Headlines News :
Home » » Jangan jadi hamba telefon bimbit

Jangan jadi hamba telefon bimbit

Written By zabidi morad on Sunday, 7 January 2018 | 12:11 pm

Oleh Amirul Akmal Redzwan 

Telefon bimbit kini boleh dikatakan menjadi satu keperluan untuk semua orang. Telefon bimbit bukan sahaja menjadi alat penghubung antara satu sama lain tetapi gajet itu diperlukan untuk membantu seseorang menyelesaikan tugas mereka.

Begitupun, penggunaan telefon bimbit ketika memandu boleh mengundang padah dan membahayakan nyawa orang ramai berpunca daripada sikap pemandu yang tidak bertanggungjawab.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesalahan menggunakan telefon bimbit harus dititikberatkan kerana ia boleh menyumbang kepada nahas jalan raya.

“Kami menganggap ia sebagai satu kesalahan yang serius kerana ia bukan sahaja melibatkan diri sendiri tetapi turut membabitkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Sehubungan itu, kami akan menjalankan penguatkuasaan secara berterusan bagi menunjukkan bahawa pihak kami komited dalam menangani masalah ini,” katanya baru ini.

Nahas

Pada 13 November lalu melaporkan, kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendedahkan, 43.4 peratus pengguna jalan raya menggunakan telefon bimbit ketika memandu kereta dan menunggang motosikal sehingga mendorong berlakunya nahas.

Sementara itu, Pakar Psikologi Trafik Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Rozmi Ismail berkata, kajian Miros itu amat membimbangkan dan tidak boleh dipandang enteng oleh semua pengguna jalan raya.

Katanya, punca utama kemalangan kerana menggunakan telefon bimbit adalah disebabkan gangguan dari segi konsentrasi pemandu itu sendiri.

“Apabila memulakan sesuatu perbualan, fokus mereka akan lebih tertumpu kepada konteks perbualan tersebut sehingga mengabaikan risiko berlakunya kemalangan.

“Oleh itu, bagi pemandu yang ingin menggunakan telefon bimbit, mereka disarankan agar memberhentikan dahulu kenderaan di kawasan yang selamat sebelum membuat sebarang panggilan atau membalas mesej,” katanya.

Jelas beliau lagi, untuk mengatasi masalah ketagihan terhadap telefon bimbit, seseorang itu perlu bijak menggunakannya bagi mengelak mereka daripada menjadi hamba gajet tersebut.

“Semuanya terpulang kepada individu itu sendiri. Manusia dikurniakan akal dan fikiran. Mereka boleh memilih sama ada mahu menjadi hamba terhadap telefon bimbit atau tidak. Kesalahan baharu
“Hal ini kerana perbuatan memandu sambil menggunakan telefon bimbit dianggap memandu secara berbahaya dan boleh didakwa melakukan kesalahan mengikut kaedah 17A dalam kaedah-kaedah lalu lintas jalan 1959 serta boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300,” ujarnya.

Dalam pada itu, memandu sambil menggunakan telefon bimbit antara 20 kesalahan baharu yang akan dihubungkan dalam pangkalan data MySikap Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) berkuatkuasa tahun depan.

Awas adalah gabungan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) yang dilaksanakan pada 15 April lalu. Pesalah-pesalah jalan raya dikenakan mata demerit di bawah Sistem Kejara.

Ketika ini, hanya kesalahan memandu melebihi had yang dibenarkan dan melanggar lampu isyarat terdapat dalam sistem tersebut.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, pada ketika ini data-data menunjukkan jumlah kemalangan jalan raya membabitkan penggunaan telefon bimbit semakin membimbangkan.

“Kami dapati memandu sambil menggunakan telefon semakin meningkat dan kami ada data-data menunjukkan peningkatan kemalangan jalan raya kerana guna telefon bimbit. Kami mesti tambah 20 lagi kesalahan di bawah sistem demerit yang akan dimulakan tahun hadapan.

“Antara kesalahan yang bakal dimasukkan ke dalam pangkalan data itu ialah memotong di garisan berkembar, memotong kenderaan secara berbahaya, menggunakan laluan kecemasan, membawa lebih muatan daripada had yang ditetapkan dan muatan terjatuh atau tumpah sehingga menyebabkan bahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.-Kosmo
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER