Itu prinsip asas dalam bicara kepemimpinan. Pun begitu manusia rakus lagi tamak sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat jawatan. Lebih parah lagi apabila ada yang sanggup menunggang agama dalam usaha mengejar jawatan.
“Saya melobi untuk jawatan ini kerana mencontohi Nabi Yusuf. Bukan kecil jawatan yang dipinta oleh Baginda, tetapi terus jawatan kedua tertinggi dalam empayar Mesir Purba. Itulah pendorong utama usaha saya ini.”
Usah membanding diri dengan Nabi Yusuf, debu di tepi kaki kuda Baginda jauh lebih mulia daripada kita. Manusia rakus sebegini wajib meneliti hadis Rasulullah ini:
Abdul Rahman bin Samurah r.a. menceritakan bahawa Nabi SAW bersabda: “Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah engkau meminta jawatan, kerana jika engkau diberi jawatan itu kerana permintaan, nescaya engkau diserahkan kepada jawatan itu. Tetapi kalau jawatan itu diberikan kepada engkau, tanpa permintaan, nescaya engkau akan mendapat bantuan dalam melaksanakannya. Apabila engkau bersumpah (untuk menjalankan atau meninggalkan sesuatu hal), kemudian engkau lihat ada yang lebih baik daripada itu, hendaklah engkau langgar sumpahmu itu dengan membayar kaffarah dan perbuatlah yang lebih baik.” - Sahih Bukhari dan Muslim.

KENAPA NABI YUSUF BOLEH MINTA JAWATAN?
Setelah membaca hadis ini timbul soalan jika kita tak dibenarkan meminta jawatan, mengapa pula Nabi Yusuf secara terang meminta jawatan setelah dibebaskan dari penjara?
“Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan itu), raja berkata: Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa mengadap dan raja) bercakap dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai dalam kalangan kami. Yusuf berkata: Lantiklah aku menjadi pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya,” (Yusuf [12:54-55]).
Kejahilan kepada rahsia sebenar kisah ini menyebabkan sesetengah manusia berasa tidak salah meminta atau melobi jawatan walau kelayakan dan integriti mereka masih jauh daripada Nabi Yusuf. 
Bak kata pepatah Melayu, jauh panggang daripada api. Baginda tidak bertindak kosong tanpa petunjuk. Takbir mimpi yang Baginda berikan kepada raja Mesir adalah ‘sinaran wahyu’ dan sebuah tauliah pelantikan sebagai Menteri Kewangan Mesir. Allah mewahyukan kepada Baginda bahawa ‘Mesir hanya selamat daripada bencana ini di bawah pengurusanmu sebagai menteri.’
Subhanallah! Allah itu Maha Kaya lagi Maha Bijaksana, mimpi raja Mesir itu rupanya bercabang tiga iaitu:
1. Sebab pembebasan Yusuf
2. Pelantikan Baginda sebagai menteri penyelamat Mesir
3. Sebab agama Tauhid bersinar di Mesir.
Setelah bebas, Yusuf segera melaksanakan wahyu itu dengan meminta jawatan tersebut. Kepada penggila jawatan dan kuasa di luar sana, kuasa, jawatan dan pangkat adalah amanah. Orang yang benar-benar sedar tentang beratnya amanah jawatan tidak bersorak gembira setelah dilantik jauh sekali berhabis demi mendapat jawatan itu.
IBRAH KISAH UMAR ABDUL AZIZ
Bacalah kisah khalifah adil Umar bin Abdul Aziz ini:
“Ata’ bin Abi Rabah menyebut bahawa Fatimah (isteri kepada) Umar bin Abdul Aziz menceritakan padanya: “Suatu hari aku masuk bertemu dengan Umar dalam tempat solatnya sedang air mata Umar membasahi janggutnya. Aku (Fatimah) bertanya: Wahai Amirul Mukminin ada sesuatukah yang berlaku?” Beliau menjawab: Wahai Fatimah aku bertanggungjawab terhadap umat Muhammad SAW baik yang berkulit hitam atau berkulit merah.
Lalu aku terfikir tentang nasib orang fakir yang kelaparan, orang sakit yang kehilangan, orang yang tidak berpakaian lagi susah, orang yang dizalimi lagi ditindas, orang asing yang tertawan, orang tua, orang yang mempunyai anak ramai serta harta yang sedikit dan seumpamanya di segenap penjuru bumi dan hujung negeri. Maka aku sedar bahawa Tuhanku pasti akan menyoalku tentang mereka kelak pada hari kiamat, lalu aku sangat takut jika aku tidak mempunyai hujah (mempertahan diriku), maka (itulah yang menyebabkan) aku menangis,” - Tarikh al-Khulafa’ oleh Imam al-Suyuti.
Setelah faham hakikat jawatan, ucaplah takziah bersama tahniah kepada sesiapa yang baru dilantik. Tahniah kerana Allah memberikan peluang kepada mereka untuk berbakti kepada umat dan menegakkan hukum Allah atas posisi yang ditanggung. Takziah pula sebagai suatu peringatan jika mereka gagal menjalankan amanah kepimpinan yang bakal disoal kelak.