Headlines News :
Home » » Hentian ...

Hentian ...

Written By zabidi morad on Tuesday, 4 October 2016 | 11:21 am

Oleh Muhammad 
Saiful Amin Ruslan

“FAIZ, permohonan cuti kau di luluskan. Tapi cuma untuk empat hari saja”, kata Encik Azman. Berita yang tidak disangka-sangka tersebut membuatkan Faiz tersenyum lebar. Kesibukan bekerja membuatkan Faiz jarang pulang ke kampung halamannya di Selama, Perak. Kerana terlalu rindukan keluarganya, dia tekad untuk pulang malam itu juga.

“Untunglah kau Faiz, aku ni entah bila dapat cuti,” rungut Hadi. “Aku ada satu nasihat kat kau. Kalau boleh jangan berhenti di Hentian Sebelah. Kalau kau nak berehat juga, berhenti di Hentian Rehat dan Rawat. Situ ramai orang walaupun malam,” ujar Hadi serius. “Alahai, nak takut apa, Hentian Sebelah pun ramai orang la Hadi,” jawab Faiz endah tak endah. “Kau tak dengar cerita ke? Dekat Facebook dah viral sekarang ni,” berkerut muka Hadi menyoal. Apabila dia melihat wajah Faiz seakan tidak tahu apa-apa, dia menyambung.

“Kononnya, ada sepasang suami isteri ni. Dia orang baru saja kahwin. Sepatutnya dia orang balik kampung semasa cuti perayaan tahun ni. Malangnya, dia orang tak sampai-sampai. Disebabkan bimbang, keluarga pasangan ni buatlah laporan polis. Setelah siasatan di jalankan, polis jumpa kereta pasangan ni di sebuah Hentian Sebelah menuju ke utara. Malangya kedua-dua pasangan tersebut tak dijumpai,” Hadi meneguk air mineral di tangannya. Kelihatan tangannya menggeletar.

“Seminggu selepas itu, polis giat jalankan pencarian dan akhirnya tubuh kedua-dua pasangan tersebut dijumpai di sebuah ladang kelapa sawit hampir 700 meter dari hentian tersebut. Malangnya, kedua-duanya dah tak bernafas. Wajah mayat seakan ketakutan sangat. Lebih mengerikan, mata kedua-dua pasangan ini dicungkil keluar”. Berkerut muka Faiz cuba hadam kisah diceritakan oleh sahabatnya itu. “Maknanya Kassim Selamat lah bunuh dia orang?”, soal Faiz sambil ketawa terbahak-bahak.

Faiz kembali ke tempat duduknya sambil tersenyum. Geli perutnya memikirkan kisah Hadi tadi.
Baginya kisah tersebut tidak logik. Agak mustahil kisah tersebut tidak tersebar meluas. Sekiranya betul, sudah pasti pekerja mahupun pemilik ladang tersebut akan ditahan dan menjadi berita sensasi di media. Tambahan pula, sudah diketahui lama mengenai sahabatnya Hadi yang merupakan penggemar lagenda urban dan kisah-kisah seram. Besar kemungkinan Hadi terbaca di laman sosial popular sehingga menyangka ia benar-benar berlaku.

Perjalanan Faiz malam tersebut agak lancar sejak keluar dari kebingitan Kuala Lumpur. Hatinya berbunga-bunga memikirkan menjelang pagi, dia akan sampai ke kampung halamannya. Wajah emak dan abahnya bermain di fikiran saat keretanya meluncur laju di lebuh raya. Entah kenapa, kisah Hadi siang tadi bermain kembali di fikirannya. Baru kali ini, dia merasakan keseraman kisah tersebut apabila melihat suasana lebuh raya yang agak lengang memandangkan dia pulang ke kampung setelah cuti umum sudah tamat. Sekali sekala dadanya berdebar, namun Faiz segera cuba melupakan perasaan tersebut.

Beberapa ketika, perut Faiz memulas. Mahu tidak mahu dia perlu berhenti di perhentian seterusnya. Sepanjang waktu melepaskan hajat, Faiz terasa seram sejuk di belakang lehernya. Seakan dirinya direnung tajam. “Mengarut aku ni. Mana ada apa-apa,” rengek Faiz seakan cuba tenteramkan dirinya sendiri. Apabil dia melangkah keluar dari tandas, kelihatan seorang gadis sedang duduk sendirian di kerusi yang disediakan berdekatan tandas tersebut. Hatinya nakal ingin mengusik gadis tersebut.

“Hai, seorang saja ni, buat apa? Berani betul awak ni”. Faiz melihat jam tangannya menunjukkan sudah pukul 2 pagi. Gadis tersebut tersenyum dek sapaan Faiz. “Saja-saja je duduk sini. Penat drive tadi,” balas gadis tersebut. Melihat reaksi gadis tersebut, Faiz semakin menggatal. Dia duduk di sebelah gadis tersebut dan mula berbual. Perbualan kedua-dua mereka seakan sudah lama kenal antara satu dan yang lain. Gelak tawa mengiringi perbualan kedua-duanya.

“Faiz, awak rasa saya cantik tak?”, tiba-tiba gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Cindai tersebut menanyakan soalan cepu emas kepada Faiz. “Kalau pandai jawab ni, bukan aku je yang balik kampung jumpa mak abah. Silap-silap bawa balik menantu,” hati Faiz mula bergoncang saat soalan tersebut ditanya. Wajah Cindai seakan mengharap jawapan yang sangat jujur daripadanya.

“Dalam banyak-banyak perempuan awaklah yang paling cantik pernah saya jumpa”. Cindai tersenyum malu. “Awak sudi temankan saya sampai bila-bila? Saya sebenarnya sunyi sangat,” luah Cindai. Matanya kuyu seakan ingin menangis. Faiz mula curiga kepada Cindai, namun gadis di depannya terlalu cantik baginya. Lalu dibuang perasaan tersebut jauh-jauh. “Saya akan temankan awak sampai bila-bila. Saya janji”. Faiz yakin, gadis di depannya akan menjadi miliknya.

Cindai tiba-tiba ketawa seakan terdengar sesuatu yang sangat kelakar diungkapkan Faiz membuatkan Faiz terpinga-pinga. “Betul saya cantik?”, soal Cindai sekali lagi separuh ketawa. Belum sempat Faiz jawab soalan tersebut, wajah Cindai seakan mula berubah sedikit demi sedikit. Faiz menggosok matanya berkali-kali. Kali ini di depannya adalah manusia berkepala kambing. Badannya kaku seakan masa terhenti buat dirinya.

“Saya cantik tak Faiz?”, makhluk tersebut bertanya sekali lagi. Faiz mula teringat tuhan. Surah yang dihafalnya sejak kecil tunggang langgang dek ketakutan yang teramat sangat. Dia cuba melarikan diri, namun kakinya seakan tiada tenaga. “Pergi kau! Aku tak nak berkawan dengan kau!”, jerit Faiz kepada makhluk tersebut. Mata Faiz berair.

“Tadi kau kata kau akan teman aku sampai bila-bila! Kau penipu!”, marah makhluk di depan Faiz. Kuku tajamnya jelas dapat dilihat Faiz. “Aku cantik tak?”, soal makhluk tersebut sekali lagi. Nadanya kali ini seakan mengugut. “Kau hodoh, syaitan. Pergi kau, aku tak teringin berkawan dengan kau!”, jerit Faiz. Dia sedar kini betapa bodoh dirinya. Segalanya kerana nafsu. Berkerut wajahnya ketakutan.

Jawapan Faiz menaikkan kemarahan makhluk berkepala kambing tersebut. Dikorek mata Faiz menggunakan kukunya. “Tolong! Tolong!”, Faiz menjerit namun tiada siapa di sekelilingnya kecuali makhluk tersebut. Tanpa dapat melihat, Faiz berlari terdesak untuk menjauhkan diri dari makhluk tersebut, mengakibatkannya terjatuh dan terhantuk batu. Darah mencurah dari kepalanya. “Sekarang, kau dan aku akan selamanya bersama,” kata Cindai sambil mengusap kepala Faiz.

Seminggu selepas itu, Hadi tiba di kawasan Hentian Sebelah di mana mayat rakannya dijumpai. Baginya sangat aneh kematian rakannya itu. Bagaimana mata rakannya itu dicungkil. Jawapan yang diberikan pihak polis tidak meyakinkannya lalu dia mengambil keputusan pergi ke lokasi tersebut.

Setelah puas mengumpul maklumat daripada pekerja dan juga pengguna hentian tersebut, Hadi berehat di sebuah kerusi yang disediakan di hentian tersebut. Tiba-tiba, seorang gadis cantik menyapanya. Memperkenalkan dirinya sebagai Cindai. Pertemuan itu disambut mesra oleh Hadi tanpa sedar bahaya yang dihadapinya.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER