Headlines News :
Home » » Kepimpinan Ustaz Fadzil Noor penuh kasih sayang

Kepimpinan Ustaz Fadzil Noor penuh kasih sayang

Written By zabidi on Monday 18 July 2016 | July 18, 2016

Oleh A.SHUKUR HARUN 

Pada 23 Jun lalu genap 14 tahun kepergian bekas Presiden Pas, Allhyarham Datuk Fadzil Mohd Noor.
Allyarham adalah salah seorang pemimpin utama Pas yang paling banyak diingati, baik oleh kawan mahpun lawan, lebih-lebih lagi pendukung PAS yang benar-benar menikmati kasih sayangnya ketika di bawah pimpinan Allahyarham.

Allahyarham Ustaz Fadzil dilahirkan pada 13 Mac 1937, meninggal dunia pada 23 Jun 2002 adalah bekas Presiden Pas yang menggantikan Tuan Guru Haji Yusuf Rawa.

Allahyarham juga menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen pada 1999 ekoran kekalahan Lim Kit Siang.
Selain dari beliau, pemimpin utama yang sentiasa diingati ialah Allahyarham Nik Abd Aziz Nik Mat dan Allahyarham Yusuf Rawa, ayahanda Dr. Mujahid Yusuf Rawa.

Mengapa tiga tokoh ini sering diingati oleh pelbagai pihak, khususnya pendukung Pas?

Justeru tiga tokoh ini memiliki pautan kasih yang erat dengan ahli jamaah Pas, sesuatu yang amat tinggi nilainya. Saya sendiri sering berlinangan air mata mengenang tiga tokoh ini.

Lebih-lebih lagi ketika saya mengingat kembali ucapan penggulungan Allahyarham ustaz Fadzil di Muktamar Pas yang terakhir baginya, yang antara lain mengatakan:
“Saya sangat berat hendak memberhentikan ucapan penggulungan saya ini, kerana saya enggan berpisah dengan para jamaah ini. Kalau dapat saya tidak mahu berpisah.

“Di sinilah saya mengingat kembali bagaimana kisah ketika Nabi Musa a.s. menemui Allah s.w.t. lalu Allah s.w.t. bertanya kepadanya, “Apa ada di tangan kamu itu, ya Musa. Pada hal Allah s.w.t. tahu semunya. Lalu Musa a.s. menjawab panjang, amat panjang sekali. Iaitu beliau menunjukkan tongkatnya, lalu bercerita panjang mengenai tongkat itu yang diberikan oleh orang kampung kepadanya dan digunakannya sebagai teman berjalan siang dan malam.

“Panjang lagi ceritanya, seperti tidak mahu menghentikan ceritanya justru enggan berpisah dengan kekasihnya, Allah s.w.t.

“Demikianlah juga saya sangat kasih kepada ahli jamaah ini dan seperti enggan berpisah.”
Inilah analoginya yang amat mengesankan.Ramai muktamirin menitiskan air mata mendengarkan ucapan beliau.

Ketika beliau meninggal dunia, jenazahnya diringi oleh ratusan ribu orang sepanjang jalan ke Pokok Sena, bukan saja pendukung Pas, tetapi juga orang ramai, hingga ke pusaranya di Pokoh Sena, Kedah itu.

Ketika mengunjungi kembali pusara Almarhum itu beberapa beberapa tahun lalu, saya terkenang semuanya kembali dan mengalir lagi air mata, membasahi rumput dan batu-batu kecil sekitar nisannya.

Apa erti semuanya ini. Mengapa tiga tokoh ini – Fadzil, Nik Aziz dan Yusuf Rawa begitu dingati dan disayangi, walapun Tuan Guru Yusuf Rawa tidak lama memimpin kerana uzur.

Dalam salah satu ucapan Alahyarahm ustaz Fadzil di muktamar Pas yang sangat sangat saya ingati, ialah apabila beliau menyatakan sangat gembira melihatkan ramai golongan profesional dan teknokrat yang menyertai Pas ketika itu.

Katanya, orang Umno sering memperli, bagaimana Pas hendak memerintah, sedangkan mereka tidak ada golongan profesional yang boleh mentadbir negara.

Lalu beliau menjawab, sekarang begitu ramai orang profesional di dalam PAS dan PAS mampu mentadbir negara.

“Umno jangan lagi perlekeh Pas,” katanya.

Banyak kata-kata dan pesannya yang masih diingati hingga kini, justru yang keluar dari mulutnya ialah mutiara dan permata yang berharga.

Beliau juga mengingatkan pendukung Pas supaya jangan bersikap terlalu shaded, keras, terutamaa dalam menghukum, hingga menakutkan orang ramai menyebabkan ramai orang yang akan menjauhi Pas.

Bayangkan apa makna kata-katanya ini, ketika kita merenung kembali pesannya ini, membandingkan dengan suasana yang ada sekarang yang amat menggerunkan.

Demikianlah pandangan jauh tokoh besar ini.Sementara itu, saya masih ingat pesan Almarhum Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz, yang mengatakan:
“Kita pendakwah ini, sebagai pekerja Islam. Maka perlulah kita bersikap seperti gula, di manapun diletakkan, dibawah karpet sekalipun, ia akan didataangani semut, kerana semut sukakan gula,” katanya.

Ketika saya melintas di depannya, di suatu pagi di pekarangan Taman Melewar, kira-kira sejam lagi Muktamar Tahunan Pas bermula, Almarhum mengajak saya dan beberapa orang teman untuk sarapan di sebuah gerai di situ.

“Mari kita minum di sini, ambo ada lima puluh rial ni,” katanya sambil menunjukkan wang itu dalam sapu tangannya. Almarhum tidak menggunakan pest. Hanya menyimpan wang dalam sapu tangan.

Begitu mudah dan simpelnya kehidupan seorang Mursyidul Am, yang walapun Almarhum hanya berjubah dan berserban serta berselindang nipis, tetapi Almarhum, seperti juga Almarhum Ustaz Fadzil, menjadi pemimpin yang amat disayangi, penuh izzah.

Sebab itu, dalam suasana rebut topan persengkitaan dan suasana politik yang penuh dendam dan bengis, saya terkenang kembali kepimpinan para tokoh ini, yang bersifat lu’ lu’ wal marjan, mutiara dan permata.
Semoga nasihat dan pesan tokoh ini akan terus diingati.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER