Headlines News :
Home » » Kemenangan penuh drama

Kemenangan penuh drama

Written By zabidi on Tuesday, 6 May 2014 | May 06, 2014

KUANTAN - Malaysia mengha­ru­ngi pertarungan penuh drama apabila ketinggalan, bangkit dan

kemudian dikejar sebelum me­nyingkirkan pasukan No. 6 dunia, New Zealand menerusi penentuan pukulan penalti shoot-out 3-2 untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Hoki Cabaran Juara-juara 1 (CC1) di Stadium Hoki Indera Mahkota, semalam.


Anak-anak buah Muhammad Dharma Raj Abdullah dikejutkan seawal minit keempat apabila Steve Edwards menyempurnakan jari­ngan padang untuk meletakkan New Zealand mendahului 1-0.

Namun, semangat juang tinggi dan aksi kelas dunia yang ditunjukkan pemain-pemain negara me­nyaksikan empat gol berjaya diledak pada babak pertama bermula dengan jaringan penyamaan ketua pasukan, Azlan Misron pada minit ke-20 dan dua gol Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-23 dan 31.

Mohd. Fitri Saari terdahulu menyempurnakan gol ketiga pada minit ke-24 selepas menunjukkan skil hebat dengan menewaskan tiga pertahanan lawan, sebelum menewaskan penjaga gol, Devon Manchester.

Drama sebenar bagaimanapun bermula pada babak kedua apabila New Zealand bangkit menenggelamkan keriuhan lebih 1,000 penyokong tuan rumah dengan menyamakan kedudukan 4-4 menerusi hatrik Andy Hayward pada minit ke-45, 60 dan 70.

Debaran Malaysia tidak berakhir di situ. Tuan rumah ketinggalan 0-2 dalam penentu­an pukulan pe­nalti shoot-out, namun ketangkasan penjaga gol, S.Ku­mar menepis tiga percubaan la­wan memastikan pasukan negara akhir­nya menamatkan perlawanan yang amat mendebarkan itu sebagai pe­menang.
Jaringan penalti Malaysia di­sempurnakan oleh Faiz Helmi Jali, Firhan Ashari dan Shahril, manakala New Zealand meraih gol menerusi Inglis Hugo serta Hilton Blair.

"Kami mengharungi babak per­tama yang amat baik dengan memperoleh empat gol yang hebat. Meskipun memegang kelebihan tiga gol, saya beritahu pemain ketika rehat supaya jangan ambil mudah perlawanan ini dan bermain seperti biasa.

"Malang sekali, ia tidak menjadi. Kami memberi terlalu banyak ruang kepada lawan untuk me­nyerang dan terpaksa membayar dengan harga tinggi apabila melepaskan tiga gol.

"Malah pada penentuan pukulan penalti shoot-out kami ketinggalan 0-2, namun saya gembira kami akhirnya bangkit untuk memena­ngi perlawanan. Saya sangat bangga dengan pemain-pemain kami... mereka membuktikan kemampuan hari ini," kata Muhammad Dharma.

Sementara itu jurulatih New Zealand, Colin Batch turut memuji aksi anak-anak buahnya yang mempa­mer kebangkitan hebat pada separuh masa kedua, namun gagal menyempurnakan peluang pada penentuan pukulan penalti.

"Ia tidak mudah untuk bangkit selepas ketinggalan dengan jurang tiga gol. Saya sangat bangga dengan pemain-pemain kami.. mereka bangkit dan mencipta banyak peluang.

"Dalam penentuan pukulan pe­nalti, apa saja boleh berlaku. Kami sangat kecewa tewas dengan cara begini," ujar Batch.

Malaysia kini akan menempah pertemuan dengan Kanada pada separuh akhir selepas pasukan itu menyingkirkan Poland 3-2 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER