Headlines News :
Home » » Ke final selepas 12 tahun

Ke final selepas 12 tahun

Written By zabidi on Saturday 24 May 2014 | May 24, 2014

NEW DELHI - Malaysia hadir di New Delhi bersama pasukan yang dianggap paling lemah, namun
pemain-pemain negara membuktikan semangat juang tinggi berjaya me­ngatasi segala keraguan dengan me­langkah ke final Piala Thomas buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun selepas menundukkan juara 13 kali, Indonesia 3-0 malam tadi.

Malah, beberapa jam sebelum perlawanan, keyakinan bahawa peluang untuk merampas kejuaraan Piala Thomas buat kali pertama selepas 22 tahun cukup cerah setelah melihat Jepun mengejutkan gergasi dunia, China 3-0 turut menjadi motivasi tambahan buat pasukan negara.

Datuk Lee Chong Wei, Tan Boon Heong-Hoon Thien How dan Chong Wei Feng, semuanya memberi aksi terpuji biarpun terpaksa mengha­rungi perlawanan mendebarkan sebelum melakar kemenangan.
Chong Wei dipaksa berhempas pulas di set pertama sebelum menjinakkan Tommy Sugiartro 21-19, 21-13 untuk menghadiahkan mata semangat buat pasukan negara.

Selepas gagal menghadiahkan mata dalam pertemuan menentang Denmark di suku akhir, gandingan senior, Boon Heong-Thien How kembali menunjukkan taring dengan mengejutkan juara dunia dan pasa­ngan No. 1 dunia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 8-21, 23-21.
Daripada sekadar pemain simpanan pada penampilan sulung Piala Thomas di Wuhan, dua tahun lalu, Wei Feng sekali lagi menjadi wira dengan menghadiahkan mata kemenangan Malaysia selepas menumpaskan Dionysius Rumbaka 21-10, 21-17.

Bagi Chong Wei dan Wei Feng, mereka adalah tonggak penting yang membawa kepada kejayaan Malaysia ke perlawanan akhir apabila memenangi semua lima perlawanan setakat ini.

"Memang amat teruja apabila berjaya melangkah ke final sekali lagi. Saya tidak merasai pengalaman perlawanan akhir terakhir Malaysia dan gembira melihat pemain-pemain muda ini berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi.

"Selepas tiba di sini, ramai yang memandang rendah kemampuan Malaysia, apatah lagi kami dikatakan hadir sebagai pasukan paling lemah, namun hari ini kami membuktikan mereka silap dengan berjaya melangkah ke final.

"Saya tidak pernah anggap peluang Malaysia untuk merampas kejuaraan adalah cerah selepas Jepun menewaskan China dalam separuh akhir pada sebelah petang, pada saya berdepan Jepun juga bukan mudah dan mereka adalah lawan yang kental.

"Yang paling penting buat semua pasukan adalah fokus kepada permainan sendiri. Kami sudah menyahut cabaran persatuan yang mahu pasukan melangkah ke final, sekarang terpulang kepada kami untuk mencari keputusan lebih baik," kata Chong Wei.

Jika rekod pertemuan Malaysia dan Jepun menjadi ukuran, pasukan negara memegang kelebihan 3-1 ke atas negara Matahari Terbit itu.

Namun Jepun, yang menunjukkan peningkatan sangat ketara di bawah bimbingan Park Joo Bong mengejutkan pasukan negara pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Kuala Lumpur pada 2010.

Kali terakhir Malaysia layak ke perlawanan akhir adalah di Guangzhou 2002, di mana kita tewas 2-3 kepada Indonesia manakala kejohanan 1992 di Kuala Lumpur adalah kali terakhir pasukan negara muncul juara. - UTUSAN

Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER