Headlines News :

Kita dan bola

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN  

Demam final Piala Malaysia antara Selangor dan Kedah makin terasa. Kelmarin, ada yang menunggu sejak pukul 4 pagi di Stadium Shah Alam, Selangor semata-mata nak pastikan mereka dapat tiket menonton perlawanan Ahad ini. Di Alor Setar, Kedah pun senario­nya hampir sama. Para peminat sudah terpacak di Stadium Darul Aman seawal 6 pagi.

Begitulah keadaannya apabila sudah jatuh cinta de­ngan bola sepak. Sememangnya majoriti rakyat Malaysia adalah peminat tegar sukan bola sepak. Kerana cinta lautan sanggup direnangi, api pun sanggup diredah.

Bersukan adalah suatu aktiviti yang amat digalakkan dalam Islam kerana dengan bersukan, kesihatan dan kecergasan tubuh badan dapat dikekalkan sekali gus menjauhkan diri daripada sebarang penyakit. Berkaitan hal ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih kasih kepada Allah daripada mukmin yang lemah. (Riwayat Muslim).

Sememangnya dapat menonton aksi pasukan kegemaran kita secara langsung di stadium amat mengujakan. Lebih-lebih lagi jika pasukan kita itu mempamerkan aksi cemerlang dan banyak menyumbat gol.

Dalam keghairahan itu, marilah kita renungkan beberapa perkara sebagai perbandingan antara bola dan kita.

* Ada yang sanggup menunggu sejak 5 pagi untuk beli tiket bola.

Semangat ini memang baik. Alangkah baiknya jika semangat itu boleh kita terjemahkan dalam kehidupan seharian dan hendaknya kita boleh bangun seawal 5 pagi untuk solat tahajud atau qiamullail. Jika tidak mampu setiap hari, usahakan seminggu sekali atau sebulan sekali.

* Ada yang sanggup cuti dan beratur dalam hujan.

Memang hebat apabila hati sudah terpikat de­ngan sesuatu dan dalam hal ini bola sepak. Mudah-mudahan peminat yang terlibat juga akan lebih teruja berbuat demikian dalam mencari lailatulqadar dalam bulan Ramadan al-mubarak.

* Ada yang pulang hampa kerana gagal dapat tiket.

Ini barangkali boleh dijadikan gambaran kepada mereka yang gagal beroleh syurga Allah di akhirat kelak. Kalau di dunia, kegagalan itu mungkin kerana lambat datang tetapi di akhirat kelak, kegagalan meraih syurga Allah adalah kerana kelalaian kita beribadat dan mematuhi perintah serta larangan Allah.

Sukan bukan sekadar menguji kekuatan dan kehebatan fizikal tetapi lebih jauh lagi ia membina hubungan ukhuwah serta silaturahim demi perpaduan ummah.

Janganlah kita mudah dihasut oleh syaitan yang ingin melaga-lagakan umatnya supaya sentiasa bertelingkah dan bermusuhan. Bersedia menerima kekalahan dan ja­ngan bergaduh serta emosional jika pasukan kita tewas.

Perasaan fanatik membabi-buta dalam menyokong atau menentang sesebuah pasukan tiada kaitan dengan Islam. Sebabnya, ia bercanggah dengan ajaran Islam yang menyeru kepada perpaduan dan kasih-sayang.

Paling penting, kepada peminat di stadium dan juga para pemain bola sepak, pastikan anda tunaikan kewajipan solat Maghrib dan Isyak sebelum perlawanan yang bermula 9 malam. Tahniah kepada mereka yang sentiasa menjaga solat mereka waima ketika di dalam stadium.

Syeikh Abu Bakar Al-Jaizairi dalam bukunya Minhajul Muslimin berkata, bermain bola sepak boleh dilakukan dengan syarat meniatkannya untuk daya tahan tubuh, tidak membuka aurat (bahagian paha dan lainnya) serta si pemain tidak menjadikan permainan tersebut dengan alasan menunda solat. Selain itu, permainan tersebut harus bersih daripada gaya hidup glamor yang berlebihan, perkataan buruk dan ucapan sia-sia seperti celaan, cacian dan sebagainya.

Ratu Buaya

Oleh Rashidah Ibrahim

Dipaksa menguruskan ladang ternakan buaya yang bakal ditinggalkan bapanya menjadi cabaran yang tidak diduga kepada Ng Siew Hiah, 51.Dia sendiri tidak tahu mengapa bapanya memilihnya sedang abangnya terlebih dulu bersama menguruskan ladang buaya itu selama 40 tahun.

Siew Hiah berkata, mulanya dia susah hati apabila diminta bapanya meneruskan tradisi memelihara buaya di ladang peliharaan Jalan Sembilan, Kampung Belading, Teluk Sengat, Kota Tinggi, Johor.
“Permintaan bapa buat saya menangis. Ini kerana saya tak pernah suka buaya. Walaupun bapa pelihara buaya sejak datuk ada lagi, saya tak ambil kisah. Saya tak pernah pegang dan tak pernah masuk ke tempat peliharaan itu,” katanya.

Menurutnya, ketika selesa bekerja di restoran, tiba-tiba bapanya memujuk supaya mengalihkan tumpuan kepada buaya. Perubahan dalam hidupnya berlaku apabila bapanya mendesak dia agar berjinak-jinak dengan haiwan dua alam itu.

“Saya enggan tapi bapa paksa juga. Mula-mula hendak tanam keberanian, bapa paksa saya turun ke kolam buaya. Bayangkan perasaan saya ketika itu. Takut sangat tapi tak boleh jerit atau menangis.
“Semasa dalam kolam, saya kawal perasaan takut. Saya azam saya mesti menang. Semua pekerja lelaki berdiri di sekeliling memantau keselamatan.

“Itulah pengalaman pertama saya dengan buaya. Selepas itu, saya belajar hal buaya dengan bapa,” katanya yang memelihara buaya jenis air masin dikenali sebagai buaya tembaga pelbagai saiz.
Kini, Siew Hiah pemilik Teluk Sengat Crocodile Farm Sdn Bhd seluas 10 hektar yang diusahakan sejak tahun 1997.

Dia mendakwa taman buaya tiga generasi terbesar itu di Semenanjung Malaysia dan dibuka untuk pelancongan sejak dua tahun lalu.

Sewaktu zaman bapa dan datuknya, ladang buaya itu tidak pernah dibuka kepada orang luar. Mereka memeliharanya sebagai hobi. Dia hanya membuka tempat itu untuk lawatan pada 2014.
Menurutnya, pada peringkat permulaan berjinak-jinak dengan buaya, dia tetap tidak suka. Tetapi disebabkan terpaksa akur dengan permintaan bapanya, hatinya masih berbelah-bahagi. Pada masa sama, Siew Hiah sempat membuat beberapa permintaan kepada bapanya.

“Saya kata kalau bapa mahu saya urus ladang buaya, gantikan jambatan pejalan kaki lama dengan dua jambatan lebih kukuh dan pasang peneduh.

“Jalan tanah merah pula perlu disimen agar tidak lecak ketika hujan manakala kawasan kosong perlu bina petak kolam. Yang peliknya, bapa akur saja dengan permintaan saya,” katanya.

Siew Hiah berkata sebelum meninggal dunia, bapa memegang tangannya dan berpesan: “Jangan buang dan jangan lepaskan buaya-buaya saya.”

Bapanya meninggal pada usia 80 ketika beliau berumur 47 tahun.

Selepas kematian bapanya, katanya, entah dari mana datangnya semangat keberanian apabila tiba-tiba dia jadi kuat seperti lelaki dan bersedia melaksanakan tanggungjawab itu.

“Mengenang pesanan bapa, saya jadi bersemangat dan berikrar pada diri sendiri untuk uruskan buaya,” katanya.

Katanya, dia banyak belajar mengenai replitia itu daripada pekerja ayahnya yang dipanggil Pak Mat atau nama sebenar Mohd Dul Endau, 66.

Menurutnya, tidak siapa menyangka dia akan menjadi pemilik ladang ternakan buaya itu, baik Pak Mat mahupun dirinya sendiri.

“Pak Mat kata pada saya, ‘macam mana kamu nak mengurus sedangkan kamu tak pernah suka dan tidak pernah ambil tahu hal buaya’?” katanya.

Namun, setelah mengambil alih, Siew Hiah berjaya membuktikan kemampuannya. Kalau dulu, semua buaya diletak dalam satu kolam tanah, kini ada 81 kolam simen dan lapan kolam pembiakan.
Penjagaannya juga lebih teratur. Ada kolam dikhaskan untuk anak buaya, kumpulan usia tertentu, untuk mengawan dan buaya kurang upaya (cacat).

Dia mengasingkan buaya cacat seperti dilahirkan tanpa ekor, sumbing dan sebagainya kerana jika dibiarkan hidup bersama yang sempurna fizikal, buaya cacat itu akan dibaham.

“Di bawah pengurusan saya, semua kolam mesti dibersihkan. Mula-mula pekerja enggan kerana mereka tak pernah buat sepanjang bekerja dengan bapa.

“Tapi saya mahu tempat ini bersih dan tidak berbau. Saya terpaksa tunjuk contoh, turun dulu dan bersihkan satu kolam kemudian barulah pekerja ikut bersihkan semua kolam lain,” katanya sambil ketawa.

Menceritakan sejarah ladang itu, Siew Hiah berkata, pada asalnya ada 300 buaya peninggalan datuknya dibiakkan di bawah penjagaan bapanya. Kini ada 1,100 buaya dewasa di situ. Selain mempunyai lesen, buaya dewasa dipasang mikrocip sebagai pengenalan diri.

“Jika buaya itu mati, mikrocip perlu dikeluarkan sebagai bukti ia sudah mati. Namun, pada zaman datuk belum ada peraturan itu. Usia buaya di sini ada pelbagai peringkat termasuk peninggalan datuk yang sudah berusia melebihi 100 tahun,” katanya.

Ladang itu kini menjadi kunjungan ramai pada hari cuti umum dan cuti sekolah manakala hari biasa jarang dikunjungi.
Dia bersyukur kerana kini kebanyakan ahli keluarganya menyayangi buaya termasuk ibu dan anaknya.

Mereka suka bermain dengan anak buaya, namun dia mengingatkan jangan terlalu percaya dengan haiwan peliharaan kerana mereka boleh bertindak ganas pada bila-bila masa tanpa dijangka.

“Sebab itu kalau hendak dibawa bermain, saya akan tutup mulut anak buaya dengan lilitan pita.
Selepas itu, barulah boleh ditatang, dipeluk atau dicium tanpa risiko dicederakan,” katanya.
Selepas lima tahun mengambil alih pemilikan kolam itu, dia kini memiliki banyak maklumat mengenai haiwan itu.

Menurutnya, buaya menimbus telur dengan tanah dan dijaga selama 85 hari sehingga menetas. Ia akan bertindak garang jika telurnya diambil.

“Tapi kami terpaksa ambil juga supaya anaknya tidak dimakan binatang lain atau dihurung semut. Saat telur atau anaknya diambil, si ibu lari ke kolam dengan mata berair macam menangis,” katanya.
Katanya, buaya diberi makan ayam yang dicampakkan seekor demi seekor ke dalam kolam.
“Buaya tua pula tidak selalu diberi makan. Enam bulan tak beri makan pun ia masih bertahan dan tidak mengganas,” katanya.

Siew Hiah berkata, buaya peliharaannya tidak dijual melainkan dalam bentuk daging segar sebagai ubat.

Sementara itu, Pak Mat berkata, buaya tidak ada penyakit sebaliknya anggota tubuhnya mempunyai khasiat.

“Kalau tercedera dalam air kerana bergaduh, ia pantas lari ke dalam air dan lukanya akan sembuh sendiri. Tetapi kalau cedera di darat ia boleh mati. Buaya usianya panjang, selalunya mati kerana tua atau dipanah petir sahaja,” katanya sambil menambah, kaki depan buaya ada empat jari seperti itik dan kaki belakang lima jari seperti cicak.

Harapan rakyat menjelang Bajet 2017

SECARA umumnya ini adalah tahun yang cukup mencabar kepada kerajaan. Pelbagai peristiwa suka duka yang berlaku sepanjang tahun merangkumi aspek ekonomi, sosial dan politik menyebabkan pihak kerajaan terpaksa berfikir di luar kotak dan mengambil pelbagai tindakan kurang popular serta di luar kebiasaan agar dapat meneruskan keyakinan dan kepercayaan rakyat.

Kegawatan ekonomi yang me­runcing sehingga nilai mata wang jatuh dan tidak stabil, bilangan peluang pekerjaan yang secara relatifnya masih sedikit yang menyebabkan jumlah penganggur semakin meningkat, masalah perpaduan kaum yang dilihat terus menjadi duri dalam daging serta isu politik dalaman baik UMNO mahu pun parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain di sam­ping kemunculan parti-parti baharu menjadikan 2016 sebagai antara tahun yang dikira cukup genting bagi survival politik baik, BN mahupun negara secara keseluruhannya.

Justeru pembentangan Bajet 2017 pada kali ini dinantikan oleh seluruh lapisan masyarakat bagi melihat sejauh mana komitmen kerajaan dalam melakar inisiatif supaya terus menjamin kesejahte­raan dan dapat mengurangkan beberapa masalah rakyat yang dilihat agak kritikal terutamanya membabitkan peningkatan beban kewangan yang seterusnya akan menentukan kemampuan sama ada pihak kerajaan dapat terus menarik sokongan dan keyakinan rakyat ataupun sebaliknya. Malah cakap-cakap orang politik bahawa kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bakal diadakan pada tahun hadapan juga dilihat bakal mempengaruhi intipati pembentangan bajet kali ini.

Antara isu yang cukup sensitif adalah peningkatan kos sara hidup. Peningkatan kos sara hidup berlaku secara mendadak dan dilihat semakin sukar dikawal. Keadaan ini menunjukkan rakyat umpama tersepit dalam kehidupan yang semakin mencabar. Keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan nilai mata wang kita juga tidak stabil, ini akhirnya menyebabkan harga barangan meningkat secara mendadak sekali gus mengurangkan nilai pegangan wang tunai dalam kalangan rakyat.

Penduduk bandar yang tergolong dalam kategori miskin bandar dan berpendapatan rendah dan sederhana misalnya walaupun suami dan isteri bekerja masih belum mampu menampung kos sara hidup seisi keluarga yang merangkumi kos wajib seperti ansuran pinjaman perumahan ataupun sewa rumah, ansuran kereta, per­belanjaan persekolahan anak serta perbelanjaan makan dan minum seharian seisi keluarga.

Maka diharapkan pihak kerajaan dapat tampil dengan perancangan jangka panjang dan penyelesaian yang lebih realistik supaya dapat mengatasi masalah ini sete­rusnya mengurangkan beban kos sara hidup rakyat. Dalam hal ini, di samping berharap ada penambahbaikan dalam pelbagai bantuan kewangan termasuk pengurang­an dalam cukai pendapatan, kita juga mahu kerajaan terus mengawal peningkatan harga barangan serta menambah bilangan peluang pekerjaan demi survival kehidupan rakyat negara ini.

Hakikatnya, keperluan golong­an miskin dan sederhana bandar (B40 dan M40) perlu diberi perhatian khusus dalam bajet kali ini kerana mereka ini cukup terkesan akibat kenaikan kos sara hidup.

Dalam konteks ini penulis tertarik dengan pandangan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang mahukan kerajaan fokus ke arah memperkukuhkan kelangsungan ekonomi negara dengan memberi penekanan kepada aspek inovatif ekonomi. Kata beliau, tanpa hala tuju jelas dalam aspek inovatif ekonomi, Malaysia berdepan risiko ditinggalkan Indonesia dan Vietnam selepas turut ‘dikalahkan’ Korea Selatan walaupun suatu ketika dilihat mendahului.

Korea Selatan berjaya membangunkan modal insan me­lalui inovatif ekonomi yang sekali gus membolehkan mereka mengatasi kita kerana inovatif ekonomi melahirkan modal insan yang kreatif dan sekarang negara itu menguasai pelbagai sektor di dunia. ­Justeru diharapkan kerajaan juga akan mempertimbangkan peruntukan lebih strategik untuk sektor pendidikan tinggi negara yang boleh menjadi pelaburan bijak jangka panjang dalam melahirkan modal insan yang kreatif dan inovatif.

Pada masa sama, isu pemilikan rumah harus terus diberikan perhatian khusus dalam bajet kali ini.

Rumah adalah keperluan asas setiap rakyat namun kenaikan harga rumah yang mendadak terutamanya di kawasan bandar yang boleh dikatakan langsung tidak masuk akal menyebabkan majoriti penduduk miskin bandar ataupun golongan sederhana masih tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Dalam konteks ini, kerajaan perlu bertindak di mana ketamakan pihak pemaju perumahan wajar disekat secara serius agar perkara ini tidak berlarutan. Di samping itu diharapkan lebih banyak lagi perumahan mampu milik dapat disediakan oleh kerajaan di tanah milik kerajaan terutamanya di lokasi-lokasi strategik berserta dengan kemudahan pinjaman perumahan khusus untuk golongan miskin dan berpendapatan sederhana di kawasan bandar.

Semoga Bajet 2017 mampu menjadi bajet berjiwa rakyat, berpaksikan rakyat dan boleh menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya yang mencakna dan memenuhi keperluan, tuntutan dan harapan rakyat marhaen yang dilihat semakin tersepit dan terhimpit untuk meneruskan kehidupan seharian.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ukuran sistem penjagaan kesihatan: Kita bakal gagal?

Oleh Anas Alam Faizli   

Cuba bayangkan 10 pesawat jumbo terhempas setiap minggu selama satu tahun atau keseluruhan penduduk Petaling Jaya meninggal dunia. Jumlah ini adalah antara 210,000-400,000 kematian di Amerika Syarikat yang berpunca dari kecuaian perubatan setiap tahun berdasarkan laporan Institute of Medicine (2013). Sistem penjagaan kesihatan di Amerika mengalami kegagalan.

Ironinya, Amerika mempunyai sistem penjagaan kesihatan swasta terbesar di dunia dan membelanjakan lebih banyak berbanding mana-mana negara untuk sistem penjagaan kesihatan swasta dan juga awam yang mencecah AS$2.8 trilion. Jumlah perbelanjaan ini untuk setahun lebih besar berbanding nilai ekonomi United Kingdom yang berjumlah AS$2.6 trilion atau ekonomi Perancis yang berjumlah AS$2.7trilion. Sekiranya tiada perubahan yang dilakukan kepada sistem penjagaan kesihatan negara ini, kita mungkin akan menjadi seperti Amerika. Jadi, bagaimanakah prestasi Malaysia sebenarnya?

Penduduk berusia dan mengukur prestasi penjagaan kesihatan

Menjelang 2030, penduduk Malaysia akan menua seperti Jepun. Asia dan Malaysia, khususnya, ialah salah satu kelompok penduduk paling pantas berusia di dunia. Menurut Asia Pasific Risk Center (APRC) yang berpangkalan di Singapura, situasi penuaan rantau ini akan mengakibatkan kos penjagaan kesihatan sebanyak $20 trilion pada 2030.

Jepun membelanjakan 8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk penjagaan kesihatan; yang 80 peratus daripada perbelanjaan ini dibiayai oleh kerajaan. Sedangkan Malaysia ketinggalan di belakang dengan hanya 4.4 peratus KDNK diperuntukkan untuk penjagaan kesihatan dan hanya 52.4 peratus dibiayai kerajaan. Jumlah keseluruhan perbelanjaan penjagaan kesihatan awam dan swasta ialah RM50.3 bilion – 93 peratus dibelanjakan untuk kos operasi dan hanya 7 peratus diperuntukkan untuk pembangunan.
Peratusan KDNK yang dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan meletakkan Malaysia pada kedudukan 156 dunia. Majoriti rakyat Malaysia menggunakan kemudahan penjagaan kesihatan awam. 75 peratus rakyat Malaysia menggunakan sistem rawatan hospital dan 90 peratus rakyat Malaysia menggunakan sistem pesakit luar penjagaan kesihatan awam. Walaupun begitu, kerajaan hanya membelanjakan 52.4 peratus untuk penjagaan kesihatan. Ini membuktikan dua perkara; kos yang lebih tinggi untuk kemudahan swasta dan keupayaan majoriti rakyat untuk menggunakan sistem penjagaan kesihatan swasta.

Cubaan untuk merumuskan sistem penjagaan kesihatan dalam hanya sebuah rencana bukan satu kerja mudah. Sistem penjagaan kesihatan adalah rumit, kerana ia mempunyai pelbagai indikator yang perlu diukur dengan tahap prestasi yang berbeza. Ini termasuklah pesakit, doktor, pembekal perubatan, rangkaian niaga, serta agensi yang menyelia aktiviti penjagaan kesihatan, termasuk pihak kerajaan.

Bagaimana kita mahu mengukur penjagaan kesihatan sebuah negara? Sebuah sistem pengukuran prestasi penjagaan kesihatan yang berkesan sangat penting dalam memastikan kita tidak mengikut jejak langkah Amerika. Sebuah pelan pemantauan yang secara berterusan boleh memastikan peningkatan kualiti, keberkesanan, kebertanggungjawaban dan paling mustahak kemampuan. Pengukuran ini juga perlu meliputi keseluruhan aspek penjagaan kesihatan termasuklah kepuasan pesakit, kecekapan pengamal perubatan, utilisati perubatan, kualiti klinikal, peralatan, teknologi dan prestasi kewangan.

Bagaimana kita mengukur prestasi? Sekiranya kemampuan menanggung kos kesihatan menjadi ukuran, kos melahirkan bayi di hospital di United Kingdom dan Australia dengan tempoh tinggal di hospital selama 2.6 hari ialah pada kadar median sebulan gaji berbanding median gaji tiga bulan di Malaysia. Kos melahirkan anak sengaja dipilih sebagai contoh kerana kehamilan dan kelahiran merupakan sebab nombor satu kemasukan ke hospital iaitu 19.9 peratus untuk hospital awam dan swasta (Kementerian Kesihatan, 2016).

Statistik penjagaan kesihatan terpilih di bawah boleh menjadi ukuran bagi mengukur kedudukan Malaysia.









Keuntungan, subsidi atau tanggungjawab kerajaan


Wujud debat berterusan sama ada penjagaan kesihatan ialah tanggungjawab individu atau kerajaan. Mudah untuk menuduh individu tidak mengambil berat akan kesihatan mereka

sedangkan kerajaan sudah sedaya upaya melakukan yang terbaik dalam memastikan perkhidmatan pada tahap terbaik. Bagaimanapun, seseorang yang mempunyai kesedaran penjagaan kesihatan yang tinggi tidak akan mampu melakukan apa-apa sekiranya persekitaran kesihatan awam yang disediakan tidak mempunyai piawaian kualiti yang baik. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kualiti terbaik bekalan air bersih, program imunisasi yang menyeluruh, makanan sihat dan penginapan mampu milik, dan pelbagai lagi isu alam sekitar dan persekitaran kita.

Satu lagi perbincangan yang wujud ialah sama ada perbelanjaan kerajaan terhadap penjagaan kesihatan ialah satu bentuk subsidi atau hanya sekadar pelepasan tanggungjawab kerajaan. Sekiranya kita bersetuju yang ia merupakan salah satu tanggungjawab utama kerajaan, kita perlu mula menggunakan terma yang tepat untuk melabel perbelanjaan penjagaan kesihatan.

Saya merasakan tidak bertanggungjawab apabila dalam Makmal Rasionalisasi Subsidi PEMANDU, penjagaan kesihatan diletakkan sebagai salah satu perkara dalam program rasionalisasi subsidi.

Identifikasi sebegitu akan menjadikan tanggapan bahawa penjagaan kesihatan ialah satu bentuk subsidi dan bukannya pelaburan atau tanggungjawab kerajaan. Ini pastinya akan memberi kesan tidak baik kepada penjagaan kesihatan.

Jika kita bersetuju yang penjagaan kesihatan ialah tanggungjawab kerajaan, kita perlu mula bertindak ke atas isu-isu lain yang berkaitan seperti penswastaan, kos ubat-ubatan dan perkhidmatan, modal insan dan fasiliti, pentadbiran pihak ketiga dan juga meneroka model lain yang terbukti berjaya dilaksanakan di negara lain dan akhirnya mengenal pasti langkah tepat yang boleh dicontohi dan diteladani.

Penswastaan penjagaan lesihatan dan keuntungan hospital swasta dan GLC

Pada tahun 1983 bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, kerajaan Malaysia melancarkan dasar penswastaan yang membolehkan pihak swasta memainkan peranan lebih besar dengan mengambil alih tanggungjawab kerajaan dalam pelbagai bidang termasuklah penjagaan kesihatan dan pendidikan. Sejak itu kos penjagaan kesihatan meningkat mendadak. Hospital swasta yang secara tradisional dahulunya diuruskan organisasi bukan kerajaan dan badan keagamaan semakin diambil alih oleh pengurusan hospital swasta yang berorientasikan keuntungan. Idea dalam pelaksanaan ini mudah, golongan kaya berkemampuan mendapatkan rawatan di hospital swasta dan ini akan mengurangkan beban di hospital kerajaan yang seterusnya mampu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pesakit kurang berkemampuan.

Bukan itu sahaja, pada tahun 1993 perkhidmatan farmaseutikal bawah Kementerian Kesihatan juga telah diswastakan. Malah, Renong pernah diberikan kontrak jangka panjang eksklusif untuk membekalkan ubat-ubatan sehingga menyebabkan peruntukan pembekalan kerajaan meningkat dua kali ganda untuk tahun berikutnya. Tetapi penswastaan masih diteruskan, dengan perkhidmatan sokongan lain seperti dobi dan linen, pengurusan sisa klinikal, pembersihan, perkhidmatan kejuruteraan dan penyelenggaraan turut diswastakan tiga tahun kemudian pada tahun 1996. Dalam masa setahun sahaja, kos perkhidmatan ini meningkat kepada RM450 juta daripada RM140 juta.

Kesan daripada penswastaan, doktor berpengalaman dan berkelulusan tinggi turut berpindah ke sektor swasta. Dalam masa dua puluh tahun sahaja, sektor penswastaan memiliki dua pertiga keseluruhan pakar perubatan dan pembedahan. Masalah sumber manusia berlaku. Akhirnya masa menunggu dan kualiti perkhidmatan di hospital kerajaan berdepan masalah besar. Terdapat juga yang mengalami tragedi apabila pesakit lambat didiagnosis atau lewat menerima rawatan menyebabkan kematian.

Seperti yang digambarkan sebelum ini, kos penjagaan kesihatan di hospital swasta sangat tinggi. Misalnya, kos bersalin Kelas 1 di hospital awam hanyalah RM800 berbanding kos rawatan sama di hospital swasta yang puratanya mencecah RM3,500-RM6,000. Baru-baru ini, kos ubat-ubatan juga meningkat mendadak kerana pelaksanaan GST. Dalam sektor swasta, kos GST dipindahkan kepada pesakit kerana ia tidak diserap oleh institusi perubatan swasta.

Kita perlu mengenal pasti kos sebenar penjagaan kesihatan. Mengapa perlunya permit kelulusan untuk ubat-ubatan? Mengaut keuntungan melampau tidak boleh dibenarkan terutama sekali untuk konglomerat gergasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) seperti Sime Darby, Pantai, Khazanah, KPJ dan lain-lain yang memegang lebih 40 peratus jumlah katil di hospital swasta.

Kesan penswastaan kepada sektor penjagaan kesihatan yang berlaku mendesak wujudnya penilaian semula dasar penswastaan. Kerajaan memakai tiga topi, sebagai pembekal penjagaan kesihatan awam, sebagai penggubal dasar, serta pelabur untuk mengaut keuntungan penjagaan kesihatan yang nyata mempunyai kepentingan yang bertentangan.

Permintaan dan pembekalan Insurans serta perbelanjaan pentadbiran pihak ketiga

Mandat penswastaan penjagaan kesihatan ialah untuk memindahkan beban penjagaan kesihatan kepada pihak swasta. Pada masa yang sama sebuah model kewangan perlu dirangka bagi menangung kos dan industri insurans telah menjalankan peranan mereka dengan baik setakat ini. Dianggarkan kos untuk menginsuranskan semua rakyat Malaysia pada kadar minimum premium bagi menanggung kos rawatan di hospital ialah RM30 bilion setiap tahun.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah pemegang polisi insurans telah meningkat dan lebih banyak hospital swasta ditubuhkan. Dengan pembentukan permintaan dan bekalan ini, secara logiknya kos penjagaan kesihatan sewajarnya menurun. Bagaimanapun, ini tidak berlaku. Kalau dahulu, peningkatan mendadak kos perkhidmatan penjagaan kesihatan dan harga ubat-ubatan boleh diperhatikan dengan jelas. Tetapi kini permintaan baru terbentuk. Penyiasatan berlebihan, rawatan berlebihan, dan dalam sesetengah kes; penyiasatan klinikal yang tidak diperlukan dilakukan di hospital swasta. Amalan ini menyebabkan lambakan bekalan naik mendadak.

Wujud juga keperluan untuk menilai kembali bayaran tinggi yang dikenakan oleh pakar-pakar kita. Secara purata daripada bil rawatan hospital standard, nisbah antara bayaran kepada hospital termasuk kos perubatan, peralatan, alatan pakai buang dan penjagaan jururawat hanyalah pada nisbah 60 peratus, selebihnya ialah bayaran kepada doktor pakar. Bayaran kepada mereka mengikut peraturan dalam Jadual Bayaran Ke-13 perlu dinilai kembali secepat mungkin.

Seperti industri lain, kos penjagaan kesihatan juga tinggi kerana kewujudan orang tengah yang sebenarnya tidak perlu, dikenali sebagai Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) atau dikenali juga sebagai Organisasi Pengurusan Penjagaan (MCO). Tugas mereka ialah menawarkan pentadbiran luaran antara pembekal perubatan, syarikat dan syarikat insurans. Mereka membantu dalam proses tuntutan, polisi korporat dan peruncitan dan kemudahan kewangan. Pendapatan terbesar mereka wujud dalam bentuk upah atau komisyen ke atas premium, yang dipiawaikan oleh Insurance Regulatory Development Authority (IRDA). Kebanyakan rakyat tidak menyedari bayaran premium tambahan yang dikenakan oleh syarikat insurans untuk perkhidmatan TPA.

Regulasi boleh dikuatkuasakan dengan meminda dan memasukkan peruntukan tambahan ke dalam akta sedia ada seperti Akta Perkhidmatan dan Kemudahan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (PHFSA). Terdapat sekurang-kurangnya 30 TPA/MCO bergiat aktif dalam negara buat masa kini.

Sumber manusia dan kemudahan penjagaan kesihatan Malaysia

Menurut Kementerian Kesihatan (2016), kita mempunyai seramai 46,491 doktor di hospital awam dan swasta; yang memberikan kita nisbah kepada populasi sebanyak 1:656, doktor gigi pada nisbah 1:4,775, ahli farmasi pada nisbah 1:2,900, nisbah pakar optik ialah 1:2,900 dan pakar mata dengan nisbah 1:19,053. Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) menetapkan nisbah 1:400 yang bermakna sasaran seramai 75,000 doktor menjelang 2020. Adakah kita mempunyai hospital latihan yang mencukupi dan bekalan pelajar perubatan yang mencukupi bagi mencapai matlamat itu? Ini bermakna 28,905 doktor baru diperlukan dalam masa empat tahun.

Bagaimanapun Kementerian Kesihatan berkata yang mereka tidak mempunyai kemudahan mencukupi bagi menyerap graduan baru bagi latihan amali dan housemanship. Kerana itu, pengambilan pelajar perubatan baru terpaksa dibekukan. Ini secara tidak langsung bermaksud kita tidak mempunyai hospital yang mencukupi.

Ketika ini terdapat 143 hospital awam dengan 41,389 katil dan 183 hospital swasta dengan 12,963 katil. Oleh kerana 75 peratus penduduk Malaysia memilih hospital awam, ini bermakna sebuah hospital awam perlu memberikan perkhidmatan kepada 157,342 rakyat Malaysia sementara sebuah hospital swasta perlu memberikan perkhidmatan kepada 40,983 rakyat Malaysia.

Kini hanya terdapat 44 hospital latihan. Kekurangan hospital latihan diterjemahkan dalam masa tambahan yang perlu dilalui oleh graduan perubatan sebelum mereka boleh ditempatkan. Pegawai perubatan sedia ada yang terbeban dengan beban kerja berlebihan juga tidak mampu memberikan latihan terbaik kepada graduan baru perubatan.

Tetapi ada jalan keluar. Kita boleh membina lebih banyak hospital latihan, serta kita juga perlu menilai kembali peraturan sedia ada dan membenarkan graduan perubatan untuk menjalani latihan housemanship di luar negara di universiti-universiti yang menerima kelulusan untuk berbuat demikian oleh Kementerian Pendidikan. Klinik di luar bandar juga boleh dinaik taraf untuk menjadi hospital mini yang lengkap dengan doktor berkelayakan. Ini akan meningkatkan penempatan untuk doktor pelatih dan pegawai perubatan.

Saya sentiasa menyokong gaji minimum dan pendapatan yang lebih banyak kepada tenaga kerja.

Walaupun jumlah keuntungan dalam sektor penjagaan kesihatan besar, wang yang diperuntukkan untuk gaji para doktor hospital awam kita hanyalah sebahagian kecil. Peratusan EBITDA/perolehan sektor swasta penjagaan kesihatan Malaysia dianggarkan dalam 35 gperatus sedangkan gaji/perolehan ialah pada kadar 20 peratus. Sekiranya kita membandingkan kadar ini dengan negara maju lain, misalnya di Australia yang berada pada kadar 12 peratus EBITDA/perolehan dan 45 peratus gaji/perolehan.

Akta Penjagaan Mampu Milik dan hospital tak berorientasi keuntungan

Kerajaan Korea Selatan bertindak bijak apabila mereka memilih untuk mempromosikan dasar pencegahan lebih baik berbanding pemulihan. Dalam jangka masa panjang, langkah ini terbukti menjadi penyelesaian yang mengurangkan kos. Kerajaan Korea Selatan akan menyerap keseluruhan kos perubatan untuk rakyatnya dengan syarat mereka melakukan pemeriksaan perubatan setiap tahun tanpa gagal.

Terdapat juga beberapa pilihan lain yang boleh diteroka seperti penubuhan hospital sosial, apabila badan bukan kerajaan menguruskan hospital dalam bangunan yang diberikan kerajaan. Akta baru juga boleh dirangka yang boleh dikenali sebagai “Akta Penjagaan Mampu Milik” yang mewajibkan kerajaan untuk menyediakan penjagaan kesihatan mampu milik. Tindakan untuk menyesuaikan kos insurans premium kepada pendapatan juga boleh diperkenalkan bagi memastikan semua rakyat Malaysia mampu memilikinya.

Muhammadiyah yang merupakan organisasi reformasi di Indonesia menjalankan aktiviti yang menumpukan kepada bidang agama dan pendidikan. Beberapa sekolahnya juga dibuka kepada orang bukan Islam. Ketika ini terdapat 5,754 sekolah di bawah pengurusan Muhammadiyah. Usaha terbaru mereka ialah menguruskan klinik dan hospital perubatan yang tidak berorientasikan keuntungan. Ketika ini, mereka memiliki ratusan klinik dan hospital perubatan di Indonesia.

Memandangkan 19.9 peratus kes rawatan hospital berkaitan dengan kehamilan, kita boleh bermula dengan mewujudkan rangkaian hospital materniti dan kanak-kanak pada harga mampu milik.

 Hospital ini akan memberikan perkhidmatan berkaitan dengan capaian yang lebih luas. Kita boleh mewujudkan rangkaian hospital ini di lot-lot kedai. Hospital ini perlu dioperasikan oleh badan bukan beroerientasikan keuntungan atau koperasi.

Karnataka, sebuah negeri di selatan India menjadi pemacu penjagaan kesihatan mampu milik apabila memperkenalkan Skim Kesihatan Yeshasvini, sebuah skim untuk penduduk luar bandar menggunakan penjagaan kesihatan berkualiti dengan harga hanya RM0.30 (5 Rupees) setiap bulan. Skim ini memberikan perundingan pesakit luar percuma dan lebih 1,700 jenis pembedahan yang semuanya percuma! Dalam masa tujuh bulan selepas dilancarkan, lebih 5,000 orang petani menjalani pelbagai jenis pembedahan dan 23,500 petani menerima perundingan perubatan sebagai pesakit luar.
Penjagaan kesihatan tanggungjawab bersama

Menurut Laporan Isi Rumah Negeri II yang dikeluarkan pada Ogos 2016 oleh Khazanah Research Institute (KRI), kebanyakan isi rumah terutama di kawasan bandar tidak mampu untuk menanggung diet yang mencukupi nutrisi selepas mengambil kira perbelanjaan lain yang perlu dikeluarkan. Ini secara langsung memberikan kesan kepada situasi kesihatan mereka. Ini merupakan cerminan yang banyak perkara yang secara tidak langsung memberi kesan kepada penjagaan kesihatan. Maka, penjagaan kesihatan bukanlah tanggungjawab mutlak Kementerian Kesihatan, tetapi tanggungjawab bersama setiap rakyat Malaysia.

Kutipan kolektif cukai persendirian, cukai hartanah, cukai barangan dan perkhidmatan, cukai jalan dan pelbagai dana yang dikutip daripada masyarakat, perlu diterjemahkan kepada manfaat rakyat. Wang yang dikutip oleh kerajaan perlu dipindahkan kembali kepada dua tanggungjawab utama kerajaan- kesihatan dan pendidikan. Bajet perlu diperuntukkan kepada aktiviti dan program perubatan. Ini akhirnya akan membawa banyak faedah kepada kerajaan, memastikan tenaga kerja yang berterusan sihat dan produktif, yang akhirnya menyumbang kepada ekonomi negara.

Di masa depan, bayaran kepada doktor tidak sewajarnya berasaskan kepada perkhidmatan yang diberikan, seterusnya akan mengelakkan penyiasatan dan rawatan tidak diperlukan.

Ketidaksamarataan pendapatan antara kakitangan sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta perlu dirapatkan. Sangat mustahak untuk negara melabur lebih dalam kemudahan kesihatan awam dengan menggandakan jumlah pegawai perubatan kita, hospital dan hospital latihan dalam jangka masa sepuluh tahun akan datang. Penswastaan perlu dinilai semula, insurans penjagaan kesihatan kebangsaan untuk golongan miskin perlu ditubuhkan, penilaian pengurangan kos untuk rangkaian penjagaan kesihatan menyeluruh, pembentukan hospital tidak berorientasikan keuntungan, sistem penilaian prestasi penjagaan kesihatan kebangsaan dan lebih banyak program kesedaran kesihatan perlu diperkenalkan.

Saya sentiasa menyokong sepenuhnya bahawa kerajaan bertanggungjawab menyediakan penjagaan kesihatan dan pendidikan yang mencukupi kerana kedua-duanya ialah hak asasi paling asas yang diperlukan untuk membentuk dan memajukan sebuah negara. Masyarakat yang sihat dan berpendidikan ialah tulang belakang mana-mana negara maju. Keduanya merupakan pelaburan penting yang perlu dilakukan kerajaan. Penilaian kembali yang lebih menyeluruh untuk sistem dan industri penjagaan kesihatan, dan pengukuran prestasi penjagaan kesihatan ialah sangat mustahak dan penting demi masa depan kita. Asasnya, sesuatu perlu dilakukan secepat mungkin. Marilah bersama-sama bertindak dengan segera atau sistem penjagaan kesihatan Malaysia akan gagal.

ANAS ALAM FAIZLI memegang ijazah kedoktoran dalam pentadbiran perniagaan. Beliau adalah seorang profesional bidang pembinaan dan minyak dan gas, seorang warganegara Malaysia yang prihatin dan pengarang Rich Malaysia, Poor Malaysians serta bertweet di @aafaizli.

Redah banjir 2 jam bawa anak sakit ke hospital


ANDHRA PRADESH - INDIA. Foto yang memaparkan seorang bapa menjunjung anaknya berusia  enam bulan yang sakit mengharungi banjir selama dua jam untuk mendapatkan rawatan menyentuh hati netizen.

Pangi Satiabu, seorang petani dari kampung Kudumusare Andhra Pradesh di mana banjir besar berlaku menyebabkan hampir semua laluan menghubungkan bandar dan hospital terdekat tersekat menyebabkan dia terpaksa meredah banjir paras leher untuk ke hospital.

Pangi memutuskan untuk membawa anak perempuannya deman teruk selama beberapa hari lalu walaupun dilarang oleh keluarganya kerana bahaya yang perlu dilalui ketika meredah banjir.
Bayi itu kelihatan nyenyak tidur di tangan bapanya itu sepanjang perjalanan.

Memetik CCTV News, bayi berkenaan dimasukkan di Pusat Kesihatan Primer di Chintapalli
Menurut doktor dari pusat kesihatan penjagaan kesihatan, bayi berkenaan masih berada di hospital namun telah melepasi tahap bahaya.‎

"Bayi berkenaan telah diberikan rawatan yang sewajarnya dan berdasarkan pemeriksaan, dia terkena jangkitan virus," kata doktor.‎

Hujan lebat melanda kawasan itu selama 20 hari menyebabkan berjuta-juta penduduka terjejas dan terperangkap.

Tindakan bapa berusia 30 tahun itu mendapat pujian netizen yang menunjukkan kasih sayang seorang bapa kepada anaknya.

"Cinta ibu bapa tanpa syarat, tidak kira kaya atau miskin," tulis netizen.

Jangan ambil ringan sakit dada



GAYA hidup moden serta pemakanan kurang sihat merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada meningkatnya penyakit koronari arteri atau salur darah tersumbat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini terbukti apabila statistik menunjukkan antara 20 dan 25 peratus kematian yang dicatatkan di hospital-hospital kerajaan adalah disebabkan serangan sakit jantung.

Ini ternyata suatu yang amat membimbangkan kerana trend sebegini tidak banyak berubah sepanjang 10 tahun lalu.

Malahan, jumlah pesakit muda yang diserang sakit jantung turut menunjukkan peningkatan, sekali gus membuktikan bahawa corak kehidupan seharian kini boleh dikatakan turut menyumbang kepada peningkatan ini.

Serangan sakit jantung sering kali terjadi apabila pengaliran darah ke dalam jantung tersekat akibat salur darah yang tersumbat kerana kehadiran ‘atherosclerosis’.

Sungguhpun sakit jantung sering diklasifikasikan sebagai ‘penyakit lelaki’ namun kaum wanita juga turut terdedah kepada penyakit ini, terutama mereka yang sudah mengalami menopause.

Selain itu, perubahan gaya hidup dalam kalangan wanita, termasuk merokok dikatakan turut menyumbang kepada berlakunya serangan sakit jantung dalam kalangan kaum berkenaan.

Simptom ketika serangan sakit jantung

Menurut Pakar Jantung dan Perubatan Dalaman Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr Ahmad Maujad Ali, simptom yang paling kerap dialami ketika berlakunya serangan sakit jantung adalah kesakitan pada bahagian dada, terutama di bahagian tengah atau sebelah kiri dada.

Menurutnya, sakit berkenaan boleh juga merebak sehingga ke bahu, lengan, tengkuk, rahang atau bahagian belakang badan.

“Ada kalanya sakit ini boleh disalah anggap sebagai ketidakhadaman atau sakit peptik ulser.
Sesetengah pesakit pula mungkin akan berpeluh dengan banyak, merasa mual serta pening.

“Bagaimanapun, simptom sebegini sering kali tidak hadir apabila ia melibatkan pesakit yang berusia atau mereka yang mengidap penyakit diabetes,” katanya.

Jelasnya, sekiranya seseorang mempunyai simptom sebegini, maka beliau perlulah ke mana-mana hospital berhampiran dengan segera di mana pemeriksaan electrocardiogram (ECG) serta darah boleh dilakukan.

Menurut Dr Ahmad Maujad, pemeriksaan darah yang dikenali sebagai ‘cardiac markers’ itu adalah bertujuan mengesahkan berlakunya serangan sakit jantung serta keseriusannya.

Katanya, ini akan membolehkan rawatan segera diberikan kepada pesakit kerana kelewatan mendapatkan rawatan akan menyebabkan kerosakan lebih teruk terhadap jantung.

Dua kaedah rawatan

Secara umum, terdapat dua kaedah rawatan untuk sakit jantung iaitu kaedah penggunaan ubat-ubatan dan kaedah rawatan ‘invasive’, bergantung kepada jenis serangan sakit jantung serta keadaan kesihatan pesakit.

Bagi kaedah penggunaan ubat-ubatan, pesakit biasanya akan diberi ubat mencairkan darah seperti Streptokinase atau agen antiplatelet seperti Clexane, Fondaparinux, Aspirin atau Clopidogrel.

Bagi kaedah ‘invasive’ pula, kata Dr Ahmad Maujad, ia merujuk kepada prosedur angiogram.

Menurutnya, sekiranya salur darah didapati tersumbat, maka prosedur angioplasty boleh dilakukan, di mana salur darah yang tersumbat akan dibuka menggunakan sejenis belon khas atau stent.
“Bagaimanapun, ada sesetengah pesakit yang mempunyai salur darah tersumbat yang teruk di mana hanya pembedahan pintasan jantung sahaja yang boleh dilakukan,” katanya.

Galak amal gaya hidup sihat

Walaupun setelah melalui proses rawatan, langkah mengawal punca serangan sakit jantung seperti darah tinggi dan diabetes adalah penting.

Selain ubat untuk mengawal kedua punca ini, menurut Dr Ahmad Maujad, pesakit akan turut dinasihatkan supaya menjaga kesihatan jantung mereka dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Menurutnya, adalah juga penting untuk pesakit memahami kepentingan meneruskan pengambilan ubat-ubatan mereka selain pemeriksaan berkala oleh doktor.

“Tiada gunanya mereka memasang stent di dalam salur darah kalau selepas itu gaya hidup mereka tidak berubah kerana ini akan menyebabkan penyakit berkenaan berulang,” katanya.

Malas berdoa sifat orang angkuh

Oleh Prof Dr Muhaya Mohamad 

SELAGI hidup, selagi itu kita tidak akan terlepas daripada menghadapi masalah. Ramai orang apabila ditimpa masalah menjadi tertekan, tidak dapat mengawal perasaan, cepat marah, murung atau kecewa.

Lebih berat lagi apabila kita menyalahkan orang lain sebagai penyebab kepada masalah dan tidak melihat kesilapan diri sendiri. Mulalah kita mengadu atau bercerita mengenai masalah itu dan mengharapkan orang lain memahami, bersimpati malah membantu menyelesaikan masalah kita.

Hal ini berlaku kerana dalam kehidupan ini kita akan temui tiga ragam manusia. Pertama, orang malas berfikir. Kedua, orang berasa dia sudah berfikir. Ketiga, orang yang berasa lebih baik mati daripada berfikir.

Tiga jenis manusia

Hakikatnya dalam kehidupan ini jenis manusia ketiga paling ramai (hampir 95 peratus), yang sanggup menanggung susah begitu lama atau lari daripada memikirkan masalah. Apabila berdepan masalah, adakah kita hendak menghabiskan masa memikirkannya atau mencari jalan penyelesaian?

Golongan 'orang yang jernih' dan bijak, menghabiskan 80 peratus masanya untuk memikirkan jalan penyelesaian. Hanya 20 peratus masa diguna untuk mengikut rentak emosi, memikirkan masalah dan nasib, akibat daripada masalah menimpa hidup.

Orang bijak lagi beriman tidak akan tunduk dengan emosi negatif apabila ditimpa masalah sebaliknya kembali mendekatkan diri kepada-Nya kerana mereka percaya qada dan qadar Allah SWT.

Itulah sepatutnya dilakukan hamba-Nya apabila dibebani masalah, mengadu kepada Allah SWT kerana Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Bijaksana. Allah SWT bersama orang yang dekat dan sentiasa mengadu kepada-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (jawablah) sesungguhnya aku amat hampir: Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul" (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Banyakkan doa

Dekati Allah SWT dengan membanyakkan berdoa kerana doa itu senjata orang Mukmin. Maka berdoalah tidak kira sama ada ketika kita susah atau senang. Hal ini penting kerana sering berlaku masa senang kita lupakan Allah SWT hingga tidak berdoa kepada-Nya.

Masa susah baru ingat Allah SWT dan hendak berdoa hingga mengalir air mata. Ketika itu tidak putus-putus berdoa dengan penuh harapan, mengadu kesusahan dan mohon belas ihsan daripada-Nya supaya dilepaskan daripada masalah yang membebankan hidup.

Jika semasa senang kita tergolong dalam kalangan orang yang sentiasa berdoa, andai ditakdirkan menghadapi kesusahan dan kita berdoa memohon bantuan-Nya, Allah SWT senang hendak memakbulkan doa kita kerana Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati hamba-Nya.

Sesungguhnya doa itu ibadat dan di mata Allah SWT, orang yang tidak berdoa ialah orang sombong kerana berasakan dia tidak bergantung kepada sesiapa pun untuk berjaya sedangkan jika Allah SWT tidak mengizinkan, mustahil kita mendapat apa yang dimiliki hari ini.

Membaca bismillah

Mulakan semua pekerjaan dengan membaca bismillah, berdoa serta berharap yang baik-baik daripada Allah SWT. Kita tidak tahu apakah bahaya yang akan datang, bahkan tidak tahu siapa kawan atau lawan.

Diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: "Berdoalah kamu kepada Allah SWT dalam keadaan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah SWT tidak menerima doa daripada hati yang lalai dan alpa."

Berbaik sangka dengan semua orang di samping berwaspada dan bergantung harap kepada Allah SWT supaya melindungi daripada sebarang kesusahan dan musibah akibat hasad dengki orang yang berniat buruk terhadap kita.

Alangkah ruginya jika kita kurang berdoa terutama selepas menunaikan solat dengan alasan terkejar-kejar urusan duniawi. Antara waktu mustajab doa adalah selesai solat maka ambillah masa untuk beristighfar, berzikir seterusnya berdoa kepada Allah SWT.

Iktibar ajaran Nabi SAW

Ambil iktibar daripada ajaran junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW bersabda kepada Ibnu Abas semasa kecil: "Wahai anak kecil, sesungguhnya aku ingin mengajarmu beberapa kalimah iaitu, jagalah Allah (jaga perintah-Nya) nescaya Allah menjagamu. Jagalah Allah (jaga perintah-Nya) nescaya engkau dapati Dia berada di hadapanmu (menunaikan keperluanmu). Apabila engkau memohon, pohonlah kepada Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, minta tolonglah kepada Allah."

Jangan jemu berdoa kerana doa seseorang mungkin dimakbulkan melalui tiga cara: "Apabila seseorang Mukmin berdoa dengan sesuatu doa, yang tidak ada dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, Allah akan beri salah satu daripada tiga perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan doanya di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberikan balasan pada hari akhirat), ataupun diselamatkan dia daripada keburukan yang seumpamanya."

Lantaran itu bersabarlah apabila berdoa dan terus berdoa kerana ia satu ibadat. Semakin banyak kita beribadah, semakin banyak pahala yang diperoleh,semakin taat kita kepada-Nya.





















Hutan fesyen ada wifi

Masuk hutan tetapi bergaya dengan pakaian cantik persis mengunjungi pusat beli-belah. Malah, boleh memuat naik gambar, video serta status di laman sosial saat berada di dalam hutan berusia 130 juta tahun itu.

Ini tentunya bertentangan dengan ‘etika’ berpakaian ketika menyertai aktiviti penerokaan alam semula jadi terutama di hutan.

Biasanya, gajet terutama telefon pintar pula hanya digunakan sebagai kamera untuk merakam gambar atau video. Jika ingin memuat naik ke media sosial, kita biasanya akan melakukannya selepas ke luar dari hutan.

Bagaimanapun, di Fashion Forest Awana, Genting Highland, penerokaan di dalam hutan dipterokarpa atas (upper dipterocarp) di ketinggian 3,000 meter dari atas laut itu, anda boleh memakai pakaian kasual dan santai.

Anda juga tidak akan terputus dengan talian Internet, malah boleh memuat naik gambar, video dan status di laman sosial pada bila-bila masa.

Hutan ini juga menjadi lokasi ‘Poke Stop’ dan ‘Gym’ dalam permainan Pokemon Go.

“Pokok pun ada rupa sendiri. Ada bentuk sendiri. Flora dan faunanya juga pelbagai dan sangat menarik untuk diteroka,” kata Pengarah Trek Events, Eddie Chan selaku pemandu pelancong alam semula jadi (nature guide) ketika kunjungan penulis ke hutan itu, baru-baru ini.

Apabila alam semula jadi bertemu teknologi, proses penerokaan akan lebih menarik dan mengujakan. Ini sekali gus mendekatkan pengunjung dengan alam semula jadi.

Keterujaan saat menemui pokok, buah, serangga dan haiwan dan terus memuat naik ke laman sosial membuatkan pengunjung dapat segera berkongsi rakan.

Kerjasama Resort World Genting dan Treks Nature membawa alam semula jadi dengan cara bergaya antara faktor kenapa ia dinamakan ‘Fashion Forest’.

Mula dibuka pada 1997, Fashion Forest juga diberi bagi menggambarkan haiwan dan hidupan di hutan itu sebagai ‘supermodel’ manakala pengunjung yang berjalan santai ketika menerokai hutan ini seolah-olah melakukan ‘catwalk’.

Menurut Chan, Fashion Forest bagaikan medan peragaan yang menawarkan pelbagai keistimewaan sukar diperoleh di tempat lain.

“Di sini, warna hutan berlainan, tidak hanya hijau. Flora dan faunanya juga berwarna-warni.

“Haiwan di sini juga pelbagai. Ada lima spesies burung enggang boleh dilihat di sini,” katanya.

Kemudahan Internet tanpa wayar (wiFi) yang disediakan membantu pengunjung ‘melihat lebih banyak, mengetahui lebih lanjut dan menikmati lebih banyak’ keseronokan secara praktikal melalui alat bantuan visual.

Memulakan penerokaan, pengunjung akan menemui lima kawasan di Fashion Forest iaitu Galeri 1, 2, 3, 4 dan 5.

Menuruni anak tangga, pemandangan pokok menghijau menjadi santapan mata cukup mengujakan. Di Galeri 1, pengunjung dapat melihat keindahan pokok tinggi yang mempunyai pelbagai bentuk.
“Kalau kamu perhatikan betul-betul, pokok tinggi di hadapan ini tak sama bentuknya dengan yang di belakang?” tegas Chan walaupun ia spesies yang sama.

Kerana itulah beliau menegaskan pokok juga ada rupa tersendiri.

Tidak ada nama pokok diletakkan kecuali kod bar yang boleh diimbas menggunakan aplikasi yang dimuat naik di telefon pintar. Sebaik diimbas, nama dan maklumat pokok berkenaan akan tertera.

Memasuki Galeri 2, lantai di kawasan itu dibersihkan tanpa tumbuhan bagi membolehkan pengunjung terutama kanak-kanak melihat lebih dekat titik permulaan pertumbuhan pokok.
Beberapa pokok yang sudah mati turut diukir dengan ukiran menarik.

“Di sini, artis boleh mengukir di pokok, tapi mesti di pokok yang sudah reput. Mereka boleh menzahirkan idea dan kreativiti di pokok berkenaan.

“Secara tidak langsung ia dapat memberikan kelainan, sesuai dengan objektif Fashion Forest,” katanya.

Di Galeri 3 pula, kelihatan anak pokok baru tumbuh, sekali gus pengunjung boleh melihat proses pertumbuhan berkenaan.

Tatkala khusyuk mendengar penerangan Chan, rupa-rupanya kami ada pemerhati. Lutung (dusky leaf monkey) comel, tetapi garang antara spesies monyet yang menghuni di sini.

Dari lantai yang bersih, kemudian ditumbuhi pokok kecil, di Galeri 4 pula penuh dengan daun pokok kering.

Di sini, semuanya dikekalkan kerana ia mempunyai kepentingan sendiri terutama dalam proses pembelajaran. Pengunjung boleh belajar mengenai serangga dan macam-macam lagi. Apabila terjumpa buah, kita boleh tahu ia jenis apa berdasarkan pokok di sekelilingnya.

Galeri 5 pula mempunyai pokok besar termasuk yang sudah berusia lebih 130 juta tahun. Namun, disebabkan matahari sudah mula melabuhkan tirainya, kami tidak dapat meneruskan penerokaan hingga ke bahagian lebih dalam.

Sepanjang penerokaan, wifi yang disediakan bagaikan satu bonus. Sedang asyik meneroka, kami sempat memuat naik gambar di laman sosial Instagram dan Facebook.

Hanya beberapa minit selepas dimuat naik, ia mendapat maklum balas luar biasa daripada kawan-kawan. Secara tidak langsung, ia menjadi promosi kepada Fashion Forest.

Di sebelah malam, penerokaan di sekitar Awana Genting diteruskan dengan aktiviti herping. Herping ialah aktiviti mencari reptilia atau mamalia di dalam hutan pada waktu malam.

Diketuai Steven Wong, iaitu Ketua Koordinator untuk Herpetofauna Special Interest Group, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Selangor, kami berpeluang menemui beberapa spesies katak dan cicak di sekitar Awana Genting Resort.

Berbekalkan lampu suluh, berjalan di dalam gelap dengan cuaca dingin cukup mendamaikan. Kaki berjalan manakala mata pula mencari hidupan alam yang aktif pada waktu malam.

Pelbagai spesies katak dapat dilihat, antaranya katak puru sunda, katak rumput, katak sawah hijau, katak pokok berjalur empat dan dark-sided chorus frog. Cicak juga antara hidupan yang ditemui.

Buat duit dengan game

Oleh Afiq Hanif

Industri game di negara ini semakin mendapat perhatian terutama dalam kalangan remaja.
Ramai pemain dan pasukan dibentuk serta bersaing bukan saja di peringkat tempatan namun menempa nama di persada antarabangsa.

Namun, kita perlu bertindak bukan saja sebagai pengguna namun potensi lebih besar iaitu bersedia menjadi pembangun game terbabit.

Di Malaysia, program lima hari seperti Level Up KL menjadi pemangkin kepada anak muda, pembangun game tidak kira bernaung di bawah syarikat atau bergerak bebas untuk menyertai pelbagai aktiviti yang bukan saja sembang kosong tetapi menuntut ilmu dan membuka peluang di peringkat lebih tinggi.

Level Up KL akan berlangsung 5 hingga 9 November ini di Kuala Lumpur yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan turut ditaja Media Prima Digital Sdn Bhd (MPD) dalam usaha melahirkan bakat dan produk tempatan ke peringkat lebih tinggi setaraf pembangun game lain yang popular.

Sejauh mana tarafnya? Sudah pasti di peringkat tertinggi apabila ia menjadi acara Asia Tenggara dan bukan membabitkan seminar semata-mata tapi peluang menjual produk kepada pembangun luar atau memperkenalkan produk kepada penerbit berpotensi.

Selama lima hari, aktiviti dianjurkan begitu menarik minat seperti seminar industri, padanan rangkaian (bertindak sebagai networking) dan perniagaan, Anugerah Game Mudah Alih Antarabangsa SEA (IMGA), SEA Game Jam 2016, padanan projek, pensijilan Unity dan GameFounders Asia - Demo Day.

Pengarah Kandungan Kreatif dan Bahagian Teknologi MDEC Hasnul Hadi Samsudin berkata, ia kali kedua Level Up dianjurkan memandangkan sebelum ini tiada acara khusus untuk pembangun game dan hanya tertumpu pengguna semata-mata seperti Comic Fiesta atau acara e-sukan lain.

“Tiada acara atau program khusus untuk pembangun memasarkan produk mereka,” katanya.
Katanya, Malaysia memerlukan acara berkredibiliti seperti Level Up bagi industri game dan seminar sendiri seperti Persidangan Pembangun Game (GDC) di Amerika Syarikat atau Casual Connect yang paling hampir dengan Malaysia.

“Fokus banyak kepada pengguna dan tumpuan perlu diberikan kepada pembangun game sama ada mereka mempunyai syarikat atau pembangun bebas,” kata Hasnul.

Level Up KL mempunyai dua fokus utama iaitu SEA Game Jam iaitu pertandingan membangunkan game dalam masa 48 jam secara berkumpulan tidak kira sama ada dari Malaysia atau negara Asia Tenggara lain.

Selain itu, kami mempunyai IMGA yang sudah bertapak lebih 11 tahun dan MDEC membawanya secara eksklusif ke Malaysia.

“Pengadil akan datang dan memilih aplikasi game mudah alih terbaik di peringkat Asia Tenggara selepas mereka bermain sendiri game terbabit,” katanya.

Malah, MDEC turut menawarkan pensijilan game Unity bagi memberi pengiktirafan antarabangsa sebagai pakar dalam pembangunan aplikasi game yang tiketnya juga ditawarkan bersama Level Up pada harga murah.

Level Up sebelum ini mendapat sokongan padu daripada pembangun Indonesia.

Menariknya juga, antara pemenang pada salah satu acara tahun lalu memperoleh geran Cabaran Pencipta Harta Intelek (IPCC) bagi memperkasakan produk mereka.

“Hadir ke Level Up dan memperoleh geran IPCC berjaya membuktikan produk mampu ke pergi jauh ke depan,” katanya.

Kenapa pembangun perlu menyertai Level Up?

“Ia acara khas untuk pembangun game dengan tema ‘Level Up Locally Growing Globally’, inisiatif MDEC dalam menaik taraf keupayaan mereka,” kata Hasnul.

Ia platform sesuai untuk belajar, mencipta hubungan rangkaian dan menjual produk masing-masing memandangkan Level Up acara bersifat serantau dengan kehadiran nama besar seperti EA, Sony, Ubisoft dan Bandai Namco.

“Mereka mungkin mencari pembangun untuk membangunkan sesuatu iaitu vendor mereka,” katanya.
Katanya, syarikat gergasi ini mempunyai akses kepada peserta Level Up dan mampu melihat keupayaan syarikat tempatan.

“Mereka juga akan memberi seminar dalam beberapa siri khas,” kata Hasnul.

Sehingga kini, Level Up mengesahkan 35 penceramah dan masih menyasarkan sehingga 50 lagi bagi sesi seperti panel perbincangan atau ‘keynote’.

“Kami sasarkan sekurang-kurangnya 400 pembangun hadir.

“Tahun lalu kami mencatatkan lebih 450 peserta namun kami tidak boleh membuka lebih banyak ruang kerana mahu pembangunnya mendapat sesi lebih rapat dengan aktiviti yang ada,” jelas Hasnul.
Terdapat 60 pembangun dan penerbit berstatus MSC yang ada di Malaysia sekarang namun lebih 700 penggiat industri berada di Malaysia.

“Lebih ramai lagi hanya sebagai pencinta game sebab itu kami mahu mereka ini melangkah ke perniagaan,” katanya.

Hasnul berkata, pencipta game sangat teruja membangunkan game namun ramai tidak mengambil peluang perniagaan hasil game terbabit.

“Ya, kamu boleh buat game yang bagus tapi jika tiada pelan perniagaan, anda tidak boleh membawa game anda ke lonjakan berikutnya sebab itu wujudnya Level Up ini dan aktiviti lain seperti GameFounders,” tegas Hasnul.

MDEC menawarkan mentor juga bagi membolehkan mereka sedia untuk maju.
“Syarikat game bukan lagi game saja tapi menjadi syarikat analisis data yang boleh membaca data pengguna dan melihat peluang menghasilkan pendapatan daripadanya,” kata Hasnul.

Ramai yang berupaya mencipta game tapi ramai yang tidak tahu menarik perhatian pengguna membayar sesuatu daripada game terbabit. Akhirnya pengguna bermain secara percuma saja.

“Kami mahu mereka faham bagaimana buat duit daripada game ini kerana ramai pengguna tak mahu membayar untuk game tapi ada syarikat tempatan yang berjaya membuatkan pengguna bayar secara berterusan untuk game dibangunkan,” jelas Hasnul.

MDEC juga kini dalam proses membuka hab Level Up di Kuala Lumpur sebagai pusat komuniti untuk pembangun game yang dilengkapi akses teknologi dan program mentor.

“Kalau anda bersedia atau mahu menjadi sebahagian pencipta game, sertai kumpulan di Facebook terlebih dulu seperti GameJam Collective Malaysia dan Game HQ untuk menyertai perbincangan dan mempelajari selok-belok mengenai pembangun game,” kata Hasnul.

Aksi mendebarkan di jalan raya

Tidak berputus asa menghasilkan karya terbaik, Pekin Ibrahim berharap filem kedua arahannya, KL Wangan mampu berdiri setanding filem antarabangsa.

Malah dia yang turut beraksi dalam filem itu mahu taruhan terbarunya berjaya menembusi pasaran luar negara dan meraih penghargaan seperti karya terdahulu, Mat Moto.

Bertemu di lokasi penggambaran KL Wangan baru-baru ini, Pekin berkata, dia bersyukur filem itu mendapat sokongan dan tajaan penuh Volkswagen Malaysia.

Baginya satu penghargaan yang tidak ternilai apabila syarikat pengeluaran kereta antarabangsa memandang karya seni anak tempatan.

Malah bajet filem yang kini melebihi RM5 juta tidak menjadi masalah buat penaja untuk terus menyalurkan dana.

“Syukur, mereka percayakan saya. Justeru, saya kena bekerja lebih keras bagi memastikan penggambaran filem ini berjalan lancar.

“Insya-Allah penggambaran akan berakhir sekitar dua bulan. Soal kos saya tidak mahu lokek dan apa sahaja diperlukan kru produksi saya cuba penuhi kerana mahu setiap babak yang dihasilkan nampak lebih realistik.

“Jika di Hollywood ada Fast and Furious, saya di Malaysia pula ada KL Wangan. Wangan saya ambil sempena nama perlumbaan kereta yang sudah lama menjadi kegilaan masyarakat Jepun.

“Banyak kajian saya lakukan untuk menghasilkan filem ini. Malah saya sedang menyenarai pendek pelakon undangan dari Hollywood untuk tampil sebagai cameo.

“Andai perlu ke Los Angeles untuk merakamkan babak membabitkan pelakon itu, tidak mustahil saya dan kru akan ke sana,” katanya yang berpuas hati dengan pembikinan filem itu.

Meskipun berdepan banyak dugaan, Pekin gembira dikelilingi tenaga kerja profesional. Malah masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan sehingga memudahkan segala urusan.

“Saya tahu bukan mudah menguruskan ramai kru. Filem ini menggunakan kepakaran 40 kru, 10 pelakon lagak ngeri dan 20 pelakon aksi gaduh.

“Satu cabaran besar apabila saya perlu memastikan ia berjalan lancar. Namun saya bersyukur setiap mereka tahu kerja masing-masing. Malah kami akan sama-sama berbincang bagi memastikan setiap babak dapat dihasilkan sebaik mungkin.

“Menariknya, menerusi filem ini saya menggunakan kamera jenis Phantom. Saya bawa jurukamera dari Singapura untuk menguruskan kamera ini. Setiap hari tiga kamera kami gunakan bagi mendapatkan sudut yang menarik dan realistik.

“Babak berlumba di jalan utama yang banyak kereta juga tidak mudah untuk kami. Saya perlu memastikan tiada aksi kemalangan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar meskipun babak berkejar di sekitar jalan di Pavilion dan KLCC hampir berlaku kemalangan,” katanya.

Sambung Pekin, dia tidak salah memilih barisan pelakon kerana semuanya profesional.

Malah, Faizal Hussein sendiri banyak melakukan aksi lagak ngeri tanpa menggunakan khidmat orang lain.

“Saya kagum dengan semangat setiap pelakon dalam menjayakan filem ini. Masing-masing komited dan bersungguh.

“Abang Faizal misalnya, saya tidak menyangka dia mahu lakukan sendiri babak aksi. Pada mulanya bimbang juga tetapi saya akur apabila dia cakap mahu cabar diri,” katanya.

Pekin berkata, boleh dikatakan semua jenis kereta ada dalam filem ini. Justeru, dia berharap semua pelumba atau penggemar kereta akan berpuas hati menonton filem itu nanti.

Sinopsis

Mengisahkan Hong dan Yudi yang ada sejarah yang panjang dalam perlumbaan drag. Mereka bermula dari bawah hinggalah mendapat kepercayaan memandu kereta berkuasa besar.

Selepas sekian lama tidak menyertai sebarang perlumbaan berikutan sibuk dengan perniagaan masing-masing, mereka bertemu di jalan raya. Ketika berlumba, Hong kemalangan.

Hong cuba mencari pemilik kereta yang menyebabkan dia kemalangan tanpa menyedari kereta itu sebenarnya milik Yudi.

Bermulalah pelbagai agenda dan pergelutan yang akhirnya menemukan mereka dengan Ejay. Siapakah Ejay? Apakah kaitan Ejay dengan Hong dan Yudi?

Bila dunia terbalik

Sebuah kafe di Jerman semakin terkenal di media sosial kerana mempunyai konsep unik yang memaparkan segala-galanya dalam keadaan terbalik.

Kafe Toppels yang terletak di pinggir jalan di Wertheim itu dibuka awal tahun ini dan mendapat sambutan hebat daripada pelancong yang begitu teruja melihat konsepnya yang unik dan mengagumkan itu.

Selain hiasan dalamannya yang mengelirukan, kedudukan kafe itu juga terbalik apabila atapnya berada di bawah sementara sebuah kereta yang tergantung dalam keadaan agak berbahaya diletakkan di bahagian atas bangunan itu.

Kafe itu milik keluarga Toppels dan semua barangan yang diletakkan terbalik itu juga kepunyaan mereka.

Dalam bilik mandi, singki, tandas dan tab mandi semuanya dalam keadaan kucar-kacir, sekali gus memberi kelebihan kepada pengunjung untuk mengambil gambar dalam keadaan terbalik dengan kepala mereka seakan masuk ke dalam tandas.

Di dapur pula, buah-buahan yang diletakkan di atas meja seolah-olah tergantung manakala di bilik tidur kanak-kanak sebuah kit lumba kereta melekat pada lantai.

Jadi tidak hairanlah, kafe itu menjadi pilihan pengunjung terutamanya yang gemar berselfie supaya kelihatan seperti mereka berdiri di atas siling.

Tonton dengan Orion

Peranti realiti maya (VR) semakin mendapat tempat di hati pengguna teknologi sebagai aksesori tambahan hiburan telefon pintar mereka setakat ini.

Malah, harga yang semakin merudum menjadi pemangkin semangat untuk mendapatkan set VR berbanding setahun dua dulu.

Penguji berjaya memperoleh Orion S1 yang mempunyai harga patut iaitu hanya RM288 saja malah lebih murah jika anda melihat beberapa laman e-dagang di Malaysia.

Cara gunanya hampir menyamai Google Cardboard apabila anda memerlukan telefon pintar untuk dimuatkan di ruang depan, tetapi kaedah memasukkannya sangat mudah dengan satu klip saja pada skrin depan.

Dari aspek rekaan, ia nampak seakan-akan agak terlalu plastik, tetapi dengan keupayaan menyokong telefon bersaiz 4.6 inci hingga 6.2. inci memang berbaloi memilikinya.

Bersaiz 240 x 180 x 100mm, Orion S1 mempunyai butang tambah tolak di atas skrin bagi memudahkan pengguna zum masuk atau keluar mengikut keselesaan sudut pandangan mata sendiri.

Jangan risau dengan bunyi bising kerana set VR ini mempunyai fon telinga sendiri yang disambungkan ke telefon meskipun sudut pasangnya mungkin sedikit kurang selesa namun ia bukan masalah besar.

Orion S1 juga mempunyai pembesar suara stereo yang terletak di sisi fon telinga sekiranya pengguna memilih untuk mahu audio kuat.

Terdapat butang OK untuk memilih kandungan yang terpapar di skrin manakala butang ‘Volume Down’ boleh digunakan sebagai ‘rewind’ atau ‘skip’.

Sudut ruang kepala boleh diselaraskan mengikut keselesaan, tetapi kalau anda sayangkan rambut, memang sukarlah menggunakannya.

Penguji mendapati set ini lebih sesuai untuk menonton video secara lebih dekat dan aplikasi juga memerlukan sedikit penambahbaikan dari aspek kandungan.

Selepas menonton melebihi 40 minit, penguji mencabut set VR ini dari kepala dan berehat sebentar sebelum menyambung kembali siri yang digemari.

Mungkin itulah yang patut anda lakukan apabila menggunakan mana-mana set VR bagi mengelakkan mata dan minda terlalu ‘stress’.

INFO
ORION S1
- HARGA: RM288
- PENGEDAR: ECS ICT Berhad
- CIRI: Set VR
- PRO: Harga murah
- KONTRA: Rekaan

Lagi banyak tahu, lebih banyak anda tak tahu

Oleh Azizi Ahmad

Adakah anda perasan bagaimana lebih banyak anda belajar, lebih banyak anda menyedari betapa sedikit yang anda tahu? Ini adalah sebahagian daripada pandangan dan pemikiran yang dikaitkan dengan Socrates dan Plato.

Tidak kisah lah siapa yang memberi kenyataan tersebut, yang penting adalah kenyataan tersebut telah di nyatakan dan perlu difahami.

Socrates pernah berkata “ouk imae idenai, ah mae oido” yang bermaksud “lagi banyak anda tahu, lagi banyaklah anda tahu yang anda tidak tahu”.  William Blake menyatakan dengan lebih baik: “Lagi luas pulau pengetahuan saya, lagi luaslah pantai kejahilan saya”.

Tidak kira dimana, samada pendidikan di Malaysia atau di mana sahaja di dunia, mereka yang memiliki kertas kelayakan yang lebih tinggi akan menjadikannya seseorang lebih berpengetahuan dan dipandang hebat.

Ia merupakan impian semua untuk mempunyai PhD sebagai keperluan untuk laluan kerjaya. Ahli politik dan tokoh pendidikan menggesa rakyat Malaysia untuk mendapatkan ijazah sarjana muda dan juga ijazah berganda demi masa depan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Para graduan juga tahu bahawa mempunyai ijazah sarjana muda tidak mencukupi, mereka mesti meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Persoalannya, adakah mempunyai dan memperolehi  tambahan kelayakan pendidikan itu lebih baik dan menjadikan seseorang itu lebih terlihat keintelektualannya? Dengan kos tuisyen dan pengajian yang melambung, kita hanya mampu memikirkan samada pengetahuan dibilik darjah diperlukan atau boleh digunakan untuk pelaksanaan dialam pekerjaan dan menjadi satu keperluan atau hanya sekadar mempelajarinya.

Ramai mahasiswa meneruskan pengajian tanpa menerokai pasaran kerja dan mendapat pengalaman dunia sebenar. Mereka memilih untuk meneruskan persekolahan dan menambah hutang yang disebabkan oleh kekurangan prospek pekerjaan dan berfikir bahawa laluan yang terbaik untuk mereka menambah kertas kelayakan. Mereka merasakan dengan lebih kelayakan boleh memberikan mereka kelebihan yang mereka perlukan untuk mengetepikan persaingan dan mereka mungkin betul.

Pemegang ijazah sarjana muda kini menyeragamkan keperluan pendidikan asas, dengan mengambil  ijazah lanjutan, dan secara tidak langsung mendiskaunkan nilai ijazah sarjana muda dan diploma.

Kita tidak boleh membuat anggapan bahawa, ‘lagi tinggi kelayakan pendidikan seseorang itu, lebih hebatlah seseorang itu’. Apa yang penting ialah kualiti pendidikan dan ilmu pengetahuan serta kebolehan seseorang itu mengikut keadaan dan persekitaran dan mampu menterjemahkan apa yang dipelajari .

Namun tanpa pendidikan tertinggi tentunya mengambarkan ketidakupayaan dan kekurangan, lebih lagi dalam pelbagai kerjaya seseorang, terutama dalam era teknologi yang memberi kesan terhadap pasaran tenaga kerja kolar putih.

Bagi mereka yang tidak takut untuk meneroka dan belajar, dasar pemikiran atau paradoks ini akan menjadi jelas. Hasrat dan keinginan anda untuk memperolehi dan mendapatkan pengetahuan akan menjadikan anda sangat kecewa. Setiap perkara yang baru anda pelajari akan membawa anda ke satu lagi perkara yang baru, dan seterusnya.

Lebih banyak anda dimaklumkan, lagi banyak perkara yang tersembunyi yang perlu dicari dan didedahkan.

Adalah mustahil untuk mengetahui segala-galanya dan yang menjadikan kehidupan begitu menarik.
Ia juga menjadi penyesalan terbesar bagi diri kita kerana tidak mengetahui apa yang boleh dipelajari jika kita masih hidup lebih lama.

Tiada apa lagi yang menyedihkan dan dikesalka , tetapi jika memang benar apa yang mereka katakan tentang kehidupan. Sambil kita melopong , kita imbas kembali  semua perkara yang telah kita pelajari.

Dengan sukan mudah jadi jutawan

Oleh Ahmad Salim Bachok

Seorang rakan berseloroh dengan saya berkata bahawa di negara kita sekarang, untuk menjadi jutawan adalah lebih mudah berbanding beberapa tahun dulu. Menurutnya, dulu hendak menjadi jutawan perlu berniaga. Selepas agak berjaya dalam perniagaan dan mahu menjadi kaya atau jutawan, seseorang perlu menyertai politik.

Maka ahli perniagaan yang berjaya dan kaya-raya, menurut kawan saya ini, adalah ahli perniagaan yang juga ahli politik yang berjaya. Tetapi menurutnya, ada juga jalan singkat untuk menjadi jutawan ketika itu. Seseorang itu hanya perlu mempunyai nasib atau tuah, iaitu dengan membeli loteri yang menawarkan hadiah utamanya sejuta ringgit, katanya sambil ketawa.

Sekarang, untuk menjadi jutawan adalah lebih mudah. Beberapa tahun lalu ada beberapa siri realiti televisyen yang menawarkan hadiah sejuta ringgit. Kalau tidak silap ada seorang lelaki Melayu telah memenanginya.

Selepas itu, satu lagi siri permainan di televisyen berhadiah sejuta ringgit, Who Wants To Be A Millionaire? telah menjadi rancangan televisyen paling diminati di negara kita ketika itu. Saya tidak pasti adakah antara pesertanya yang menjadi jutawan melalui rancangan yang dihoskan Datuk Jalaluddin Hassan itu.

Tetapi kini peraduan atau cabutan bertuah berhadiah sejuta ringgit bukan lagi sesuatu yang aneh atau luar biasa. Dari semasa ke semasa, dalam usaha untuk meningkatkan jumlah penyimpan dan simpanan, beberapa bank terkemuka tanah air menawarkan pelbagai hadiah bernilai jutaan ringgit kepada pelanggannya.

Bagaimanapun, institusi simpanan yang paling terkenal dengan hadiah sejuta ringgit dan pelbagai hadiah lumayan lain tentu sekali Skim Simpanan Premium, iatu satu produk Bank Simpanan Nasional (BSN).

Terkini dan paling sensasi adalah tiga jutawan jaguh paralimpik kita yang bukan sahaja menerima RM1 juta setiap seorang, tetapi turut menerima pelbagai hadiah bernilai lain seperti kereta dan kediaman, ihsan kerajaan negeri dan syarikat korporat yang prihatin dan menyokong kejayaan di peringkat dunia insan istimewa ini.

Sesungguhnya pencapaian tiga pingat emas itu adalah yang terbaik buat skuad olahraga sepanjang Malaysia menyertai temasya Sukan Paralimpik. Menurut ketua jurulatih negara bagi atlet berkenaan, R Jaganathan, kejayaan itu adalah hasil kerja keras dan pengorbanan atlet terbabit.

Maka ia sewajarnya diraikan oleh setiap rakyat negara ini. Justeru pelbagai hadiah lumayan yang diberi adalah manifestasi kegembiraan serta penghargaan setiap kita kepada kejayaan mereka di Rio.
Saya melihat sikap kita dalam menghargai kejayaan individu di dalam dunia sukan sebagai sesuatu yang amat positif. Kalau dulu sukan mungkin hanya dilihat dari sudut patriotisme dan sesuatu yang mampu menyatukan pelbagai kaum di negara ini, kini ia melangkah setapak lagi sebagai sesuatu yang mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang cemerlang, selain mengharumkan nama negara.

Sesungguhnya di negara lain terutamanya di negara barat seperti Amerika Syarikat dan Eropah, sukan adalah kerjaya pilihan yang sangat lumayan dan memberi nilai ekonomi tinggi kepada sesuatu negara itu. Malah, trend atau kecenderungan ini turut berlaku di beberapa negara Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan China. Kini beberapa pemain golf terkemuka Thailand, Taiwan dan Filipina dianggap antara individu berpendapatan paling tinggi di negara mereka.

Bercakap mengenai golf, saya masih terbayang-bayang kehebatan Rory McIlroy melakukan birdie pada pertarungan playoff menentang Ryan Moore yang berlangsung di Atlanta, Georgia pada pagi Isnin lalu itu telah menobatkannya sebagai juara di Jelajah PGA AS serta meraih bonus Piala FedEx yang bernilai RM41.2 juta.

Dia turut menerima hadiah kejohanan sebanyak RM6.32 juta di kejohanan itu. Bayangkan, untuk satu kejohanan itu Rory menerima habuan sebanyak RM47.5 juta

Untuk rekod, sejak mula menjadi pemain golf profesional, Rory berjaya memenangi RM258 juta wang tunai hadiah kejohanan. Selain itu, dia turut menerima wang penajaan jenama produk sebanyak RM603.6 juta, menjadikan pendapatan pemain golf Ireland Utara berusia 27 tahun ini sebanyak RM861 juta setakat ini!

Kerana itulah saya ingin menganjur agar kejayaan pemain golf nombor tiga dunia ini dijadikan pendorong utama kepada setiap atlet di negara ini, terutamanya pemain golf kita. Mungkin nampak sukar, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil kerana Malaysia memiliki lebih 200 padang golf bermutu tinggi yang tentunya mampu melahirkan ramai pemain golf terbaik.

Setidak-tidaknya kita mampu menyaingi kemampuan Korea Selatan dan Thailand yang telah melahirkan begitu ramai pemain golf terkemuka lelaki dan wanita yang meraih kejuaraan di pelbagai kejohanan di peringkat dunia.

Dikatakan juga, oleh kerana biaya untuk bermain golf di Korea adalah terlalu mahal, ramai jaguh golf lelaki dan wanita negara itu dikatakan mendapat latihan awal mereka di beberapa padang golf di negara ini. Jadi, mana perginya jaguh golf kita?

Aku lepaskannya dengan tawakal

KARYA : NURUL FATIHAH TUAN MAT

“Saya minta maaf... saya tak dapat teruskan.” Auliya melangkah pergi. Meninggalkan Adam termangu sendirian. Langkah yang pada mulanya perlahan makin laju dan akhirnya bertukar makin meluas. Waja kelabunya pantas dipecut keluar dari ruang legar Pacific.

Air mata yang tertahan tadi akhirnya rakus membanjiri relung wajah. Hati tak henti istighfar dan mendesis agar bersabar. Ikhlaskan dia Liya....

Adam memandang cincin belah rotan di hadapannya. Lama dia begitu. Terbersit kecewa dihatinya.

Auliya, kenapa denganmu sayang? Adam meneguk Mocha dua tiga kali. Ingin mengembalikan fikiran pada dunia nyata. Rasa terberkas pedih bila melihat Auliya meletakkan cincin pertunangan mereka di atas meja hadapan matanya. Auliya akhirnya menarik diri. Maafkan aku Auliya.

Enjin kereta dimatikan dan lama dia merenung stereng. Air matanya terus mengalir dan mengalir. Pedihnya hati saat melepaskan cincin belah rotan tu hanya Tuhan yang tahu. “Ikhlaskan hati Liya.... dia bukan jodohmu.” Kalaulah aku tak kenal dia.

Adam menyentuh cincin belah rotan yang masih belum terusik di depannya dengan hujung jari. Terasa hati disiat dan dicincang lumat. Adam meneguk pula Mocha yang hanya tinggal suku cawan. Kenapa ni Auliya.  Liya kata Liya akan sabar. Ya ALLAH.... Adam meraup wajah.

Auliya menyentuh jari manisnya. Hanya sebulan sahaja lagi mereka bakal disatukan.  Tapi mana mungkin dia mampu meneruskan perkahwinan mereka andai, hurmmm.... hati tak mampu meneruskan ayat yang bersambung. Dipandang keluar tingkap. Ceria kanak-kanak perempuan menghayun buaian dengan menguis tanah menggunakan hujung kaki. Janganlah kamu dewasa anak riang, andai dewasa kamu banyak luka sepertiku.

Adam menolak kerusi ke belakang. Lengan kemeja yang dipakai terus dilipat hinga ke siku. Tali leher dirungkai melepaskan kelemasan yang ibarat tersekat di anak tekak.  Perkara ni harus selesai. Hati dan fikiran sama-sama penat dan pedih.
**
“Apa Liya dah buat ni?!!! Liya nak kami malu??!!!,” suara Puan Ruzana bergema. Auliya mengokoi ke bawah. Matanya di tahan dari berair. Abah memicit-micit dahi. Muka abah merah menahan marah yang kian panas. Auliya meramas hujung baju. Mencari kekuatan sebalik setiap kemarahan.

“Nanti ibu selesaikan dengan mak ayah Liya.  Mungkin Liya ada sebab kenapa dia lakukan ini semua.” Puan Aisya memandang Adam dalam-dalam. Hatinya turut terkejut bila Adam meletakkan cincin pertunangan Auliya depannya. Namun dia kenal Auliya. Budak tu membesar depannya. Depan matanya. Baik buruk Auliya ada kemas dalam poket dia. Auliya matang dalam setiap keputusan. Bukan jenis budak yang terburu-buru. Ke Adam yang main onar ni? Ragu pula pada Adam. Aduiii..... Adam pula disalahkan.

“Liya tak mampu terima Adam sebagai suami Liya. Liya tak sedia.” Auliya bersuara perlahan. Matanya cuba menyorot ke arah abang ngah.  Meminjam sedikit kekuatan.
“Kalau kamu tak sedia kenapa terima masa Aisya merisik dulu?” abah bertanya lantang. Melepaskan kekesalan yang menggamit jiwa
“Dulu Liya..”
“Dulu kamu apa? Kamu tak boleh fikir rasional??,” abah dah memintas lantang.
Auliya menguis hujung baju. Gerun suara abah yang memetir.
“Sekarang ni macam mana? Sebulan lagi dah tarikh nikahnya.” mama memandang semua mata yang kini menunduk ke lantai. Kusut.
“Abah akan selesaikan hal ni dengan Aisya.Kamu sedia ke tak abah nak hujung bulan ni kamu nikah. Muktamad.”
“Abah..” Auliya memandang sayu abahnya.
“Ini keputusan abah.”

Bila abah mula menggunakan kuasa vetonya tiada yang mampu melawan. Kalau putih katanya takkan bertukar jadi kelabu. Auliya bangkit lesu. Melangkah ke biliknya. Hatinya kaku... bolehkah abah dan mama faham Adam Rayyan bukan jodoh Amira Auliya? Auliya meraup rambutnya. Badannya direbah ke katil. Kaki yang terjuntai ke bawah di hayun membuai.
**

Auliya memandang kad undangan maroon-gold di mejanya. Tangannya dipanjangkan bagi mencapai kad yang terletak kemas di meja soleknya.

Warkah cinta Adam Auliya
23 MAC 2012
Ya ALLAH..tabahkan hatiku.  Esok bakal menjadi hari bahagia di mana dia akan disatukan dengan Adam Rayyan. Siapa tahu Adam yang suatu masa dahulu pernah dia cinta separuh mati. Munajatnya pada Illahi tak pernah gagal untuknya mengukir nama Adam Rayyan Haji Lukman dari bibit doanya. Ibarat ALLAH Ya Rabbi memakbulkan doanya. Namun, kini hati yang pernah berbunga dua bulan lalu sudah layu.

Sekeping kertas putih diletak kemas atas katilnya yang berhias indah. Disimbah rona maroon-krim. Beg di bahu digalas kemas.  Dengan lafaz Bismillah dia menuruni paip tangki melalui tingkap biliknya yang berada di tingkat dua. Maafkan Liya mama, abah..
**

Majlis berjalan lancar. Kedua belah keluarga juga bersetuju bila abah meminta pengantin perempuan ditukar. Along manis di samping Adam Rayyan. Sebal hati tak terkira bila hanya terdapat kertas bertulis tangan di bilik Auliya subuh tadi. Rasa hati hampir melampiaskan api kemarahan. Anak itu, sudah keterlaluan lagaknya. Syukur bila mana along tak banyak cakap bila mama merayu.
Auliya memandang kad jemputan yang diselitkan dalam beg galasnya. Bas yang meluncur laju ke utara tanah air membuat hatinya sayu.  Dipandang ke luar tingkap. Ingatan tiba-tiba menggamit masa lalu. Ketika dia menemui catatan peribadi along Su.

Hatinya runtuh, pecah berderai bak kaca terhempas ke batu yang mana debu-debu kaca itu di gilis lalu ditabur ke laut. Terasa dirinya lemah dan kaki sudah tak mampu berdiri. Catatan itu yang membuatkan Amira Auliya Mohd Luthfi berubah menjadi insan lain. Ditarik catatan biru dari beg galasnya dan diselak satu persatu.

Isnin,
“Hari ini aku memandangnya lagi.  Wajahnya tenang dan damai. Dia menegur aku dan bertanya itu ini tentang kerjaku. Betapa aku menyayanginya. Harap esok masih ada sirna untuk aku menemuinya lagi.

Suhana
Rabu,
“Seperti semalam dia datang lagi. Bawa lauk- pauk yang dikirim ibunya. Dia menegur aku lagi. Terasa wajahku merona merah. Segan dengan dirinya. Malu yang tiba-tiba membersit hati. Aku sudah mula menyayangi insan itu sejak kecil lagi. Adam Rayyan, sedarkah dirimu sayangku ini?

Suhana
Jumaat,
“Hatiku sakit. Aunty Aisya datang. Katanya ada khabar gembira. Bersamanya ada bekas cincin. Dan dibawanya khabar merisik terus meminang. Sayu hati tatkala nama Auliya dikaitkan. Rupanya cinta antara Auliya dan Adam sudah lama bertaut. Cuma aku yang pekak dan buta dari menyedari semua itu. Betapa aku kelu dan bisu. Menerima berita gembira itu bagai meragut rakus pundak hati. Berbahagialah adikku. Akan aku tanam cintaku sedalam-dalamnya.

Suhana
Selasa,
“Auliya bercerita itu ini tentang Adam dan aku tersenyum. Entah kenapa hari ini hati begitu kejam hingga terlintas ‘kalaulah Liya tidak wujud.’

Hurmm....kejamkah aku? Tapi andai Liya tidak ada dalam hidup kami pasti Adam menaruh cintanya pada aku. Bukankah Adam pernah berkata tingkah aku seperti Liya. Terasa hati mula membenci Liya. Ya ALLAH, jauhkan Liya dari hidupku. Liya perampas. Apa budak hingusan yang baru menjejak usia dua puluhan sepertinya mengerti erti menjadi isteri seorang adam??  Galak Liya berbicara tentang mahu menjadi ibu yang mithali tapi fahamkah dia makna seorang ibu yang baik hati?

Suhana
Auliya menarik nafas dalam. Mengeluh dan memandang ke luar tingkap bas. Maafkan Liya kak long.
Jumaat,
“Semua bercerita tentang jodoh Liya yang datang awal. Dibandingkan jodoh Liya yang awal kerana Liya tu sejuk tak macam Along, panas. Semua sukakan Liya. Itu ini Liya. Kenapa cela Liya tak ada yang nampak.

Suhana
Auliya menelan liur. Andai Liya tahu dari awal, semua kesakitan takkan along rasa. Semua salah Liya.
“Maafkan Liya atas semuanya... Liya akhiri semua derita ini dengan ikhlas dan Liya langkah keluar dengan hati yang lapang. Liya sayang semua.

Amira Auliya
Semoga berbahagia along dan Adam. Akan Liya pergi jauh memadam bekas-bekas jejak Auliya dari kalian. Ku lepaskan cinta ini dengan tawakal.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER