Headlines News :
Home » » Penggunaan Gajet mampu akibatkan Kanak-kanak jadi kurang aktif

Penggunaan Gajet mampu akibatkan Kanak-kanak jadi kurang aktif

Written By zabidi on Tuesday 6 May 2014 | May 06, 2014

Kanak-kanak sepatutnya melakukan aktiviti pembelajaran menggunakan pen dan kertas serta
melakukan aktiviti fizikal di luar rumah namun kini mereka terlampau kerap menggunakan skrin sesentuh sebagai aktiviti harian mereka.

Namun terfikirkah anda sama ada gajet seperti ini sesuai atau tidak untuk kanak-kanak?
Kanak-kanak yang terlalu terdedah kepada teknologi berpotensi untuk mengalami masalah motor (pergerakan fizikal) dan kurang terdedah dengan cahaya matahari.

Kaji Selidik Pemakanan Asia Tenggara (SEANUTS) mendapati satu dalam 20 kanak-kanak Malaysia mengalami kurang berat badan, satu dalam lima kanak-kanak adalah obes dan hampir separuh daripada populasi mereka rendah vitamin D dan tidak memenuhi keperluan tenaga harian.

Kanak-kanak mungkin kelihatan sihat atau kelihatan terlebih makan tetapi mereka mungkin tidak mempunyai nutrien penting dalam badan untuk proses tumbesaran dan perkembangan sihat.

Ketua Jabatan Dietetik dan Pemakanan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Poh Bee Koon berkata, secara keseluruhan, kanak-kanak Malaysia membawa beban berganda malnutrisi yang merujuk kepada kekurangan nutrisi yang berterusan dan peningkatan kes berat badan yang berlebihan, obesiti atau penyakit kronik akibat pemakanan.

"Paling mengejutkan, kanak-kanak terutamanya di bandar kekurangan vitamin D sedangkan kita di Malaysia mendapat cahaya matahari yang banyak untuk membantu menghasilkan vitamin D secara semula jadi," katanya dalam Forum SEANUTS : Bringing Health and Nutrition Back to Malaysian Children anjuran Dutch Lady Malaysia di The Theater Garden, baru-baru ini.

Katanya, salah satu faktor mungkin disebabkan kebanyakan ibu bapa tidak membenarkan anak-anak mereka bermain di luar kerana risau tentang keselamatan anak-anak mereka apabila berada di luar rumah memandangkan pelbagai kes jenayah berlaku di persekitaran mereka.

"Ada juga ibu bapa yang tidak mahu anak mereka terdedah kepada cahaya matahari kerana risaukan perubahan warna kulit. Perkara ini amat membimbangkan kerana sepatutnya kanak-kanak perlu didedahkan kepada sumber semula jadi untuk tumbesaran mereka," ujarnya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanak-kanak dan remaja yang berumur antara lima hingga 17 tahun perlu melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 60 minit setiap hari.

Apabila digabungkan dengan tabiat makan yang sihat, aktiviti fizikal boleh membantu mencegah penyakit kronik, termasuk sakit jantung, kanser dan strok yang menjadi tiga punca utama kematian di Malaysia.

"Jika anak sangat aktif dan sukar dikawal, biarkan sahaja. Kanak-kanak yang aktif adalah normal dan mempunyai perkembangan otak yang bagus. Ibu bapa janganlah terlalu risau. Kalau jatuh, dia akan bangun dan main semula. Elakkan terlalu banyak perkataan ‘jangan’ dan ‘duduk diam’," tambahnya,

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Dr. Mehander Singh berkata, aktiviti fizikal adalah penentu utama penggunaan tenaga yang dihasilkan melalui pengambilan pelbagai makanan dan menjadi asas kepada keseimbangan berat badan.

"Faktor-faktor risiko bagi penyakit kronik itu boleh bermula awal pada usia muda tetapi boleh dielakkan dengan mengamalkan tabiat makan yang sihat dan melakukan aktiviti fizikal secara tetap," katanya.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER