Headlines News :
Home » » Rohingya : PBB gesa Myanmar buka laluan

Rohingya : PBB gesa Myanmar buka laluan

Written By zabidi on Tuesday, 6 May 2014 | May 06, 2014

NEW YORK  -  Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Myanmar, Vijay
Nambiar semalam berkata, kerajaan Myanmar perlu membuka laluan kepada etnik Rohingya, yang dianggap sebagai pendatang haram di negara itu, untuk mendapatkan kerakyatan sebagai penyelesaian kepada konflik agama dan etnik di negara itu.

Beliau berkata, keselamatan penduduk Rohingya akan terus terancam, jika tindakan tersebut tidak diambil, dan pada masa sama memberi kesan kepada reputasi Myanmar pada peringkat antarabangsa.
Nambiar berkata, status penduduk Islam di negeri Rakhine, Myanmar masih belum diselesaikan, walaupun banyak janji diberikan oleh kerajaan Myanmar untuk mengambil tindakan awal bagi menyediakan sijil kelahiran sementara, pendaftaran kelahiran dan membenarkan etnik Rohingya bergerak bebas.
“Keperluan paling penting untuk penduduk Islam di Rakhine adalah mengesahkan status kewarganegaraan mereka dan mendapatkan Kad Pendaftaran Nasional daripada kerajaan (Myanmar) dan kemudian memberi kerakyatan kepada mereka, bagi membolehkan penduduk Rohingya bergerak bebas di negara itu dan mendapat pasport untuk ke luar negara,'' katanya ketika berucap di Institut Kedamaian Antarabangsa, di sini.
Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha, menganggap etnik Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan menafikan hak mereka di negara itu, walaupun kebanyakan mereka telah menetap di Myanmar sejak beberapa generasi lalu.
Penduduk Rohingya sejak beberapa tahun lalu menjadi sasaran serangan kumpulan samseng beragama Buddha yang menyaksikan lebih 280 orang dibunuh dan 140,000 orang lagi penduduk terpaksa melarikan diri.
Myanmar selesai menjalankan bancian penduduk tiga minggu lalu, namun penduduk Rohingya tidak dimasukkan dalam bancian tersebut kerana mereka tidak dibenarkan mendaftar diri sebagai penduduk daripada etnik tersebut.
Nambiar berkata, terdapat banyak elemen dalam masyarakat Islam di negeri Rakhine yang bersedia untuk bergerak ke arah penyelesaian itu.
“Saya rasa ia adalah cara yang baik ke arah melaksanakan objektif itu dengan segera dan kemudian menggunakan status itu untuk bergerak ke arah mewujudkan perlembagaan politik yang akan berlaku dalam mana-mana proses demokrasi," katanya. - AGENSI
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER