Fahimi meraup wajah sesudah sapaan jururawat tadi mengetuk gegendang telinganya.

“Doktor tidak apa-apa ?” Tanya penuh prihatin. Senyuman yang manis sedaya upaya dihadiahkan. Dia membalas acuh tidak acuh. Cuba mempamerkan sekelumit penghargaan pada pertanyaan itu.

Hatinya masih rawan. Seragam pembedahan berwarna biru laut masih membalut tubuh. Pembedahan kanser hati sekitar setengah jam yang lalu, penatnya masih menggigit segala urat dan sendi. Dia bangkit berlalu dan membersihkan diri sesudah kamar bedah pengap itu ditinggalkan sang jururawat.
Dia mengerling jam di tangan. Sekitar satu pagi. Shifnya sudah tamat namun dia masih enggan beredar. Ada sesuatu yang membuat kakinya masih berjalan di aras empat hospital tempat dia menawarkan khidmat kesihatan.

“Doktor Fahimi,” Teriakan seseorang membuatkan dia berpaling. Dengan mata kuyu dia, wajah rakan sejawatan dia seluruhi. Kali ini dia tidak mampu menunjukkan kegagahan seorang lelaki. Belum sempat soalan meluncur, air matanya terlebih dahulu meluruh laju.

“Sabar Fahimi. Ini ujian untuk kamu. Hadapinya dengan tabah. Mariah sudah menunggu di kamarnya.” Doktor Zahari menepuk bahu sahabatnya itu. Dia mengerti derita rasa yang berselirat di hatinya. Sebagai seorang doktor, seorang suami, juga seorang ayah, dia juga turut merasakan bongkahan bebanan yang ditanggung. Dia langsung melorongkan Fahimi ke bangku berkusyen biru dan menyuruhnya duduk.

Zahari ada membisikkan sesuatu tetapi Fahimi tidak mendengar. Di kepalanya masih terngiang-ngiang perkhabaran yang diterima lewat telefon beberapa jam yang lalu

“Fahimi, Kondisi jantung Amin semakin parah, dia terpaksa ditahan di wad kanak-kanak.” Suara teman sekerja itu seperti halilintar yang datang lalu memanah koklea. Hatinya terus tidak keruan. Nawaitu untuk membantu kendalian pembedahan hati beberapa minit sahaja lagi hampir terencat. Mujur sahaja Mariah, sang isteri langsung memujuk agar tugasnya tidak terjejas. Serba sedikit naluri lelakinya jadi tersentap. Dia sibuk menguruskan perihal kesihatan orang lain sedangkan sakit demam keluarga sendiri tidak terlayankan.

Dari jauh, dia mengintai dari balik pintu utama wad kanak-kanak. Waktu pagi sebegini, keadaan di wad bertukar senyap. Para pesakit kebanyakan tidur. Lampu juga dimalapkan. Sekali-sekali kesunyian pecah oleh tangis anak-anak kecil yang tidak mengerti jerih perit hidup di dunia ini. Wajah Mariah yang sugul terbenam di matanya. Wajah suci sang isteri yang tidak pernah mengalah pada desakan kerjanya, wajah mulus sang isteri yang tidak pernah mempersoalkan kesibukan mahupun ketiadaannya di rumah, wajah indah sang isteri yang menjadi penyejuk mata. Kali ini, wajah itu menyebabkan tangisnya meletus. Dia cuba gagahkan diri. Semenjak dimasukkan ke wad malam tadi, inilah kali pertama dia melihat anak dan isterinya.

“Maafkan abang.” Itu sahaja yang mampu disebutnya tatkala jemarinya melingkar ke bahu isteri. Mariah lantas mendongak. Air mata Fahimi seperti berbicara segalanya. Tentang kekesalan, kesedihan serta kesebalan. Mariah jadi sebak.

“Abang jangan menangis. Ini ujian yang Allah berikan kepada kita. Bukankah ujian itu bunga kasih untuk hamba-hamba-Nya” Mariah menyeka air mata Fahimi sedang air matanya juga berguguran jatuh.

Fahimi merenung putera tunggal satu-satunya. Dilahirkan dengan kecacatan kongenital pada bahagian jantung. Salah satu injapnya tidak tumbuh secara normal lantas menyebabkan aliran dan pengepaman darah tidak dapat berfungsi secara efisien. Kesannya dinding jantung jadi menebal, membesar mengakibatkan anaknya menderitai sakit jatung di usia muda. Aduh, inikah kifarahnya meninggalkan anak dan isteri terlalu lama mendepani tugasannya selaku pengamalan sains kesihatan ?

“Keadaan Amin semakin buruk. Fungsi jantungnya jatuh merudum. Tanpa jantung yang baharu, harapan untuk pulih amat tipis.” Mariah meluahkan rasa sesudah menjatuhkan kepala ke dada suaminya. Fahimi tidak menjawab. Selaku seorang doktor dia sediri maklum tentang keadaan puteranya itu. Penderma jantung masih belum ditemui. Hidup anaknya seperti digantung tidak bertali. Hanya bisa menyandarkan harapan pada alat bantuan pernafasan dan decitan mesin yang pelbagai. Ibu mana yang tidak luluh hatinya melihat zuriat diselirati wayar alat eletronik yang rencam.
“Saya bimbang, Amin tidak sempat beraya Aidiladha bersama kita nanti” Keguasaran itu langsung tumbuh menjadi lalang resah dalam hatinya.

“Abah, kenapa kena korbankan binatang semasa hari raya Aidiladha ?” Puteranya yang berusia empat tahun itu bertanya galak.

“Hari raya Aidiladha disamput sempena memperingati peristiwa pengorbanan yang dilaksanakan oleh Nabi Allah Ibrahim. Allah memerintahkannya menyembelih anaknya sendiri, Ismail sebagai korban kepada tuhan.” Belum sempat Fahimi menokhtahkan jawapan Amin terburu mencelah.
“Korbankan anak sendiri, takutnya!” Amin membega wajah membuat reaksi gerun. Fahimi tertawa.

“Kerana ketaatan Ibrahim, dia telah memaklumkan suruhan yang diterima menerusi mimpi itu kepada isterinya Hajar dan anaknya Ismail. Ismail lantas menyuruh ayahnya mendahulukan perintah Allah.

Dengan hati yang sepenuhnya rela, Ibrahim pun membaringkan Ismail yang bersedia untuk dikorbankan. Tatkala mata parang menyentuh permukaan kulitnya, maka Allah menggantikan Ismail dengan seekor binatang dari syurga. Namanya Kibas. Dari situ, termetrailah peristiwa korban di Aidiladha.”

Amin bertepuk tangan kegembiraan. Tiba-tiba batuk kecil meletus. Fahimi segera mendakap puteranya lantas diurut-urut dada kecilnya. Dia sangat pasti itu angkara penyakit jantung yang dideritainya.

“Abah, nanti di kampung, Amin mahu lihat abah yang menyembelih binatang ya” pintanya dalam cungap bersama sejumlah cahaya yang terpancar menerusi anak mata. Dan mungkin permintaan itu akan berkubur di ruang kubikel putih ini.

Gema takbir mula kedengaran di kaca televisyen. Semesta akan meraikan sambutan hari raya Aidiladha dua hari sahaja lagi. Persiapan untuk pulang beraya di kampung terpaksa dibatalkan. Dia kembali mendekati Mariah. Wanita itu masih setia menemani Amin. Nafasnya mendesah.

Kedengaran berat sekali setiap hembusan yang ditarik dan helaannya kelihatan sungguh menyeksakan. Mariah tidak putus-putus mengusap ubun-ubunya sambil membaca kitab suci. Dia mengerti, itulah peneman Mariah paling akrab. Meja kecil di sisi katil pula terletak sebuah cawan kecil berisi ketulan ais. Air yang mencair daripada ketulan ais itu sahajalah yang boleh disuap ke mulut Amin. Bagi mengurangkan bebanan pengepaman darah oleh jantungnya yang sakit, jumlah air yang diambil terpaksa dihadkan. Riak kehausan tidak lepas menopengi wajah kanak-kanak itu.

Tiba-tiba salah satu mesin yang bersambungan ke tubuh Amin berbunyi. Lampu kecemasan menyala-nyala tidak henti. Suasana berubah cemas dan tegang. Para jururawat dan doktor yang bertugas bergegas menghampiri. Fahimi diterpa kedunguan. Kali ini mindanya tidak dapat bekerja.
“Hati Amin pula semakin parah. Sirosisnya semakin menular. Tekanan darah di bahagian hati sudah terlalu tinggi. Jika dibiarkan, bilirubin pasti mencerun tinggi.” Ucap Doktor Zahari. Fahimi meraup wajahnya. Mariah kembali menangis. “Dengan hati yang mulai memburuk, sudah pasti jantung juga tidak dapat bertahan. Untuk mengawal keadaanya tanpa dua organ utama adalah sesuatu yang mustahil.” Terang Doktor Zahari lagi.

Fahimi lantas berlari ke ruang solat. Dengan air mata yang masih enggan berhenti mengalir, diratakan wuduk ke segenap anggota dan dia membawa diri ke tikar sejadah. Seupayanya dia mengumpul seluruh kekhusyukan. Kali ini dia benar-benar buntu. Meminta kepada tuhan ditemukan pemecahan pada permasalahannya. Kali ini, fikirannya bekerja keras. Apa yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan nyawa si kecil itu. Tiba-tiba ilham menjelma. Dia langsung membawa diri ke makmal patologi. Ujian kompatibiliti hatinya dan hati Amin positif. Sebahagian hatinya boleh didermakan kepada Amin.

“Tidak ! Saya tak izinkan !” Tangisan Mariah terburai di hadapan Fahimi. Tidak sekelumit pun dia menyangka suaminya sendiri akan mengorbankan diri untuk putera mereka.

“Hanya sebahagian sahaja hati abang dipotong. Abang masih akan hidup seperti biasa dengan izin Tuhan.” Tangis Mariah masih bersisa. Hati hawanya terusik. Kini, kesihatan suaminya akan turut terjebak. Dia jadi enggan merestui.

Kali ini Fahimi pula meraih kekura tangan isterinya. “Jika Hajar bisa merelakan suruhan Tuhan agar ditinggalkannya di lembah kontang, juga meredai perintah-Nya agar putera satu-satunya disembelih bapa sendiri, inikan pula kita didatangi ujian yang serba sedikit ini.” Senyuman yang manis dihadiahkan seikhlasnya buat Mariah. Tahulah dia bahawa inilah jalan yang sewajarnya perlu diambil. Hatinya mengizinkan.

Sesudah persiapan pembedahan dibuat, Mariah menghantar Fahimi dan putera mereka Amin ke pintu kamar bedah. Hatinya luluh, air matanya luruh tanpa henti. Fahimi juga begitu. Demi anak dan isteri yang sudah terlalu banyak bekorban. Kali ini dia pula yang akan berkorban untuk mereka. Sewaktu tautan jari Mariah terlerai dari pautan tangan, sempat Mariah membisikkan pesan “Jika Allah memerintahkan api agar mendingini bakaran Ibrahim, saya doakan agar kesejahteraan yang menjadi luka pembedahan ini.”

Fahimi berasa gementar. Kali ini, trilogi cinta antara Ibrahim-Hajar-Ismail seperti benar terjadi di hadapan matanya. Amin, si anak kecil persis Ismail yang bakal dijadikan korban. Mariah, umpama Hajar yang ditinggalkan suami di gurun penantian bertemankan perlindungan dari Tuhan sedang dirinya. Apakah layak dia dimisalkan Ibrahim? Sang Khalilullah yang teguh meruntuhkan berhala, terus utuh dibakar hidup-hidup dan langsung patuh pada setiap suruhan Allah. Kali ini, dia akan menegakkan tiang pasrah dan merafakkan bendera tawakal ke langit Tuhan.

Dia percaya kalau Allah tidak akan menguji hambanya kecuali bersesuaian dengan kesanggupan mereka. Kini, keputusan ini adalah ilham yang dikirim Tuhan dalam sujud dan rukuknya tika dinihari lepas. Dia tidak akan berganjak. Biarpun kali ini yang menjadi korban adalah dia. Separuh hatinya akan dikerat dan dipindahkan ke tubuh Amin. Dia rela. Jika pengorbanan itu lazimnya menghasilkan amputasi, maka biar waktu ini, hatinya akan beranastomosis dengan hati puteranya menjadi kalbu yang terus hidup dan berdegup dalam ketaatan kepada Tuhan.

Kini, kedua-dua mereka sudah berada di ruang tengah kamar pembedahan. Langkah pertama adalah memotong separuh hatinya kemudian, bahagian tersebut akan dipindahkan langsung dicantumkan pada hati anaknya yang semakin mengecil. Bibirnya hanya basah dengan zikir dan doa. Doktor Zahari sedia memaklumkan kalau dia akan berusaha bersungguh-sungguh menyelamatkan Amin. Dia sendiri yang akan mengepalai pembedahan tersebut.

Jantungnya berdetak laju. Debaran mulai kencang bergendang. Matanya diluruskan menghadap siling. Silauan lampu bedah sedikit mengganggu pandangan. Kelihatan pakar bius yang bertugas mula menjalarkan aliran bius ke tubuhnya. Sedikit demi sedikit pandangannya terasa kabur.

Badannya terasa melemah. Dia akan terdorong masuk ke ruang bawah sedar. Namun sebelum itu, dia mahu melihat wajah puteranya sebelum dia sendiri ditidurkan oleh anestesia.

“Amin, kali ini abah akan bekorban untuk Amin.” Doktor Zahari mula berdiri di sebelah kanan katil. Dimintanya sebilah skapel. Dia akan mula membelah dada temannya sendiri.

Kring ! Kring ! Kring ! Telefon penyambung yang melekat di dinding kamar bedah tiba-tiba berdering kencang. Jururawat berdekatan lantas mencapai cekatan menjawab. Gagang disuakan kepada Doktor Zahari yang sudah bersedia untuk memulakan pembedahan. Dari dalam topeng muka yang menutupi hampir keseluruhan wajahnya, riak gembira bercampur tidak percaya terpencar-pencar sesudah menerima perkhabaran.

“Ahamdulillah, penderma hati sudah ditemukan. Pembedahan ini tidak perlu dijalankan !” Tahmid dan syukur gamat bersipongang di sekitar kamar.

“Fahimi, kibas korban sudah dikirim Tuhan !” ucapnya ke telinga Fahimi yang tidak sedar. Dia pasti, dalam lenanya itu, Fahimi sedang bersujud syukur kepada Tuhan .