Lebih menyedihkan apabila dilaporkan lima buah bukit berhampiran tasik berkenaan hampir botak ditarah untuk aktiviti perlombo­ngan bijih besi. Apabila situasi ini berlaku, siapa yang harus dipersalahkan?

Apa yang lebih dikesali apabila dilaporkan terdapatnya surat kebenaran yang dikeluarkan oleh pihak tertentu yang memberi laluan untuk aktiviti penarahan bukit dilakukan oleh pihak pelombong.

Inilah jadinya apabila amanah yang sepatutnya dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab sewenang-wenangnya dikhianati dek dikaburi wang ringgit tanpa memikirkan implikasi buruk yang bakal timbul daripada tindakan yang dilakukan.

Perkara ini tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi melibatkan kawasan tasik semula jadi yang mempunyai kekayaan rizab biosfera yang tinggi dan berpotensi besar dalam prospek penyelidikan negara. Sebaliknya, ia perlu dipelihara dengan sebaik mungkin agar kelangsungan flora dan fauna serta tumbuh-tumbuhan akuatik di kawasan ber­kenaan terus terpelihara.

Jika persekitaran tasik terus dibiarkan rakus diterokai, ia pasti­nya akan merencatkan aktiviti penyelidikan di kawasan berkenaan. Malah, aktiviti penarahan bukit yang dilakukan sedemikian rupa turut memperlihatkan kegagalan banyak pihak dalam memastikan kelestarian kawasan tersebut dikekalkan sehinggakan pihak pelombong sewenang-wenangnya bergiat aktif tanpa mempedulikan nasib alam sekitar yang diperjudikan.

Perhatian serius dan komitmen semua terutamanya pihak berkuasa negeri diperlukan bagi menyelamatkan Tasik Chini daripada terus dinodai. Aktiviti penarahan bukit untuk tujuan perlombongan bijih besi perlu dihentikan segera. Sementara itu, usaha dan fokus terhadap aktiviti pemulihan Tasik Chini perlu dipercepatkan agar keadaan tidak menjadi bertambah buruk.

Justeru, dalam menggerakkan usaha ini satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi meneliti dan membangunkan pelan jangka panjang sebagai inisiatif awal dalam memulihkan semula Tasik Chini.

Dalam konteks ini, pendekatan yang paling berkesan perlu diambil bagi menangani isu dan permasalahan ini sehingga ke akar umbi, selain pelbagai aspek perlu diperhalusi dan ditangani bagi menutup episod duka ini dan memastikan perkara sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Siasatan terperinci juga perlu dilakukan bagi mengenalpasti dalang yang terlibat terutamanya dalam memberi kebenaran untuk aktiviti berkenaan dijalankan tanpa sebarang pemantauan sehingga me­ngundang kemusnahan yang teruk terhadap ekosistem Tasik Chini.

Operasi secara bersepadu juga perlu dilakukan bagi membolehkan akar umbi kepada permasalahan dikenalpasti agar tiada lagi ruang untuk aktiviti-aktiviti seumpama ini bertunas pada masa hadapan dalam memastikan kelestarian ekosistem Tasik Chini terus terpelihara.

Aktiviti pemulihan mungkin boleh dimulakan dengan mengorek semula tasik yang cetek akibat proses sedimentasi (pemendapan kelodak yang terkumpul di dasar tasik) ekoran hakisan. Langkah seterusnya adalah melakukan aktiviti penanaman semula tumbuh-tumbuhan bagi mengembalikan semula keindahan landskap hijau di sekitar tasik berkenaan walaupun ia tidak mungkin dapat mengembalikan nilai keasliannya.

Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilakukan secara berterusan dan tidak hanya hangat-hangat tahi ayam dan lesu apabila isu ini tidak lagi menjadi tumpuan di dada-dada akhbar dan media massa. Sebaliknya, ia perlu diberi perhatian berterusan oleh semua pihak terutamanya dalam melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT dalam memakmurkan alam sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dia­lah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya” (Surah Hud, ayat 61).

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)