Headlines News :

Jangan terperdaya cinta siber

Oleh

NAMPAKNYA bilangan wanita tempatan yang terperdaya dengan strategi licik kekasih siber atau lebih popular dengan gelaran seperti African Scam dan Love Scam semakin bertambah. Hampir setiap hari kes seperti ini dilaporkan di akhbar membabitkan pelbagai kategori mangsa dari seluruh negara. Ironinya yang mudah tertipu ini kebanyakannya terdiri daripada golongan wanita berstatus profesional, berpelajaran dan berkedudukan tinggi. 

Agak mengejutkan apabila pihak polis baru-baru ini mendedahkan ramai yang jatuh muflis akibat mengejar cinta sejati bila wanita tempatan dikatakan sanggup kehilangan RM83.6 juta sepanjang lapan bulan pertama tahun ini di tangan kekasih siber yang tidak dikenali dan tidak pernah jumpa. Jumlah kerugian yang cukup besar ini sekali gus menunjukkan wanita kita sanggup berkorban apa saja tanpa menyiasat sepenuhnya latar belakang lelaki yang dikenali di alam siber.
Menurut Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Ahmad Noordin Ismail, berdasarkan statistik yang mereka peroleh jumlah kes membabitkan kegiatan ini terus mencatatkan peningkatan membimbangkan.

Pada 2017, sebanyak 1,652 kes Love Scam dilaporkan dengan jumlah kerugian sebanyak RM61.9 juta di seluruh negara. Bagaimanapun jumlah kes tersebut yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini menunjukkan angka yang cukup membimbangkan apabila mencatatkan 1,301 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM83.6 juta.

Walaupun bilangan kes kelihatan rendah namun jumlah kerugian besar ini amat menggusarkan dan wajar membuka mata semua pihak supaya segera bertindak mengatasinya.

Pihak berkuasa sudah banyak kali mengingatkan tentang modus operandi sindiket ini iaitu, media sosial terus menjadi lubuk untuk penjenayah memancing mangsa. Biasanya mereka akan menggunakan Facebook untuk berkenalan dengan golongan wanita yang dipilih secara rawak.

Dengan berbekalkan ayat cinta mereka mengumpan mangsa yang kebanyakannya terdiri daripada golongan wanita yang memiliki karier profesional mahupun suri rumah yang kesunyian.

Sindiket ini akan bijak menggunakan kata-kata sehingga akhirnya mangsa percaya sepenuhnya dan sanggup membuat apa saja yang diarahkan. Paling biasa mangsa akan diminta memberikan sejumlah wang sama ada secara terus atau melalui panggilan telefon daripada individu lain yang kononnya mahu memberi bungkusan, namun barangan itu berada dalam tahanan pihak berkuasa sebelum diminta membuat bayaran penebusan.

Sudah terlalu banyak kes seperti ini didedahkan selama ini yang sepatutnya menyedarkan masyarakat.

Antara beberapa kes terbaru adalah seorang pengurus kanan syarikat hartanah kerugian RM100,000 selepas berkenalan dengan lelaki mendakwa warga Eropah yang dikenalinya melalui Facebook April lalu dan kemudian berhubung melalui WhatsApp. Mangsa ditipu apabila dikatakan hadiah yang dikirim bernilai lebih RM1,000,000 ditahan pihak kastam dan perlu dibayar cukai sebanyak RM100,000.

Jelas masalah ini semakin serius dan memerlukan tindakan segera semua pihak. Kita percaya pihak berkuasa sudah melakukan kerja mereka dengan baik namun apakan daya semua kes hanya dilaporkan selepas mangsa menyerahkan duit kepada penjenayah tersebut menyebabkan tidak banyak yang dapat dilakukan oleh pihak berkuasa.

Justeru setiap seorang daripada kita perlu memainkan peranan supaya dapat mencegah kejadian ini terus berulang. Tidak logik untuk kita percaya mereka mengirim hadiah dengan nilai yang begitu tinggi dan kita perlu bayar untuk tebus hadiah tersebut. Ingat, ramai lagi lelaki tempatan yang baik, jujur dan budiman yang boleh dipilih sebagai teman hidup.

Semoga golongan wanita akan ambil iktibar dan segera sedar supaya kita dapat mencegah sindiket ini dari terus berleluasa dan memperdaya wanita tempatan. Cukup-cukuplah jumlah kerugian yang dialami dan bilangan kes yang dilaporkan selama ini.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Keadilan atasi kasih sayang ibu

Oleh

BERLAKU adil iaitu meletakkan sesuatu kena pada tempatnya tidak semudah menyebutnya di bibir. Apatah lagi jika ia ‘kena pada batang hidung sendiri’. Sesungguhnya, ia memerlukan kepada tahap iman yang tinggi untuk melakukannya.

Demikianlah tindakan terpuji yang dilakukan oleh ibu kepada salah seorang lelaki yang menyamun seorang wanita di kedai dobi layan diri di Sungai Petani, Kedah menyerahkan anaknya yang berusia 21 tahun kepada polis di Ibu Pejabat Polis Kuala Muda pada pukul 1.30 petang, 13 September lalu.
Sehari sebelum itu, melaporkan tindakan dua remaja bersenjatakan parang melarikan wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit yang dianggarkan bernilai kira-kira RM14,500 di dua lokasi di Sungai Petani.

Wajah kedua-dua suspek yang jelas kelihatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai dobi layan diri dan kedai runcit tempat kejadian jenayah itu berlaku, tersebar di media sosial sekali gus menimbulkan kemarahan netizen.

Realitinya tiada ibu bapa yang waras mahu anak-anak melakukan jenayah atau perlakuan jahat. Namun, sejarah menceritakan bagaimana salah seorang anak Nabi Nuh iaitu Kan’an mengingkari bapanya dengan tidak mahu beriman kepada Allah. Jadi, bukanlah luar biasa jika anak orang biasa juga ada yang nakal dan terlanjur walaupun sudah diberikan didikan yang terbaik. 

Syabas kepada ibu berke­naan yang masih boleh membuat tindakan tepat dalam situasi sedemikian. Rasa kasih sayang sedemikian jauh lebih tinggi nilainya berbanding ‘kasih sayang’ yang membiarkan sahaja anak melakukan jenayah. Hukuman yang diterima mudah-mudahan mendatangkan kesedaran dalam diri anaknya untuk tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama. 

Ini mengingatkan kita kepada peristiwa di zaman Rasulullah SAW pada masa ‘Fathul Makkah’ (pembebasan kota Mekah), ada seorang wanita Quraisy yang mencuri. Wanita tersebut seorang bangsawan dari Bani Makhzum. Mereka bingung dalam memutuskan perkara tersebut. 

Dalam perundingan, salah seorang daripada mereka mengusulkan untuk membicarakannya kepada Usamah. Melalui Usamah, mereka berniat meminta syafaat atau keampunan dari Rasulullah SAW atas wanita tersebut. Mereka tahu Usamah adalah salah seorang yang dicintai oleh Nabi SAW dan berharap baginda mengabulkan permintaan Usamah.

Ketika Usamah menyampaikan kepada Nabi SAW perihal keinginan mereka, Rasulullah SAW menjawab: “Apakah engkau hendak membela seseorang agar terbebas daripada hukum yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT?”

Setelah itu Rasulullah SAW berdiri dan berkhutbah: “Wahai manusia sesungguhnya yang membinasakan orang sebelum kamu adalah apabila seorang bangsawan mencuri, mereka biarkan. Akan tetapi apabila seorang yang lemah mencuri, mereka jalankan hukuman kepadanya. Demi zat yang Muhammad berada dalam genggaman-Nya. Kalau seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya”. 

Kemudian Rasulullah SAW memerintahkan agar memotong tangan wanita tersebut. Setelah itu wanita tersebut bertaubat dan menikah. (Riwayat Bukhari Muslim)

Demikian tingginya prinsip keadilan yang ditunjukkan oleh Islam - yang membezakan seseorang bukanlah paras rupa, pangkat atau harta tetapi takwa.

Selagi AMANAH tidak menang di Kelantan, Terengganu …

Oleh Ahmad Lutfi Othman

Sekitar jam 5 pagi. Menjelang Subuh, Sabtu, 22 September. Saya terbangun selepas mendapat cukup rehat susulan rutin dialisis yang meletihkan pada sore tadi.

Sempat menatap mesej yang masuk, sebelum ke bilik air. Dua tiga teman memaklumkan mereka dalam perjalanan ke Temerloh. Menghadiri sambutan ulangtahun ketiga Parti Amanah Negara di kampung pahlawan bangsa.
Sememangnya saya berhasrat untuk turut sama menyelit menyaksikan kemeriahan acara penuh bersejarah itu. Tetapi seperti tekad sama sebelumnya, keuzuran menghalang dan saya hanya dapat mengikuti momen-momen menarik itu melalui lintas langsung FB sahaja.

Terima kasih kepesatan teknologi maklumat yang menghubungkan dunia tanpa sempadan ini. Proses pendemokrasian pun turut bertambah matang. Tiada yang jauh tidak terjangkau lagi walaupun kepada orang kurang upaya. Alhamdulillah.

Tiga tahun adalah usia terlalu muda dan mentah. Namun dalam politik, seminggu pun sudah lama. Pelbagai perubahan boleh dicorakkan. Malah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia lebih junior, tetapi ketuanya menjadi perdana menteri. Ada parti setahun jagung dapat menumbangkan kerajaan negeri, seperti beberapa kali berlaku di Sabah.

Sahabat dan bekas bos saya di Harakah, Zin Mahmud, menulis, biarpun AMANAH berusia tiga tahun, para pemimpin kanan dan pengasasnya sudah berkecimpung aktif dalam politik sejak 35 tahun lalu dan turut menggerakkan perubahan besar dalam Pas, pada 1983.
Di samping itu, roh dan semangat perjuangan AMANAH mengalir panas dalam rantaian panjang siri kesedaran gerakan tajdid dunia Islam bermula akhir abad ke-19 lagi.

Meskipun ketika detik-detik kritikal pergeseran berkocak dalam Pas saya kerap berkurung di rumah, saya dapat merasai kegelisahan itu.

Episod demi episod berlangsung secara dramatik. Pecah menuju belah. Rakan-rakan yang terusir setandan berdepan masa depan yang kabur. Pastinya tidak mudah merumuskan solusi apabila tersekat di jalan mati.

Mungkin pada awalnya tidak ramai yang suka memilih opsyen menubuhkan parti Islam yang baru. Allah melorongkan kemudahan untuk masing-masing bersepakat menerima ilham agar masa tidak dibazirkan masa untuk membuat eksperimen politik.

Dari Gerakan Harapan Baharu bertukar kulit menjadi wadah siyasah yang progresif, inklusif dan peduli. Dengan pendekatan Islami yang lebih segar dan mewangi, Rahmatan lil ‘Alamin. Didukung pemimpin dan aktivis yang tahan uji, istiqamah, berpengalaman, berminda terbuka, seterusnya bersedia menempuh cacimaki dan fitnah menghiris, termasuk dari rakan taulan sendiri.

Kebetulan saya lebih mengenali dan agak akrab dengan beberapa pimpinan utama pengasas AMANAH. Menyaksikan personaliti yang lasak, berketrampilan, jujur, pembela golongan marhaen dan tertindas, mudah didampingi, merendah diri, pemacu perubahan dan tidak asing, malah serasi dengan sekutu pembangkang yang lain.

Apa pun, ada pihak menyifatkan kelompok 18 “jebon” yang disingkirkan perwakilan pada Muktamar Pas 2015 itu begitu naif untuk membaca grand design bagi menghalau mereka keluar.
Ternyata tidak mudah untuk menerima kewujudan sebuah lagi parti Islam. Apatah pula tidak ketara penyimpangan Pas daripada prinsip asas agama. Semasa kempen pemilihan parti 2015, jawatan presiden bukan menjadi sasaran, malah kumpulan “profesional” tidak secara terbuka mahu mengetepikan Ustaz Abdul Hadi Awang. Dalam pada itu, sudah sekian lama menjadi pegangan ahli Pas tentang keperluan jamaah Islam yang tunggal.

Babak-babak getir berdepan cemuhan dan kecaman sudah dirakam sejarah. Sehingga ada “fatwa” halal darah oleh pimpinan Pas, bertaraf tok guru. Semua insideb itu merancakkan lagi proses percambahan dan kematangan parti baharu.

Para pemimpin AMANAH, sebagaimana latar tahan uji berdepan tribulasi sebelumnya, mampu meredah pelbagai gugatan baharu. Dengan sabar mereka bersama-sama membentuk muafakat pembangkang, Pakatan Harapan, menggantikan kolisi yang terburai, Pakatan Rakyat. Tidak senang untuk memposisikan diri di kala rakan sekutu melihatnya sebagai parti kecil dan kerdil.

Sedari awal, saya sudah menjangka kesulitan AMANAH untuk menuntut jumlah kerusi pilihan raya yang berpadanan. Apa kayu ukur yang boleh dijadikan rujukan atau terma rundingan? Bilangan keahlian atau cawangan di peringkat akar umbi? Personaliti parti yang berpengaruh dan popular? Jelas AMANAH tidak banyak kelebihan daripada sudut itu.

Benar sekali, kesepakatan rundingan kerusi tidak disambut gembira oleh ahli-ahli AMANAH. Walaupun Dr Mahathir Mohamad mengisytihar secara terbuka di hujung konvensyen Pakatan Harapan, Januari 2018, bahawa kesediaan AMANAH menerima jumlah kerusi Parlimen yang kecil itu telah menyelamatkan keadaan, rasa terbuku di dada sukar diredakan.

Tanpa kerelaan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, mematuhi ketetapan kerusi, Pakatan Harapan dibayangkan menemui jalan buntu dan tidak mampu menawarkan alternatif terbaik buat rakyat.
Rakan-rakan saya di Kuala Lumpur tambah terkilan apabila AMANAH langsung tidak mendapat sebarang kerusi. Wilayah Persekutuan pula tidak mempunyai kerusi Dun seperti negeri-negeri lain yang boleh dijadikan “pampasan” atau tukar ganti.

Dua pemimpin utama AMANAH Wilayah, pengerusi Dr Hatta Ramli dan timbalannya Tarmizi Mat Jam bertanding di Perak, masing-masing di Lumut dan Parit. Untuk tempoh yang agak pendek, aktivis parti di Wilayah bagai anak ayam kehilangan ibu.

Mungkin hasil tarbiyah yang agak panjang, bermula dalam parti lama, ahli-ahli AMANAH cepat menyesuaikan diri dengan keputusan parti. Menyedari kudrat sebuah parti baharu dan kepentingan merapatkan saf menumbangkan regim keleptokrat, PRU14 dihadapi penuh iltizam.

Alhamdulillah, rakyat menggenggam erat, bahkan menggigit kemas tekad perubahan. Revolusi tanpa-darah terpahat dalam sejarah Malaysia Baharu. Kemenangan milik semua. Bukan hak parti-parti yang mendapat kerusi terbanyak. Bukan kepunyaan Pakatan Harapan sendiri.

Tetapi milik rakyat Malaysia seluruhnya. Mereka mungkin tidak kenal PH, mahupun PKR yang digunakan lambangnya sebagai logo bersama, apatah lagi parti-parti komponen yang lain. Rakyat nekad untuk menolak Umno-BN. Rakyat pemberani!

Justeru, saya senang hati sekali melihat Perdana Menteri menyusun kabinet atas prinsip semua parti dalam PH dilayan sebagai equal partner.

Hampir semua ahli Parlimen AMANAH mendapat kedudukan strategik dalam pentadbiran kerajaan sebagai menteri dan timbalan menteri. Saya sukar menduga apa mesej Dr Mahathir apabila melantik Khalid Samad, MP Shah Alam sebagai Menteri Wilayah selepas tiada seorang pun wakil AMANAH yang terpilih sebagai calon PH di Wilayah Persekutuan.

Lima menteri, lima timbalan menteri, seorang ketua menteri, dua Speaker Dun, tiga Exco kerajaan negeri di Perak dan Kedah, masing-masing dua di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan. Tanggungjawab serta amanah berat menunggu.

Umno ditimpa masalah tidak terpikul selepas diheret menjadi oposisi, tanpa kuasa, pengaruh dan dana. AMANAH pula dihadapkan cabaran perit dan kebijaksanaan untuk menguruskan parti di kala semua pimpinan utama disibukkan dengan urusan rasmi kerajaan.

Ya, Umno dilanda krisis apabila gagal menangani magik kuasa dan takhta. Ia menggelonsor terjunam bersama wang berbilion, dengan kuasa mutlak menguasai kerajaan.

Dr Mahathir, beberapa kali meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasi jemaah menterinya, mungkin disebabkan masih terlalu junior.

Namun Malaysia yang hampir bankrap dan sarat dengan tinggalan pelbagai penyelewengan, tidak mampu untuk menunggu masa lebih lama untuk dirawat dan dipulihkan.

Sudah pasti kritikan Dr Mahathir itu juga terarah kepada menteri-menteri AMANAH. Mereka perlu cepat belajar, pantas menyesuaikan diri serta bingkas menimba pengalaman selok-belok pengurusan dan pentadbiran kerajaan.

AMANAH, sebuah parti Islam, dengan keahlian terbuka kepada semua, meskipun berbeda dengan Pas dan tidak pula berhasrat menjadi Pas 2,0, tetapi ia perlu mendapat sokongan meluas di kawasan majoriti pengundi Melayu, sekali gus pesaing kuat Pas.

Diakui AMANAH mendapat tempat dan sokongan menggalakkan di kawasan bandar dan semi kota, penempatan kelas menengah, tetapi bagaimana pengaruhnya di kawasan kampung tradisional?
Apa respons penduduk terhadap parti baharu ini di wilayah majoriti Melayu, terutama di kubu Pas, seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan sebahagian Pahang?

Dan sememangnya AMANAH diberi kepercayaan menerajui Pakatan Harapan di Kelantan dan Terengganu, tetapi bukan sahaja gagal memperolehi sebarang kerusi Dun dan Parlimen, malah kebanyakan calon-calonnya hilang wang pertaruhan dalam PRU14.

Begitu juga di kerusi-kerusi majoriti Melayu di Kedah dan Pahang. Pas masih berkuku di sana. Di Pahang, AMANAH gagal memenangi sebarang kerusi Dun, manakala Pas meraih sepuluh. Di Kedah, Pas secara solo mengutip 15 kerusi, prestasi paling tinggi sepanjang sejarahnya di Jelapang Padi itu.
Seorang rakan saya membisik, AMANAH boleh sahaja menang, mungkin bertambah besar di Pantai Barat, tetapi jika terus kalah di Kelantan, Terengganu dan kerusi tertentu di Kedah dan Pahang, “maaf, saya tidak terasa kemanisannya”. Dia seperti tidak berpuas hati dengan perkembangan AMANAH di empat negeri tersebut.

“AMANAH hanya akan lebih dihormati dan dipandang tinggi jika dapat menawarkan altenatif terbaik kepada penyokong Pas terutama di kampung-kampunf, termasuk di kawasan pondok,” ujar rakan saya itu lagi.

“Memang payah menembusi minda dan hati masyarakat Islam yang konservatif, apatah lagi majoriti para asatizah yang popular masih bersama pegangan Pas, tapi AMANAH perlu lebih proaktif dan sistematik, bukan saja melebarkan pengaruh politik tetapi membawa perubahan besar selari dengan konsep Rahmatan lil ‘Alamin dan maqasid syariah,” kata seorang sahabat saya yang lain, seorang pensyarah muda di sebuah IPTA.

Alhamdulillah, Mohamad Sabu, dalam pidato presiden di Temerloh, pagi Sabtu, 22 September itu memaklumkan AMANAH selepas PRU14 menerima keahlian baru yang mendadak. Menariknya, Kelantan mencatat jumlah paling ramai. Malah Rusila, kampung Presiden Pas sendiri sudah menerima tempias meluasnya pengaruh parti yang ditubuhkan pada 16 Srptember 2015.

Dalam majlis sama, Naib Presiden, Mahfuz Omar turut mengisytiharkan beberapa personaliti popular, antaranya Ustaz Hassan Mahmood Al-Hafiz dan Ustaz Ghazali Ibrahim, telah menyertai AMANAH. Kedua-duanya boleh dianggap pendakwah selebriti yang mampu menarik, minat lebih ramai audien terhadap parti masa depan itu.

Apabila Naib Presiden AMANAH, Dr Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai menteri agama, ia bukan sahaja kesempatan terbaik buat mempromosi citra Islam yang indah dan ramah, tetapi juga bebanan tanggungjawab berat untuk mengubah tanggapan konservatif yang telah berakar sejak berzaman. Ada yang menganggap ia lanjutan pertarungan Kaum Tua dan Kaum Muda.

Dr Mahathir ada banyak kelemahan dan kesilapan. Bergantung kepada sisi mana beliau dipandang. Tetapi dalam waktu sukar ini, mewarisi Malaysia yang pincang dan kronik, dengan segala perjanjian yang merugikan, peringatan khususnya kepada anggota pentadbiran yang baru, termasuk daripada AMANAH, belajarlah semaksimum mungkin bergurukan Dr Mahathir.

Selain pandangan jauhnya, kerajinan, berdisiplin tinggi, dan ketepatan waktu, dedikasi mempelajari ilmu dan kemahiran baru, kebijaksanaan mengolah pandangan berbeda, juga ketegasan berdepan siapa sahaja, termasuk pihak istana dan kuasa besar.

Jangan jadi munafik harta!

Oleh Ahmad Husni Abd. Rahman

“KALAU macam ni, lama-lama habis duit saya!” getus seorang pembayar zakat. 

Masih segar dalam ingatan seorang pembayar wanita berusia hampir 70 tahun, namun melaram bak anak dara gayanya. Ratusan ribu wang pelaburannya itu seolah-olah belum cukup untuk memenuhi ‘dunianya’.
“Memang zakat ni kena setiap tahun ke? Habis la semua simpanan macam ni!” Sekali lagi perkataan ‘habis’ diulang-ulangnya.

Saya menarik nafas sedalam mungkin. Mahu memberikan jawapan kepada sebuah ketidakfahaman dan minda yang terpenjara selalunya agak mencabar dan menipiskan kesabaran.

“Ya puan. Zakat diwajibkan selagi kita memiliki nisab dan berlalu haul setiap tahun. Ini kewajipan yang Allah minta puan. Harta semua milik-Nya. Kita hanya menguruskan mengikut kehendak-Nya,” saya cuba menerangkan.

“Macam tu ke? Boleh habis duit macam ni…” Lagi-lagi itulah yang dirisaukan.

Setelah menghimpunkan segala kekuatan saya kembali menerangkan. Sehelai kertas putih menjadi medium penerangan. Garis masa dan jumlah harta dilukis. Jarak masa itu berjumlah 40 tahun. Kerana zakat itu nilainya 1/40 daripada keseluruhan harta. Gambaran ‘tarikh’ sebenar harta itu akan benar-benar ‘habis’ jika hanya dikeluarkan zakat tanpa penambahan pelaburan.

Syukur, akhirnya dengan coretan itu mengilhamkan sebuah kesedaran. Garis masa yang bermula dari umur 70 tahun dan akan berakhir pada umur 110 tahun, merupakan tarikh sebenar hartanya itu akan benar-benar habis, telah ‘menghabiskan’ hujahnya dan memberi kefahaman yang usianya lebih dahulu akan ‘habis’ sebelum masa sebenar hartanya pula akan habis.

MUNAFIK HARTA

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anfal ayat 2-4:
“Sesungguhnya orang yang beriman ialah ketika disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal. Mereka itu adalah orang yang mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian di sisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia.”

Tatkala Allah SWT menyebut tentang ciri-ciri orang beriman, sentiasa sahaja unsur menafkahkan harta yang direzekikan itu akan menjadi fokus utama.

Sebenarnya maksud beriman adalah dengan pembuktian. Bukti iman dengan harta adalah dengan ibadah yang dilakukan menerusinya.

Jika ini maksud iman, maka lawannya adalah kekufuran dan kemunafikan. Jika zakat, infak dan sedekah itu bukti iman, sebaliknya kedekut dan bakhil pula adalah sebenarnya bentuk kemunafikan. Munafik harta! Itu yang selayaknya digelar buat mereka yang masih belum sedar daripada lena. Sesungguhnya iman dan sifat bakhil itu tidak mungkin bersatu di dalam sebuah jasad.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Nabi SAW bersabda: “Tidak akan berhimpun di antara debu-debu pada jalan Allah dan asap dari neraka jahanam dalam dua lubang hidung seorang Muslim itu selamanya-lamanya. Tidak sama sekali akan berhimpun antara iman dan sifat kedekut itu di dalam hati seorang Muslim itu selama-lamanya,” - Riwayat Nasa’ie, Ibn Majah dan Ahmad.

Begitu juga perihal kemunafikan ini dapat dilihat terutama bagi mereka yang suka menabur janji manis sebelum memiliki harta, iaitu pasti akan diperuntuk bahagian untuk sedekah dan infak. Namun hakikatnya tatkala harta telah dimiliki saat itu kebakhilan datang menyelimuti diri, alasan menderu tanpa henti dan dolak-dalik menjadi perisai diri.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Taubah ayat 75-77:
“Ada antara mereka yang membuat janji dengan Allah dengan berkata: “Sesungguhnya jika Allah memberi kepada kami daripada limpah kurnia-Nya, tentulah kami akan bersedekah, dan tentulah kami akan menjadi daripada orang yang soleh. Kemudian setelah Allah memberi kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya, mereka bakhil dengan pemberian Allah itu, serta mereka membelakangkan janjinya; dan sememangnya mereka orang yang sentiasa membelakangkan (kebajikan). Akibatnya Allah menimbulkan perasaan munafik dalam hati mereka (berkekalan) hingga ke masa mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri apa yang mereka janjikan kepada Allah dan juga kerana mereka sentiasa berdusta.”

Lebih parah lagi kemunafikan itu mendalangi dan meracuni pemikiran masyarakat agar mereka pula tidak berusaha dalam membangun agama menerusi kewajipan sosial. Ada sahaja komentar dan serangan negatif diberikan khasnya apabila melibatkan institusi zakat. Mereka seolah-olah ‘berperang’ menghancurkan sesama saudara Muslim lain di tengah medan ekonomi umat. Mereka merasakan yang semua harta itu adalah milik mereka untuk diperlakukan semahunya. Sedangkan hakikatnya, manusia ini tiada satupun yang dimilikinya kecuali meminjam segala-galanya daripada Yang Maha Esa.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Munafiqun ayat 7:
“Mereka mengatakan (kepada orang Ansar): “Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang (Muhajirin) yang ada di sisi Rasulullah supaya mereka lari (meninggalkan Rasulullah)”. Padahal kepunyaan Allah segala perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang munafik itu langsung tidak memahami.”

MASIH BELUM IKHLAS

Secara jujur tanyakan pada diri kita. Berapakah mahar yang sanggup dibayar bagi memiliki satu tempat dalam syurga Allah? Apakah telah cukup sumbangan kita hingga layak dipanggil masuk dari pintu syurga bernama sedekah? Apakah dalam mencari manfaat akhirat, kita masih lagi bertopang dan beralaskan dunia?

Maimun bin Mihran pernah berkata: “Aku bersedekah lalu aku mendapati rezeki dan hartaku semakin bertambah. Lantas sahabatnya bersuara: Aku juga sedemikian, tetapi malangnya rezeki dan hartaku dirasakan semakin berkurangan!. Maimun menjawab persoalan sahabatnya dengan berkata:
“Aku bersedekah kerana yakin akan kesan ikhlas bermuamalah dengan Allah, sedangkan engkau bersedekah dengan niat hanya untuk mencuba!”

Semoga kita digolongkan dalam kalangan mereka yang mampu mentalakkan pesona dunia lantas berakad erat dengan akhirat. Selamatkanlah diri kita dari setiap sisi kemunafikan sama ada harta mahupun iman!

Nilai diri kita dalam media sosial

Oleh

JIKA diberi kayu pe­ngukur yang mempunyai skala satu hingga 10, dimanakah anda rasa diri sendiri dinilai pada kayu tersebut ketika berada dalam media sosial?

Rata-rata dalam kala­ngan kita apabila berada dalam media sosial keba­nyakan lebih cenderung untuk berada pada nilai paling rendah terutama apabila timbul sesuatu isu yang menyentuh perasaan.
Mengambil contoh isu yang berlaku antara seorang gadis dan lelaki autisme baru-baru ini, warga maya ternyata mempunyai pendirian masing-ma­sing dan ramai cuba memberikan pandangan tanpa mengira situasi di dalam kasut mangsa ataupun pihak yang didakwa.

Kita lebih cenderung memberikan buah fikiran menghentam tanpa mempedulikan soal perasan setiap pihak dan langsung tidak memikirkan jika ia menimpa diri kita sendiri.

Dalam kes ini, harus diingat kita bukan mangsa ataupun pihak didakwa dan sewajarnya kita perlu mendengar penjelasan semua pihak sebelum terus membuat keputusan menghentam tanpa mempedulikan perasaan pihak terlibat.

Paling mudah jangan kita terus menjadi pembuli siber dek kerana terkesan dengan situasi yang tidak menyenangkan itu, lantas secara tiba-tiba menghukum tanpa usul periksa.

Nilai diri perlu berada pada paras neutral sebelum kita membuat keputusan untuk memberikan buah fikiran pada ruangan komen kerana satu perkara penting yang selalu dilupakan media sosial itu sendiri bersifat garis lurus apabila berkaitan dengan usia.

Bukan kita seorang yang akan membaca komen itu, mungkin yang melihatnya ialah anak kita, adik-beradik, saudara-mara ataupun rakan.

Baik atau buruk komen itu, ia dengan jelas akan mencerminkan siapa diri kita yang sebenar dan jika ia sesuatu yang tidak enak dibaca adakah kita mahu insan rapat dengan kita membacanya.

Situasi sama juga terpakai kepada anak-anak kita sendiri dan jika mereka bertindak melontarkan kata-kata kesat adakah sebagai ibu bapa kita tidak akan berasa malu membacanya.

Pendek kata, waima apa jua perilaku kita dalam media sosial janganlah terlalu agresif mencari salah dan silap orang lain sedangkan perkara itu tidak pernah menimpa diri sendiri jauh sekali untuk tahu apa dirasai mereka yang terlibat.

Adalah lebih baik kita menyuarakan sesuatu lebih baik untuk kebaikan bersama di mana masyarakat yang membaca boleh mengambil iktibar dan sempadan supaya perkara yang sama tidak berulang.

Secara peribadi, jika kita sekadar berada dalam media sosial untuk mencari kesalahan orang lain dan meletak diri sebagai maksum daripada segala dosa lebih baik tutup sahaja akaun itu.

Ramai akan terkesan dengan komen kita dan jangan biarkan diri menjadi pembuli siber semata-mata mahu memuaskan hati untuk orang lain menyokong tindakan melulu itu yang akhirnya meninggalkan trauma pada orang mangsa.

Fikir sejenak jika ia berlaku pada ahli keluarga terdekat kita, apakah reaksi anda dan berapa nilai diri ketika itu.

Sudah pasti kita akan cenderung mempertahankan diri dan ahli keluarga kita dan ia merupakan perkara yang sama berlaku dalam kes di atas di mana masing-masing mahu menjelaskan situasi sebenar supaya ada dalam kalangan warga maya tampil memberikan sokongan dan dorongan.

Cuit sedikit perasaan sendiri dan tanya adakah sokongan dan dorongan kita itu adil buat semua pihak terlibat?

Justeru itu nilailah diri anda baik-baik ketika berada di dalam media sosial sebelum menerjah orang lain yang mungkin terkesan atau trauma dengan komen yang ditinggalkan.

Pengguna kini lebih berhati-hati membeli

Oleh

BARU-BARU ini dilaporkan bahawa kira-kira 6.58 juta kaki persegi (611,302 meter persegi) ruang sewaan yang melibatkan 10 pusat beli-belah akan memasuki pasaran peruncitan di Lembah Klang pada separuh kedua tahun 2018. 

Angka tersebut sememangnya membimbangkan ke­rana pelbagai pihak beranggapan bahawa Lembah Klang memerlukan lebih banyak ruang hijau dan infrastruktur komuniti berbanding struktur batuan. 

Bukan itu sahaja, sikap pengguna yang lebih berhati-hati dalam membuat pembelian, khususnya dalam kea­daan ekonomi yang mencabar pada masa ini, turut memberi impak kepada sektor peruncitan. 

Malah, dalam laporan Sorotan Penting Sektor Hartanah firma rundingan Knight Frank menyatakan de­ngan selesainya pembinaan sekitar 450,000 kaki persegi (41,806 meter persegi) ruang peruncitan bersih yang boleh disewa baru-baru ini, bekalan kumulatif di Lembah Klang mencecah sebanyak 57.5 juta kaki persegi (5.3 juta meter persegi) pada separuh pertama 2018. 

Firma rundingan TSMC Edar Sdn. Bhd., pada tahun lalu melaporkan terdapat 255 pusat beli-belah di Lembah Klang sahaja. 

Walaupun terdapat anggapan bahawa keadaan sektor peruncitan mencabar dengan tekanan tidak hanya dari aspek jualan tetapi juga sewaan ruang niaga yang ada, Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) mengekalkan sasaran pertumbuhan menyeluruh jualan peruncitan negara pada kadar 4.5 peratus. 

Kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dari 1 Jun hingga akhir Ogos lalu dilihat antara faktor yang merangsang jualan dengan pengguna mengambil kesempatan tempoh tanpa cukai berkenaan. 

Presiden MRCA, Datuk Seri Garry Chua sebelum ini dilaporkan berkata, sentimen pengguna diunjur me­ngukuh dengan ketiadaan GST dan keadaan kondusif dijangka berlaku dengan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September lalu. 

Persatuan berkenaan juga mengunjurkan pertumbuhan 30 peratus dalam peruncitan francais menjelang tahun 2020, dipacu oleh peningkatan usaha sama perniagaan tempatan dengan rantaian peruncitan asing. 

Tidak dinafikan, setiap kali membuat liputan perniagaan, khasnya berkenaan sektor peruncitan, perkhidmatan mahupun makanan dan minuman, antara perkara yang ditanya wartawan adalah rancangan perluasan perniagaan syarikat dan kos yang terlibat. 

Ada segelintir perniagaan akan mengambil pendekatan yang berwaspada dengan menyatakan fokus pada perniagaan sedia ada dan ada yang bersemangat de­ngan berkongsi rancangan mereka untuk memperkukuh tapak perniagaan. 

Perkara itu biasa. Pengguna sememangnya mahukan jenama kegemaran berada berhampiran atau dengan akses mudah dengan mereka. 

Tetapi, suasana suram turut boleh dirasai pengguna yang berkunjung ke pusat-pusat beli-belah atau rantai­an peruncitan terlibat. 

Dalam keghairahan untuk meluaskan “jajahan perniagaan”, adakalanya syarikat tidak melihat perkara sebenar yang berlaku di cawangan yang ada. 

Kurangnya tenaga kerja yang menguruskan cawa­ng­an­­ sehingga memberi tekanan kepada kakitangan yang ada serta rak-rak yang kosong atau pelanggan terpaksa mengambil sendiri barangan yang masih tersimpan, memberikan gambaran negatif kepada perniagaan yang ada. 

Oleh itu, pihak berkaitan seharusnya mengambil berat terhadap perkara-perkara asas terlebih dahulu sebelum berhasrat meningkatkan kehadiran pelanggan mereka. 

Jangan sampai pengguna kecewa dan lari ke perniagaan lain kerana jenama pilihan mereka gagal untuk memenuhi kehendak dan keperluan.

Tip Memilih Serum Vitamin C

Oleh Helma Hassan

 Vitamin C adalah salah satu antioksidan semulajadi daripada sumber seperti buah sitrus, sayur-sayuran berdaun hijau, strawberi, betik dan brokoli. Antioksidan yang diletakkan pada muka memberikan perlindungan daripada radikal bebas yang dihasilkan apabila kulit terdedah kepada sinaran ultraviolet. Tidak hairanlah ramai wanita di luar sana yang menggunakan serum vitamin C pada muka mereka agar kelihatan lebih berseri. Jika anda ingin mencuba menggunakan serum vitamin C dan masih keliru dengan variasi produk di pasaran, ikuti tip pemilihan berikut:

1. Pilih kandungan vitamin C mengikut kulit muka

Terdapat pelbagai jenis bahan aktif vitamin C yang terdapat di pasaran. Memilih yang sesuai dengan kulit anda dapat mengelakkan kesan sampingan yang tidak dikehendaki. Berikut adalah 5 jenis vitamin C yang biasa ditemui dan kesesuaiannya mengikut jenis kulit:
  • Ascorbic Acid (AA): sesuai untuk kulit biasa dan tidak disyorkan untuk kulit sensitif atau berjerawat
  • Tetrahexyldecyl Ascorbate (THDA): sesuai untuk kebanyakan jenis kulit
  • Magnesium Ascorbyl Phosphate (MAP): pilihan terbaik untuk kulit yang normal dan sensitif
  • Sodium Ascorbyl Phosphate (SAP): tidak merengsakan dan pilihan yang baik untuk kulit sensitif
  • Ascorbyl Palmitate (AP): pilihan terbaik untuk kulit sensitif dan berjerawat
Senarai ini juga disusun mengikut keberkesanannya, jadi produk yang mempunyai asid askorbik dan THDA mungkin pilihan terbaik anda. Tetapi jika anda mempunyai kulit sensitif atau berjerawat, anda harus memilih yang lain atau membeli produk asid askorbik dengan kepekatan yang sangat rendah untuk memastikan tiada kesan sampingan.
Anda juga harus memastikan kandungan asid askorbik dalam bentuk yang stabil. Kebiasaannya tidak dinyatakan pada label, tapi anda boleh membaca pada lampiran dalam kotak atau pada laman web pengeluar.

2. Serum berasaskan minyak atau air?

Perkara seterusnya yang perlu dipertimbangkan ialah sama ada serum muka vitamin C berasaskan minyak atau berasaskan air lebih disukai anda.
Asid askorbik larut dalam air. Ini bermakna ia menyerap dengan cepat, tetapi ia juga bermakna ia tidak boleh diserap oleh molekul lemak dan sangat mudah teroksida. Sebaliknya, bahan yang larut minyak tahan lama dan melembapkan serta kurang terdedah kepada pengoksidaan.
Bentuk Vitamin C yang larut minyak adalah THDA, natrium ascorbyl palmitate, dan palmitat ascorbyl. Bentuk Vitamin C yang larut dalam air adalah asid askorbat dan magnesium ascorbyl fosfat.

3. Berapa kepekatan vitamin C yang sesuai?

Anda mungkin menjangkakan bahawa semakin tinggi kepekatan Vitamin C dalam serum, lebih baik untuk kulit anda. Walau bagaimanapun, ketahui dua fakta berikut:
  • Kulit anda hanya boleh menyerap sejumlah tertentu Vitamin C
  • Terlalu banyak Vitamin C boleh merengsakan kulit anda
Apabila anda melihat produk sedia ada, anda akan mendapati bahawa kepekatan Vitamin C berkisar daripada kira-kira 10% hingga 20%. Kepekatan yang lebih tinggi daripada 20% akan mengatasi keupayaan tubuh anda untuk menyerap Vitamin C dan mungkin juga merosakkan kulit anda.
Sekiranya anda mempunyai kulit sensitif atau belum pernah mencuba serum vitamin C sebelum ini, anda patut memulakan dengan kepekatan rendah dan melihat tindak balas kulit anda sebelum mencuba kepekatan yang lebih tinggi.

4. Periksa bahan tambahan

Perhatikan kandungan serum jika mengandungi sebarang bahan yang anda alah atau sensitif. Pertimbangan juga sama ada selesa dengan baunya. Sesetengah serum telah ditambah wangian. Ingat, serum ini akan diletakkan pada wajah dan akan menjadi sangat dekat dengan hidung anda, jadi penting untuk memilih serum dengan aroma yang anda gemari

5. Pastikan botol yang sesuai

Perkara keempat yang perlu dipertimbangkan adalah botol atau bekas serum. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Vitamin C sangat mudah terdedah kepada kerosakan oksidatif. Sekiranya ia bersentuhan dengan cahaya matahari atau udara, ia mungkin hancur dan mendatangkan lebih banyak mudarat daripada yang baik.
Atas sebab itu, anda perlu mencari serum dengan ciri berikut:
  • Serum dalam botol kaca gelap. Kaca jernih tidak sesuai kerana membenarkan cahaya masuk.
  • Serum dalam kapsul individu. Ini memastikan bahawa setiap dos serum dilindungi dan mempunyai potensi penuh apabila anda menggunakannya.

6. Pilih serum dengan harga berpatutan

Terdapat serum yang lebih berpatutan berbanding yang lain. Apabila membuat perbandingan, ambil kira berapa kali anda boleh menggunakannya dan berapa harga setiap dos untuk perbandingan yang tepat.
Anda mungkin ingin mempertimbangkan faktor-faktor lain, termasuklah jenama serum yang ingin anda beli, cadangan doktor pakar kulit anda dan ulasan pengguna di atas talian.

Bagaimana Ingin Buang Lemak di Perut?

Oleh Muhamad Firdaus Rahim

Perut buncit atau boroi adalah masalah yang kerap berlaku lebih-lebih lagi dalam kalangan lelaki. Ia bukan sekadar rupa yang tidak menyenangkan, tetapi juga tidak baik untuk kesihatan. Ukur lilit pinggang yang besar (lelaki 40 inci, perempuan 35 inchi) didapati meningkatkan risiko penyakit kencing manis jenis 2 dan penyakit jantung.

Tambahan pula, usaha untuk buang lemak di perut bukanlah mudah. Kadangkala, walaupun lemak di bahagian badan lain sudah berjaya dikurangkan, pinggang dan perut masih lagi buncit dan boroi.
Usah risau. Ikuti beberapa tip berikut untuk buang lemak di perut anda.

1. Elakkan gula dan minuman bergula

Gula berlebihan adalah sangat tidak sihat untuk tubuh badan. Gula dalam darah dikawal oleh hati pada had tertentu. Apabila melebihi had kapasiti tersebut, ia akan ditukarkan menjadi lemak yang akan terkumpul di seluruh badan termasuk perut.
Mengelakkan gula sepenuhnya dalam hidup mungkin agak sukar. Namun, anda boleh elakkan minuman bergula terutamanya minuman berkarbonat yang tiada khasiat melainkan gula dan kalori semata-mata.

2. Banyakkan pengambilan protein

Elemen utama yang perlu dimasukkan ke dalam diet untuk menurunkan berat badan adalah protein. Ia didapati mampu mengekalkan rasa kenyang dan memberikan tenaga yang banyak. Rasa kenyang yang lama membantu mengurangkan pengambilan kalori.
Oleh itu, banyakkan protein dalam diet anda melalui makanan seperti telur, makanan laut, kekacang, daging dan produk tenusu.

3. Kurangkan karbohidrat

Ini adalah sangat efektif dalam mengurangkan berat badan. Menurut beberapa kajian, diet rendah karbohidrat membawa kepada penurunan berat badan 2 hingga 3 kali ganda lebih tinggi berbanding diet rendah lemak. Malah, walaupun diambil dalam jumlah yang banyak, diet rendah karbohidrat masih lebih efektif berbanding diet rendah lemak.
Diet ini juga menyebabkan kehilangan berat air. Jadi, kesan mungkin dapat dilihat seawal 1 atau 2 hari.

4. Tambah serat dalam diet anda

Selain protein, serat juga membuatkan rasa kenyang lebih lama. Selain itu, serat tidak larut air (bijiran penuh, gandum, sayur-sayuran) membantu mencegah sembelit dan serat larut air (buah-buahan, kekacang) merendahkan kadar kolesterol dalam darah.
Pemakanan adalah langkah utama dalam membuang lemak di perut. Namun, ia juga perlu disertakan dengan senaman dan aktiviti fizikal bagi memberikan hasil yang lebih efektif.

Bolehkah Memberi Madu kepada Bayi?

Oleh Helma Hassan

Ibu bapa digalakkan memberi makan pelbagai jenis makanan yang sihat untuk bayi mereka agar dapat membekalkan nutrien yang mencukupi dan mengurangkan risiko bayi mengalami tindak balas alahan pada masa akan datang. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa pengecualian.

Kaya dengan flavonoid, antioksidan dan enzim anti-radang, tidak syak lagi madu adalah salah satu makanan yang paling sihat di dunia. Jadi, mengapa kita tidak digalakkan memberikannya kepada bayi?

Kenapa madu dilarang untuk bayi?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan The American Academy of Pediatrics, madu dalam semua bentuk (walaupun dalam ubat batuk atau produk makanan yang dibakar dan diproses) dilarang sama sekali dalam diet bayi sehingga mereka mencapai usia 12 bulan. Walaupun bukan satu kemestian, madu seringkali mengandungi Clostridium botulinum, yang merupakan spora bakteria yang bertanggungjawab untuk beribu-ribu kes keracunan botulisme yang mengancam nyawa setiap tahun.

Spora Clostridium botulinum, sebagai kebanyakan bakteria anaerobik, berkembang dalam persekitaran yang rendah asid dan oksigen. Disebabkan itu, spora ini paling biasa dijumpai pada tanah dan debu. Pun begitu, spora ini juga kadangkala boleh ditemui dalam madu. Mikroorganisma yang terdapat dalam sistem pencernaan yang matang dapat menghentikan percambahan bakteria ini, tetapi saluran pencernaan dan imuniti bayi belum cukup berkembang untuk melawan C. botulinum dan pengeluaran toksinnya di dalam tubuh.

Satu lagi sebab mengapa madu tidak disyorkan untuk bayi adalah kandungan kandungan gula yang tinggi. Ibu bapa dinasihatkan untuk tidak menambah gula ke dalam diet bayi mereka kerana ia boleh merosakkan gigi baru mereka dan menggalakkan tabiat memakan makanan manis pada masa depan.
Oleh itu, jika anda ingin menambah rasa manis dalam makanan bayi anda, cuba tambah keledek, pisang atau pir – ini adalah makanan dengan rasa manis dan kaya dengan vitamin dan mineral.

Tanda dan simptom botulisme

Simptom botulisme mungkin akan kelihatan dalam masa 8 hingga 36 jam selepas pengambilan tetapi terdapat kemungkinan tanda-tanda lewat sehingga 14 hari kemudian. Sekiranya anda secara tidak sengaja memberikan bayi anda madu, beri perhatian kepada mereka dengan teliti dan hubungi doktor anda dengan segera jika mereka mula menunjukkan tanda-tanda berikut:
-Pergerakan lembik dan kelesuan
-Kurang selera makan (sukar atau penyusuan lemah
-Kesukaran menelan dan bernafas
-Banyak air liur meleleh
-Tangisan lemah dan tona otot lemah
-Ekspresi wajah kaku
-Sembelit

Rawatan botulisme

Keracunan botulisme adalah keadaan kesihatan yang mungkin membawa maut. Mengenal pasti seawal mungkin dan rawatan perubatan yang betul membolehkan bayi yang mengalami botulisme pulih sepenuhnya daripada penyakit ini.

Rawatan paling biasa untuk botulism bayi pada masa kini adalah penggunaan immuno globulin boutolisme intravena (BIGIV). Ia adalah larutan steril daripada plasma manusia (cecair darah yang jernih) yang mengandungi antibodi yang membantu meningkatkan imuniti seseorang untuk melawan bakteria yang menyebabkan penyakit. Walau bagaimanapun, apabila bayi anda menggunakan immuno globulin boutulisme, kesan sampingan biasa boleh berlaku, termasuklah:
-Loya dan muntah-muntah
-Kulit kemerahan atau ruam kulit yang ringan
-Sakit badan
-Nafas berdehit

Jika bayi anda mengalami kesukaran bernafas dan menelan yang teruk, mereka mungkin dimasukkan ke dalam ventilator serta diberi makan dengan cairan intravena dan bukannya makanan biasa.

Buku Woodward terjual 1.1 juta naskhah minggu pertama

NEW YORK: Buku tulisan wartawan penyiasatan Bob Woodward “Fear: Trump in the White House” menjadi buku terlaris dijual apabila mencecah 1.1 juta naskhah hanya pada minggu pertama ia diedarkan.

Ia juga menjadi buku paling laris pernah dijual dalam sejarah penerbit buku Simon and Schuster, kata penerbit itu semalam.

Buku yang mendedahkan mengenai maklumat dalaman dan cara pentadbiran Presiden Donald Trump beroperasi terjual sebanyak 900,000 pada 11 September lalu, hari pertama ia dilancarkan, termasuk versi cetak, audio dan digital, kata syarikat itu.

“Hanya satu perkataan yang dapat menggambarkan sambutan terhadap ‘Fear’ dan ia adalah mengagumkan,” kata presiden syarikat itu, Jonathan Karp, 94.

“Apa yang lebih menggembirakan adalah penghargaan pembaca dan pengulas terhadap integriti dan kepentingan Bob Woodward.”

Pencapaian buku itu mengatasi “Fire and Fury” oleh Michael Wolff, juga mengenai pentadbiran Trump, yang terjual lebih dari satu juta naskhah pada minggu pertama ia diedarkan Januari lalu.

Nukilan Wolff itu diikuti oleh buku tulisan bekas ketua FBI, James Comey, “A Higher Loyalty” dan “Unhinged” oleh bekas penasihat Trump, Omarosa Manigault Newman.

Trump cuba menafikan beberapa dakwaan Woodward, yang terkenal dengan liputan skandal Watergate dan peranan yang dimainkannya dalam peletakan jawatan Presiden Richard Nixon pada tahun 1974.

Beliau menggelar buku itu sebagai satu ‘jenaka’, ‘penipuan’ dan satu lagi siri serangan terhadapnya. - AFP

Cara padam akaun Facebook

Bosan dengan media sosial terutama Facebook, apa kata anda padamkan teruskan akaunnya dan hindarkan diri anda daripada dunia ‘bawang’.

Tapi, anda sudah memindah naik banyak foto dan video yang disimpan dalam pelayan Facebook dan anda tidak mahu ia lenyap begitu saja.

Ini cara mudah untuk padam Facebook, tapi boleh pindah turun semua data foto dan video anda, namun perlu diingatkan sebaik teknik ini dilakukan, tiada penyesalan atau peluang kedua untuk mengaktifkannya semula.

Simpan atau save salinan foto dan video dengan pilih ‘Settings’ dan cari ikon ‘Download a copy of your Facebook data’.

Selepas pindah turun semuanya, anda boleh cari ‘account deletion page’ dalam ruang carian pada Facebook dan pilih ‘Delete my account’. Ia agak tersorok kerana Facebook sendiri tidak mahu anda memadamkannya.

Sebaik memadamnya, ia mengambil masa 90 hari untuk semua pos dan foto dipadamkan daripada pelayan Facebook.

Sementara itu, maklumat mengenai anda masih akan berlegar di Internet.

Menyusuri Sungai Merbok

Oleh Hafiz Ithnin

Satu persatu hasil tangkapan dikeluarkan daripada pukat yang tenggelam untuk seketika di dalam sungai. Sekiranya bernasib baik, mungkin ikan bernilai tinggi seperti kelah berjaya dinaikkan pada hari itu.

Biarpun panas dipanah matahari terik, si nelayan tidak mempedulikan peluh berderai dari ubun kepala yang sudah keras. Sama seperti kerasnya tenaga mereka meranduk sampan setiap hari demi mencari rezeki.

Tentunya bagi mereka yang pernah hidup atau tinggal bersama nelayan saja dapat melihat dan merasai situasi seperti itu. Tidak keterlaluan jika dikatakan, anak yang membesar di bandar pasti tidak mengalaminya.

Seperti penulis sendiri yang dilahirkan dan membesar di kawasan bandar, hati rasa tersentuh kali pertama melihat kecekalan nelayan yang hidup di kampung bekerja keras mencari hasil tangkapan. Lebih rasa tersayat apabila nelayan tua pulang dengan tangkapan yang tidak seberapa.



Segalanya bermula ketika penulis melakukan aktiviti menyusuri Sungai Merbok di Kedah baru-baru ini bagi menikmati pemandangan alam sekitar yang menarik dan tenang.

JETI Semeling menjadi destinasi permulaan ‘pelayaran’.
Sungai Merbok, yang mengalir airnya dari Gunung Jerai sememangnya kaya dengan pelbagai kisah sejarah silam terutama kerajaan Kedah Tua yang kini menjadi tarikan pengunjung, terutama Lembah Bujang yang menjadi lokasi kajian arkeologi di Malaysia.

Menariknya, jeti Semeling menjadi lokasi permulaan penulis melakukan aktiviti itu dan ia sangat terkenal dalam kalangan pelancong kerana terdapat pelbagai kemudahan seperti restoran dan galeri. Galeri itu turut menceritakan konsep pelancongan di Kuala Muda.

Di jeti itu juga disediakan dewan seminar yang agak luas dan menjadi tumpuan sekiranya ada kumpulan pelancong atau pengkaji alam sekitar datang ke kawasan berkenaan. Ia bagi mendapatkan penjelasan daripada pelbagai pakar tempatan berkaitan konsep pelancongan seperti pelancongan arkeologi, pelancongan eko-biosfera bakau dan pelancongan geo. Biosfera adalah sistem ekologi global yang mengintegrasikan semua hidupan.

BERADA di dalam bot yang selesa ditawarkan dalam aktiviti menyusuri sungai.
Malah kelihatan juga deretan bot yang bersedia untuk membawa anda menyusuri Sungai Merbok. Lebih menarik mereka menyediakan pelbagai pakej yang boleh diubah suai mengikut permintaan pengunjung.

Pada awal perjalanan, kelihatan pokok bakau yang begitu sinonim dengan habitatnya di kawasan muara sungai. Mempunyai cengkaman akar yang begitu kuat dan memainkan peranan penting dalam ekosistem semula jadi, pokok bakau antara pelengkap pemandangan.

DERETAN bakau mewarnai pemandangan.
Ketika melayan perasaan dengan keindahan Sungai Merbok, penulis bersama rakan di dalam bot sempat melihat burung pemangsa yang cukup terkenal dengan kehebatannya memburu sang helang putih yang baru saja berjaya menangkap ikan buat santapannya dan kemudian terbang ke kawasan hutan berhampiran.

Menurut pengemudi bot, Sungai Merbok mempunyai pelbagai spesies helang yang memburu makanan di sekitarnya. Sepanjang menyusuri sungai, kelihatan juga beberapa pecahan sungai lain yang mengalir ke Sungai Merbok antaranya Sungai Langgar, Sungai Jagung, Sungai Petani dan Sungai Pasir.

KELIHATAN chalet terapung yang sentiasa menunggu pengunjung.
Deretan sangkar ikan

Ketika pengemudi membawa kami masuk ke Sungai Petani, di situlah penulis melihat seorang nelayan sedang menaikkan pukat ke dalam bot dan sempat juga kami berbual berkenaan hasil tangkapannya pada hari itu.

Nelayan warga emas yang mesra disapa Pak Long itu kelihatan begitu bersemangat menaikkan hasil tangkapannya meskipun dalam keadaan panas membahang. Bahkan, mesra melayan kami yang meminta izin untuk merakam gambarnya.

Usai merakam gambar dan berbual seketika, perjalanan diteruskan untuk menuju ke kawasan ternakan ikan sangkar di Tik Bayo milik seorang usahawan tempatan muda.

Dalam perjalanan ke sana, kelihatan juga deretan sangkar ikan ternakan yang dimiliki usahawan dan jangan terkejut sekiranya anda disapa salakan anjing. Difahamkan binatang peliharaan itu ditugaskan untuk menjaga keselamatan sangkar ikan milik tuannya.

Sebaik sampai di Tik Bayo, perusahaan ternakan ikan sangkar milik Aqua North yang diusahakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shaiful Zairi Ahmad Subhi memaklumkan kepada penulis dan rakan berkenaan aktiviti ternakannya.

MENJADI sebahagian daripada sejarah tamadun lama.
Lebih menarik perhatian, pemuda itu turut menerapkan aktiviti Sasaran Kelestarian (SDG) yang dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerusi agenda mampu milik dan penggunaan tenaga bersih, kebaikan dalam pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi serta hidupan di bawah air.

Jelas menunjukkan bahawa usahawan dalam bidang penternakan tempatan pada hari ini mempunyai nilai antarabangsa yang harus dipuji meskipun mengusahakan aktiviti perniagaan di luar bandar.

Mengakhiri aktiviti menyusuri sungai pada hari itu di salah satu destinasi penginapan di pesisir Sungai Teluk Bayo memberi pengalaman yang begitu berharga.

Jika ada yang bertanyakan sama ada berbaloi atau tidak melakukan aktiviti menyusuri sungai? Jawapannya pasti, ia antara aktiviti bermanfaat terutama bagi ibu bapa yang ingin bercuti bersama anak kerana dalam masa sama dapat berkongsi ilmu ketika mengembara.

Wajah manusia yang ajaib

Oleh

“AIR mukanya berubah dengan ketara. Jelas terpampang keresahan dan kecelaruan minda pada wajahnya setelah mendapat berita tersebut.” 

Itu antara ayat yang biasa digunakan ketika menggambarkan emosi seseorang yang ditimpa sesuatu perkara sama ada resah, sedih, duka, hampa, gembira dan sebagainya. Sungguh! Wajah atau muka manusia adalah bukti kehebatan Allah.
Sebarang perubahan emosi dapat segera dikesan pada cerminan wajah, sedangkan tiada satu pun anggota wajah yang berubah apabila si badan mengalami kegembiraan, kesedihan atau ketakutan. Hidung masih tetap di tengah wajah. 

Mulut kekal di atas dagu. Mata tidak juga merapat mendekati satu sama lain. Pipi juga tidak bertambah kembung atau kecut. Kening juga tidak keguguran bulunya. Tapi cerminan emosi dapat dilihat dengan ketara pada wajah. Kita akan tahu bahawa si tuan badan sedang marah, kecewa, sedih atau gembira hanya dengan cerminan wajah. Subhanallah! Ajaib sungguh ciptaan Allah.

Mungkin ada yang bertanya, mengapa wajah? Bukan tangan, bukan urat ibu jari, bukan kaki, bukan bahu atau anggota badan lain? Walaupun cap jari manusia lebih tepat dalam penentuan identiti seseorang, wajah tetap menjadi pilihan secara ijmak sebagai penentu identiti empunya badan.

Bukan setakat isu identiti, wajah juga boleh menjadikan manusia mabuk. Mabuk memuja wajah kekasih dambaan atau artis pujaan. Kerana sekeping wajah juga manusia sanggup berhabis dan bergolok gadai untuk alatan kosmetik atau pembedahan tukar wajah.

Wajah yang cantik juga menjadi sebab fitnah kemasyhuran seperti ujian Allah kepada Nabi Yusuf a.s. Wajah yang cantik boleh menjadi sumber pendapatan lumayan dengan profesion peragawan, peragawati dan pelakon pujaan. Subhanallah! Hebatnya ciptaan Allah. 

Dalam al-Quran, Allah banyak menggunakan wajah dalam menyampaikan mesej suka, bahagia, sedih, duka dan marah. Ayuh kita telusuri bicara al-Quran tentang wajah manusia:

Ketaatan mutlak pada Allah dilakukan dengan menghadap wajah atau jiwa pada-Nya:

“(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan wajahnya (dirinya) kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang dia berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita,” (al-Baqarah 2:112).

“Sesungguhnya aku hadapkan wajahku (diriku) kepada Allah yang mencipta langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku daripada orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain),” (al-An’am 6:79).

“Serta (diwajibkan kepadaku): ‘ Hadapkanlah seluruh wajahmu (dirimu) menuju (ke arah mengerjakan perintah) agama dengan betul dan ikhlas, dan janganlah engkau menjadi daripada orang musyrik,” (Yunus 10:103).

Musyrikin Quraish menunjukkan kebencian melampau pada al-Quran dengan ekspresi wajah

“Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat Kami yang jelas nyata, engkau akan lihat pada wajah orang yang kafir itu tanda marah dan benci, hampir sahaja mereka hendak menerkam dan menyerang orang yang membacakan ayat Kami kepada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian, mahukah, aku khabarkan kepada kamu: yang lebih buruk lagi daripada apa yang telah menyebabkan kemarahan kamu itu? Ialah neraka yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang kafir, dan itulah seburuk tempat kembali!,” (al-Hajj 22:72).

Resah marah Arab jahiliah kerana berita buruk kelahiran anak perempuan

“Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka dengan kelahiran anak perempuan, muramlah wajahnya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (berasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina, atau dia akan menanamnya hidup-
hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu,” (al-Nahl 16:58-59).


Ceria gembira dengan nikmat syurga atau sedih duka dengan azab neraka

“(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada wajah (orang) menjadi putih berseri, dan ada wajah (orang) menjadi hitam legam. Adapun orang yang hitam melegam wajahnya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu, rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”. Adapun orang yang putih berseri wajahnya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (syurga), mereka kekal di dalamnya,” (Ali ‘Imran 3:106-107).


Manusia derhaka berjalan di akhirat dengan wajah dan diseret atas wajahnya ke neraka

“Orang yang akan diseret beramai-ramai ke neraka jahanam (dengan tertiarap) atas wajahnya, mereka adalah orang yang amat buruk keadaannya dan amat sesat jalannya,” (al-Furqan 25:34).

“Semasa mereka diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas wajah mereka, (serta dikatakan kepada mereka): Rasalah kamu bakaran api neraka,” (al-Qamar 54:48).

Itu sebahagian daripada bicara wajah yang disebut al-Quran. Apa yang pasti wajah ini adalah amanah dan ujian Allah untuk manusia. 

Jika kena cara guna dan posisi letak wajah kepada Allah, maka kita akan menghadap Allah dengan wajah berseri-seri di akhirat kelak. Sebaliknya jika kita terlebih memuja wajah atau memalingkannya daripada kiblat penyembahan kepada Allah, luka laralah kita di akhirat kelak.
Ya Allah! Tetapkan wajah dan jiwa kami kepada-Mu sahaja.

Kedai dobi ‘lubuk’ penjenayah

Oleh

BEBERAPA tahun lalu, permintaan terhadap kedai dobi sentiasa meningkat saban hari.Situasi itu menyebabkan kedai dobi tumbuh umpama cen­dawan tumbuh selepas hujan.
Permintaan yang tinggi daripada pelanggan itu turut menyebabkan kedai-kedai dobi sedia ada tidak mampu untuk menampung kapasiti tersebut.

Ketika itu, kedai dobi konvensional menjadi pilihan kerana ia menawarkan perkhidmatan membasuh, melipat dan menggosok pakaian untuk menjimatkan masa pelanggan.
Namun, masa telah mengubah trend itu.

Kewujudan kedai dobi layan diri terutamanya yang berope­rasi 24 jam sehari memberi pilihan yang lebih luas kepada pengguna.

Secara perlahan-lahan, permintaan terhadap kedai dobi konvensional mula merudum sehingga memaksa pengusaha menamatkan operasi perniagaan mereka.

Ada juga pengusaha yang turut beralih kepada kedai dobi layan diri. Hari ini, kedai dobi layan diri mengambil alih peranan kedai dobi konvensional.

Bagaimanapun, cabaran untuk mengusahakan kedai dobi layan diri ini rupa-rupanya lebih sukar.
Selain bersaing sesama sendiri, pengusaha juga perlu memastikan keselamatan pengguna terjamin semasa mereka berada di premis tersebut.

Penjenayah semakin kejam. Mereka bukan sahaja sanggup mencederakan pelanggan tetapi tergamak membunuh haiwan yang tidak berdosa.

Tindakan dua lelaki yang menangkap dan memasukkan se­ekor kucing bunting ke dalam mesin pengering pakaian sehingga mati dalam keadaan berdarah akibat melecur di Taman Gombak Ria, Kuala Lumpur baru-baru ini tidak boleh dimaafkan.

Klip video daripada televisyen litar tertutup (CCTV) yang di­tularkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia itu mendapat banyak kritikan dan kata-kata maki hamun netizen.

Kedua-dua lelaki itu telah ditangkap dan dijatuhi hukuman setimpal dengan perbuatan mereka yang keji itu.

Ini yang dikatakan ‘manusia berhati binatang’ atau manusia lebih kejam daripada binatang.
Pada hari yang sama juga, tular video seorang wanita yang sedang mencuci pakaian seorang diri disamun dua lelaki bersenjatakan parang di sebuah kedai dobi layan diri di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah.

Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun dihampiri seorang lelaki yang berpura-pura kehilangan baju yang dibasuh di premis tersebut.

Suspek tiba-tiba cuba merampas beg tangan mangsa tetapi wanita tersebut menarik beg tangannya.

Suspek yang berang mengacukan sebilah parang sebelum wanita terbabit terpaksa akur dan menyerahkan beg tangannya kerana takut dicederakan.

Tidak lama kemudian, seorang lagi suspek masuk ke dalam kedai dan meragut barang kemas pada leher, tangan serta jari mangsa selain merampas kunci kereta Proton Persona sebelum melarikan diri.
Ini bukan kejadian pertama yang dilaporkan.

Sebelum ini sudah ramai pengguna kedai dobi layan diri menjadi sasaran penjenayah.

Peningkatan kes samun di kedai dobi layan diri ini berjaya menarik perhatian Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau menyarankan supaya waktu perkhidmatan kedai dobi layan diri terutamanya yang beroperasi 24 jam dikaji semula bagi mengurangkan risiko kejadian samun.

Ramai pelanggan terutamanya wanita menggunakan per­khidmatan itu selepas waktu kerja termasuk selepas pukul 12 te­ngah malam agar tidak perlu berebut dengan orang lain.

Pada masa yang sama, pengusaha kedai dobi diwajibkan memasang CCTV di dalam dan di luar premis perniagaan dalam usaha membantu mengenal pasti penjenayah.

Individu yang sering mengunjungi pusat dobi layan diri pada waktu malam pula mengelak daripada bersendirian dengan membawa teman dan pergi ke tempat lain untuk menghabiskan waktu ketika menunggu pakaian mereka dicuci.

Langkah drastik perlu diambil segera sebelum berlaku kes samun yang berakhir dengan kematian.

Ali XPDC enggan digelar ustaz

PENGHIJRAHAN yang dilakukan sejak beberapa tahun lalu tidak pernah memadamkan api seni dalam diri vokalis kumpulan XPDC, Mohd Ali Ismail atau Ali XPDC dalam dunia nyanyian.
Meskipun pernah terfikir untuk meninggalkan industri selepas nekad mengubah gaya hidup ke arah mendekatkan dirinya kepada Allah, Ali tidak mahu anugerah tersebut dipersia-siakan begitu sahaja.
Oleh sebab itu, biarpun sering sibuk dengan undangan ceramah sehingga terpaksa terbang ke luar negara, dia masih bergiat aktif dengan kumpulan XPDC melakukan konsert atau memenuhi persembahan nyanyian.

Ditemui usai majlis Tamankan Hati Warga Utusan baru-baru ini, kata lelaki berusia 50 tahun itu, kerjayanya selaku pendakwah dan penyanyi kini seimbang serta bergerak seiring dengan satu niat iaitu untuk menyampaikan mesej yang baik kepada peminat.

WARTAWAN!: Bagaimanakah Ali mengimbangi dua profil karier yang jauh berbeza iaitu selaku penyanyi dan pendakwah dalam satu masa sama?

ALI: Sebenarnya ia tidak jauh beza kerana kedua-duanya merupakan profesion yang saya sayang. Dahulu, ketika awal-awal berhijrah, saya fikir mahu bertenang sahaja dan fokus sepenuhnya dengan usaha mendalami ilmu agama. Namun saya tersedar, suara saya ini juga rezeki. Jadi, apa salahnya ia digunakan untuk jalan serta niat yang betul. Jika dahulu saya menyanyi sekadar menghiburkan, sekarang lebih ke arah menyebarkan mesej yang baik kepada peminat.

Pernahkah anda dicemuh dengan kata-kata seperti tidak layak bergelar ustaz atau sebagainya?

Saya bukan ustaz dan tidak mahu digelar begitu kerana sedar diri ini belum cukup ilmu untuk mendapat gelaran tersebut. Saya cuma berkongsi pengalaman hidup dengan harapan lebih ramai yang turut berhijrah dengan saya. Bukan saya tidak pernah dicemuh atau disindir namun itu cuma dugaan kecil. Saya pernah berdepan peristiwa ada seorang anak muda yang mengatakan dia peminat saya yang datang dan memberitahu bahawa dia suka dengan perubahan saya sekarang. Katanya, jika saya yang tua boleh berubah, mengapa tidak dia. Itu yang membuatkan saya terus bersemangat.

Adakah anda masih bersetuju menyanyikan lagu-lagu lama sewaktu menerima undangan nyanyian?

Boleh, saya tiada masalah kerana itu kenangan. Ia sudah lepas dan berlalu lagipun ramai yang mengenali saya menerusi rangkaian lagu bersama Terarossa dan XPDC.

Apakah imej pendakwah iaitu berjubah dan berkopiah seperti yang anda tampilkan ini dibawa ke pentas nyanyian?

Semuanya bergantung terhadap kesesuaian majlis dan persembahan. Saya tidak meletakkan tahap keimanan seseorang pada imej atau baju semata-mata. Kalau tidak sesuai berjubah, saya pakai sahaja baju-baju persembahan biasa.

Anda ada menyatakan selain peminat, golongan artis juga menjadi antara sasaran untuk diajak ke arah penghijrahan. Apakah cabaran terbesar apabila berdakwah dengan rakan sendiri?

Kita tidak boleh memaksa dan jangan ambil hati. Setiap kali memberi nasihat, saya serahkan kepada mereka sama ada untuk terima atau tidak. Kawan tetap kawan, ia tidak putus tetapi tanggungjawab sebagai pendakwah tetap dilakukan.

Boleh kongsikan perkembangan terkini kerjaya seni anda?

XPDC bakal mengadakan konsert bersama May tidak lama lagi, namun tarikh sidang akhbarnya masih dalam perbincangan. Saya juga bekerjasama dengan Mel Wings, Ejam EYE dan Iwan untuk sebuah album dakwah bertajuk Daie namun ia masih dalam pembikinan.

BMW keluarkan motosikal bergerak sendiri

BERLIN - Pengeluar kenderaan Jerman, BMW baru sahaja memperkenalkan sebuah model motosikal bergerak sendiri yang mana ia boleh memecut dan melengkapkan satu pusingan di litar dan parkir tanpa penunggang.

Satu klip video yang dikongsi oleh BMW Motorrad, unit pengeluaran motosikal syarikat berkenaan, menunjukkan aplikasi teknologi itu pada model R1200GS. Ia mengambil masa selama dua tahun untuk dibangunkan.
Jentera itu menggunakan satu perisian pintar yang membolehkan enjin dihidupkan, kawalan motosikal, kuasa memecut dan mengambil selekoh serta membrek tanpa campur tangan manusia.

BMW berharap teknologi kecerdasan pintar (AI) boleh membantu meningkatkan keselamatan penunggang menerusi bantuan kawalan tunggangan dan membrek dalam situasi berbahaya atas jalan.

Syarikat itu mendakwa kenderaan itu dibina bukan untuk pengguna tetapi sebagai medium memahami bagaimana ciri keselamatan baharu boleh diserapkan ke dalam rangkaian produk motosikal BMW.

Bagaimanapun, kumpulan pengkaji yang menghabiskan masa beratus-ratus jam melakukan penyelidikan dan pembangunan teknologi tersebut berharap AI itu boleh dipasang dalam model-model motosikal BWM pada masa hadapan.

Firma automotif itu tidak mendedahkan jenis teknologi yang digunakan untuk tunggangan sendiri tetapi dipercayai membabitkan kamera sensor, lidar dan teknologi AI. – Agensi

Rusia dedah bukti baharu Ukraine tembak jatuh MH17

MOSCOW – Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan semalam bahawa pihaknya mendedahkan maklumat baharu bagi menyokong dakwaan bahawa peluru berpandu yang digunakan untuk menembak jatuh sebuah pesawat milik Malaysia Airlines di Ukraine pada 2014 ditembak oleh tentera Kiev.

Pada satu sidang akhbar, kementerian itu berkata, pihaknya mendedahkan nombor siri peluru berpandu BUK itu buat kali pertama. Menurutnya, misil tersebut dibina dan dihantar ke Ukraine semasa era Kesatuan Soviet dan tidak dipulangkan ke wilayah Rusia.
“Peluru berpandu dengan nombor siri 886847379 untuk sistem misil BUK pada 29 Disember, 1986 dihantar menggunakan pengangkutan kereta api ke unit tentera nombor 20152,” agensi berita rasmi, RIA Novosti memetik seorang pegawai kanan tentera, Nikolai Parshin sebagai berkata.

Katanya, unit tentera berkenaan berpangkalan di Ukraine yang ketika itu sebahagian daripada negara Kesatuan Soviet. Beliau menambah, maklumat didedahkan itu diklasifikasikan sebagai ‘sangat sulit’.
Rusia menafikan sebarang penglibatan dalam perbuatan menembak jatih Penerbangan MH17 itu dan menampilkan beberapa teori yang menyalahkan Kiev.

Pesawat jenis Boeing 777-200 itu terbang dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur dan terhempas di luar kubu kuat pemberontak pro-Rusia di Donetsk pada 17 Julai 2014, mengakibatkan semua 298 penumpang dan krunya terbunuh. – AFP

Kena tahu 7 hal Hari Malaysia

Oleh

HARI ini kita menyambut ulang tahun ke-55 pembentukan Malaysia iaitu penyatuan Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak. Tempoh antara Hari Kebangsaan 31 Ogos hingga 16 September diistilah bulan kemerdekaan negara. Dan esok kita sambung bercuti. Sebagai bacaan santai Merrepak hari ini menyenaraikan 7 hal Hari Malaysia yang anda kena tahu:
1 Cuti Umum
Tahukah anda bahawa cuti umum 16 September hanya diisytihar sebagai cuti nasional pada 2010, iaitu lapan tahun lalu. Itu pun setahun sebelumnya, 16 September hanya cuti peringkat Sabah dan Sarawak sahaja.
Pelajar subjek sejarah harus menghafal dua tarikh keramat ini: 31 Ogos 1957 adalah hari kemerdekaan Tanah Melayu manakala 16 September 1963, hari pembentukan Malaysia yang juga secara rasmi hari kemerdekaan Sabah dan Sarawak daripada penjajahan British. Bukan Sabah, Sarawak masuk Malaysia!
2 Nama purba
Menurut satu kajian, nama yang merujuk negara kita telah dinyatakan oleh ahli kaji bintang yang hidup pada tahun 100 masihi, Ptolemy sebagai Aurea Chersonesus, bermaksud “Semenanjung Emas”.
Saya tidak berapa arif hal emas di Malaysia berbanding bijih timah dan rempah, yang merupakan komoditi utama perdagangan zaman purba di Nusantara. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, sila selidik sendiri.
3 Borneo adalah pulau
Mulanya pening juga bila disebut pulau, apakah ia menyerupai Pulau Langkawi? Kenapa tidak dipanggil benua? Susah sebab pengkaji alam menggunakan kaedah saintifik tertentu untuk tidak mengklasifikasikannya sebagai benua.
Borneo seluas lebih 744,108 kilometer persegi, adalah pulau ketiga terbesar, menyusuli Greenland dan New Guinea. Borneo kini merangkumi tiga negara iaitu Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, Brunei dan Indonesia dengan Kalimantan.
4 Sama waktu
Pada 1 Januari 1982, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika dalam era pertama beliau sebagai Perdana Menteri telah mengarahkan waktu di Semenanjung dianjak 30 minit untuk menyamai waktu di Sabah dan Sarawak. Singapura yang keluar Malaysia pada 1965, pun mengikut langkah Malaysia pada hari sama!
Mengikut satu catatan, waktu di Malaysia telah diubah sebanyak lapan kali dalam sejarah modennya iaitu pada 1932, waktu dicepatkan 20 minit untuk 'memanjangkan’ waktu siang; 1941, waktu dicepatkan lagi 10 minit; 1942, dicepatkan dua jam untuk menyamai waktu Tokyo (Jepun menakluk ketika itu) dan selepas tamat perang pada 1945, British mengembalikan kepada waktu 1941.
5 Gua Mulu
Taman Negara Gua Mulu di utara Sarawak adalah gua terbesar di dunia yang dianggarkan boleh memuatkan 40 pesawat Boeing 747. Selain itu Mulu juga diiktiraf sebagai gua terpanjang di Asia Tenggara.
Secara umumnya, pengunjung tidak gerun sangat bila meneroka gua ini sebab ruangnya yang luas, kecuali bila waktu senja apabila beribu-ribu kelawar pulang ke sarang di dalam gua. Tetapi inilah fenomena alam semula jadi yang mesti anda saksikan bila berada di Mulu.
6 Jelajah pulau di Sabah
Semua mengenali Pulau Sipadan sebagai syurga penyelam. Cuma, pulau ini ada kuota pengunjung yang tidak boleh begitu ramai pada satu-satu masa. Tidak apa. Pilihan kedua yang anda boleh pergi ialah Pulau Mabul yang terletak berhampiran.
Warna air Laut Sulu di perairan Sabah ini biru kehijauan, yang benar-benar memukau. Sabah memiliki puluhan pulau lain seperti Pulau Mantanani, Mamutik, Kapalai dan banyak lagi. Anda tidak perlu ke Maldives atau Bali. Sabah saja sudah dekat bah!
7 Asal-usul Kuching
Tiap kali lalu di hadapan arca kucing di Padungan, begitu ramai pelawat mengambil gambar di situ. Arca itu dibina oleh Dewan Bandaraya Kuching Selatan sebagai tarikan pelancong.
Kelakarnya, di belakang arca, sebuah bangunan menempatkan restoran makanan segera terpampang besar logonya yang pasti 'merosakkan’ gambar. Ada beberapa versi asal-usul nama Kuching, tetapi ramai percaya nama itu tiada kaitan pun dengan haiwan kesayangan ramai tersebut.
Sebaliknya ia diambil daripada nama anak sungai yang kini sudah tiada iaitu Sungai Kuching di mana wujud banyak pokok buah tempatan, 'mata kucing’ yang tumbuh melata di bukit yang kini menempat hotel dan pusat makanan terkenal Top Spot.
Keyakinan ini mengukuh dengan penemuan 280 duit syiling dari abad ke-16 semasa kerja perobohan bangunan panggung Rex pada 1995. Pengkaji percaya Sungai Kuching wujud dengan dermaga di situ.
Tetapi tidak mengapalah kalau ramai mengaitkan Kuching dengan kucing. Kedua-duanya disukai ramai.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER