KUALA LUMPUR - Bahang bagi menghadapi kejohanan Piala Thomas 2014 semakin dirasai.
Hanya dua minggu sahaja lagi kejohanan tersebut akan bermula di New Delhi dan skuad badminton negara mensasarkan untuk menjadi juara Kumpulan C bagi memastikan laluan mereka mudah ke peringkat seterusnya, sekali gus dapat mengelak pertembungan dengan China di pusingan suku akhir.
Ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek (gambar) berkata, segala persiapan akhir telah dilakukan oleh mereka dan yakin bahawa pasukan negara sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan tersebut.
"Persediaan dari segi mental dan fizikal adalah antara perkara yang kami berikan tumpuan dalam usaha merealisasikan matlamat kami dalam misi membawa pulang Piala Thomas.
"Bagaimanapun, kami menghadapi sedikit masalah apabila pasukan beregu negara masih lagi tidak konsisten, namun itu tidak menggugat misi kami kerana kami masih mampu untuk memberi saingan kepada pihak lawan dan kami akan menghadapi mereka satu demi satu," katanya ketika dihubungi semalam.
Malaysia, yang kali terakhir merangkul kejuaraan berprestij itu pada 1992 di Kuala Lumpur, diletak dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, India dan Jerman manakala China berada di dalam Kumpulan D bersama-sama Taiwan, Rusia dan Perancis.
China dilihat mampu mempertahankan kejuaraan mereka berdasarkan senarai pemainnya, yang turut meletakkan juara dunia dan Olimpik, Lin Dan sebagai perseorangan keempat.
Kehadiran pemain nombor 58 dunia itu sudah pasti mendatangkan gerun buat semua pencabar mereka, termasuk Malaysia yang mungkin akan bertemu juara sembilan kali itu lebih awal jika hanya menamatkan saingan sebagai naib juara kumpulan.
Semalam, pasukan negara melakukan persiapan terakhir sebelum ke New Delhi apabila kesemua pemain Piala Thomas dan Uber telah menyiapkan visa di kedutaan India tanpa sebarang masalah. Mereka akan berangkat Khamis depan.
Post a Comment