Headlines News :
Home » » Internet di Cuba untuk orang kaya

Internet di Cuba untuk orang kaya

Written By zabidi on Wednesday 24 December 2014 | December 24, 2014


Ketika memegang telefon pintar dan tablet, mereka kelihatan seperti remaja biasa di seluruh dunia.
Bagaimanapun, golongan remaja di Cuba terpaksa melalui pelbagai rintangan untuk mendapatkan kemudahan internet. Kadang-kadang mereka terpaksa berada di kawasan yang dikuasai pihak komunis.

Di ibu kota Havana, kelompok golongan muda Cuba dilihat duduk secara berkumpulan berdekatan hotel-hotel, bangunan kedutaan dan pusat perniagaan dalam usaha untuk mendapatkan perkhidmatan internet.

“Sesetengah daripada mereka dapat mengakses internet selepas memperoleh kod laluan daripada rakan-rakan yang bekerja di sini. Namun, saya tidak tahu bagaimana individu yang berjaya memecahkan kata laluan dengan perisian khas,” kata seorang saksi yang tidak mahu namanya didedahkan.

Dikawal ketat

Di sebatang jalan kecil berhampiran sebuah hotel, beberapa orang anak muda kelihatan sedang menggunakan gajet masing-masing selepas memperoleh talian internet yang dikongsi dengan rakan sekelas lain di kawasan resepsi hotel.

Situasi itu cukup untuk menggambarkan bahawa isyarat jalur lebar internet sangat sukar untuk diperoleh dan didambakan remaja di Cuba. Kemudahan internet dikawal ketat dan hanya untuk kegunaan syarikat, universiti serta institusi.

Individu yang memiliki profesion seperti wartawan, artis dan doktor mempunyai kelebihan untuk melayari internet dengan talian tertentu.

Menurut Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), hanya 3.4 peratus daripada isi rumah di Cuba mempunyai kemudahan internet pada tahun 2013. Sejak bulan Jun tahun lalu, pihak berkuasa Cuba cuba memberikan kemudahan akses internet di kepulauan yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 11.3 juta orang itu dengan membuka kira-kira 100 pusat internet.

Namun, kadar AS$4.5 (RM15.70) untuk sejam adalah terlalu mahal untuk negara itu yang majoriti penduduknya berpendapatan purata sekitar AS$20 (RM70) sebulan itu. Sebelum ini, hanya hotel-hotel yang menawarkan perkhidmatan internet kepada orang ramai tetapi dengan kadar lebih tinggi iaitu AS$10 (RM34.90). Perkhidmatan itu hanya mampu digunakan oleh pengunjung dari luar negara.

Pembekal perkhidmatan telekomunikasi negara (ETECSA) tidak menawarkan perkhidmatan internet mudah alih kepada pelanggan, sementara rangkaian 3G hanya bagi pelawat dari luar negara yang menggunakan saluran perayauan selular dengan sambungan tidak konsisten.

ETECSA kini membenarkan pelanggan untuk mengakses e-mel mereka menggunakan telefon pintar tetapi menerusi domain @nauta.cu.

Syarikat itu juga membuka perkhidmatan untuk menghantar gambar dari telefon ke e-mel. Terdapat konsesi kecil di negara itu yang membenarkan pengunjung luar dengan telefon pintar berjenama menggunakan rangkaian internet.

“Cuba mahu kekal sebagai sebuah negara yang paling terbatas dalam kebebasan penggunaan internet,” kata pengarah projek untuk Kebebasan Internet, Sanja Tatic Kelly di NGO Freedom House, Amerika Syarikat (AS).

“Di sebalik penapisan dan sekatan teknikal sofistikated yang digunakan rejim penindas, pihak kerajaan Cuba mengehadkan jumlah pengguna bagi mendapatkan maklumat terutamanya melalui kekurangan teknologi dan kos terlalu tinggi,” katanya.

“Kerajaan Cuba juga mengehadkan jumlah pengguna daripada mendapatkan maklumat di internet dengan membiarkan teknologi itu pada paras mundur selain mengenakan kos yang terlalu tinggi,” katanya.

Ditapis

Pihak berkuasa Cuba menapis beberapa laman web seperti blog dan portal media yang menentang kepimpinan bekas Presiden, Fidel Castro, pornografi dan perisian Skype. Namun, Kelly memberitahu, jumlah laman web yang disekat amat sedikit berbanding negara-negara lain seperti China, Iran dan Arab Saudi.

Remaja yang celik teknologi menemui cara baharu untuk mengakses internet iaitu dengan memuat turut perisian yang boleh menyembunyikan Protokol Intenet (IP) bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Mereka yang tidak mahir dalam teknologi bergantung kepada paquete iaitu pemacu perisian yang penuh dengan filem cetak rompak, rancangan televisyen, muzik pop dan permainan yang dijual di pasaran gelap dengan harga beberapa dolar Amerika Syarikat (AS).

Pemerintah Cuba memberitahu, mereka perlu mengawal ketat penggunaan internet untuk melindungi pulau itu daripada serangan siber.

Timbalan Menteri Komunikasi, Wilfredo Gonzalez berkata, Havana menjadi mangsa serangan siber lebih 18 bulan dengan beribu-ribu alamat berdaftar di lebih 150 buah negara.

Namun, Kelly menegaskan, berdasarkan data daripada pakar-pakar keselamatan dalam talian Kaspersky Lab, Cuba berada di kedudukan 199 dalam senarai negara yang dilanda serangan balas siber. Negara nombor satu yang menjadi sasaran adalah Rusia. – AFP


Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER