Headlines News :

Tompok merah, sisik tebal

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

Dianggarkan dua peratus populasi penduduk dunia menghidap psoriasis. Di Malaysia, seramai 14,486 orang dilaporkan menghidap penyakit ini (data Registri Psoriasis Malaysia 2007-2015). Psoriasis adalah sejenis penyakit kulit yang berpanjangan dan berulang.

Ia terjadi berikutan gangguan sistem imun badan yang menyebabkan pertumbuhan sel-sel kulit lebih cepat iaitu tiga hingga tujuh hari berbanding 21 hingga 28 hari dalam keadaan biasa.

Proses ini menyebabkan sel-sel bergerak ke atas kulit dengan cepat seterusnya menjadikan kulit muncul sebagai tompok-tompok merah dengan sisik yang tebal dipermukaan kulit.

Selain kulit tubuh dan anggota badan, penyakit ini juga membabitkan kulit kepala, kuku dan sendi. Saluran darah di bawah kulit juga menjadi lebih lebar lalu meningkatkan aliran darah. Peningkatan bekalan darah menyebabkan tompok merah jelas kelihatan.

Pakar Dermatologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Azura Mohd Affandi berkata, psoriasis adalah penyakit keradangan kulit kronik yang menyebabkan kulit menebal lebih cepat.

“Psoriasis adalah penyakit yang setakat ini tiada penyembuh, namun rawatan jangka panjang mampu mengawal penyakit ini. Ia berlaku disebabkan faktor keturunan, misalnya jika ibu atau bapa menghidap penyakit ini, kebarangkalian anak mendapat penyakit berkenaan adalah lebih tinggi.

“Bagaimanapun, anda juga boleh menghidap penyakit psoriasis walaupun tiada sesiapa dalam keluarga yang menghidap penyakit itu. Kawasan yang biasa dihidapi adalah kulit kepala, lutut, siku, lengan dan kaki.

Sehingga kini, punca psoriasis masih tidak diketahui,” katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Tahunan Persatuan Psoriasis Malaysia di HKL baru-baru ini.

Menurutnya, psoriasis tidak berjangkit. Namun, sejarah keluarga yang positif psoriasis meningkatkan risiko seseorang mendapat psoriasis.

Kira-kira 40 peratus daripada pesakit psoriasis mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit berkenaan meskipun data daripada Registri Psoriasis Malaysia 2007 hingga 2015 menunjukkan jumlah penghidap yang disebabkan sejarah keluarga lebih rendah iaitu sebanyak 23 peratus.
Mengulas mengenai bahaya psoriasis, Dr Azura memberitahu, penyakit itu membawa kesan negatif kepada psikologi pesakit. Faktor lain menjadi penyebab psoriasis bertambah buruk termasuk tekanan perasaan, pengambilan alkohol berlebihan, jangkitan kuman, kecederaan kulit dan tindak balas ubat-ubatan tertentu seperti ubat darah tinggi, ubat tahan sakit dan antibiotik.
“Tahap keterukan psoriasis bermula daripada tompok kecil pada satu bahagian hinggalah ke keseluruhan permukaan badan. Psoriasis menyebabkan tompok tebal dan bersisik dikenali sebagai plak psoriasis.
“Seterusnya kulit menjadi tebal dan keras di kawasan radang serta mengakibatkan sisik di permukaan kulit. Ia sering terjadi di bahagian siku, lutut, tetapi juga boleh terjadi di mana-mana bahagian badan, termasuk kulit kepala, punggung, tapak kaki dan kemaluan,” katanya.

Rawat hepatitis hingga pulih

Jangkitan virus hepatitis yang tersebar dengan meluas menjejaskan kira-kira 400 juta penduduk di seluruh dunia dan jumlah ini 10 kali ganda daripada bilangan mereka yang dijangkiti HIV.

Dianggarkan 1.4 juta orang maut setiap tahun akibat hepatitis di seluruh dunia dan cuma kira-kira lima peratus pesakit yang mendapat hepatitis kronik tahu penyakit yang menjangkiti mereka, manakala satu peratus saja mempunyai akses untuk rawatan.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hepatitis adalah penyakit yang boleh dicegah dan dirawat sepenuhnya berikutan terdapat vaksin dan rawatan untuk hepatitis B, manakala lebih 90 peratus pesakit hepatitis C boleh dipulihkan menerusi rawatan.

Wawasan untuk menyingkirkan hepatitis sebagai ancaman kesihatan awam mampu dicapai pada 2030 sekiranya penduduk dan negara yang terjejas dengan penyakit ini dilengkapi kemudahan kesihatan lebih baik dan mempunyai pengetahuan mengenai hepatitis serta bertindak segera.

Sesiapa saja boleh mendapat risiko dijangkiti hepatitis jika dilihat pada saiz wabak di seluruh dunia. Jangkitan hepatitis B dan C dipindahkan menerusi darah yang tercemar sama seperti jarum suntikan dan picagari yang tercemar.

Malah, virus penyakit ini juga boleh dipindahkan menerusi hubungan seks tidak selamat dan daripada ibu yang dijangkiti kepada anak dalam kandungannya.

Orang ramai boleh mencegah diri mereka daripada mendapat jangkitan atau memindahkan jangkitan kepada orang lain dengan maklumat dan pengetahuan yang cukup mengenai risiko hepatitis. Oleh itu, sesiapa yang terbabit boleh menjalani ujian dan seterusnya rawatan.

Meningkatkan akses kepada ujian hepatitis adalah kunci kepada skala rawatan dan penjagaan hepatitis. Dianggarkan 95 peratus pesakit hepatitis tidak menyedari jangkitan terbabit berikutan kurang kesedaran dan tidak tahu mengenai perkhidmatan ujian penyakit terbabit di negara mereka.

Oleh itu, WHO akan mengeluarkan panduan ujian hepatitis yang pertama tidak lama lagi dan panduan itu akan membekalkan bimbingan siapa yang patut menjalani ujian dan akan mengesyorkan strategi ujian bagi membantu usaha negara terbabit untuk meningkatkan ujian hepatitis, rawatan dan penjagaan.

Kebanyakan individu yang memerlukan rawatan tidak mendapat kemudahan sewajarnya berkemungkinan besar disebabkan kurang kesedaran dan tidak tahu mengenai perkhidmatan ujian penyakit terbabit.

Sempena Hari Hepatitis Sedunia pada 28 Julai lalu, WHO menggesa negara-negara terbabit supaya mengambil tindakan segera untuk mempertingkatkan pengetahuan mengenai penyakit ini, di samping menambah akses untuk perkhidmatan ujian dan rawatan.

Menurut Ketua Pengarah WHO, Dr Margaret Chan, hari ini hanya seorang daripada 20 pesakit yang dijangkiti hepatitis menyedari mereka mendapat penyakit terbabit, namun hanya seorang daripada 100 pesakit yang menerima rawatam.

“Dunia seakan mengabaikan hepatitis dan bahaya penyakit ini. Sekarang adalah masanya untuk menggerakkan tindakan terhadap hepatitis secara global sama seperti kita menentang penyakit berjangkit lain seperti HIV/AIDS dan tuberkulosis.

“Kira-kira 400 juta penduduk dunia dijangkiti hepatitis B dan C iaitu lebih 10 kali ganda daripada bilangan mereka yang hidup dengan HIV. Dianggarkan 1.45 juta pesakit hepatitis meninggal dunia akibat penyakit ini pada 2013 dan jumlah kematian ini meningkat kurang sejuta pada 1990,” katanya.

Guna dron hantar dadah dalam penjara

London: Ketika Amazon dan kerajaan Britain berusaha mencari cara untuk menggunakan dron bagi menghantar bungkusan kepada pelanggan, penjenayah sudahpun menggunakan teknologi itu untuk menghantar dadah kepada rakan mereka di dalam penjara.

Polis semalam berkata, mereka menemui dua dron membawa telefon bimbit dan dadah berhampiran penjara Pentonville, London.

Seorang lelaki berkelakuan ganjil dilihat awal Sabtu lalu berhampiran penjara itu. Apabila didekati, dia melarikan diri, tetapi tertinggal dua beg mengandungi dadah dan telefon bimbit.

Keesokannya, polis menemui dron yang terhempas selepas dikesan terbang di penjara berkenaan. Mereka kemudian dimaklumkan mengenai sebuah dron yang terbang rendah menuju ke penjara itu.

Pesawat tanpa pemandu itu dijatuhkan oleh polis. Sejumlah besar dadah dan dua telefon bimbit ditemui bersama-sama dron berkenaan.

Media Britain sebelum ini melaporkan, terdapat lebih 30 kejadian dron digunakan di dalam atau sekitar penjara dan bahan seperti dadah dan telefon bimbit ditemui bersamanya. - Agensi

Bahaya lambakan produk ubat ajaib di pasaran

Oleh PROF. MADYA DR. MALINA OSMAN
PROF. MADYA DR. MALINA OSMAN

 BAGAIMANA agaknya sesuatu produk ubat itu menjadi pilihan untuk merawat sesuatu penyakit?

Mengapa pula kadang-kadang kita dapati seseorang doktor yang merawat akan cenderung memberi atau mengesyorkan sesuatu ubat berbanding ubat lain? Mengapa pula tidak ada doktor yang merawat pesakit kencing manis menggunakan sekadar produk-produk herba atau air berjenama yang didakwa berpotensi menyembuhkan?

Dalam kesihatan dan perubatan, terdapat tiga jenis produk yang berbeza namun sering dianggap sama oleh kebanyakan individu dalam masyarakat.

 Yang pertama, adalah produk yang diambil untuk mengekalkan seseorang sihat dan yang kedua, produk yang berupaya menyembuhkan dan yang ketiga, produk yang digunakan untuk merawat penyakit kronik.

Ketiga-tiga produk berkenaan tidak sama dari segi tindakan di dalam tubuh, dos yang diperlukan serta cara ia dikumuhkan dari badan. Ia juga tidak sama apabila disetarakan dari aspek kesan terhadap pe­nyembuhan sesuatu penyakit.

Salah faham yang sering timbul adalah apabila sesuatu produk yang hanya mengandungi zat dan mineral tambahan serta kandungan aktif bahan tertentu (yang tidak sampai ke paras terapeutik) dianggap sebagai ganti ubat-ubatan yang telah dikenalpasti sebagai ubat yang me­nyembuhkan sesuatu penyakit atau yang digunakan untuk me­rawat penyakit kronik.

Produk dari herba contohnya, biasanya disaring serta diperhatikan kesan tertentu yang berlaku melalui kajian makmal dan haiwan. Sebagai contoh, ia mungkin mengandungi bahan yang berperanan mengawal tekanan darah. Namun kajian peringkat itu sahaja tidak cukup menjadi bukti ia mampu menggantikan ubat kencing manis seperti glibencalamide, metformin, insulin dan beberapa ubat mengawal paras gula darah yang lain! Ia mungkin boleh membantu semasa seseorang yang sihat yang berusaha mengelakkan penyakit kencing manis, namun tidak cukup untuk mengawal mereka yang sudah disahkan berpenyakit seperti darah tinggi atau kencing manis.

Sesuatu produk yang berupaya menyembuhkan penyakit dalam kalangan manusia melalui pe­ringkat penyelidikan yang sangat ketat. Kajian tersebut dinamakan kajian rawak klinikal yang juga memperuntukkan kumpulan kawalan sebagai perbandingan.

Kajian tersebut yang bermula dari mengenal pasti bahan aktif yang berpotensi menyembuhkan sesuatu penyakit, ditapis dan di­saring serta melalui proses kimia agar ia sesuai digunakan dalam sistem tubuh. Kemudiannya diuji dalam sel-sel kultur dalam makmal sebelum diuji pula dalam populasi haiwan makmal dalam tempoh tertentu.

Fasa berikutnya adalah me­ngenal pasti kesemua kesan sampi­ngan bahan tersebut pada haiwan serta dokumentasi paras dos yang dikenalpasti paling tepat untuk digunakan secara selamat serta paras dos yang dikenalpasti boleh menyebabkan kesan toksik.

Selepas melepasi fasa di pe­ringkat haiwan makmal, bahan berkenaan kemudiannya diuji dalam populasi manusia iaitu para sukarelawan. Kesemua kesan sampingan atau tidak diingini terus didokumentasikan serta ditentukan dos-dos yang diperlukan. Peringkat seterusnya pula, bahan tersebut akan diuji pada skala yang lebih besar dalam pe­ringkat yang disebut ujian klinikal yang melibatkan beberapa hospital. Ini tidak terhenti setakat itu sahaja, namun terus diuji pada skala massa melibatkan negara-negara di pelbagai benua.

Selepas fasa-fasa itu disempurnakan, ujian statistik yang komprehensif akan menentukan sama ada bahan tersebut benar-benar terbukti berkesan. Kadang-kadang, ujian statistik membuktikan keberkesanan sesuatu produk namun terdapat kesan sampingan yang menunjukkan ia tidak selamat digunakan. Dalam kes seperti ini, bahan tersebut biasanya akan ditarik balik serta-merta dan diisytihar tidak selamat untuk kegunaan manusia.

Sama seperti penghasilan ubat-ubatan, penghasilan sesuatu vaksin juga melalui fasa sedemikian.

Keberkesanan vaksin bukanlah ditentukan melalui ucapan testimoni beberapa orang tetapi penglibatan penyelidikan klinikal komprehensif yang biasanya me­libatkan beberapa puluh hingga ratusan ribu responden atau pesakit. Ini juga meliputi luas kawasan yang menyeluruh merangkumi pelbagai peringkat umur, bangsa dan juga jantina.

Adalah tidak benar untuk mendakwa sesuatu produk berkesan hanya dengan merakamkan testimoni atau hujah dari mereka yang mendapat kesan positif dari penggunaan bahan berkenaan. Hujah testimoni hanya bersandarkan deskriptif tanpa analisis statistik adalah terdedah kepada bias, salah deduksi dan berpotensi menghasilkan kesimpulan yang tidak tepat.

Tanpa sesuatu ujian rawak klinikal yang ketat, mana mungkin ada produk sangat ‘ajaib’ yang boleh didakwa mampu menyembuhkan berpuluh penyakit kronik. Tidak mungkin juga ada produk yang diambil pada dos sangat rendah untuk tujuan supplemen berupaya menggantikan ubat yang digunakan untuk me­rawat penyakit tersebut. Tidak mungkin air suling yang ditambah ion positif serta dialkalikan namun tidak mengandungi sebarang bahan aktif mampu me­nyembuhkan penyakit angin ahmar, kanser dan sebagainya.

Kuasa menyembuhkan milik ­Allah SWT. Tidak ada yang mustahil untuk berlakunya keajaiban apabila ia diizinkan berlaku oleh-Nya. Namun membohongi masyarakat dengan menjual produk-produk tanpa asas penyelidikan saintifik yang benar adalah pengkhianatan terhadap akal, ilmu dan kehormatan diri sesama insan.

PENULIS ialah Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/ Biostatistik), Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Masjid purba ditemukan

RIYADH  - Pakar arkeologi yang menjalankan kerja-kerja penggalian di tapak sejarah di sekitar wilayah al-Kharj, tengah Arab Saudi menemukan sebuah masjid purba yang dipercayai dibina sejak zaman awal Islam.

Arab News melaporkan, masjid yang terletak di al-Yamamah, dipercayai yang terbesar pada zaman itu dan ketiga terbesar yang pernah dibina di Semenanjung Arab selepas Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Masjid tersebut dipercayai dibina pada abad pertama hingga kelima selepas tahun Hijrah.

Projek penggalian di tapak purba itu dijalankan oleh 18 orang sarjana dan pakar arkeologi dari Arab Saudi serta Perancis sejak September 2011.

Selain al-Yamamah, misi pe­nerokaan dan penyelidikan itu turut merangkumi kawasan al-Bina serta lima lagi tapak pe­nemuan di sepanjang Wadi Nisah.

Lebih menarik, pasukan penyelidik itu juga berjaya me­nemukan sebuah tapak lama yang dipercayai wujud sejak Zaman Batu yang sememangnya dikenali kerana kaya dengan ele­men budaya dan warisan penduduk Saudi.

Antara yang ditemukan termasuk barangan yang diperbuat daripada tanah liat, objek kaca dan gelang yang dihasilkan daripada tanah liat pelbagai warna.

Sementara itu, di Ain al-Dale’a, bahagian barat al-Kharj, beberapa unit kediaman yang dikatakan berusia sekitar 5,000 tahun telah ditemukan bersama besi serta pedang gangsa berukuran kira-kira 56 sentimeter panjang.

Penggalian yang dijalankan oleh kedua-dua buah negara itu dibuat menerusi satu perjanjian antara Suruhanjaya Saudi untuk Pelancongan dan Warisan Negara dan rakan sejawatnya di Perancis pada 21 September 2011.

Menerusi perjanjian itu, pa­sukan penyelidik dari Perancis diketuai oleh Dr. Jeremy Chitikat manakala Arab Saudi pula di­pimpin Dr. AbdulAziz Al-Hammad yang juga seorang profesor arkeologi dan warisan di Universiti Raja Saudi.

Menurut Dr. AbdulAziz, misi itu dipercayai pertama kali dibuat di Asia Barat dengan penyertaan ramai pakar serta penyelidik yang datang daripada pelbagai latar belakang akademik.
Pengerusi Majlis Saudi untuk Pelancongan dan Warisan Kebangsaan, Putera Sultan bin Salman juga dikatakan menghargai usaha itu demi melindungi kha­zanah serta peninggalan sejarah negara yang tidak ternilai.

Sehati Sejiwa memanifestasi erti merdeka

PENA DR. SIVA 

Tarikh 31 Ogos 1957 akan sentiasa terpahat dalam lipatan sejarah Persekutuan Tanah Melayu. Tatkala itu, penyerahan watikah Perlembagaan kepada Perdana Menteri, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj oleh wakil Queen Elizabeth II iaitu Duke of Gloucester menandakan ber­akhir kedudukan Persekutuan Tanah Melayu di bawah naungan British, berundurnya Britain dari ta­nah air; hatta pemasyhuran Persekutuan Tanah Melayu bermula.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan diiringi lagu kebangsaan, Negaraku yang pertama kali bergema di sebuah negara merdeka diikuti laungan azan serta tembakan meriam. Ini juga membawa kepada berakhirnya kedudukan Pesuruhjaya Tinggi British yang pada waktu itu ialah Sir Donald MacGillivray.

Kemerdekaan tanah air barang kali berbeza dengan beberapa buah negara yang bukan melalui pertumpahan darah. Ini tidak bermakna ia datang de­ngan mudah. Peristiwa yang berlaku sebelum membawa kepada kemerdekaan wajar diamati untuk memahami maksud mengapa ia sesuatu yang amat berharga. Memberi makna kepada pengertian ini akan membolehkan kita menyoal erti ‘bebas’, ‘kedaulatan’, ‘adil’, ‘negara’ dan ‘merdeka’.

Ini semua merujuk kepada pemasyhuran kemerdekaan yang dibaca oleh Tunku Abdul Rahman. Antaranya berbunyi; “Maka, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri bagi Persekutuan Tanah Melayu, dengan persetujuan dan per­kenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja negeri-Negeri Melayu dengan ini memasyhurkan dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai 31 Ogos 1957, maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi Negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah SWT akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Sepanjang 59 tahun Malaysia sudah berubah wajah. Warisan kepimpinan yang bertanggungjawab kepada hala tuju masa depan negara memastikan dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, kebebasan dan keadilan terpimpin tidak dikompromi agar rakyatnya hidup muhibah, aman dan sentosa. Pemasyhuran merdeka menjadi asas perjalanan pembentukan negara-bangsa ini yang ada zaman ke­gemilangan, kemerosotan dan pasang-surutnya tetapi tidak sama sekali menjadi penyebab kemunduran malahan perjalanan penuh liku dilalui bersama atas ‘prinsip ke­negaraan dan warganegara’ merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-59 tahun ini. Adakah ini satu rutin tahunan yang disambut secara berkala atau sebenarnya diraikan setiap hari tanpa kita sedari?

Jati diri yang dibina oleh setiap individu baik seorang guru, kerani pejabat, pembersih bangunan, peguam, kontraktor, pegawai agensi kerajaan dan swasta, pensyarah, pemandu, doktor, pelayan kedai, wartawan, pemilik warung dan restoran, atlet dan ahli sukan, imam masjid, paderi, sami tokong, jurujual, petugas teknikal, jururawat, pentadbir atasan agensi dan bermacam lagi; kesemuanya warga Malaysia yang menyumbang kepada kebaikan pembangunan negara.

Sumbangan itu juga bersifat patriotik kerana tidak mengira kelas perjawatan mahupun kedudukan dalam strata masyarakat. Masing-masing sumbangannya besar kepada negara ini baik seorang yang berada di Gred 11, 19, 29, 41, 52, 54 mahupun Jusa A, B dan C dalam agensi kerajaan. Grednya berbeza kerana pangkat tetapi patriotisme merentasi latar tersebut kerana jika berjiwa Malaysia; grednya adalah luar biasa dan istimewa. Aspira­sinya menyemarakkan semangat menghormati jata negara, bendera Malaysia, lagu Negaraku dan bunga raya dengan diikat panji Perlembagaan dan Rukun Negara.

Kesemua kita mempunyai peranan yang sama ke atas pembangunan negara ini kerana yang menjaga, membangun dan memeliharanya juga adalah tanggungjawab bersama.

Pemasyhuran merdeka dibuat atas prinsip untuk kesemua warga Malaysia hidup aman, sentosa dan muhibah walaupun rencam dari segi agama, etnik, ritual dan berbeza pegangan politik sekalipun tetapi kita mesti ‘bersama’ dalam mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara. Sumbangan masing-masing dalam apa bentuk sekali pun de­ngan penuh kejujuran dan keikhlasan adalah patriotik kerana mahu melihat anak bangsa ini maju, hebat dan membesar tanpa diperlekehkan oleh yang lain. Keluarga besar inilah ‘sehati, sejiwa’ di belakangnya; manifestasi ke atas pemasyhuran kemerdekaan 1957.

Pengisian kemerdekaan diwarnai dengan kewibawaan pemim­pin, kepemimpinan dan masyarakat yang dipimpin. Kese­tiaan kepada negara mendasari pencapaian hari ini. Ramai pembesar dan pejuang bangsa dan negara terkorban sebelum run­dingan kemerdekaan bermula termasuk juga pengalaman di zaman penjajahan. Wira ini menzahirkan pembentukan negara yang pelbagai; ada nilai pengorbanan dan kompromi diliputi sulaman nilai hormat, faham, menerima serta budi yang tinggi. Generasi hari ini wajar menghargai sumbangan ini kerana kita tidak akan bebas tanpa pengorbanan dan kesetiaan mereka.

Sebenarnya, yang mahu dilahirkan dalam proses pengisian kemerdekaan berdasarkan pemasyhuran 1957 adalah ‘masyarakat kelas satu di sebuah negara kelas pertama’ iaitu negara yang maju dengan pelbagai prasarana moden seiring peredaran zaman dengan dihuni oleh masyarakat berilmu, berkemahiran dan berkeperibadian mulia. Masing-masing mesti bersedia ‘Bela Negara’ dalam apa jua keadaan demi kedaulatan negara-bangsa ini.

Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-59!

PROF. DR. P. SIVAMURUGAN ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Kerana cinta

Oleh Maizatul Azwa Aznan 

ANGAH bukannya gatal. Bukan juga sudah membuntingkan anak dara orang. Angah tahu hukum hakam. Menghampiri zina sahaja sudah jatuh hukum haram, apatah lagi kalau kita melakukannya. Tetapi Angah tetap dengan pendirian, ingin mendirikan rumah tangga di saat tahun akhir pengajiannya.Kerana cinta...

Angah bukannya bodoh, bukan juga malang. Di saat bakal isteri disahkan menghidap kanser pangkal rahim, Angah masih setia. Walaupun mulut orang mengata, pendirian Angah tetap sama. Kerana cinta...

Di saat, sahabat yang lain sibuk menyambung pelajaran, Angah sudah mencari pekerjaan. Pada saat gaji sahabat berijazah sudah memasuki lima angka,Angah bersyukur dengan gaji pada tahap pendidikan diploma.Angah sedar dia mempunyai tanggungjawab pada isteri tercinta.Semua dilakukan kerana cinta...
Ramadan,2013.

“Kenapa tak balik rumah mama?,” soal Angah ketika teksi yang dinaikiku berhenti di hadapan rumah teresnya.

“Saja, tak sudi ke adik duduk sini?,” soalku semula.

“Bukanlah, nanti mama bising, bukannya awak yang jawab.Angah yang kena jawab,kena leter,” balas Angah.

Aku mencemik. Lagi seminggu akan tibanya Syawal.Ramadan yang tersisa, aku ingin luangkan di rumah Angah yang tinggal bersama isterinya. Begitu ceria Kak Leen menyambut kedatanganku. Keadaannya mencambahkan simpati.Sejak setahun yang lalu,Kak Leen lumpuh separuh badan. Sel kanser sudah menyerang saraf tunjangnya membuatkan hari ini dia menyambut kedatanganku di atas kerusi roda.
Kak Leen wanita yang ceria,cekal dan penyayang.Mungkin kerana itu jodohnya adalah dengan Angah.Bukankah Allah sudah berjanji,wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan begitulah sebaliknya.Dan aku masih tidak mengerti kenapa masih ada orang yang masih mempertikaikan kebahagiaan pasangan ini.

“Adik cuti lama?,” soal Kak Leen. Aku lebih rapat dengan kakak iparku ini daripada isteri Along. Isteri Along, Kak Mas adalah ‘seangkatan’ dengan mama. Kaki membeli-belah dan mengumpul barang- barang berjenama. Dan kalau berbual dengan Kak Mas, topiknya ialah, bumi Eropah mana sudah dijejaki, berapa ekar tanah sudah dimiliki, atau tahu tak apa keluaran Louis Vuitton terkini.

“Lama tak lama juga. Dua minggu,” aku menjawab. Kak Leen menganggukkan kepala.Tangannya sedang membasuh sayur untuk dimasak sebagai juadah berbuka puasa.

“Kenapa tiba-tiba adik balik sini?, mama tahu tak?,” Kak Leen menyoal siasat. Aku tahu, dia cukup tidak suka aku melawan mama.

“Soalan lebih kurang Angah je. Nampak sangat tak suka adik kat sini. Nak berdua dengan Angah je lah tu,” aku mengusik Kak Leen.Dia ketawa.

“Sudi, 1,000 kali Kak Leen sudi. Cuma, kasihanlah kat mama kalau adik tak beritahu mama adik balik sini.Nanti dia tertunggu-tunggu”.

Aku mendiamkan diri.Memang mama tidak tahu aku pulang ke rumah Angah. Kalau mama tahu, dia sanggup datang mengambilku di universiti.Angah masuk ke dapur, terus menegah Kak Leen daripada membuat kerja. Tergelak aku melihat pergaduhan kecil mereka.

Satu perkara yang aku suka tentang pasangan ini ialah, langsung tidak menunjukkan apa yang mereka tanggung.Masih mampu bergelak tawa, bergaduh manja di hadapanku. Kak Leen masih mampu membahagiakan Angah walaupun dalam kondisi yang begitu. Dan Angah,tetap menerimanya seadanya.
Malam itu, usai sahaja Kak Leen tidur, Angah keluar dari bilik tidur mereka.Angah duduk di sebelahku yang sedang menonton televisyen.

“Mama telefon adik tak?,” soal Angah. Aku mengangguk sahaja.Bukanlah aku ingin bersikap biadap tetapi aku menjadi rimas pula dengan soalan tentang mama sahaja.

“Adik cakap apa kat mama? Dia telefon Angah, suruh awak tu balik rumah sana,” sambung Angah lagi.Bicaranya lembut, tidak kedengaran nada dia menghalau.Dia cuma mahu aku dan mama berhubungan baik, dia tidak mahu hubungan itu rosak sebagaimana dia.

“Adik cakap, adik nak raya dengan Angah. Sebab dah tiga kali Angah tak raya sekali dengan kami,” jawapan aku membuatkan Angah tergamam.Tiga kali raya, Angah beraya dengan keluarga Kak Leen. Aku tidak berjauh hati tetapi mama mula menganggap Angah anak derhaka, anak tidak kenang budi. Sudahlah kahwin tanpa restunya, tiga tahun raya di sebelah menantunya.

“Angah kasihan kat Kak Leen.Biarlah ada masa-masa ni dia beraya dengan keluarga dia. Keluarga kita bukan berkenan sangat kat dia,” perlahan jawapan Angah.

Aku sedar saat itu, Angah mementingkan kebahagiaan Kak Leen. Nilai kesanggupan Angah berkorban buat isterinya begitu tinggi. Mama cuma tidak suka kepada Kak Leen kerana dia merasakan Kak Leen menyusahkan hidup anak bujangnya. Mama tidak akan dapat menimang cucu daripada keturunan Angah. Mama juga geram kerana Angah sanggup tidak sambung belajar kerana mencari pekerjaan untuk menyara keluarga kecilnya.

Hidup dengan Angah dan Kak Leen di sisa-sisa Ramadan ini juga mengajarku. Mengajarku untuk jadi tabah, setabah Kak Leen menghadapi penyakitnya.Mengajar aku menjadi sabar, sesabar Angah menjaga Kak Leen dari hujung rambut hingga hujung kaki. Mengajar aku untuk reda, reda bagaimana redanya pasangan ini dengan kehidupan mereka.

Dan mengajar aku, kita hanya merancang, Allah yang menentukan...

“Angah, kenapa ni?,”ketika aku keluar bilik, untuk bersahur yang terakhir Ramadan itu, Angah kelam kabut. Mukanya juga serabut.

“Kak Leen sakit. Angah nak hantar ke hospital,” kata Angah sambil membuka pintu. Aku membuka pintu bilik Angah, dan kelibat Kak Leen terbaring di atas katil. Nafasnya turun naik dengan cepat dan matanya tertutup.Dahinya berkerut, menahan kesakitan. Angah masuk ke bilik dan mencempung tubuh Kak Leen.
Aku terus mencapai kardigan.Kepala menyarung instant shawl sahaja. Masuk kereta, aku memangku Kak Leen di tempat duduk belakang. Jantung aku berdebar kuat. Tuhan, kuatkan Kak Leen...

Namun, Allah telah mentakdirkan, Ramadanku yang terakhir tahun itu adalah bersama dengan Angah, menemani isteri terlantar di hospital. Malam raya yang kebiasaannya diisi dengan kesibukan menyambut lebaran, tahun itu aku dan Angah sama-sama suram di hospital. Wajah Angah muram dan serabut, tidak tenang seperti selalu.

Subuh, pagi raya. Aku tersedar ketika sayup-sayup bunyi azan kedengaran. Badan diregangkan dan saat mata jelas terbuka, Angah sedang memegang tangan Kak Leen. Genggaman tangan yang membuatkan aku menyedari sesuatu.

“Kak Leen dah tiada,” begitu tenang Angah bersuara. Mataku berair dan air mata berjuraian turun. Baru beberapa jam aku terlelap, Kak Leen pergi ketika itu. Dahi sejuk Kak Leen aku cium. Angah tersenyum pahit melihat perlakuanku.

Angah membuat segala kerja menguruskan jenazah. Dari memandikan sehingga saatnya jasad Kak Leen diturunkan ke liang lahad, Angah ada bersama.Setitik pun air mata Angah tidak tumpah. Atau mungkin belum tumpah. Aku lihat begitu berat Angah ingin meninggalkan persemadian isterinya. Tangannya aku genggam erat, setabah dan sekuat mana pun Angah, aku tahu, perasaan sedih tetap ada.
Ramadan, 2015

“Jauh termenung,” aku menegur Angah yang duduk di beranda rumah. Dia tersenyum sahaja.
“Esok raya,” katanya. Aku mengangguk mengiakan. Sayup-sayup terdengar suara mama dan Kak Mas berbual sambil membuat kuih raya.

“Maknanya dah dua tahun Kak Leen pergi,”.

Kenyataan itu membuat aku tersentak. Selama dua tahun itulah, Angah hidup sendiri.Hidup sunyi yang semestinya aku tidak akan mengerti. Aku tidak membalas,membiarkan Angah hanyut dalam kerinduan.Membiarkan Angah mengenang isteri yang pernah hadir dalam hidupnya. Aku mendongak memandang bulan.

“Buat apa ni. Lepak tak ajak,” Along pula menyapa kami berdua. Dia duduk di sebelah Angah.
“Tak tolong Kak Mas buat kuih Long?,” soal Angah. Along menggeleng.

“Tak nak.Nanti aku jadi tukang rasa. Takut termakan cincin mama atau Kak Mas. Ngeri!,”

Kami bergabung tawa. Sempat lagi Along membuat lawak. Sejak Kak Leen pergi, Along banyak meluangkan masa dengan Angah. Lagi-lagi pada tahun pertama Angah menduda. Dan mama juga mula menghampiri anak yang selama ini dia rasakan menjauh diri.

Mungkin itulah hikmah Allah mengambil Kak Leen. Semua mula merapati Angah. Semua mula menghulur bahu untuk berkongsi beban kesedihan Angah. Dan Angah kuat dengan sokongan yang diterimanya. Satu lagi aku belajar waktu Ramadan ini, Allah meletakkan kita di dalam situasi yang Dia tahu kita boleh hadapi dan apa yang terbaik untuk kita. Kerana apa?
Kerana cinta...

Olimpik: Di mana kurangnya atlet kita?

OLIMPIK Rio 2016 sudah bermula lebih 10 hari sejak pembukaan gilang-gemilang di stadium bolasepak Maracana, Rio de Janeiro pada 5 Ogos lalu. 

Sejak itu seperti diduga negara kuasa besar, Amerika Syarikat, China, Britain, Jerman, Jepun dan Rusia te­rus mendahului senarai pungutan pingat. Bukan juga sesuatu yang memeranjatkan apabila negara maju se­perti Australia, Itali, Korea Selatan, Perancis, Hungary dan Belanda, mengekor rapat di belakang dengan kutipan emas, perak dan gangsa dalam pelbagai acara sukan yang didominasi mereka.

Dalam persaingan sengit bagi membuktikan siapa yang berjaya mengatasi segala cabaran untuk muncul sebagai pemenang dan merasa berdiri di podium menerima kalungan pingat, malah lebih istimewa untuk bergelar pemilik pingat Olimpik - walau cuba dinafikan - kita perlu secara gentleman mengakui yang kita agak tersentak dengan pencapaian atlet negara jiran tetangga.­

Kelmarin, di celah-celah negara yang berjaya me­rangkul emas di temasya sukan paling berprestij dunia itu misalnya terselit negara jiran kita di sempadan se­belah utara, Thailand, menduduki tangga ke-18. Bukan satu emas bahkan dua, di samping masing-masing satu pingat perak dan gangsa.

Malaysia sehingga artikel ini ditulis, baru meraih satu pingat perak. Pingat yang dihadirkan menerusi jaguh terjun papan anjal wanita negara, Pandelela Rinong kali ini bersama pasangan regunya, Chong Jun Hoong. Pencapaian lebih baik sedikit daripada Olimpik London 2012.

Harapan emas yang tinggal kini adalah menerusi jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, yang jika di atas kertas, mengikut ranking dunia, tidak ada masalah untuk merangkulnya.

Namun adat bertan­ding, ada hari menang dan ada hari kalah. Harapan penulis, dan sudah pastilah harapan seluruh rakyat Malaysia, kilauan emas yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama akan hadir menerusi badminton - satu-satunya acara sukan yang cukup diyakini, yang selama ini telah meletakkan nama negara di peta dunia.

Tentulah lebih manis dan istimewa apabila acara sukan yang tidak sah diperkatakan jika tidak menyebut nama Malaysia sebagai antara gergasi badminton dunia itu yang menghilangkan dahaga emas negara sejak sekian lama.
Bukan penulis tidak mengharapkan emas daripada acara sukan lain namun rasanya harapan dan impian ini lebih signifikan dan relevan dengan gelaran jaguh badminton dunia yang dipegang oleh atlet negara kita itu.
Kita seharusnya tahu mengukur baju di badan sendiri.

Jika terbukti badminton dan acara terjun yang mampu menjanjikan pingat, tidak salah jika kita membuat pelaburan besar dalam kedua-dua acara sukan ini. Rangka pelan strategik dengan sasaran emas.

Vietnam berjaya melakukannya dengan acara me­nembak. Singapura pula dengan renang. Jadi tidak salah untuk kita mengimpikannya dalam sukan badminton yang telah kita kuasai sejak sekian lama.

Penulis bersetuju dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa kita memerlukan barisan atlet pelapis dengan segera.

Tokyo 2020 mungkin terlalu hampir untuk kita meletakkan sasaran emas kepada pengganti Chong Wei, namun tidak terlalu ambitious atau bercita-cita tinggi untuk kita merangkul perak atau gangsa.

Apa yang penting seperti dikatakan Khairy, kita perlukan pelapis. Tidak kiralah dalam sukan badminton, acara terjun mahupun berbasikal yang kita juga mempunyai wakil yang dibanggakan.

Di mana atlet kita 10 tahun akan datang? Adakah mereka akan berdiri di podium atau masih sekadar menjadi pemerhati? Penulis percaya semuanya terletak pada perancangan mantap dan teratur oleh organisasi sukan yang dipertanggungjawabkan.

Pada masa sama, pastikan atlet kita dibimbing agar mempunyai set minda yang betul untuk bersungguh-sungguh, berhempas pulas sepenuh daya mengejar gelaran juara dalam bidang sukan yang diceburi mereka. Bukan sekadar berpuas hati berjaya melayakkan diri ke ‘temasya’ Olimpik.

Dalam Coretan Marhaen dua tahun lalu, Neymar da Silva Santos Júnior pernah menjadi bahan coretan penulis apabila pemain lincah Brazil yang ketika itu baru berusia 22 tahun terpaksa melupakan aksi dalam Piala Dunia FIFA 2014 akibat kecederaan tulang belakang gara-gara disinggung lutut pemain Colombia, Juan Zuniga.

Justeru ketika membelek-belek laporan akhbar tentang Olimpik Rio 2016, kelmarin, penulis agak terkejut apabila membaca tajuk berita, Bisa Neymar makin menjadi. Nampaknya Neymar telah ‘meninggalkan’ kecederaan dua tahun lalu, bukan setakat pulih bahkan membantu pula pasukan bola sepak negaranya melangkah ke separuh akhir untuk bertemu Honduras. Dalam perlawanan yang menyaksikan Brazil membenam Columbia 2-0 itu, Neymar menjaringkan gol menerusi sepakan percuma.

Penulis tidak pasti berapa lama tempoh yang diperlukan oleh seseorang atlet untuk pulih daripada kecederaan dan kembali beraksi di padang atau pentas pertandingan. Namun jika apa yang dilakukan oleh Neymar ini sesuatu yang menakjubkan, kita perlu belajar daripadanya.

Penulis tertarik dengan kata-kata legenda bola sepak Korea Selatan, Lee Young-pyo ketika menjadi pengulas sukan Piala Dunia FIFA 2011; “Anda tidak menyertai pertandingan untuk mencari pengalaman tetapi untuk membuktikan keupayaan.”

Mungkin dengan cara berfikir seperti itu pasukan bola sepak Korea Selatan kini semakin berjaya dan jauh meninggalkan kita. Ini pun kita perlu belajar juga.

Tidur lewat malam punca masalah kesihatan

OLEH NOR AMILINA ISMAIL

TIDUR adalah salah satu keperluan bagi manusia. Menurut pakar kesihatan, fungsi tidur adalah lebih penting berbanding makanan kerana tidur adalah salah satu keperluan bagi manusia sejagat.

Seorang manusia mampu hidup sehingga 40 hari tanpa makanan dibandingkan hanya 11 hari tanpa tidur.
Oleh itu, mereka yang suka tidur lewat malam harus bersedia menghadapi sebarang kemungkinan penyakit dan risiko kesihatan lain akibat kekurangan tidur.

Kebanyakan mereka yang sering tidur lewat malam adalah golongan mahasiswa universiti, remaja dan tidak ketinggalan juga golongan tua.

Rata-rata mahasiswa universiti lebih suka tidur lewat malam kerana mereka menggunakan waktu tersebut untuk membuat tugasan ataupun mengulangkaji pelajaran.

Mereka seharusnya sedar bahawa tidur memainkan peranan penting dalam melancarkan peredaran darah dan memperbaiki sel-sel tubuh manusia.

Ketika kita tidur, badan diberi ruang untuk merehatkan minda dan fizikal tubuh setelah penat seharian belajar.
Mereka yang kurang tidur dengan sendirinya akan mengalami masalah kesihatan.

Jika masalah kurang tidur ini berterusan, maka masalah kesihatan akan membawa kepada penyakit seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok, diabetes, obesiti dan sebagainya.

Oleh itu, pastikan anda mendapatkan tidur yang cukup untuk mengelakkan diri daripada mengalami masalah kesihatan.


6 Jenis Perniagaan Modal Rendah Tapi Pulangan Bersih RM10,000 Sebulan

Perniagaan ini sesuai untuk mereka yang dibuang kerja, mahasiswa yang menganggur, suri rumah, pemuda lepasan SPM atau bekas staf Malaysia Airlines yang dibuang kerja baru-baru ini. Saya senaraikan menurut pengalaman sendiri dan orang lain. Pilihlah mana-mana yang sesuai dengan anda.


#1 – Berniaga Buah Potong

Berniaga buah potong menggunakan motosikal untuk senang bergerak mencari port orang ramai, keuntungan biasanya 50%-60% dari modal. Katakan rm1/plastik, harus sasarkan jual 600 plastik sehari, cari lokasi yang ramai orang (depan sekolah, depan masjid, kawasan pejabat atau kilang) paling tidak anda akan dapat rm350 sehari × 30 hari = RM10,500.

#2 – Khidmat Potong Rumput

Khidmat potong rumput, guna pekerja 2 orang dengan gaji rm130 sehari termasuk minyak mesin, upah satu halaman rumah biasa sekitar rm60. Kerja hanya 2 jam sebuah laman, tugas kita hanya perlu angkat iklan dikawasan perumahan, deal pelanggan, ambil hantar pekerja dan collect duit. Sehari kena gigih cari 5 buah rumah untuk seorang pekerja, jadi kita akan dapat sehari rm340 × 30 hari = RM10,200.

#3 – Menjual Nasi
Menjual nasi rm4 dikawasan penduduk ramai dengan menyediakan khidmat penghantaran. Buat iklan fb untuk orang sekitar, mustahil tidak dapat buat jualan 150 bungkus sehari dengan keuntungan biasa jualan nasi ialah 60%, so sehari bersih dalam tangan ialah rm360 × 30 hari = RM10,800.

#4 – Menjual Air

Jual air rm1/cawan depan sekolah semasa pelajar pulang (2 kali sehari) iaitu sekolah biasa pada pukul 1 hingga 2 petang dan sekolah agama pukul 5 hingga 6 petang. Menjual 300 cawan untuk satu sesi itu bukan perkara yang mustahil, sehari paling tidak kita akan dapat rm600 kasar. Rata-rata penjual air bagitahu margin untung bersih jual air ini sekitar 80%, jadi sehari kita akan dapat rm480 × 21 hari persekolahan sebulan = RM10,080. Artikel Berkaitan: Berduit Tetapi Tidak Berharta

#5 – Berniaga Di Pasar Malam
Berniaga apam balik di pasar malam keuntungan juga 80%, 4× seminggu dengan jualan 400 keping apam balik setiap malam yang berharga rm2 sekeping, setiap malam boleh nilai jualan rm800×4 seminggu × 4 minggu sebulan = jualan kasar rm12,800 tolak modal 20% (rm2,560) = RM10,240.

#6 – Agent Jualan Produk

Jadi agent jualan produk, pilih yang laku keras bulan itu (kerana kebanyakkan produk bermusim), cari yang menawarkan keuntungan melebihi rm50/item, jual guna fbads (tidak tahu guna fbads boleh pergi belajar – power editor), sehari letak kos iklan rm80, push sale sekurang2 11 item close deal, setiap hari akan ada orang bank in sebanyak rm550, tolak kos harian iklan rm80 dan bayaran pos rm110 = bersih rm360 × 30 hari = RM10,800.
Ada banyak lagi perniagaan yang memerlukan modal sedikit tapi pulangan lumayan tapi cukup lah 6 jenis ni dahulu. Ingat, tak semua perniagaan ini sesuai dengan anda, anda perlu pilih, ubahsuai dan serasikan dengan diri anda. Semua pengiraan dari segi modal dan keuntungan adalah tidak tepat kerana harga berbeza mengikut masa dan tempat.

Syafaat Rasulullah selamat umat

Oleh Fairuz Noordin 

SYAFAAT bererti memohon pertolongan atau mengharapkan sesuatu yang boleh membantu ketika berada di saat kesukaran seperti di Padang Mahsyar.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW menceritakan, apabila manusia berada dalam keadaan saling bertengkar dan pelbagai rupa di Padang Mahsyar, akhirnya mereka bertanya satu sama lain berapa lamakah mereka akan berada dalam keadaan itu?

Masing-masing meluahkan keinginan untuk mencari syafaat yang boleh menyelamatkan mereka ketika itu. Akhirnya mereka memutuskan untuk meminta bantuan daripada Nabi Adam.

Menurut Rasulullah, kelompok manusia yang berani mencari Nabi Adam untuk memohon syafaat adalah dalam kalangan ulama yang hidup selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Kelompok ulama ini akan bergerak mencari Nabi Adam dan apabila bertemu, mereka meminta Baginda memohon kepada Allah SWT supaya mengadili manusia di Padang Mahsyar ketika itu. Nabi Adam tidak berani berbuat demikian kerana berasa pernah melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT.

Baginda menyuruh mereka meminta pertolongan daripada Nabi Noh. Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati di IKIMfm berkongsi riwayat Abi Hamid dalam kitabnya Kashful Ulum Al-Akbar yang menceritakan manusia mula bergerak mencari Nabi Noh selama kira-kira seribu tahun.

Selepas bertemu Nabi Noh, Baginda juga sangat takut kepada Allah SWT kerana kaumnya berpaling daripada ajaran yang dibawanya.

Nabi Noh meminta mereka menemui Nabi Ibrahim. Pencarian manusia di Padang Mahsyar berterusan seribu tahun lagi. Apabila bertemu Nabi Ibrahim, Baginda tidak mampu membantu dan mencadangkan supaya mencari Nabi Musa.

Seribu tahun kemudian mereka bertemu dengannya tetapi Baginda juga tidak dapat berbuat apa-apa dan meminta kelompok manusia itu mencari Nabi Isa.

Selepas seribu tahun dan bertemu Nabi Isa, Baginda juga tidak berani membantu kerana sangat takut dengan kemarahan Allah SWT. Nabi Isa meminta memohon bantuan daripada Nabi Muhammad SAW.
Rupa manusia berbeza-beza

Sepanjang pencarian itu, kelompok manusia berada dalam keadaan rupa yang berbeza-beza. Apabila bertemu Rasulullah SAW, mereka berkata: "Ya Rasulullah, kami sudah lama berada di Padang Mahsyar ini.

Tolonglah berdoa dengan menggunakan syafaat yang ada padamu, supaya Allah SWT mempercepatkan pengadilan kita sebelum dihisab di sisi-Nya.

" Baginda mula sujud, lalu Allah SWT bertanya kepada malaikat walaupun mengetahui sebabnya kenapa Rasulullah SAW berbuat demikian. Malaikat menjawab: "Ya Allah, sesungguhnya Muhammad itu mengharapkan sesuatu daripada-Mu. Rasulullah SAW bersujud sambil menangis dan merayu: Ya Allah tolonglah lakukan sesuatu untuk mengadili umatku ini." Lalu Allah memerintahkan umat Baginda yang belum dihisab, masuk ke dalam syurga melalui pintu yang terletak di sebelah kanan.

Menurut Rasulullah SAW, mereka yang masuk ke dalam syurga tanpa dihisab dan diazab adalah manusia yang semasa hidupnya dahulu tidak pernah mendapatkan bantuan bomoh atau menjadi bomoh yang mensyirikkan Allah SWT.

Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah: "Siapakah orang yang paling gembira apabila mendapat syafaat daripada kamu pada Hari Kiamat kelak, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Wahai Abu Hurairah, aku fikir bahawa tidak ada seorang pun yang akan bertanya kepadaku soalan ini, orang yang paling gembira adalah mereka yang mengucapkan Laila illallah Muhammadur Rasulullah dengan tulus ikhlas daripada hatinya dan berusaha menjauhkan apa yang dilarang oleh Allah SWT.

" Qadi bin Iyat berkata, lima syafaat Rasulullah SAW iaitu syafaat umum bagi seluruh umat manusia, syafaat kedua ialah untuk memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa dihisab terlebih dahulu, syafaat ketiga untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada memasuki neraka, syafaat keempat untuk mengeluarkan umatnya yang berdosa daripada neraka dan syafaat kelima untuk meninggikan darjat penghuni syurga.
Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

Dukun Doktor Dani sarat kritikan sosial

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI

 PERTAMA kali mencuba nasib di layar perak bukan satu kerja mudah. Pastinya tumpuan khalayak lebih terarah kepada nama besar yang dijaja yang seringkali dianggap mampu menarik minat penonton ke panggung.

Senario yang sama turut terjadi kepada Taufik Batisah saat dia muncul dengan naskhah Dukun Doktor Dani bermula Khamis lalu. Pastinya limpahan cahaya kemilau mula menyinari dirinya dengan persoalan mampukah dia membawakan watak utama dengan baik.

Apatah lagi naskhah yang digarap oleh Sabri Yunus sentiasa dinanti ramai, pastinya kredibiliti dan kebolehan Taufik bukan sahaja menguji dirinya sebaliknya kepada Sabri yang turut bertindak selaku pengarah filem ini.

Kelebihan Sabri bukan omong kosong. Dia sudah berpengalaman menghasilkan telefilem seperti Sanggul Berdarah, Parut Asyikin, Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman, Sorok Bau Budu, Sebuah Piala Seekor Kambing, Vespa Sharif Dol, Asyura dan Olong.

Setiap karya Sabri bukan sahaja dinantikan ramai tetapi turut menyuntik kritikan sosial terhadap masyarakat Melayu khususnya.

Menonton buah tangan baharu Sabri ini, dapat dilihat filem ini seimbang dari segala sudut. Tidak berlebih-lebihan dalam membangunkan setiap watak, Sabri memberikan kritikan sosial yang halus selapis demi selapis yang tidak sukar untuk difahami.

Menghidupkan watak Doktor Dani yang gagal menyelamatkan nyawa pesakit dalam satu pembedahan, watak tersebut mula berkembang apabila dia meletak jawatan dan pulang ke kampung halaman.

Kisah Dani bertambah rumit apabila dia terpaksa berhadapan dengan ibunya Mak Siti (lakonan Khatijah Tan) yang tidak dapat menerima hal tersebut. Keadaan bertambah buruk apabila orang kampung mula tahu tentang perkara tersebut.

Plot ceritanya nampak mudah tetapi garapan yang dibuat oleh Sabri terhadap beberapa watak yang ada di sekeliling Dani begitu terperinci dan penting.

Stigma masyarakat sendiri yang tidak dapat menerima peletakan jawatan seorang doktor itu juga sebenarnya ditunjukkan secara terperinci yang menggambarkan situasi sebenar masyarakat Melayu.

Selain Taufik, pelakon lain yang turut membintangi filem ini terdiri daripada Fasha Sandha, Amerul Affendi, Sabri Yunus, Yus Edoo, Raysha Rizrose, Sani Sudin dan Saidi Sabri.

Seimbang

Perkembangan watak Dani sebenarnya turut menarik sama watak-watak lain dalam filem ini. Tentunya watak Dukun Sudin yang dilakonkan oleh Sabri dan Lepat (Amerul Affendi) tidak kurang hebatnya.

Amerul tidak pernah menghampakan. Walaupun sekadar watak pembantu, yang ditunjukkan oleh pelakon ini menghidupkan lagi filem Dukun Doktor Dani. Menariknya setiap watak yang dibangunkan seimbang, tidak berlebihan dan sama penting antara satu sama lain.

Dukun Doktor Dani mengisahkan tentang Dani yang membuat keputusan untuk tidak lagi menjadi doktor, pulang ke kampung dan bekerja dengan dukun Sudin.

Dani memilih untuk bekerjasama dengan Dukun Sudin mengubat penduduk kampung selepas pulang ke kampung. Perkara tersebut bukan sahaja dihalang oleh ibunya tetapi juga teman wanitanya Dr. Lily (Fasha Sandha) yang kurang senang dengan hal tersebut.

Keadaan menjadi kalut apabila Dukun Sudin meninggal dunia dan Dani mengambil alih tempat Dukun Sudin dengan caranya sendiri.

Menariknya yang dikupas mengenai filem ini adalah meskipun ilmu kedoktoran dan ilmu dukun bertentangan antara satu sama lain, ada persamaan yang cuba ditunjukkan oleh Sabri.

Pastinya soal kemuliaan hati dan mahu bantu-membantu menjadi isi terpenting dalam cerita ini.
Dalam realiti kehidupan seharian sekalipun, perbezaan dan pertentangan itu tetap ada.

Tetapi tidak ada yang mustahil sekiranya mereka membuang sengketa dan tidak mendengar hasutan pihak lain yang cuba merosakkan keharmonian itu.

Paling menyentuh perasaan pastinya melihatkan kelibat arwah Yus yang memegang watak Chot. Ini merupakan filem terakhir lakonannya sebelum meninggal dunia penghujung tahun lalu.

Vaksin: menerima pendapat pakar

Oleh Malina Osman  

STATISTIK terkini oleh Kementerian Kesihatan mengenai penyakit difteria pada 27 Julai lalu mengesahkan lagi lima kes baru dengan satu kematian. Sejak kes difteria mula dilaporkan berlaku beberapa bulan lalu dengan mencatatkan beberapa angka kematian, isu vaksin terus menjadi liputan utama dalam diskusi masyarakat kita.

‘Aura’ perdebatan mengenai vaksin ini telah pun berlegar sejak beberapa dekad lalu. Diskusi itu terus menjadi isu hangat di platform media alternatif yang akhirnya pada masa ini mereka yang menolak vaksin membentuk kelompok yang terus mencabar hebat polisi vaksin negara.

Kelompok antivaksin mempunyai sebab tersendiri untuk berbuat demikian. Bagaimanapun, pola amalan yang mereka lakukan secara berasingan itu tidak lagi terbatas secara peribadi. Kewujudan media alternatif membo­lehkan apa sahaja yang dilakukan setiap individu dikongsikan untuk tatapan awam. Ini secara umum sangat mempengaruhi individu yang tidak mempunyai asas pengetahuan dan pengalaman saintifik.

Sebahagian golongan antivaksin adalah mereka yang terpelajar serta individu yang dihormati masyarakat. Antara hujah mereka menolak vaksin ialah vaksin mempunyai komplikasi sangat bahaya, dianggap menyalahi hukum agama, agenda provokasi Yahudi serta ‘batu locatan’ pihak tertentu mengaut keuntungan.

Walau perspektif berbeza, kita perlu tahu mengapa vaksin itu wujud dan sangat disyorkan, bagaimana vaksin bertindak dalam tubuh kita serta bagaimana sesuatu vaksin itu disahkan selamat sebelum ia disahkan selamat untuk masyarakat awam.Vaksin adalah bahan yang menghasilkan antibodi dalam tubuh seseorang terhadap penyakit tertentu. Ia mengandungi komposit bahan yang dinyahaktifkan kandungan toksiknya, yang mana kandungan biologi itu diperlukan untuk mengaruhkan antibodi terhadap sesuatu penyakit secara semula jadi.

Sebagai contoh, vaksin terhadap difteria mengandungi bahan terdiri binaan molekul tertentu dari kuman difteria yang telah dimusnahkan komponen toksiknya; yang mana binaan itu menyebabkan tindak balas tubuh menghasilkan antibodi terhadap penyakit difteria.

Secara umum, penghasilan vaksin sama seperti penghasilan ubat yang digunakan dalam rawatan perubatan iaitu melalui ujian rawak klinikal yang sangat ketat serta didokumentasikan kesemua kesan sampingan yang berpotensi berlaku. Namun, pengetahuan mengenai rumitnya sesuatu ujian klinikal itu tidak difahami oleh golongan anti vaksin. Mereka secara umumnya mendefinisikan saintifik menurut acuan mereka tanpa asas pengetahuan yang benar. Justeru, fokus perbincangan mereka dalam mengemukakan hujah menolak vaksin menyimpang serta tidak mengikut terma dan syarat ilmu.

Laman web Children’s Hospital of Philadephia memaparkan hasil kajian yang sangat menarik dalam membahaskan isu ini. Pembentangan mereka pada November 2015 itu yang bertajuk Mengapa maklumat anti-vaksin sangat persuasif? Analisis kandungan laman web yang menjelaskan perkembangan strategi promosi vaksin. Kajian tersebut menilai sebanyak 480 laman web antivaksin dan mendapati sebanyak 65 peratus daripada laman web itu mengatakan vaksin sa­ngat bahaya, 62 peratus darinya menyebut vaksin menyebabkan autisme, manakala 41 peratus darinya memberikan maklumat vaksin boleh menyebabkan kerosakan otak.

Untuk menyokong hujah itu, 65 peratus dari laman web itu menyebut ia daripada pe­nemuan saintifik tanpa perincian manakala 30 peratus dari laman web berkenaan bergantung kepada testimoni! Lebih menarik, laman-laman web itu bukan sahaja memberikan maklumat tidak benar mengenai vaksin, 19 peratus daripadanya mempromosikan perubatan alternatif dan 10 peratus daripadanya mempromosikan homeopati. Tambah mengelirukan apabila ada yang mempromosikan diet tertentu sebagai ganti kepada vaksin dan merawat autisme akibat vaksin.

Kajian saintifik sebenarnya bukanlah mainan sesuatu hujah. Dalam mana-mana hasil akademik, tatacara penghasilan serta reka bentuk penyelidikan untuk mengesahkan keberkesanan serta selamat sesuatu bahan perlu diperincikan dengan menyandarkan kepada konsep validiti dan reliabiliti. Adalah tidak benar sekadar menyebut hujah penemuan saintifik namun apa dan bagaimana dilakukan tidak didedahkan. Dalam konteks penyelidikan saintifik, testimoni adalah bukti yang paling lemah untuk memberikan kesimpulan keberkesanan sesuatu bahan.

Dalam isu yang mengaitkan vaksin dan autisme pula, tidak ada bukti saintifik yang mengaitkan vaksin dan autisme. Kajian pada 1998 yang melaporkan hasil penemuan 12 kanak-kanak yang didakwa mendapat autisme akibat vaksin telah ditarik balik oleh majalah Lancet pada 2010 selepas artikel didapati mengandungi data palsu. Penyiasatan lanjut akhirnya mendapati penulis kajian tersebut sebenarnya ditaja oleh kelompok tertentu yang mengemukakan saman terhadap syarikat vaksin tertentu.

Pembohongan data kajian terserlah apabila penyiasatan mendapati lima daripada 12 kanak-kanak yang dilaporkan itu telah pun mendapat autisme sebelum mereka menerima vaksin! Namun, golo­ngan antivaksin terus membuat propaganda dan berbohong mengatakan kes tersebut sebenarnya telah disemak semula dan sebahagian data diperakui benar. Hal seperti inilah sebenarnya menjadi ‘duri dalam daging’ serta digunakan oleh mereka yang tidak kita pasti apa agendanya terus bertindak menentang polisi vaksin.

Kesimpulannya, terlalu ba­nyak skop dalam kehidupan kita yang masih tidak diketahui. Jika kita bukan ahli dalam sesuatu bidang, jangan pula memandai membuat kesimpulan. Tanyalah mereka yang lebih tahu.

PROF. MADYA DR. MALINA OSMAN ialah Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi Penyakit Berjangkit/ Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Cabaran alam maya masa kini

OLEH NOR AZARUDDIN HUSNI NURUDDIN

 PERKEMBANGAN teknologi pada hari ini terlalu pantas melangkaui peredaran zaman. Kemampuan menguasai teknologi maklumat pada hari ini akan menunjangi kehidupan kita di masa hadapan. Kini, kita hidup dalam dunia ledakan maklumat atau dalam dunia yang tanpa batasan maklumat. Maklumat-maklumat ini kesemuanya boleh dicapai dalam dunia maya. 

Mengapa maklumat di alam maya ini penting untuk dibahaskan dalam tulisan ini pada kali ini? Banyak contoh sebenarnya yang kita boleh ambil dari segi peri penting dan kritikalnya ledakan maklumat di alam maya ini. Sebagai contoh dalam bidang politik dan pemerintahan masa kini.

Jatuh bangunnya sesebuah negara atau seseorang pemimpin amat bergantung kepada kemampuan menguasai maklumat di alam maya ini. Trend pada hari ini, rakyat lebih memilih media sosial bagi mendapatkan informasi berbanding dengan akhbar, majalah dan lain-lain. Ini adalah kelebihan-kelebihan yang ditawarkan oleh media sosial seperti informasi terkini, kos yang murah, mudah dicapai di mana sahaja, boleh mendapatkan maklumat dalam bentuk audio dan visual serta banyak lagi.

Maklumat ini sedikit demi sedikit akan mempengaruhi minda rakyat sesebuah negara. Maklumat-maklumat ini akan terbentuk secara perlahan-lahan di dalam kotak pemikiran rakyat dan akhirnya setelah bertahun-tahun perkara itu akan menjadi satu ideologi ataupun pegangan yang mantap.

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan cubaan rampasan kuasa yang berlaku di Turki dan me­ngapa usaha itu menemui kegagalan. Mungkin banyak sebab yang boleh kita katakan tetapi apa yang ingin diutarakan di sini adalah peranan cybertrooper di belakang tabir.

Rakyat Turki telah menyahut seruan pemimpin mereka, Recep Tayyib Erdogan untuk berkumpul di jalan-jalan raya. Walaupun tembakan dan letupan telah menggegarkan kedua-dua bandar raya Istanbul dan Ankara selepas tentera mengambil kedudukan di kedua-dua bandar tersebut.

Apa yang kita dapat pelajari daripada peristiwa itu adalah kemampuan menguasai alam maya atau media sosial ini. Untuk menguasai alam maya ini terdapat dua cabaran besar. Pertama adalah dari segi pengisian atau informasi di alam maya ini. Apakah maklumat-maklumat terkini yang perlu diberi kepada rakyat?

Siapakah yang berperanan untuk bertindak sebagai cybertrooper? Bagaimana sepatutnya pihak kerajaan dapat memikirkan bagaimana untuk melantik beribu-ribu cybertrooper secara sukarela yang boleh berperanan di media sosial ini?

Cybertrooper ini sepatutnya dilatih agar memberikan maklumat yang tepat dan betul. Maklumat yang dirujuk dari sumber yang boleh dipercayai sahaja. Cybertrooper yang dilatih dengan penuh integriti dan terdiri dari pelbagai bidang dan pelbagai peringkat dan kaum.

Cabaran yang kedua untuk menguasai media sosial ini adalah berkaitan dengan kepakaran dari segi teknikal berkaitan teknologi maklumat ini. Kepakaran teknikal ini sangat penting untuk dikuasai kerana teknologi ini cepat berubah dengan versi-versi yang baharu. Sebagai contoh, Web 1.0 adalah generasi pertama web yang berfungsi sebagai pemberi informasi dan maklumat yang bersifat satu arah dan statik. Segala isi kandungannya adalah di tangan admin.

Contoh adalah seperti e-mel, forum dan chat. Sebelum ini ruangan untuk bersembang atau chat adalah seperti di #IRC yang mana ada saluran-saluran seperti #veteran, #kampung dan lain-lain lagi. Pada ketika itu, bersembang hanya dalam berbentuk tulisan sahaja. Tidak ada gambar, video, rakaman suara yang dapat dikongsikan.

Namun, perkembangan teknologi bergerak pantas dan seterusnya memperkenalkan kita kepada Web 2.0 yang mana isi kandungan web tersebut tidak sepenuhnya dipegang oleh admin tetapi pengunjung juga boleh mengendalikannya. Ini membolehkan pengguna berinteraksi di media sosial dan membentuk komuniti maya.

Pengguna boleh memberi komen-komen, memberi pendapat, memuat naik video, gambar serta boleh menyanyi bersama-sama atau berkaraoke yang merentasi negara. Contoh-contoh Web 2.0 ini adalah seperti Facebook, YouTube, Smule serta banyak lagi.

Perkembangan web 2.0 tidak berhenti setakat itu tetapi berkembang kepada Web 3.0. Apakah web 3.0 ini pula? Satu contoh perkembangan dalam Web 3.0 adalah seperti web semantik (web bermakna), micro-network, clouding computing serta lain-lain. Contoh-contoh lain seperti bagaimana kita ingin mendapatkan maklumat yang tepat mengenai harga kereta termurah dalam tahun tertentu misalnya.

Isu teknikal yang seterusnya ialah Internet of Things (IoT). Apa itu Internet of Things? Internet of Things ini adalah satu senario di mana benda, haiwan atau manusia di beri pengenalan khas (IP) dan membolehkan data dipindahkan melalui rangkaian tanpa menggunakan interaksi manusia-kepada-manusia ataupun manusia-kepada-komputer.

Sebelum ini, penggunaan Internet hanya melibatkan manusia, komputer dan rangkaian iaitu melibatkan perpindahan data di antaranya. Kini, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semakin maju dan penggunaan teknologi ini bukan hanya melibatkan manusia tetapi juga melibatkan benda dan haiwan yang dikenali sebagai Internet of Things (IoT).

Satu lagi isu teknikal yang menarik untuk kita fikirkan ialah isu Big Data. Setiap hari, kita menjana 2.5 quintillion byte data sehinggakan 90 peratus data di dunia hari ini dijana dalam tempoh dua tahun ini sahaja.

Data ini datangnya dari merata tempat: pengesan untuk mengumpul maklumat cuaca, maklumat yang dimuatkan di media sosial, gambar digital dan video, rekod belian dan transaksi, isyarat GPS telefon bimbit dan sebagainya. Big Data ini berdasarkan tiga parameter iaitu volume, velocity dan variety. Dengan kata lain, Big Data adalah lebih daripada suatu koleksi besar data dan cabaran pengurusan serta penyimpanan.

Sebagai kesimpulan, teknologi yang terdapat pada hari ini menjanjikan perubahan yang drastik dari semasa ke semasa. Perubahan dari segi teknologi ini sekali gus akan mengubah cara kita berfikir dan juga gaya hidup kita di masa akan datang sebagaimana yang dikatakan oleh Profesor Stephen Hawking bahawa kecerdasan buatan artificial intelligence yang telah berkembang sejauh ini terbukti sangat bermanfaat, namun beliau bimbang bahawa teknologi ini yang pada akhirnya dapat melampaui kemampuan otak manusia.

PENULIS ialah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tak mustahil naik basikal ke pejabat

OLEH NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED 

WALAUPUN bunyinya macam pelik dan kelakar tetapi percayalah tidak mustahil satu hari nanti rakyat kita terutamanya warga kota akan menjadikan basikal sebagai antara pengangkutan utama ke pejabat masing-masing. Hal ini kerana negara-negara maju yang lain sudah lama mengamalkan budaya berbasikal ke pejabat. Justeru kita yang memasang impian untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi tidak lama lagi juga boleh mengikuti jejak langkah mereka asalkan masyarakat kita lebih terbuka dan berfikiran positif.
Amalan dan budaya berbasikal dalam kalangan masyarakat kita sebenarnya bukanlah suatu perkara baru.

Dewasa ini minat rakyat kita baik golongan muda mahupun dewasa untuk berbasikal terutamanya untuk tujuan riadah dan kesihatan boleh dikatakan terus meningkat. Ini ditambah pula dengan pelbagai program berbasikal dan kayuhan amal yang dianjurkan oleh pelbagai agensi dan organisasi yang dilihat semakin merancakkan inisiatif untuk menggalakkan rakyat kita berbasikal.

Antara inisiatif yang boleh dipuji penganjuran program KL Car Free Morning oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan sokongan Persekutuan Berbasikal Kebangsaan Malaysia (MNCF) dan OCBC Bank yang diadakan sebanyak dua kali setiap bulan iaitu pada hari Ahad minggu pertama dan ketiga.
Program KL Car Free Morning dilihat mampu menggalakkan warga kota menggunakan basikal sebagai satu kaedah pe­ngangkutan di ibu kota. Program yang bertujuan mengurangkan pelepasan asap kenderaan di kawasan bandar itu diadakan setiap bulan bagi memupuk minat warga kota untuk berbasikal. Selain itu, kempen ini bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan rekreasi serta mengurangkan pelepasan asap karbon dioksida di dalam bandar.

Hakikatnya, budaya berbasikal bukan saja menyumbang kepada gaya hidup sihat tetapi turut membantu menjaga alam sekitar daripada pencemaran asap terutamanya di bandar besar dan sibuk seperti Kuala Lumpur di samping dapat me­ngurangkan kesesakan lalu lintas. Berbasikal sewajarnya menjadi alternatif yang baik kepada pengguna yang mahu mengelak dari kesesakan di ibu negara iaitu sama ada menggunakan kemudahan pengangkutan awam ataupun berbasikal ke destinasi yang hendak dituju.

Justeru penulis berpandangan sudah tidak wajar dan tidak relevan lagi untuk sesetengah golongan masyarakat secara berterusan masih menggunakan alasan bahawa amalan berbasikal ke pejabat kurang sesuai di negara ini kerana faktor cuaca. Betul, kita bukan negara bermusim sejuk seperti Jepun, Korea mahupun seperti di negara Barat lain tetapi sampai bila kita mahukan jadikan itu sebagai alasan dan penghalang untuk membudayakan amalan berbasikal dalam kalangan masyarakat kita?

Dalam konteks ini kita perlu terima hakikat bahawa kita tidak mungkin akan memperoleh musim sejuk seperti itu justeru kita perlu memikirkan kaedah dan pendekatan yang bersesuaian supaya budaya ini dapat dikembangkan. Pertama, sudah semestinya dari aspek kemudahan infrastruktur seperti laluan khas untuk berbasikal. Kita memuji segala inisiatif yang telah dilaksanakan selama ini oleh pihak DBKL dalam menyediakan laluan basikal dan kita berharap projek laluan basikal akan terus dikembangkan di kawasan strategik sekitar ibu kota supaya pada akhir­nya hampir semua lokasi utama di ibu kota dapat disambungkan dan dicapai dengan laluan basikal yang selamat dan sofistikated.

Seterusnya kita juga perlu memikirkan kaedah terbaik untuk menyediakan kemudahan basikal kepada pengguna sama ada kita boleh guna konsep sewa, pinjam ataupun menyediakan kemudahan skim tertentu untuk menggalakkan rakyat kita membeli basikal sendiri. Kebanyakan negara maju menyediakan kemudahan basikal sama ada secara percuma ataupun secara sewaan kepada pengguna yang mahu menggunakan basikal untuk bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain di mana mereka boleh pinjam dari satu lokasi dan kemudiannya memulangkan basikal tersebut di lokasi lain.

Dalam pada itu, sebagai galakkan jangka panjang penulis cadangkan pihak kerajaan menyediakan kemudahan skim rebat pembelian basikal agar lebih ramai rakyat kita mampu membeli basikal sendiri. Pihak kerajaan boleh menyediakan subsidi me­lalui skim ini di mana pengguna boleh membeli dan membayar pada harga yang lebih murah serta boleh dibayar secara ansuran.

Ini tidak mustahil untuk dilakukan misalnya pengalaman penulis di Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan penyediaan skim rebat basikal banyak membantu pelajar UPM membeli basikal dan membayar secara ansuran pada setiap semester. Melalui cara ini UPM bukan saja menggalakkan budaya berbasikal dalam kalangan warga kampus malah dapat terus memelihara status kampus hijau dengan mengekang dan mengawal pelepasan asap kenderaan yang berlebihan.

Dalam pada itu, rungutan yang biasa kita dengar dalam kalangan orang bekerja adalah keadaan cuaca di negara kita akan menyebabkan kita cepat berpeluh jika berbasikal dan tidak selesa untuk ke pejabat dalam kea­daan berpeluh. Untuk atasi rungutan ini kita perlu memastikan majikan dan setiap pejabat menyediakan bilik salinan pakaian yang khas agar mereka yang berbasikal itu dapat membersihkan diri dan mulakan kerja dengan cergas, sihat dan selesa seperti biasa. Majikan juga boleh menyediakan ruang simpanan basikal.

Ringkasnya, dalam hal ini pihak majikan perlu memainkan ­peranan yang sewajarnya kerana mereka perlu lihat betapa budaya berbasikal akan membolehkan pekerja mereka kekal sihat dan cergas sekali gus dapat meningkatkan produktiviti diri dan juga organisasi.

Memang sukar untuk kita memulakan dan membudayakan suatu amalan yang baru seperti berbasikal ke pejabat ini. Tetapi percayalah tidak mustahil untuk dilakukan andai semua pihak berfikiran terbuka dan positif di samping kesediaan pihak kerajaan untuk menyalurkan sedikit peruntukan dan pelaburan jangka panjang bagi menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan sebagai galakkan kepada anggota masyarakat yang ingin berbasikal. Kita perlu terima kenyataan betapa berbasikal bukan saja menyumbang kepada kesihatan dan kecergasan badan tetapi turut menyumbang kepada aspek penjagaan alam sekitar serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di negara ini.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Baru Nak Mula Buat Bisnes ?



Tak pasti atau masih 'blur' apa langkah-langkah awal yang perlu dilakukan?

Disini saya kongsikan apa yang perlu dibuat pada peringkat pertama bisnes langkah demi langkah (basic) :
.

1. Tentukan bisnes apa yang nak dibuat. Produk atau servis? Jual produk sendiri atau produk orang lain? Dan tentukan dimana produk / servis itu akan dipasarkan. Ini penting untuk memudahkan proses mengenalpasti target market dan specific customer kita. Jika melibatkan produk, kebagusan pakejing harus dititikberatkan selain dari produk itu sendiri. Cari designer jika mampu.

2. Cari nama syarikat - nama yang ada 'commercial value'. Mudah dibaca dan mudah diingati. Tentukan juga jenis syarikat yang nak dibuka sama ada Sole Prop , PLT atau Sdn Bhd. Buka ikut kemampuan dan tujuan.
3. Cari nama brand dan buat logo (kalau ada bajet, mohon trade mark terus dengan MyIPO - Isi borang TM5 - kos +- RM350)

4. Tentukan jawatan kita dalam syarikat. Contoh : Jawatan Pengurus untuk Enterprise, Pengarah Urusan / CEO untuk syarikat Sdn Bhd

5. Buat kad bisnes. Bagi designer buat dan cetak terus. Hanya RM30 untuk 100 keping.

6. Daftar syarikat dengan SSM (+- RM100 untuk Enterprise dan +- RM3,000 untuk Sdn Bhd). Nak daftar Sdn Bhd kena berurusan dengan syarikat Setiausaha Syarikat.
Buka akaun fesbuk, instagrem, install wasapp dll (jika belum ada)
Jika pandai buat website / blog, silakan buat :-)

7. Buat profail syarikat dan sentiasa kemaskini mengikut perkembangan semasa.
- latarbelakang syarikat
- jenis perniagaan
- produk / servis yang ditawarkan
- struktur organisasi
- misi dan visi

8. Buat Rancangan perniagaan dan kemaskini mengikut perkembangan semasa
- aspek sumber manusia
- aspek kewangan
- aspek pengeluaran
- aspek pemasaran
- aspek pengedaran

9. Sertai kursus/seminar produk atau servis bidang yang diceburi atau berkuli di syarikat yang berkaitan dengan bisnes yang nak dibuka / diceburi.

10. Join kelas pemasaran sama ada online dan offline. Kemahiran dalam memasarkan produk sangatlah penting dan kemahiran ini adalah sangat kritikal untuk menentukan kelangsungan bisnes kita.

11. Ambil gambar produk cantik-cantik. Gambar mesti jelas. Post iklan produk atau servis yang ditawarkan serta logo dalam fesbuk 10 kali sehari selama 3 bulan. Content dan headline mesti catchy. Persembahkan nilai dengan betul.

Proses pre pengenalan. (Lagi banyak friendlist lagi bagus) - nak advance lagi buat iklan fesbuk berbayar terus. Buat Fanpage.

Boleh juga post ke group wasapp, instagrem, twitter, wechat etc

12. Cetak buku bil / resit / invois / d.o . (Fast print RM200). Design buku bil / invois mengikut kesesuaian bisnes.
13. Mula menjual (Market first, sell later). Ilmu memasar lain, menjual lain. Kuasai kedua-duanya. Kenalpasti siapa dan platform apakah yang kita akan gunakan untuk pasarkan produk / servis kita. Kenalpasti channel, channel, channel. Next step adalah besarkan channel yang sesuai dan berkualiti.

Perletakan harga produk juga amat penting. Pada fasa ini kena tentukan berapa layer peringkat pengedaran yang kita nak gunakan. Contoh:
Pengeluar - Stokis - Pengedar - Agen - Customer
Pengeluar - Stokis - Agen - Customer
Pengeluar - Stokis - Customer
Pengeluar - customer

Pemilihan peringkat pengedaran sangat penting dalam perletakan harga produk dan juga margin keuntungan.
Tentukan peringkat pengedaran yang nak digunakan.

14. Ada modal sikit, pilih bank yang sesuai dan buka akaun semasa syarikat serta ambil lah buku cek. (RM1,000 - RM2,500 untuk deposit buka akaun syarikat)

15. Membeli dan membayarlah dengan menggunakan cek agar akaun syarikat aktif.

16. Semua urusniaga perlu dicatatkan / direkodkan. Paling penting adalah catat berapa RM masuk dan berapa RM keluar.

17. Simpan semua resit, voucher, bukti pembelian atau jualan.

18. Ambil maklum balas customer. Buat penambah baikan produk / servis setiap masa.

19. Perhatikan teknik pemasaran dan jualan yang macam mana paling mendatangkan hasil yang paling maksimum. Ulang yang paling berkesan.

20. Tentukan gaji pemilik dan pekerja. Asingkan penggunaan wang peribadi dengan wang syarikat.

21. Wajib tahu perbelanjaan tetap bulanan seperti gaji, sewa, bil elektrik, air agar kita tahu dan dapat plan target pendapatan

22. Upgrade ilmu pengurusan syarikat, ilmu pemasaran, ilmu kewangan dan juga upgrade produk dari segi pengiktirafan. Contoh : untuk produk makanan, dapatkan sijil halal..

Kelengkapan pakejing seperti barcode, nutrition fact cuba dapatkannya. Ini penting untuk keyakinan agen dan pembeli.
.
Bila dah dapat jualan pertama, perkara pertama yang perlu anda fikir adalah bagaimana dan apa strategi yang perlu dibuat untuk catat jualan yang mampu mencapai titik pulangan modal, barulah fikir untuk langkah seterusnya yang lebih bergaya :-)
.
PENGETAHUAN KEWANGAN (ASAS) YANG PERLU ANDA TAHU SEBELUM MEMULAKAN BISNES
=====================
.
1. Berupaya mengenalpasti dan menyenaraikan berapa (RM) jumlah perbelanjaan / overhead tetap syarikat kita sebulan. Contoh overhead sebulan = RM5,000

2. Wajib mengetahui berapa profit margin produk kita. katakan profit margin kita adalah 50%
Profit margin / margin keuntungan
= Harga jual - harga kos / Harga jual
Contoh :
Harga jual kasut = RM20.00
Harga kos kasut = RM10.00
.
Jadi, Profit margin kasut :
= RM20 - RM10 / RM20
= 50% @ 0.5

3. Mesti mengetahui berapa titik pulang modal (break event point). Berapa jumlah jualan yang diperlukan untuk capai titik pulang modal. Dengan kata lain, berapa jualan yang diperlukan untuk menjadikan bisnes kita tak rugi dan tak untung.
Bila kita tahu berapa overhead sebulan, berapa profit margin produk kita, maka kita boleh mengetahu berapa titik pulang modal kita seperti contoh di bawah :
Formula titik pulang modal
= Jumlah perbelanjaan / profit margin
= 5,000 / 50%
= 5,000 / 0.5
= RM 10,000
.
Ini bermakna, anda perlukan jualan sebanyak RM10,000.00 sebulan untuk mencapai titik pulangan modal (tak untung dan juga tak rugi) iaitu jualan yang berupaya untuk menampung perbelanjaan atau overhead tetap anda sebulan bagi produk yang profit marginnya 50%. Ia juga bersamaan dengan RM333.33 sehari.
+ Jika purata jualan harian anda tidak sampai kepada RM333.33 sehari, maka perniagaan anda adalah dalam mode 'rugi'
+ Dan jika anda dapat hasilkan purata jualan bersamaan dengan RM333.33 sehari, maka perniagaan anda tak untung dan tak rugi.
+ Dan jika purata jualan harian anda melebihi RM333.33 sehari, maka perniagaan anda dalam mode untung.
.
Sebelum anda berfikir dan berharap anda berupaya untuk menjadikan syarikat yang baru anda tubuhkan ini mendapatkan untung, saya cadangkan, belajar dahulu biar ia berupaya mencapai titik pulang modal. Jika perniagaan syarikat berupaya bertahan sehingga 3-6 bulan dalam mode tak untung dan tak rugi, ini sudah boleh dikatakan satu kejayaan besar.
.
Bila anda sudah biasa berjuang untuk capai titik pulang modal, akan datang satu masa, kita dah rasa cukup kuat dan selesa untuk 'push' jualan harian atau bulanan kita mencapai tahap keuntungan sedikit demi sedikit..
Tempoh 6 bulan tak rugi dan tak untung itu adalah tempoh kita bina jenama, bina tribe, bina kepercayaan dan bina rangkaian untuk menjadikan 6 bulan seterusnya adalah dalam mode 'buat duit'
.
Manusia perlu masa untuk jadi pelanggan setia kita. Jadi, kita perlukan modal penimbal untuk bertahan menunggu di antara selang masa mereka menjadi pengguna biasa sehingga menjadi pengguna tegar produk kita..
Adalah menjadi tugas owner untuk cari modal penimbal tersebut.
.
Pertahankan perniagaan kita untuk melepasi tempoh asas pertama iaitu 3 tahun. InshaAllah untuk ke fasa seterusnya kita dan perniagaan kita dah semakin dewasa dan makin kuat untuk berdepan dengan cabaran yang lebih besar.
.
** Mohon share jika tuan puan fikir ianya bermanfaat dan mampu membantu orang lain juga. Buat pahala sambil santai-santai
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER