Headlines News :

Corak pemakanan bantu selamat jantung

Oleh Siti Zarinah Sahib

Ramai yang bimbang mendapat serangan penyakit jantung tetapi ramai juga yang tidak berusaha mencegahnya. Umum mengetahui penyakit jantung salah satu penyebab kematian utama bukan saja di Malaysia bahkan di dunia.

Antara faktor risiko penyakit jantung termasuk paras kolesterol yang tinggi, darah tinggi, diabetes, berat badan berlebihan, gaya hidup tidak aktif dan tabiat merokok.

Mengubah corak pemakanan antara perkara mampu menyelamatkan jantung anda. Ini boleh dilakukan dengan memilih makanan tertentu mengikut piramid makanan, mengurangkan pengambilan minyak, lemak, garam dan gula dalam hidangan.

Namun begitu, terdapat beberapa jenis makanan yang bermanfaat untuk kesihatan jantung anda, antaranya:

Ikan 

Antara pilihan ikan paling baik ialah salmon. Ikan ialah sumber asid lemak omega-3 yang baik. Ia melindungi jantung dengan mengurangkan radang dan risiko pembekuan darah.

Lemak dalam ikan juga membantu mengekalkan paras kolesterol pada kadar yang sihat. Selain salmon, pilihan lain termasuk ikan laut yang berminyak seperti tuna atau sardin dengan pengambilan sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Untuk lebih sihat, ambil salmon panggang bersama salad.

Oat 

Bijirin oat mengandungi serat larut dipanggil beta glucan yang membantu mengurangkan paras keseluruhan kolesterol termasuk kolesterol LDL.

Serat boleh larut ini juga membantu sistem penghadaman kekal sihat. Jika sukar menikmati bijirin oat begitu saja, campuran oat bersama susu rendah lemak atau susu soya itu boleh ditambah hirisan buah-buahan segar seperti pisang, strawberi atau oren.

Epal 

Epal mengandungi sejenis bahan iaitu quercetin yang bertindak sebagai antiradang dan membantu mencegah pembekuan darah. Ia juga mengandungi vitamin dan serat, malah enak dijadikan snek ringan atau menambah hirisan epal dalam masakan.

Epal membantu untuk mengurangkan sehingga 50 peratus risiko penyakit jantung jika pengambilannya dilakukan secara berterusan misalnya, dua biji epal atau segelas jus epal sehari.

Sayuran berdaun hijau 

Sayuran berdaun hijau seperti bayam, brokoli dan sawi bukan saja mengandungi vitamin E, malah ia turut dikaitkan dengan keupayaan daya ingatan apabila berusia. Sayuran hijau kaya mineral yang mampu melindungi jantung daripada masalah kesihatan.

Pastikan dalam setiap hidangan tengah hari, masukkan sayuran hijau sebagai menu harian anda. Untuk mendapatkan mineral dan zat terkandung dalam sayuran hijau, elak daripada memasaknya terlalu lama. Sayur hijau juga boleh dimakan mentah seperti salad atau dijadikan ulam-ulaman.

Tomato 

Tomato baik untuk kesihatan jantung kerana kaya dengan vitamin dan lycopene yang terbukti membantu mengurangkan risiko penyakit jantung.

Hanya tambahkan hirisan tomato pada sandwic atau banyakkan sos tomato dalam makanan. Sos tomato yang dimasak dan sos tomato di dalam tin yang mudah didapati di kedai mengandungi lebih banyak lycopene berbanding tomato mentah.

Soya 

Protein soya ialah sumber yang baik untuk menggantikan daging merah apatah lagi ia membantu untuk mencegah penyakit jantung. Terdapat pelbagai makanan berasaskan soya seperti tauhu dan tempe. Anda juga boleh mengambil susu soya setiap hari untuk kekal cergas.

Minyak zaitun 

Minyak zaitun mengandungi kandungan lemak tidak tepu sehingga 77 peratus sekali gus membantu mengurangkan risiko penyakit jantung dengan menurunkan paras kolesterol. Anda boleh mengambil minyak zaitun satu sudu sehari sebagai makanan tambahan atau dijadikan bahan dalam masakan. Jika mampu gunakan minyak zaitun bagi menggantikan minyak lain dalam masakan.

Bijirin penuh 

Bijirin penuh menyediakan vitamin dan serat bagi menguatkan jantung. Jika anda penggemar roti, pilihlah roti yang dihasilkan daripada bijirin penuh seperti roti perang dan bukannya roti putih.

Badam 

Badam ialah jenis kacang yang mengandungi minyak menyihatkan seperti vitamin E bagi membantu mengekalkan paras kolesterol. Ia juga sumber yang baik untuk protein dan serat.

Avokado 

Avokado kaya lemak tidak tepu dan berfungsi menurunkan kadar kolesterol jahat LDL dan meningkatkan kadar kolesterol baik HDL dalam tubuh. Buah ini juga memungkinkan penyerapan karotenoid, khususnya betakaroten dan lycopene, yang sangat penting untuk kesihatan jantung. Amalkan makan avokado setiap hari bagi mendapatkan jantung yang sihat.

Beri 

Semua jenis buah berasaskan beri seperti blueberi, raspberi dan strawberi kaya antioksidan dan berfungsi mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser. Amalan pengambilan setiap hari menguatkan jantung sekali gus mengelak daripada serangan jantung.

Kisah daripada 'dalam' Korea Utara

KOREA UTARA merupakan salah satu negara yang mempunyai kawalan ketat di dunia lebih lagi apabila berhadapan dengan pihak media namun apabila satu kumpulan wartawan daripada CNN berjaya mendapat kebenaran untuk melaporkan keadaan di negara itu, ia merupakan satu peluang keemasan bagi mereka.

Walaupun negara itu masih mengamalkan dasar tertutup kepada sebahagian besar dunia di luar sana, namun para wartawan ini mendapat akses untuk menyaksikan kehidupan rakyat biasa di kota itu serta menemu bual mereka.

Selain itu, mereka juga berpeluang melakukan ‘Facebook live’  selama 20 minit dari dalam  Korea Utara yang menunjukkan keadaan di ibu kota negara itu sambil diiringi oleh pegawai-pegawai kerajaan yang bertindak sebagai pemandu pelancong.

Namun begitu, mereka juga akan melaporkan pada pegawai atasan apa yang dilakukan oleh para wartawan semasa merakam.

Semasa di Pyongyang, mereka sempat mengadakan wawancara bersama pakar ekonomi Korea Utara, Profesor Ri Gi Song dan berbual mengenai hubungan perdagangan negara itu dengan China, pasaran bawah tanah serta pekerjaan yang mendapat bayaran tertinggi di sana iaitu pelombong arang batu dan buruh kasar.

Menurut Si-gong, kerja-kerja fizikal yang mencabar lebih cenderung untuk membayar gaji yang lebih mahal berbanding dengan pekerjaan di pejabat.

“Walaupun kerja-kerja fizikal ini gaji lebih banyak namun ia masih lagi kurang daripada standard di negara barat namun saya tidak boleh memberitahu berapa jumlahnya.

“Selain itu, keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita juga tidak lebih daripada AS$1,000 (RM4,445) setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, kedai-kedai di sini turut menjual barangan berjenama dari pereka terkenal seperti Hermes, Versace, Gucci dan lain-lain.

Terdapat juga kedai-kedai yang menjual alatan elektronik canggih serta jualan makanan tempatan hinggalah barat.

Berbeza dengan imej masyarakat di Korea Utara yang sering dikatakan dalam kebuluran akibat tidak mempunyai makanan yang cukup.

Bagaimanapun, para wartawan tersebut tidak dibenarkan keadaan rakyat yang tinggal di luar kawasan ibu kota di mana Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan keadaan suram menyelubungi mereka di sana.

Di samping itu, rakyat di sini juga mempunyai akses yang sangat ketat kepada dunia luar di mana segala yang disiarkan di televisyen atau radio haruslah mendapat kelulusan daripada kerajaan dahulu.

Rakyat biasa tidak mempunyai kemudahan internet dan membuat panggilan antarabangsa oleh itu, bahan berita mereka hanyalah menerusi televisyen dan radio sahaja.

Selama berdekad, mereka ini sering disajikan dengan propaganda ancaman daripada kuasa luar seterusnya mengetatkan pengurusan ketenteraan di negara itu.

Walaupun kini negara itu perlahan-lahan membuka ‘pintu’ mereka kepada negara luar namun ia masih lagi menggunakan terma dan syarat mereka sendiri.

**Laporan ini ditulis oleh wartawan CNN, Will Ripley

Ekonomi parah, kian ramai 'jiwa kacau'...

Oleh Lanh

PADA kuliah subuh 12 Februari di sebuah masjid berhampiran rumah saya, ustaz antara lain menyuarakan bahawa sekarang ini semakin ramai orang mengalami sakit jiwa. Katanya, ramai rakyat kini menderita 'jiwa kacau' - persoalannya apakah penyebab perkembangan menakutkan ini?

Benar kata ustaz, kerana menurut Ketua Jabatan Pakar Psikiatri Hospital Tuanku Fauziah di Perlis, Dr Ruzita Jamaluddin penyakit mental dijangka menjadi kedua tertinggi dihidapi rakyat Malaysia selepas penyakit jantung pada 2020.

Beliau berkata laporan statistik mengenai penyakit itu sangat membimbangkan kerana pada 2008, sejumlah 400,227 pesakit di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital kerajaan.

"Malah jumlah itu terus meningkat di mana sebanyak 2,000 kes baharu schizophrenia dilaporkan setiap tahun. Lebih membimbangkan jumlah ini berkemungkinan tidak menggambarkan bilangan sebenar.

"Masalah ini bertambah rumit apabila kurangnya pengetahuan berkaitan bahaya penyakit ini dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai memilih tidak mendapatkan rawatan atau hanya merawat secara tradisional," katanya.

Menurutnya, masalah kemurungan dipercayai menjadi punca utama kepada penyakit mental dan kebelakangan ini, media melaporkan banyak kes bunuh diri, mencederakan diri atau orang lain.

“Kemurungan kronik yang antaranya disebabkan tekanan hidup boleh menyebabkan pesakit mengalami halusinasi dan keinginan mencedera atau membunuh diri, sekiranya tidak dirawat segera," katanya.

Ya, tekanan hidup seperti keadaan ekonomi rumah tangga yang tak stabil membawa kepada pelbagai masalah. Ada laporan menyebut hal ini menyumbang kepada jumlah penceraian suami isteri yang tinggi - lebih 274,000 pasangan Islam di Malaysia bercerai antara 2011-2015.

Rekod Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mendedahkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun 2016. Berdasarkan statistik itu, secara purata sebanyak 156 kes perceraian berlaku setiap hari atau enam (6) kes bagi setiap jam!

Dari segi ekonomi kenapa suami isteri bercerai? Ada suami tidak mampu atau kurang memberi nafkhah menyebabkan berlaku 'perang rumah tangga'.Kemudian ada keluarga dihimpit hutang keliling pinggang - terdapat laporan menyebut ada suami membunuh diri disebabkan masalah ini.

Masalah ekonomi bukan menghimpit orang berkeluarga tetapi juga orang bujang. Misalnya anak muda yang hendak berkahwin, mereka perlukan puluhan ribu ringgit untuk melunaskan hal-hal seperti wang hantaran dan kenduri perkahwinan sedangkan sekarang ini ramai muda-mudi hatta graduan pun tiada kerja.

Ketidakmampuan rakyat dari segi ekonomi ini sebahagiannya disebabkan tata kelola negara yang bermasalah; kenaikan harga barangan keperluan 'angkara' pengenaan cukai ke atas barangan dan perkhidmatan seperti GST, kenaikan harga minyak dan tambang pengangkutan awam.

Demikian rakyat begitu 'stress' (termasuk perlu melakukan dua atau tiga kerja)...hal ini menyumbangkan kepada sakit jiwa dan bagi yang gagal mengawalnya akan memasuki senarai ratusan ribu pesakit psikiatri sekarang ini. Sungguh membimbangkan penyakit 'jiwa kacau' ini akan berada di kedudukan kedua selepas penyakit jantung pada 2020!

Dari segi keagamaan pula, bagaimana menghadapi ancaman 'jiwa kacau' ini? Ustaz menjelaskan minda perlu direhatkan dan salah satu caranya adalah melalui solat. Beliau lantas membacakan sepotong ayat Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah (berjiwa kacau) lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan, ia berkeluh kesah. Apabila ia mendapat kebaikan, ia amat kikir, kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang tetap mengerjakan solatnya.” (Al-Ma’ārij 19-22)-http://lanh14.blogspot.my

Tidur berdengkur berisiko bawa penyakit berbahaya, maut

Rakyat Malaysia perlu memandang serius penyakit masalah tidur berdengkur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA) kerana ia boleh menyebabkan gangguan tidur yang memberi kesan kepada sistem tubuh, sehingga mendedahkan kepada risiko penyakit berbahaya lain atau maut.

Konsultan Otorinolaringologi Hospital Pakar KPJ Sentosa Kuala Lumpur, Dr Muhamad Noorhisyam Salleh berkata selain membuat pemeriksaan bagi mengesan penyakit konvensional, pemeriksaan mengesan OSA juga perlu diambil perhatian.

"Ketika membuat pemeriksaan kesihatan kita selalunya fokus untuk memeriksa gula, kolestrol dan lain-lain rutin biasa, tetapi bagi mereka tidur berdengkur, pemeriksaan perlu bagi mengesan punca penyakit tersebut," katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Muhamad Noorhisyam berkata faktor perubahan gaya hidup rakyat Malaysia sekarang ini menyebabkan trend untuk mereka mendapat penyakit OSA adalah tinggi selain faktor fizikal.

"Gaya hidup tidak sihat seperti tabiat pemakanan yang menyebabkan obesiti, tabiat merokok, kurang bersenam, tidak cukup tidur akibat rutin hidup yang tidak teratur adalah antara faktor menyebabkan OSA," katanya.
OSA yang tidak dirawat boleh mendedahkan pesakit kepada penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser.

"OSA adalah apabila saluran udara terhalang separuh atau sepenuhnya sewaktu tidur yang mengakibatkan kekurangan oksigen dalam badan dan peningkatan kadar karbon dioksida, menyebabkan tidur terganggu.

"Semasa tidur organ menjalankan fungsi sepatutnya termasuk metabolisme badan akan berfungsi memecahkan glukos dalam badan. Jika tidur terganggu ia akan menyebabkan risiko kesihatan yang lain,"katanya.

Lebih menakutkan, Dr Muhamad Noorhisyam berkata OSA boleh membawa maut sewaktu tidur apabila seorang pengidap OSA mungkin tidak dapat menyedut oksigen secukupnya ke dalam tubuh dan boleh menyebabkan kegagalan jantung berfungsi.

Justeru, mereka yang mengalami tidur berdengkur dinasihat membuat pemeriksaan di hospital bagi mengetahui punca dan mendapat rawatan awal.

Katanya pemeriksaan dan ujian tidur akan dijalankan untuk memastikan jenis rawatan yang boleh dilakukan atau hanya menggunakan mesin 'continuous positive airway pressure (CPAP)' yang dipakai semasa tidur.

"Jika terdapat punca lain seperti tonsil ia boleh dirawat dengan pembedahan," katanya.
- Bernama

Ibu diabetes janin berisiko

Oleh Rosyahaida Abdullah

Kali pertama disahkan menghidap diabetes sewaktu kehamilan sedikit sebanyak memberi kejutan buat si ibu apa lagi jika diet yang sekian lama diamal dirasakan cukup sempurna untuk mengelakkan diri daripada terjebak dengan penyakit itu.

Hakikat yang perlu diterima, rata-rata golongan ibu hamil yang mempunyai sejarah keluarga khususnya ibu atau bapa sebagai penghidap diabetes, cenderung mewarisi gen penyakit ini.
Disebabkan itu, perlu difahami bagaimana keadaan ini boleh berlaku serta implikasinya tidak saja terhadap ibu malah lebih membimbangkan adalah kesan yang mungkin ditanggung bayi dalam kandungan.

Presiden Diabetes Malaysia, Prof Datuk Dr Ikram Shah Ismail menjelaskan, punca diabetes muncul sewaktu kehamilan kebiasaannya hilang selepas bayi dilahirkan.

Menurut beliau, ketika hamil, plasenta atau uri akan terbentuk sebagai organ sementara dalam badan ibu yang menghubungkannya dengan bayi sepanjang tempoh mengandung.

Uri itu, katanya, akan menghasilkan pelbagai jenis hormon yang berfungsi memastikan kandungan berada dalam keadaan selamat susulan fitrah badan manusia akan menolak badan asing (yakni kemunculan janin) di dalamnya.

“Bagaimanapun, hormon ini juga boleh berlawan dengan insulin. Dalam hal ini, insulin sedia ada dalam badan ibu yang mempunyai gen diabetes gagal melawan hormon berkenaan menyebabkan kuantiti gula dalam darah meningkat. Sebaliknya pula bagi ibu yang tiada gen diabetes, insulinnya lebih kuat untuk melawan hormon berkenaan.

“Bagi ibu yang menghidap diabetes, apabila dia melahirkan bayinya, uri yang menjadi sumber hormon tadi turut sama keluar, maka aras gula pun normal semula,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Ikram berkata, amat penting untuk ibu hamil menghidap diabetes mengawal kadar gula dalam darah sepanjang tempoh kehamilan bagi mengelak risiko lebih teruk. Keletihan buat si ibu dan saiz besar buat bayi, ujarnya, adalah perkara biasa yang disebut akan berlaku sewaktu kehamilan berdiabetes tapi ia bukan lagi isu utama.

Paling merisaukan, kata beliau, seharusnya kesan diabetes terhadap kesihatan dan organ dalaman bayi yang antara lain menyebabkan penyakit kongenital seperti jantung berlubang dan sebagainya, malah gula tidak terkawal juga boleh mengakibatkan bayi meninggal dunia.

“Tanpa kita sedari, gula pun boleh menjadi racun buat ibu dan bayi dalam kandungan. Ini antara perkara yang perlu golongan ibu fikirkan.

“Memang mencabar buat ibu menghidap diabetes kerana dia perlu makan untuk bekalkan zat kepada anak yang dikandung dan berat badan juga perlu naik, tidak boleh diet melampau.

“Di sinilah perlunya kebijaksanaan ibu dalam memilih jenis makanan yang sesuai selain melakukan senaman ringan mengikut kemampuan masing-masing,” ujarnya.

Dr Ikram berkata, beliau sedia maklum ada juga ibu hamil yang gemarkan makanan manis sewaktu hamil, antara istilah mengidam, menghilangkan loya atau sekadar kehendak nafsu. Oleh itu, beliau menasihatkan golongan sebegini supaya tidak terlalu melayan keinginan berkenaan sebaliknya mengutamakan kesihatan bayi dikandung.

Pada masa sama, Dr Ikram mengingatkan ibu yang bebas diabetes selepas melahirkan bayi mereka supaya mula menjaga pemakanan dan mengamalkan aktiviti bersenam sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

“Kamu (ibu hamil menghidap diabetes) sudah ada gen diabetes, maka ia boleh timbul lagi pada bila-bila masa. Mungkin gen itu tidak boleh dihapus terus tetapi sentiasa kita maklumkan pada mereka, kemunculannya boleh dilengahkan menerusi amalan gaya hidup yang lebih sihat.

“Orang zaman dulu, datuk nenek kita, guna banyak tenaga kudrat ketika bekerja, yang secara tidak langsung melengahkan kemunculan diabetes sehingga usia mencecah 60 tahun. Ketika itu komplikasinya tidak begitu terasa kerana jangka hayat rakyat Malaysia pun sekitar umur itu.
“Kita sekarang ramai yang bekerja di pejabat berhawa dingin, terlalu jarang mengerah tenaga, ini yang membimbangkan.

