Skip to main content

Membendung buli daripada kronik

Oleh

RASANYA masih baru lagi saya menzahirkan kebimbangan mengenai isu buli dan keganasan yang semakin meningkat dalam kalangan masyarakat ter­utamanya remaja dan belia.

Kebanyakan mereka di bawah umur selalunya terlibat dalam jenayah kerana pengaruh negatif rakan sebaya, kurang bimbingan ibu bapa, pengaruh buruk internet dan unsur-unsur gengste­risme.

Namun apa yang lebih membimbangkan saya masalah buli dan keganasan kini melibatkan semua peringkat dalam masyarakat kerana pelaku juga termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah, remaja dan orang dewasa yang bekerja serta mereka yang berada dalam institusi ketenteraan.

Kita mesti memastikan Malaysia tidak menjadi ‘negara pembuli’ kerana apa yang berlaku sejak kebelakangan ini seolah-olah ­menunjukkan negara mempunyai lebih ramai individu sadis yang suka bertindak ganas seperti menyeksa orang lain dan menyaksikan penderitaan mereka.

Buli dan keganasan harus dipantau kerana perlakuan itu kini semakin meningkat dalam masyarakat. 

Pada umumnya, hampir tidak ada hari berlalu tanpa kes keganasan yang sama ada di rumah, sekolah atau di tempat lain.

Dalam insiden terbaharu pada Jumaat 29 September lalu, dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia di bilik tahanan di Sungai Wangi dekat Sitiawan, Perak selepas mereka dipercayai diseksa. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai pembunuhan berdasarkan laporan bedah siasat mangsa - Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailal Tuiman Mohd. Sukri, 26.

Dua lagi kakitangan TLDM turut membuat laporan polis dan mendakwa mereka diseksa di unit tahanan yang sama dan sehingga kini polis menangkap lima anggota TLDM berhubung dua kes tersebut.

Pada 9 Jun lalu, negara dikejutkan dengan kes T. Nhaveen, 18, yang dikatakan diserang, dibakar dan diliwat oleh sekumpulan remaja sekitar tengah malam di sebuah padang di Jalan Kaki Bukit, Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

Kejadian itu berlaku kurang dari dua minggu selepas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun, selepas diserang oleh sekumpulan pelajar universiti di Serdang.

Pada 24 Ogos, seorang budak lelaki berusia tujuh tahun juga meninggal dunia, dua hari selepas dia didakwa diserang oleh seniornya yang berusia 12 tahun di sebuah asrama sekolah rendah di Kapit, Sarawak.

Kes-kes melibatkan buli dan keganasan di sekolah, institusi pendidikan dan ketenteraan mesti dikaji dengan serius oleh pihak berkuasa dan masyarakat secara menyeluruh untuk mencari penyelesaian. Apa yang berlaku ini bertentangan dengan matlamat negara untuk membentuk masyarakat penyayang de­ngan menyemai nilai-nilai positif dalam kalangan masyarakat.

Masanya telah tiba bagi kerajaan untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas peringkat ter­tinggi khusus membincangkan punca,  cadangan dan strategi untuk menangani keganasan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat terutamanya golongan remaja dan belia

Di bawah inisiatif ini, kerajaan juga boleh menggerakkan sumbernya untuk menghentikan keganasan yang memberi kesan di semua peringkat masyarakat. Ini penting ekoran kes keganasan yang mengakibatkan kematian semakin menjadi-jadi. 

Statistik Kementerian Pendidikan menunjukkan terdapat 14,000 kes buli yang dilaporkan antara 2012 dan 2015 tetapi terdapat banyak kes lagi yang mungkin tidak dilaporkan. Saya percaya kita juga harus melihat dengan serius isu kesihatan mental yang kian merosot dan bagaimana ia membawa kepada kejadian buli dan ganas ini.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015 menunjukkan bahawa kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, atau 29.2 peratus daripada penduduk, mengalami pelbagai masalah mental. Jumlah ini membimbangkan kerana ia menunjukkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding tahun 2006.

Lebih membimbangkan, ma­salah itu turut melibatkan pelajar kerana nisbah mereka yang menghadapi masalah mental meningkat dari satu dalam 10 orang pada 2011 kepada satu daripada lima orang pada 2016. Pakar-pakar menegaskan bahawa tekanan dan kemurungan sebagai penyebab utama masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Faktor penyumbang lain kepada isu kesihatan mental termasuk masalah keluarga, buli secara fizikal dan siber serta tekanan belajar yang diberikan oleh ibu bapa dan guru. Persoalan yang menarik adalah sama ada negara kita sudah melakukan secukup­nya untuk mempromosikan pembangunan kesihatan mental yang baik di negara ini? Jawapan saya jelas - Tidak.

Saya percaya budaya keganasan perlu ditangani menggunakan pendekatan holistik, dengan sokongan daripada semua pihak termasuk ibu bapa, ahli psikologi dan pertubuhan bukan kerajaan.

Marilah kita menggerakkan seluruh negara melalui program mampan untuk mempromosikan kebaikan dan belas ihsan di semua institusi pendidikan kita dan menolak semua bentuk keganasan.
Kita tidak boleh menjadi ‘negara pembuli’ tetapi harus membina negara yang berasaskan kasih ­sayang, kebaikan dan sikap saling menghormati.

Jika ingin melaksanakan hukuman terhadap sesiapa, ia mestilah berdasarkan proses undang-undang dan mengikut prosedur operasi standard yang tidak akan me­ngundang penyalahgunaan kuasa.

Amat malang jika kita gagal menangani isu ini kerana ia akan berlarutan dan menggugat ke­amanan apabila negara dipenuhi dengan mereka yang tidak mempunyai perasaan belas ihsan, hormat menghormati dan mengasihi di antara satu sama lain.

Saya percaya sikap tidak sabar dalam melakukan sesuatu, terutamanya apabila berhadapan dengan situasi yang kurang me­nyenangkan seperti berada di dalam kesesakan jalan raya, antara petunjuk bahawa sifat-sifat positif su­dah mulai terhakis dalam ma­syarakat.

Komen-komen negatif yang dilemparkan di alam maya termasuk penghinaan, cabar-mencabar serta berbaur perkauman juga petunjuk jelas terdapat ke­pincangan dalam masyarakat kita.

Walaupun ada yang berpendapat perlakuan sebegini biasa dan isu remeh, saya amat khuatir ia akan merebak menjadi lebih kronik apabila nilai-nilai negatif ini semakin sebati dalam jiwa rakyat Malaysia.

Tidak dapat saya bayangkan apa yang akan terjadi kepada negara apabila rakyat tidak lagi berfikir panjang setiap kali ingin melepaskan kemarahan atau me­ngambil tindakan dengan mem­belakangi undang-undang.

Kita tidak perlu tunggu sehingga kepincangan ini bertukar menjadi sebahagian imej masyarakat Malaysia kerana tidak ada guna­nya lagi untuk kita bertindak apabila ‘nasi sudah menjadi bubur’.



TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Comments

Popular posts from this blog

Diabetes boleh dikawal tanpa sebarang ubat

Mengapa tragedi masih berulang?

Mengapa telefon pintar menjadi panas?