Headlines News :
Home » » Kerajaan perlu bantu ringankan beban ibubapa

Kerajaan perlu bantu ringankan beban ibubapa

Written By zabidi on Monday 12 January 2015 | January 12, 2015

Oleh MOHD ARIF JUHANI 


MENJELANG musim persekolahan sesi 2015/2016, tidak banyak berita gembira yang mampu meredakan kerunsingan ibu bapa bagi menyediakan kelengkapan pendidikan yang sempurna untuk anak-anak mereka.

Walaupun harga minyak dan diesel dilaporkan turun pada malam 1 Januari lalu, namun cabaran yang terpaksa dipikul oleh ibu bapa ternyata bertambah dan lebih memeritkan yang bermula dengan perbelanjaan harian sehingga kekalutan membayar kos pendidikan anak-anak.

Ansuran kereta dan rumah, sewa rumah yang semakin meningkat, perbelanjaan petrol, tol, barang dapur dan sebagainya merupakan tekanan kewangan yang dihadapi setiap hari.

Situasi ini pula tentulah lebih dirasai oleh keluarga yang mencari rezeki di bandar besar serta mempunyai bilangan anak yang ramai tetapi mempunyai pendapatan yang cukup sederhana dan rendah.

Tidak sukar juga sebenarnya untuk mendengar keluhan ibu bapa berkenaan soal ini kerana rata-ratanya, penghuni bandar ketika ini memang berkongsi masalah yang sama seperti yang boleh dilihat melalui media sosial.

Beban bermula sejak daftar tadika Berdasarkan perbualan Harakah dengan beberapa ibu bapa yang sempat ditemui, beban kewangan yang dipikul bukan bermula ketika anak-anak masuk sekolah rendah atau menengah seperti yang disiar dalam media.

Sebaliknya, kata mereka, masalah itu sudah dihadapi sejak anak-anaknya mula didaftarkan ke tadika lagi.

Mereka yang enggan dikenali memberitahu, bagi yuran tadika sahaja sudah ada yang mencecah RM1,300 hanya untuk yuran tahunan meliputi pelbagai keperluan.

Berbeza pula de ngan yuran bulanan yang mencecah anggaran sekitar RM200 hingga RM500. Itu pula masih belum diambil kira lagi dengan keperluan yang lain tidak termasuk buku-buku, alat tulis dan sebagainya.

Tekanan ini menyebabkan ada dalam kalangan mereka terpaksa menangguhkan dahulu bayaran bagi memberikan keutamaan dalam perbelanjaan bagi perkara-perkara lain yang lebih mustahak.

Mungkin juga ada yang menyoal mengapa anakanak itu tidak didaftarkan sahaja ke tadika yang lebih murah milik kerajaan atau terus masuk pra-sekolah?

Bagi ibubapa, mereka sudah menimbang hal berkenaan sedalam-dalamnya sebelum sesuatu keputusan diambil tindakan.

Bagi menyediakan masa depan yang lebih terjamin khususnya sebelum melangkah ke alam sebenar pendidikan, tentulah mereka mahukan anak mereka dibentuk dalam silibus pendidikan yang lebih baik dan teratur.

Kata ibu bapa itu, silibus dalam tadika yang dikendalikan kerajaan kebanyakannya lebih bercorak ringan dan hiburan dengan aktiviti menyanyi dan sebagainya.

“Cukuplah dengan hiburan yang berlambak dalam televisyen hari ini yang memalukan bangsa kita sendiri. Tidak perlulah anak-anak kita ini dibiasakan pula dengan hiburan ketika masih bersekolah,” tegas salah seorang ibu yang mempunyai dua orang anak yang bersekolah.

Menurut mereka, pra-sekolah pula tidak terdapat di semua sekolah rendah yang berada di bandar-bandar besar dan terhad kepada keluarga yang berpendapatan tertentu sahaja.

Memanjangkan perbincangan, kata mereka, masalah lain yang terpaksa ditanggung lagi adalah berkenaan yuran pengangkutan van untuk mengambil dan menghantar anak-anak ke sekolah saban hari.

“Saya pernah juga tanya pemandu van itu adakah yuran akan naik tetapi dia enggan menjawab. Jadi saya fikir memang akan naik juga,” katanya membuat kesimpulan.

Sekolah pagi, petang Bagi anak yang bersekolah rendah pula, perbelanjaan yang mesti ditanggung oleh ibubapa juga nampaknya tidak berkurang sebaliknya semakin bertambah.

Keperluan untuk memastikan anak-anak mendapat pendidikan Islam yang mencukupi menyebabkan mereka mendaftarkan anak ke sekolah agama pada waktu petang selepas sesi persekolahan.

Isunya disini bukanlah yuran pendaftaran sekolah agama sahaja, tetapi juga yuran transit yang perlu dibayar sebelum anak-anak dihantar ke sekolah agama pada waktu petang.

Bagaimana pula dengan ibubapa yang berkeras mahu anak-anak masuk kelas tambahan, kelas mempertahankan diri dan sebagainya.

Walaupun itu hanyalah sekadar pilihan tetapi soal itu masih perlu diambil berat oleh kerajaan.
Jika dahulu, tanggungjawab mencari rezeki ini terletak pada bahu suami semata-mata, sekarang suami isteri terpaksa mengerah tenaga untuk memastikan kehidupan yang dibina bersama anak-anak selesa.

Berpendapatan sekitar RM2,500 hingga RM3,000 di bandar besar pula bukanlah sesuatu yang membanggakan apatah lagi bagi mereka yang sudah mempunyai berumah tangga dan anak.
Setiap sen perbelanjaan harian dan bulanan terpaksa dihitung dengan teliti bagi memastikan dapur rumah mereka masih berasap pada hujung bulan dan ada baki gaji sebagai simpanan.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, berdasarkan laporan Bank Dunia, golongan miskin di Malaysia adalah mereka yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,600 sebulan.

Mungkin kerana inilah bukan lagi sesuatu yang janggal sekiranya ada ibubapa yang terpaksa membuat dua kerja bagi memastikan mereka terus mampu bertahan hidup di kota raya.
Apa yang mungkin lebih mengejutkan adalah kenya taan Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (Emas) dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Mohamad Azhar Hashim seperti yang dilaporkan Bernama.

Beliau berkata tiada jaminan untuk hidup selesa di bandar besar walaupun berpendapatan RM10,000. Jika pendapatan ini pun masih tiada jaminan, bagaimana pula dengan ibu bapa yang kerja sebagai penjawat awam atau swasta biasa?

Walaupun beliau berkata begitu bagi mengulas isu pemberian subsidi minyak oleh kerajaan sebelum ini, tetapi untuk konteks penyediaan persekolahan anak-anak, pendedahan itu ternyata relevan untuk digunakan.

Mungkin juga ada yang menganggap isu bebanan ibubapa dan perbelanjaan persekolahan ini mempunyai musim dan hanya berlegar dalam media dan perbualan harian untuk beberapa minggu sahaja sebelum memasuki bulan yang baharu
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER