Headlines News :
Home » » Sekat penyebaran fitnah

Sekat penyebaran fitnah

Written By zabidi on Monday 26 March 2018 | March 26, 2018

Oleh Hafizahril Hamid

KINI media sosial menjadi nadi kehidupan manusia. Kita dengan media sosial umpama tidak boleh dipisahkan lagi.

Banyak perkara baik yang kita boleh teladani dan hakikatnya ia semakin menguasai hampir keseluruhan hidup manusia.

Malangnya penyebaran fitnah dan berita palsu juga sama naik dalam media sosial.
Walaupun semakin bijak tetapi dari segi perlakuan menyebar fitnah, pertuduhan palsu dan sensasi, manusia tidak banyak berubah.

Sama seperti zaman ketika tidak ada media sosial, cuma bezanya fitnah dan kepalsuan itu kini semakin ketara dan melampau.

Akibat mudahnya hidup hanya di hujung jari, manusia semakin terpedaya dengan fitnah dan berita palsu.

Mahu tak mahu dalam kehidupan seharian kita pun akan sentiasa mendapat mesej dan berita dalam pelbagai bentuk sistem perhubungan media sosial yang digunakan.

Malangnya dalam setiap sebaran yang diterima itu ada yang kita tidak boleh bezakan yang mana benar dan mana palsu.

Daripada kisah remeh orang mahu kahwin tapi tak kahwin, orang bercerai atau kematian orang tertentu yang kemudian diketahui tidak benar sama sekali.

Daripada penyebaran skim cepat kaya hinggalah kisah ekonomi negara dikatakan bankrap, yang kemudian diviralkan di media sosial, ada antara kita menerimanya sebagai kebenaran, tanpa menyelidiki sumbernya.

Ada peringkatnya masyarakat akan bertindak berlandaskan emosi daripada berfikir secara rasional.
Malah ada yang menerima bulat-bulat sebaran berita palsu ini kerana malas hendak menggunakan keupayaan berfikir.

Hakikatnya padah mendatang akibat fitnah dan berita palsu di media sosial ini adalah satu perkara serius yang perlu ditangani segera.

Maka langkah untuk mewujudkan Undang-Undang Antiberita Tidak Benar yang dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat minggu hadapan dilihat perlu untuk mengawal penyebaran fitnah dan berita palsu daripada berleluasa.

Walaupun ada pihak yang melihat perkara ini sebagai dipolitikkan dan mempunyai agenda tertentu namun kita perlu berlaku adil kerana masyarakat yang patut mendapat faedah terbanyak.

Akta ini yang meliputi medium media sosial dan konvensional, perlu digubal untuk melindungi masyarakat daripada ancaman berita palsu yang semakin melampau dan perlu segera dibendung.

Menyebar

Tidak ada keperluan untuk berasa takut jika tidak terlibat menyebar berita palsu, bak kata pepatah berani kerana benar, takut kerana salah.

Akta baharu ini juga dilihat mampu melindungi semua pihak sama ada individu, suri rumah, keluarga, artis, perniagaan kecil mahupun besar, lembaga pengarah dan pemegang saham syarikat.

Malah ahli politik juga dilindungi supaya tidak menjadi mangsa penyebaran berita palsu.

Mungkin ada yang sinikal, dan melihatnya dari sudut negatif. Namun keperluan akta ini dalam konteks lebih menyeluruh termasuk soal keselamatan perlu diambil kira.

Akta ini dilihat mampu mengawal ketenteraman awam daripada diganggu-gugat yang akhirnya boleh mengancam kestabilan negara.

Langkah mewujudkan akta ini sebenarnya telah dipraktikkan di negara lain. Antaranya Perancis, Britain, Ireland dan Jerman yang telah mengambil langkah sama.

Jerman sebagai contoh telah melaksanakan perundangan yang boleh memaksa organisasi media sosial untuk memadamkan berita palsu dan yang menyebar kebencian dan seterusnya mendenda organisasi yang disabit sejak Mei 2017.

Pada April tahun lalu juga, laman sosial Facebook dilaporkan telah menggantung 30,000 akaun Facebook palsu di Perancis ketika negara itu menghadapi pilihan raya.

Dalam hal ini tidak timbul soal sekatan kebebasan hak asasi dan bersuara kerana selagi perlakuan tidak bercanggah dengan lunas undang-undang maka tidak timbul isu. Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan jika tidak melakukan kesalahan.

Sensitiviti

Memandangkan Malaysia sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, soal perpaduan dan sensitiviti sangat perlu diambil kira.

Jika tidak, mungkin berlaku rusuhan dan pergaduhan hanya kerana komen atau posting di dalam media sosial.

Apatah lagi Malaysia merupakan sebuah negara Islam sudah menjadi keperluan untuk umatnya daripada bersekongkol menyebar fitnah dan berita yang tiada kesahihan.

Jika kita lihat kembali kisah Brexit di United Kingdom, kebanyakannya terpedaya dengan janji daripada maklumat palsu dan persepsi bahawa mereka akan raih manfaat jika berada di luar EU.

Tetapi kini baharu mereka sedar bahawa UK berada dalam situasi akan kehilangan lebih banyak faedah yang diterima sebelum ini.

Kita perlu elak perkara yang melibat bekas penjajah itu daripada berlaku di sini.

Kita tidak mahu jadi seperti rakyat Korea Utara yang terperdaya dengan dakwaan bekas pemimpin utama mereka Kim Jong -il adalah pencipta hamburger walaupun tanpa media sosial.

Mungkin tidak mustahil pada masa akan datang ada rakyat kita percaya Jong-il ialah pencipta hamburger akibat berita palsu yang gagal dibezakan dalam media sosial.

Maka sudah sampai masa untuk malaksanakan akta ini dengan menyekat fitnah dan berita palsu, selain mengekalkan keupayaan berfikir manusia.

































Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER