Headlines News :

Muat Turun Sehingga 5 Kali Lebih Pantas Tanpa Menggunakan IDM

Kebiasaannya, buat anda yang memang jenis hebat dalam bidang IT ni (bahasa lainnya nerd, kih kih kih) akan menggunakan Internet Download Manager atau IDM, untuk memuat turun sesuatu.

Namun, bagi mereka yang hanya menggunakan internet sekadar menonton YouTube, melayari internet sambil bersosial di laman Facebook, Twitter, dan Instagram, penggunaan IDM mungkin agak asing.

Apa cara paling mudah untuk membantu golongan ini? Ya, dengan cara memberikan mereka sebuah pelayar web yang sudah siap tersedia untuk digunakan bagi apa juga yang ingin mereka lakukan.

Citrio, sebuah pelayar web berasaskan Chrome yang mempunyai pemuat turun (Download Manager) terbina dalaman seakan-akan IDM kelajuannya. Diulangi, seakan-akan IDM kelajuannya (maknanya bukan paparan antaramuka pengguna a.k.a GUI - mohon jangan salah faham).

Berikut adalah antara ciri-ciri menarik pada Citrio:

1. Pemuat Turun Terbina Dalaman

Pemuat turun memang dah ada dalam mana-mana pelayar web, namun adakah ianya efisien seperti IDM, tambah lagi yang ada pada Chrome? Tidak bukan. Sudahlah tidak efisien, tak laju pula. Di sinilah bezanya pemuat turun yang ada pada Citrio. Ianya selain dapat mengesan video-video yang ada di laman YouTube (versi HD), ia juga dapat menguruskan semua aktiviti muat turun, termasuklah resume proses muat turun yang tersekat.





2. Pemain Media

Mungkin ciri ini tidak terlalu penting untuk sesetengah orang, kerana pada saya sendiri, saya lebih memilih menggunakan pemain video luaran seperti VLC dan SM Player untuk memainkan media-media. Namun ciri ini kadangkala memudahkan untuk kita melihat terlebih dahulu (pratonton) apa-apa media yang telah dimuat turun.


3. Pemuat Turun Torrent

Oh ya, selain pemuat turun fail-fail 'biasa' di internet, Citrio juga mempunyai pemuat turun torrent terbina dalaman. Ia menyokong pautan magnet dan fail .torrent. Ini bererti anda sudah tidak lagi memerlukan klien torrent lain. Cukup sekadar memasang Citrio, anda sudah dapat semua dalam satu.




4. Penyekat Iklan

Kalau anda buka laman omghackers, mohon whitelist ya. Tetapi untuk laman lain, ikut sukalah. Heheh. Penyekat iklan yang dipasang secara sedia dalam pelayar web ini tidak memerlukan sebarang konfigurasi. Ia akan terus menyekat sebarang iklan sebaik sahaja pelayar web Citrio membuka mana-mana laman.


5. Penukar Proksi

Saya difahamkan bahawa penukar proksi yang terbina dalaman ini sudah mempunyai proksi yang sedia digunakan sebaik sahaja Citrio dipasang. Namun setakat ini ianya kosong sahaja tanpa ada apa-apa tetapan proksi. Buat masa ini anda perlu letakkan sendiri proksinya. Saya akan sahkan perkara ini dengan menghubungi pembangun Citrio.


Paling penting, pelayar ini serasi dengan semua extensions yang ada untuk Chrome. Tak lupa juga anda boleh menggunakan akaun Google pada Citrio ini untuk menyelaraskan data-data dari Google Chrome.

Anda boleh muat turun pelayar web serba guna ini melalui pautan di bawah. Jangan lupa komen setelah anda mencubanya ya. Buat masa ini Citrio terdapat untuk sistem operasi Windows dan Mac.

Muat Turun: Citrio Browser

Manfaat kelebihan, kelemahan anak

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof 

Kelahiran seorang anak itu adalah anugerah daripada Allah SWT. Anugerah yang begitu tinggi nilainya kepada hamba-Nya. Setiap anak yang lahir telah dijanjikan pemberian rezeki masing-masing daripada Allah SWT.

Firman Allah dalam al-Quran: "Dan janganlah kamu membunuh anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepadamu. Membunuh mereka itu sungguh suatu dosa yang besar." (Surah Al-Israa', ayat 31).

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya' Ulumuddin menjelaskan bahawa anak adalah amanah Allah kepada orang tua. Hatinya masih suci bagaikan acuan asli yang masih bersih daripada segala corak dan warna.

Jika dibiasakan dan dibina untuk menjadi baik, maka ia akan menjadi baik. Kedua-dua orang tua, guru dan pendidiknya pun akan menuai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sebaliknya, bila dibiasakan terhadap keburukan, maka buruklah jadinya. menjadi ibu bapa bukan sekadar bertindak sebagai penjaga. Ramai orang mengambil mudah mengenai tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Ada yang menganggap asal sahaja menyediakan makan minum, pakaian dan tempat tidur, itu sudah cukup. Renungkanlah, Allah SWT hendak melihat anak itu bukan setakat dibesarkan, bahkan diasuh sehingga menjadi hamba dan khalifah-Nya yang soleh.

Dunia hari ini memerlukan kepada penguasaan sains dan teknologi, pengurusan dan pentadbiran, ekonomi dan kewangan, dan sebagainya. Inilah yang menuntut ibu bapa untuk menyediakan bekalan pengetahuan duniawi kepada anak supaya mereka tidak ketinggalan, bahkan terkehadapan berbanding orang lain.

Imbangi duniawi, akhirat

Namun demikian, keseimbangan antara ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi mestilah wujud. Atas kesedaran itu, ibu bapa hendaklah berusaha sedaya mungkin menyediakan ilmu akhirat kepada mereka. Pupuklah mereka supaya bercita-cita tinggi memburu kejayaan di dunia dan akhirat.

Anak pasti memiliki kelemahan, namun ibu bapa disaran memberi tumpuan kelebihan mereka. Amat menyedihkan apabila ada antara ibu bapa menilai keunggulan seseorang anak berdasarkan pencapaian akademiknya.

Setiap anak misalnya harus mendapat sebanyak 'A' dalam setiap peperiksaan. Realitinya ramai anak yang kurang cerdik dalam akademik, tetapi bijak dalam ilmu pengetahuan atau menyelesaikan masalah teknikal.

Jika mempunyai anak yang lemah dalam akademik, elak memandang rendah kepada mereka dengan meluahkan kata-kata berunsur negatif.

Sesungguhnya Allah SWT tidak menjadikan setiap anak sia-sia, pasti ada tujuan dan hikmah di sebaliknya.

Cuba kita renung-renungkan sebab Allah SWT mengurniakan anak itu kepada kita. Allah telah menciptakan manusia berbeza-beza. Janganlah membanding-bandingkan anak kita dengan anak orang lain.

Mendoakan anak

Sebagai ibu bapa juga, perlulah sentiasa berdoa supaya kelebihan yang ada pada diri anak dapat dimanfaatkan ke jalan yang diredhai Ilahi.

Kata-kata perangsang akan mempengaruhi minda dan jiwa anak untuk maju ke hadapan. Justeru, ibu bapa perlu sentiasa mendorong anak supaya sentiasa yakin dan selesa dengan diri sendiri.

Sesiapa yang memperkecilkan anak, seolah-olah dia memperkecilkan Allah SWT yang menganugerahkan anak itu. Oleh itu, alangkah baiknya jika memahami diri anak.

Begitu juga juga anak yang dilahirkan kurang upaya. Membesarkan anak kurang upaya bukanlah sesuatu yang mudah. Segala-galanya perlu dihadapi dengan tabah dan sabar.

Ibu bapa perlu ingat bahawa walaupun anak itu kurang dari satu aspek, ia tentu mempunyai kelebihan dalam aspek yang lain. Umpamanya, seorang anak yang cacat penglihatan, mungkin dilahirkan sebagai seorang yang berbakat untuk menjadi hafiz yang terkenal.

Anak sebagai amanah Allah perlu diberi perhatian supaya mereka menjadi insan bertakwa dan berguna kepada agama, bangsa serta negara.-BH



















3 ciri utama perlu ada pada pemimpin

Oleh: Prof Madya Burhanuddin Jalal 

Kepemimpinan merujuk kepada kemampuan mengambil peranan mempengaruhi orang lain ke arah kebaikan. Seorang pemimpin perlu mempunyai personaliti yang mampu mempengaruhi orang lain serta bersedia ditegur atau dikritik oleh orang lain.

Dalam konteks Islam, kekuatan keimanan dan keyakinan terhadap Allah SWT adalah aspek penting, sekali gus menjadi satu kekuatan apabila diuji dengan pelbagai cabaran. Pemimpin yang baik tidak mudah berputus asas atau cepat mengalah kerana yakin Allah SWT sentiasa bersamanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu tetap akan ditanya mengenai apa yang dilakukannya." (Surah al-Israk, ayat 36)

Selain itu, pemimpin yang baik mempunyai daya fikiran jauh ke hadapan atau berwawasan. Mereka akan sentiasa dipandang oleh masyarakat sekeliling sebagai seorang yang mempunyai nilai dan diyakini.

Kesemua ciri atau nilai itu sekali gus melambangkan keperibadian dimiliki Rasulullah SAW yang mempunyai prinsip wawasan masa hadapan, musyawarah dan mempunyai kepemimpinan dengan teladan atau uswatun hasanah.

Tiga ciri utama

Terdapat tiga ciri utama dalam kepemimpinan Rasulullah SAW iaitu wawasan yang jelas, nilai baik dan daya kekuatan.

Pemimpin yang mempunyai wawasan jelas memiliki kemampuan berfikir dalam pelbagai pendekatan bagi mencari alternatif serta mampu memperjelas atau memperhalusi sesuatu yang abstrak kepada yang nyata.

Memimpin orang lain dengan nilai kasih sayang, teladan serta mempunyai nilai integriti dalam diri.
Memiliki daya kekuatan hingga mampu menggerakkan orang lain serta mempunyai daya tahan fizikal dan mental.

Sehubungan itu, wajar kita melatih generasi muda supaya mempunyai nilai dan ciri kepemimpinan yang mampu mengurus diri serta mempengaruhi orang lain di sekelilingnya. Untuk itu kita perlu melatih generasi muda supaya belajar daripada keadaan yang berlaku di sekeliling mereka.

Selain itu, mereka juga hendaklah didedahkan kepada sirah Rasulullah SAW supaya menerapkan dalam diri sifat bertanggungjawab, amanah, seperti ditunjukkan Baginda SAW untuk menjadi pemimpin hebat di masa depan.

Kerja berpasukan

Membabitkan diri dalam organisasi dapat memupuk nilai kepemimpinan generasi muda dalam masyarakat. Ini dilakukan oleh Rasulullah SAW, ketika berumur 20 tahun Baginda aktif sebagai anggota Hilful Fudhul iaitu organisasi masyarakat Makkah yang menjaga daripada gangguan musuh dan penganiayaan pihak asing.

Melalui pembabitan dalam bidang sukan akan melatih anak muda erti perjuangan, kemenangan, kekalahan serta tidak mudah mengaku kalah. Persaingan hidup dalam semua perkara dan bidang hari ini semakin sengit, justeru mereka perlu bersedia.

Dalam sukan atau pertandingan juga ditanamkan semangat bekerjasama secara berpasukan atau hidup berjemaah kerana kekuatan dan saling bekerjasama berpasukan penting untuk memperoleh kemenangan.

Hakikatnya, banyak nilai positif dalam kepemimpinan perlu didedahkan kepada generasi muda kerana kita tidak mahu meninggalkan generasi yang lemah untuk menghadapi cabaran lebih hebat terhadap Islam serta umatnya pada masa hadapan.















Merancang pengurusan harta melalui hibah

Oleh Khuzama Ab Rahman dan Farah Adibah Mohd Apandi 

Perancangan kewangan penting kepada setiap individu supaya harta yang dimiliki dapat diuruskan sebaiknya. Kepentingan kepada perancangan yang baik juga dapat membantu kehidupan ahli waris ditinggalkan jika berlaku sesuatu yang tidak dijangka.

Islam menggalakkan umat merancang kewangan dengan baik supaya kehidupan ahli waris yang ditinggalkan akan terbela dan tidak berlaku persengketaan akibat perebutan harta. Harta adalah amanah yang perlu diuruskan sebaiknya mengikut kaedah perancangan kewangan telah ditetapkan.

Islam membahagikan perancangan harta kepada dua keadaan iaitu semasa hidup dan selepas kematian seseorang muslim. Di antara bentuk perancangan harta semasa hidup ialah wasiat, wakaf, hibah, sedekah, hadiah dan nazar.

Manakala pengurusan harta selepas kematian pula dinamakan pembahagian harta pusaka yang tertakluk kepada hukum faraid.

Dewasa ini pemberian hibah bukan lagi perkara baru, elemen hibah semakin disebut-sebut malah telah banyak digabungkan bersama pelan perlindungan takaful sebagai khidmat tambahan kepada pelanggan.

Jamin kepentingan pemberi, penerima

Ternyata aplikasi hibah amat digalakkan kerana dilihat sebagai perbuatan kebajikan yang bakal menjamin kemaslahatan umum seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, hari akhirat, malaikat, kitab dan nabi, dan mendermakan harta yang dicintai kepada kerabatnya, anak yatim, miskin, musafir, orang yang meminta-minta, yang memerdekakan hamba abdi, yang mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan menyempurnakan janji." (Surah al-Baqarah, ayat 177)

Hibah ialah pemberian seseorang kepada orang lain atau pihak tertentu dan pembahagian itu dilakukan ketika pemberi atau pemilik harta masih hidup atas keinginan sendiri, tanpa paksaan malah tanpa mengharapkan sebarang balasan ('iwad).

Pelaksanaan hibah bertujuan untuk jaminan ketenangan hati dan minda kedua pihak iaitu pemberi dan penerima hibah. Biarpun asalnya hibah umpama pemberian, sedekah atau hadiah, namun pelaksanaannya tetap membabitkan akad.

Di dalam pelaksanaan takaful, hibah dilihat sebagai pemudah cara bagi ahli waris untuk mendapatkan manfaat takaful kerana penerima hibah akan sepenuhnya berhak ke atas manfaat takaful sekali gus memudahkan lagi proses pemberian manfaat takaful ketika berlakunya tuntutan.

Hibah dalam takaful

Produk takaful sememangnya telah digabungkan dengan elemen hibah dan telah diamalkan oleh semua pengendali takaful kerana ia berpaksikan amalan sedekah. Pelaksanaan hibah menerusi manfaat takaful diaplikasikan menerusi pemberian manfaat takaful yang akan diperoleh oleh waris.

Aplikasi hibah bagi produk takaful yang berkaitan pendidikan, ibu bapa sebagai pembayar sumbangan dikira sebagai pemberi hibah manakala anak dinamakan sebagai peserta takaful pula penerima hibah secara mutlak dan akan mendapat manfaat jika berlaku musibah kepada ibu bapa.

Hibah ini dikategorikan sebagai hibah bersyarat kerana hibah manfaat takaful hanya akan berkuatkuasa atau berlaku setelah peserta takaful meninggal dunia. Ilmuwan masih berselisih pendapat dalam hal ini kerana amalan hibah seharusnya dilakukan semasa hidup.

Malah, status manfaat takaful juga menjadi pertikaian sama ada ia dikira sebagai harta si mati atau tidak kerana jika dikira harta maka ia perlu dibahagikan kepada ahli waris mengikut hukum faraid. Jika sebaliknya, maka memadai dengan hibah yang telah dilakukan sebelum itu.

Menurut keputusan Majlis Pengawasan Syariah Bank Negara pada mesyuarat kali ke 34, status hibah dalam pelan takaful tidak akan berubah menjadi wasiat kerana hibah itu adalah hibah bersyarat.
Penyelesai masalah harta

Manfaat takaful pula lazimnya berkaitan dengan kematian peserta dan tempoh matang sijil. Jika peserta masih hidup apabila sijil takaful mencapai tempoh matang, maka manfaat takaful akan dimiliki oleh peserta.

Jika peserta telah meninggal dunia sebelum mencapai tempoh matang, maka aplikasi hibah akan berkuatkuasa. Peserta mempunyai hak untuk membatalkan hibah sebelum mencapai tempoh matang.
Oleh itu, peserta dibolehkan membuat penamaan dengan menamakan beberapa individu untuk menerima manfaat takaful yang dibayar atas kematiannya sebagai benefiasiari hibah bersyarat secara bertulis.

Hibah adalah landasan kepada peserta takaful membuat amalan kebaikan. Hibah sejajar objektif takaful yang membantu peserta yang mengalami musibah dan seterusnya menggunakan dana tabarru' bagi membantu peserta.

Masalah berpanjangan membabitkan harta selepas berlaku kematian semakin bertambah dan membimbangkan, maka masyarakat perlu didedahkan dengan cara pengagihan harta semasa hidup.




















Seperlima Israel terbakar

Oleh SUBKY LATIF

SEORANG jamaah di surau memberitahu saya, sebuah bandar besar di Israel terbakar dan api merebak ke beberapa lokaliti. Saya balik melihat stesyen TV CNN. Sepanjang siaran adalah tentang kematian Fidel Castro, pemimpin lbeih setengah abad Cuba. Buka BBC juga tentang kematian Fidel Castro. Al-Jazeera juga tiada berita tentang Israel. Harian yang saya langgan juga tiada mengenainya.
   
Beberapa hari kemudian saya ke kuliah Magrib di masjid. Tok Guru memanfaatkan komputer riba memberi kuliah tentang masjid. Dia menyentuh tentang Masjid al-Aqsa yang baru diharamkan azan oleh Parlimen Israel. Bedebah Israel.
    
Ditunjuknya satu slot sidang Parlimen Israel. Seorang MP Palestin berucap. Muazin dicegah azan di masjid. MP Palestin itu mengambil kesempatan azan dalam perbahasannya. Kecoh. Beberapa MP Israel membantahnya. Dia azan hingga selesai.
   
Kemudian ditayangnya beberapa slot kebakaran di Israel itu. Api menjulang di sana sini. Asap hitam tebal berkepul-kepul di lokasi-lokasi terbakar.  Gerunnya api yang menjilat-jilat bagai menyaksikan suasana dalam neraka.
   
Jika jerebu teruk berhari-hari gara-gara kebakaran di Sumatera sudah menyesakkan nafas kita. Tidak tahu betapa deritanya manusia di tengah selubung asap pekat di setiap lokasi kebakaran Israel itu.
   
Perbandaran yang nahas itu adalah yang ketiga besar di Israel. Api mudah merebak ke lebih 120 lokaliti disebabkan kawasan sekitar penuh pertanian. Tiada berita kematian tetapi mangsa yang dikejarkan ke hospital ramai. Mungkin tidak ramai terkena api tapi lemas asap saja sudah cukup menjadi hospital sesak.
    
Berita amaran itu sudah cukup besar justeru melibatkan seperlima dari negara haram itu.
   
Ia bencana. Bencana ada sebabnya. Gara-gara kezaliman pemerintah dan masyarkat, menentang Allah dan rasul-rasul dan lain-lain. Kekejaman rejim dan rakyat zionis tiada taranya di dunia. Semua bentuk perikemanusiaan dilanggarnya.  Selain dari penindasannya kepada rakya Palestin sepanjang kewujudan negara itu ia adalah ancaman besar kepada penganut agama Allah dan manusia seluruhnya khususnya berjiran dengannya.
    
Kezaliman umat terdahulu habis Allah binasakan seperti kaum Nuh, kaum Aad, kaum Samud dan kaum Luth. Kekejaman kaum zionis ini tidak dibinasakan sedemikian kerana rahmat mereka sebagai umat Nabi Muhammad SAW. Allah berjanji kepada Nabi, umatnya tidak dibinasakan demikian, tetapi tiada jaminan bala atas onar mana-mana masyarakat.
  
Bala di Israel itu besar, tapi mugkin kecil dibandingkan maksiat umat terdahulu. Dipercayai kebakaran iu adalah jawapan segera dari Allah atas derhaka mengharamkan azan. Israel bunuh warga Palestin dan umat Islam. Bakar rumah, ladang dan harta Arab. Rampas tanah dan usir tuan tanah, jenayah itu adalah terhadap manusia.
   
Tetapi sekatan azan adalah perang terhadap Allah. Kebakaran atas seperlima buminya adalah kecil dan amaran awal. Jika amaran ini tidak diinsafi, Israel akan terbakar seluruhnya, tinggal Yahudi di luar Israel saja dan kembali merempat di serta dunia.
   
Ia bala bagi kaum zionis. Tapi jangan umat Islam gembira atas bala menimpa mereka. Kita bersedih sama seperti bersedihnya Nabi-Nai Nuh, Hud, Salleh, Ibrahim dan Luth atas bala yang ditimpakan kepada umat masing-masing.
   
Semua bala dan laknat itu bukan untuk dipestakan, tetapi ada untuk diinsafi.
   
Manusia termasuk nabi-nabi tidak dapa mengajar musuh-musuh Allah itu. Hanya Allah dapat mengajarnya. Maka ia mengajar semua untuk membesarkan Allah dan membenci kezaliman

Ubat penyakit cintakan dunia

Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad 

Walaupun kita hidup di akhir zaman, Baginda SAW sudah memberi isyarat apa yang akan berlaku di mana wujud satu penyakit dalam diri umat Islam yang disebut 'wahn' iaitu mencintai dunia dan tidak menyukai kematian.

Topik mencintai dunia ini penting dalam tasauf kerana ajaran Islam tidak mengajar kita mencintai dunia sebaliknya mencintai akhirat yang sepatutnya menjadi tumpuan atau keutamaan.

Dunia membawa makna 'dekat' dan apabila manusia melihat segala perhiasan dunia dengat terlalu dekat, ia menjadi hijab mengaburi daripada memandang akhirat.

Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, dalam rancangan Tarbiyah berkata inilah satu bentuk ujian daripada Allah SWT.
Katanya, Allah SWT ingin menguji adakah manusia benar-benar ingat kepada-Nya atau leka dengan dunia yang dekat pada pandangan mata kasar sehingga melupakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Penyakit wahn

Dalam al-Quran juga ada menyebut apabila manusia menyeleweng daripada jalan lurus, mereka cuba menyalahkan syaitan sedangkan syaitan sendiri berlepas tangan dan tidak mengaku merekalah penyebab kesesatan manusia itu.

Penyelewengan manusia itu disebabkan oleh penyakit 'wahn' yang disebutkan Baginda SAW hingga kerana cinta dunia manusia hilang integriti, runtuh akhlak seperti makan rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Baginda SAW turut berpesan supaya menjaga mulut dan kemaluan kerana kedua-dua organ itu menjadi penyebab manusia dihumban ke neraka. Sesiapa yang menjaganya, Baginda SAW memberi jaminan bahawa dia akan selamat.

Mereka yang tidak menjaga mulut ialah orang yang suka berbohong serta tidak memegang janji seperti mana maksud hadis yang menyebut tanda orang munafik itu ialah yang tidak berpegang kepada janji dan berbohong.

Justeru, sikap umat Islam yang mengamalkan rasuah, berakhlak buruk, hilang integriti dan lain-lain itu adalah manifestasi daripada penyakit hati sementara ilmu tasauf disusun bagi membanteras penyakit itu.  

Beza nama, erti sama

Ilmu tasauf wujud di awal Islam lagi walaupun pada ketika itu mungkin tidak dinamakan ilmu tasauf sebaliknya dikenali sebagai ilmu tazkiyatul nafsi, penyucian hati dan seumpamanya. Hakikatnya ilmu tasauf telah lama wujud.

Nabi SAW bersabda: "Ketahuilah bahwa dalam jasad itu terdapat segumpal darah, yang apabila ia baik maka baik pula seluruh jasadnya. Dan apabila ia rosak, maka rosak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah bahwa segumpal darah itu adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas mendefinisikan tasauf sebagai pengamalan syariat pada maqam ihsan. Oleh itu, dapat difahami tasauf adalah sebahagian daripada syariat.

Mereka yang mentohmah tasauf sebagai pengaruh asing, luar, bidaah, dan bukan ajaran Islam sebenarnya keliru dan tidak memahami hakikat tasauf serta tidak merujuk kepada ajaran tasauf itu.  
Timbulkan kesedaran

Produk daripada tasauf itu ialah akhlak yang mulia. Apabila sebahagian kelompok manusia menolak tasauf, maka mereka telah mengenepikan akhlak dan lebih menjurus kepada perkara bersifat hukum hakam serta persoalan remeh temeh.

Apabila kita mahu merubah manusia, perkara biasa terfikir oleh kebanyakan orang ialah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang menyekat manusia. Tasauf berbeza dan ia tidak mendidik manusia takutkan undang-undang sebaliknya menimbulkan kesedaran daripada dalam diri.

Manusia tidak melakukan perkara dilarang dalam Islam bukan kerana takutkan undang-undang atau pihak penguatkuasa tetapi menginsafi Allah SWT itu Maha Melihat dan berdosa jika dilakukan perkara itu.

Hari ini, disebabkan pengabaian terhadap ilmu tasauf, keruntuhan akhlak seperti buang bayi dan juga kehilangan integriti seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa semakin berleluasa.

* Penulis ialah Pengarah Pusat Media IKIM




















 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER