Cuma kali ini ceritanya heboh sedikit kerana kenaikan melampau satu dua barang keperluan yang disenaraikan di bawah barang kawalan untuk musim pe­rayaan antaranya ayam. Perkara tersebut mendapat perhatian ramai apabila Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kelantan mengesan segelintir peniaga di Pasar Siti Khadijah menjual se­ekor ayam pada harga RM30 tanpa menggunakan alat pe­nimbang. Sesetengah peniaga pula menjual barangan yang sama pada harga tidak sama dengan tanda harga yang tertera. Sebagai contoh, harga ayam RM8 sekilogram tetapi dijualnya pada harga RM12.

Kebanyakan peniaga memberikan alasan terpaksa menjual pada harga sedemikian kerana pemborong awal-awal lagi sudah mengenakan harga yang tinggi. Alasan ini adalah alasan standard yang sudah bertahun-tahun digunakan. Peniaga kenakan harga yang mahal kerana harga bekalan daripada pemborong pun mahal. Mang­sanya tetap pembeli.

Musim perayaan sudah menjadi sinonim dengan musim peniaga dan pemborong ‘beraya sakan’ menekan pengguna atau pembeli bagi mencari untung berganda. Peniaga dan pemborong beranggapan dalam tempoh ini pembeli dan pengguna tidak berkira sangat tentang soal harga selagi ada bekalan bagi menyambut hari raya. Memang pembeli tidak berkira sa­ngat jika kenaikan itu munasabah tetapi kalau sudah naik ke tahap melampau, pengguna mana pun boleh hilang sabar.

Apa yang berlaku membuktikan ada peniaga dan pemborong tidak begitu menghormati Skim Kawalan Harga musim perayaan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sejak tahun 2000. Menerusi skim tersebut kementerian terlibat menyenaraikan sejumlah barangan pengguna untuk ditetapkan harga maksimum di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit. Harga ini akan berkuat kuasa dalam satu tempoh ter­tentu.

Peniaga tidak boleh menjual sesuatu barangan tersenarai melebihi harga maksimum yang ditentukan. Pada masa yang sama juga, pengeluar, peniaga dan pemborong mesti memastikan bekalan barangan tersebut mencukupi.

Jika diamati tujuan diper­kenalkan skim kawalan harga ini amat besar manfaatnya kepada pembeli dan peniaga sekira dipatuhi. Bagaimanapun dorongan rasa tamak segelintir peniaga dan pemborong yang mahu meraih untung besar ketika musim perayaan menyebabkan skim ini dikhianati. Dalam keadaan ada satu skim kawalan harga barang pun masih ada segelintir peniaga dan pemborong yang mahu mengaut untung lebih, bayangkanlah jika kerajaan tidak memperkenalkan apa-apa skim setiap kali tiba musim perayaan!

Justeru apabila ada cadangan daripada komuniti perniagaan agar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dimansuhkan, kerajaan tidak perlu terpengaruh dan terburu-buru menerima cadangan sedemikian.

 Perlu ada satu kajian mendalam biarpun terpaksa memakan masa yang lama. Kajian perlu mengambil kira kesan yang akan diterima oleh rakyat selaku pengguna.

Memanglah komuniti peniaga suka jika suatu akta yang banyak ‘mengekang’ kebebas­an mereka dalam membuat keuntungan besar ditiadakan. Barangkali selama ini mereka merasa terganggu dengan akta tersebut yang menjadi ‘pemantau’ kepada segala tindakan mereka. Lantas, tidak hairanlah jika salah satu alasan yang diberikan ialah akta itu ‘menyekat’ keyakinan para pelabur untuk menjalankan perniagaan di negara ini.

Kerajaan perlu melihat kesan yang bakal diterima rakyat ekoran pemansuhan akta ber­kenaan, khususnya berhubung dengan kawalan harga barang. Akan adakah satu jaminan harga barangan keperluan pengguna tidak dinaikkan secara melampau oleh para peniaga dan pemborong sekiranya akta ini dihapuskan? Akta sedia ada sekurang-kurang­nya sudah menetapkan harga minimum dan maksimum satu-satu barang pengguna. Akta tersebut juga me­ngenakan tindakan penguatkuasaan tertentu sekiranya syarat-syarat dan peraturan dicabuli.

Sukar untuk mempercayai tidak akan berlaku kenaikan harga barang jika akta itu dihapuskan. Dalam keadaan ada satu akta yang kelihatan tegas pun para peniaga dan pemborong masih berani menaikkan harga barang, bayangkanlah jika akta sedemikian dimansuhkan?

Walaupun sudah banyak contoh tindakan penguatkuasaan, hukuman dan denda dikenakan, tidak nampak ada peniaga atau pemborong yang serik. Kes-kes menaikkan harga barang keperluan terus berlaku.

Isu ini perlu ditangani de­ngan teliti. Apa sahaja keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kepentingan rakyat dan bukan sekadar desakan pihak-pihak yang berkepentingan semata-mata. Keputusan yang dibuat nanti mungkin popular di mata komuniti peniaga tetapi belum tentu menggembirakan rakyat keseluruhannya.