“Makanan memang faktor penting tetapi lebih penting melakukan senaman kerana sensitiviti insulin dalam badan dapat dipertingkatkan. Yang diwarisi itu adalah kekebalan insulin, apabila insulin banyak dalam badan tetapi tidak digunakan maka senaman adalah kaedah terbaik mengurangkan kekebalan ini,” kata Dr Ikram sempena kempen Hari Diabetes Sedunia NUTREN Together We Take Charge anjuran bersama Nestle di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Turut hadir cef selebriti tanah air, Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan. Kempen itu bermatlamat memperkasakan pengurusan diabetes menerusi sokongan semua pihak sama ada penghidap mahupun bukan. Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle Health Science, Emilyn Loo berkata, sasaran pihaknya bukan sekadar memberi pendidikan mengenai diabetes kepada penghidap malah tidak terkecuali golongan pra-diabetes, penjaga dan orang awam.

“Rakyat Malaysia memang mewah dengan aneka pilihan makanan. Disebabkan itu, penghidap diabetes perlu diperkasakan dengan maklumat mengenai nutrisi serta diet seimbang untuk memastikan kandungan gula di dalam darah mereka sentiasa terkawal,” katanya.

Berdasarkan data Persekutuan Diabetes Antarabangsa pada 2015, kira-kira 17.5 peratus rakyat negara ini dikesan menghidap diabetes yang lantas menjadikan Malaysia pemilik kadar diabetes tertinggi di Asia Tenggara. Angka itu dianggap terlalu tinggi, melebihi purata global yang merekodkan cuma sekitar 10 peratus populasi dunia.

Rasulullah SAW pelopor politik matang

Oleh TUAN GURU HASHIM JASIN

PENDEKATAN matang dalam tindakan politik telah membolehkan Islam bangkit dalam sejarah manusia dari sebuah agama yang ditentang keras di Mekah, menjadi sebuah agama yang diterima oleh semua bangsa dan budaya di seluruh dunia. Matang ertinya bertindak mengikut pertimbangan iman dan akal, bukannya mengikut hawa nafsu, serakah, kesumat dan sentimen sehingga menolak kebenaran sebagai benar dan kebatilan sebagai batil.

Inilah ingatan Allah SWT kepada Nabi Daud AS yang menjadi ibrah sepanjang zaman untuk orang-orang yang beriman. Allah SWT berfirman yang bermaksud, "Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan al-Haq (wahyu Allah) dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, karena mereka melupakan hari perhitungan" (Shad: 26).

Allah SWT memerintahkan Nabi Daud AS supaya tidak mengikuti hawa nafsu kerana ia bukan sahaja menyesatkan manusia, tetapi ia menjadi gantian terhadap hukum dan perintah Allah (al-Haq). Sesiapa yang tidak berpegang dengan wahyu Allah, pada hakikatnya dia telah mengikuti hawa nafsu, sehingga seluruh pertimbangannya adalah berasaskan sentimen yang sempit, kebencian dan dendam serta tidak berasaskan kebenaran.

Agenda bertindak berasaskan kebenaran, menyokong apa sahaja yang benar dan menolak segala kemungkaran inilah yang membentuk tindakan yang matang. Pertimbangan yang berasaskan wahyu adalah tidak dibelit oleh muslihat dan kepentingan sempit, sebaliknya mengutamakan kebenaran berasaskan syariat yang diturunkan oleh Allah. Inilah yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dalam seerahnya.

Perihal kematangan Rasulullah SAW dalam dakwahnya telah banyak dicatat oleh para ulamak, sehingga zahir kebijaksanaan yang memberikan kemenangan besar kepada Islam. Dalam peristiwa dakwah di Taif misalnya, Baginda telah menerima layanan yang sangat buruk daripada pendudukan Taif. Baginda bukan sahaja ditolak dakwahnya, dicerca dan dimaki, bahkan dicederakan. Pada saat itu, datang malaikat menawarkan azab untuk dihempapkan ke atas penduduk Taif. Ketika Baginda mempunyai pilihan untuk melepaskan dendam terhadap kejahatan penduduk Taif, Baginda bertindak matang dengan mendoakan agar lahir dari sulbi mereka pendukung agama Allah, bah merayu kepada Allah agar mereka diberikan petunjuk.

Begitu juga ketika pembukaan Kota Mekah, Baginda telah mengambil tindakan matang dengan menjadikan rumah Abu Sufian sebagai tempat perlindungan kepada orang Mekah. Abu Sufian, pemimpin Mekah yang sangat keras memusuhi Islam telah merasakan dirinya diberikan penghormatan tinggi oleh Nabi SAW, sehingga tunduk dia akhirnya kepada Islam. Dalam masa yang sama, Nabi SAW menyenaraikan tokoh-tokoh Mekah mesti dihapuskan termasuk Ikrimah bin Abu Jahal. Tetapi apabila Ikrimah datang kepada Baginda dengan mengucapkan syahadah, beliau segera dimaafkan. Kerana dua tindakan matang ini, seluruh negeri Mekah menyerah diri kepada Islam dan terbukanya kemenangan.

Dua contoh tindakan matang Rasulullah SAW ini adalah secebis dari ratusan kisah kebijaksanaan Baginda yang sepatutnya menjadi tauladan dan ikutan terbaik kepada seluruh pejuang Islam. Bukankah Rasulullah SAW telah mempelopori politik matang dalam sejarah Islam? Maka mengapa orang yang berjuang di jalan Allah terpengaruh dengan politik sentimen? Sentimen yang dibina tanpa asas kebenaran, sebaliknya diselaputi kesempitan fikiran akan menimbulkan taksub dan perasaan asobiyah yang menyesatkan. Perjuangan sempit seperti inilah yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW sebagai "bukan dari kalangan kami!" (Riwayat Abu Daud).

Dalam hal ini, PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang berkecimpung dalam arena politik negara, kita telah memilih untuk mengikuti jejak Rasulullah SAW dengan berpolitik secara matang. Kita memilih antara dua kemudharatan  - bertaawun dengan orang Islam yang zalim atau bertahaluf dengan orang bukan Islam yang keras sikapnya terhadap Islam (juga suatu kezaliman menurut pandangan Islam). Kita tidak menyokong, bahkan menentang tanpa kompromi terhadap semua bentuk kezaliman dan penyelewengan Umno/BN. Tetapi kita harus mengakui mereka adalah kelompok orang Islam yang masih boleh dimanfaatkan untuk membela Islam seperti isu Rohingya, Palestin dan pindaan Akta 355 juga.

Berbanding dengan DAP yang mempunyai sikap yang keras terhadap Islam, anti Islam dan sentiasa menolak sebarang usaha menegakkan Islam. Kita pernah dua kali bertahaluf dengan DAP melalui Barisan Alternatif (1999-2001) dan Pakatan Rakyat (2008-2015), ketika mana DAP bersikap lunak terhadap Islam. Terkeluarnya DAP dari BA pada 2001 adalah kerana keras sikap mereka terhadap negara Islam, sedangkan pegeseran pada 2015 juga berkait usaha PAS melaksanakan undang-undang syariat di Kelantan.

Ketika kita tidak dapat menerima sama sekali politik anti Islam yang didukung oleh DAP dan tindakan zalim BN ke atas rakyat, kita sebenarnya mempunyai sasaran bahawa ahli-ahli Umno dan penyokong BN adalah mad'u kita. Seperti Nabi SAW mengharapkan lahirnya pejuangan-pejuang Islam dari sulbi penduduk Taif, PAS juga mengharapkan lahirnya penyokong-penyokong Islam dari sulbi Umno. Kebencian mereka terhadap kebobrokan Najib Razak akan menguatkan Islam dengan sikap pemaaf kita dan kesediaan kita memberikan penghormatan terhadap bekas-bekas pemimpin mereka.

Kita mempelajari seni politik Rasulullah SAW yang sangat matang itu, dan kita sepatutnya mengambil pendekatan serupa dalam menjana kemenangan Islam. Kita tidak akan biarkan diri kita tersepit atau dipermainkan oleh mana-mana pihak, sebaliknya kita memanfaatkan kekuatan yang kita miliki untuk tawar-menawar yang memberikan keuntungan kepada Islam.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER