Hisham Abd. Samad, rakan rapat saya di LinkedIn ini saya kenali hampir setahun. Tidak pernah berjumpa secara fizikal, tidak pernah kenal sebelum ini tetapi kami berjumpa dan menjadi kenalan rapat di LinkedIn seolah-olah telah berkawan berpuluh-puluh tahun lama­nya. Sebagai Pengarah Jualan di sebuah hotel di Kota Kinabalu, yang sejujurnya saya pun tidak pernah mendengar nama hotel tersebut sebelum ini, nama beliau tidaklah begitu popular sama ada di media sosial ataupun di luar sana. Tetapi saya melihat beliau sebagai seorang yang luar biasa.

Beberapa bulan lalu saya terbaca status yang telah dimuat turun oleh Hisham di akaun LinkedInnya yang menyebut, ‘Kini 13 Syarikat Penerbangan Bertaraf Dunia Telah Memilih Hotel Kami Sebagai Persinggahan Anak-Anak Kapal di Kota Kinabalu’.
Baca betul-betul, 13! Status ini benar-benar telah membuka mata saya seluas-luasnya. Ini kerana sepanjang hidup saya, belum pernah lagi mendengar sebuah hotel yang tidak begitu terkenal namanya yang digunakan oleh 13 syarikat penerbangan dunia sebagai tempat persinggahan mereka. Biasanya sesebuah hotel akan mempunyai tidak lebih daripada tiga atau empat syarikat penerbangan sahaja sebagai pelanggan untuk mereka tempatkan kakitangan, tetapi 13 memang luar biasa. Bagaimana Hisham lakukannya? Ini persoalan yang perlu saya cari jawapannya.

Dua minggu lepas, saya berkesempatan berjumpa deng­an beliau yang kebetulan berada di Kuala Lumpur untuk pulang bercuti. Dengan berbekalkan nasi lemak bungkus dan teh tarik yang terkenal di Jalan 223 Petaling Jaya, saya bertanyakan kepada Hisham soalan yang terpendam berbulan-bulan lamanya itu. Dia berkata, faktor-faktor ini yang sebenarnya telah membantu beliau:

Mentaliti.
 
Di sini semuanya bermula. Aura kejayaan tidak akan datang sekiranya kita tidak yakin de­ngan diri kita sendiri, yakin deng­an kebolehan kita yang ada, tidak bekerja sambil lewa, tidak mengharapkan orang lain, jauhkan perasaan hasad dengki dan buang semua elemen negatif dalam diri sendiri. Ini juga penting, kita harus mempunyai keinginan yang tinggi untuk berjaya, dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya asalkan ia tidak melanggar etika dan undang-undang yang ada. 

Pemasaran yang seimbang.
 
Kita memerlukan strategi dan pelaksanaan pemasaran yang kuat dan seimbang untuk mencapai kejayaan yang besar. Mengharapkan hanya daripada aspek digital sahaja tidak mencukupi. Kita memerlukan lebih daripada itu, termasuk pemasar­an secara tradisional seperti di akhbar dan majalah, katalog, papan-papan tanda, ejen-ejen pelancongan, kerjasama strategik dan sebagainya. 

Produk berkualiti tinggi. 

Jualan hanya akan tercapai sekiranya kita mempunyai produk atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi kerana para pe­langgan di luar sana sama seperti syarikat-syarikat penerbangan ini. Mereka pasti akan menyaring terlebih dahulu dalam membuat sebarang pembelian. Dan saringan ini pasti ketat.

 Rujukan atau referral.
 
Kita perlu dapatkan satu nama yang besar sebagai pelanggan terlebih dahulu, dan berikan yang terbaik kepada mereka. Berita pasti akan tersebar. Kemudian dapatkan satu lagi nama besar, dan satu lagi. Ini boleh dilakukan dengan mudah sekiranya bakal pelanggan kita tadi menerima rujukan yang positif daripada para pelanggan besar yang sedia ada.

Kerja berpasukan.
 
Saling mempercayai antara satu sama lain dalam pasukan yang sama, dan juga dengan pasukan lain yang ada dalam organisasi yang sama amat penting. Walaupun kita mempunyai pasukan kita sendiri, namun kita juga perlu bekerja sebagai satu unit dengan pasukan-pasukan yang lain untuk mencapai sasaran organisasi secara keseluruhan. Mesyuarat ming­guan perlu diadakan untuk melicinkan operasi, menyelesaikan masalah yang ada dan juga memastikan tugas-tugas yang bakal dilaksanakan berjalan de­ngan baik.
Kata Hisham lagi, harga yang murah tidak menjamin kejayaan sesuatu jualan. Ia sebenarnya terletak pada nilai yang ditawarkan melalui cadangan kita kepada bakal pelanggan. 

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital.