Headlines News :

Sejarah penerbitan Harakah

Oleh M FAQIH
 
Pengenalan:
PAS melebarkan pengaruh hanya melalui majlis- majlis penerangan yang dianjurkan di seluruh Tanah Melayu ketika awal penubuhannya di Pulau Pinang pada tahun 1951. Di Kelantan PAS diperkenalkan oleh Setiausaha Agungnya, Othman Abdullah dan Setiausaha Kerja PAS, Mohd Asri Muda pada satu majlis penerangan yang diadakan di Dewan Majlis Agama Islam Kelantan pada tahun 1953.

Menurut Salahuddin Abdullah sambutan majlis penerangan itu cukup menggalakkan sehingga PAS mulai bertapak di Kelantan dan Mohd Asri Muda dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan serta Terengganu.

Mohd Asri kembali ke Kelantan pada 1953 selepas menetap di Madrasah al- Misriyyah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerana bekerja sebagai Setiausaha Kerja PAS di pejabat agung parti itu.

Menurut Salahuddin se lepas kembali ke Kelantan Mohd Asri berusaha menubuh cawangan-cawangan PAS di seluruh jajahan di negeri tersebut.

Usaha mengembangkan PAS melalui majlis-majlis penerangan diadakan memandangkan PAS tidak mempunyai kemudahan lain bagi menyampaikan maklumat mengenai parti kepada orang ramai.

Yang Dipertua Agung PAS ketiga, Mohd Asri Muda pernah mengusahakan penerbitan majalah Penyedar yang diterbit atas nama Badan Kebajikan Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu mengikut jejak langkah Indonesia.[1]

Risalah awal diterbit PAS
Selepas bertapak agak kukuh di Tanah Melayu PAS mengusahakan beberapa penerbitan berupa risalah sebagai medium maklumat kepada orang ramai terutamanya ahli-ahli atau penyokongnya di seluruh negara. Menurut Subky Abdul Latif penerbitan tersebut diberi nama Suara Islam dan Bulan Bintang.

Suara Islam diberi nama oleh Timbalan Yang Dipertuan Agung PAS, Zulkiflee Muhamad.[2]

Suara Islam merupakan media rasmi PAS Pusat, di mana pada peringkat awal diterbit hanya secara stansil (Salahuddin Abdullah, 2010:47).

Bagaimanapun menurut Subky nama Suara Islam kemudiannya tukar pula kepada Bulan Bintang pada zaman Mohd Asri Muda. Beliau dilantik sebagai Yang Dipertuan Agung PAS pada 1965.

Pemimpin PAS juga pernah berusaha untuk memiliki akhbar Warta Negara, namun ia tidak menjadi kenyataan.

Usaha itu dirintis Haji Yusof Abdullah al Rawi, Zulkiflee Mohamad, Mohd Asri Muda dan Nik Man Nik Muhamad.

Pada 1954 Mohd Asri mewujudkan Badan Perhubungan PAS Kelantan dengan menyewa sebuah rumah di Jalan Sultanah Zainab Kota Bharu dan pejabat itu juga sebagai tempat bagi menerbitkan suara rasmi PAS iaitu Majalah Suara Islam.

Majalah Suara Islam yang diusahakan Mohd Asri merupakan media rasmi PAS Pusat. Pada peringkat awal diterbit hanya menggunakan kaedah stansil, kemudian selepas itu baru di cetak di kilang percetakan milik Majlis Agama Islam Kelantan.

Menurut Salahuddin Abdullah Majalah Suara Islam diterbit pertama kali pada 17 Disember 1956. Antara penulis yang aktif menyumbang rencana untuk majalah Suara Islam ialah Ustaz Manggaiti terkenal dengan nama penanya Said al-Hadi.

Beliau ketika itu bertugas sebagai pegawai agama di Jabatan Agama Islam Johor.

Suara Islam bilangan empat tahun ketiga antara lain memuatkan rencana mengenai jihad akbar, tinjauan politik tanah air, kita dan pilihan raya, dari hati ke hati, di sekitar cita-cita politik PAS dan lain-lain.

Rencana pengarang yang diberi tajuk Jihad Akbar antara lain mengupas mengenai persediaan menghadapi pilihan raya yang dianggap sebagai kemuncak bagi pertarungan parti-parti politik sehingga muncul suasana hentam menghentam begitu hebat dan dahsyat dalam usaha mencari undi.

Oleh itu pengarang mengingatkan
pemimpinpemimpin dan ahli-ahli PAS supaya sentiasa bersikap tenang dan berwaspada dalam menghadapi gelora tersebut. Pengarang juga mengingatkan medan pilihan raya itu sebagai ujian atas keteguhan iman dalam perjuangan.

Menurut Salahuddin ekoran penerbitan majalah Suara Islam, PAS mulai mendapat sambutan rakyat terutamanya golongan ulama yang mengetuai institusi- institusi pondok yang terdapat di Kelantan.

“Apakah kita masih percaya atau tidak kepada kemampuan Islam boleh menyelesaikan soal-soal kekurangan atau Islam itu hanya agama untuk manusia semata-mata. Kita minta umat Islam menginsafi hakikat itu kerana pilihan raya ini pada inti dan isinya ialah perjuangan ideologi.

Jika umat Islam dapat menyedari persoalan ini dengan baik maka kemenangan cita-cita politik Islam yang diperjuangkan oleh PAS pasti akan tercapai.”[3] Yusof Rawa juga pernah menerbitkan majalah Mingguan Islam yang dikenali dengan nama al-Islah.

Editorial majalah tersebut menurut Salahuddin diketuai Ustaz Abdul Muttalib Azmi dan dibantu Ustaz Zaki Fadzil.

PAS Kelantan juga menerbitkan risalah yang dinamakan sebagai Siaran PAS Kelantan. Salahuddin menjelaskan beliau mengendalikan penerbitan Siaran PAS Kelantan ketika bertugas sebagai pengarang Majalah Kelantan yang dimiliki kerajaan negeri Kelantan.

Majalah Kelantan diterbit dalam edisi jawi bermula sekitar tahun 1968. Ini berdasar rekod penerbitan pada Julai 1975 dicatat di majalah itu bagi jilid ke-7 atau tahun ketujuh.

PAS juga menerbit risalah khas hasil usaha Pejabat Agung PAS yang memuatkan catatan mesyuarat Perhubungan PAS Kelantan pada 17 September 1965.

Menurut Salahuddin risalah itu turut memuatkan penjelasan Menteri Besar, Mohd Asri Muda mengenai ucapan anggota parlimen Bachok, Zulkiflee Mohammad ketika membahas rang undang-undang (penubuhan) Malaysia, di mana PAS sejak dari awal lagi mengambil sikap menentang kemasukan Singapura dalam Malaysia.

Jabatan Penerangan PAS Pusat juga pada 7 Mac 1967 menerbit risalah setebal 59 halaman yang bertajuk “Rakyat Mengugat” memaparkan ucapan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS, Mohd Asri Muda yang membahaskan Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan (1967).

Risalah tersebut menurut Salahuddin dijual dengan harga 50 sen dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan ahli dan penyokong PAS serta orang ramai. Salahuddin menyifatkan penyebaran risalah ucapan Mohd Asri menyebabkan pengaruh PAS semakin merebak dalam masyarakat Melayu dan umat Islam.

Siaran PAS Kelantan bilangan 3 jilid II pula memuatkan berita mengenai kepulangan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dari Parlimen disambut wakilwakil rakyat PAS dan orang ramai yang menunggu di Bukit Yong, Pasir Puteh.

Majalah Bulan Bintang yang muncul menggantikan Suara Islam diterbit Pejabat Agung PAS bilangan 9 tahun pertama memuatkan berita mengenai kemenangan PAS pada pilihan raya kecil Bachok Utara yang diadakan berikutan kematian wakil rakyat PAS, Ustaz Shafie Ahmad. Pada pilihan raya kecil tersebut calon PAS, Mohammad Nor Ismail menewaskan calon Perikatan, Ismail Ahmad. Pada peringkat awal Setiausaha Agung PAS, Abdullah Zawawi Hamzah bertindak sebagai pengarang majalah Bulan Bintang. [4]

Menurut Baharuddin selepas Abdullah Zawawi meninggal dunia tanggungjawab menerbit majalah tersebut dikendalikan Jabatan Penerangan PAS Pusat di mana beliau bertindak sebagai pengarang dana pengurus. Setelah penerbitan Bulan Bintang terhenti kemudian pada 1973 Ibu Pejabat PAS menerbit Berita PAS yang mendapat permit daripada KDN, sebagai lidah rasmi PAS yang dicetak dalam tulisan rumi dalam bentuk siklostil.

PAS Pusat juga menerbit siaran-siaran akhbar bagi menjelaskan isu-isu tertentu yang berlaku pada era awal perkembangan parti Islam terbabit di negara ini.

Antaranya Siaran Akhbar berita penangkapan ahli Exco kerajaan Kelantan, Ahmad Yatim yang berlaku di rumahnya di Kampung Kubang Bemban, Pasir Mas pada 1969 atas dakwaan terbabit dengan gerakan subversif komunis tanpa dapat dibuktikan.

Penerbitan Harakah 

PAS sejak awal lagi memerlukan sebuah akhbar, namun tidak berkemampuan untuk berbuat demikian kerana ia memerlukan modal yang besar. [5]

Bagaimanapun menurut Subky PAS menerbit dalam bentuk majalah iaitu Suara Islam dan Bulan Bintang serta risalah secara tidak berkala dalam tempoh agak lama.

Tidak ada penerbitan lain yang diterbit secara berkala kerana tidak mendapat permit daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Bagaimanapun penerbitan yang diusahakan PAS juga bergantung kepada peruntukan kewangan, di mana sekiranya ada wang penerbitan sesuatu risalah diusahakan, dan begitu juga sebaliknya.

Tidak ada penerbitan milik PAS yang diterbitkan secara komersial selepas itu. Penerbitan secara tidak berkala yang diusahakan PAS sekadar mengisi ruang sahaja dan bukan lagi diusahakan secara komersial.

Selepas pilihan raya umum 1986 bermacam-macam risalah tidak berkala yang diterbit PAS.

Bagaimanapun Subky memberitahu risalah-risalah yang diterbit PAS sering berdepan dengan tindakan oleh kerajaan termasuk dirampas. Disebabkan rampasan yang dilakukan KDN menyebabkan PAS membuat risalah dalam bentuk majalah tanpa menggunakan nama tetap yang diterbit seminggu sekali bergantung kepada isu tertentu yang berlaku.

Menurut Subky majalah isu yang diterbit PAS ketika itu bergantung kepada isu yang berlaku minggu tersebut. Beliau diberi tanggungjawab untuk menghasilkan beberapa rencana berhubung isu yang berlaku untuk diterbitkan dalam bentuk majalah tanpa diberi nama khusus. Selepas beberapa ketika menerbitkan majalah berdasar kepada isu semasa.

Subky menjelaskan beliau bersama Yusof Jalil mengadakan mesyuarat dengan Ketua-Ketua Penerangan PAS dari seluruh negara.

Pada mesyuarat tersebut Subky memaklumkan beliau hendak menerbit sebuah suratkhabar di mana harganya RM1 bagi setiap keluaran. Pada mesyuarat terrsebut beliau juga meminta ahli-ahli PAS membuat langganan sehingga empat isu.

“Sebelum habis keluaran awal saya meminta ketuaketua penerangan dari seluruh negara melanggan lagi sehingga empat isu (keluaran).

Dan mereka perlu membayar terlebih dahulu untuk dijadikan modal percetakan.
Jadi orang pun hantar duit. Bagaimanapun sebelum isu keempat diterbitkan tiba-tiba PAS sudah mendapat permit KDN.”[6]

Menurut Subky usaha untuk mendapat permit Harakah dilakukan Naib Presiden PAS, Nakhaie Ahmad pada masa itu. Permit yang dikeluarkan KDN atas nama Setiausaha Agung PAS yang dinamakan sebagai Pengarang Harakah. Kelulusan permit penerbitan oleh KDN disebut sebagai akhbar dalaman.

Permit penerbitan Harakah dilulus pada 1 Mac 1987 dengan mentakrifkan Harakah sebagai surat berita atau akhbar pertubuhan. Subky memberitahu beliau dipanggil Nakhaie untuk menerbitkan akhbar Harakah seumpama bidan terjun.
Menurut Subky duit yang dikumpul ketika bermesyuarat bersama ketua-ketua penerangan PAS dari seluruh negara dimanfaatkan untuk mencetak Harakah keluaran yang pertama.

Jumlah yang dicetak bagi keluaran pertama sebanyak 12,000 naskhah dan dijual dengan harga sebanyak 60 sen.

Permintaan bagi keluaran pertama di luar dugaan sehingga PAS-PAS kawasan dari seluruh negara memohon tambahan edaran Harakah, namun ia tidak dapat dipenuhi memandangkan Harakah edisi kedua sedang dalam proses penerbitan. Ketika itu Harakah diterbit seminggu sekali.

Harakah memohon kekerapan penerbitannya supaya ditambah kepada dua kali seminggu pada 7 Mei 1990, selepas akhbar itu mendapat sambutan menggalakkan di pasaran.

Permohonan itu dilulus KDN melalui surat bertarikh 18 Jun 1990 dengan bayaran permit sebanyak RM1,000 setahun berbanding RM800 sebelum itu.

Bagaimanapun bermula 1995 bayaran permit Harakahtidak lagi seba nyak RM1,000 setahun sebagaimana sebelum itu, tetapi hanya RM50 setahun kerana diklasifikasikan sebagai surat berita.

Menurut bekas Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman setiap kali memohon permit baru Harakah, KDN seringkali memperingatkan supaya mematuhi syarat-syarat permit penerbitan dan peruntukan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan sebagai garis panduan.

Sarjana bidang komunikasi, Dr Jeniri Amir dan Dr Hamedi Mohd Adnan menyifatkan akhbar alternatif muncul di Malaysia kerana penguasaan sepenuhnya kerajaan terhadap media massa. Media alternatif menjadi wadah kepada kumpulan yang kecewa kerana disisih daripada mendapat tempat di media arus perdana bagi mengungkap aspirasi dan perjuangan mereka.

Selain itu Dr Jeniri dan Dr Hamedi menyifatkan akhbar tersebut memainkan peranan bagi memantau kegiatan kerajaan dengan mengkritik sebarang penyelewengan dan perlanggaran yang dikesan berlaku.

Sebaliknya bagi kerajaan, akhbar yang bebas dianggap boleh menjejaskan kestabilan negara dan kepentingan awam.

Realiti itu berlaku kepada akhbar-akhbar milik pembangkang di negara ini, di mana terpaksa berdepan dengan pelbagai sekatan dan halangan sehingga akhbar milik Parti Keadilan Rakyat tidak diberi permit pernerbitan sehingga sekarang.

Akhbar itu digantung permit pada 30 Jun 2010.[7]

KDN menggantungkan permit Suara Keadilan berkuatkuasa pada 1 Julai 2010 ekoran pendedahan akhbar itu terhadap masalah kewangan yang dihadapi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

KDN juga pernah menggantungkan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan berkuatkuasa 23 Mei 2009 kerana didakwa memutar belit fakta, mengelirukan maklumat dan percubaan menyuntik perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan dan pemimpin.

Bagaimanapun Ismail Hashim Yahaya menyifatkan ruang yang seharusnya dimainkan wartawan sebagai intelektual awam diperosokkan sehingga ke punggung atau ceruk dapur.[9]

Malah ada yang berani berhujah dengan mengatakan pemikiran rakyat Malaysia akan sentiasa kolot dan mundur sekiranya media di Malaysia terus dikongkong kerajaan dan dibiarkan berada pada tahap lama.

Halangan awal penerbitan Harakah
Ketika peringkat awal penerbitan Harakah, Subky mengakui sukar hendak mencari petugas sehingga terpaksa meminta PAS negeri- negeri hantar calon untuk dilatih menjadi wartawan.
Berikutan itu antara yang hadir yang menjadi latihan termasuk Ahmad Lutfi Othman, Zulkifli Sulung dan seorang wakil dari Kedah.

Turut sama terbabit bagi menerbit Harakah pada peringkat awal iaitu bekas anggota Exco kerajaan Kelantan, Husam Musa.

Bagaimanapun Subky memberitahu pelatih yang benar-benar istiqomah men jadi wartawan selepas 10 hari latihan diadakan di Markas Tarbiah PAS Taman Melawar, Gombak hanya Zulkifli Sulong dan Ahmad Lutfi Othman.

Turut mengikuti kursus kewartawanan pada peringkat awal iaitu Mohamad Sabu dan Riduan Onn selepas mereka tewas pada pilihan raya umum 1986 kerana tidak mempunyai pekerjaan, namun mereka tidak kekal lama.

Subky mengendalikan penerbitan Harakah bersama Yusof Jalil iaitu bekas wartawan Utusan Melayu bekas guru, Ishak Surin. Ketika kursus kewartawanan diadakan menurut Subky penyokong PAS yang tinggal berdekatan dengan Markas Tarbiah menghantar makanan kerana pelatih terbabit tidak diberi sebarang elaun.

Selepas keluaran sulung berada di pasaran Harakah menghadapi masalah untuk mencetak edisi kedua kerana tidak ada syarikat percetakan yang sanggup hendak mencetak.

Masalah dihadapi Harakah apabila pencetak tidak mahu mencetak kerana Subky dinamakan sebagai pengarangnya. Subky mengakui sebelum terbabit menerbit Harakah beliau mengendalikan penerbitan beberapa akhbar termasuk Suara Merdeka, Warta dan Watan.

Kebanyakan pencetak di Kuala Lumpur yang ditemui Subky enggan memberi kerjasama. Bagaimanapun menurut Subky suratkhabar Tamil di Jalan Ipoh sanggup untuk mencetak Harakah edisi yang kedua.

Selepas selesai cetakan itu mereka juga tidak mahu lagi memberi kerjasama tanpa menyatakan sebarang alasan sama ada tekanan daripada kerajaan atau tidak.

Namun akhirnya Subky mendapat tahu puncanya kerana Harakah menyiarkan tulisan menghentam MGR, iaitu sebuah filem Star Tamil yang dikaitkan de ngan isu Ketua Menteri Tamil Nadu. Tulisan itu mengkritik menteri terbabit kerana beliau dikatakan bersikap anti-Islam.

Subky kemudiannya menemui sahabat lamanya seorang tauke Cina bernama Anthony Goh. Beliau memiliki kilang percetakan namanya Percetakan Poligrafik.

Subky pernah mencetak Suara Merdeka dan majalah Sarina dengan pencetak terbabit.

Ketika itu kilang percetakan itu sudah tidak ber operasi. Percetakan Poligrafik kemudiannya dimiliki saham majoriti oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sehingga menyebabkan saham dimiliki Goh hanya tinggal sedikit.

Abim pada masa itu berkiblat kepada Umno kerana pengasasnya Anwar Ibrahim menyertai Umno pada 1982. Selepas percetakan berkenaan dimiliki Abim, Setiausaha Agungnya, Kamaruddin Mohd Noor ditugas menjaga percetakan tersebut.

Menurut Subky, Harakah sedia membayar tunai kepada Goh selepas suratkhabar terbabit siap dicetak. Goh mengenakan upah cetak lebih murah berbanding dengan percetakan milik akhbar Tamil. Selepas Harakah habis dijual Subky dapat mengumpul wang sebanyak RM5,000.

Kos percetakan pada masa itu sekitar 50 sen setiap naskhah. Dan setiap minggu Subky membayar Goh sebanyak RM5,000.

Syarikat percetakan tersebut beroperasi dengan lancar selepas projek mencetak Harakah. Bagaimanapun selepas itu Abim melantik Nik Aziz Nik Hassan iaitu bekas pensyarah sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia mengurus kilang percetakan tersebut.

Selepas Nik Aziz dilantik mengurus kilang percetakan beliau kemudian memperkenalkan polisi baru, di mana setiap kali Harakah hendak dicetak perlu terlebih dahulu ditunjukkan kepadanya untuk disemak.

Subky memberitahu Nik Aziz, faktor seperti itulah antara punca beliau berhenti bekerja di Utusan Melayu sebelum itu.

Bagaimanapun, disebabkan kilang percetakan itu milik Abim menyebabkan beliau terpaksa akur dengan syarat pihak editorial Harakah tidak mahu membuat kerja dua kali. Nik Aziz diminta menandakan mana-mana bahagian rencana dan berita yang perlu diubahsuai.

Menurut Subky, Harakah tetap menghentam Umno sehingga menyebabkan Nik Aziz tidak boleh berbuat apa-apa.

Bagaimanapun, pada suatu malam selepas Ishak Surin menghantar layout (dummy) yang sudah siap untuk dicetak, namun sehingga jam 1 pagi Nik Aziz tidak mengusik untuk membuat sebarang pembetulan.

Sedangkan pengedar sudah ramai menunggu di kilang percetakan tersebut.

Lama selepas itu barulah Nik Aziz memberitahu mereka tidak akan men cetak Harakah tanpa ditukar isi kandungannya. Subky memberitahu tidak ada syarikat percetakan di Kuala Lumpur yang bersedia untuk mencetak Harakah.

Ekoran itu dami yang sudah disiapkan terpaksa dibuat blok huruf dengan syarikat Cina, Tong Kwang.
Tong Kwang turut menolong mendapatkan syarikat percetakan di Pulau Pinang.

Malam itu juga kata Subky, Ishak Surin dengan Rahim Kassim (editor) pergi ke Pulau Pinang. Kesanggupan syarikat percetakan di Pulau Pinang mencetak Harakah mengejutkan pemimpin ABIM.

Menurut Subky kerjakerja sabotaj Umno terhadap Harakah bermula sejak awal lagi untuk memastikan akhbar milik PAS itu gagal diterbitkan. Selepas itu Harakah dicetak semula di Kuala Lumpur di syarikat percetak an Gan Printer.

Bermula dari situlah Harakah terus membesar sehingga edarannya meningkat kepada 12,000 naskhah.

KemudianHarakah diurus Mustafa Ali manakala Subky Abdul Latif, Ishak Surin dan Rahim Kassim berhenti daripada Harakah.

Edaran Harakah terus meningkat sehingga ratusan ribu. Bagaimanapun menurut Subky, Harakah masih berdepan dengan dugaan apabila pencetak turut membuat pengedaran sendiri belum sampai naskhah yang diurus bahagian pengedaran Harakah.

Apabila disiasat ruparupanya pencetak itu melakukan cetak rompak.

Menurut Subky keadaan itu menyebabkan Harakah merosot kerana tindakan sabotaj dilakukan kilang percetakan. Selepas peristiwa itu Harakah kemudiannya dicetak dengan Angkatan Edaran milik Azlan Jan sehingga sekarang.

Oganisasi Harakah 

Harakah merupakan lidah rasmi PAS mulai diterbit pada 27 Mac 1987 bagi menggantikan al Harakah yang sering berdepan dengan tindakan rampasan oleh KDN kerana diterbit tanpa permit.

Harakah yang dimiliki PAS sering mengkritik kerajaan sehingga menyebabkan Mahathir Mohamad terpaksa bertolak ansur dengan akhbar milik pembangkang. Sejak diwujudkan, Harakah diketuai Subky Abdul Latif, Zin Mahmud, Ahmad Lutfi Othman, Taufek Yahya, Zulkifli Sulong, Suhaimi Mokhtar, Ahmad Lutfi dan sekarang Wan Nordin Wan Yaacob.

Harakah diletak di bawah Lajnah Penerangan PAS Pusat. Harakah mempunyai lembaga pengarah yang diketuai Ustaz Idris Ahmad.

Anggota jemaah pengarah lain terdiri daripada wakil Dewan Muslimat PAS Pusat, wakil Dewan Ulamak PAS Pusat, wakil Pemuda PAS Malaysia dan Ketua Penerangan PAS Pusat.

Pentadbiran Harakah diketuai seorang Pengarah Urusan, di mana sekarang Dr Rosli Yaakob. Pengarahpengarah Urusan Harakah sebelum ini iaitu Kamaruddin Jaffar, Hisamuddin Yahya, Azizan Abdul Razak, Daeng Sanusi Daeng Mariok, Mustafa Ali dan Nakhaie Ahmad.

Kakitangan Harakah terdiri daripada wartawan, bahagian pentadbiran dan kewangan, pengedaran, pengiklanan, Unit Teknikal Layout dan Unit Buku serta Bazaar Harakah. Harakah juga mempunyai cawangan di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Johor, Melaka, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.

Selain itu Harakahdaily. net yang merupakan laman berita dalam talian juga di bawah pengurusan Harakah. Sehingga sekarang harakahdaily.net mempunyai lebih sejuta peminat berdasar kepada “like” yang dilakukan pelayar internet sehingga sekarang. Tema yang digunakan sebagai motto Harakah pada peringkat awal iaitu Ke Arah Perpaduan Ummah dan mulai Oktober 1991 ditukar kepada Membangun Bersama Islam.

Memandangkan Harakah merupakan lidah rasmi PAS menyebabkan ia sentiasa menjadi isu yang dibangkitkan setiap kali berlangsung muktamar tahunan PAS.

Pada muktamar yang diadakan di Kota Bharu pada tahun 2013 isu Harakah tidak ketinggalan dibangkitkan perwakilan termasuk isu kurang berita yang dimuatkan daripada Dewan Ulamak PAS Pusat. Selain itu iklaniklan ubat tradisional yang kerap memenuhi halaman akhbar Harakah sehingga mengurangkan ruang untuk berita, juga menjadi bahan kritikan perwakilan.

Setiap isu yang dibangkitkan perwakilan dijawab Pengerusi Jemaah Harakah, Mustafa Ali yang juga Setiausaha Agung PAS.

Malah hampir kesemua halaman Harakahmemuatkan berita sekitar muktamar yang berlangsung termasuk ucapan penuh Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pada peringkat awal Harakah hanya dicetak sekitar 8,000 hingga 12,000 naskhah setiap keluaran.
Bagaimanapun selepas tahun 1997 jumlah yang dicetak meningkat sehingga 65,000 naskhah setiap keluaran.

Penerbitan Harakah pada peringkat awal dengan kekerapan seminggu sekali dan mulai 1990 Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Mahathir Mohamad melulus penerbitan dua kali seminggu.

Bagaimanapun pada 2003 ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi Menteri Dalam Negeri penerbitan Harakah dikurangkan kepada dua kali sebulan.

Menurut Jeneri Amir dan Hamedi Mohd Adnan (2013) ketika edaran Harakah kurang 80,000 naskhah, KDN tidak menguatkuasa peraturan bagi membenarkan akhbar itu dijual secara terbuka. Sebenarnya sejak 1991 lagi Harakah dan Roket akhbar milik DAP dikenakan syarat hanya dijual untuk ahli sahaja.

Harakah dan Pemilihan Umno 1987

Selepas kira-kira lima tahun Mahathir menerajui kerajaan bersama Musa Hitam, tiba-tiba regu yang dikenali ramai ketika itu iaitu 2M (Mahathir dan Musa) akhirnya berpecah. Kemuncaknya Musa Hitam meletak jawatan pada 16 Mac 1986.[13]

Bermula dari situ pergolakan dalam parti Melayu yang terbesar di Malaysia itu makin panas.
Kepimpinan Mahathir mulai berdepan dengan krisis dalaman apabila Musa Hitam meluahkan rasa tidak puas hati selepas Mahathir menyebut pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada Januari 1986, ada pihak mahu menjatuhkan Perdana Menteri. Menurut sarjana Mohd Rumaizuddin, Mahathir menegur Musa berkaitan isu pembahagian kontrak. Pada 7 Mei 1986 Mahathir melantik Ghafar Baba menggantikan tempat Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Konflik dalaman Umno semakin melebar apabila Musa Hitam bergabung pula dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi mencabar Mahathir dan Ghafar Baba.
 Perhimpunan Agung Umno pada 24 April 1987 Mahathir hanya menang 43 undi mengatasi Tengku Razaleigh bagi jawatan Presiden Umno, manakala Musa Hitam tewas dengan kekurangan 40 undi kepada Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden Umno.[14]

Harakah muncul ketika krisis dalaman Umno sedang memuncak, di mana turut mengambil peluang menjadikan isu pergolakan dalaman parti Melayu tersebut untuk dijadikan bahan berita dalam akhbar berkenaan. Biar pun baru muncul di pasaran, namun Harakah menggunakan peluang isu dalaman Umno yang berlaku untuk menonjolkan lagi konflik terbabit biar pun tidak dilakukan secara menyeluruh.

Harakah juga muncul ketika Operasi Lalang sedang berlaku sehingga membawa kepada penggantungan beberapa akhbar termasuk Watan, Mingguan Bumi, Sin Chew Jit Poh dan The Star pada 28 Oktober 1987. Selain itu seramai 106 orang termasuk pemimpin pembangkang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Harakahmuncul tepat pada masanya bagi menyambung perjuangan yang ditinggalkan sementara akhbar terbabit selepas digantung permit oleh KDN.

Harakah dan pilihan raya umum 1990 dan 1995 

Krisis yang menimpa Umno pada 1987 menyebabkan sokongan orang Melayu terhadap parti Melayu itu berpecah dua iaitu satu kumpulan kekal menyokong kepemimpinan Mahathir Mohamad dan satu lagi berpihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah.

Kumpulan yang tidak berpuas hati terhadap kekalahan Tengku Razaleigh mendakwa terdapat 30 cawangan Umno yang dianggap tidak sah sehingga menyebabkan Pemilihan Umno pada 24 April 1987 juga dikatakan tidak sah.[15]

Ekoran itu menurut Ainol Jamal kumpulan 11 telah membawa kes tersebut ke mahkamah kerana dianggap bertentangan dengan Akta Pertubuhan di bawah Seksyen 70. Pada penghakimannya Mahkamah Tinggi menganggap Umno sebagai sebuah pertubuhan tidak sah pada 4 Febuari 1988.

Setelah Umno diharamkan Tengku Razaleigh Hamzah membawa usul di parlimen pada 5 Disember 1988 supaya Umno lama dihidupkan melalui pindaan undang-undang pertubuhan, namun usul tersebut ditolak. Selepas gagal menghidupkan Umno lama beliau akhirnya menubuh Parti Melayu Semangat 46 pada Mei 1989.[16]

Mahathir Mohamad pula mewujudkann Umno Baru dan pendaftarannya dilulus pada 17 Febuari 1988.

Mohd Rumaizuddin menyifatkan isu pengharaman Umno telah membawa kepada kejayaan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan Parti Melayu Semangat 46, PAS, Hamim dan Berjasa menang di Kelantan pada pilihan raya umum Oktober 1990. Kemenangan besar Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan turut disumbang faktor sokongan terhadap Mahathir Mohamad merosot kerana masalah korupsi, di samping kemampuan Presiden PAS, Mohd Fadzil Noor membentuk gabungan alternatif yang berpaksi kepada Islam bagi menghadapi Umno dan BN pada pilihan raya umum 1990.[17]

Sesetengah kelompok orang Melayu menyertai barisan pembangkang bagi mencabar Umno pilihan raya umum 1990.

Harakah turut merakam peristiwa konflik yang berlaku dalam Umno untuk diketengahkan kepada masyarakat terutamanya kalangan penyokong PAS dan masyarakat Melayu secara lebih meluas lagi.

Ahmad Lutfi Othman menyifatkan apa yang dilakukan Harakah turut menyumbang kepada kemenangan Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan pada pilihan raya umum 1990.

Peranan dimainkan Harakah dianggap sangat penting bagi merubah sikap rakyat sehingga mampu mempengaruhi mereka sebagai pengundi untuk membuat pilihan. Bekas pensyarah UKM, Kamaruddin Jaffar pula menyifatkan ahli-ahli PAS terutamanya di kampung-kampung bergantung kepada ceramah dan akhbar Harakahh bagi mendapat tahu perkembangan semasa yang berlaku di seluruh negara.

Pada pilihan raya umum 1990 bilangan kerusi BN merosot kepada 127 kerusi, PAS meningkat kepada 7 kerusi berbanding satu pada pilihan raya umum 1986. Parti Melayu Semangat 46 yang pertama kali bertanding mendapat 8 kerusi parlimen, DAP (20 kerusi) dan Bebas (4 kerusi).

Manakala PBS yang turut menyertai Gagasan Rakyat bersama Parti Melayu Semangat 46 dan PAS pula mendapat 13 kerusi parlimen. Hasil kerjasama tersebut Gagasan Rakyat berjaya memerintah Sabah dan Angkatan Perpaduan Ummah pula mentadbir Kelantan.

Berbeza pula situasinya ketika menjelang pilihan raya umum 1995, di mana hubungan dalam Angkatan Perpaduan Ummah mulai merosot. Rentetan ke arah itu bermula selepas kerjasama dalam Gagasan Rakyat berpecah setelah DAP keluar daripada gagasan itu pada 25 Januari 1995.

Menurut Ruhanie Ahmad, PBS lebih awal bertindak keluar daripada Gagasan Rakyat iaitu pada 2 April 1991, manakala India Progresif Front (IPF) keluar daripada pakatan tersebut pada Febuari 1995. Sedangkan pada peringkat awal Gagasan Rakyat dibentuk mengandungi Parti Melayu Semangat 46, PBS, IPF, PRM, DAP dan Kimma, manakala Angkatan Perpaduan Ummah pula dianggotai Parti Melayu Semangat 46, PAS, Berjasa dan Hamim.

Parti Melayu Semangat 46 pula menghadapi masalah dari awal lagi apabila beberapa tokoh utama parti itu bertindak keluar parti dengan didahului Ahli Majlis Tertinggi, Radzi Sheikh Ahmad keluar pada 17 Mac 1991, diikuti Ketua Pemuda, Ibrahim Ali yang juga anggota parlimen Pasir Mas pada 22 Mac 1991. Turut mengambil langkah serupa Ketua Wanita Parti Melayu Semangat 46, Rahman Osman pada 1 Febuari 1994 dan Naib Presiden parti tersebut, Marina Yusoff pada 27 September 1994.

Kesan daripada pergolakan dalaman yang berlaku membabitkan PAS dan Parti Melayu Semangat 46 menyebabkan sokongan terhadap parti terbabit merosot pada pilihan raya umum 1995 di mana Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan mendapat 12 kerusi parlimen iaitu merosot dua kerusi parlimen serta memperolehi tujuh kerusi Dun. Satu lagi kerusi parlimen PAS dimenangi di Terengganu.

DAP mencatat kemerosotan lebih ketara apabila hanya menang sembilan kerusi parlimen berbanding 20 kerusi dimenangi parti itu pada pilihan raya umum 1990. PBS juga merosot apabila hanya menang di lapan kerusi parlimen berbanding 14 kerusi pada pilihan raya umum 1990. BN pula menguasai 162 daripada 192 kerusi parlimen yang dipertandingkan pada pilihan raya tersebut.[18]

Harakah dan cabaran 

Cabaran utama penerbitan akhbar di Malaysia ialah terdapat banyak undang-undang dan peraturan digubal kerajaan sebagai syarat utama sebelum sesebuah akhbar dibenarkan diterbit dan diedarkan. Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab bagi mengeluarkan permit penerbitan akhbar yang dipohon mana-mana pihak.

Sarjana Sankaran Ramanathan menyebut undang- undang yang menentukan dan mempengaruhi pemilikan, pengendalian dan pengurusan akhbar pada era moden di Malaysia dipinda pada dekad-dekad 1970-an dan 1980-an.

Peraturan-peraturan yang diwujudkan kerajaan menyebabkan penerbitan akhbar yang dilihat ada kecederungan mengkritik kerajaan berdepan dengan banyak kesukaran seperti dilalui penerbitan Harakah, Suara Keadilan dan Roket.

Menurut Ahmad Lutfi Othman dan Subky Abdul Latif, pada peringkat awal penerbitan Harakah berdepan dengan bermacam halangan antaranya sukar mencari pen cetak yang mahu memberi kerjasama bagi menerbitkan Harakah sehingga terpaksa dicetak di Pulau Pinang.

Namun Sankaran Ramanathan menyifatkan kewujudan Harakah sebagai menggambarkan tanda ke arah sikap kerajaan yang le bih liberal terhadap parti-parti pembangkang.

Bagaimanapun Mustafa K Anuar mempertikaikan hujah tersebut kerana baginya Harakah hanya sebagai media parti dan tidak sama dengan akhbar biasa. Baginya apabila disekat mencacat nilai demokrasi itu sendiri.

Jeniri Amir pula menyifatkan kelantangan akhbar alternatif biar pun berdepan dengan pelbagai cabaran dan tekanan, namun ia mampu menyumbang ke arah kematangan sistem demokrasi di negara ini.

KDN mengenakan pelbagai syarat kepada Harakah termasuk mengurangkan kekerapan kepada dua kali sebulan mulai Mac 2000 berbanding sebelum itu penerbitannya dua kali seminggu.

Ia berlaku selepas pengaruh PAS mening kat sehingga berjaya memenangi 27 kerusi parlimen pada era reformasi.

Selain itu Harakah juga dikenakan syarat ketat apabila hanya dibenarkan dijual kepada ahli PAS sahaja, dan tidak boleh dijual secara terbuka di gerai-gerai akhbar bersama akhbar lain mulai Mei 1991. Syarat permit Nombor 11 dan 12 disebut KDN – “Harakahhendaklah diedar kepada kepada ahli-ahli parti sahaja dan tidak boleh diedar atau dijual kepada masyarakat (orang ramai).”

KDN juga mengarahkan supaya disediakan rak khas untuk menjual akhbar Harakah sehingga menyebabkan pihak pengurusan Harakah membelanjakan kira-kira RM70,000 bagi menyediakan kemudahan tersebut kepada penjual akhbar. KDN juga mengeluarkan arahan supaya penjual Harakah tidak mempamerkan akhbar Harakah secara terbuka dan hanya boleh dijual markas dan cawangan PAS yang berdaftar sahaja. Polis dan KDN merampas naskhah Harakah yang dijual di kaki lima dan gerai akhbar.

Polis berpakaian seragam dan cawangan khas seringkali menakut-nakutkan pengedar Harakah di sekitar Wilayah Persekutuan sehingga ada yang menggertak mereka untuk ditangkap. Malah polis dan KDN juga merampas naskah Harakah daripada penjual.

Selepas Harakah mendapat sambutan hangat pada era reformasi KDN menetapkan enam syarat yang perlu dipatuhi pengurusan Harakah iaitu hanya boleh diedar kepada ahli-ahli PAS sahaja, notis “Harakah dijual kepada ahli-ahli PAS sahaja” hendaklah dipamer di semua tempat jualan, isuisu tiada kaitan dengan PAS tidak harus dimuat.

Selain itu KDN meminta pengarang Harakah lebih berhati-hati menyiarkan tajuk tertentu bagi mengelakkan salah faham, kesemua pengedar Harakah hendaklah terdiri daripada ahli PAS sahaja dan Ketua Pengarang hendaklah menapis dengan teliti rencana dan gambar yang boleh mengugat keselamatan negara.

Pada tahun 1998 operasi merampas Harakah diadakan di seluruh negara termasuk Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Tekanan KDN terhadap Harakah bertambah lagi ketika menjelang tahun 1999 dengan arahan pengedaran dan penjualan Harakah ha nya dihadkan di markas dan pejabat-pejabat PAS sahaja.
Ini dibuktikan pada 18 Julai 2013 kira-kira 500 naskah Harakah dan Suara Keadilan dirampas oleh kakitangan KDN dan polis di beberapa kedai di Temerloh, Pahang.

Tekanan paling dirasai pengurusan Harakah apabila permit akhbar itu yang berakhir 28 Febuari 2000 diperlewatkan untuk diperbaharui oleh KDN. Kemuncak tekanan KDN terhadap Harakah apabila permit baru yang dikeluarkan pada 6 Mac 2000 mengurangkan kekerapan penerbitan Harakah kepada dua minggu sekali berbanding dua kali seminggu sebelum ini.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi ketika itu pernah mengeluarkan ke nyataan akan memberi permit penerbitan akhbar dengan kekerap an sekali seminggu kepada semua parti-parti politik, namun permit akhbar milik PKR tidak diberi sehingga sekarang.

Tindakan KDN tidak berakhir di situ, sebaliknya Harakah dan Suara Keadilan digantung penerbitan selama tiga bulan bermula 23 Mac 2009. Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar memberitahu penggantungan itu berkuatkuasa serta merta kerana kedua-dua akhbar terbabit didakwa memutar belit fakta, mengelirukan maklumat dan cubaan menyuntik perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan.[19]

Bagaimanapun menurut Ahmad Lutfi penggantungan itu ditarik balik Perdana Menteri, Najib Abdul Razak pada 3 April 2009 menjelang pilihan raya kecil parlimen Bukit Gantang, Dun Batang Ai di Sarawak dan DunBukit Selambau di Kedah. Harakah juga diberi surat tunjuk sebab kerana gagal menghantar lapan salinan (naskhah) pada setiap keluar an kepada KDN. Harakah juga sering berdepan dengan tindakan saman pihak tertentu kerana tidak berpuas hati terhadap laporan dibuat akhbar milik PAS itu.

Pada 11 Disember 2012 Harakah menerima notis tuntutan saman daripada FELDA ekoran penyiaran berita yang mendakwa FELDA menjual minyak kelapa sawit kepada Israel. Umno Selangor juga pada 14 September 2011 menyaman Harakah kerana menyiarkan dakwaan parti itu sebagai dalang dalam serbuan Jabatan Agama Islam Selangor terhadap Gereja Methodist di Damansara Utama.

Maka tidak hairanlah Menteri Besar Perak, Zambry Abdul Kadir meminta rakyat menolak media milik pembangkang kerana dianggapnya sering menabur fitnah terhadap pemimpin kerajaan BN.

Di Malaysia kerajaan mewujudkan beberapa undang- undang dan peraturan bagi mengawal penerbitan akhbar terutamanya bagi mengelakkan isu-isu membabitkan keselamatan negara dan perkauman yang dianggap boleh mengundang situasi tidak aman dalam negara. Akta terbabit iaitu Akta Mesin Cetak, 1948; Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960; Akta Hasutan, 1948; Akta Kawalan Kemasukan Bahan-Bahan Bercetak, 1958; Akta Rahsiarahsia Rasmi, 1972 dan Ordinan Fitnah, 1957.

Kesimpulan

Jeniri Amir menyifatkan sesiapa pun yang memimpin negara, mereka akan memastikan akhbar-akhbar utama diketuai oleh pengarang yang setia dan menyokong dasar kepemimpinannya.

Maka tidak hairanlah Rustam A Sani menyifatkan pada zaman pemerintahan Mahathir Mohamad, ruang demokrasi digunakan sepenuhnya tidak lebih sebagai gelanggang monolog untuk Mahathir.

Malah Mahathir pernah dikelompok sebagai antara 10 musuh akhbar di dunia kerana tindakan tegasnya mengawal dan menyekat kebebasan akhbar.[20] Situasi itu lebih-lebih lagi dirasai pengarang Harakah apabila terpaksa berdepan dengan pelbagai peraturan dikuatkuasa kerajaan Malaysia sehingga menyebabkan pengedarannya tidak meluas berbanding akhbarakhbar utama lain.

Bukan sekadar Harakah yang terpaksa berdepan dengan undang-undang penerbitan akhbar di Malaysia, sebaliknya kerajaan pernah menggantungkan akhbar Eksklusif, majalah Kemelut, Panji Masyarakat, Detik dan Al-Wasilah yang dianggap menyiarkan rencana boleh memudaratkan negara.

Ekoran itu pemimpin pembangkang, Muhammad Nur Manuty menyifatkan pemikiran rakyat Malaysia kolot dan mundur sekiranya media di negara ini terus dikongkong kerajaan. Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dalam kajian pada September 2013 merumuskan BN menyalahgunakan kuasa untuk kekal dalam kerajaan.

Reporters Without Borders (RSF) pula menyifatkan indeks kebebasan media di Malaysia merosot ke tangga 145 pada 2014 berbanding kedudukan di tangga 179 pada 2013 disebabkan peranan dimainkan kerajaan pusat. Bagi Dewan Pemuda PAS Pusat pula mereka yakin Harakah adalah akhbar alternatif terbaik yang pernah wujud di arena media di tanah air.

Begitu juga bagi Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau menganggap PAS memiliki kekuatan dua media utama iaitu Harakah dan Harakahdaily.

net bagi menampan serangan musuh-musuh PAS dalam media arus perdana.

A.F.Yassin berpendapat pemberitaan akhbar di negara ini boleh dikatakan hanya berpandu kepada etika sejagat dan norma serta kebiasaan hidup masyarakat majmuk. Ketiadaan kod etika kewartawanan juga seperti yang ditekan oleh A Samad Said telah menjadikan akhbar mengamalkan dasar swaying with the wind, bukan merupakan agent of change, serta cenderung menyuarakan dasar dan strategi pihak penerbit surat khabar itu sendiri.”[21]

Oleh itu Harakah muncul mengimbangi maklumat yang disebarkan media milik golongan sekular sebagai medan pertempuran antara hak dan batil. Ini kerana Dunia Islam perlu menguasai media untuk berperanan seperti Majalah Impact, sebuah majalah antarabangsa diwujudkan pada 1971 kini diedarkan ke-85 negara dengan edarannya sebanyak 100,000 naskhah. Impact berperanan bagi memberi maklumat yang lebih seimbang mengenai dunia Islam dalam perspektif yang lebih betul berbanding media lain milik organisasi lebih besar. Begitu juga kelahiran agensi berita Al Jazeera memberi wajah baru perkembangan kewartawanan berbentuk Islam di dunia. Al Jazeera berkembang cepat ke seluruh dunia dan pengaruhnya tidak dapat dinafikan bagi menyebarkan maklumat lebih seimbang dalam kalangan negara Islam.

Rujukan:
 [1] Wan Hashim Wan Teh, Memoir Politik Asri Meniti Arus, Bangi, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1993, hlm 15.

[2] Dr Zulkiflee Muhammad merupakan Timbalan Yang Dipertua Agung PAS dan anggota parlimen bagi kawasan Bachok pada pilihan raya umum 1964. Beliau berasal dari Kuala Kangsar.
Bagaimanapun selepas menang pada pilihan raya tersebut beliau meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kuantan.

[3] Suara Islam bil empat tahun tiga, hlm 2.

[4] Baharuddin Abdul Latif, Islam Memanggil, Rencana-Rencana Sekitar Perjuangan PAS (1951-1987), Pustaka Abrar, 1994, hlm 1.

[5] Subky Abdul Latif, Propagandis Zaman, Kemilau Republika Sdn Bhd, 2013, hlm 101.

[6] Subky Latiff [7] Haika Khazi, Harakah Diberi Tujuh Hari Jawab Surat Tunjuk Sebab, Berita Harian, 8 Julai 2010.

[8] Akhbar Suara Keadilan diterbit PKR

[9] Ismail Hashim Yahaya, Media Hegemonik dan Persaingan Ide, Siasah 18-24 Julai 2000.

[10] Op Cit, Abdul Rashid Abdul Rahman, Perjalanan Pilihan Raya Malaysia, hlm lampiran XVI.

[11] Mohd Zain Saleh, Analisa Pilihan Raya Negeri Kelantan 1986, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, 1986, hlm 102.

 [12] Ahmad Atory Hussain, YB Oh YB! Antara Peranan dan Tanggungjawab, 2010, hlm 153.

[13] Mohd Rumaizuddin Ghazali, Pembangunan Islam di Malaysia Era Mahathir, 2011 hlm 63.

[14] Mohd Rumaizuddin Ghazali,

>> Penulis adalah Ketua Biro Harakah Kelantan yang sedang menyiapkan thesis Masternya di USM.

Ibadah Solat Mengajar Erti Masa Dan Taat

Oleh Asyraf Hanif

Solat merupakan satu ibadah yang mengajar begitu banyak perkara didalam kita menghadapi kehidupan mahupun untuk peribadi ataupun berjemaah (organisasi).

Solat telah diperintahkan Allah kepada umat nabi Muhammad 5 kali sehari mengikut kepada masa-masa tertentu. Setiap waktu solat mempunyai had masa tertentu bagi mendidik umat Nabi Muhammad untuk menjaga masa.

Bila tibanya waktu subuh, maka bangkitlah umat islam daripada tidur untuk menunaikan solat. Begitulah juga pada waktu zohor, asar, maghrib dan isyak.

Perlaksanaan ibadah solat mengikut waktu ini adalah satu didikan kepada umat islam didalam kita menepati masa. Kita tidak boleh solat zohor setelah masuknya waktu asar dan begitulah keadaannya untuk waktu-waktu solat yang lain.

Begitulah juga solat berjemaah. Adanya imam, bilal dan makmum. Tugas imam mengetuai solat, bilal memberi ‘signal’ kepada tetamu Allah untuk bersedia untuk solat, dan tugas makmum adalah mengikut apa yang dibuat oleh imam selagimana imam tidak melakukan perkara yang boleh membatalkan solat.

Apabila imam mengangkat takbir untuk rukuk, maka menjadi kewajipan kepada makmum untuk mengikut ‘perintah’ yang diberikan imam untuk rukuk. Begitulah didikan yang diberikan Allah didalam ibadah solat kepada manusia untuk sentiasa taat kepada ameer(ketua) jemaah(organisasi).
Hebatnya aturan Allah mendidik umat islam. Mengajarkan manusia untuk menjaga masa dan juga mentaati pemimpin yang mentaati Allah dan Rasul.

Cukup malang ada diantara kita hanya sekadar solat tanpa kita memerhati tentang didikan yang Allah ingin berikan kepada kita. Ada diantara kita mengaku mengikuti Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan utama tetapi didalam kehidupan, kita tidak menjaga masa dan lebih teruk dari itu, kita tidak mentaati apa yang ketua kita perintahkan.

Adakah cukup dengan kita melaungkan slogan ‘Ar-Rasul ikutan kami, Al-Quran panduan kami,’ tanpa kita melakukan apa yang kita laungkan? Sesungguhnya amal itu bukanlah dengan slogan tetapi amal itu adalah dengan kita melakukan perintah yang Allah tetapkan didalam Al-Quran dan apa yang disampaikan oleh RasulNya.

Kerajaan Rakyat

Oleh Mohamad Husaini Husin

POHON-POHON renek di pembahagi jalan atau di tepi bahu jalan, semuanya diserkup dengan plastik berwarna merah dan biru. Bagi yang baru menjejaki kaki di bumi empat musim, memanglah terasa pelik dan janggal.
“Tuan, kenapa pokok-pokok itu diserkup plastik?” Tanya seorang anak perempuan comel. “Pokok itu bisa mati jika tidak diserkup kerana kedinginan.”
Jawab pemandu pelancong fasih berbahasa Melayu mirip Indonesia.
“Bukan saja manusia akan mati tetapi tumbuh-tumbuhan juga akan mati kedinginan.
Begitu?” pertanyaan lanjut anak comel itu.
“Yeaa…” “Kenapa pokok-pokok besar tidak diserkup juga?” “Pokok besar, akar, batang dan dahannya juga besar. Bisa menahan sejuk. Nanti menjelang musim bunga, daunnya kembali tumbuh! Pasti indah!” “Pokok-pokok kecil ngak bisa tahan dingin yea?” Anak comel itu bertanya dengan bahasa meniru lenggok bahasa Indonesia pemandu pelancong itu.
“Yeaa…” Salji turun lagi. Ada salji yang turun dan berkumpul.
Bertompok-tompok di sana-sini termasuk di dahan-dahan pokok tanpa daun dan di atas serkup plastik pokok-pokok renek. Ada yang bertimbun di tepi-tepi bangunan dan di atas bumbung.
Bagi yang pertama kali melihat suasana pemandangan alam bersalji, pasti terasa gembira dan teruja melihat salji turun melayang-layang seperti kapas putih diterbangkan angin.
Seluruh gumpalan-gumpalan kecil itu turun menuju ke bumi dan sekejap diterbangkan ke arah lain termasuk kembali melayang menuju ke atas langit ditiup angin kencang. Angin yang tiba-tiba menerpa menambahkan kedinginan suasana.
Ada gumpulan salji jatuh ke lantai konkrit serta jalan raya bertar dan terus mencair dan ada yang membeku, menjadikan permukaan tersebut seperti diselaputi oleh lapisan ais jernih. Ais yang jernih sejernih-jernihnya. Selaput itu menjadikan permukaan itu sangat licin untuk tayar kenderaan. Memudahkan kereta menggelonsor dan sukar dihentikan, apatah jika menekan brek sekuat hati.
Berjalan di kawasan itu juga perlu berhati-hati terutama jika memakai kasut yang tidak sesuai atau tapaknya sudah haus. Dari berjalan tegak berdiri boleh tergelincir jatuh terduduk seperti buah nangka jatuh ke tanah dan sukar untuk bangun tegak berdiri kembali.
Sesekali kelihatan kenderaan penguasa menyodok salji-salji yang bertimbun di tengah jalan. Kemudian kenderaan itu menabur garam untuk memudahkan salji mencair lalu menjadi air jernih dan mengalir  dari tengah jalan ke parit-parit kecil di tepinya. Ada yang keras membeku sebelum sempat sampai ke parit-parit kecil itu.
“Seronok ya… tengok salji turun. Cantik!” Anak comel itu meluahkan perasaannya sambil memandang ke arah dia. Dia hanya angguk-anggukkan kepala, sekadar mengambil hati anak comel itu.
Lantas anak cilik itu membuka pintu lobi hotel dan bermain-main dengan salji yang berguguran. Gembira sekali wajahnya dan ceria gelagatnya.
“Malang generasi anak comel ini.” Bisik hatinya.
Dia tersenyum melihat telatah anak comel itu.
Kegembiraannya pasti sebentar sahaja. Keterujaannya pasti sekejap cuma. Kegembiraan dan keterujaannya bermain salji itu pasti akan dibunuh kejam oleh kedinginan salji itu sendiri.
Sebentar kemudian dia masuk semula. Dia keluar kembali untuk bermain-main dengan salji dan cuma sebentar, lantas dia kembali ke dalam lobi hotel.
Begitulah kelakuannya beberapa kali, dan akhirnya dia hanya memandang saja salji berguguran dari dalam ruang tamu hotel.
“Kenapa?” Tanya pemandu pelancong tadi.
“Kenapa apa, pak?” Tanya kembali si gadis comel.
“Kenapa ngak keluar bermain salji lagi?” “Dingin banget... Ngak bisa lagi menahan kedinginan!” Dia sedang duduk-duduk di atas sofa kulit berwarna hitam di lobi, merehatkan diri sambil memerhatikan kelakuan manusia asing berkulit putih dan bermata sepet lalu-lalang di depan kaunter hotel.
Walau di dalam hotel serta berpakaian kulit tebal, dingin cuaca masih terasa sehingga perit rasa kulit. Sofa juga terasa sejuk seperti sedang duduk di atas air batu, kedinginan terasa seperti mencucuk-cucuk tulang putih, menebusi seluar jean dan sehelai seluar di dalam. Tidak termasuk sepasang “Long John.”
“Tuan!” Tegur ketua rombongan merangkap penaja lawatan itu. Wajahnya ada garis-garis ketuaan terutama di tepi mata. Misainya tebal menghitam dan rambutnya sudah ada putih-putih uban tetapi ditutupi dengan songkok baldu kehitaman.
“Ya.” “Termenung seorang saja. Nampak macam tidak gembira berada di sini.”
“Aku sudah biasa ke negara bersalji berbulan-bulan. Barubaru sampai memanglah teruja tetapi apabila sudah berbulan lamanya, seksa jadinya. Cuaca sebegini masih di kira baik. Jika bawah 20 darjah celcius, terpaksa terperuk 24 jam di dalam rumah dengan pemanas senantiasa dipasang. Kehidupan di dalam dunia sebesar rumah, di dalam empat dinding umpama penjara.
Mental yang lemah menjadikan empunya mental itu gila. Gila kebosanan dan keseorangan.
Bertambah seksa jika bekalan elektrik terputus akibat timbunan salji berwarna keputihan tetapi gelap sekali penderitaan batin akibatnya”
“Habis kenapa ikut kami ke sini?”
“Aku ikut kerana ingin kembali mengingatkan diri sendiri betapa bebalnya kebanyakkan rakyat di negara kita.”
“Kenapa tuan berkata begitu?” Kehairanan si pemakai songkok. “Kau perhatikan anak comel itu.”
“Kenapa dengan anak itu?” “Perhatikan! Lihat tingkahlakunya. Apa yang kau perhatikan?” “Anak itu gembira melihat salji. Sesekali dia keluar untuk bermain salji.”
Masih bebal
“Berapa lama dia mampu menahan kedinginan salji.” “Tidak lama. Sebentar saja.” “Kau lihat pula pohon-pohon di luar. Ceritakan keadaannya.” “Pokok-pokoknya tidak berdaun dan ada yang ditimbuni pangkalnya dengan salji-salji seumpama busut anai-anai.”
“Bagus. Semua itu jika difikirkan dalam-dalam menunjukkan rakyat di tanah air kita rata-ratanya masih bebal walau berpelajaran tinggi!”
“Apa kaitannya?”Dia hanya tersenyum. “Bas sudah sampai. Mari kita naik bas.” Pelawa si pemandu pelancong.
Dia masih lagi tersenyum sambil bergerak ke arah bas.
Soalan tidak berjawab. Apabila keluar dari pintu lobi dia membetulkan bajunya dan kedua tangannya diseluk ke dalam poket seluar. Jalannya laju seperti mengejar sesuatu. Begitu juga dengan pelancong-pelancong dari negaranya termasuk anak comel cilik tadi. Dia berlari-lari menuju ke bas meninggalkan ibu bapa di belakang. Nampaknya anak comel itu hendak segera di dalam bas. Kedinginan agaknya.
Dipermulaan dan di sepanjang perjalanan pemandu pelancong menerangkan pelbagai perkara berkaitan negaranya itu terutamanya maklumat tentang kawasan dilalui bas ketika itu.
Dia hanya sesekali menumpukan perhatian terhadap bicara pemandu pelacong itu. Itu pun tumpuan sambil lewa.
Selebihnya, dia menumpukan perhatian menikmati panaroma di luar bas.
Bas melalui sebuah perkampungan. Tanahnya datar dan seluas mata memandang.
Hanya kelihatan seorang dua di luar rumah dengan pakaian tebal memberatkan diri. Merimaskan.
Tiada pepohonan hijau. Ada beberapa rumah yang sangat jauh jaraknya.
Kelihatan kawasan yang luas di sekeliling sebuah rumah. Mungkin kebun sayursayuran kerana masih kelihatan batas-batas kebun, namun tiada tanaman yang tumbuh dan semuanya membeku kegersangan. Ada banyak juga kolam-kolam ternakan ikan dan hampir semuanya dilitupi oleh ais di tepi-tepi kolam. Tiada yang menarik perhatian tetapi dia tetap merenung pemandangan yang menjemukan itu.
“Alangkah bertuahnya ibu pertiwi tetapi majoriti rakyatnya bebal!” Terkeluar keluhan penuh kekesalan itu tiba-tiba.
“Cuba tuan kongsi keluhan tuan itu.” Rakan di sebelahnya bertanya. Orang bersongkok di lobi tadi.
“Lihatlah negara ini. Tanahnya lebar luas tetapi kegersangan akibat musim dingin membeku. Tanah ketandusan, tiada tumbuhan yang boleh tumbuh segar.
Malahan sungai dan kolam membeku menjadi batu!” “Saya melihat keindahan tempat orang tetapi tuan melihat kegersangannya.”
“Indah di mata orang tidak pernah melihat. Gersang bagi yang sudah biasa dan mampu berfikir. Pasti ketara kegersangan ini jika dibandingkan di tanah sendiri. Kegersangan ini bukan sekejap, malah berbulan-bulan!” “Apa kaitannya dengan kebebalan rakyat kita?”
“Negara kita sebuah negara bertuah. Mentari bersinar cerah dan hujan sepanjang tahun, kecuali sekejap di kala hujan atau lama sedikit di musim tengkujuh. Tumbuh-tumbuhan subur sepanjang tahun. Hutan tropika menghijau memikat jiwa.
Air sungai sentiasa mengalir. Ada yang mengalir dengan deras dan ada yang lemah-gemalai. Hasil bumi juga banyak! Kenapa rakyat rata-ratanya masih berhempaspulas untuk meneruskan kehidupan. Malahan ramai yang merempat di bumi nan subur!” Terdiam. Mungkin memikirkan persoalan diutarakan itu. “Maaf, saya masih belum dapat mengaitkan dengan kebebalan rakyat kita.” Bertanya orang bersongkok.
Dia tersenyum memandang orang yang bersongkok itu.
“Beginilah tipikal rakyat negara sendiri. Walau kaya-raya tetapi tidak berupaya memikirkan sesuatu yang jauh sedikit.” Bisik hatinya.
Suasana hening seketika. Hanya kedengaran bunyi enjin bas. Bas mewah dilengkapi dengan sistem pendingin dan juga pemanas udara. Ketika ini pemanas dihidupkan untuk memanaskan suhu di dalam bas. Ketika musim panas terik, pendingin hawa pula dipasang.
“Kenapa negara subur rakyatnya menderita? Perit kehidupan kita?” “Mungkin rakyat malas berusaha?”
“Cuba perhatikan, rakyat negara ini tidak dapat berbuat apa-apa akibat kedinginan berbulan-bulan lamanya. Adakah rakyat negara kita begitu malas sekali sehingga tidak bekerja berbulan-bulan lamanya seperti mereka?”
“Saya rasa segelintir saja. Hampir kesemuanya berhempaspulas mencari sedikit habuan untuk meneruskan kehidupan.”
Celahan dari anak muda duduk di kerusi belakang. Misainya jarang dan janggutnya sejemput.
“Lalu kenapa rakyat masih ramai menderita?”
“Ekonomi tidak diuruskan dengan baik oleh kerajaan.” Anak muda tadi menjawab.
“Nah… ada anak muda yang pintar juga akhirnya. Adakah kalian dapat nafikan kerajaan yang ada adalah kerajaan korup.
Perbelanjaan kerajaan terlalu tinggi dan ketirisan tidak diambil peduli. Khazanah negara menjadi rebutan penguasa-penguasa elitis kebal undang-undang?”
“Lalu apa yang perlu dilakukan untuk mengubah kerajaan?” Anak muda di kerusi belakang bertanya pula.
“Jadilah rakyat yang pintar. Seru dan ajak semua rakyat untuk sama-sama menjadi pintar. Kerajaan didirikan oleh rakyat dan sepantasnya kerajaan berkhidmat untuk rakyat. Rakyat pintar memilih kerajaan rakyat dan bukannya memilih kerajaan umpama penjajah, menjarah khazanah negara untuk diri, kenalan dan keluarga sendiri.
Penguasa yang sepatutnya merempat dahulu, sebelum ada mana-mana rakyat merempat.
Kerajaan rakyat mesti didirikan!” Semangat nada suara dia seolaholah sedang berceramah di atas pentas utama dengan ribuan pendengar. Sehingga penumpang bas paling jauh juga mendengar ceramahnya itu dan kadangkadang mengerlingnya.
“Ya betul. Kerajaan rakyat mesti didirikan!” Sahut anak muda itu lagi.
Orang bersongkok mencuka wajahnya. Dia hanya tersenyum.
Sambutan anak muda itu menggembirakan hatinya. Jika ramai anak muda sebegini, harapan cerah kerajaan rakyat dapat didirikan segera…

Skim cepat kaya, sukarnya ambil pengajaran


BUKAN sedikit kerugian yang ditanggung. Bukan seorang dua yang terkena. Bukan setahun dua ia berlaku. Malah sudah berpuluh-puluh tahun skim cepat kaya membadai. Dari ­generasi ke generasi ia terus berlaku. Dari skim ­tradisional Pak Man Telo, Labu Peram sehinggalah kepada skim yang lebih moden berasaskan internet, pertukaran wang asing dan pelaburan saham, skim cepat kaya terus rakus mencari mangsa. Persoalannya, adakah kita pernah mengambil pengajaran?

Baru-baru ini kecoh tentang penipuan skim cepat kaya mi­nyak sawit mentah yang dibongkar oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dalam satu serbuan di Lembah Klang pada 17 April lalu susulan daripada laporan polis yang dibuat oleh 248 mangsa penipuan ini. 

Mengapa skim cepat kaya masih wujud? Walaupun saban kali ada sahaja disiarkan dalam berita orang ramai yang tertipu, kehilangan wang berpuluh-puluh ribu ringgit, ada yang menjadi gila malah ada juga yang membunuh diri tetapi perkara ini masih terus berlaku. Mengapa boleh jadi begini? Penulis sebenarnya biasa bergaul dengan orang yang aktif terlibat dalam skim-skim seperti ini. Pada dasarnya terdapat tiga golongan yang menyertai skim ini. 

Golongan yang pertama ialah golongan yang suci hati tidak tahu bahawa ini adalah penipuan. Kemudian setelah menyedari bahawa skim tersebut sebenarnya adalah satu penipuan lalu mereka tidak lagi menyertainya.

Golongan yang kedua ialah mereka yang tahu bahawa skim tersebut adalah satu penipuan tetapi mereka berharap agar sempat mengambil keuntungan sebelum syarikat tersebut ditutup dan pengusahanya membawa lari wang pelabur. Mereka mengambil risiko dengan harapan mereka adalah peserta terawal dan sempat mengaut keuntungan. 

Tetapi sekiranya mereka sudah berada di penghujung masa maka mereka mungkin kerugian sebelum sempat mendapat keuntu­ngan. Malah lebih jahat lagi apabila mereka mengajak orang lain menyertai skim ini demi untuk mendapatkan komisen kerana menarik ahli baharu kerana sekarang ini skim cepat kaya beroperasi ala MLM yang membolehkan mereka mendapat komisen jika menarik ahli baharu.

Yang yang paling malang ialah golongan ketiga. Golongan ketiga ialah mereka yang benar-benar percaya bahawa skim tersebut adalah tulen. Mereka percaya bahawa sebenarnya memang wujud satu skim pelaburan yang boleh memberikan pulangan yang berlipat kali ganda dalam jangka masa singkat. 

Apabila sesuatu skim itu runtuh pula mereka akan percaya bahawa ia adalah kerana salah pihak pengurusan. Contohnya, pihak pengurusan tamak atau tidak cekap. Selain itu, sekiranya ditutup kerana diserbu penguat kuasa mereka akan mengatakan kerajaan cemburu dengan kekayaan mereka. 

Penulis sendiri pernah bertemu dengan seorang rakan yang kehilangan wang dalam skim cepat kaya setelah diserbu penguat kuasa. Menurut individu ini, skim cepat kaya yang disertainya itu adalah betul, tetapi kerajaan sengaja membuat serbuan dan menutupnya kerana jika tidak dihentikan maka skim-skim kerajaan seperti ASB, ASN dan lain-lain lagi akan terjejas. Bagi mereka jika skim cepat kaya tersebut popular maka tidak ada orang yang menyimpan dalam ASN, ASB dan sebagainya. 
Kerana itulah dakwaan mereka kerajaan bersungguh-sungguh membuat serbuan dan menutup operasi syarikat skim cepat kaya tersebut.

Kerana itu golongan kedua iaitu golongan yang tahu bahawa ia penipuan tetap mengambil risiko menyertainya untuk mengaut keuntungan sebagai peserta terawal dan golongan ketiga iaitu golongan yang dengan suci hati percaya bahawa skim itu memang benar-benar wujud adalah merupakan rahmat kepada pengusaha skim cepat kaya ini. Tanpa kedua-kedua golongan ini maka sudah pasti sudah lama skim cepat kaya ini berkubur.

Dan dua golongan manusia ini sentiasa memberi harapan baharu kepada penjenayah-penjenayah skim cepat kaya untuk terus menjalankan perniagaan haram mereka. Penulis juga pernah berjumpa dengan seorang rakan yang telah menyertai hampir empat skim cepat kaya dalam masa yang berlainan. Dia kehilangan wang berpuluh-puluh ribu ringgit. 

Dan lebih malang lagi apabila wang pelaburan tersebut diperoleh dengan membuat pinjaman peribadi dari bank. Tetapi mereka ini akan berlumba-lumba-lumba menyertai jika ada sahaja skim cepat kaya yang baharu wujud. Dan ia berakhir dengan kerugian beribu-ribu ringgit lagi. 

Tetapi golongan ini tidak pernah serik. Yang menariknya apabila ada skim baharu yang dikeluarkan mereka akan menyertainya hanya dengan satu kata-kata keramat iaitu “Yang ini lain, tak sama macam yang dulu’. Ini untuk mengelakkan seseorang itu memikirkan bahawa mereka tertipu lagi. Contohnya mereka akan mengatakan “Yang dulu tu lain, itu internet, yang ini lain. Skim ini kita dapat berjumpa sendiri dengan pengusaha itu. Mesti kali ini bukan tipu”. 

Barangkali inilah yang dikatakan bahawa kita tidak pernah belajar daripada kesilapan. ­Percayalah, tidak ada jalan singkat untuk menjadi senang. Kita perlu bekerja untuk mendapat gaji dan kita perlu berniaga menjual barang untuk mendapat keuntungan. Semuanya memerlukan usaha.

Jika kita berpegang pada pepatah Inggeris too good to be true iaitu sesuatu yang nampak terlalu bagus itu selalunya adalah penipuan, kita pasti selamat. Kita hendaklah sentiasa curiga apabila ada orang yang menawarkan kepada sesuatu yang memberi keuntungan sangat tinggi dan pulangannya pula terjamin kerana ia tidak pernah wujud dalam dunia pelaburan.

Sekiranya kita menyimpan di simpanan tetap kita akan mendapat keuntungan sekitar empat peratus setahun. Itu biasa. Sekiranya kita melabur di amanah saham mungkin kita akan mendapat purata keuntungan 10 peratus setahun. Itu biasa. Tetapi jika sesuatu pelaburan yang menjamin pulangan sehingga berpuluh-puluh kali ganda dalam masa beberapa bulan maka itu luar biasa. Maka ini penipuan. Kalau kita berpegang pada prinsip ini kita tidak akan tertipu.

PENULIS ialah bekas Pensyarah Kolej Profesional Mara Indera Mahkota Kuantan, Pahang dan kini seorang usahawan.

Telefon pintar rawat diabetes

SHANGHAI - Para saintis di China berjaya menggunakan telefon pintar untuk mengawal tahap gula dalam tubuh penghidap diabetes.

Proses yang menggabungkan biologi dan teknologi itu berjaya dilakukan terhadap tikus makmal yang menghidap penyakit ber­kenaan tetapi jurnal Science Translational Medicine menyifatkan ke­jayaan itu boleh diaplikasikan terhadap pelbagai penyakit lain dan rawatan menggunakan ubat.

Menurut penyelidik di East China Normal University di sini, pendekatan ini membuka laluan kepada 'era baharu’ dalam dunia perubatan.
Langkah pertama yang dilakukan ialah menukar sel normal secara genetik untuk mengeluarkan ubat bagi mengawal tahap gula dalam darah seperti insulin tetapi hanya melalui tindak balas cahaya.

Teknologi berkenaan dikena­li sebagai optogenetics dengan sel-sel berkenaan akan bertindak apabila didedahkan kepada gelombang khas cahaya merah manakala LED tanpa wayar serta aplikasi telefon pintar digunakan untuk mengawalnya.

Lapor portal BBC, para penyelidik berkenaan memasukkan sistem tersebut pada bahagian ba­wah kulit tikus dan berjaya me­ngawal diabetes dengan sentuhan pada skrin telefon.

Kata mereka, penemuan itu mampu membuka laluan untuk era baharu berhubung ketepatan glo­bal, digital dan peribadi perubatan.

Para saintis hanya perlu me­ngambil setitik darah untuk menge­tahui tahap gula dalam darah haiwan agar mereka boleh mengira jumlah ubat yang perlu dilepaskan dalam tubuh haiwan tersebut.
Matlamat utama ialah untuk menghasilkan sistem automatik sepenuhnya yang boleh mengesan tahap gula dan mengeluarkan sejumlah bahan kimia terapi.

Namun begitu kajian itu masih pada peringkat awal dan tidak terhad kepada penyakit diabetes ke­rana sel boleh dibangunkan untuk mengeluarkan pelbagai jenis ubat.

Kaedah ini paling berkesan untuk naikkan jualan

LINKEDIN adalah satu rangkaian media sosial yang khusus kepada para profesional. Dengan 400 juta ahli di seluruh dunia, tidak dinafikan ia banyak membantu golongan profesional dan perniagaan termasuk freelancer untuk membina keyakinan, jenama masing-masing dan juga kerjasama di antara satu sama lain. Apabila anda mempunyai penjenamaan yang baik di sini dengan sendirinya anda akan mempunyai rakan-rakan profesional yang ramai, dan kejayaan mereka boleh dipelajari.

Hisham Abd. Samad, rakan rapat saya di LinkedIn ini saya kenali hampir setahun. Tidak pernah berjumpa secara fizikal, tidak pernah kenal sebelum ini tetapi kami berjumpa dan menjadi kenalan rapat di LinkedIn seolah-olah telah berkawan berpuluh-puluh tahun lama­nya. Sebagai Pengarah Jualan di sebuah hotel di Kota Kinabalu, yang sejujurnya saya pun tidak pernah mendengar nama hotel tersebut sebelum ini, nama beliau tidaklah begitu popular sama ada di media sosial ataupun di luar sana. Tetapi saya melihat beliau sebagai seorang yang luar biasa.

Beberapa bulan lalu saya terbaca status yang telah dimuat turun oleh Hisham di akaun LinkedInnya yang menyebut, ‘Kini 13 Syarikat Penerbangan Bertaraf Dunia Telah Memilih Hotel Kami Sebagai Persinggahan Anak-Anak Kapal di Kota Kinabalu’.
Baca betul-betul, 13! Status ini benar-benar telah membuka mata saya seluas-luasnya. Ini kerana sepanjang hidup saya, belum pernah lagi mendengar sebuah hotel yang tidak begitu terkenal namanya yang digunakan oleh 13 syarikat penerbangan dunia sebagai tempat persinggahan mereka. Biasanya sesebuah hotel akan mempunyai tidak lebih daripada tiga atau empat syarikat penerbangan sahaja sebagai pelanggan untuk mereka tempatkan kakitangan, tetapi 13 memang luar biasa. Bagaimana Hisham lakukannya? Ini persoalan yang perlu saya cari jawapannya.

Dua minggu lepas, saya berkesempatan berjumpa deng­an beliau yang kebetulan berada di Kuala Lumpur untuk pulang bercuti. Dengan berbekalkan nasi lemak bungkus dan teh tarik yang terkenal di Jalan 223 Petaling Jaya, saya bertanyakan kepada Hisham soalan yang terpendam berbulan-bulan lamanya itu. Dia berkata, faktor-faktor ini yang sebenarnya telah membantu beliau:

Mentaliti.
 
Di sini semuanya bermula. Aura kejayaan tidak akan datang sekiranya kita tidak yakin de­ngan diri kita sendiri, yakin deng­an kebolehan kita yang ada, tidak bekerja sambil lewa, tidak mengharapkan orang lain, jauhkan perasaan hasad dengki dan buang semua elemen negatif dalam diri sendiri. Ini juga penting, kita harus mempunyai keinginan yang tinggi untuk berjaya, dan sanggup melakukan apa sahaja untuk berjaya asalkan ia tidak melanggar etika dan undang-undang yang ada. 

Pemasaran yang seimbang.
 
Kita memerlukan strategi dan pelaksanaan pemasaran yang kuat dan seimbang untuk mencapai kejayaan yang besar. Mengharapkan hanya daripada aspek digital sahaja tidak mencukupi. Kita memerlukan lebih daripada itu, termasuk pemasar­an secara tradisional seperti di akhbar dan majalah, katalog, papan-papan tanda, ejen-ejen pelancongan, kerjasama strategik dan sebagainya. 

Produk berkualiti tinggi. 

Jualan hanya akan tercapai sekiranya kita mempunyai produk atau perkhidmatan yang berkualiti tinggi kerana para pe­langgan di luar sana sama seperti syarikat-syarikat penerbangan ini. Mereka pasti akan menyaring terlebih dahulu dalam membuat sebarang pembelian. Dan saringan ini pasti ketat.

 Rujukan atau referral.
 
Kita perlu dapatkan satu nama yang besar sebagai pelanggan terlebih dahulu, dan berikan yang terbaik kepada mereka. Berita pasti akan tersebar. Kemudian dapatkan satu lagi nama besar, dan satu lagi. Ini boleh dilakukan dengan mudah sekiranya bakal pelanggan kita tadi menerima rujukan yang positif daripada para pelanggan besar yang sedia ada.

Kerja berpasukan.
 
Saling mempercayai antara satu sama lain dalam pasukan yang sama, dan juga dengan pasukan lain yang ada dalam organisasi yang sama amat penting. Walaupun kita mempunyai pasukan kita sendiri, namun kita juga perlu bekerja sebagai satu unit dengan pasukan-pasukan yang lain untuk mencapai sasaran organisasi secara keseluruhan. Mesyuarat ming­guan perlu diadakan untuk melicinkan operasi, menyelesaikan masalah yang ada dan juga memastikan tugas-tugas yang bakal dilaksanakan berjalan de­ngan baik.
Kata Hisham lagi, harga yang murah tidak menjamin kejayaan sesuatu jualan. Ia sebenarnya terletak pada nilai yang ditawarkan melalui cadangan kita kepada bakal pelanggan. 

AZLEEN ABDUL RAHIM adalah Pakar Pemasaran Digital. 

Yah Lee Nasi Ganja

Oleh Nurimas Sn

Memang perwataknnya serba sederhana.Tidak keterlaluan dan tiada juga kekurangan nyata. Dia macam anak-anak gadis lain juga, periang, selalu jaga penampilan dan kekadang jiwang-jiwang. Sama persis dengan rakan-rakan lepasan sekolahnya juga. 

Tapi mengapa tiba-tiba sahaja dia jadi terlebih glamour daripada rakan-rakannya itu?Lebih popular dari Arini, ketua pengawas sekolahnya dahulu.Atau Balqis yang memang menjadi idaman pelajar lelaki.Secara tiba-tiba pula namanya mencanak melepasi rating siaran popular televisyen terkini.Like di laman sosialnya serta-merta pula mencapai ke angka puluhan K. Hari-hari laman facebooknya dilawati dan disinggahi netizen.

Dengar kata, dia juga sudah tak menang tangan membuka dan membelek muka bukunya setiap minit.Hingga terpaksa pula membuka akaun baharu dan handphone baharu juga bagi memenuhi permintaan netizen.Dia bukan bintang popular atau selebriti tanah air yang jakun dengan dunia glamour ini.
Dia tidak pernah pun  menginginkan penghormatan dan populatiri sedemikian, hingga saban ketika ada sahaja rakan baharu yang ‘add’ laman facebooknya untuk menjadi rakan. Dan dia sendiri tidak betah ‘approved’ permintaan mereka yang puluhan ribu ramainya itu.

 “Nasi ganja dua set , mek,” laung seorang lelaki separuh umur yang baharu dapat tempat melabuhkan punggung. Dia dan isterinya menunggu hampir setengah jam untuk mendapat giliran tempat di warung kecil tetapi kemas di pinggir jalan itu.

Sepantas kilat pula pembantunya mencatat ke dalam buku kecil yang hampir lunyai di tangannya.Lalu menyepitkan pada seutas tali di tetingkap antara dapur dan ruang hidang.Yah Lee kerling rentetan cebisan kertas kecil yang dikepil itu sambil tangannya tidak lekang menyediakan hidangan.
Mek Jah yang menjadi pembantunya tu semakin cekap melakukan kerja-kerja sebagai orang nombor dua. Dia bukan orang lain, mak dua pupu Yah Lee juga, tapi seakan sebaya.   Masing-masing lepasan Sekolah Menengah Banggol yang tidak berkesempatan meneruskan pengajian.

“Nak minum apa , encik?” ajunya kepada pasangan tadi. Sebentar kemudian, dia mencatat pesanan mereka dan terus meluru ke belakang.Ketika ini semua kerja kena buat pantas dan cepat.Maklumlah waktu puncak begini memang semua orang hendak segera.Masa rehat pun tidak lama. Kebanyakan mereka  pula bekerja di pejabat berdekatan yang akan memulakan sesi petang sekitar jam dua.

 Senario itu kini melatari panorama warung “Yah Lee Nasi Ganja” saban tengah hari hingga awal petang. Perniagaannya hanya beroperasi sebelah siang sahaja bermula jam 10.30 pagi. Sebelum maghrib, mereka sudah tidak kelihatan lagi di situ. Namun perniagaannya itu mendapat sambutan liuar dugaan daripada kalangan penduduk setempat. Malah sudah ada peminat yang lintas sempadan ke warungnya dari daerah-daerah lain.

Kampung Banggol yang bersempadan dengan Chendor di Kuantan itu cepat sahaja menjadi popular dengan jenama baharu itu.Nasi ganja, memang agak ganjil namanya.Sekali dengar memang orang tak mahu makan. Tapi itulah trend sekarang, lagi pelik nama lagilah orang nak tahu.

 Diksi ‘ganja’ pada kelaziman memang agak sensitif kepada seseorang. Misalnya bila orang gelar kita ‘mat ganja’, tentu kita akan marah atau melenting kerana konotasinya yang mengaibkan. Jadi agak kontroversi juga frasa ‘nasi ganja’ itu pada mulanya.

Kalau nasi kerabu, nasi kunyit atau nasi lemak itu memang telah dimaklumi keberadaannya.Orang tak takwil apa-apa.         

Tapi itulah, Yah Lee Nasi Ganja, seakan menjadi fenomena baharu di kampung itu kini.

Segalanya berlaku seperti mimpi.Pantas dan tidak dirancang.Semua gara-gara air tangannya yang menjadi dan memenuhi selera pelanggannya. Pertemuannya dengan ibu tunggal  setaraf emaknya bernama Tun Sarah tiga bulan lepas, menjadi titik mula segalanya.

“Mak Cik ni dulu memang orang sini juga, tapi lama mengembara ke Perak,” ujar Tun Sarah ketika berkunjung ke warung kecil Yah Lee.Tun  Sarah seakan membentangkan agenda utamanya kembali ke desa kelahiran. Memang Yah Lee tidak berapa ingat tentang Tun Sarah walaupun mungkin pernah bertemu dengannya ketika zaman kanak-kanak dahulu.

Dan pertemuan yang tidak dijangka itulah sebagai titik mula diari kehidupan Yah Lee kini. Tun Sarah perturun segala ilmu dan azimat kepada Yah Lee sebagai  penyambung warisannya itu. Nasi ganja yang memang terkenal di Ipoh itu dibawa ke  Pantai Timur, menjadikan variasi resipi yang semakin rencam menelurkan persaingan sihat dengan nasi kerabu dan nasi dagang.

Dalam masa sebulan dua sahaja, Yah Lee mampu mandiri dan menguasai kemahiran membuat nasi ganja yang agak ringkas tetapi menyelerakan itu. Gabungan nasi dari beras bermuti tinggi yang dimasak dengan ramuan jintan, ketumbar dan secubit garam itu amat menyelerakan
Apa tah lagi bila dipadankan dengan kari mamak tanpa santan, cukup dengan ramuan empat serangkai, bawang dan halia. Lebih enak dengan acar dan ayam goreng berempah yang menaikkan aroma, puuhh…pasti menggugat iman setiap pelanggan.

Tun Sarah yang pernah bekerja sebagai pembantu di Restoran Nasi Ganja Ipoh Mali memang pakar resipi tersebut.Dia kembali ke kampung halaman setelah diceraikan oleh mantan suaminya setahun lalu.Tiada mempunyai anak, lalu dia mengambil keputusan untuk kembali ke Kampung Banggol ini.
Kebetulan, gemulah ayah dan ibu Yah Lee ada sebuah rumah tinggal yang tidak disewakan.Dengan sedikit usaha dan belanja, mereka ubah suai rumah itu menjadi sebuah warung kecil.Kedudukannya yang agak strategik di simpang masuk kawsan industri dan kolej swasta, menjadi bonus kepada pasarannya.

Warung ‘Nasi Ganja Yah Lee’ dinobatkan sebagai papan tanda perniagaan mereka. Walaupun Tun Sarah yang menjadi teraju utama, namun Yah Lee pantas pula menerima didikan dan asuhannya, hingga rasa nasi ganja Yah Lee sudah menyamai dengan resipi asal Tun Sarah sendiri.

Kini mereka bukan hanya meladeni pelanggan yang datang secara bersemuka di warung, malah Yah Lee mula mengorak langkah dengan mengendalikan pakej penghantaran sekitar bandar dan daerah berdekatan. Dengan pembungkusan yang kemas dan berkualiti, nasi ganja keluarannya masih segar apabila tiba di tangan pelanggan.

“Yah, oi, telefon kau asyik berbunyi saje, tak kuasa mak cik nak layan..” omel Tun Sarah dari ruang dapur sambil tangan terus rancak menyediakan hidangan. Yah Lee paling juga sambil lontar senyum sumbing.

“Tak pe mak cik tu. Mesej je tak perlu jawab pun,.” balas Yah Lee juga separuh kuat. Dia sedang melayan pelanggan  di sebelah luar pula. Inilah untungnya zaman sekarang, tak perlu bergerak ke mana-mana, hanya pegang telefon sahaja, pelanggan boleh memesan barangan. Kebanyakan pelanggan akan menelefon dahulu untuk menempah, kerana masa menunggu semakin panjang.

Lebih memberangsangkan pula, tabiat orang kita apabila mendapat cerita atau mengalami sendiri sesuatu peristiwa akan segera disebarkan. Maka tularlah cerita kelazatan nasi ganja Yah Lee ke serata negeri.Secara tidak langsung pelanggannya telah membantu mempromosi perniagaannya, tak perlu pasang iklan banyak-banyak.

Sebab itulah Husna, adik bongsunya yang baru tamat SPM diajak sekali ke warung sebelum mendapat apa-apa jawapan ke UA.Sekurang-kurangnya dapat juga melayan permintaan dan pertanyaan netizen.Husna kalau pasal tunjuk muka ke luar memang dia segan, tapi pasal makan tidak pula, sesekali hati Yah Lee merungut.

Namun di sisi lain, dia bersyukur kerana ada pembantu yang sudi melayan decitan handphone dan deringan telefon. Bab ini memang makanan Husnalah.Dia sanggup duduk berjam-jam dengan gajet terkini itu.Instagram, twiter, wechat, yang terbaharu skype, kakao talk, bee talk, entah apa-apa lagi, semua dia teroka. Kalau setakat whatsap,facebook dan messenger itu memang sudah basi baginya.Bak kata orang dia dah serasi dengan gelaran budak digital atau generasi siber.

Itulah kecanggihan zaman sekarang. Bagusnya semua yang berkaitan dengan nasi ganja dia uploaddan tularkan. Hingga bukan sahaja seluruh negara tahu, bahkan seantero dunia dapat mengenali Yah Lee Nasi Ganja.Pernah suatu ketika, mereka terima langganan dari Afrika yang tertarik dengan menu yang digambarkan.Namun apakan daya, permintaan tersebut tidak dapat ditunaikan lagi buat masa ini. Mungkin sebagai projeksi masa depan mereka kena fikirkan strategi untuk meneroka pasaran global.

Yah Lee bersungguh untuk memajukan perniagaannya.Dia putus kata untuk tidak mahu lagi meneruskan pengajian ke peringkat tertinggi.Biarlah setakat SPM sahaja.Dia tekal untuk menjadikan perniagaan nasi ganja sebagai mata pencariannya dan sumber kehidupannya.Bukan setakat perniagaan konvensional, tetapi dia mahu menjadikan businesnya sebagai tapak untuk melonjak ke tahap jutawan.

Itulah antara perancangan Yah Lee.Dalam diam, dia memasang angan untuk menjadi seorang usahawanita yang bukan sahaja gah di kampung sendiri, tetapi megah di peringkat tertinggi.Dia amat teruja dengan saranan Perdana Menteri agar peniaga Malaysia menjadi pemain utama pasaran dunia.Dan Yah Lee sudah memulakan langkah pertama.

Sebagai lokasi yang mendapat prasarana kampung wifi, dia mahu merealisasikan gagasan Kementerian Komunikasi dan Mutimedia Malaysia yang mahu penyebaran maklumat secara cepat dan tepat.Bukan dalam urusan pentadbiran kerajaan semata, tetapi juga dalm hal bisnes sepertinya.

iii
Usai menekuni blog yang baharu dibangunkan, Yah Lee bersegera ke kilang kecil di belakang rumahnya. Selepas menerangkan sesuatu dengan dua orang pembantunya, dia ke pejabat yang terletak bersebelahan dengan warungnya yang kini telah bertukar wajah.
 Bahagian hadapan dijadikan warung seperti dahulu tetapi telah ditambah dengan tatahias dan dekorasi yang lebih ceria. Dia juga menyediakan laluan ‘drive throw; yang semakin popular dalam kalangan pelanggan yang mahu segera. Suatu inovasi yang diilhamkan daripada syarikat besar seperti KFC dan McDonald.
 Bukan itu sahaja, Yah Lee Nasi Ganja telah mengorak langkah proaktif dengan membina sebuah kilang kecil untuk menghasilkan produk nasi ganja dalam bentuk ‘packaging’, sistem yang sama diusahakan oleh Brahim’s menjadi inspirasinya pula dalam bidang ini.
Segala produknya kini telah mempunyai label sendiri dan menerokai pasaran seluruh negara dan rantau ASEAN. Jenama Yah Lee Nasi Ganja telah menjadi sebahagian daripada ikon perniagaan makanan. Usaha selama dua tahun itu amat berbaloi dengan perolehan ‘margin’ keuntungan kian meningkat dan mempunyai beberapa ‘outlet’.
 “Sebenarnya, produk kami kini lebih menumpukan kepada perniagaan online dan cod.Namun di samping itu perniagaan secara tradisional dan warung tepian jalan masih diteruskan,” katanya ketika ditemuramah oleh salah seorang wartawan sebuah media.
“Bagaimana saudari membuat promosi dan memasarkan produk syarikat ini?” ujar wartawan itu lagi.Husna yang mendapat isyarat daripada kakaknya maju ke hadapan.Memang dia yang lebih arif menjawab soalan tersebut.
 “Alhamdulillah dengan blog dan laman web yang kami bina, telah dapat membantu pasaran hingga ke serata dunia.Saban hari kami menerima tempahan kira-kira tiga ribu unit daripada pembeli tetap.Untuk pasaran domestik pula, kami menggunakan dua buah van bagi menghantar bekalan ke destinasi pelanggan. Semua tempahan dan pesanan itu menggunakanaplikasi media sosial dan blog syarikat di samping mesej dan saluran lain,”  panjang lebar pula Husna yang kini menguruskan bahagian pemasaran korporat memberi penjelasan.

Wartawan akhbar itu kelihatan ligat mencatat sesuatu yang penting di samping rakaman audio yang juga dibuat.Pihak akhbar terpanggil membuat liputan ekoran video dan gambar-gambar mengenai nasi ganja itu tular di facebook sejak dua bulan lalu.Macam-macam tajuk direka oleh netizen yang akhirnya menggamit pihak media melamarnya untuk dijadikan ikon ruangan Usahawan Muda.
“Apakah perancangan masa depan perniagaan saudari?” aju wartawan itu lagi.Husna pandang kakaknya seakan menukar baton pula kepadanya.

 “Ermm..memanglah semua orang mahu maju ke depan. Kami juga sedang merancang untuk meningkatkan produktiviti.Tapi banyak lagi lalauan yang terpaksa kami fikirkan. Mengikut strategi perniagaan kami, insya – Allah akan menambah bilangan outlet  dan memperkenalkan system francais,” penuh yakin gadis pertengahan 20-an itu memberi maklumbalas.

 Dua hari kemudian, terpampang berita sehalaman penuh kisah dua anak gadis yang berjaya menjadi usahawan nasi ganja walaupun tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang tersebut.Namun dalam dunia tanpa sempadan sekarang ini, dengan punat kehidupan terletak di hujung jari, segalanya bisa direalisasi.

Maka bertambah meriahlah sambutan pelanggan sama ada  secarawalk-in, online, COD dan sebagainya yang menjadi rangkaian pembeli nasi ganja dua beradik ini.

Hingga kini gelaran Nasi Ganja itu lekat di belakang namanya walaupun Yah Lee sendiri tidak begitu gemar menggunakannya.Kalau dahulu, warungnya beroperasi hingga lewat petang, kini terpaksa di lanjutkan hingga ke tengah malam.

Yah Lee berjeda seketika selepas lelah melayan pelanggan di premis induknya.Lama juga dia termenung seakan memikirkan sesuatu.Dengan permintaan yang kian meningkat dari semasa ke semasa dan kapasiti kilangnya yang terhad, Yah Lee merancang untuk membuat pelaburan tambahan dengan membuat beberapa lagi inovasi dan penjenamaan semula. Laman web dan blog syarikatnya juga akandiperkemaskan lagi untuk menyahut cabaran yang lebih getir di dunia global.

Dia senyum puas di hadapan layar komputer yang memaparkan ‘blue print’ syarikatnya.Di sisinya, Husna, adik kesayangan yang patuh dan menjadi kembarnya dalam setiap kejayaan.Mereka berpandangan, kemudian pandangan dialihkan kearah dua potret wajah ibu dan ayahmereka yang tinggal dalam memori.

 Setitis air mata jernih menyinggahi pipi mereka, sambil merenung  cover porofile laman web baharu yang tertulis , ‘Produk BumiSiber, Nasi Ganja Yah Lee’.

Aqua Run penuh kejutan

Tarikan Terbaik Asia, Sunway Lagoon buat pertama kalinya menganjurkan larian menyeronokkan atau ‘fun run’ untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam aktiviti luar yang mengujakan.

Diadakan pada 23 April ini seawal jam 7 pagi, Aqua Run diadakan bertujuan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia berehat dan bersantai di luar rumah dengan pengalaman menyeronokkan melakukan aktiviti menarik dengan rakan dan keluarga.

Acara ini juga sejajar dengan reputasi Sunway Lagoon sebagai destinasi sehenti yang menyero­nokkan dan memberi kenangan manis.

Pertama kali diadakan, Aqua Run ini adalah larian menyeronokkan di dalam Sunway Lagoon yang mempunyai enam zon seperti pancuran hujan, Splash Attack, Puddles Mattress, Climb & Slide, Wall Diving dan Water Disco Hut.

Aqua Run ini bukan sekadar larian yang menyeronokkan, tetapi turut memberikan kejutan dan cabaran yang mengujakan buat pelari kerana di setiap zon, akan ada ‘sesuatu’ yang menyeronokkan menanti.

Kemahiran mendaki pelari akan teruji untuk sampai ke puncak Climb & Slide dan merempuh cabaran Wall Diving.

Menurut Pengurus Besar Sunway Lagoon Sean Choo, Sunway Lagoon terkenal sebagai destinasi sehenti yang menggembirakan dan menarik.
Jadi, dalam usaha untuk terus mencipta kenangan manis buat pengunjung yang menghabiskan ba­nyak masa di tarikan air taman tema itu, Sunway Lagoon Aqua Run diadakan.
“Aqua Run yang pertama kali diadakan ini membolehkan peserta mengalami keseronokan di taman tema ini dengan cara berbeza dan unik.

“Jadi, dengan penganjuran Aqua Run ini, peserta dapat menikmati keseronokan bermain air di samping mencipta kenangan manis,” katanya.

Pada akhir perlumbaan, muzik Celebration Bubble dimainkan untuk meraikan pelari di samping pemberian pingat atas usaha kecemerlangan merempuh enam zon yang disediakan.

Bukan itu saja, peserta juga berpeluang menikmati semua enam taman yang terdapat di Sunway Lagoon iaitu Taman Hiburan, Scream park, Extreme Park, Wildlife park, Taman Air, dan Nickelodeon Lost Lagoon pada hari sama selepas larian. Maklumat lanjut boleh diperoleh di www.sunwaylagoon.com. - Suliati Asri

Raihan cari penaja

Oleh HARYATI KARIM

Selepas 21 tahun berkecimpung dalam bidang muzik dan mengharumkan nama Malaysia ke seluruh dunia, tiada apa yang dimahukan oleh kumpulan nasyid tersohor Raihan, selain menganjurkan konsert besar-besaran di tanah air sendiri.

Namun begitu, hasrat berkenaan sering kali tertangguh disebabkan ketiadaan penaja yang sudi menaja sebuah konsert berunsur Islamik. Masalah itu dinyatakan sendiri oleh Raihan yang kini dianggotai oleh Che Amran Idris, Abu Bakar Md. Yatim dan Amran Ibrahim ketika ditemui pada sidang akhbar program makan malam Feed Your Body, Feed Your Soul di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Raihan bersedia untuk mengadakan konsert pada bila-bila masa. Masalah terbesar kami adalah ketiadaan pihak penaja. Menganjurkan sebuah konsert memerlukan kos yang tinggi. Kami tidak mahu melakukan konsert sekadar melepaskan batuk di tangga.

“Sebaliknya, kami mahu mengadakan sebuah konsert yang gah sesuai dengan usia Raihan yang telah memasuki angka ke-21 tahun. Selain itu kami mahu orang ramai melihat lagu nasyid atau ketuhanan sebagai salah satu aliran muzik komersial seperti pop dan rock,” kata Abu Bakar.

Bercakap mengenai pencapaian mereka yang tersenarai dalam 500 Muslim paling berpengaruh di dunia bagi tahun kesembilan berturut-turut, Raihan berkata, pengiktirafan tersebut bagaimanapun tidak mampu membuka mata penaja untuk menaja konsert mereka. Pengiktirafan itu diberi daripada hasil kajian yang dilakukan oleh Universiti Georgetown, Washington, Amerika Syarikat dan dikeluarkan dalam The Muslim 500: The World’s Most Influential Muslims bagi umat Islam seluruh dunia, merangkumi pelbagai bidang sepanjang 2016.

Sungguhpun memiliki pencapaian luar biasa dan diangkat di pentas antarabangsa, Raihan masih dipandang sepi di negara sendiri. Raihan dan aliran nasyid itu sendiri sering dilabel sebagai muzik ‘kebajikan’.

Justeru itu, banyak syarikat korporat enggan menaja kumpulan aliran nasyid kerana beranggapan muzik mereka berunsur kebajikan.
Raihan akan terbabit dalam program makan malam amal Feed Your Body, Feed Your Soul pada 13 Mei depan.


“Kami telah berusaha mencari penaja, tetapi kebanyakan syarikat korporat lebih berminat menaja penyanyi pop atau rock luar negara. Bagi mereka Raihan dan nasyid itu adalah muzik kebajikan, tidak perlu dilaburkan wang yang banyak.

“Walhal nasyid itu salah satu aliran muzik yang dalam masa sama menganjak orang ke arah kebaikan. Memang perit, tetapi itulah realiti yang terpaksa kami hadapi,” luah Abu Bakar. 

Realiti seni

Biarpun pahit realiti yang terpaksa dihadam, Raihan tetap meneruskan perjuangan dalam bidang seni kerana selain menghiburkan orang ramai, mereka juga mempunyai misi dakwah.
Oleh itu, mereka tidak pernah berputus asa kerana telah melihat keindahan dakwah di depan mata sendiri apabila ramai orang memeluk Islam hanya dengan mendengar lagu Raihan.

“Jika memikirkan tentang kelangsungan hidup lebih baik kami buat kerja lain, tetapi Raihan wujud bukan kerana muzik sahaja. Sebaliknya, ada perjuangan lebih besar yang kami fikirkan,” ujar Che Amran.

Sementara itu, bercakap tentang perkembangan seni Raihan, terbaharu mereka akan mengadakan persembahan dalam program makan malam amal Feed Your Body, Feed Your Soul yang akan berlangsung pada 13 Mei depan di Rumah Puspanita, Jalan Hose, Kuala Lumpur.
Program makan malam amal itu dianjurkan oleh Interactive Dakwah Training (IDT) salah satu badan bukan kerajaan yang membantu mualaf dan bukan Muslim mengenali Islam dengan lebih dekat.
“Sebenarnya ini kali pertama Raihan terlibat dalam program dakwah untuk orang bukan Muslim. Raihan sama-sama komited untuk terlibat dalam program ini kerana ia satu pengalaman baharu.
“Besar harapan kami ia mendapat sambutan sekali gus mencapai matlamatnya untuk mengutip dana bagi IDT dan menarik lebih ramai orang bukan Muslim terhadap Islam,” jelas Che Amran.
Selain Raihan, program amal itu turut diserikan dengan ilmu pengisian jiwa oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan pendakwah, Lim Jooi Soon.

 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER