Headlines News :
Home » » Jangan biarkan teknologi hancurkan manusia

Jangan biarkan teknologi hancurkan manusia

Written By zabidi on Sunday, 24 May 2015 | May 24, 2015

Oleh DR. Azizan Baharuddin 


TEKNOLOGI adalah apa sahaja yang boleh membantu, memperkuat dan memperkembangkan deria manusia. Contohnya mikrofon menguatkan dan memanjangkan suara manusia, cermin mata membantu penglihatan, roda dan kereta memudahkan perjalanan dan lain-lain.

 Teknologi boleh saja berbentuk alat atau idea, satu sistem mahupun mekanisme melaksanakan atau memenuhi sesuatu tugasan atau keperluan.

Pun begitu, mutakhir ini begitu kerap kita mendapat berita tentang jenayah yang kalau diperhalusi dibantu oleh teknologi yang canggih dan terkini.

Satu kes yang boleh dijadikan contoh adalah yang melibatkan anak muda rakyat negara ini yang luar biasa kelebihannya dalam bidang yang dianggap sukar dikuasai iaitu Matematik. Atas sebab-sebab yang mungkin (menurut pakar psikologi) melibatkan pengalaman penderaan seksual zaman kanak-kanaknya, anak muda yang penuh potensi ini terdorong atau ketagih untuk menggunakan teknologi ICT untuk menyimpan, mengumpul bahan-bahan lucah (gambar dan video misalnya) dalam jumlah yang tidak kurang daripada 30,000 banyaknya.

Darjah kelucahan bahan-bahan ini menurut polis di London di mana anak muda itu ditahan adalah yang amat teruk yang dikategorikan sebagai ‘gred A’. Kemudian kita mendengar pula nasib malang dua kanak-kanak perempuan (7 dan 3 tahun) yang telah kehilangan ibu bapa dan adik perempuan mereka akibat dilanggar oleh kereta (teknologi) berkuasa rendah (dan dengan itu ringan dan mudah tidak stabil apabila dipandu laju) dengan kelajuan yang setara dengan kelajuan perlumbaan di Litar F1 misalnya.

Kita juga baru-baru ini turut membaca mengenai dua pelajar sekolah tingkatan 2 di sebuah sekolah yang ternama di Melaka menggunakan teknologi telefon bimbit untuk merakamkan aktiviti penggunaan tandas oleh beberapa orang guru (perempuan).

Satu pengajaran yang boleh kita simpulkan daripada contoh-contoh yang diberi ini ialah memanfaatkan teknologi adalah nikmat Allah kepada manusia dan satu perkara yang menuntut penggunanya mempunyai disiplin dan ilmu. Ilmu melibatkan pemahaman tentang kesan penyalahgunaan teknologi itu kepada manusia sementara disiplin memerlukan kita menahan nafsu apabila menggunakan teknologi.

Semakin canggih teknologi, semakin besar risiko atau bahayanya jika disalahgunakan. Kajian sains tentang berbagai penyalahgunaan teknologi misalnya memberitahu ada kesan buruk dan merosakkan apabila teknologi digunakan untuk memberi “kepuasan” semata-mata kepada manusia.

Misalnya, teknologi kereta, memandu laju ‘memberikan’ kepada ‘penggemar’ kelajuan, rasa ‘keterujaan’ dan ‘rangsangan’ yang tinggi. Hakikatnya dari segi fizikal dan emosi perlakuan pemanduan laju itu sendiri adalah sesuatu yang ‘berbahaya’. ‘Bahaya’ mencetuskan hormon adrenalin dalam badan yang meningkatkan aktiviti jantung, paru-paru dan otot. Ini bermakna fungsi lain seperti pencernaan makanan, sistem reproduktif dan aktiviti-aktiviti otak yang mengawal mood, motivasi dan ketakutan akan terganggu.

Sekiranya kerap badan dirangsang secara tiruan begini kesan buruknya termasuklah sakit jantung, kerosakan sistem memori dan konsentrasi, masalah berat badan, kemurungan dan lain-lain masalah serius. Sistem ‘flight or fight’ melibatkan hormon adrenalin ini adalah satu mekanisme yang fitrah/tabii manusia mempertahankan diri yang dijadikan oleh Allah dalam diri manusia apabila diancam bahaya.

Sekiranya disalahgunakan maka kerosakan akan berlaku. Inilah dosa yang berasal daripada perkataan Sanskrit ‘dhosa’, yang bermaksud kezaliman, kehancuran, kerosakan akibat manusia melanggar peraturan dan undang-undang.

Ada yang mengatakan undang-undang jalan raya (seperti mematuhi had laju) tidak ada dalam al-Quran. Benar tetapi al-Quran dan Hadis membuahkan prinsip Maqasid Syariah iaitu syariah (bersumberkan al-Quran dan Hadis) bertujuan memelihara iman, nyawa, harta, keturunan dan akal. Dengan sengaja memandu laju khususnya di jalan logik/akal yang juga telah dibekalkan Allah kepada manusia, memberitahu kita bahawa hampir kesemua prinsip maqasid ini telah pun kita langgar.
PENULIS ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).-U/M
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER