga ke utara Iraq. Semua perkembangan ini menunjukkan satu kelebihan besar dimiliki Israel kini, akibat kebangkitan yang mengubah landskap kuasa serantau hingga mengukuhkan kuasa Israel dan menjadikan cabaran kepada Palestin semakin getir.

PENULIS ialah penganalisis isu politik tanah air dan global serta bekas editor kanan Harakah.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER