Headlines News :

Persidangan bersejarah Dewan Rakyat yang penuh pembaharuan

Oleh  

KEHIDUPAN sebagai seorang pelajar pastinya sibuk dengan menghadiri puluhan kuliah serta perlu menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

Tidak dinafikan, dalam menjalani kehidupan di alam kampus, kadangkala masa seorang siswa sering tersekat untuk melakukan aktiviti kegemaran seperti bersosial dan riadah lantaran komitmen pelajaran yang tinggi.

Pun begitu, corak kehidupan yang dilalui seorang pemuda, P. Prabakaran, 22, sebagai pelajar jurusan undang-undang Kolej Brickfields Asia di Kuala Lumpur mungkin sedikit berbeza berbanding teman seangkatannya.

Manakan tidak, seawal usia 22 tahun, anak kelahiran ibu negara itu telah mencipta sejarah apabila dipilih menjadi Ahli Parlimen Batu susulan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

“Menjadi seorang pelajar dan pada masa sama sebagai wakil rakyat sememangnya bukan suatu tugas mudah. Namun, semua itu dianggap cabaran dan akan dilangsaikan sebaiknya demi kebaikan rakyat,” jelasnya

Pada PRU-14, Prabakaran yang bertanding atas tiket calon Bebas memperoleh undi sebanyak 38,125 menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dr. Dominic Lau Hoe Chai (13,687), calon Pas, Azhar Yahya (10,610) dan Bebas, Datuk VM Panjamothy (383).

Kemenangan Prabakaran juga disifatkan ekoran kegagalan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua bertanding di Parlimen Batu selepas pegawai pengurus pilihan raya menolak pencalonannya atas alasan dikenakan denda oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam sebanyak RM2,000 kerana mengaibkan pegawai polis.

Mengulas lanjut, Prabakaran yang kini menyertai PKR turut melahirkan rasa teruja untuk menghadiri Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 yang dijadualkan berlangsung Isnin ini hingga 16 Ogos depan
.
Teruja

“Perasaan teruja dan gementar semuanya bergabung sekali. Lebih menarik, bukan saya seorang sahaja yang pertama kali bersidang di Dewan Rakyat untuk penggal ini sebaliknya 90 ahli Parlimen baharu turut melalui perkara sama.

“Sebagai persediaan awal sebelum bersidang, saya banyak mempelajari selok-belok Parlimen daripada wakil rakyat berpengalaman seperti Tian Chua. Dia merupakan sumber inspirasi dalam mencorak perjalanan politik saya,” ujarnya.

Prabakaran turut menghantar beberapa soalan melibatkan permasalahan golongan belia dan isu perumahan rakyat kepada pihak Parlimen untuk dibahaskan pada persidangan kali ini.

Persidangan Dewan Rakyat disifatkan sebagai medan terbaik buat semua ahli Parlimen yang dilantik melalui kuasa rakyat mempamerkan kebolehan berdebat sekali gus mencari penyelesaian segala permasalahan yang berlaku.

Dalam konteks persidangan kali ini, ahli Parlimen berpengalaman dan yang baru dilantik akan berkongsi arena bagi mempamerkan kebolehan masing-masing khususnya dalam seni berdebat yang dianggap wajib untuk setiap ahli dewan.

“Untuk tiga bulan pertama, saya akan mengambil pendekatan mendengar dan memerhati sahaja perbahasan usul terutamanya daripada mereka yang lebih senior. Pengalaman sebenarnya merupakan guru terbaik untuk kita belajar sesuatu.

“Banyak ahli Parlimen berpengalaman memberi nasihat kepada saya agar mendengar terlebih dahulu untuk memahami seni perbahasan di Dewan Rakyat selain hanya perlu berhujah berdasarkan fakta kukuh serta tepat,” jelasnya.

Sejarah

Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 yang dijadualkan berlangsung Isnin ini bakal menjadi lipatan sejarah baharu negara berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) buat pertama kali berada di kerusi kerajaan.

Sebelum ini, selama hampir 61 tahun, kerusi kerajaan telah dikuasai oleh BN manakala parti politik seperti PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pas bertindak sebagai pembangkang.

Pun begitu, pada PRU-14, landskap politik negara yang dicorakkan melalui tsunami rakyat berubah sepenuhnya apabila BN gagal menguasai majoriti kerusi untuk mempertahankan posisi kerajaan di Parlimen.

Berkongsi pandangan sedemikian, Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Ahmad Marthada Mohamed memberitahu, persidangan Dewan Rakyat pada kali ini dianggap sebagai paling bersejarah dan penuh dengan pembaharuan.

Menurutnya, gelombang perubahan yang dibawa rakyat pada PRU-14 lalu telah membolehkan PH membentuk kerajaan baharu dengan majoriti mudah sekali gus mendominasi kerusi di Dewan Rakyat pada penggal kali ini.

“Ini merupakan satu permulaan yang begitu berbeza. Meskipun BN sebelum ini menguasai Parlimen namun parti tersebut dilihat gagal memperoleh majoriti kerusi seperti dimiliki PH sekarang.

“Peralihan bersejarah itu memberi gambaran jelas bahawa pentadbiran negara sedang melalui era baharu di mana pihak yang menjadi pembangkang sebelum ini diangkat menjadi barisan kerajaan dan sebaliknya,” katanya.

Situasi sedemikian turut menterjemahkan bahawa rakyat mempunyai kuasa penuh bagi mencorakkan hala tuju Malaysia melalui kerajaan yang diinginkan dan boleh menolaknya sekiranya dianggap tidak mampu membangunkan negara.

“PH bakal menjadi barisan kerajaan yang kuat di Dewan Rakyat memandangkan jumlah ahli Parlimen daripada parti itu seramai 113 orang ditambah pula dengan beberapa wakil rakyat Bebas yang lebih memihak kepada gabungan tersebut.

“Pada masa sama, tindakan pemimpin di Sarawak mengambil keputusan drastik untuk keluar daripada BN akan seterusnya membentuk gagasan Sarawak yang dilihat lebih bersifat mesra PH turut memantapkan lagi parti kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, kehadiran wakil rakyat Bebas yang dianggap sebagai sekutu PH juga disifatkan memudahkan lagi proses persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung Isnin ini.

Sekiranya ahli Bebas lain seperti Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali yang sebelum ini bertanding menggunakan tiket BN turut memihak kepada PH, sokongan kerajaan dijangka lebih menyeluruh.

“Sokongan yang diterima itu bakal memberi kelebihan kepada PH untuk membuat keputusan di Dewan Rakyat seperti menggubal undang-undang baharu tanpa mendapat bantahan daripada banyak pihak.

“Oleh itu, hasrat PH menerusi manifesto mereka pada PRU-14 yang mahu menghapuskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 berkemungkinan dapat direalisasikan susulan sokongan yang dimiliki kerajaan baharu ketika ini,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat ke-14 turut menyaksikan gabungan suara antara pemimpin berpengalaman dan juga yang masih hijau dalam arena ini sama ada mereka yang berada di pihak kerajaan mahupun di kerusi pembangkang.

Apa yang pasti, rakyat kini sedang menanti untuk melihat bagaimana PH memainkan peranan sebagai parti memerintah ketika persidangan selain corak perbahasan digunakan pemimpin pembangkang terutamanya ahli Parlimen BN.

“Saya jangkakan tiada sebarang masalah akan berlaku pada mesyuarat pertama berikutan kebanyakan ahli Dewan Rakyat sedang menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu selain mempelajari selok-belok persidangan.

Berkesan

“Meskipun ramai ahli Parlimen muda namun ini tidak bermakna persidangan penggal ini tidak berkesan serta kurang berkualiti. Melihat kepada latar belakang pendidikan yang dimiliki kebanyakan ahli dewan, saya yakin hujah berkesan dapat disampaikan,” katanya.

Kehadiran beberapa muka baharu sebagai wakil rakyat di bawah payung pimpinan kerajaan PH juga memberikan lebih warna pada persidangan kali ini kerana hujah yang bakal disampaikan mereka antara paling dinantikan.

Pastinya, kemunculan pertama kali Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai wakil rakyat kerajaan antara yang paling dinantikan memandangkan pemimpin tersebut memiliki aura bertenaga serta dinamik sewaktu memberi hujah.

“Pendebat terbaik dunia itu juga dilihat bakal mengambil aura bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ketika berdebat di Dewan Rakyat memandangkan masing-masing mempunyai kelebihan sebagai tokoh pendebat.

“Dalam pada itu, wakil pembangkang seperti Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar merupakan antara yang dijangka memberikan persaingan sihat ketika berhujah seterusnya menciptakan persidangan berkualiti,” ujarnya.

Lebih manis, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mewakili kerusi Parlimen Langkawi turut mencipta sejarah apabila kembali semula ke Dewan Rakyat selepas berehat hampir 15 tahun sebagai pemimpin utama negara.

Sementara itu, menurut Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah, Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 yang dijadualkan berlangsung Isnin ini mencatat sejarah baharu negara apabila menyaksikan paling ramai muka baharu mengangkat sumpah.

Jelasnya, seramai 90 ahli Parlimen yang kali pertama memenangi PRU-14 dan 121 ahli Parlimen pada persidangan ke-13 turut menyempurnakan istiadat mengangkat sumpah pada persidangan kali ini.

“Persidangan kali ini turut menyaksikan seramai 11 ahli Parlimen kembali semula ke Dewan Rakyat setelah sekian lama. Keadaan ini menggambarkan campuran ahli Parlimen berpengalaman dengan mereka yang kali pertama terlibat sebagai wakil rakyat.

“Selain itu, Prabakaran yang merupakan Ahli Parlimen Batu juga dikategorikan sebagai ahli Dewan Rakyat termuda yang mana beliau masih merupakan seorang pelajar,” jelasnya.

Mengenai perjalanan persidangan pertama Dewan Rakyat Isnin ini, Roosme memberitahu, ia akan dimulakan dengan majlis pemasyhuran Speaker diikuti majlis mengangkat sumpah kesemua 222 Ahli Parlimen.

Katanya, selepas itu, beliau akan menerima usul pelantikan dua Timbalan Speaker Dewan Rakyat disusuli dengan istiadat pembukaan si­dang Parlimen yang akan di­rasmikan oleh Yang di-Pertuan ­Agong, Sultan Muhammad V pada 17 Julai ini.

Fahami punca generasi baharu semakin pelik, aneh

Oleh Dr Muhammad Faisal Ashaari

AGAMA mengikat segala tingkah laku manusia kerana agama mempunyai autoriti, datang dari tuhan yang mencipta manusia.

Tradisi pula datang daripada adat yang sudah lama diamalkan oleh sesebuah masyarakat, namun generasi baharu bagaikan tidak menghargai aturan agama dan ketetapan tradisi kerana mereka mahukan gaya hidup bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Kecenderungan kepada kebebasan dan menolak tradisi menjadi rahsia umum kerana mereka generasi internet, saluran maya yang mengajar mereka erti kebebasan.

Tiada halangan dan larangan bila berada dalam dunia maya kerana mereka boleh akses dan berinteraksi dengan sesiapa yang dikehendaki. Tidak pula dimarahi apabila membelok ke kanan sedangkan 'waze' memberi panduan arah ke kiri. Inilah kelebihan internet.

Dalam dunia realiti, penuh dengan larangan dan arahan yang disusuli dengan marah dan herdikan. Inilah perkara yang mereka tidak mahu kerana bagi mereka, tiada satu yang tetap dan tidak berubah, semua sudah menjadi cair dan perlu mendakap kepelbagaian.

Cabaran kepada agama 

Ini cabaran kepada agama dan tradisi, sekiranya kedua perkara ini tidak melakukan perubahan, ia akan dianggap lapuk, kolot dan mundur. Patutlah mereka rasa bosan dengan istilah tarbiah, taat, amal dan iman.

Ada kemungkinan kebosanan itu disebabkan pendekatan agama dan tradisi tidak sesuai dengan jiwa generasi baharu. Hidup mereka yang berteraskan teknologi menuntut semua perkara menjadi cepat dan segera, mereka bosan jika lambat dan tidak berubah.

'Tak mainlah' teh tarik dan nasi dagang kerana itu cita rasa lama atau old taste. Pilihan mereka ialah makanan segera, cool blog ice, 'makaroni cheese', 'cabonara' dan masakan barat.

Mereka mahu yang baharu, sensasi, teruja, moden dan ada kelainan, mereka mahu diraikan pandangan, pendapat, hak dan keinginan. Yang lama, tradisional, lambat, garang, kasar dan bengis, semua membosankan.

Memang baharu tidak dapat elak daripada kebebasan, kelainan dan sensasi. Apabila ada pembaharuan, ia memaksa berubah dari zon selesa kepada zon baharu yang mungkin berdepan dengan pelbagai kemungkinan.

Apa yang pasti, tidak semestinya mengikut ketetapan autoriti dan amalan tradisi, ia mestilah mengikut kemahuan isi hati dan keinginan rasa nafsu. Apabila mereka mula ingin lolos dari ikatan tradisi Melayu dan panduan agama, maka jarum liberalisme bermula.

Kebebasan bukan dibuat-buat sehingga mereka perlu dimarahi untuk berubah, tetapi ia perkara yang menjadi semula jadi dalam diri mereka. Ia bukan salah acuan pendidikan di rumah atau sekolah, tetapi itulah didikan mereka terima dari internet dan media baharu yang lebih berkesan.

Cuba lihat, apabila mereka bermain permainan video dan melayari Facebook, apabila dipanggil telinga mereka bagaikan tidak lagi mendengar kata-kata orang lain.

Mak panggil pun sudah tidak dengar, orang sebelah pun tidak dihiraukan. Betul-betul fokus dan berada dalam dunia mereka sendiri yang dinamakan dengan dunia siber.

Inilah nilai baharu ditanam kepada generasi baharu, mementingkan interaksi dengan teknologi dan alam siber berbanding lain.

Apabila media baharu sudah berada di tangan, mereka juga tidak segan dan tiada sebarang halangan untuk membuat komen dan bercakap apa sahaja yang mereka mahu.

Apabila ikut suka hati dan ikut suka mulut, maka gaya bahasa pun sudah jauh berbeza dan ada kelainan dengan nilai bahasa yang diamalkan. Bahasa keras, kasar, maki hamun, sinis, sarkastik dan sebagainya adalah gaya yang mereka amalkan.

Tidak kurang pula yang pandai cakap, komen dan 'poyo', tetapi tidak pandai buat. Ini semua adalah sebahagian kesan secara tidak langsung dari internet dan media baharu yang telah banyak mengubah nilai masyarakat.

Pendekatan baharu dalam agama

Ringkasnya, mereka memerlukan pendekatan baharu dalam agama. Ya, teras dan akidah dalam agama tidak berubah, tetapi pendekatan perlu berubah. Contohnya, mereka tidak boleh terima kalau diperintah tanpa alasan logik dan ingin turut sama dalam membuat keputusan, barulah rasa dihargai.

Dari sudut tradisi Melayu pula, ia sesuatu yang membimbangkan kerana tiada yang tetap dalam sesebuah budaya, tidak seperti agama yang mempunyai kitab suci. Apa pun, ia mesti dipelihara dan dipertahankan menerusi nilai hidup yang baik dan universal.

Akhirnya, sebagai generasi lama, kita tidak boleh merungut bahawa generasi baharu jadi semakin pelik dan aneh, tetapi perlu memahami punca mereka jadi begitu. Dengan ini, kita tidak akan tertekan dan akan dapat memahami cara untuk mendekati mereka.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Kesejahteraan Ihsan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam UKM

Jangan jadikan TADIKA lubuk kaut untung

Oleh Dr Rani Ann Balaraman

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media 6 Julai lalu, bahawa akan ada satu jawatankuasa untuk mengkaji pendidikan di Malaysia, daripada peringkat prasekolah sehingga universiti amat dialu-alukan.

Penulis memuji usaha Kementerian Pendidikan yang ingin melihat semula sistem pendidikan di negara ini daripada peringkat akar umbi, prasekolah atau dirujuk juga sebagai TADIKA atau TABIKA.

Zaman prasekolah adalah suatu tempoh amat penting untuk mendidik anak menjadi manusia yang berguna pada masa hadapan.

Apa yang ingin penulis bincang dan cadangkan selain mengkaji kurikulum, modul dan silibus prasekolah atau TADIKA, Kementerian Pendidikan juga harus memberi perhatian kepada sistem pengurusan prasekolah swasta di negara ini.

Prasekolah swasta juga dijadikan satu bentuk perniagaan yang menguntungkan kepada pihak tertentu.

Caj tambahan

Bagi ibu bapa yang bekerjaya, menguruskan anak adalah satu cabaran besar dan untuk memudahkan kerja, anak dihantar ke TADIKA yang turut memberikan perkhidmatan day care.
Bayaran yang dikenakan sekitar RM550 hingga mencecah RM1,500 setiap bulan, namun ibu bapa sanggup membayar kerana anak mereka dijaga dari segala segi, termasuk pelajaran dan makan minum.

Lagi pun, menghantar anak ke mana-mana pusat asuhan, prasekolah atau TADIKA adalah pilihan ibu bapa sendiri. Jadi, anda pilih anda bayar.

Namun, apa yang menyebabkan penulis kecewa adalah sikap pengurusan sesetengah TADIKA swasta yang menangguk di air keruh. Mereka membebankan ibu bapa dengan pelbagai caj tambahan, termasuk harga buku yang keterlaluan.

Percayakah jika penulis menyatakan ada TADIKA di negara ini mengenakan bayaran RM980 untuk buku kanak-kanak yang hanya mahu digunakan bagi tempoh satu penggal atau enam bulan?

Untuk dua penggal, harga berganda menjadi RM1,960. Buku apa yang mereka gunakan sehingga mencecah ribuan ringgit? Ketika belajar di universiti pun, penulis tidak pernah menghabiskan wang sebanyak itu untuk membeli buku.

Ada juga TADIKA yang pandai dalam konsep 'pembingkaian' dan membuat program dalam program.

Maksudnya ibu bapa membayar untuk khidmat pengajaran dan pembelajaran bagi tempoh sebulan, kemudian pihak TADIKA muncul pula dengan idea menganjurkan program lain dalam masa sama dengan sesi pembelajaran.

Program seperti kem alam sekitar, drama dan sebagainya dianjurkan ketika pengajaran dan pembelajaran, iaitu Isnin hingga Jumaat dan ibu bapa harus membayar untuk anak mereka menyertai program itu.

Harga yang dikenakan pula bukan murah. Untuk satu program selama tiga hari, kos dikenakan RM150 hingga RM300.

Kesan psikologi

Persoalannya ialah ibu bapa sudah membayar bagi tempoh sebulan dan mereka perlu membayar sekali lagi untuk program sampingan.

Apabila ditimbulkan persoalan apa akan jadi kepada anak yang tidak menyertai program itu, jawapan yang diberikan ialah anak akan belajar seperti biasa.

Adakah pihak berkenaan sedar perasaan anak yang tidak menyertai kawan lain. Apa logiknya pihak TADIKA membuat program menggunakan konsep pembingkaian tanpa mengambil kira kesan psikologi yang bakal dihadapi anak kecil ini.

TADIKA swasta juga berlumba-lumba memperkenalkan pelbagai silibus baharu dari serata dunia dan yang pasti setiap satu silibus pelik ini harus disertai dengan bayaran daripada ibu bapa.

Begitu juga dengan penganjuran konsert kanak-kanak yang dibuat di tempat mewah. Ibu bapa terpaksa membayar untuk kos pakaian, tiket masuk ke konsert untuk melihat persembahan anak sendiri dan makanan.

Kemudian, ibu bapa juga terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli gambar konsert disertai anak mereka yang boleh mencecah RM5 sekeping.

Ibu bapa membayar semua permintaan kewangan daripada TADIKA. Ada yang terpaksa bayar disebabkan tidak mahu mencari masalah kerana jika menyoal logik untuk segala pembayaran itu, mereka diminta untuk mencari TADIKA lain yang lebih murah.

Percayalah, tiada ibu bapa mahu menghantar anak mereka ke TADIKA baharu kerana ia bukan sahaja akan memberikan kesan psikologi kepada anak kecil ini, tetapi kos untuk berbuat demikian boleh mencecah sehingga RM2,500.

Ia termasuk deposit, harga buku, insurans, pakaian seragam, beg, bahan penjagaan badan, harga bahan lain dan segala jenis kos yang tidak masuk akal.

Sifat kapitalis

Bukan semua ibu bapa mampu dan mahu membayar semahal itu untuk anak mereka, tetapi terpaksa kerana sudah terjebak.

Mereka hanya bertahan dan berharap supaya anak segera menamatkan pendidikan prasekolah dan ke sekolah rendah agar azab untuk menghantar anak ke TADIKA yang bersifat kapitalis dapat ditamatkan dengan segera.

Diharap usaha Kementerian Pendidikan untuk mengkaji semula sistem prasekolah di negara ini dapat memartabatkan kelas sedemikian yang dianjurkan agensi kerajaan sendiri seperti TABIKA Perpaduan.

Ia diharap dapat mentransformasikan kelas berkenaan menjadi pusat pendidikan prasekolah yang boleh menyelesaikan masalah ramai ibu bapa di negara ini.

Kementerian Pendidikan juga dirayu melihat semula semua aspek yang membabitkan TADIKA swasta di negara ini, bukan sahaja dari segi kurikulum, modul dan silibus, tetapi juga kelayakan tenaga pengajar, bayaran dikenakan dan sistem pengurusannya.

Semua langkah itu perlu untuk menjadikan pendidikan prasekolah di negara kita sebagai pusat untuk menimba ilmu asas serta melahirkan kanak-kanak yang mempunyai kehidupan.

Kita tidak mahu kelas prasekolah dieksploitasi dan kanak-kanak yang menyertai kelas berkenaan sebagai sebagai 'lubuk' untuk mengaut keuntungan.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER