Adakah sekolah masih selamat untuk 2018?

Oleh Mohammad Fakhrurrazi Rashid

Permulaan tahun baru menyaksikan ibu bapa dan pelajar memberi sepenuh perhatian ke atas pengurusan sekolah.

Pembukaan sesi persekolahan ini memberi peluang baru kepada pelajar untuk mencari iltizam kejayaan dalam kecermerlangan akademik.

Sekolah kekal sebagai nadi dan jaminan masa depan untuk anak-anak Malaysia. Tetapi, adakah keselamatan dan persekitaran sekolah di Malaysia masih selamat untuk 2018?

Sistem pendidikan Malaysia mengalami pelbagai peristiwa yang mengecewakan orang ramai pada tahun 2017.

Isu sepeti jenayah buli, gangsterisme dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah menjadi topik utama akhbar dan media massa yang terus membimbangkan ibu bapa dan kanak-kanak itu sendiri apabila berbicara mengenai keselamatan sekolah.

Perkara ini sering dilupakan oleh pihak sekolah dan kerajaan.

Kita perlu memahami kajian yang dilaporkan oleh Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) pada tahun 2017 menunjukkan tujuh daripada 10 kanak-kanak di Malaysia merasa takut dan bimbang akan jenayah buli.

Fakta ini dapat memberi gambaran jelas bahawa kanak-kanak Malaysia masih merasa tidak selamat akan persekitaran mereka, khususnya di sekolah.

Persekitaran sekolah yang tidak kondusif boleh mendorong kepada gangguan pembangunan pelajar dari segi emosi.

Lihat sahaja bagaimana situasi pelajar di 402 buah sekolah ‘hotspot’ dalam penyalahgunaan dadah, adakah mereka selesa untuk meneruskan pembelajaran mereka dengan persekitaran yang negatif?
Malah apa yang menggusarkan lagi apabila sekolah yang disenaraikan ini turut merekodkan masalah disiplin yang tinggi dan kehadiran murid ke sekolah yang tercorot.

Begitu juga dengan aspek keselamatan di sekolah yang seharusnya diambil sebagai satu kesedaran betapa penting untuk pendidikan pelajar.

Kebakaran di Sekolah Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dan sebuah maahad tahfiz di Kampung Baru pada penghujung 2017 merupakan peristiwa yang membuka mata pelbagai pihak akan pentingnya keselamatan infrastruktur di sekolah.

Kelemahan pihak pengurusan sekolah untuk memantau keselamatan sekolah harus dikritik dan pihak kerajaan tidak boleh hanya bertindak jika insiden tersebut bertambah serius.

Hakikatnya, isu mengenai persekitaran pembelajaran dan keselamatan sekolah masih dipandang mudah oleh pelbagai pihak.

Dasar pendidikan kerajaan hanya memberi tumpuan kepada pelaksanaan undang-undang dan hukuman dalam membenteras kes disiplin, jenayah buli, dadah dan ponteng sekolah, menyaksikan beberapa sasaran untuk mengekalkan persekitaran sekolah yang positif dan selamat tidak tercapai.

Malah, terdapat sesetengah pihak hanya melihat kejayaan sesebuah sekolah berdasarkan prestasi akademik, tetapi gagal memberi tumpuan kepada murid-murid yang memerlukan sokongan emosi dan moral.

Bukankah sepatutnya sekolah yang mempunyai kekurangan dan masalah diberi tumpuan utama
Perubahan dalam memupuk persekitaran posiitif dan selamat di sekolah harus bermula daripada pendidikan rendah dan pra sekolah.

Budaya mendidik dan toleransi antara semua warga sekolah seperti kemahiran komunikasi yang baik dan sikap hormat-menghormati harus diberi tumpuan penting bagi memupuk pelajar yang berhemah dan positif.

Pendekatan ini lebih berkesan berbanding pendekatan menghukum dan pemantauan yang ketat daripada pihak sekolah.

Keadaan fizikal sekolah juga harus diberikan tumpuan dari segi ruang dan keselesaan buat pelajar.

Keselesaan bilik darjah harus dipandang serius oleh pihak sekolah supaya pembelajaran dan budaya positif dapat diterapkan dalam pembangunan pelajar.

Mana mungkin kelas yang padat padat dan aturan kelas yang tidak kemas mampu meningkatkan fokus dan disiplin murid di sekolah.

Pihak pengurusan sekolah tampil dengan kesedaran yang lebih tinggi dengan perancangan dan pemeriksaan keselamatan berkala di bangunan sekolah. Status keselamatan sekolah harus dimaklumkan kepada pelajar dan ibu bapa supaya ia dapat memberi panduan yang jelas apabila berlaku sebarang kecemasan.

Sudah tiba masanya tahun 2018 perlu menjanjikan peluang pendidikan dan persekitaran sekolah yang lebih positif dan selamat untuk anak-anak Malaysia.

Kesungguhan dalam membentuk persekitaran sekolah yang kondusif dan positif mampu melakarkan kegembiraan anak-anak apabila membawa ilmu pulang ke rumah, berbanding duka lara kepenatan akibat persekitaran sekolah yang negatif dan tidak menggembirakan.

Comments

Popular posts from this blog

Diabetes boleh dikawal tanpa sebarang ubat

Mengapa tragedi masih berulang?

Mengapa telefon pintar menjadi panas?