Oleh DR. KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
Ketika ini kebanyakan negeri di Malaysia telah mempunyai calon qari dan qariah untuk mewakili
negeri ke musabaqah peringkat kebangsaan. Kemeriahan membaca al-Quran dalam kalangan qari secara bertarannum amat dirasai peminatnya.
Bakat yang ada pada pembaca al-Quran bukanlah lesen untuk membaca al-Quran tanpa guru. Seni bacaan al-Quran perlu kepada latihan dan tunjuk ajar yang berterusan daripada guru yang berkebolehan.
Kebiasaannya, guru akan memberi tunjuk ajar cara bertarannum dengan kesesuaian makna ayat. Jika ayat yang dibaca adalah berkaitan azab sudah tentu tarannum yang dialunkan juga adalah bernada sedih. Manakala, sekiranya kandungan ayat bermaksud gembira yang berupa nikmat syurga atau kemenangan sudah tentu nada tarannumnya bersifat ceria dan gembira.
Begitu pun terdapat juga qari yang menekankan lagu semata-mata tanpa melihat kepada maksud ayat. Maka berlakulah ayat yang bermaksud azab dibaca dengan nada gembira dan ayat yang bermaksud nikmat syurga dibaca dengan sedih.
Ulama Quran sejak dulu lagi selalu berbincang tentang keharusan membaca al-Quran secara bertarannum. Ada yang mengharuskan dan ada yang melarang. Ia menjadi harus jika sekiranya semua kaedah lagu dibaca dengan mengikut hukum tajwid. Ini bermaksud semua lenggok suara atau disebut burdah dibaca tidak melebihi harakat dalam ilmu tajwid.
Timbul permasalahan apabila ada penceramah yang membaca satu hadis yang bermaksud orang pertama yang dibicarakan pada hari akhirat ialah pembaca al-Quran, ditanya apakah yang kamu buat?
Dijawab aku belajar ilmu dan membaca al-Quran. Malaikat menjawab, kamu dusta, kamu belajar ilmu untuk dikatakan kamu seorang yang alim dan kamu membaca al-Quran untuk dikatakan kamu seorang qari. Lalu dia dihumbankan ke dalam neraka.
Pencerahannya ialah hadis riwayat al-Nasaei dalam sunannya itu perlu dibaca secara keseluruhan. Hadis tersebut bermula dengan lelaki yang syahid yang ditanya bagaimana matinya lalu dijawab.
Malaikat berkata kamu dusta tetapi kamu berjuang untuk dikatakan berani dan dia dihumban ke dalam neraka. Kedua lelaki yang belajar ilmu dan al-Quran dan ketiga, lelaki yang dikurniakan harta yang banyak ditanya bagaimana kamu beramal. Lelaki tersebut menjawab aku berinfak di semua tempat. Malaikat menjawab kamu dusta, kamu berinfak untuk dikatakan pemurah dan dia dihumban ke dalam neraka.
Ketiga-tiga lelaki di dalam hadis ini mempunyai niat yang tidak ikhlas kepada Allah. Walaupun mereka beramal dengan amalan yang baik tetapi niat mereka tidak ikhlas dengan melakukan untuk tujuan nama, bermegah dan dipuji oleh makhluk.Justeru, amalan mereka tidak diterima.
Home »
Bicara Islam
» Seni bacaan al-Quran
Seni bacaan al-Quran
Written By zabidi on Wednesday, 7 May 2014 | May 07, 2014
Labels:
Bicara Islam
Post a Comment