Headlines News :

Rasional kerajaan kaji semula projek mega

Oleh

SILIH ganti pemimpin, sama ada bertunjangkan perjuangan parti sama atau berbeza sudah menjadi lumrah dalam dunia politik. Keadaan sama turut berlaku di negara ini. Selama lebih 61 tahun merdeka, negara telah melalui zaman kepimpinan enam Perdana Menteri. 

Bermula dengan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga ke Perdana Menteri sekarang, Tun Dr. Mahathir Mohammad yang sebelum ini pernah memegang jawatan sama antara tahun 1982 hingga 2003.

Sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, tampuk pentadbiran negara dikuasai parti Barisan Nasional tetapi selepas rakyat memilih pada Pilihan Raya Umum ke-14, 
9 Mei lalu, skripnya berbeza apabila Pakatan Harapan berjaya menewaskan gabungan 13 parti komponen tersebut.

Di bawah pentadbiran baharu kerajaan, banyak perubahan yang dilakukan oleh pasukan Mahathir. Antaranya membatalkan atau menyemak semula projek-projek mega yang sebahagian proses pelaksanaannya telah bermula pada zaman Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antara yang menjadi ‘mangsa’ perubahan tersebut ialah projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 3 (MRT3) bernilai kira-kira RM45 bilion. Rancangan pembangunan itu merupakan kesinambungan projek MRT1 dan MRT2.

Projek MRT1 sepanjang 51 kilometer menghubungkan Sungai Buloh-Kajang telah siap dan beroperasi sepenuhnya tahun lalu manakala projek MRT2 sepanjang 52.2 kilometer antara Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada tahun 2022.

MRT3 iaitu projek terakhir bagi Projek MRT Lembah Klang yang masih di peringkat perancangan dan pembangunan bagaimanapun ia dibatalkan selepas kerajaan mengambil kira implikasi ke atas ekonomi dan kewangan negara.

Selain itu, dua rancangan pembangunan infrastruktur lain iaitu pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-Singapura) pula dikatakan bakal mengalami nasib sama. Begitu juga Tun Razak Exchange (TRX) yang turut mendapat tempias.

Bagaimanapun, selepas membuat semakan dan penilaian semula berkenaan kos dan isu-isu berkaitan, kerajaan bersetuju untuk meneruskan projek TRX dan ECRL manakala projek HSR akan dikaji semula.

Menurut Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Mohd. Azlan Shah Zaidi, perubahan pelaksanaan sesuatu projek atau dasar sememangnya tidak dapat dinafikan apabila berlakunya pertukaran pucuk pimpinan.

“Konsepnya adalah sama di peringkat jabatan ataupun di peringkat jawatan tertinggi seperti di kedudukan Perdana Menteri.

“Apa yang saya nampak ialah masing-masing mahukan sesuatu yang baik kepada negara tetapi mungkin cara seseorang pemimpin melihat atau memproses sesuatu keadaan projek itu dengan cara berbeza,” katanya ketika dihubungi Jurnal baru-baru ini.

Jelasnya, sebagai perbandingan antara dua pemimpin, Najib mahu melaksanakan pelbagai projek mega untuk merancakkan pembangunan ekonomi negara tetapi Mahathir melihat kebanyakan projek tersebut membebankan kewangan negara dan seterusnya bertindak membatalkan atau membuat penilaian semula.

Nasib malang

Bagaimanapun, bukan hanya ‘projek Najib’ menerima nasib malang tetapi perkara sama turut berlaku ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri kelima pada tahun 2003 apabila beliau membatalkan beberapa projek yang dirancang di bawah pentadbiran Mahathir.

Antaranya projek jambatan bengkok bagi menggantikan Tambak Johor menghubungkan Malaysia-Singapura berharga RM620 juta di sebelah Malaysia yang kerja-kerja awal telah pun dijalankan. 

Projek jambatan tersebut merupakan sebahagian daripada Projek Bersepadu Gerbang Selatan.
Alasan pembatalan tersebut dilakukan bagi mengelak implikasi dan komplikasi undang-undang yang mungkin berbangkit antaranya berkaitan permintaan Singapura untuk mendapatkan bekalan pasir dan menggunakan ruang udara negara.

Selain itu, Abdullah turut menangguhkan projek landasan kereta api elektrik berkembar sepanjang 636 kilometer menghubungkan Ipoh dengan Padang Besar dan Seremban dengan Johor Bahru. Ia merupakan sebahagian rangkaian Kereta Api Trans-Asia bermula di Singapura dan berakhir di Kunming, China.

Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia, Mohamad Noorizuddin Nooh, penilaian semula terhadap projek pembangunan biasanya dipengaruhi oleh polisi ekonomi yang diguna pakai oleh seseorang pemimpin itu selain jangkaan kos kewangan pembangunan serta kos penyelengaraan projek pada masa akan datang.

“Ahli ekonomi melihat polisi yang diguna pakai oleh Mahathir adalah berbeza dengan Abdullah dan Najib. Ini kerana Abdullah dan Najib dilihat lebih kepada penggunaan polisi ekonomi fiskal untuk merancakkan kedudukan ekonomi negara.

“Sementara polisi yang digunakan oleh Mahathir pula lebih kepada campuran antara polisi kewangan dan fiskal menyebabkan pendekatan yang digunakan pemimpin tersebut berbeza,” katanya.

Jelasnya, pembangunan serta projek-projek mega banyak dilakukan melalui polisi ekonomi fiskal. Ia bagi meningkatkan perbelanjaan agregat dalam ekonomi dengan mencipta peluang lebih banyak peluang pekerjaan dengan perbelanjaan oleh kerajaan.

Sementara polisi kewangan ialah dasar kerajaan yang dijalankan oleh Bank Pusat untuk mengawal penawaran wang dan kadar faedah.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER