Headlines News :
Home » » Telefon: Masalah atau manfaat?

Telefon: Masalah atau manfaat?

Written By zabidi morad on Saturday, 24 January 2015 | 3:50 pm

Oleh Paratan Rajagobal


Pengguna telefon bimbit meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan disebabkan harganya yang jauh lebih murah selain bentuknya lebih kecil dan senang dibawa ke mana-mana. Di mana-mana saja kelihatan orang asyik menatap skrin sentuh telefon pintar sambil menunjukkan ekspresi wajah yang sukar untuk diteka, seolah-olah tiada sesiapa yang memerhatikan mereka di situ.

Kegilaan terhadap komunikasi hujung jari ini mengakibatkan gejala ketagihan yang serius dalam kalangan masyarakat umum. Hari ini ramai di antara kita yang sentiasa mengemas kini status mereka dalam aplikasi sosial.

Kegilaan mengambil gambar sendiri melalui telefon pintar yang menjadi sangat popular sepanjang 2013 dan kini sehinggakan telah melahirkan generasi selfie. Kini ditambah dengan peralatan yang dipanggil monopod untuk menyenangkan pengguna untuk merakam gambar sendiri dari jauhnya.
Kajian Sekolah Harvard Business mendapati 70% daripada responden mengakui akan memeriksa telefon pintar selepas bangun daripada tidur, 56% akan memeriksa telefon pintar 30 minit sebelum tidur, 48% memeriksa untuk urusan kerja walaupun bercuti dan 44% mengakui mengalami keresahan dan tidak keruan apabila telefon mereka hilang dan tidak diganti dengan cepat.

Walaupun, terdapat pelbagai manfaat daripada telefon ia turut mendatangkan masalah. Remaja gemar berbual dengan rakan sebaya sehingga lewat malam. Ini menyebabkan masa untuk mengulang kaji pelajaran terbuang begitu sahaja. Apabila lewat tidur dengan perbualan dengan rakan-rakan, tertentulah masa tidur tidak mencukupi. Ini pasti menjejaskan prestasi keputusan sekolah mereka.

Akibatnya, mereka tidak mampu memberikan tumpuan yang sepenuhnya semasa guru sedang mengajar. Sikap suka bertangguh akan mula bertapak dalam jiwa kerana terlalu obses dengan telefon bimbit. Ini sekali gus menyebabkan prestasi mereka merudum, apatah lagi jika mereka diberi ruang menggunakannya pada usia yang masih balasan tahun.

Lebih membimbangkan dengan penciptaan teknologi canggih, telefon bimbit menjadi alat menyebarkan bahan lucah. Dengan kemampuan telefon bimbit menghantar dan menerima mesej SMS dan MMS, segelintir pelajar sanggup merakam dan memuat turun klip video menyimpan dan mengedarkan foto lucah dan seumpamanya. Fungsi kamera dengan perakam video yang bertujuan merakam peristiwa untuk meninggalkan kenangan disalahgunakan.

Remaja-remaja ini menjadi mangsa individu yang tidak bertanggungjawab seperti teman lelaki mereka yang telah memuat turunkan gambar atau video atau gambar lucah mereka di Internet apabila berlakunya perpisahan. Sesetengah mesej lucah yang disebarkan boleh menjatuhkan maruah dan harga diri seseorang remaja.

Penggunaan SMS amat popular dalam kalangan remaja. Hal ini demikian kerana mereka mudah berkongsi maklumat tentang sesuatu hal. Namun penggunaan bahasa singkatan semasa SMS member kesan buruk terhadap pembelajaran remaja di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Hal ini kerana mereka menggunakan bahasa singkatan dan bahasa rojak semasa menjawab soalan peperiksaan dan ini boleh menyebabkan mereka mendapat keputusan yang rendah contohnya dalam peperiksaan Bahasa Malaysia. Selain itu, penggunaan bahasa singkatan secara meluas menyebabkan sesuatu bahasa, budaya dan identiti itu hilang.

Mengikut kajian, telefon akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses tumbesaran. Mereka juga gemar berbual dengan rakan sebaya sehingga lewat malam.ini menyebabkan kesihatan terjejas. Telefon bimbit tidak sesuai digunakan remaja kerana akan menjejaskan kesihatan mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh setiap pihak. Mencegah itu lebih daripada rawatan. Janganlah apabila kesihatan sudah terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah diingatkan berkali-kali tentang kesan gelombang telefon.

Penggunaan telefon bimbit juga menyebabkan masalah kewangan. Ada remaja sekolah yang sanggup mengikut perut semata-mata untuk memastikan telefon mereka mempunyai baki kredit prabayar. Selain itu, remaja yang sanggup berbohong terhadap ibu bapa semata-mata untuk mendapatkan duit poket yang lebih. Secara purata, seorang remaja memerlukan antara RM20 hingga RM30 sebulan untuk membiayai nilai tambah kad prabayar mereka.

Ini tentulah dianggap suatu pembaziran kerana pesanan SMS dan perbualan berkenaan tidak penting. Ini juga menjadikan segelintir pelajar kita menjadi pencuri. Maka ibu bapa yang bertanggungjawab dan berdisiplin tidak memberi duit yang lebih kepada anak mereka ini menyebabkan anak mereka sebagai pencuri.

Kini, telefon bimbit mengatasi segalanya. Di tangan mesti ada telefon. Kalau tiada, rasa janggal. Sekiranya pergi kerja tetapi telefon tertinggal, sanggup berpatah semula untuk mendapatkannya. Kadang-kadang, biar diri sendiri yang terjatuh, janji telefon dapat diselamatkan. Begitulah penangan telefon pintar. Bagaimanapun, teknologi komunikasi seperti telefon bimbit bergantung kepada niat penggunanya. Sebagai remaja, kita harus bijak menggunakan peranti teknologi maklumat ini dan tidak menyalahgunakannya untuk tujuan yang sia-sia. Remaja harus menjalani kehidupan yang normal dan bukan hanya bergantung kepada satu-satu teknologi saja.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER