Headlines News :
Home » » Semangat Nasha Aziz luntur?

Semangat Nasha Aziz luntur?

Written By zabidi on Wednesday, 14 May 2014 | May 14, 2014

Oleh IFQDAR RAHMAN

PELAKON sensasi, Nasha Aziz, 44, yang mendukung watak utama teater Di Bawah Lindungan
Kaabah (DBLK) arahan Rosminah Tahir mengakui keyakinannya goyah apabila mendapat tahu pengarah tersebut jatuh sakit.

Seminggu lalu, sebaik mendapat tahu Rosminah terlantar sakit disebabkan menghidapi angin ahmar, Nasha hilang semangat dan berasa kurang yakin apabila tugas pengarahan diambil oleh orang lain.

Disebabkan itulah, menurut Nasha, dia sanggup menjemput Rosminah di rumahnya untuk datang ke Istana Budaya bagi meneruskan latihan DBLK dan menghantarnya pulang sejurus tamat sesi tersebut.

“Saya sedih apabila mendapat tahu Kak Ros (Rosminah) sakit dan tidak boleh hadir ke sesi latihan.

 Saya jadi tak keruan dan tidak bersemangat. Sebab itulah saya sanggup jemput dan hantarnya pulang.

“Saya hanya percayakan Kak Ros untuk mengarahkan teater ini. Penglibatan saya dalam teater ini juga disebabkan dia," katanya sambil menitiskan air mata ketika ditemui selepas majlis pelancaran teater DBLK, di Istana Budaya, baru-baru ini.

Terdahulu, Rosminah mendapat rawatan di Pusat Perubatan Ampang Puteri pada 20 April lalu dan keadaannya kembali stabil dan dibenarkan keluar pada 22 April lalu.

Sementara ketiadaan Rosminah, urusan pementasan dan sesi latihan diambil alih sepenuhnya oleh penerbit teater, Siti Rohayah Attan serta pengarahan dilakukan oleh penolong pengarah, Azhar Zainal.

Di samping itu, Nasha menjelaskan bahawa dia menerima tawaran untuk terbabit dalam teater tersebut apabila memikirkan kerjasama menerusi teater pertamanya bersama produksi CTRA Production, Lantai T. Pinky berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Saya tahu, mana-mana produksi pun ada masalah tertentu. Akan tetapi CTRA Production begitu profesional dan bijak dari segi pengurusan.

“Selain itu, ia juga disebabkan teater ini diadaptasi daripada novel hebat ulama terkenal Indonesia iaitu Profesor Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka," jelasnya.

Mengulas mengenai wataknya sebagai Zainab, dia memberitahu bahawa ia terlalu sarat dengan kisah percintaan yang menyayat hati.

“Saya akan membawa watak Zainab, cerita ini sangat berat dan saya akui ini adalah cinta saya tahun 2014," ujarnya ringkas.

Antara pelakon lain yang terlibat dalam pementasan DBLK ialah Adi Putra, Fizo Omar, Dafi Ismail, Elfira Loy, Yasmin Hani, Liza Abdullah dan ia mula dipentaskan pada 9 hingga 18 Mei

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER