Headlines News :
Home » » Kekejaman rejim Pol Pot masih berbekas

Kekejaman rejim Pol Pot masih berbekas

Written By zabidi on Tuesday, 19 January 2016 | January 19, 2016

Oleh Mona Ahmad 

DIPUKUL sepanjang hari, dicabut kuku menggunakan playar, dikenakan renjatan elektrik dan
dipaksa bekerja sepanjang hari tanpa rehat, tidak dibenarkan mandi hanya disiram air tiga bulan sekali dan diberikan nasi bubur cair bagi mengalas perut.

Itu adalah sebahagian rutin harian tahanan Penjara Tuol Sleng, Phnom Penh, Kemboja ketika zaman pemerintahan kejam rejim Pol Pot.

Dalam tempoh hampir empat tahun dari 1975 hingga 1979 pemerintahan rejim itu, lebih dua juta rakyat Kemboja mati kebuluran, diseksa dan dibunuh, manakala ramai lagi yang terselamat mengalami kecacatan fizikal dan mental.

Biarpun zaman itu sudah berlalu lebih 30 tahun, namun parutnya masih berbekas dalam sanubari rakyat Kemboja yang melalui kehidupan di zaman Khmer Rouge itu terutama bagi warga emas yang masih hidup.

Tentera Khmer Rouge membunuh artis, guru, peguam, doktor, wartawan, ahli agama atau sesiapa saja yang dianggap sebagai 'intelek,' atau sesiapa saja yang mempamerkan bangsa, agama atau kedudukan mereka.

Tanpa sebarang alasan, penduduk ditangkap dan dibunuh atau dipaksa menjadi buruh kasar. Ada kalanya, alasan yang tidak boleh diterima akal manusia waras seperti memanjat pokok kelapa kerana haus atau hanya kerana memakai cermin mata yang menampakkan seolah-olah bijak atau kaya turut ditangkap atau dibunuh.

Penjara Tuol Sleng adalah bekas Sekolah Tinggi Chao Ponhea Yat yang dijadikan penjara menempatkan hampir 20,000 tahanan yang kemudiannya dibunuh ketika di zaman pemerintahan kuku besi itu.

Peluang mengunjungi Penjara Muzium Tuol Sleng bersama Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (PKPU JAKIM) yang kini dijadikan Muzium Tuol Sleng baru-baru ini, benar-benar menginsafkan penulis.

Apakan tidak terutama apabila melihat ribuan gambar wajah insan tidak bersalah dipamerkan, selain lukisan gambaran penyeksaan yang dilakukan tentera rejim itu dan tengkorak tahanan yang ditemui di perkuburan besar di banyak kawasan dikenali sebagai Killing Fields.

Pertemuan dengan Chum Mey, 86, satu-satunya bekas tahanan Penjara Tuol Sleng yang masih hidup, di mana 12,000 yang lain didera dan dibunuh dengan kejam serta dihantar ke lapangan pembunuhan (Killing Field), benar-benar menyentuh jiwa.

Selain menceritakan pengalamannya kepada wartawan dunia dan pengunjung penjara itu yang kini dijadikan muzium menempatkan maklumat, gambar serta tengkorak mangsa kekejaman rejim Pol Pot, Chum turut menulis pengalamannya melalui buku dalam bahasa Inggeris berjudul Survivor.

Saksi utama kes perbicaraan Beliau turut menjadi saksi utama dalam kes perbicaraan Ketua Penjara itu, Kaing Guek Eav atau Duch yang diadakan di tribunal jenayah antarabangsa.

"Saya tidak mahu zaman itu berulang. Menjadi tanggungjawab saya untuk bercerita kepada dunia mengenai kebenaran dan apa yang terjadi ketika itu. Saya bukan hanya bercerita kepada orang Kemboja saja, tetapi seluruh dunia tidak kira orang Cina, orang Champa (Muslim), sesiapa saja yang berjumpa dengan saya.

Saya mahu dunia tahu apa sebenarnya terjadi dan tidak mahu ia berulang," katanya. Chum bernasib baik tidak dibunuh kerana mempunyai kemahiran membaiki peralatan seperti mesin, jana kuasa, trak dan kenderaan.

"Saya bernasib baik tidak dibunuh kerana mereka mahukan kepakaran dan kemahiran saya dalam membaiki peralatan. Mesin taip adalah peralatan pertama yang perlu dibaiki, ini kerana semua pengakuan direkodkan.

Saya kemudian diarah melakukan kerja pembaikan mesin termasuk mesin jahit. "Saya bekerja bersebelahan dapur, kadangkala saya diarahkan mengangkut kayu api, apabila bernasib baik saya diberikan kerak nasi yang disorokkan dalam laci mesin jahit," katanya.

Chum berkata, dua anak perempuannya hilang pada zaman pemerintahan Pol Pot.
Hanya selepas tahun 1979, beliau diberitahu kedua-dua anak perempuannya dibawa menaiki kereta api ke Pursat atau Battambang.

"Saya dengar kereta api itu meletup dan kemungkinan besar kedua-dua mereka meninggal dunia. Saya cuba mencari mereka, tetapi tidak menemui atau mendengar berita mengenai mereka.

Jika mereka dibawa keluar negara untuk proses anak angkat dan masih hidup, tentu mereka pernah mendengar nama saya kerana saya banyak ke Asia, Eropah dan Amerika.

Namun, sehingga kini tiada berita mengenai mereka," katanya yang turut kehilangan isteri dan dua anak lelaki pada zaman itu akibat sakit.

Tarikh 28 Oktober 1978 menjadi kenangan pahit dalam hidupnya apabila ditangkap pihak rejim Pol Pot atas alasan mahu meminta tolong membaiki trak berhampiran Vietnam, namun beliau terus dibawa ke Penjara Tuol Sleng.

Mengikut prosedur, semua tahanan dirakam gambar dan ditanggalkan pakaian sebelum dimasukkan dalam sel kecil.

Dipukul, kuku dicabut Berhari-hari didera dengan dipukul tanpa henti dan kuku kaki dicabut dengan playar atas dakwaan menyertai Agensi Perisikan Amerika (CIA). Mendengar nama CIA pun kali pertama, inikan pula menjadi perisiknya.

Selama 10 hari didera, dipukul dan telinga kiri dipasang wayar elektrik, akhirnya beliau tidak tahan dan terpaksa mengaku atas pertuduhan walaupun tidak tahu menahu butiran pangkalnya.

"Mereka bukan manusia tetapi lebih teruk daripada haiwan. Kami diberikan kotak plastik untuk membuang air, jika terjatuh di lantai kami diarahkan menjilatnya. Jika kedengaran kaki yang diikat dengan besi bergerak, mereka datang dan menyebat kami sebanyak 200 sebatan.

"Bagi mengalas perut, kami diberi makan bubur nasi dua kali sehari, jika meminta tambah akan dipukul, kadang kala cicak dan tikus turut menjadi santapan penghuni penjara," katanya. Selepas berdekad kejadian itu, walaupun menderita akibat kekejaman rejim Pol Pot, Chum tidak

menyalahkan tentera yang menderanya kerana mereka hanya melaksanakan arahan pegawai atasan.
"Saya menganggap mereka juga mangsa seperti saya kerana terpaksa mengikut perintah ketua mereka. Jika saya di tempat mereka, sanggupkah saya berdepan dengan hukuman bunuh jika gagal melaksanakan arahan supaya mendera tahanan," katanya yang turut mengenal pasti tentera yang menderanya.

Kini, Chum menghabiskan masa tuanya dengan menjual buku tulisannya di pekarangan Muzium Tuol Sleng dan bercerita dengan pengunjung mengenai kekejaman dan pengalamannya menghuni tirai besi itu.

Umat Islam dibunuh, hidup dalam ketakutan Kemboja terus berdepan perang dengan Vietnam di sempadan Kemboja-Thailand selepas bebas daripada pemerintahan kuku besi Pol Pot. Bukan itu saja, perang saudara turut tercetus antara saki-baki penyokong Pol Pot dan pihak berkuasa sekitar 1990-an yang menyukarkan kerajaan untuk mewujudkan kestabilan dan keamanan.

Pilihan raya pertama Kemboja diadakan pada tahun 1993 dan pilihan raya kedua pada tahun 1998 menjadi titik-tolak keamanan kepada negara itu menerusi kepemimpinan kerajaan campuran yang berusaha mengekalkan kestabilan Kemboja.

Di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Hun Sen, negara itu banyak berubah dan rakyat diberi kebebasan beragama dan mencari rezeki termasuk umat Islam di negara itu.
Bagi Pengerusi Cambodia Muslim Intellectual Alliance (CMIA), Farid Hosen, walaupun tidak merasai secara langsung keperitan kekejaman rejim Pol Pot tetapi ia meninggal parut yang masih berbekas apabila bapanya, Hosen Abu Bakar turut ditangkap dan meninggal dunia ketika dalam tahanan.

"Seperti yang diceritakan ibu, saya ketika itu hanya berusia 15 hari semasa bapa ditangkap rejim Pol Pot. Ketika itu, regim itu memburu dan menahan guru agama. Bapa saya seorang imam dan guru agama.

Kami difahamkan beliau meninggal dunia ketika dalam tahanan akibat kebuluran," katanya ketika ditemui di Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini. Hanya tiga tahun, lapan bulan dan 10 hari saja, pemerintahan kuku besi itu menyaksikan kira-kira setengah juta umat Islam Kemboja berketurunan Melayu Champa meninggal dunia dan yang tinggal hanyalah sejumlah 100,000 saja ketika zaman itu.

Guru agama Kampung Suay Bakau, wilayah Kampong Chnang, Ishak Irham, 72, yang kehilangan kebanyakan ahli keluarganya ketika di zaman Pol Pot menyifatkan keamanan yang dikecapi sekarang perlu dipertahankan kerana penderitaan hidup ketika itu tidak boleh gambarkan oleh akal waras manusia. BILIK seksaan. Hidup dalam ketakutan

"Di zaman Pol Pot, hidup memang susah. Kami hidup dalam ketakutan kerana bimbang ditangkap dan dibunuh. Kebanyakan yang dibunuh adalah guru agama dan imam kerana komunis tidak percaya kepada agama. Adik beradik saya ada juga yang ditangkap dan dibunuh," katanya.

Bagi generasi muda, Nasief Mohamad, 25, walaupun tidak sempat merasai penderitaan di zaman Pol Pot tetapi ibu bapanya serta saudara yang lebih tua di rumah serta kampungnya pernah bercerita mengenai kekejaman yang dialami ketika itu.

"Alhamdulillah, kami tidak merasai keperitan yang pernah dialami generasi sebelum ini. Kami berharap sejarah tidak berulang dan negara ini terus aman di mana umat Islam boleh mengamalkan ajaran dan menjalani hidup harmoni dengan penduduk yang beragama dan berbangsa lain," katanya.

Berasal dari wilayah Kampong Cham, Nasief yang kini menuntut di Universiti SEGI, Kota Damansara, Kuala Lumpur, turut menyuarakan rasa kesyukuran kerana berpeluang melanjutkan pengajian di Malaysia dengan tajaan Yayasan al Bukhary dan berharap dapat kembali menabur bakti di negaranya selepas tamat pengajian.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER