Headlines News :

Palestin ancam beku hubungan AS

RAMALLAH  – Palestin mengancam untuk membekukan hubungannya dengan Amerika Syarikat (AS) jika negara itu bertegas menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington.

Menurut Setiausaha Agung PLO, Saeb Erekat, pihaknya telah memaklumkan kepada Washington bahawa segala komunikasi dengan pentadbiran AS akan di­sekat susulan tindakan terbabit.
PLO yang merupakan orga­nisasi mewakili seluruh rakyat Palestin perlu mendapatkan kebenaran menjalankan operasinya di premis tersebut setiap enam bulan.

Dalam pada itu, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Malki berkata, ini adalah kali pertama sejak 1980 Jabatan Dalam Negeri AS menolak permohonan mereka.

Selain itu jelas beliau, pihak­nya telah menerima surat dari Washing­ton dua hari lalu yang memaklumkan Setiausaha Negara AS tidak menemukan alasan mencukupi bagi memastikan pejabat tersebut terus beroperasi.

“Ini tidak pernah berlaku dahulu dan kami telah meminta penjelasan Jabatan Negara AS dan White House. Kami akan me­ngadakan pertemuan dengan pakar undang-undang esok. Mereka akan memberikan jawapan yang lebih jelas,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeina berkata, tindakan AS itu bukan satu langkah sewajarnya dalam sejarah hubungan Palestin-Amerika.

“Tindakan tersebut hanya me­rumitkan usaha untuk mencapai keamanan,” katanya.

Dalam perkembangan berlai­nan, seramai 300 penduduk Kampung Jabal al-Baba di timur Baitulmaqdis, Tebing Barat berdepan ancaman kehilangan tempat tinggal selepas rejim Zionis mengeluarkan arahan pemindahan di situ.

“Penduduk mula bimbang akan masa depan mereka yang tidak menentu. Mereka telah tinggal di sini sejak dulu lagi dan semua ini akan dimusnahkan bila-bila masa,” kata ketua komuniti tempatan, Atalah Jahalen kepada Al-Jazeera.

Arahan itu menyuruh penduduk mengosongkan kediaman dalam tempoh lapan hari dan sekiranya ingkar, mereka akan diusir keluar oleh rejim Zionis. – AGENSI

China Mendominasi Senarai Teratas Super Komputer

Ya, jangan tak pecaya kerana sekarang negara China telah mengatasi negara Amerika Syarikat dalam senarai paling banyak sistem super komputer terpantas di dunia. Negara China sekarang mempunyai 202 mesin super komputer iaitu merupakan pencapaian paling tertinggi di dunia, menurut laman kajian Top 500.

Amerika Syarikat mempunyai 143 sistem super komputer dan sebenarnya ia masih tahap terendah sejak 25 tahun yang lalu, tetapi masih mendapat tempat kedua.

Jepun diletakkan tangga ketiga dengan 35 sistem super komputer dan Jerman tangga keempat dengan 20 sistem super komputer.

Hal ini disebab faktor utama iaitu, peningkatan pelaburan China dalam penyelidikan dan pembangunan, serta menurut satu kajian lain baru-baru ini, negara china kini menyumbang kira-kira 20% daripada jumlah pengeluaran R & D di dunia.


Super komputer DKRZ yang berada di Jerman

Sedikit fakta sains tentang super komputer: 

Super komputer biasanya berskala besar dan merupakan sistem yang sangat mahal kerana memaparkan puluhan ribu pemproses yang direka untuk menjalankan tugas-tugas pengiraan khusus yang intensif.

Contohnya termasuk, kajian perubahan iklim, simulasi senjata nuklear, prospek minyak, ramalan cuaca, data DNA dan pemodelan biomolekul

Prestasi super komputer biasanya diukur dalam petaflops (satu ribu triliun operasi terapung per saat). Flop boleh dianggap sebagai langkah dalam perhitungan.

Komputer terpantas China yang dinamakan sebagai Sunway Taihu Light kini mengekalkan pendahulunya sebagai yang paling cepat di dunia iaitu sebanyak 93 petaflops.

Sebaliknya, Titan yang terpantas Amerika Syarikat kini menduduki tempat kelima di dunia, dengan prestasi sebanyak 17.6 petaflops.


Angka tersebut sebenarnya menunjukkan China telah mengatasi Amerika Syarikat dari segi prestasi agregat, menyumbang 35.4% daripada jumlah kuasa pemprosesan senarai berbanding Amerika Syarikat 29.6%.

Erich Strohmaier salah seorang pengasas bersama itu memberitahu berita BBC bahawa banyak sistem di negera China telah diwujudkan untuk mendapatkan wang dengan pemilik menyewakan kuasa pemprosesan mereka kepada firma tempatan dan antarabangsa.


Erich memberitahu kenapa dua sebab utama belaku pekara ini terjadi:

Salah satunya adalah prestasi yang ditunjukan dengan menjadi peneraju utama dalam pasaran yang dulu menjadi contoh utama penguasaan teknologi Amerika Syarikat.

"Yang satu lagi berkaitan dengan penerokaan saintifik dan keselamatan negara dan sebenarnya banyak sistem ini digunakan untuk tujuan pengiraan yang berkaitan dengan sistem senjata."

Lelaki Juga Wajib 'Berhijab''

Oleh

BERCAKAP mengenai hijab, pastinya terbayang dalam fikiran kebanyakan kita menggambarkan sesuatu pakaian atau objek yang digunakan oleh wanita Muslim untuk menutup rambut atau dengan kata mudah bertudung.

Namun, menurut pendakwah antarabangsa, Rahmatullah Nowruz, bukan sahaja kepada wanita tetapi kewajipan berhijab dengan sempurna turut terikat bagi lelaki beragama Islam.

Beliau berkata, ini kerana definisi hijab sebenarnya bukan bermaksud seperti difahami oleh kebanyakan umat Islam, sebaliknya bermakna menutup anggota tubuh daripada perkara yang diharamkan mengikut pengertian bahasa Arab.

Menerusi ceramah ringkas dalam talian, pendakwah kelahiran Afghanistan itu menjelaskan, beliau terpanggil ingin berkongsi peringatan itu selepas melihat situasi sebenar ketika berdakwah di Malaysia.

“Selama lebih tiga tahun menjalankan dakwah di Malaysia, apa yang saya perhatikan adalah kebanyakan wanita Muslim berpakaian sempurna dan lengkap berhijab, malangnya lelaki yang berada di samping wanita itu berpakaian sebaliknya dengan berseluar pendek sehingga nampak lutut.
“Perlu kita tekankan bahawa, kewajipan hijab ini bukan sahaja kepada wanita, tetapi lelaki juga perlu mematuhi aturan yang diperintahkan syariat Islam. 

“Oleh itu, dalam apa keadaan sekalipun, sama ada kamu lelaki atau wanita, menyempurnakan hijab adalah tuntutan yang diwajibkan kepada kita semua,” katanya.

Selama berdakwah di Malaysia, Nowruz berjaya menarik lebih 25 orang yang majoritinya masyarakat Cina memeluk Islam. 

Tidak dinafikan tambahnya, keadaan semasa dilihat menyukarkan segelintir umat Islam untuk menutup aurat dengan sempurna. Bagaimanapun, katanya, kekangan itu bukan alasan untuk melanggar perintah agama.

“Saya pernah berjumpa dan bertanya kepada seorang wanita Muslimah yang bertudung tetapi memakai seluar jeans ketat, “Mengapa kamu berhijab? Dia menjawab, “kerana ini ajaran Islam.” 

Lalu saya menasihatkannya, “kamu hanya mentaati 50 peratus sahaja syariat, sebaliknya sebahagian lagi kerana terikut-ikut budaya masyarakat umum. Perkara ini menyalahi agama dan kamu seharusnya mentaati perintah ini 100 peratus dengan berusaha mematuhinya,” ujarnya.

Berkongsi panduan mudah bagi mematuhi batasan hijab, Nowruz berkata, terdapat enam langkah perlu diberi perhatian oleh umat Islam agar tidak melanggar kewajipan tersebut, iaitu:

1- Bagi lelaki, wajib menutup anggota tubuh dari pusat hingga ke lutut. Cara mudah adalah memakai seluar panjang melebihi lutut.

2- Bagi wanita, wajib menutup seluruh tubuh kecuali wajah dan pergelangan tangan, bergantung kepada persekitaran dan bersama siapa mereka berada.

3- Bagi lelaki dan wanita, tidak boleh memakai seluar atau jeans ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh.

4- Pakaian tidak terlalu nipis sehingga menampakkan anggota tubuh.

5- Tidak boleh memperagakan pakaian yang menjadi simbol agama lain. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka.” - Riwayat Ahmad

6- Lelaki tidak boleh memakai pakaian wanita, begitu juga sebaliknya

“Apa yang saya perhatikan di Malaysia, kita akan menemukan hampir semua wanita memakai tudung, tetapi malangnya ramai yang memakai seluar atau jeans ketat sehingga kelihatan bentuk tubuh. 

“Sama ada lelaki atau wanita, ini jelas bertentangan dengan syariat dan diharamkan dalam Islam. Saya tidak tahu mengapa mereka masih menyebutnya sebagai hijab?

“Di mana sahaja kamu membeli pakaian dan memakainya, ingatlah enam panduan ini. Jika kamu merasakan sesuai dengan diri kita, alhamdulillah, jika sebaliknya kamu perlu menilai kembali prinsip dan pegangan agama kamu,” jelasnya

Tips Kereta Yang DITenggelami Air/Banjir


Sebelum tenggelam:

1. Jika kenderaan memang tidak boleh dilarikan ke tempat yang lebih tinggi dan ekzos kenderaan masih belum ditenggelami banjir, maka sumbatlah lubang ekzos tersebut dengan sesuatu yang padat dan kalis air. Contohnya menutupnya dengan plastik.

2. Cabut terminal bateri kerana kita tidak tahu berapa lama kenderaan kita akan dibiarkan tanpa dihidupkan kerana musibah banjir bermacam-macam peringkat.

3. Selamatkan barang-barang yang dirasakan penting terutama yang mudah rosak akibat air. Pendek kata, selamatkan semua yang boleh diselamatkan kerana banjir bukanlah air biasa, tetapi air berlumpur.

Ketika tenggelam:

1. Kenderaan yang sedang ditenggelami banjir jangan dihidupkan enjinnya terutama apabila air banjir mulai menutup ekzos kenderaan dan bahagian enjin . Apatah lagi cuba untuk memandunya meredah banjir.

Setelah banjir surut:

1. Selepas banjir telah surut, jangan hidupkan enjin! Jangan hidupkan enjin! Jangan hidupkan enjin! Inilah pantang besar jika kenderaan anda ditenggelami banjir besar, iaitu jangan hidupkan enjin!

2. Panggil lori tunda untuk ditunda ke bengkel yang dipercayai. Komponen utama seperti enjin dan transmission mungkin akan rosak. Samada rosak banyak atau rosak sikit. Enjin mungkin tak perlu overhaul, sekadar flush minyak enjin beberapa kali. In shaa’ ALLAH enjin OK. Kalau enjin dihidupkan semasa atau selepas banjir surut, maka enjin akan mengalami kerosakan yang lebih parah.

3. Sistem transmisi pula kalau jenis manual, maka prosesnya sama macam enjin. Flush minyaknya beberapa kali sampai tiada air di dalamnya. Hal ini mekanik akan nasihat. Mungkin 3 hingga 5 kali flush. Atau mungkin lebih. Tapi kalau sistem transmisi jenis auto, mungkin ada masalah yang lebih besar. Kemungkinan kena overhaul atau lebih teruk dari itu iaitu tak dapat diselamatkan. Terpaksa tukar gear box baru. Harap-harap tidaklah sampai macam itu.

4. Sistem elektornik boleh selamat in shaa’ ALLAH. Cuma dalam masa yang panjang, mungkin baru nampak kesannya.

5. Kusyen pula memang kotor dan berbau habislah. Kena cuci samada upah atau sendiri. Kadang-kadang pihak bengkel ada tawarkan juga khidmat cuci kenderaan dan kusyen khas akibat banjir. Khidmat cuci kenderaan akibat banjir ni memang mahal harganya sebab mereka akan buka habis kerusi dalam kereta dan cuci dengan teliti. Selepas siap dicuci, bau tidak menyenangkan tetap juga wujud selama beberapa tempoh. Terpaksa bersabarlah dengan bau tersebut tu dalam lebih kurang sebulan. Lama-lama OK, in shaa’ ALLAH.

Itulah setakat yang saya tahu dan mampu berkongsi. Ini pun tahu sebab dulu kereta pernah tenggelam banjir. Kalau tuan/puan ada nasihat-nasihat lain, silakanlah kongsi. Dan kalau maklumat di atas tidak tepat, silalah betulkan. In shaa’ ALLAH kita sama-sama berkongsi untuk kebaikan bersama.

Mengenai kos pembaikan, ia sangat subjektif. Bergantung kepada kita samada ada hidupkan enjin atau tidak. Jika hidupkan enjin, maka kos pembaikan akan menjadi tinggi kerana komponen enjin boleh banyak rosak. Jika tidak hidupkan enjin, maka mungkin kosnya tidak tinggi sangat. Lagi satu faktor ialah jenis kenderaan. Pihak bengkel akan nasihatkan proses semuanya. Jadi pemilihan bengkel yang dipercayai juga merupakan faktor yang penting.

Semoga ALLAH Ta`ala mempermudahkan urusan semua saudara-saudara kita yang mengalami musibah banjir, dikuatkan kesabaran, dikurniakan kebaikan dari sisiNYA, diberikan keselamatan dan dikeluarkan dari musibah tersebut dengan segera, amin…
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER