Oleh AZIZ MUDA
“EH, USTAZ Ismail Kamus masih hidup ke? Kata dah mati? Pelik pula. Itu memang dia yang nampak tadi. Dia hidup balik ke?” Begitulah kata-kata yang terkeluar dari bibir orang ramai apabila melihat Ustaz Dato’ Ismail Kamus.
Kata-kata seperti itu terhasil ekoran beliau dikatakan telah meninggal dunia seperti yang tersebar dengan meluas menerusi group-group WhatsApp sekitar 20 Januari lalu.
Ustaz Dato’ Ismail Kamus bukanlah satu nama asing kepada seluruh rakyat Malaysia. Beliau bukan sekadar dikenali oleh ahli-ahli PAS, tetapi juga oleh para penyokong parti-parti lain, malah termasuk juga di kalangan mereka yang tidak berparti atau berada di atas pagar. Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia pada tahun 1999 sehingga 2004 lalu atas tiket PAS.
Sejajar dengan sumbangannya yang besar dalam aktiviti dakwah dan kemasyarakatan, beliau terpilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1433 Hijrah Negeri Selangor sempena sambutan Maal Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada 26 November 2011.
Beliau menerima wang tunai RM10,000 sumbangan Kerajaan Negeri Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, midal Maal Hijrah, sepersalinan pakaian dan pakej menunaikan umrah yang disampaikan oleh Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah yang mewakili Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Masuk kali ini, pendakwah terkenal itu dikatakan telah meninggal dunia sebanyak empat kali, berdasarkan fitnah yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu di negara ini. Tahun 2011 lalu ketika fitnah kematiannya buat kali ketiga sedang bertiup kencang di tengah masyarakat, beliau sendiri mengakui turut mendengar khabar angin itu tetapi hanya disambutnya dengan senyum.
Ketika ditemui di pusat perubatannya di pejabat Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia di Gombak, Selangor pada 7 Disember 2011 lalu, beliau menjelaskan, kali pertama khabar angin seperti itu bertiup di tengah masyarakat berlaku sekitar 12 tahun lalu (bererti 16 tahun lalu), manakala yang kedua sekitar 5 tahun lalu (bererti 9 tahun lalu).
Sesudah itu, beliau menyangkakan fitnah seperti itu tidak akan berlaku lagi ke atasnya, tetapi sangkaannya itu ternyata meleset apabila ia kembali berulang untuk kali ketiga terutama ketika beliau berada di Mekah untuk mengerjakan ibadat haji pada tahun 2010 lalu.
Ketika itu, tokoh agama yang disegani itu mengakui beliau kurang sihat sejak 6 bulan lalu kerana mengalami sakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis. Ekoran masalah kesihatannya itu, aktiviti beliau dalam kemasyarakatan dan agama turut terbatas sejak hampir setahun lalu, tetapi mulai aktif kembali sekitar Disember 2011 setelah kesihatannya bertambah baik.
Ekoran kesihatannya yang kurang baik, beliau telah mengambil keputusan untuk tidak bergiat aktif dalam politik bersama-sama para pemimpin PAS, melainkan memberikan sumbangan sekadarnya untuk parti setakat yang terdaya.
Sebagai tokoh agama dan aktivis masyarakat, beliau banyak menghabiskan masanya dengan memberikan sumbangan kepada orang ramai di pusat perubatannya bersama para pembantunya.
“Jika ada jemputan daripada orang ramai untuk berubat di rumah mereka, khususnya bagi kes-kes kronik, saya dan rakan-rakan yang juga pembantu saya akan turut pergi ke rumah mereka bagi membantu sekadar terdaya,” katanya.
Beliau bagaimanapun berharap agar pihak-pihak terbabit tidak lagi menyebarkan fitnah seperti itu terhadap beliau selepas itu bagi mengelakkan salah faham di dalam masyarakat, di samping mengelakkan dosa kerana menyebarkan fitnah.
Bagaimanapun 1 Januari lalu, seluruh negara menjadi gempar apabila tersebar berita menerusi WhatsApp dengan katakata, “Assalamualaikum. Ustaz Ismail Kamus kembali ke rahmatullah. Akan disolatkan di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan selepas Zohor. Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun.” Pada hal, Ustaz Ismail Kamus sebenarnya masih hidup. Pihak terbabit seolah-olah sengaja menyebarkan berita seperti itu untuk menimbulkan kejutan dalam masyarakat. Justeru, tidak hairanlah jika perbuatan mereka itu dikecam pelbagai pihak.
Jika berita palsu seperti itu disebarkan oleh pihak berkenaan untuk tujuan bergurau, ia tentunya gurauan yang melampau dan tidak langsung menghormati tokoh agama.
Tentunya menjadi sesuatu yang amat mendukacitakan jika berita seperti itu menjadi bahan gurauan penulis blog dan penulis WhatsApp.
Namun, mengimbas kembali pertemuan dengannya 7 Disember 2011 lalu, pendakwah yang dilahirkan pada 2 Disember 1948 itu sendiri tidak dapat membaca mesej di sebalik penyebaran berita palsu seperti itu ke atasnya.
“Saya hairan macam mana mereka boleh sebarkan fitnah seperti itu ke atas saya, sedangkan saya sebenarnya masih hidup. Saya sebenarnya tak pun berasa sedih dengan fitnah itu. Lagipun kalau mereka tak kata saya dah meninggal dunia pun, saya pasti akan mati juga apabila tiba masanya nanti,” ujar beliau.
Ustaz Ismail Kamus sudah 4 kali mati
Written By zabidi on Sunday, 1 February 2015 | February 01, 2015
Labels:
Artikel
Post a Comment