Dapat dilihat bahawa terdapat golongan yang mula berjinak-jinak ke masjid untuk bertarawih dan ada juga yang mula belajar apakah itu nikmat membayar zakat fitrah walaupun zakat harta tidak pernah dibayar.
Apa jua pun tujuan mereka untuk mula beramal yang ­penting adalah niat yang telah mereka tanamkan sebelum melakukan sesuatu perbuatan murni itu. 

Mari kita sama-sama muhasabah amalan yang telah kita lakukan sepanjang bulan Ramadan ini dan cuba meneliti sama ada amalan tersebut dilakukan dengan penuh keikhlasan untuk mencari keredhaan Allah atau semata-mata untuk ­menempatkan diri dalam kalangan masyarakat.

Tidak guna seseorang itu ­melakukan sembahyang tarawih 20 rakaat setiap malam jika tujuan utamanya adalah untuk memberitahu orang ramai bahawa dia adalah seorang yang warak dan dikongsi di media sosial. 

Begitu juga tiada gunanya seseorang itu membaca al-Quran di masjid sebelum waktu berbuka hanya untuk memperlihatkan bahawa dirinya itu pandai me­ngaji. Kita melihat seseorang yang tarawihnya rompong adalah um­pama orang yang sembahyang tidak lengkap. Itu adalah satu persepsi yang salah. 

Walaupun seseorang individu tidak bersembahyang tarawih di masjid sepanjang bulan Ramadan tetapi jika dengan keikhlasan ­hatinya maka pahala yang dia dapat adalah jauh lebih mulia dan tinggi daripada orang yang sentiasa bersolat tarawih di masjid de­ngan niat untuk menunjuk-nunjuk.

Memperbanyakkan amalan di bulan Ramadan ­sedangkan di bulan-bulan lain amalannya hanya cukup-cukup makan dan kadang-kadang berhutang dengan Allah boleh diumpamakan seperti berbuat baik hanya ketika orang yang kita takuti berada di hadapan kita. Ingatlah bahawa Allah maha mengetahui. Salah satu amalan yang digemari di bulan Ramadan ialah amalan bersedekah. Amalan ini adalah suatu amalan mulia yang dapat mengurangkan beban golongan susah.

Abu Hurairah R.A. berkata: “Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang bersedekah walaupun bernilai sebutir tamar daripada usaha baik - kerana Allah tidak menerima kecuali yang baik - sesungguhnya Allah akan mene­rima dengan tangan kanan-Nya kemudian dikembangkan sebagaimana kamu mengembangbiakkannya untuk binatang ternakan sehinggalah menjadi seperti gunung.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari).

Menurut hadis ini, Allah menggalakkan kita bersedekah dengan harta yang baik dan juga dengan keikhlasan yang tinggi. 

Tidak guna kita berebut-rebut ketika bulan Ramadan ini bersedekah kepada fakir miskin semata-mata untuk mengejar publisiti untuk organisasi kita. Dalam mengejar keuntungan organisasi, kita perlulah menitikberatkan elemen etika. 

Walaupun pada ketika ini, telah wujud ganjaran untuk organisasi yang menitikberatkan tanggungjawab sosial korporat, namun tujuan asalnya adalah bukan untuk bermegah-megah. Apalah guna­nya anugerah tersebut jika sebagai penerimanya, kita sebenar­nya tidak melakukan perbuatan sedekah itu dengan nilai keikhlasan yang terbaik.

Dalam kerancakan bulan Ra­madan, kita dihujani dengan banyak pilihan ketika menjelangnya waktu berbuka. Setelah penat bekerja, ada yang mengambil jalan mudah untuk berbuka di luar ataupun membeli juadah di luar. 

Dengan kesibukan tugasan, kadangkala membuatkan kita tidak mempunyai masa untuk memasak untuk berbuka puasa. Walau apa pun cara kita berbuka puasa, kita tidak boleh melupakan perkara fardu yang perlu dibuat seperti menunaikan tanggungjawab solat Maghrib dan juga tuntutan untuk tidak membazir ketika berbuka puasa. 

Perkara yang amat menarik hati ketika menjenguk ke gerai-gerai yang menjual juadah berbuka adalah sikap sesetengah peniaga yang mengambil kesempatan untuk mengeksploitasi pelanggan. 

Sebagai contoh, ketika membeli roti jala kita mendapati bahawa kuah kari tersebut telah dicampurkan dengan terlalu banyak air, perbuatan menjual makanan yang tidak tahan lama kemungkinan disebabkan perbuatan mengitar semula makanan dari hari sebe­lumnya. 

Rasulullah SAW pernah ber­sabda yang bermaksud “Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW mela­rang daripada melakukan jual beli secara campak batu dan juga jual beli secara penipuan” (Diriwayatkan oleh Muslim). 

Kesimpulan yang boleh didapati daripada hadis tersebut ialah, Rasulullah SAW melarang umatnya daripada melakukan penipuan dalam menjalankan aktiviti jual beli. 

Pernah suatu ketika Rasulullah SAW lalu berhampiran seorang lelaki yang menjual makanan yang kering, lalu baginda benamkan tangannya ke dalam makanan ke­ring itu dan didapati di bawahnya basah. 

Lelaki itu memberi alasan ia te­lah terkena hujan, maka di­letakkan di bawah. Maka baginda bersabda: “Sesiapa yang menipu maka dia bukan daripada golongan kita.”

Jika kita lihat perbuatan lelaki tersebut bolehlah dikatakan tidak seberapa dibandingkan dengan perbuatan segelintir peniaga di bulan Ramadan yang menjual makanan basi yang boleh mendatang­kan mudarat kepada pembeli. 

Dengan bermotifkan keuntu­ngan yang tidak seberapa, peniaga sanggup mempermainkan etika yang sudah sewajarnya diikuti dan dilaksanakan. 

Jika dilihat dari sudut sejarah, Nabi ialah seorang peniaga yang dikenali dengan sifat kejujurannya yang amat tinggi dan terpuji. Kejujuran Baginda menyebabkan beliau digelar ‘al-Amin’. 

Oleh itu, wajarlah bersempena dengan bulan Ramadan ini, peniaga mengambil kesempatan untuk beramal dengan melakukan kebaikan seperti melebihkan timba­ngan dan tidak berkira me­ngenai harga ketika menjual kerana perniagaan itu juga suatu ibadah.

Akhir sekali, sorotilah kehidupan Rasulullah yang bersederhana dalam melakukan aktiviti seharian. Beribadahlah kerana Allah dan bukan kerana manusia. Jika kita tanamkan sifat taat kepada Allah, maka kehidupan kita akan dipelihara dari melakukan perkara-perkara mungkar. Selamat menjalani bulan Ramadan yang penuh dengan ganjarannya.

PENULIS ialah Penasihat Unit Pembangunan Perniagaan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).