Headlines News :

Perisian Wajib Pasang Setiap Kali Selepas Melakukan Format

Oleh Arya Putra

1.Google Chrome/Firefox

Rasanya tak perlu diceritakan secara terperinci akan keperluan memasang pelayar web ini. Setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri. Terserah kepada citarasa masing-masing. Abam sendiri menggunakan Chrome untuk kesemua aktiviti internet.

2.SM Player/VLC

Pemain media semua dalam satu ini mampu memainkan pelbagai format media tanpa perlu memasang codec tambahan. VLC sering menjadi pilihan terutama pengguna Linux. Manakala abam pula memilih SM Player dek kerana boleh 'boost' volume melalui tetapan.

3. Winamp/Spotify

Mungkin ada yang akan kata ianya 'redundant' dengan nombor 2, tetapi pada abam, aplikasi/perisian Winamp ini tidak ada tukar gantinya. Ia pemain muzik terbaik dengan ciri-ciri yang tiada tolok banding. Ada pelbagai pemain muzik di internet yang boleh dipilih, tetapi hanya ada satu Winamp yang terunggul.

Spotify pula abam gunakan untuk strim lagu dengan mudah, yang dah disiapkan dalam satu senarai main. Senang nak strim lagu raya. Heheheh.

4. WinRAR

WinRAR adalah aplikasi pengekstrak dan pemadat yang premium. Selain ciri-cirinya yang banyak (yang biasanya abam tak teroka pun), ia juga menyokong ciri tema. Kalau bosan dengan tema asal, boleh tukar saja dengan mana-mana yang terdapat di internet (terutamanya di Deviant Art).

5. Revo Uninstaller

Betul, pengguna masih boleh menyahpasang aplikasi melalui Control Panel tu, tapi jangan tak tahu, masih ada yang 'terlepas pandang'. Dengan Revo Uninstaller, nyahpasang dilakukan secara total termasuklah apa yang tertinggal di registry.

6.OpenVPN

Hah, tak payah la abam nak tulis panjang lebar, sementelah blog ini pun banyak sudah menulis tentang VPN umumnya dan OpenVPN khususnya. Abam sendiri menggunakan TheLan VPN sebagai servis VPN terbaik dan termurah yang boleh didapatkan.

7. Internet Download Manager

Hahah, Internet Download Manager (IDM) ni abam bagi nama secara umum lah. Kalau pendek cerita, mana-mana pemuat turun lain yang anda lebih gemari juga boleh digunakan, EagleGet dan FlareGet sebagai contoh. Tiada pemuat turun tak lengkap rasanya.

8. Perisian Pejabat

Microsoft Office adalah alat (tool) yang mesti ada bagi melengkapkan sistem operasi. Melainkan anda memang hanya menjadikan PC anda sebagai tempat operasi untuk bermain permainan dan pusat media, maka perisian pejabat tidak dapat tidak wajib dipasang.

9. Netspeed Monitor

Sebenarnya aplikasi ini tidaklah begitu kritikal kepentingannya, tetapi dah jadi 'habit' pulak pada diri abam sendiri, suka melihat kelajuan internet sewaktu menggunakannya. Apabila perlahan sekurang-kurang kita tahu berapakah 'keperlahanannya' tu. Heheheh. Dengan itu bolehlah kita troubleshoot pula apa yang tak kena.

10. TeraCopy

Kalau dalam Windows 10, rasanya dah tak perlukan kepada aplikasi ini. Tetapi dalam Windows 7, ia masih relevan. Sedikit-sebanyak ia dapat melajukan proses salin dan tampal pada sistem anda.

11. DFX Sound Enhancer

Eheh, abam tak klasifikasikan ini sebagai wajib lah, tetapi kalau anda memang jenis 'kaki muzik', pasanglah ia. Pasti anda tidak akan dapat melayani muzik tanpanya selepas ini.

12. Pembaca PDF

Pada abam, abam lebih suka menggunakan Foxit Reader berbanding pembaca PDF yang lain. Ia banyak pilihan pada tetapan untuk menyesuaikan kegunaannya dengan diri kita. Siap ada tema.

Jadi inilah sedikit-sebanyak perkongsian aplikasi yang perlu dipasang selepas setiap kali anda format peranti anda. Sekiranya ada cadangan untuk tambahan, anda boleh komen.

Spesies Serangga Baharu Dinamakan Sebagai Donald Trump

NEW YORK: Hanya beberapa hari sebelum menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) secara rasmi, Donald Trump menerima penghormatan daripada seorang saintis apabila nama beliau digunakan untuk satu spesies baharu.

Neopalpa donaldtrumpi merupakan nama siantifik yang diberikan kepada spesies serangga yang baru ditemui selepas rupa mahkluk itu kelihatan seperti ahli politik tersebut.

Serangga berkenaan memiliki 'mahkota' berwarna perang menyamai bentuk rambut Trump selain bentuk mata yang sama.

Serangga tersebut ditemukan di California Selatan di AS dan Baja California di Mecixo.

Pakar biologi, Dr Vazrick Nazari yang menemukan serangga tersebut, menceritakan penemuan itu menerusi jurnal terbaharunya, Zookeys.

Menurut beliau, pemilihan nama Trump untuk serangga tersebut dibuat dengan harapan dapat menarik perhatian umum tentang keunikan spesies terbabit.

"Nama Trump mungkin dapat menyelamatkan habitat spesies itu menerusi usaha pemuliharaan secara serius," katanya.

Ibu bapa zaman sekarang yang sebenarnya memusnahkan proses perkembangan anak


"Puan, anak (antara usia 2-4 tahun) susah nak fokus bila buat aktiviti. Macam mana nak buat ye?"
Ini soalan paling susah saya nak jawab. Kadang-kadang saya "face palm" muka saya sendiri sebab pelik, kenapa nak awal sangat anak fokus dan duduk diam macam kita? Buka minda luas-luas,tarik nafas dalam-dalam tentang apa yang saya nak cakap ni.

PROSES
Setiap benda ada proses untuk mendapatkan sesuatu hasil. Budak, bukan terus kelaur jengah dunia terus dapat jadi seperti kita, orang dewasa. Adakah budak, asal keluar saja dari perut terus boleh bercakap, membaca, menulis, memakai baju, membasuh pinggan seperti kita? Ada ke? Secara fitrahnya, tiada kan?
Benda fokus tak fokus yang asyik bermain dalam fikiran kita ini hanyalah satu persepsi dan mainan perasaan semata-mata. Sebab apa? Sebab kalau boleh, kita nak anak ini duduk diam-diam sebab kita pun nak buat kerja kita, nak berehat, nak ada 'me time'. 
Ibu bapa, kanak-kanak ini fitrahnya mereka untuk meneroka. Mana ada budak yang boleh duduk diam. Kalau ada budak-budak keluar saja dan duduk diam, kena cepatlah bagi pergi buat pemeriksaan sebab ianya sudah 'melawan' fitrah manusia. 
Kanak-kanak perlu melalui fasa perkembangan yang wajib ada pada diri kita sebagai manusia biasa iaitu, Sensorimotor Development atau Perkembangan Sensorimotor. 
Jika perkembangan sensorimotor ini tidak lengkap, ada istilah Sensory Processing Disorder. Sebab itu saya menentang sekeras-kerasnya kaedah membaca untuk kanak-kanak di bawah usia dua tahun. Sensory Processing Disorder ini kalau tak berlaku pada anak anda, tak mengapa. Tetapi kalau berlaku pada anak orang lain? 
Kadang-kadang saya geram juga. Apa yang saya cakap, seringkali tidak dipandang endah sedangkan setiap tahun saya dan therapist lain menerima rujukan untuk kes kanak-kanak yang developmental delay yang kebanyakannya berpunca daripada proses perkembangan sensorimotor tidak berjalan dengan baik dan ianya semakin meningkat dari sehari ke sehari. Setiap satu tadika kini boleh dikatakan sekurang-kurangnya ada seorang dua kanak-kanak yang tidak boleh mendengar arahan, berkomunikasi dengan baik dan mempunyai tingkah laku yang sukar untuk dikawal. 
Kalau sudah dari kecil diajar duduk untuk membaca, tengok televisyen, tengok gajet semasa makan, semasa tidur, di waktu kita nak berehat, memanglah jadi begitu. Tetapi bila bagi mainan benda kotor, kita kata geli, bila anak nak memanjat kita risau jatuh. 
Inilah dia sikap ibu bapa zaman sekarang yang sebenarnya memusnahkan proses perkembangan anak itu sendiri. Semua nak cepat, nak anak cepat belajar, nak anak cepat pandai, nak anak cepat duduk diam, nak anak cepat berjalan, cepat itu, cepat ini tetapi prosesnya tak nak lalui sendiri. 
"Susah kalau nak ikutkan kehendak anak nak lari sana sini. Boleh sempat saya dibuatnya," 

No comment. Ini jawapan paling malas saya nak layan. Akhirnya saya memang tak reply dah. Sorry ya. Proses perkembangan sensorimotor yang utama dan yang wajib anak lalui dan anak berikan kepada anak-anak. Paling penting untuk usianya 0-4 tahun adalah:
1. BERI PENDEDAHAN SEKELILING
Anak-anak perlu diberi pendedahan terhadap setiap tekstur yang ada di sekeliling mereka. Bukan sahaja pada kulit badan, malah terhadap mulut juga. Tekstur ini faham tak apa? Tekstur lembut, berpasir, keras, kasar, berbulu, suhu panas dan sejuk, licin, tekstur makanan termasuklah yang crunchy, yang chewy, yang lembut, keras, juicy, ada rasa masam, manis, masin, pahit, tawar, pedas dan sebagainya. 
Ini semua rangsangan. Kalau tidak diberi, sistem otak tak boleh berfungsi. Faham ke tak faham? Sebab itu jangan obses sangat dengan flash cards. Flash cards tak ada semua bentuk rangsangan ini. Bagi benda realiti di depan mata. Buah epal dalam gambar mana sama dengan buah epal yang sebenar. 
Kalau ajar anak 0-4 tahun, huruf A, kalau dia tak kenal lagi, rileks sudah. A secara real tidak melambangkan apa-apa. Sebab itu kadang-kadang berpuluh kali ajar, anak tak reti terus jadi stress sebab anak tak pandai lagi. Padahal diri sendiri yang buat benda 'melawan fitrah' anak. Selepas itu kata anak tak fokus. Apakah? 
Bila kita bagi rangsangan terhadap kulit dan mulut yang betul, secara automatiknya otot-otot anak bergerak. Ini respon yang otak berikan setelah semua pemprosesan tadi berlaku dalam otak. 
Contohnya bila otot mulut bergerak, baru mudah anak nak bertutur dengan baik. Tapi benda ini tidak akan dapat dalam sehari dua. Maka bersabarlah. Yang penting kita beri secara konsisten. 
2. KANAK-KANAK SUKA NAK BERGERAK
Ada masalah ke nak bagi anak bergerak? Lagi lama mereka bergerak, lagi baguslah sebenarnya. Pergerakan anak ini sebenarnya banyak merangsang proses yang kita sendiri tak nampak dengan mata kasar. Bila anak bergerak, sistem keseimbangan badan dirangsang, sistem penghantaran maklumat antara otak kiri dan kanan berlaku dengan pantas, sistem penglihatan membantu proses visual perceptual berlaku dengan baik, sistem daya tumpuan dalam otak menjadi kukuh, sistem otot dan sendi menjadi kuat dan ada endurance (ketahanan). 
Jadi, bila lagi lama kita melatih anak untuk bergerak, ketahanan otot dan sendi akan menjadi semakin kuat. Anak mudah untuk duduk diam. Lagi sekali, proses ini bukan anak akan dapat dalam sehari dua. Ada anak, pada usia 5 tahun apabila sudah dirangsang elok sistem pergerakan badannya, dia akan mudah duduk diam dan fokus pada tugasnya. 
Ada anak kadang-kadang proses dia nak bergerak itu lama. Sampai usia 7 tahun pun belum tentu boleh duduk diam dan fokus. Ada masanya sampai usia akil baligh baru nak duduk diam. tapi sampai bilalah nak berkejaran dengan anak-anak ini kan? 
Tak perlu risau, aktiviti fizikal ini bagi saja anak ke taman permainan sama ada indoor atau outdoor. Antara rajin atau tidak saja kita nak buat semua ini sebenarnya. Bagi anak yang lasak, boleh cabar dirinya dengan membuat aktiviti seperti hiking, masuk hutan, rock climbing dan sebagainya. Tapi janganlah sampai suruh mereka memanjat signboard 'IPOH' yang besar itu pula. Kalau nak suruh boleh tapi pastikan keselamatan diri terjamin dan ada surat kebenaran. Haha! 
Anak yang tak belajar lagi untuk bermain bola, ajarkan. Dengan sebiji bola, kita boleh membaling, menangkap, menendang, menampar dan sebagainya. Pilih satu sukan untuk anak libatkan diri dan tiada salah untuk ajarkan skillsnya sebab ianya merangsang segala benda yang saya tulis di atas tadi. Badan sihat, otak cerdas.
Kalau asyik duduk dalam rumah saja, bila masa badan nak sihat dan otak nak cerdas? Kalau kita boleh main golf, ajarlah anak main golf. Kalau tak boleh sangat, dah kalau anak nak berlari juga, pergilah ke taman tasik, buat aktiviti berjogging dan berlari sama-sama. Kalau kita pun malas, jadi anak pun malas. Jangan disalahkan anak.
Bergerak tidak menjadikan anak nakal. Anak yang lasak seringkali disalah tafsirkan sebagai anak yang nakal. Menumbuk adalah satu bentuk bermain dan ada sesetengah negara bagi ruang untuk anak buat 'fighting play' atau 'pillow play'. Ini benda normal. Anak yang nakal adalah mereka yang melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam agama dan masyarakat. Selagi anak-anak ini tidak melakukan perkara yang dilarang, selagi itulah pergerakan yang mereka lakukan adalah sah. 
Anak yang bergerak tanpa arah tuju, berikan 'arah tujuannya'. Angkat dan letakkannya di atas papan gelongsor, buaian dan jongkang jongket. Kalau anak takut, jangan risau, beri masa. Inilah prosesnya. Janganlah mudah mengalah. Ini dah kira panjang lebar sangat dah saya beri penjelasan untuk ajar anak supaya menjadi fokus. Tiada proses yang mudah untuk buat anak menjadi fokus. Jangan pernah melawan fitrah perkembangan anak. Risau nanti lain pula jadinya. 
Mungkin dari segi perkembangan yang kita lihat pada mata kasar ini jadi sempurna eloknya di awal usia. Tetapi di pertengahan usia mereka lain pula jadinya. Ada banyak kes anak yang sudah dibiasakan menjadi pandai sejak kecil, menjadi 'down' terus ketika sudah besar. Tiada motivasi untuk belajar kerana sentiasa diharapkan untuk menjadi pandai sehingga tekanan datang dalam banyak bentuk-cikgu paksa untuk dijadikan kebanggaan sekolahlah, tak dapat terima bila dapat markah rendah dan sebagainya. 
Nabi pun mula membaca di usia Baginda mendapat wahyu. Anak kita? Belum boleh jalan lagi sudah disibukkan untuk membaca. Walhal Nabi, ketika proses membesar, banyak membesar dengan memikul tanggungjawab sendiri dan kehidupan di sekeliling Baginda. 

Benarkah Kad Berasaskan PayWave Mudah Digodam?

Oleh  Arib Ismail

Satu perkara yang hangat diperkatakan hari ini apabila satu akhbar tempatan menyiarkan isu penyeluk saku digital yang mampu menggodam maklumat kad berasaskan PayWave dengan hanya menggunakan telefon pintar. Kad jenis ini telah diimplementasikan secara menyeluruh pada majoriti kad bank setelah digalakkan penukarannya bermula tahun lalu di Malaysia.

Saya mencuba aplikasi yang diperkatakan mampu “menggodam” maklumat kad PayWave atau kad yang mempunyai sokongan contactless ini.

Aplikasi ini sebenarnya bukanlah aplikasi yang direka untuk menggodam tetapi dilihat sebagai aplikasi analisis yang mampu membaca maklumat daripada kad tersebut. Ia hanya boleh dipasang pada telefon berasaskan Android dan satu fungsi wajib yang perlu ada adalah kebolehan Near Field Communication (NFC). Walaupun ia tidak direka untuk godaman, hasil maklumat yang diperolehi masih ada kemungkinan untuk menjayakan sesuatu transaksi.

Berikut adalah maklumat yang diperolehi melalui aplikasi tersebut selepas berjaya mengesan kad berasaskan PayWave:
1. Nombor kad debit/kredit anda
2. Tarikh luput kad
3. Transaksi terkini (sekitar dua minggu)
4. Log yang dipenuhi dengan kod unik


Umumnya, tiga maklumat yang diperlukan untuk membuat pembayaran online iaitu:
1. Nombor kad debit/kredit anda
2. Tarikh luput kad
3. Nombor CVV (nombor 3 digit di belakang kad)
Satu maklumat yang tidak diperolehi oleh aplikasi ini adalah nombor CVV iaitu nombor yang tertera di belakang kad. Walaupun aplikasi ini tidak memaparkan nombor CVV ini, dengan penggunaan 3 digit nombor, ia masih ada kemungkinan untuk diteka di bawah 999 kali.
Perlukah anda risau?
Pertama sekali, aplikasi ini menggunakan gelombang NFC pada telefon pintar sekaligus memerlukan jarak yang sangat dekat untuk membaca kad PayWave ini. Secara teknikal, gelombang ini mampu mengesan dalam jarak 4cm sahaja daripada terminal pembayaran atau telefon pintar. Tetapi apabila diuji, saya perlu meletakkan kad betul-betul berhampiran di belakang telefon, barulah ia berjaya membaca kad PayWave ini. Sekiranya saya meletakkan kad ini jauh dengan jarak melebihi 1cm, ia akan memberikan rajah di bawah.


Ini bercanggah dengan apa yang diperkatakan oleh akhbar tersebut yang mana penggodam mampu memperoleh data dalam lingkungan satu 1 meter. Ia terlalu jauh untuk penggunaan telefon pintar dengan bantuan NFC setakat ini. Teknologi NFC hanya akan berlaku proses pemindahan data apabila berada di bawah lingkungan 4cm.¹

Gambar dari @syafiquesazali / Twitter Perkara ini diperkuatkan melalui info daripada Maybank mengenai pembayaran secara contactless


Selain itu, kebanyakan transaksi pembayaran online kini juga telah dipertingkatkan dengan sistem 3-D Secure — memerlukan anda memasukkan kod yang dihantar kepada telefon anda sebelum menjayakan sesuatu transaksi. Ini menyukarkan penggodam meneruskan transaksi atas ketiadaan akses kepada telefon pintar anda secara fizikal. Melainkan telefon pintar anda turut digodam, kemungkinan besar sesuatu transaksi itu akan turut berjaya.


Seperkara lagi, sekiranya maklumat kad anda dicuri, anda masih akan menerima mesej pada telefon anda untuk setiap transaksi yang berlaku menggunakan kad anda. Jadi, anda masih mempunyai peluang untuk menghubungi pihak bank bagi memaklumkan transaksi yang berada di luar pengawasan anda.
Saya masih skeptik dan apakah langkah-langkah untuk mengelakkan maklumat kad PayWave saya dicuri?
Terdapat beberapa solusi seperti membalut kad dengan aluminum dan sampul kad anti gelombang yang mungkin memerlukan anda mengeluarkan sedikit wang untuk melindungi kad anda. Sungguhpun begitu, masih terdapat beberapa cara lain yang anda boleh praktikkan untuk mengelakkan maklumat kad dicuri.
Apabila berada pada sesuatu lokasi, pastikan anda sentiasa meletakkan jarak anda apabila dihampiri oleh orang yang tidak dikenali. Ini mengelakkan penggodam mengambil kesempatan untuk menyeluk saku secara fizikal atau digital dengan teknik mengalih perhatian anda.
Anda juga disarankan untuk menyimpan kad anda pada bahagian yang tidak terjangka oleh penyeluk saku. Lokasinya ada baiknya tidak perlu disebutkan di sini untuk mengelak pemberian idea kepada penjenayah. Ikut kepada kreativiti dan keselesaan anda untuk meletakkan kad tersebut.

Jadi bagi anda yang mempunyai kad berasaskan PayWave, proses untuk memperoleh maklumat kad ini sebenarnya memerlukan jarak yang begitu dekat sebelum ia berjaya dipintas. Sekiranya ia berjaya dipintas, maklumat yang diperolehi juga masih belum mampu untuk menjayakan sesuatu transaksi dan memerlukan penggodam untuk meneka nombor CVV dengan tekaan sehingga 999 kali. Pastinya dalam tekaan tersebut, pihak bank akan menyahaktifkan kad tersebut kerana ada cubaan untuk meneka nombor ini secara berkali-kali.
Seperkara lagi, dengan sistem pembayaran 3-D Secure yang diimplementasikan pada pembayaran online, ia juga menyukarkan penggodam kerana memerlukan penggodam mendapatkan telefon pengguna secara fizikal untuk melihat kod yang dihantar, sebelum mampu untuk meneruskan pembayaran.
Walau bagaimanapun, segala kemungkinan masih perlu dititikberatkan pengguna daripada apa jua jenis ancaman godaman. Beberapa perkongsian yang disampaikan di atas semoga dapat memberikan manfaat untuk kita agar keselamatan maklumat kad tidak digadai dan tumpas ke tangan orang asing.

1. http://nearfieldcommunication.org/technology.html
2. http://www.maybank2u.com.my/WebBank/pinPay-FAQ.pdf

Kad debit tidak selamat? Data senang dicuri, dakwa pakar

Cip terbaru kad debit yang baru diperkenalkan awal tahun ini lebih risiko kepada kecurian data, dakwa seorang pakar keselamatan teknologi maklumat.

Kelemahan kad yang berciri payWave atau berasaskan PIN ini menggunakan gelombang dengan kemudahan transaksi pembayaran tanpa sentuh, kata Mohd Nizam Mohd Salleh kepada Harian Metro.

“Telefon pintar dilengkapi teknologi komunikasi frekuensi berkuasa tinggi jarak dekat tanpa wayar. Untuk lebih mudah difahami, kegunaannya seperti SmartTAG, apabila wang akan tolak sekiranya dikesan gelombang pada kad berkenaan, sama ada kad debit atau kad kredit.

“Penjenayah yang sudah menyedut segala maklumat kad ATM mangsa secara automatik mampu menyeleweng akaun berkenaan termasuk menggunakannya untuk membuat pembelian,” katanya.

Tambah Mohd Nizam, penjenayah boleh mengesan gelombang radio urus niaga ini dalam jarak kurang semeter melalui aplikasi yang dimuatturun daripada telefon pintar.

Selepas data itu diperolehi, penjenayah boleh melakukan transaksi dengan mengimbas telefon pintarnya di mesin payWave, lapor akhbar itu lagi.

Namun pengguna masih boleh menyimpan data mereka apabila membalut kad ATM payWave dengan foil aluminium atau memiliki dompet khas yang menghalang gelombang dikesan.

Bagaimanapun presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (Aibim) mempertahankan teknologi kad debit baru ini yang mempunyai ciri keselamatan tinggi dan sukar diklon.

"Apa pun sekiranya pelanggan bimbang dengan kad baharu diperkenalkan, dinasihatkan supaya pergi ke bank dan minta supaya tutupkan atau mematikan kebolehan teknologi menggunakan 'wave' di kad berkenaan," kata Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Dedah aurat tempah pakaian neraka

Oleh Fairuz Noordin 

ALLAH SWT menciptakan api untuk membakar dan memanaskan manusia kerana sifatnya yang dahsyat, sangat menakutkan serta mengerikan. Api neraka dibakar selama seribu tahun dalam keadaan berwarna putih, seribu tahun kemudiannya bertukar menjadi biru, seribu tahun berikutnya menjadi merah.

Apabila dihumban ke neraka, manusia berada dalam keadaan tidak berpakaian dan menurut ulama, pakaian mereka juga diperbuat daripada api.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Inilah dua golongan (Mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan mengenai Tuhan mereka. Maka orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian daripada api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak. Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit badan mereka. Dan mereka pula disediakan batang besi untuk menyeksa mereka. Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: Rasalah kamu azab seksa yang membakar!" (Surah al-Hajj, ayat 19-22)

Pakaian neraka daripada api

Perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm memetik al-Qurtubi yang menyebut api dibuat menyerupai pakaian kerana ia dipakai seperti baju. Orang kafir apabila dimasukkan ke dalam neraka akan dipakaikan baju daripada api sedang marak itu.

Ibnu Abbas pula berkata, seandainya hanya satu titis hamim (minuman yang sangat panas) yang dicurahkan kepada penghuni neraka, jika jatuh ke atas dunia nescaya akan meranapkan seluruh gunung-gunung yang ada di muka bumi ini.

Sewaktu hamim dituang di atas kepala penghuni neraka, lalu masuk menembusi tempurung kepala sehingga sampai ke tenggorok, memasuki tengkuk mereka, maka terpotonglah segala urat perutnya dan keluar melalui kaki mereka. Selepas itu mereka kembali kepada keadaan asal sebelum ini.

Manusia yang dibakar dalam neraka, nyalaannya akan melonjakkan mereka ke atas sehingga dapat dilihat oleh ahli syurga. Ketika berada di puncak neraka, mereka dihentam oleh malaikat menggunakan cambuk besi sehingga tersungkur kembali sejauh 70 musim ke dalam dasar neraka.

Dua golongan bertengkar seperti mana dimaksudkan antara golongan Mukmin dan kafir mengenai Allah SWT, berlaku pada Perang Badar iaitu Ali, Hamzah dan Ubaidah iaitu sahabat kepada Rasulullah SAW yang menentang Syaibah bin Rabi'ah, Utbah bin Rabi'ah dan Al-Walid bin Utbah.

Ketiga-tiga daripada golongan kafir ini disediakan Allah SWT pakaian yang dibakar dalam neraka sebagai balasan di atas apa yang dilakukan akibat pertengkaran itu dan ia adalah pengajaran kepada manusia yang melawan perintah Allah SWT.

Zaid bin Aslam menyebut, dia mendengar bahawa penduduk neraka itu tidak bernyawa tetapi tidak pula mati. Malaikat datang membawa satu bekas dengan bantuan dua alatan besi kerana terlalu panas, jika bekas itu diletakkan hampir dengan wajahnya, malaikat itu menjauhinya.
Wajah dihentam malaikat

Apabila bekas itu diletakkan hampir dengan wajah penghuni neraka, ia dihentam oleh malaikat di kepala mereka hingga isi otaknya berserakan. Kemudian isi dalam bekas yang dibawa malaikat itu dituang ke dalam kepala mereka yang pecah itu lalu masuk ke dalam tubuhnya.

Pakaian penghuni neraka yang ketiga ialah daripada tar berwarna hitam dan berbau busuk. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan engkau akan melihat orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu. Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka." (Surah Ibrahim, ayat 49-50)

Daripada Abu Malik, Rasulullah SAW menyebut: "Ada empat perkara yang menyebabkan umat aku ini dibakar dengan pakaian neraka kerana berperangai seperti jahiliah yang dikekalkan walaupun mereka tidak lagi hidup pada zaman itu. Yang pertama ialah dia berbangga-bangga dengan keturunan kerana sepatutnya mereka perlu lebih berbangga menjadi hamba Allah. Sebab kedua ialah kerana mereka suka melaknat keturunan mereka. Ketiga kerana suka memohon hujan daripada bintang, bukan daripada Allah SWT dan perlakuan jahiliah yang keempat ialah suka meratap ke atas orang yang meninggal dunia. Golongan ini sekiranya tidak bertaubat sebelum tiba kematiannya, pada hari akhirat kelak dia akan dibangkitkan dengan dikenakan pakaian tar yang berperisaikan kudis yang berbau busuk."

Jagalah aurat dan jangan tergolong dalam kalangan mereka yang mengabaikannya kerana sesungguhnya aurat yang terdedah itu akan menempah pakaian dari neraka. Ngerinya keadaan di dalam neraka sehingga Allah SWT turut menyediakan selimut dan tempat tidur bagi penghuninya.
Apa yang dilihat oleh penghuni neraka sebagai selimut itu hanyalah api bergulung-gulung kerana dalam neraka tidak ada waktu untuk tidur. Allah SWT menjadikan pembalasan begini untuk menakutkan manusia yang lalai dan leka supaya taat perintah Allah SWT ketika di dunia.

Agama tentukan kebahagiaan keluarga

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof 

PERNAHKAH kita bertanya tujuan hidup di dunia ini atau hanya sekadar menjalani hidup tanpa pernah memikirkan makna daripada penciptaan diri kita? Mengetahui makna kehidupan membantu kita menjalani hidup lebih baik, mengenal pasti tujuan hidup supaya lebih terarah.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila ia menyeru kamu kepada perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna." (Surah al-Anfal , ayat 24)

Jika diteliti makna di sebalik penurunan ayat ini, ia memberikan suatu konsep mengenai erti hayat atau hidup yang sebenar dalam Islam. Rasulullah SAW selaku utusan Allah SWT menyeru orang beriman supaya menyambut seruan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Seruan yang mengajak mereka menjalani erti hidup yang sebenar. Hidup manusia sangat bererti memandangkan kemuncak hidup yang sejati ialah dengan makrifat Allah (mengenal Allah SWT).

Mengenal bahawa sifat ubudiyyah seorang Muslim mestilah dipersembahkan hanya kepada Allah SWT.

Menghuraikan tajuk Di Mana Kita Bertolak dalam rancangan Pesona D'Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin, berkata agama adalah pegangan yang harus ada dalam diri setiap manusia.

Tanpa pegangan agama, maka akan goyahlah kehidupan manusia. Malah, agama juga dapat membentuk pandangan semesta seseorang, sesebuah masyarakat serta perilaku dan tindakan mereka dari segi pertuturan, perilaku atau gaya hidup.

Agama asas pilih pasangan

Tidak dinafikan, agama Islam mengatur seluruh aspek kehidupan, termasuk urusan jodoh seperti mana ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda Baginda: "Dikahwinkan seorang perempuan itu kerana empat perkara. Kerana hartanya, kecantikannya, kedudukan atau keturunannya dan agamanya. Maka hendaklah memilih perempuan yang beragama, nescaya menguntungkan kamu."

Agama dan keimanan yang kuat hendaklah diutamakan sebagai dasar pemilihan pasangan hidup.
Menurut Muhammad, agama bukan bersandarkan kepada kelulusan semata-mata. Ia sebenarnya menjurus sejauh mana penghayatan dan amalan seseorang terhadap Allah SWT.

Dalam institusi rumah tangga, faktor agama adalah elemen yang penting. Pegangan agama yang kukuh dalam perkahwinan adalah tonggak kebahagiaan rumah tangga seperti mengamalkan solat berjemaah dapat mengeratkan hubungan suami isteri dengan restu Allah SWT.

Suami kena bimbing isteri
 
Suami perlu membimbing isteri ke jalan yang diredai Allah SWT. Jika isteri lebih bijak, tidak salah berkongsi sesuatu yang baik dengan suami supaya rumah tangga sentiasa mendapat keberkatan.

Islam dibina atas tiga asas utama meliputi soal akidah, syariat dan akhlak. Tiga perkara asas itu menjadi tunjang dalam pembentukan rumah tangga yang harmoni. Sebelum memilih sesuatu jalan, adalah lebih baik untuk diselidiki terlebih dahulu supaya tidak tersesat.

Suami isteri ibarat pakaian bagi pasangannya, yang saling menutupi, melindungi dan memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu, hiasilah pasangan dengan amalan yang baik.

Demi menggapai reda Allah SWT, elak berada dalam situasi keluh kesah kerana bimbang keluh kesah adalah tanda kelemahan iman. Luaskan pelaksanaan dan penghayatan agama kepada seluruh amalan dalam kehidupan.

Moga dengan kebaikan yang kita lakukan walaupun kecil tetapi berterusan, mudah-mudahan dapat memberikan kebaikan dan membantu kita untuk terus memahami serta mendalami agama Islam.

Tanda lahir boleh jadi sel kanser

Bayi baru lahir biasanya memiliki tanda lahir di kawasan tertentu pada tubuhnya. Mengikut kepercayaan masyarakat, tanda lahir disebabkan ketika hamil si ibu melihat gerhana bulan, malah ada juga yang mengaitkannya dengan keinginan si ibu pada sesuatu ketika hamil tidak dipenuhi.

Ada juga segelintir masyarakat yang percaya bahawa tanda lahir boleh memberi tuah atau malang kepada seseorang.

Semua itu sekadar mitos kerana tanda lahir sebenarnya bersifat kongenital, iaitu pigmen melanin pada kulit yang tidak sekata hadir ketika lahir atau muncul sejurus selepas kelahiran, biasanya dalam tempoh beberapa bulan.

Boleh menyerupai pelbagai bentuk berwarna kemerahan, kehitaman, atau jingga. Memiliki tanda lahir adalah sesuatu yang normal, namun sehingga kini penyebab wujudnya tanda tersebut pada bayi dari segi saintifik masih belum dapat dipastikan.

Jika dilihat dari segi perubatan, sebahagian tanda lahir adalah disebabkan oleh pembuluh darah yang terkumpul atau tidak tumbuh normal. Ada juga tanda lahir terjadi kerana pigmen tambahan pada kulit.

Menurut Perunding Dermatologi Pusat Perubatan Sunway, Dr. Lee Yin Yin, pada umumnya, tanda lahir bukanlah sesuatu yang berbahaya, tetapi ada kemungkinan untuk tanda itu bertukar menjadi sel kanser dalam keadaan tertentu.

Ujarnya, terdapat dua jenis tanda lahir, iaitu tanda lahir vaskular (salur darah tidak terbentuk dengan sempurna) dan tanda lahir berpigmen (sel-sel yang menyebabkan pigmen pada kulit berkembang lebih daripada normal).

“Tanda lahir vaskular disebabkan oleh pembuluh darah yang abnormal di bawah kulit, yang mana kadang-kadang sekumpulan saluran darah akan tumbuh bergumpal. Tanda yang timbul biasanya berwarna kemerahan atau ungu. Kehadirannya sering dijumpai pada kawasan wajah, leher dan kepala.

“Tanda lahir vaskular boleh terjadi dalam bentuk salmon patches, hemangiomas atau port wine stains. Rawatan laser adalah antara kaedah yang boleh membantu menghilangkan tanda lahir jenis ini.
“Manakala tanda lahir berpigmen pula akibat daripada kelompok sel berpigmen pada kulit. Tompokan yang timbul biasanya berwarna coklat.

“Ramai yang tidak tahu bahawa tahi lalat adalah sejenis tanda lahir. Selain dalam bentuk tahi lalat, tanda lahir jenis ini juga boleh membentuk tompokan cafe-au-lait (jingga) atau tompokan Mongolian (kelabu kebiruan),” katanya.

Jelas Dr. Yin Yin, meskipun peratusan kes tanda lahir bertukar menjadi kanser sangat kecil, masyarakat masa kini mempunyai kesedaran yang lebih tinggi dalam penjagaan kesihatan anak mereka sejak dari kecil lagi.

Beliau melihat perubahan yang ketara apabila ibu bapa sangat mengambil berat tentang perubahan yang berlaku kepada bayi mereka walaupun hanya sekadar tanda lahir.

Tidak berniat untuk menakutkan ibu bapa, dia menyarankan agar ibu bapa yang mempunyai bayi dengan tanda lahir supaya berjaga-jaga.

Ini kerana, jika berlaku perubahan pada saiz, warna, bentuk atau bengkak seiring dengan peningkatan usia, ada kemungkinan tanda lahir akan bertukar menjadi sel kanser kulit.

Bayi yang lahir dengan saiz tanda lahir sangat besar, juga mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat kanser kulit.

“Beberapa tahun yang lalu, saya pernah mendapat kes seorang wanita sihat dan aktif dalam lingkungan usia 20-an yang menghidap sawan buat kali pertama.

“Selepas melakukan pemeriksaan rupa-rupanya tahi lalat yang bersaiz separuh daripada belakang badannya adalah penyebab kepada sawan tersebut.

“Wanita tersebut tidak tahu bahawa tanda lahir yang dimiliki telah menjadi sel kanser dan simptom sawan yang dialami adalah kerana sel kansernya telah menyerang bahagian otak.

“Melihat keadaan ini, saya merumuskan agak sukar untuk menjangkakan tempoh masa tanda lahir bertukar menjadi sel kanser.

“Jadi ibu bapa perlu berjaga-jaga dan dapatkan rawatan dengan lebih awal jika menyedari adanya perbezaan pada tanda lahir pada bayi mereka,” katanya.

Jika bayi mempunyai perubahan pada tanda lahir mereka, pemeriksaan biopsi perlu dilakukan di mana sel kulit pada tanda lahir akan diambil untuk diuji.

Jika dikesan mempunyai sel kanser, bahagian tersebut akan dibuang dan ada kemungkinan bahagian tersebut ditampal dengan kulit bahagian anggota badan lain.

Katanya, jika tanda lahir yang mahu dibuang bersaiz besar, pembedahan menggantikan kulit baharu perlu dilakukan sedikit demi sedikit. Parut yang terjadi akan dirawat dengan kaedah lain, contohnya laser, pada masa hadapan.

Namun, pembedahan hanya digalakkan kepada mereka yang berkemungkinan tinggi mendapat kanser atau tanda lahir yang menjejaskan penampilan fizikal seperti pada bahagian muka atau bahagian lain yang mudah kelihatan.

“Jika tanda lahir terletak di kawasan tersorok dan tidak berlaku sebarang perubahan saiz atau warna, ibu bapa tidak perlu risau. Ada kemungkinan tanda lahir akan hilang apabila bayi meningkat dewasa atau warnanya menjadi semakin pudar.

“Pembedahan amat berisiko kepada bayi kerana menggunakan bius sepenuh badan, jadi seeloknya ibu bapa tidak memilih kaedah ini jika tanda lahir pada bayi mereka tidak berbahaya,” katanya.

Permata seni yang meninggalkan kita

Dunia hiburan tahun 2016 sesekali dirundung hiba apabila ada di antara ahlinya dipanggil Ilahi.Namun benarlah kata pepatah, mereka pergi meninggalkan nama.Walaupun tiada lagi di dunia ini, lakonan, lagu-lagu dan jasa anak-anak seni ini tetap menjadi memori terindah buat peminat-peminatnya.





AL-FATIHAH

15 Mac - Abdul Rahman Othman (Man Dayak) - Pemain Drum Band Rock Lefthanded

18 Mac - Datuk Adnan Abu Hassan - Komposer Dan Pemuzik

19 Mac - Neng Yatimah - Pelakon Veteran

8 April - Mr. Os (Nama Sebenar: Mohd Yusof Abdul Hamid) - Pelawak Dan Pelakon

25 April - Samantha Schubert - Bekas Pertandingan Ratu Miss Malaysia World 1991, Model dan Pelakon

30 Mei – Ghani (Freedom) (Nama Sebenar: Ghani Karim) – Gitaris Kumpulan Freedom

5 Jun – Izaruddin Shariff – Gitaris Kumpulan Crosstown

21 Jun – Linda Helmi – Pelakon

2 Julai – Aziz Singah – Pelakon

7 Julai - Tamam Idris – Pelakon

12 Ogos – Shafiee Jaafar (Piee) – Pelawak Veteran
6 Oktober – Salleh Brothers (Mohammad Salleh Mohammad Deril) – Ahli Kumpulan Nasyid Brothers

7 Oktober – George Abraham – Personaliti Veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM)

2 November – Arab (Syed Azlan Syed Abu Bakar) – Penyanyi, Komposer.

29 Disember: Tan Sri SM Salim - Penyanyi

SM Salim
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menziarahi jenazah Tan Sri SM Salim pada 29 Disember lalu. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR

10 hal tidak mustahil pada 2017

Oleh Johardy ibrahim

MINGGU lepas saya seru agar kita tidak bercerita tentang hal-hal klise terutama perihal azam tahun baharu. Maklumlah hari ini kita sambut hari pertama 2017. Tetapi hari ini dan esok kita masih cuti, izinkan anda dihiburkan dengan lawak kering Merrepak iaitu sesuatu yang tidak lucu, melainkan bila anda terasa libas sindiran. 

Peratusan untuk terkena sindiran adalah rendah sekiranya anda membaca Merrepak dengan nada maha serius. Bertenang. Senyum. Lapangkan dada. Merrepak ini ringan dan santai semata-mata.

Jadi saya tidak akan menceritakan kepada anda betapa tahun baharu ini membawa sedikit kemurungan setelah dinasihatkan doktor untuk berehat sebulan kerana masalah kaki. Ini diterjemahkan tiada aktiviti berbasikal dan futsal. Tidak, hal ini saya simpan sendiri.

Juga saya tidak akan ceritakan bagaimana tercuit hati bila mengetahui beberapa sahabat dalam industri, sudah dan akan meninggalkan kerjaya tidak lama lagi. Pergilah kerana kerjaya wartawan ini hanya tawarkan intangible wealthness iaitu kemewahan tidak ketara pada pandangan mata. Tidak mengapa, hanya yang kental berupaya kekal.

Berikut, adalah harapan dan sasaran yang jika tidak sukar sangat dicapai, memadai sekadar angan-angan sahaja:

1 Harga barang tidak melangit

Minggu lepas, berbeli peralatan sekolah anak. Makin terasa peritnya. Belum lagi dikira barangan makanan yang dibeli secara mingguan. Habis semua pasar raya yang isytihar tawar harga rendah dikunjungi. Sama saja. Kalau tak murah pada makanan basah, ia mahal pada makanan tin. Kos kehidupan makin meresahkan. Siapa lagi boleh kita salahkan?

2 Rakan setugas bermasalah

Kadar kesilapan yang dicatat tahun lalu, mendorong markah prestasi menurun. Seharusnya ada kesedaran pada individu berkenaan menginsafi kesilapan dan berusaha memperbaiki prestasi untuk tahun 2017. Tetapi ayat ini pun ulangan dari 2015 dan 2016. Statik. Pasif. Letih kita menanggung tsunami jiwa.

3 Ego

Ego adalah aksesori yang wujud standard dalam setiap individu. Sama macam hazard light dalam kereta, jangan pasang semasa memandu dalam hujan lebat. Ini peraturan sebenar. Hazard light hanya dipasang bila kereta tidak bergerak. Tetapi masih ramai terus memandu dengan memasang lampu hazard. Samalah ramai yang tebal dengan ego. Orang nampak ego anda. Orang nampak bahaya anda walhal ego sepatutnya tidak dinyalakan.

4 Aktif dalam kerja kebajikan

Dalam situasi ekonomi semasa, golongan kurang bernasib baik akan merasa impak paling teruk. Kita iaitu golongan yang sibuk beratur berjam-jam menukar kad ATM baharu minggu lepas, berperanan besar untuk membantu dalam apa cara sekali pun. Antara ciri-ciri manusia bertamadun dan berakhlak ialah kesudian membantu mereka yang memerlukan.

5 Berterima kasih dan memaafkan

Dua perkataan yang paling sukar dan jarang dituturkan ialah 'terima kasih’ dan 'saya minta maaf’. Ketahuilah, kedua-dua perkataan ini penuh barakah dan magis. 'Terima kasih’ pantas mencetuskan senyuman. 'Saya minta maaf’ akan lahirkan kelegaan dalam hati penutur dan orang yang dituturkan. Cubalah.

6 Berkayuh basikal

Sehingga minggu lepas, saya berjaya 'menghasut’ seorang lagi sahabat untuk turut serta dalam aktiviti berbasikal. Dalam sehari, tiga kedai basikal kami kunjungi sebelum dia membuat keputusan muktamad. Tidak perlu basikal mahal. Mulakan dengan yang sederhana. Kenali basikal dan gaya kayuhan peribadi anda. Esok-esok upgrade, bila sudah konsisten dan basikal tidak jadi tempat jemuran baju.

7 Kembali ke Anfield

Ok, bagi kaki bola tanamkan azam untuk menonton perlawanan di stadium sebenar kelab pujaan masing-masing. Liverpool musim ini cergas dan mantap di bawah kendalian Jurgen Klopp. Tempah tiket dengan Malaysia Airlines, yang juga syarikat penerbangan global rasmi LFC untuk ke sana. Harga mampu beli!

8 Beli kereta

Anda yang berhajat berkereta baru, sewajarnya bersedia sekarang kerana banyak model baharu telah dan akan dilancarkan ke pasaran Malaysia. Saya hanya mengidamkan sebuah 4x4 terpakai untuk mengangkut basikal ke pinggiran hutan. Maksud saya, carilah kereta yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan anda, bukan ikut hati anda.

9 Kesihatan

Orang kata bila cecah usia 40 baru nak bertaubat, baru hendak jaga kesihatan. Pengalaman memberitahu bahawa hendak jaga kesihatan, kena mula dari usia awal. Malaslah hendak ceramah. Lu pikir sendirilah.

10 Politik

Harapan ini, termasuk dalam kategori 'mustahil’. Rakyat Malaysia berpolitik 24 jam, dari usia semuda 13 tahun ke 90 tahun. Mereka tidak segan-segan menyuarakan pandangan politik mereka, sama ada berdasarkan kajian teliti atau sekadar membaca tajuk berita sensasi di Facebook atau Twitter. Kalau tidak larat membaca pandangan politik mereka, unfollow sahaja. Merrepak akan kekal apolitical bagi tahun 2017. Selamat Tahun Baru 2017 kepada anda pembaca setia Merrepak. Teruskan senyum-senyum.

2017 rasanya bukan tahun PRU

Oleh Timmy Say 

Ringgit menutup 2016 pada kadar RM4.49 kepada AS$1.Felda pula menutup tirai 2016 dengan keputusan penuh kontroversi membeli 37% kepentingan saham Eagle High Plantation pada harga AS$505.4 juta menggunakan FIC Properties Sdn Bhd.

Saham Felda Global Venture pula terus menjunam ke RM1.55, berbanding harga RM4.55 sesaham ketika ia disenaraikan di Bursa Malaysia.

Bajet 2017 yang menyaksikan pelbagai peruntukan dipotong tidak menampakkan ia sebagai satu bajet pilihan raya.

Kerajaan pula tidak sengaja memberi isyarat 2017 merupakan tahun penuh cabaran dengan “hadiah” kenaikan 20 sen untuk harga diesel dan RON95.

Kebanyakan barangan dan makanan mentah negara diimport. Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan inflasi terus kepada harga makanan dan kos sara hidup. Lihatlah betapa ramainya ibu bapa yang merana minggu terakhir sebelum sekolah bermula untuk menyediakan persediaan sekolah anak.

Nampaknya 2017 bukanlah tahun yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Terdapat 3 penentu bagi BN menentukan tarikh PRU14. Pertama ialah nilai ringgit.

Jika nilai ringgit tidak pulih ke tahap menghampiri RM4 kepada AS$1, malah terus jatuh menghampiri RM4.80 kepada AS$1, pilihan raya akan terus ditunda sehingga Parlimen terbubar secara tersendirinya pada 2018.

Kedua, ialah harga minyak sedunia. Sekiranya harga minyak terus naik, dividen Petronas kepada kerajaan akan pulih, maka ketika itu kerajaan berkemampuan untuk membuat bajet pilihan raya bagi 2018 tanpa perlu menaikkan kadar GST.

Dengan adanya dana yang mencukupi, maka penentu ketiga boleh dicipta iaitu “feel-good factor” atau mood positif di kalangan rakyat terhadap kerajaan.

Kejayaan melancarkan MRT bukanlah satu daripada “feel-good factor”. Kesan positif MRT pada rakyat akan terbantut selagi rakyat Malaysia tidak dapat mengikis kebergantungan dan tabiat mereka menggunakan kenderaan sendiri.

Perbalahan antara parti pembangkang juga sukar dijadikan penentu untuk pilihan raya diadakan. Ini kerana parti pembangkang berkemungkinan besar akan berkompromi pada saat-saat akhir untuk bersama jika mereka terhidu mood rakyat terhadap kerajaan adalah negatif.

BN pernah melalui kempen “Asal bukan BN” yang menyaksikan rakyat sudi mengundi sesiapa saja asalkan ia bukan calon BN-Umno sehinggakan calon pembangkang yang tidak dikenali juga menang di tempat dirasakan selamat.

Tidak mustahil angin akan bertiup kembali apabila rakyat tertekan dengan kos sara hidup yang sukar dihadapi.

Nilai statistik dan peratusan ekonomi positif yang dikeluarkan pakar ekonomi kerajaan tidak akan dapat meyakinkan rakyat sekiranya rakyat tidak dapat merasai perkembangan ekonomi dalam kehidupan mereka.

Ekonomi akan menjadi faktor penentu terbesar kemenangan di PRU14.

Kerana itulah, rakyat perlu berhati-hati agar tidak terseret dalam perbalahan antara kaum, agama dan sentimen perbezaan budaya yang sengaja dicipta untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada isu sebenar yang memberi kesan kepada negara dan kehidupan mereka.

Jadikanlah 2017 untuk mengerti indahnya redha Allah

Oleh MOHAMMAD FAIZAL CHE YUSOF 

SEKALI lagi menjelang tahun baru 2017, saya berada di Kuala Lumpur, ibu kota Malaysia kerana memenuhi pelbagai program bersama masyarakat. Berpeluanglah saya merasai riuh rendah sambutan tahun baru dengan dentuman bunga api di angkasa raya.

Selesai program di Bandar Baru Utama Batang Kali malam itu, saya dan sahabat amal berkereta untuk pulang ke ibu kota. “Nanti kita bermotor sahaja ya di Kuala Lumpur?” tanya beliau kepada saya bimbangkan kesesakan di tengah bandar raya.
Sebagaimana dijangka, kesesakan di mana-mana sahaja biarpun menjelang tengah malam di tengah-tengah ibu kota. “Ramai orang, sambut tahun baru!” laung beliau ketika di atas motor kepada saya sebaik kami berada di dalam kesesakan.

Itu sekadar gambaran ringkas bagaimana rakyat jelata dilalikan dengan suasana sambutan tahun baru. Terlintas di fikiran, apakah ini suatu ubat pelali buat sementara waktu bagi menyembuhkan buat seketika penyakit resah rakyat oleh pemerintah?

Kelekaan di sana sini menyambut tahun baru menjadikan rakyat lupa sejenak pada cabaran yang telah dimaklumi pada 2017. Mereka lupa sebentar harga-harga minyak mentah di Malaysia naik antara 15 sen dan 20 sen. Mereka lupa seketika kemungkinan kesan rantaian dari kenaikan harga minyak yang telah biasa ditempuh selama ini setiap kali harga minyak berubah.

Benarlah firman Allah S.W.T dalam Surah “Sad” ayat 24 yang menerangkan bagaimana kezaliman yang berleluasa antara manusia akan menjadikan mereka saling menindas antara satu sama yang lain. Sang penguasa yang bertakhta hanya fikir bagaimana kuasa di genggaman tidak terlucut dari tangan. Pelbagai kecaknaan palsu diberikan kepada rakyat agar mereka bahagia dengan mereka biarpun sekadar satu malam sewaktu menyambut tahun baru.

Para peniaga juga tahu datangnya tahun baru bermakna rakyat wajib berbelanja untuk persiapan pelbagai barang baru. Anak-anak yang melangkah ke alam persekolahan misalnya wajib disiapkan peralatan serba baru. Tahun baru samalah musim perayaan. Ia peluang untuk meraih keuntungan berganda saban waktu.

Demikianlah Allah SWT memperingatkan penindasan ini akan terus berlaku hinggalah bangkitnya rakyat dengan semangat keimanan dan terus melakukan amalan soleh. Apakah rakyat Malaysia khususnya mereka yang beragama Islam telah sedia kembali kepada keimanan dan melazimi amalan soleh dalam kehidupan?

Di sekeliling kita diperlihatkan pertelingkahan sesame sendiri bagai tiada penghujung. Masjid-masjid terus sepi dari diimarahkan. Solat berjemaah menjadi luar biasa bila pimpinan atasan berusaha mengamalkan untuk diikuti sekalian rakyat.

Apakah suasana tahun baru ini sebenarnya memberi satu tanda sebagai muhasabah betapa kita sebenarnya masih malu-malu untuk kembali kepada Islam? Memadailah pelbagai kesempitan dan kesesakan hidup yang kita lalui selama ini.

Allah SWT dan RasulNya telah sejak dari awal merangsang kita untuk kembali kepada keimanan dan ketaqwaan. Janji Allah betapa kita akan bahagia dengan iman dan taqwa di dunia sudah cukup untuk kita bersungguh-sungguh tanpa menantikan janji-janji palsu manusia yang hanya dilafazkan untuk dimungkiri.

Jadikanlah 2017 sebagai kelangsungan usaha untuk kita lebih mengerti indahnya redha Allah dan bukan sekadar difahami sebagai umpanan yang tiada nilai.

2017 dan jangkaan kos hidup terus meningkat

Oleh Abdullah Ameer Izer     

Tahun baru 2017 memulakan minggu pertamanya dengan jangkaan kos sara hidup akan terus meningkat, menurut Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

Rakyat Malaysia amnya dan golongan muda khasnya yang paling terkesan dengan keadaan semasa ini.
Firma Penyelidikan Nomura Research menjangkakan kadar inflasi Malaysia bakal melonjak setinggi 2.8 peratus berbanding peningkatan purata 2.1 peratus pada 10 bulan pertama 2016.

Ringgit Malaysia yang lemah serta harga makanan yang semakin mahal menyebabkan perbelanjaan pengguna akan berkurangan ekoran barang diimport menjadi lebih mahal, sekali gus menaikkan inflasi.

Tidak dapat dinafikan ia didorong terutamanya daripada kesan asas harga bahan api.
Ahli ekonomi UOB Malaysia menjangkakan nilai ringgit akan berlegar-legar pada paras RM4.50 bagi setiap dolar Amerika Syarikat pada tahun 2017.

Public Invest Research pula dalam nota strategi pada 16 Disember tahun lalu berkata, ringgit mampu pulih secara purata antara RM4.10 dan RM4.15 berbanding dolar pada tahun 2017.
Lebih memburukkan keadaan, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan jumlah pekerja yang akan diberhentikan pada tahun ini akan terus meningkat antara 45,000 orang hingga 50,000 orang.

Ini terutamanya dalam sektor kewangan, insurans, pembuatan dan pembinaan kerana kadar permintaan yang merosot.

Kadar kenaikan gaji di kebanyakan syarikat juga dijangka menurun. Kadar kenaikan gaji bagi bukan eksekutif hanya sebanyak 5.43 peratus berbanding 5.51 peratus pada 2016.

Bagi gaji eksekutif pula, kadar kenaikan sebanyak 5.55 peratus pada 2016 dijangka menurun kepada 5.3 peratus sahaja pada tahun ini.
Menurut seorang profesor madya Universiti Sains Malaysia (USM) dalam kajiannya, golongan berpendapatan sederhana secara amnya 40 peratus lebih miskin berbanding keadaan mereka pada tahun 2015.

Penarikan balik subsidi minyak dan gula, kejatuhan nilai ringgit antara faktor yang mengganggu tindak balas rantai bagi golongan kelas pertengahan ini.
Berdasarkan fakta di atas, tidak dapat dinafikan golongan yang paling terjejas pastinya golongan muda.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER