Allah SWT telah mencipta manusia dengan pelbagai jenis keturunan dan bangsa, tiada beza antara satu sama
lain di sisi-Nya melainkan yang paling bertakwa. Tetapi manusia memilih jalan yang gelap, iaitu kegelapan yang menjadikan manusia meraba-raba di dunia ini, walaupun Allah SWT telah menyediakan bagi mereka jalan kebenaran dengan turunnya al- Quran sebagai panduan, tetapi mereka tetap memilih jalan yang salah.Apa yang kita saksikan pada hari ini, kerakusan manusia merebut peluang yang ada semasa hidup di dnuia dengan bertindak melakukan pelbagai bentuk maksiat, ada yang berjudi, terlibat dengan rasuah, minum arak, merogol, merompak, malah ada yang membunuh, kesemua itu dianggap perlakuan dari dosa-dosa besar yang tidak boleh terhapus melainkan dengan bertaubat.
Benarlah apa yang pernah ditegaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w, bahawa manusia sering melakukan kesalahan, dan sebaik-baik kesalahan itu adalah dengan bertaubat kepada Allah. Jalan penyelesaian kepada penghapusan dosa-dosa besar telah disediakan, selagi mana manusia mahu memilihnya, kerana Allah SWT Maha Penerima taubat hamba-Nya yang ikhlas untuk melakukan perubahan buat dirinya, ini kerana jika perkara taubat itu dilengahkan, dikhuatiri Syaitan akan melakukan usahanya untuk merosakkan niat baiknya itu, yang akhirnya termasuk orang yang rugi dan muflis di akhirat nanti.
Allah SWT ada menegaskan dalam al-Quran, bahawa perkara yang baik patut disegerakan tanpa berlengah, bagi memastikan kesejahteraan hidup yang berkekalan di alam akhirat.
Pernahkah kita terfikir jalan terbaik untuk bertaubat kepada Allah, justeru, anda diminta untuk menterjemah kaedah berikut menuju jalan taubat:.
1. Hendaklah saudara mengasingkan diri buat seketika secara bersendirian untuk berfikir, sama ada dalam bilik dengan mengunci pintu, atau duduk di masjid yang jauh dari suasana hirukpikuk dunia yang serba mencabar atau di taman-taman bunga yang menyajikan suasana hijau yang segar, jauh dari kesibukan dan bebanan kerja yang bertimbun.
2. Pilihlah satu tempat yang sesuai dengan membawa sebatang pen, untuk mencatat sebanyak mungkin dosa-dosa yang pernah dilakukan, bahagikan antara dosa-dosa besar dan kecil, dan bandingkannya dengan apa yang dilakukan oleh orang lain.
3. Mulakan perhitungan dengan dosa-dosa besar terlebih dahulu, dengan memilih yang paling besar yang boleh menjejas akidah dan hubungan terhadap Allah, kemudian lakukan secara berurutan hingga kepada dosa-dosa kecil.
4. Catat dosa yang pernah dilakukan dengan bertekad untuk memberhentikannya.
5. Perhatikan dengan teliti, apakah sebab atau punca utama mendorong anda melakukan dosa, apakah ia disebabkan kerana percampuran teman-teman yang rosak akhlak mereka, jiwa kosong dengan aspek agama, kerana mengikut hawa nafsu atau ada unsur-unsur lain, jika anda tahu puncanya, ia akan jadi lebih mudah untuk menghindarinya.
6. Fikirlah secara waras, adakah anda mendapat faedah dari dosa yang telah anda lakukan? Tinggalkan dosa-dosa itu dengan tekad dan kesungguhan yang jitu, kerana setiap kesalahan dan dosa itu mampu memudaratkan manusia di dunia dn akhirat.
7. Buatlah satu jadual, bagi melakukan satu perubahan secara beransur, ia tidak akan berlaku dalam sekelip mata, tetapi perlu ada usaha ke arah itu.
8. Catatan yang dibuat dalam jadual tersebut bertujuan untuk mencatat sejauh mana perubahan telah berlaku, sama ada dalam seminggu, sebulan atau setahun.
9. Bawalah jadual tersebut ke mana sahaja anda pergi, bagi membantu diri anda untuk terus melakukan perubahan.
10. Sebelum tidur, pastikan anda teliti jadual yang bersama anda sepanjang hari untuk membuat muhasabah diri.
11. Berikan markah pada setiap perubahan yang berlaku untuk mendorong diri ke arah yang lebih baik pada esok hari.
12. Berdoalah setiap hari tanpa perasan jemu, agar Allah menerima taubat anda. 13. Pastikan anda menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh merosakkan perancangan anda untuk bertaubat.
14. Menyesali perkara lampau dari dosa-dosa besar yang dilakukan bagi memudahkan proses bertaubat kepada Allah.
15. Bila anda terbaca ayat al- Quran yang menyeru anda untuk bertaubat “Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan sebenarbenar taubat”, maka sahutlah ia dengan bersungguh-sungguh.
16. Bila anda bersungguh dalam bertaubat, rasakan dalam diri anda bahawa Allah gembira dengan tindakan anda itu.
Apabila anda telah bersedia untuk melakukan perubahan dalam diri anda dengan bantuan jadual yang telah disebutkan di atas tadi, pastikan anda tidak berlengah untuk melakukannya, Insya-Allah segala usaha dan niat anda itu akan diperkenankan Allah, apa yang penting ikhlas dalam segenap tindakan anda, selamat mencuba, pasti Allah pelihara anda.
Post a Comment