Headlines News :
Home » » Malas berdoa sifat orang angkuh

Malas berdoa sifat orang angkuh

Written By zabidi on Sunday, 9 October 2016 | October 09, 2016

Oleh Prof Dr Muhaya Mohamad 

SELAGI hidup, selagi itu kita tidak akan terlepas daripada menghadapi masalah. Ramai orang apabila ditimpa masalah menjadi tertekan, tidak dapat mengawal perasaan, cepat marah, murung atau kecewa.

Lebih berat lagi apabila kita menyalahkan orang lain sebagai penyebab kepada masalah dan tidak melihat kesilapan diri sendiri. Mulalah kita mengadu atau bercerita mengenai masalah itu dan mengharapkan orang lain memahami, bersimpati malah membantu menyelesaikan masalah kita.

Hal ini berlaku kerana dalam kehidupan ini kita akan temui tiga ragam manusia. Pertama, orang malas berfikir. Kedua, orang berasa dia sudah berfikir. Ketiga, orang yang berasa lebih baik mati daripada berfikir.

Tiga jenis manusia

Hakikatnya dalam kehidupan ini jenis manusia ketiga paling ramai (hampir 95 peratus), yang sanggup menanggung susah begitu lama atau lari daripada memikirkan masalah. Apabila berdepan masalah, adakah kita hendak menghabiskan masa memikirkannya atau mencari jalan penyelesaian?

Golongan 'orang yang jernih' dan bijak, menghabiskan 80 peratus masanya untuk memikirkan jalan penyelesaian. Hanya 20 peratus masa diguna untuk mengikut rentak emosi, memikirkan masalah dan nasib, akibat daripada masalah menimpa hidup.

Orang bijak lagi beriman tidak akan tunduk dengan emosi negatif apabila ditimpa masalah sebaliknya kembali mendekatkan diri kepada-Nya kerana mereka percaya qada dan qadar Allah SWT.

Itulah sepatutnya dilakukan hamba-Nya apabila dibebani masalah, mengadu kepada Allah SWT kerana Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Bijaksana. Allah SWT bersama orang yang dekat dan sentiasa mengadu kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (jawablah) sesungguhnya aku amat hampir: Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul" (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Banyakkan doa

Dekati Allah SWT dengan membanyakkan berdoa kerana doa itu senjata orang Mukmin. Maka berdoalah tidak kira sama ada ketika kita susah atau senang. Hal ini penting kerana sering berlaku masa senang kita lupakan Allah SWT hingga tidak berdoa kepada-Nya.

Masa susah baru ingat Allah SWT dan hendak berdoa hingga mengalir air mata. Ketika itu tidak putus-putus berdoa dengan penuh harapan, mengadu kesusahan dan mohon belas ihsan daripada-Nya supaya dilepaskan daripada masalah yang membebankan hidup.

Jika semasa senang kita tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa berdoa, andai ditakdirkan menghadapi kesusahan dan kita berdoa memohon bantuan-Nya, Allah SWT senang hendak memakbulkan doa kita kerana Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati hamba-Nya.

Sesungguhnya doa itu ibadat dan di mata Allah SWT, orang yang tidak berdoa ialah orang sombong kerana berasakan dia tidak bergantung kepada sesiapa pun untuk berjaya sedangkan jika Allah SWT tidak mengizinkan, mustahil kita mendapat apa yang dimiliki hari ini.

Membaca bismillah

Mulakan semua pekerjaan dengan membaca bismillah, berdoa serta berharap yang baik-baik daripada Allah SWT. Kita tidak tahu apakah bahaya yang akan datang, bahkan tidak tahu siapa kawan atau lawan.

Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: "Berdoalah kamu kepada Allah SWT dalam keadaan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak menerima doa daripada hati yang lalai dan alpa."

Berbaik sangka dengan semua orang di samping berwaspada dan bergantung harap kepada Allah SWT supaya melindungi daripada sebarang kesusahan dan musibah akibat hasad dengki orang yang berniat buruk terhadap kita.

Alangkah ruginya jika kita kurang berdoa terutama selepas menunaikan solat dengan alasan terkejar-kejar urusan duniawi. Antara waktu mustajab doa adalah selesai solat maka ambillah masa untuk beristighfar, berzikir seterusnya berdoa kepada Allah SWT.

Iktibar ajaran Nabi SAW

Ambil iktibar daripada ajaran junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW bersabda kepada Ibnu Abas semasa kecil: "Wahai anak kecil, sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimah iaitu, jagalah Allah (jaga perintah-Nya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintah-Nya) nescaya engkau dapati Dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu). Apabila engkau memohon, pohonlah kepada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, minta tolonglah kepada Allah."

Jangan jemu berdoa kerana doa seseorang mungkin dimakbulkan melalui tiga cara: "Apabila seseorang Mukmin berdoa dengan sesuatu doa, yang tidak ada dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, Allah akan beri salah satu daripada tiga perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan doanya di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberikan balasan pada hari akhirat), ataupun diselamatkan dia daripada keburukan yang seumpamanya."

Lantaran itu bersabarlah apabila berdoa dan terus berdoa kerana ia satu ibadat. Semakin banyak kita beribadah, semakin banyak pahala yang diperoleh,semakin taat kita kepada-Nya.





















Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER