Headlines News :

Dilema anak mangsa perceraian

Oleh Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal
 

KEGEMBIRAAN menerima menantu dapat dilihat daripada raut muka pasangan ibu bapa. Namun,
tidak semua bernasib baik, ada juga yang menerima menantu seorang diri kerana suami atau isteri telah meninggal dunia atau bercerai semasa anak-anak masih kecil.

Bagi pasangan pengantin pula, jika ibu bapa mereka pernah bercerai, melangkah masuk ke alam perkahwinan adalah satu langkah yang mencabar. Malah ramai daripada mereka berfikir panjang kerana takut apa yang terjadi kepada ibu bapa mereka bakal terjadi kepada mereka.

Oleh itu, ada yang memilih untuk tidak berkahwin dengan alasan “takut dapat suami macam bapa” atau “takut beristeri orang seperti ibunya!”

Dalam perkahwinan, perkara utama ialah nafkah semasa berkahwin dan selepas bercerai. Semasa pasangan berkahwin, soal makan minum, tempat tinggal, pakaian dan perubatan isteri serta anak-anak ditanggung suami sebagai orang yang bertanggungjawab memberi nafkah.

Kebanyakan pasangan hari ini tidak jelas mengenai nafkah kerana kedua-dua pasangan bekerja. Adalah lebih baik merujuk al-Quran dan hadis dalam hal ini. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah, 233: “Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan ke atas bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya,”

KETAHUI HAK NAFKAH

Berdasarkan nas tersebut adalah jelas nafkah anak tetap menjadi kewajipan seorang bapa walau dalam apa juga keadaan. Dalam kitab Fiqh al-Manhaj, kewajipan memberi nafkah kepada anak adalah berdasarkan kepada syarat nafkah usul (ayah, datuk) kepada furuk’ (anak, cucu). Usul dimaksudkan dengan bapa dan datuk (usul keturunan) yang wajib memberi nafkah kepada anaknya serta cucunya hingga ke bawah (furu’ keturunan).

Oleh itu, bapa adalah orang bertanggungjawab membiayai nafkah anak sama ada lelaki atau perempuan. Jika anak itu tidak mempunyai bapa, maka datuk iaitu ayah kepada bapa wajib mengambil tanggungjawab berkenaan.

Ini bermakna kewajipan memberi nafkah kepada anak lebih utama untuk dilaksanakan oleh bapa. Ibu tidak dibebankan dengan tanggung jawab itu tetapi apa yang diberikan jika ada dianggap pemberian sumbangan bagi membantu suami.

Justeru, apabila seorang bapa mempunyai harta kekayaan, wajib ke atasnya membiayai nafkah anaknya dengan hartanya. Jika tidak berharta tetapi mampu membuat kerja, wajib ke atasnya berusaha mencari kerja yang membolehkannya membiayai nafkah.

Dengan itu, bapa yang menganggur dan mengharapkan ibu membayar keperluan anak adalah lelaki yang tidak amanah dan berdosa. Kitab Fiqh al-Manhaj menjelaskan kewajipan seorang bapa menanggung nafkah anaknya tidak akan terjejas sekali pun mereka adalah berlainan agama.

BUKAN PERKARA MUDAH

Ramai dalam kalangan pasangan muda hari ini agak keliru atau tidak memahami konsep nafkah. Ia adalah kewajipan seorang lelaki yang bernama suami. Wajib bermakna, dibuat dapat pahala dan jika diabaikan mendapat dosa.

Namun hari ini, ramai dalam kalangan suami atau bapa tidak bekerja dan ditanggung isterinya. Isteri menjadi ketua rumah yang bertanggungjawab mencari rezeki.

Dalam kes suami atau bapa tidak sihat, gila atau tidak berkemampuan, maka tanggungjawab itu perlu dipikul oleh keluarganya iaitu bapanya (datuk kepada anak-anak) atau saudara lelaki suami atau bapa.

Persoalannya, adakah ini berlaku?

ANAK JADI MANGSA

Sekarang kita dapati lebih ramai wanita yang bekerja dan suami duduk di rumah akibat diberhentikan kerja atau berhenti kerja untuk berniaga dan akhirnya perniagaan tidak menjadi. Apabila ini berlaku, isteri dibebankan dengan semua tanggungjawab yang sepatutnya ditanggung oleh suami.

Yang lebih mendukacitakan apabila isteri sudah tidak mampu menanggung keluarganya, suami mengambil keputusan meninggalkannya atas alasan tidak mendapat layanan daripada isteri.
 Anak-anak adalah pemerhati yang jujur dan setiap apa yang berlaku dirakam dalam minda mereka dan ia akan berada lama dalam pemikiran mereka.

Dapatkah anak melupakan kesusahannya itu? Hari ini ramai pasangan muda yang bercerai dan ramai juga suami atau bapa yang secara sengaja enggan membayar nafkah anak.

Wanita merempat jadi jutawan

LONDON – Ibarat tuah datang bergolek, seorang bekas jurusolek yang hidup merempat tahun lalu,
bakal menjadi jutawan apabila pakaian rekaannya yang diperbuat daripada 3,000 butir gula-gula Skittles mendapat perhatian syarikat pakaian terkenal, Ripleys.

Sarah Louise Bryan, 27, yang merupakan ibu kepada dua orang anak lelaki mendapat idea untuk mereka pakaian wanita itu secara tiba-tiba pada suatu malam ketika dia hampir terlena.
Menurut laporan Mail Online, untuk menyiapkan pakaian itu, wanita tersebut mengambil masa selama enam jam sehari selama sebulan membabitkan 145 bungkusan Skittles yang dilekatkan menggunakan 90 tiub gam.

Bakat Bryan itu dihidu oleh syarikat Ripleys setelah wanita tersebut memuat naik gambar pakaian berkenaan yang disifatkan ‘amat mengagumkan’ dalam media sosial yang kemudian menjadi viral.
Syarikat tersebut yang kagum dengan rekaan Bryan telah meminta dia mereka cipta koleksi pakaian dan beg menggunakan jenama namanya sendiri, Sarah Louise Bryan.

Fesyen rekaannya mendapat sambutan hebat daripada selebriti se­perti artis Big Brother, Chloe Jasmine yang dilihat memakai beg ta­ngan rekaannya.

Menurut Bryan, sejak pakai­an Skittles menjadi viral, dia telah dijemput menghadiri pelbagai majlis dan pertunjukan fesyen.

Tahun lalu, wanita itu terpaksa hidup merempat tanpa wang bersama-sama anaknya dan hanya mengharap ihsan dengan me­numpang di rumah kawannya.

Kini Bryan mampu menyewa rumah yang cantik dan membeli sebuah kereta sport.

Blastosista

Oleh SAZA S 

Ruang kamar bedah pengap-sunyi. Sekali-sekali dijentik bunyi alatan pembedahan yang sedang
dikemas sungguh perlahan oleh jururawat yang bertugas. Matanya berkelintaran tidak dapat menumpukan perhatian pada kerja. Antara mahu membereskan lebihan kerja atau menjenguk seorang doktor yang sedang tersandar di dinding kamar. Hatinya berasa belas. Sungguh doktor itu sedang ditimpa walang.

Fahimi meraup wajah sesudah sapaan jururawat tadi mengetuk gegendang telinganya.

“Doktor tidak apa-apa ?” Tanya penuh prihatin. Senyuman yang manis sedaya upaya dihadiahkan. Dia membalas acuh tidak acuh. Cuba mempamerkan sekelumit penghargaan pada pertanyaan itu.

Hatinya masih rawan. Seragam pembedahan berwarna biru laut masih membalut tubuh. Pembedahan kanser hati sekitar setengah jam yang lalu, penatnya masih menggigit segala urat dan sendi. Dia bangkit berlalu dan membersihkan diri sesudah kamar bedah pengap itu ditinggalkan sang jururawat.
Dia mengerling jam di tangan. Sekitar satu pagi. Shifnya sudah tamat namun dia masih enggan beredar. Ada sesuatu yang membuat kakinya masih berjalan di aras empat hospital tempat dia menawarkan khidmat kesihatan.

“Doktor Fahimi,” Teriakan seseorang membuatkan dia berpaling. Dengan mata kuyu dia, wajah rakan sejawatan dia seluruhi. Kali ini dia tidak mampu menunjukkan kegagahan seorang lelaki. Belum sempat soalan meluncur, air matanya terlebih dahulu meluruh laju.

“Sabar Fahimi. Ini ujian untuk kamu. Hadapinya dengan tabah. Mariah sudah menunggu di kamarnya.” Doktor Zahari menepuk bahu sahabatnya itu. Dia mengerti derita rasa yang berselirat di hatinya. Sebagai seorang doktor, seorang suami, juga seorang ayah, dia juga turut merasakan bongkahan bebanan yang ditanggung. Dia langsung melorongkan Fahimi ke bangku berkusyen biru dan menyuruhnya duduk.

Zahari ada membisikkan sesuatu tetapi Fahimi tidak mendengar. Di kepalanya masih terngiang-ngiang perkhabaran yang diterima lewat telefon beberapa jam yang lalu

“Fahimi, Kondisi jantung Amin semakin parah, dia terpaksa ditahan di wad kanak-kanak.” Suara teman sekerja itu seperti halilintar yang datang lalu memanah koklea. Hatinya terus tidak keruan. Nawaitu untuk membantu kendalian pembedahan hati beberapa minit sahaja lagi hampir terencat. Mujur sahaja Mariah, sang isteri langsung memujuk agar tugasnya tidak terjejas. Serba sedikit naluri lelakinya jadi tersentap. Dia sibuk menguruskan perihal kesihatan orang lain sedangkan sakit demam keluarga sendiri tidak terlayankan.

Dari jauh, dia mengintai dari balik pintu utama wad kanak-kanak. Waktu pagi sebegini, keadaan di wad bertukar senyap. Para pesakit kebanyakan tidur. Lampu juga dimalapkan. Sekali-sekali kesunyian pecah oleh tangis anak-anak kecil yang tidak mengerti jerih perit hidup di dunia ini. Wajah Mariah yang sugul terbenam di matanya. Wajah suci sang isteri yang tidak pernah mengalah pada desakan kerjanya, wajah mulus sang isteri yang tidak pernah mempersoalkan kesibukan mahupun ketiadaannya di rumah, wajah indah sang isteri yang menjadi penyejuk mata. Kali ini, wajah itu menyebabkan tangisnya meletus. Dia cuba gagahkan diri. Semenjak dimasukkan ke wad malam tadi, inilah kali pertama dia melihat anak dan isterinya.

“Maafkan abang.” Itu sahaja yang mampu disebutnya tatkala jemarinya melingkar ke bahu isteri. Mariah lantas mendongak. Air mata Fahimi seperti berbicara segalanya. Tentang kekesalan, kesedihan serta kesebalan. Mariah jadi sebak.

“Abang jangan menangis. Ini ujian yang Allah berikan kepada kita. Bukankah ujian itu bunga kasih untuk hamba-hamba-Nya” Mariah menyeka air mata Fahimi sedang air matanya juga berguguran jatuh.

Fahimi merenung putera tunggal satu-satunya. Dilahirkan dengan kecacatan kongenital pada bahagian jantung. Salah satu injapnya tidak tumbuh secara normal lantas menyebabkan aliran dan pengepaman darah tidak dapat berfungsi secara efisien. Kesannya dinding jantung jadi menebal, membesar mengakibatkan anaknya menderitai sakit jatung di usia muda. Aduh, inikah kifarahnya meninggalkan anak dan isteri terlalu lama mendepani tugasannya selaku pengamalan sains kesihatan ?

“Keadaan Amin semakin buruk. Fungsi jantungnya jatuh merudum. Tanpa jantung yang baharu, harapan untuk pulih amat tipis.” Mariah meluahkan rasa sesudah menjatuhkan kepala ke dada suaminya. Fahimi tidak menjawab. Selaku seorang doktor dia sediri maklum tentang keadaan puteranya itu. Penderma jantung masih belum ditemui. Hidup anaknya seperti digantung tidak bertali. Hanya bisa menyandarkan harapan pada alat bantuan pernafasan dan decitan mesin yang pelbagai. Ibu mana yang tidak luluh hatinya melihat zuriat diselirati wayar alat eletronik yang rencam.
“Saya bimbang, Amin tidak sempat beraya Aidiladha bersama kita nanti” Keguasaran itu langsung tumbuh menjadi lalang resah dalam hatinya.

“Abah, kenapa kena korbankan binatang semasa hari raya Aidiladha ?” Puteranya yang berusia empat tahun itu bertanya galak.

“Hari raya Aidiladha disamput sempena memperingati peristiwa pengorbanan yang dilaksanakan oleh Nabi Allah Ibrahim. Allah memerintahkannya menyembelih anaknya sendiri, Ismail sebagai korban kepada tuhan.” Belum sempat Fahimi menokhtahkan jawapan Amin terburu mencelah.
“Korbankan anak sendiri, takutnya!” Amin membega wajah membuat reaksi gerun. Fahimi tertawa.

“Kerana ketaatan Ibrahim, dia telah memaklumkan suruhan yang diterima menerusi mimpi itu kepada isterinya Hajar dan anaknya Ismail. Ismail lantas menyuruh ayahnya mendahulukan perintah Allah.

Dengan hati yang sepenuhnya rela, Ibrahim pun membaringkan Ismail yang bersedia untuk dikorbankan. Tatkala mata parang menyentuh permukaan kulitnya, maka Allah menggantikan Ismail dengan seekor binatang dari syurga. Namanya Kibas. Dari situ, termetrailah peristiwa korban di Aidiladha.”

Amin bertepuk tangan kegembiraan. Tiba-tiba batuk kecil meletus. Fahimi segera mendakap puteranya lantas diurut-urut dada kecilnya. Dia sangat pasti itu angkara penyakit jantung yang dideritainya.

“Abah, nanti di kampung, Amin mahu lihat abah yang menyembelih binatang ya” pintanya dalam cungap bersama sejumlah cahaya yang terpancar menerusi anak mata. Dan mungkin permintaan itu akan berkubur di ruang kubikel putih ini.

Gema takbir mula kedengaran di kaca televisyen. Semesta akan meraikan sambutan hari raya Aidiladha dua hari sahaja lagi. Persiapan untuk pulang beraya di kampung terpaksa dibatalkan. Dia kembali mendekati Mariah. Wanita itu masih setia menemani Amin. Nafasnya mendesah.

Kedengaran berat sekali setiap hembusan yang ditarik dan helaannya kelihatan sungguh menyeksakan. Mariah tidak putus-putus mengusap ubun-ubunya sambil membaca kitab suci. Dia mengerti, itulah peneman Mariah paling akrab. Meja kecil di sisi katil pula terletak sebuah cawan kecil berisi ketulan ais. Air yang mencair daripada ketulan ais itu sahajalah yang boleh disuap ke mulut Amin. Bagi mengurangkan bebanan pengepaman darah oleh jantungnya yang sakit, jumlah air yang diambil terpaksa dihadkan. Riak kehausan tidak lepas menopengi wajah kanak-kanak itu.

Tiba-tiba salah satu mesin yang bersambungan ke tubuh Amin berbunyi. Lampu kecemasan menyala-nyala tidak henti. Suasana berubah cemas dan tegang. Para jururawat dan doktor yang bertugas bergegas menghampiri. Fahimi diterpa kedunguan. Kali ini mindanya tidak dapat bekerja.
“Hati Amin pula semakin parah. Sirosisnya semakin menular. Tekanan darah di bahagian hati sudah terlalu tinggi. Jika dibiarkan, bilirubin pasti mencerun tinggi.” Ucap Doktor Zahari. Fahimi meraup wajahnya. Mariah kembali menangis. “Dengan hati yang mulai memburuk, sudah pasti jantung juga tidak dapat bertahan. Untuk mengawal keadaanya tanpa dua organ utama adalah sesuatu yang mustahil.” Terang Doktor Zahari lagi.

Fahimi lantas berlari ke ruang solat. Dengan air mata yang masih enggan berhenti mengalir, diratakan wuduk ke segenap anggota dan dia membawa diri ke tikar sejadah. Seupayanya dia mengumpul seluruh kekhusyukan. Kali ini dia benar-benar buntu. Meminta kepada tuhan ditemukan pemecahan pada permasalahannya. Kali ini, fikirannya bekerja keras. Apa yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan nyawa si kecil itu. Tiba-tiba ilham menjelma. Dia langsung membawa diri ke makmal patologi. Ujian kompatibiliti hatinya dan hati Amin positif. Sebahagian hatinya boleh didermakan kepada Amin.

“Tidak ! Saya tak izinkan !” Tangisan Mariah terburai di hadapan Fahimi. Tidak sekelumit pun dia menyangka suaminya sendiri akan mengorbankan diri untuk putera mereka.

“Hanya sebahagian sahaja hati abang dipotong. Abang masih akan hidup seperti biasa dengan izin Tuhan.” Tangis Mariah masih bersisa. Hati hawanya terusik. Kini, kesihatan suaminya akan turut terjebak. Dia jadi enggan merestui.

Kali ini Fahimi pula meraih kekura tangan isterinya. “Jika Hajar bisa merelakan suruhan Tuhan agar ditinggalkannya di lembah kontang, juga meredai perintah-Nya agar putera satu-satunya disembelih bapa sendiri, inikan pula kita didatangi ujian yang serba sedikit ini.” Senyuman yang manis dihadiahkan seikhlasnya buat Mariah. Tahulah dia bahawa inilah jalan yang sewajarnya perlu diambil. Hatinya mengizinkan.

Sesudah persiapan pembedahan dibuat, Mariah menghantar Fahimi dan putera mereka Amin ke pintu kamar bedah. Hatinya luluh, air matanya luruh tanpa henti. Fahimi juga begitu. Demi anak dan isteri yang sudah terlalu banyak bekorban. Kali ini dia pula yang akan berkorban untuk mereka. Sewaktu tautan jari Mariah terlerai dari pautan tangan, sempat Mariah membisikkan pesan “Jika Allah memerintahkan api agar mendingini bakaran Ibrahim, saya doakan agar kesejahteraan yang menjadi luka pembedahan ini.”

Fahimi berasa gementar. Kali ini, trilogi cinta antara Ibrahim-Hajar-Ismail seperti benar terjadi di hadapan matanya. Amin, si anak kecil persis Ismail yang bakal dijadikan korban. Mariah, umpama Hajar yang ditinggalkan suami di gurun penantian bertemankan perlindungan dari Tuhan sedang dirinya. Apakah layak dia dimisalkan Ibrahim? Sang Khalilullah yang teguh meruntuhkan berhala, terus utuh dibakar hidup-hidup dan langsung patuh pada setiap suruhan Allah. Kali ini, dia akan menegakkan tiang pasrah dan merafakkan bendera tawakal ke langit Tuhan.

Dia percaya kalau Allah tidak akan menguji hambanya kecuali bersesuaian dengan kesanggupan mereka. Kini, keputusan ini adalah ilham yang dikirim Tuhan dalam sujud dan rukuknya tika dinihari lepas. Dia tidak akan berganjak. Biarpun kali ini yang menjadi korban adalah dia. Separuh hatinya akan dikerat dan dipindahkan ke tubuh Amin. Dia rela. Jika pengorbanan itu lazimnya menghasilkan amputasi, maka biar waktu ini, hatinya akan beranastomosis dengan hati puteranya menjadi kalbu yang terus hidup dan berdegup dalam ketaatan kepada Tuhan.

Kini, kedua-dua mereka sudah berada di ruang tengah kamar pembedahan. Langkah pertama adalah memotong separuh hatinya kemudian, bahagian tersebut akan dipindahkan langsung dicantumkan pada hati anaknya yang semakin mengecil. Bibirnya hanya basah dengan zikir dan doa. Doktor Zahari sedia memaklumkan kalau dia akan berusaha bersungguh-sungguh menyelamatkan Amin. Dia sendiri yang akan mengepalai pembedahan tersebut.

Jantungnya berdetak laju. Debaran mulai kencang bergendang. Matanya diluruskan menghadap siling. Silauan lampu bedah sedikit mengganggu pandangan. Kelihatan pakar bius yang bertugas mula menjalarkan aliran bius ke tubuhnya. Sedikit demi sedikit pandangannya terasa kabur.

Badannya terasa melemah. Dia akan terdorong masuk ke ruang bawah sedar. Namun sebelum itu, dia mahu melihat wajah puteranya sebelum dia sendiri ditidurkan oleh anestesia.

“Amin, kali ini abah akan bekorban untuk Amin.” Doktor Zahari mula berdiri di sebelah kanan katil. Dimintanya sebilah skapel. Dia akan mula membelah dada temannya sendiri.

Kring ! Kring ! Kring ! Telefon penyambung yang melekat di dinding kamar bedah tiba-tiba berdering kencang. Jururawat berdekatan lantas mencapai cekatan menjawab. Gagang disuakan kepada Doktor Zahari yang sudah bersedia untuk memulakan pembedahan. Dari dalam topeng muka yang menutupi hampir keseluruhan wajahnya, riak gembira bercampur tidak percaya terpencar-pencar sesudah menerima perkhabaran.

“Ahamdulillah, penderma hati sudah ditemukan. Pembedahan ini tidak perlu dijalankan !” Tahmid dan syukur gamat bersipongang di sekitar kamar.

“Fahimi, kibas korban sudah dikirim Tuhan !” ucapnya ke telinga Fahimi yang tidak sedar. Dia pasti, dalam lenanya itu, Fahimi sedang bersujud syukur kepada Tuhan . 

Selamatkah lagi benua Eropah?

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA

Sejak akhir-akhir ini, Eropah sering menjadi topik perbualan utama masyarakat antarabangsa apabila
beberapa siri serangan bom menggegarkan benua yang mempunyai populasi penduduk ketiga tertinggi di dunia itu.

Situasi itu dilihat semakin menjadi-jadi apatah sebahagian besar daripada pelakunya ketika ini didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas termasuk militan IS.

Bermula dengan tragedi letupan di stesen kereta api pusat di tengah-tengah bandar raya Ankara, Turki pada Oktober tahun lalu yang mengorbankan hampir 100 orang awam, Perancis menjadi mangsa berikut tragedi berdarah kira-kira sebulan kemudian selepas beberapa lokasi tumpuannya di Paris dibom sehingga meragut kira-kira 130 nyawa.

Seakan-akan tiada henti, beberapa siri keganasan terus berlaku apabila Turki dilihat paling kerap menjadi mangsa serangan bom di Eropah ketika ini dan terbaharu, Belgium pula menjadi mangsa apabila Lapangan Terbang Zaventem serta Stesen Metro Maelbeek, Brussels dibom pengganas.

Justeru, timbul persoalan, selamatkah bumi Eropah yang tersohor dengan kepesatan pembangunan dan kekayaan budayanya untuk dikunjungi ketika ini?

Pada masa yang sama, bagaimana pula kumpulan militan IS boleh menyusup masuk dan membuat onar sedangkan umum mengetahui bahawa benua itu khususnya menerusi Kesatuan Eropah (EU) mempunyai kawalan keselamatan yang ketat?

Menurut laporan Mirror.co.uk yang memetik sumber berkaitan, ada dalam kalangan pengganas itu menyamar sebagai pelarian dan menyeludup masuk ke Eropah bersama pelarian lain yang melarikan diri dari Asia Barat dan Afrika Utara.

Sumber itu mendakwa, pengganas kebiasaannya datang secara berseorangan dan berkumpulan dengan menaiki bot merentasi Laut Mediterranean.

“Mereka akan menjadi pencari suaka apabila tiba di Eropah atau gagal dikesan pihak berkuasa. Dengan cara itu, suspek dipercayai boleh membawa masuk lebih ramai anggota militan ke Eropah menerusi sindiket penyeludupan manusia.

“Ini bermakna, mereka boleh masuk jauh ke dalam Eropah dan mengelak daripada ditahan polis dan pasukan keselamatan. Tiada siapa tahu berapa ramai jumlah mereka,” kata sumber tersebut.

Walaupun ada yang mendakwa sukar untuk menghentikan ‘kegilaan’ itu daripada berlarutan kerana sasaran kumpulan pengganas itu dibuat secara rawak, namun EU menerusi Europol atau Polis Eropah tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

Antaranya ialah dengan meningkatkan aspek keselamatan terutamanya di negara-negara yang bernaung di bawah kesatuan itu.

Beberapa negara lain turut mengambil inisiatif sendiri dengan menguatkuasakan peraturan berkaitan bagi mengelak daripada menjadi mangsa serangan.

Ternyata, serangan demi serangan itu seperti ‘wake-up call’ yang mengejutkan seluruh warga Eropah serta masyarakat antarabangsa.

Dengan Perancis bakal menjadi tuan rumah kepada kejohanan Euro 2016 mulai Jun ini, ramai pemerhati berpendapat, tahap keselamatan sepanjang penganjuran itu akan menjadi ‘penanda aras’ terhadap kemampuan Eropah menangani kejadian pasca siri serangan bom sebelum ini.

Hakikatnya, Eropah masih selamat untuk dikunjungi ketika ini. Bagaimanapun, seperti pasukan keselamatan dan pihak berkuasa yang berkenaan, orang awam termasuk pelancong juga perlu mengamalkan pendekatan dengan menekankan bahawa bahaya itu ada di mana-mana dan tidak boleh dijangka.

Tambah pengawas
rahsia di sekolah

Oleh M. JASNI MAJED 

KES buli berlaku lagi. Kali ini agak berbeza. Seorang murid di salah sebuah sekolah rendah di Klang disuruh memotong lidahnya sendiri dengan gunting oleh murid-murid lain. Kes ini agak berbeza walaupun banyak kes buli sebelum ini melibatkan kecederaan.

Pertama, kes ini membabitkan murid sekolah rendah dan dibuli juga oleh murid sekolah rendah, cuma bezanya setahun. Kedua, kes ini melibatkan kecederaan anggota yang agak sensitif iaitu lidah. Seterusnya, kejadian mirip satu jenayah kerana jika benar para pembuli bertopeng kertas, ini adalah satu perkara yang dirancang.

Di samping itu, sebelum ini pun, murid tersebut pernah dibuli kerana matanya pernah lebam. Ini menunjukkan betapa kes buli di sekolah tersebut bukanlah perkara baharu. Amat membimbangkan kerana kes ini berlaku di sekolah rendah yang menunjukkan betapa anak-anak yang masih mentah lagi seakan-akan sudah biasa dan pandai membuli.

Walaupun tidak membabitkan kecederaan serius kerana murid itu sudah stabil, tetapi insiden ini perlu dilihat sebagai satu ancaman. Kita tidak nafikan suatu masa nanti pembuli-pembuli ini akan bertindak lebih ganas dan serius jika tidak diambil tindakan.

Hal ini sudah tentunya mampu menghakis kepercayaan ibu bapa terhadap institusi pendidikan negara dan nama baik sekolah sebagai tempat menimba ilmu pengetahuan. Ibu bapa bimbang kalau-kalau anak mereka juga akan dibuli dan apa-apa bentuk buli lain yang mungkin berlaku pada masa akan datang.

Dalam soal ini, pihak sekolah memainkan peranan penting untuk menentukan tahap disiplin dan tingkah laku murid-murid supaya tidak terus mengganggu sistem pembelajaran di sekolah dan mengikis keyakinan terhadap badan disiplin di sesebuah sekolah.

Di samping menambah jumlah pengawas yang sedia ada, pihak sekolah mesti melantik pengawas rahsia supaya pergerakan setiap murid boleh diawasi dengan lebih berkesan dan menyeluruh tanpa disedari. Beberapa kaedah untuk mewujudkan keberkesanan pengawas rahsia mestilah dibuat oleh pihak tertentu di sekolah supaya tindakan dan pergerakan pengawas rahsia ini tidak diketahui, waima oleh rakannya sendiri yang sama-sama memikul tugas tersebut.

Seperti pengawas biasa, pengawas rahsia juga akan melaporkan sesuatu salah laku murid atau melapor sesuatu keadaan yang mencurigakan di sekolah kepada pihak yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Biasanya murid akan menghentikan aktiviti-aktiviti negatif di sekolah sekiranya mereka melihat kelibat pengawas. Ada tindakan yang terlepas pandang oleh pengawas kerana nisbah pengawas dan murid agak besar ditambah pula dengan identiti mereka yang dikenali dengan jelas di sekolah.

Contohnya, jika ada aktiviti tidak sihat di belakang bangunan sekolah, di tandas dan seumpamanya, sudah tentu aktiviti tersebut dapat dihidu dengan mudah oleh murid-murid nakal jika ada pengawas yang datang atau ditempatkan di kawasan-kawasan tersebut. Malah, tidak menghairankan jika berlaku kes-kes pergaduhan di luar sekolah yang ada kaitan dengan kes-kes yang berlaku di kawasan sekolah, umpamanya dendam murid terhadap pengawas.

Apa-apa pun, sekolah yang mempunyai bilangan murid ramai mestilah mencari jalan agar masalah buli dan kesalahan disiplin lain dapat dibendung. Pelbagai pihak terbabit mestilah memahami bahawa apabila tahap disiplin dalam kalangan murid merosot, ini akan menyumbang kepada pelbagai masalah terutamanya kepada murid-murid yang ingin belajar dan menimba ilmu pengetahuan, dan bukannya mahu melihat pelbagai krisis yang berlaku di sekolah.

Persatuan Ibu Bapa dan Guru mestilah memainkan peranan yang lebih efisien agar masalah yang ditimbulkan oleh murid-murid dapat ditangani dan tidak berulang. Malah, usaha untuk menyekat daripada berlakunya gejala tidak sihat mestilah diutamakan dengan pelbagai pendekatan.

Bagi murid-murid yang bermasalah, pihak sekolah mestilah mengambil tindakan tegas agar mereka dan murid lain tidak berani melakukan kesalahan yang sama pada suatu masa nanti.

Gua Ini Adalah Tempat Tidur Paling Bersih

Tempat ini mungkin menjadi pilihan kedua anda untuk bermalam jika di lihat pada perskitarannya, tetapi tahukah anda bahawa fungsi rawatan kesihatan di lombong garam Ukraine adalah salah satu tempat yang terbaik untuk tidur di dunia. Sejak tahun 1970-an, ramai yang mengalami gejala isu-isu pernafasan telah datang dan menginap ditempat yang berada di bawah 300 meter di dalam tanah untuk mendapatkan tidur malam yang baik.

Saintis telah mendapati bahawa udara di dalam gua ini mempunyai kandungan bakteria yang sangat rendah walaupun berbanding dengan tempat paling bersih dalam hospital.
 

Sejak di buka kepada orang ramai pada tahun 1970-an, ramai yang mempunyai masaalah penyakit pernafasan telah turun ke lombong garam ini untuk membantu merawat penyakit mereka.

300 meter di atas lombong terdapat sebuah hospital di mana orang ramai juga boleh menerima rawatan.

Suhu sekitar 70 darjah, menyumbang kepada iklim di lombong, menjadikannya tempat yang sempurna untuk berehat.

Selain udara di dalam gua mempunyai kandungan bakteria yang rendah, terdapat juga beberapa kolam renang dalam lombong itu yang dikatakan airnya lebih masin daripada Laut Mati.



Suntik Insulin Bukan Penamat Buat Penghidap Diabetes

Oleh Nurul Halawati Azhari

Sama ada memang sikap kita atau ia hanya salah faham di Malaysia, apabila seseorang penghidap diabetes telah sampai ke tahap perlu melakukan suntikan insulin, mereka beranggapan seluruh kehidupannya juga berakhir.

Semangat mula luntur dan kualiti hidup mula menurun serta sudah tiada masa untuk bersosial bersama keluarga.

"Leceh sebab nak kena bawa macam-macam ubat," kata Alia Muhammad, 42.

Alia penghidap diabetes miletus tahap 2 sudah lebih dua tahun mengguna suntikan insulin yang perlu disuntik setiap hari. Beliau antara contoh penghidap diabetes yang lebih gemar menghabiskan masa di rumah daripada keluar bercuti atau berjalan-jalan kerana berasa sukar dan leceh dalam keadaan kesihatannya yang kurang menentu.

Sedar ia bukan penamat buat hidupnya tetapi kerana malas untuk berenyah-renyah, lebih baik duduk diam-diam sahaja di rumah.

Diabetes atau disebut kencing manis oleh kebanyakan orang di negara ini adalah satu daripada 10 penyakit yang membawa kematian di Malaysia.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015, terdapat peningkatan jumlah penghidap diabetes di Malaysia iaitu kepada 17.5 peratus pada tahun 2015 berbanding 15.2 peratus pada tahun 2011.

Ia penyakit metabolik kompleks yang semakin lazim di negara ini. Dan didefinisikan melalui peningkatan taraf glukos di dalam saluran darah (hyperglisemia) yang menyebabkan badan tidak berupaya menghasilkan serta menggunakan insulin.

Menurut Konsultan Kanan Endoktrinologi, Profesor Dr Chan Siew Pheng, jika keadaan itu berterusan, dijangkakan kadar kes diabetes di Malaysia akan terus meningkat jika tiada strategi berkesan diambil bagi membanterasnya.

"Wujud satu lompong mengenai kesedaran diabetes serta kelazimannya di negara ini dalam kalangan rakyat Malaysia. Hal ini sekaligus menghalang usaha proaktif bagi memperkenalkan kehidupan lebih sihat yang boleh mengurangkan risiko diabetes," jelas Prof Chan.

SEDIKIT MENGENAI KENCING MANIS

Diabetes adalah terma am kepada penyakit yang berkait dengan kencing berlebihan. Diabetes Jenis 1 adalah jenis 'insulin-dependant' disebabkan kegagalan insulin dihasilkan oleh badan. Ia juga disebut 'Juvenille Diabetes' disebabkan hanya biasa terjadi kepada kanak-kanak.

Manakala Diabetes Mellitus Jenis 2 pula disebabkan 'disorder carbohydrate (sugar)' metabolism atau juga dipanggil 'non-insulin dependant diabetes mellitus'. Penyakit ini dibahagikan kepada 'hyperglycemia' (gula dalam darah) dan 'glycouria' (gula dalam air kencing). Keadaan ini berlaku disebabkan kekurangan pengeluaran insulin dalam badan.

Satu jenis lagi ialah pregnancy diabetes. Ini berlaku sewaktu seseorang hamil dan akan hilang selepas bersalin tetapi boleh berterusan jika tidak dikawal.

Diabetes jenis 2 merangkumi 90 peratus hingga 95 peratus daripada jumlah pesakit diabetes. Biasanya terjadi sejajar dengan peningkatan usia, penambahan berat badan atau obesiti, keturunan atau genetik dan juga gaya hidup yang kurang aktif. Biasanya diabetes jenis ini tidak memerlukan suntikan insulin tetapi perlu dikawal dan pemakanan perlu dijaga.

Bagaimananpun jika tidak dikawal ia turut meningkatkan risiko kepada komplikasi penyakit kardiovaskular atau jantung (mikro dan makro). Malah penyakit ini turut berkait rapat dengan peningkatan kematian pramatang serta kematian yang boleh dielakkan,penyakit hati, kegagalan buah pinggang serta buta dan dipotong kaki (amputasi).

Walaupun lebih lazim dalam kalangan orang dewasa, penyakit ini turut menyerang kanak-kanak apabila kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak kian meningkat.

INSULIN

Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh pankreas manusia.

Ia berfungsi dengan menukar glukos/gula yang terdapat di dalam aliran darah menjadi tenaga.

Kehadiran insulin sangat penting bagi mengawal kadar gula dalam darah dan glukos akan ditukarkan ke dalam bentuk tenaga. Jika glukos tidak ditukar ke dalam bentuk tenaga ia akan terus berada di dalam darah dan menyebabkan pelbagai komplikasi.

Penghidap diabetes yang mempunyai masalah insulin tidak mencukupi ataupun tidak boleh dihasilkan, mereka terpaksa mendapatkan insulin yang dihasilkan daripada haiwan atau insulin yang diperbuat secara sentetik yang menyerupai insulin manusia.

Insulin tambahan ini akan disuntik ke badan pesakit untuk meningkatkan insulin dalam darah. Bagaimanapun tidak semua pesakit memerlukan insulin tambahan ini. Keperluan bergantung kepada tahap dan jenis diabetes yang dihidapi.

KENAIKAN MENDADAK

Kajian terbaharu Diabcare 2013 pula mencatatkan walaupun dengan kepelbagaian ubatan yang diambil, 76 peratus pesakit gagal mengawal tahap glukos dalam darah mereka berbanding catatan sebanyak 72 peratus pada tahun 2008.

Menurut Prof Chan, jumlah kenaikan penghidap diabetes yang mendadak di Malaysia adalah amat membimbangkan.

"Oleh kerana Diabetes Jenis 2 merupakan penyakit yang kompleks, perlu ada pilihan rawatan efektif untuk membantu pesakit mengoptimumkan kawalan glisemik mereka," jelas Prof Chan ketika ditemui pada majlis pelancaran Once-Weekly Bydureon, sejenis rawatan baharu yang diluluskan bagi diabetes jenis 2 di Malaysia.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Endokrinologi serta Diabetologi dari Universiti Tubingen, Jerman, Dr Stephan Jacob. Beliau turut menjelaskan bagaimana rawatan yang telah 10 tahun berada di pasaran Jerman dan Eropah membantu meningkatkan gaya hidup aktif pesakit diabetes yang tidak mahu dibebani dengan jadual rawatan.

Terapi suntikan secara mingguan berbentuk suntikan serbuk pelarut tersebut membantu menambah baik pengawalan glisemik bagi pesakit dewasa yang menghidap Diabetis Mellitus Jenis 2.

"Jumlah pesakit diabetes seluruh dunia juga semakin meningkat hingga ia membebankan. Hari ini kita mempunyai ramai golongan muda menghidap diabetis."

Beliau berkata Once-Weekly Bydureon dipercayai rawatan berkesan kepada pesakit.

"Ia memberi kesan baik kepada pesakit Diabetes Jenis 2 dengan pengurangan dua peratus HbA, turun 4.0 kg berat badan dan keseimbanganan dalam HbA untuk selama enam tahun. Ini menjadikan ubat berkenaan sebagai inovasi terbaru rawatan bagi Diabetes Jenis 2 dan sesuai untuk pesakit yang gemar cara hidup yang bebas dan tidak terikat dengan jadual rawatan", katanya.

PROGRAM SOKONGAN PESAKIT B+

Bersempena pelancaran itu, pihak AstraZeneca Sdn Bhd selaku pembekal turut memperkenalkan Program Sokongan Pesakit B+. Ia khusus buat pesakit yang menerima rawatan Diabetes Mellitus Jenis 2 yang menggunakan ubat berkenaan.

Antara lain program sokongan itu menawarkan Diabetic Nurse Educators yang dilatih secara khusus untuk mengajar pesakit kaedah penggunaannya. Di samping turut memberikan kaunseling dan mendidik pesakit mengenai amalan diet serta gaya hidup yang sihat.

Program berkenaan turut merangkumi peringatan rawatan mingguan, risalah serta akses kepada pengamal perubatan profesional bagi sebarang pertanyaan mengenai rawatan mereka.

Bagaimanapun, pesakit perlu mendapatkan kebenaran dan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum menyertai program itu.

BERNAMA


Ringgi

Oleh Arbanji Paipi

Terkenal di sebelah utara semenanjung. Apakah ringgi itu? Ringgi adalah sejenis makanan, diproses dari padi pulut jenis 'gantung alu'.

Ketika padi sedang bunting susu, di'ketam' disebelah pagi, kemudian dibawa balik ke rumah, dikukur menggunakan tempurung kemudian sebelah petang padi tersebut di'rendang' sehingga susunya menjadi menjadi sedikit pejal.

Sebelah malam, padi kemudian ditumbuk menggunakan lesung hindik sehingga keluar isi dalam disebut ringgi. Proses berjalan sering berganti antara menumbuk dan menampi sehingga mendapat ringgi. Hampa padi yg masih hijau pulak boleh dibuat umpan ketika menangkoi udang di sungai.

Ringgi yg terhasil boleh dimakan dengan susu. Atau dengan air kopi, milo dsbnya. Ringgi bukannya emping dan jarang dimakan dengan nyioq kukuq.

Di daerah Kubang Pasu, ada bbrp kampung dulu yg terkenal dengan pengeluaran ringginya.

Antaranya kampong Pulau Timbul. Ringgi juga diusahakan di Perlis dan Selatan Thai di daerah Setol dan Terang.

Tetapi kini susah untuk mendapatkan ringgi.
 Saya bernasib baik semalam dapat sekepoi ringgi. Harga ringgi satu kepol RM16. Bermakna satu gantang RM256.

Wanita dan maruah diri

Oleh Prof. Madya Dr. Saodah 
Abd Rahman

WANITA ialah makhluk Allah SWT yang dihiasi dengan sifat-sifat kewanitaan seperti malu. Malu adalah sifat yang membatasi wanita daripada melakukan sesuatu perkara atau perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah dirinya.

Jika wanita beranggapan bahawa kecantikan tubuh badan adalah satu kebanggaan yang perlu didedahkan kepada orang ramai maka wanita itu tidak segan silu berpakaian mencolok mata atau separuh bogel di khalayak ramai. Konsep dan prinsip pemikiran begini semakin meluas mempengaruhi pemikiran wanita yang bercirikan kehidupan sekular yang mengangkat hedonisme sebagai satu cara hidup.

Konsep dan corak hidup wanita yang tidak bersandarkan kepada nilai agama dan budaya bukan sahaja boleh menyebabkan mereka melakukan apa sahaja mengikut hawa nafsu dan cita rasa mereka malah juga boleh menjatuhkan maruah sebagai wanita yang perlu dihormati. Tinggi atau rendah maruah wanita adalah bergantung kepada prinsip dan corak kehidupan mereka. Negara yang dihuni oleh umat Islam dan masyarakat beragama tidak akan menerima sebarang budaya yang boleh menjejaskan kewibawaan sebagai manusia yang bertamadun dan memiliki nilai budaya dan agama.

Sebarang aktiviti hiburan liar yang membabitkan penganut agama Islam tidak sepatutnya berlaku di negara yang mengangkat agama Islam sebagai agama rasminya. Jika pesta begini adalah amalan masyarakat Barat maka setiap individu yang berada dalam negara ini termasuk pelancong perlu menghormati budaya masyarakat dalam negara ini yang majoritinya beragama Islam.

Kebebasan individu tanpa batasan bukan menjadi budaya masyarakat beragama. Setiap agama mempunyai nilai murni yang mampu membentuk penganutnya supaya menjadi individu yang mempunyai maruah dan harga diri.

Tidak kesemua masyarakat sekular beranggapan bahawa setiap individu mempunyai hak untuk melakukan apa sahaja sehingga ke tahap berbogel di khalayak ramai. Masyarakat yang bertamadun memiliki ciri-ciri budaya dan nilai hidup yang murni. Mereka cuba menaikkan taraf masyarakat sebagai manusia yang sejati iaitu berpakaian dan bertingkah laku yang boleh menjadi contoh dan teladan kepada masyarakat lain.

Wanita sepatutnya lebih prihatin terhadap tingkah laku dan budi pekerti dalam kehidupan seharian mereka. Tingkah laku yang liar se­perti berpakaian separuh bogel dalam pesta-pesta hiburan dan seum­pamanya adalah simbol kepada ke­gelisahan dan ketidakpuasan dalam kehidupan dipamerkan dalam bentuk tingkah laku yang bertentangan dengan fitrah manusia. Setiap manusia yang bermoral dan mempunyai nilai kerohanian amat prihatin terhadap perwatakan dan penampilan diri dalam masyarakat.

Fesyen pakaian yang terlalu mendedahkan tubuh badan mungkin dianggap sebagai satu kebebasan dan kepuasan wanita tetapi hakikatnya wanita meletakkan diri mereka ke tahap yang boleh dipersendakan oleh lelaki.

Negara yang bercirikan budaya agama tidak akan berkompromi dengan individu-individu yang mempunyai pemikiran hedonist tanpa batasan. Persekitaran kawasan pantai dan tempat peranginan negara sepatutnya tidak dicemari dengan pengunjung yang tidak berpakaian kerana budaya demikian bukan sahaja tidak menyenangkan pengunjung lain malah boleh menyebarkan budaya liar ke negara ini secara perlahan-lahan.

Dalam era globalisasi pengaruh hedonisme semakin menular dalam negara Islam kerana kemajuan teknologi komunikasi begitu aktif menyebarkan pemahaman dan ideologi berkenaan.

Penganut ideologi hedonist merasai bahawa perbuatan dan tingkah laku mereka adalah satu keseronokan dan kepuasan yang ingin disebarkan kepada masyarakat tanpa mengira sempadan geografi. Pengaruh ideologi ini jika tidak dibanteras akan mempengaruhi pemikiran dan jiwa remaja Islam.

Remaja Islam yang kurang ajaran agamanya mudah dipengaruhi oleh unsur-unsur begini kerana mereka sering didedahkan dengan ideologi tersebut melalui media sosial yang pantas penyebarannya.

Jika pesta liar menjadi budaya remaja Islam maka akidah Islam semakin hari kian pudar dalam pemikiran dan hati nurani mereka. Ketika ini isu penukaran agama menjadi satu fenomena dalam masyarakat negara Islam.

Umat Islam diseru oleh Allah supaya memelihara masyarakat Islam daripada dipengaruhi oleh unsur-unsur yang boleh mengakibatkan mereka terpesong daripada fitrah kejadian manusia. Jika pesta liar tanpa pakaian itu menjadi tradisi masyarakat bukan Islam maka pengaruh tersebut sepatutnya tidak dibenarkan berlaku di tempat-tempat peranginan di negara Islam. Keindahan alam dalam dunia Islam tidak sepatutnya dicemari dengan pesta liar dan tidak bermaruah.

Setiap pelancong yang mengunjungi negara ini bebas bergerak tetapi mereka perlu menghormati budaya dan tradisi masyarakat tempatan. Agensi pelancongan, hotel dan kawasan peranginan perlu memaparkan maklumat kepada pelancong mengenai peraturan mengunjungi pantai dan tempat peranginan di negara ini. Ramai pelancong dari negara Barat dan luar tidak mengetahui dan memahami budaya negara Islam kerana mereka didedahkan dengan budaya sekular bercirikan corak hidup hedonist tanpa batasan. Mereka bebas melakukan sebarang tingkah laku di pantai-pantai dan tempat peranginan di negara mereka.

Konsep kebebasan dan kecantikan yang dipegang oleh masyarakat hedonist amat berbeza dengan prinsip kehidupan masyarakat beragama. Pesta lelaki dan wanita tanpa pakaian di pantai-pantai dan tempat peranginan adalah perkara biasa bagi mereka. Terdapat pantai-pantai di negara sekular seperti Switzerland dan seumpamanya hanya membenarkan lelaki dan wanita tanpa pakaian sahaja menikmati sinaran matahari di musim panas.

Budaya sedemikian perlu dihindari oleh masyarakat Islam kerana bertentangan dengan fitrah kejadian manusia yang menganuti agama Ilahi. Islam menyeru umatnya menjadi manusia yang mempunyai nilai budaya dan tamadun yang bercirikan fitrah kejadian manusia di mana ia berbeza dengan corak kehidupan makhluk yang tidak memiliki sejarah dan tamadun.

Prof. Madya Dr. Saodah 
Abd Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Air

Oleh Ghozali PK

“Air yang mem­ben­tuk pulau-pulau?”
 Pertanyaan anak bongsuku meletus dengan tiba-tiba di mukaku. Ia agak mengejutkan. Ia juga mengejutkan kakaknya. Akibatnya, pertanyaan itu mendapat bantahan keras daripadanya. 
“Jangan ganggu ayah sedang bercakap.”
Aku tahu anak lelaki bongsuku ini tidak akan mempedulikan bantahan kakaknya. Dia memang seorang anak yang keras hati dan tidak mahu mengalah. Dan dia juga seorang anak yang pintar. Apa saja yang dia tidak faham, dia akan terus tanya. Tanpa tangguh-tangguh. Berbeza dengan kakaknya yang lebih berhati-hati dan tidak beret mulutnya.


Aku bagai tercari-cari akan jawapan yang kuharap dapat memuaskan naluri ingin tahu Em.
“Bagaimana?” desaknya lagi.

Fikiranku menyelinap jauh ke dalam terowong ingatan - ke
jantung zaman kanak-kanak yang penuh dengan pertanyaan-pertanyaan tanpa jawapan - dunia yang penuh dengan pancaroba minda, mata dan telinga. Aku masih ingat dengan jelas kata-kata ayah. Dingin suasana malam itu - di mana air menjadi pokok persoalan ceramah bulanan ayah. Di luar, angin mendesah dedaunan. Ranting-ranting pauh menggesel atap zink rumah kami, menciptakan muzik alam yang misteri.

Hujan lebat yang turun pada sebelah petang membentuk lopak-lopak kecil di sekitar halaman rumah. Dari celahan timba layar kulihat langit yang bersih - tersimbah cahaya bulan penuh empat belas Safar.

“Airlah yang membentuk pulau-pulau...”

Mersik kata-kata ayah. Lembut dan jelas sebutannya. Hingga aku dapat membayangkan arus sungai yang berlenggang santun dari hulu yang berlata hingga ke lembangan dan muara yang landai dan berlumpur. Ayah dianugerahi Allah sebagai seorang orator. Puluhan kali ayah menjadi juara debat dan johan deklamasi puisi di zaman persekolahannya. Puluhan piala dan sijil tersimpan dengan rapi di dalam almari kayu jati yang dihiasi ukiran seni Melayu.

Ayah mengetuk-ngetuk hujung cerut cap tekonya di bibir tin biskut yang sudah bertukar peranan sebagai tempat abu
rokok. Aku seringkali ditugaskan ayah untuk membeli cerut di kedai runcit tidak jauh dari rumah. Ayah memang minat cerut cap teko. Kalau cap itu tidak ada, cap ayam menjadi pilihan keduanya. Dia tidak sukakan rokok moden. Banyak kimia dan lebih candu, katanya.
Aku teringat saat menanyakan soalan yang sama kepada ayah.
“Bagaimana?”

Dan aku teringat betapa peritnya pahaku dicubit oleh kakakku kerana mencelah percakapan ayah.
Aku mendengar ayah mengeluh seketika sebelum menjawab pertanyaanku. Bulan sebelumnya ayah juga mengeluh ketika bercerita tentang tanah air dengan topik “pengertian dan cabaran sebagai anak watan”. Ayah juga mengaitkan konsep muafakat ketika menyampaikan ceramahnya. Kebiasaannya ayah menyampaikan ceramah kepadaku, kakak dan adik bongsuku pada malam Jumaat. Kami kehilangan ibu ketika arwah melahirkan adik bongsuku.

“Tepu atau tohor paras air sungai membentuk arus. Arus yang kuat akan memberikan tekanan di kiri kanan tebing lalu menimbulkan beting di tengah sungai. Lama kelamaan terjadilah pulau...tumbuhlah pohon-pohon...” Ayah menjawab penaka seorang guru geografi sekolah.

Ayah menghela nafas sekali lagi. Bagaikan telah melepasi satu ujian perperiksaan yang getir. Buat masa itu aku akur dengan penjelasan ayah. Selain sekolah, buku-buku dan surat khabar, ayahlah sumber rujukan kami. Namun, ketika aku melangkah ke alam remaja, mengenal alun dan gelombang kehidupan sebenar, jawapan ayah kelihatan terdapat kelompongan di sana sini. Atau ayah sengaja tidak mahu berterus terang kepada kami adik-beradik. Sengaja mahu berkias dan berteka-teki.
(Akhirnya setelah dewasa kuketahui melalui kamus budaya bahawa orang Melayu itu sifatnya lemah lembut dan sopan santun - suka akan kiasan, pantun serta bidalan. Tidak gemar ia berterus terang).

Apakah cerita pembentukan pulau yang disampaikan oleh ayah dibaca secara harfiah saja? Atau ia adalah sebuah kiasan? Dan ayah mahu menyembunyikan maksud sebenar cerita air sungai dan pembentukan pulau daripada kami?

Dan di hujung-hujung malam, ketika aku menelaah mata pelajaran fizik di kamsis, cerita air membentuk pulau-pulau yang disampaikan ayah selalu saja mengusik dan mencabar fikiranku. Aku mengaitkannya dengan apa saja - kekeluargaan, percintaan, alam dan agama. Sengaja kuputarkan lagu-lagu lama untuk menemaniku - Malaya Tanah Airku, Air Mata Kasih dan Sungai Pahang. Aku kagum dengan senikata lagu-lagu tersebut. Hebat kreativiti penulis-penulis liriknya.
Aku teringat sebaris senikata yang bercerita tentang sungai.

‘Zaman tori, bergemilang sejarahnya

 Ramai gugur pahlawan di tebing sungainya...’

Lalu terbayang di mataku pahlawan-pahlawan seperti Tok Gajah, Mat Kilau serta rakan-rakan mereka bergalah di arus sungai yang garang, mengelakkan beting dan cegar, demi mempertahan watan negeri Pahang daripada serangan penjarah Inggeris. Agaknya di air sungailah mereka mengasah keris, golok dan lembing. Dan di pulau-pulau di tengah sungai jugalah mereka berehat atau bermalam untuk beristirehat dan memulihkan tenaga. Mereka punya muafakat yang erat.

Ah, cerita ayah memang ada dalam semua lagu-lagu itu!

Ayah memang mampu menjadi seorang penulis lirik yang hebat, jika dia mahu.

Fizik pula mengajarku bahawa pergerakan air di arus sungai sudah mempunyai pembentung yang alamiah. Ia bukan ciptaan manusia. Air bergerak dengan pantas dalam pusaran dari kiri ke kanan untuk mewujudkan tenaga kinetik dan potential. Jika tidak, masakan air boleh mengalir menuju muara!

Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat!

Betapa bijaksananya nenek moyangku menyaring fenomena alam untuk manfaat kehidupan manusiawi.

Tanpa pembentung sebegitu masakan ahli keluarga hatta masyarakat boleh menghasilkan muafakat? Aku cukup berterima kasih kepada arwah ayah yang telah mengajarkan kepadaku ilmu air mencipta pulau-pulau...

Dan saat ini aku pula harus berdepan dengan cabaran yang sama daripada Em. Berbanding dengan eraku dulu, sudah tentu dia terdedah kepada lebih banyak maklumat - dia ada Internet dan Google!
“Arus yang berpanjangan boleh menghasilkan rejuvinasi dasar sungai. Hasilnya apabila di kiri kanan sungai menjadi dalam, tanah di bahagian tengah akan menjadi pulau...”

Aku cuba mengutip maklumat daripada ceramah ayah puluhan tahun dulu dan memberikan sedikit olahan dalam penyampaiannya agar nampak segar, meski dengan maksud yang sama. Daripada kerut dahinya aku dapat membaca isyarat bahawa peneranganku tidak meyakinkan Em.

“Bagaimana pula jika banjir berpanjangan, akan hilangkah pulau-pulau?” tanyanya lagi.

“Er, abah rasa begitulah...” Aku langsung tidak bersedia dengan soalan tambahan Em.
Em hanya tersenyum.

“Jom tidur, esok ada ujian akhir tahun....” Celah Sara, kakaknya, yang berada di tingkatan lima.
Kedua-dua mereka memang pintar. Tidak pernah jatuh dari nombor tiga. Abang mereka sudah berada di kolej. Tidak seperti Em, abangnya berat mulut.

“Boleh dapat nombor satu lagi, Em?” usikku, ketika dia melangkah ke bilik tidur.
“Em rasa begitulah, abah...”

Aku tersenyum dalam hati - sudah pandai rupanya anak lelakiku ini berjenaka.
Pasti cerita tentang air dan pulau masih lagi berlegar dalam benaknya. Entahkan cerita itu akan mewarnakan mimpinya.

Ayahku juga pernah memetik sebuah perumpamaan lama dalam salah satu ceramahnya.
“Kalian tahu, benih yang baik menjadi pulau...”

Dan dalam hatiku terbetik taakulan – bukankah air yang mengasuh benih yang baik itu? Tanpa air akan sirnalah kehidupan.

Ayah dan aku bercerita tentang air. Barangkali Hir, Sara dan Em juga akan menceritakannya kepada anak-anak mereka nanti.

Dalam pada itu aku tidak pasti adakah cerita air yang kusampaikan kepada Em dan kakaknya akan mening­galkan kesan yang kuharap­kan. Aku hanya mampu berdoa. Cerita air ayah kepadaku ternyata tidak begitu menjadi. Pembentung yang ayah harapkan juga tidak menjadi. Kami sudah terpisah jauh di jagat raya ini. Hanya adik bongsuku yang kini menguruskan rumah pusaka di kampung. Aku merasa cukup beruntung bila dia membaik pulih rumah pusaka yang berusia hampir seratus tahun itu dan menetap di situ. Kalau tidak rumah tua itu sudah tentu menjadi habuan anai-anai. Sesekali dia ada menelefonku, menceritakan perihal pohon-pohon durian Musang Kingnya yang dikerjakan tupai kerawak atau anak-anak pohon pisang berangannya yang digali si kerbau pendek. Pada mulanya aku mencadangkan supaya rumah itu diserahkan saja kepada Baitulmal. Namun, apabila adikku ingin tinggal di situ, aku merelakannya.

Jika aku ke utara, sesekali aku juga singgah menjenguknya. Dia hidup cara kampung. Aku tidak tahu kenapa dia tiba-tiba meletakkan jawatannya sebagai jurutera kanan dan kembali ke kampung. Tetapi kulihat kehidu­pannya cukup aman. Air muka adikku menggam­barkan semuanya.

Apabila kutanya kenapa dia memilih untuk kembali ke kampung, dia hanya memberikan penjelasan ringkas kepadaku.

“Keenam-enam orang anakku memintaku dan emak mereka supaya usah lagi bekerja. Wang yang mereka berikan setiap bulan kepada kami sudah lebih daripada mencukupi. Setiap bulan semua mereka akan datang bermalam di kampung. Kami makan bersama - macam mereka kecil-kecil dulu.”
“Kau menceritakan tentang air dan pulau kepada mereka?” tanyaku berseloroh.

“Sudah tentu. Airlah yang membentuk pulau-pulau...” jawabnya dengan senyum yang terkulum.
Kami ketawa bersama. Ya, kampung adalah sumber yang kaya dengan ilmu akhirat dan ilmu dunia.
Di sanalah kali pertama aku mendengar penjelasan tentang anasir-anasir tanah, air, api dan angin yang mewujudkan hakikat kehidupan dan hakikat insan. Dari satu sudut, adikku membuat pilihan yang tepat.

“Airlah yang memberi kesejukan berbanding anasir-anasir lain,” jelas Lebai Kulup Rani, imam tua di surau kampung. “Kalau sedang marah, cepat-cepat pergi berwuduk, nanti dapatlah kesejukan,” tambahnya lagi.

Kini surau itu sudah tidak lagi digunakan. Banyak tiangnya sudah reput. Ada perabung dan gegulung yang sudah patah. Hanya menunggu saat untuk menyembah bumi. Air di kolah juga sudah lama kering. Air yang sekian lama menyempurnakan wuduk bagi para jemaah. Menurut anak Lebai Kulup Rani ramai anak muda sudah berhijrah ke bandar. Orang tua pula sudah ramai yang pergi. Malahan kebun-kebun kelapa sawit di sekitar kampung dipenuhi oleh pekerja-pekerja asing. Mujurlah ada masjid baru di kampung berdekatan.

“Kadang-kadang hendak mendirikan solat Jumaat pun susah, Di kampung ni, bilangan babi sudah melebihi bilangan orang” katanya dengan sinis.

Aku tidak tahu bagaimana adikku menangani semua itu. Apatah lagi dia mengusahakan kebun pisang dan dusun buah-buahan. Tetapi aku tahu dia seorang yang cekal dan berkeyakinan tinggi terhadap apa saja kerja buatnya.

Ah kampungku, ke manakah hilangnya muafakat?

Aku dan adikku tidak tahu di mana rantaunya kakak sulung kami. Kami sudah terputus hubungan langsung. Sejak tamat belajar di luar negara dia terus tidak pulang ke tanah air. Lesap bagai hilangnya pesawat udara di skrin radar. Tanpa pesan, tanpa kesan. Hanya gambaran wajahnya saja yang bermain di mata saat rindu singgah di benakku. Hanya sekali dia pulang ke kampung. Itu pun kebetulan dia kembali untuk mengumpulkan bahan-bahan untuk tesis sarjananya. Sayang, ketika itu ayah sudah terlantar di hospital. Dia tidak lagi mampu bercerita kepada kami.

Entahkan dia sudah berkahwin ataupun tidak. Yang pasti dia bermastautin di luar negara. Barangkali dia sudah melupakan tanah air. Dan jika kakak sudah berkeluarga dan punya anak, apakah dia ada menceritakan tentang air sungai membentuk pulau-pulau kepada anak-anaknya? Atau pun dia sudah melupakan cerita ayah sama sekali? Tidak mengapalah. Aku mendoakan yang baik-baik buat kakak. Walaupun muafakat tidak berkekalan, kami adalah dari darah daging yang sama. Dari benih yang sama. Aduhai, ke mana hilangnya pembentung?

Aku tidak dapat mencari jawapannya.

Sekali, semasa singgah di rumah adik aku sempat meninjau-ninjau di tebing sungai. Ternyata pulau-pulau comel di tengah sungai di kampungku sudah lama ditelan arus. Hilang entah ke mana. Alangkah sayunya hatiku.

Fenomena Ekuinoks, 
perubahan iklim

BEBERAPA hari kebelaka­ngan ini selepas berlaku gerhana matahari pada 9 Mac lalu, rantau Asia Tenggara kembali dikejutkan dengan isu gelombang panas matahari. Fenomena panas ini dikaitkan dengan kehadiran aktiviti tahunan matahari iaitu Ekuinoks yang umumnya berlaku dua kali dalam setahun.

Pada tahun ini, Ekuinoks pertama berlaku pada 20 Mac dan enam bulan dari sekarang, Ekuinoks kedua dijangka berlaku pada 22 September. Dua musim astronomi ini masing-masing dikenali sebagai Ekuinoks Mac (vernal Equinox) dan Ekuinoks luruh (autumnal Equinox).

Secara asasnya, peristiwa Ekuinoks ini berlaku apabila matahari boleh diperhati tepat di atas garisan Khatulistiwa bumi dengan sudut keserongan 0 darjah. Kesan daripadanya menyebabkan jumlah panjang masa siang dan malam adalah sama. Jumlah ini adalah sama di hemisfera manapun di dunia.

Dengan sinaran matahari yang diterima penuh setiap hari, kita yang tinggal di sekitar Khatulistiwa mungkin tidak merasakan perbezaan panjang siang dan malam ini.

Kedua-dua Ekuinoks yang berlaku di atas adalah berubah-ubah setiap tahun. Ekuinoks Mac berlaku sekitar 20 hingga 21 Mac dan Ekuinoks musim luruh berlaku sekitar 22 hingga 23 September.
Perbezaan masa tersebut disebabkan bumi dalam orbitnya mengelilingi matahari dengan kecondongan 23.5 darjah.

Perbezaan ini pula menandakan berlakunya satu musim baharu di sesebuah kawasan. Dengan kata lain, di hemisfera Selatan mula musim luruh (autumnal Equinox) dan sebaliknya di hemisfera Utara mula berlaku musim bunga (spring Equinox).

Adalah tidak dapat dinafikan bahawa Ekuinoks pertama tahun ini membawa spekulasi kenaikan suhu daripada aras normal. Di beberapa kawasan di Asia Tenggara (Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta), suhu dilaporkan mencecah lebih dari 36 darjah Celsius, terutamanya kawasan yang berada tepat dalam garisan Khatulistiwa dan kawasan pantai.

Ramai yang mengatakan bahawa aktiviti musim Ekuinoks kali ini berkait rapat dengan serangan panas matahari yang melampau di mana matahari menghasilkan panas lebih tinggi berbanding hari biasa.

Dilihat dari sejarah astronomi, Ekuinoks Mac ini hanya memindahkan pemerhatian kedudukan matahari yang sebelumnya berada di cakerawala langit Selatan bertukar ke cakerawala langit Utara.

Ertinya, selepas Ekuinoks Mac ini, hemisfera Utara akan menerima banyak sinaran matahari berbanding hemisfera Selatan. Perubahan kitaran kedudukan matahari ini pulalah yang menyebabkan adanya pertukaran musim yang kita rasakan di bumi.

Walaupun tiada kaitan langsung antara Ekuinoks dengan peningkatan suhu di bumi, Ekuinoks Mac ini membawa perubahan yang ketara dari musim hujan kepada musim panas. Semasa matahari melintas di hemisfera Selatan, musim hujan banyak berlaku di kawasan ini. Dengan kata lain, semasa matahari berkedudukan tepat di atas kepala (Ekuinoks), ini memberi makna bahawa peristiwa Ekuinoks adalah sempadan antara musim hujan dan musim kemarau.

Semasa kedudukan matahari hari bergerak ke arah utara, suhu di bumi akan meningkat dan tekanan udara menjadi rendah. Ramai juga yang mengaitkan kejadian Ekuinoks ini dengan pemanasan global. Pemanasan global adalah kesan daripada perubahan iklim.

Satu perkara yang perlu diingatkan dengan pertukaran musim ini adalah angin akan bertiup dari arah Selatan menuju ke Utara melewati Malaysia dan negara-negara yang berdekatan dengannya.

Angin dari arah Selatan ini bersifat kering dan akan membawa kesan jerebu ke Utara. Bergantung kepada pembentukan zarah-zarah di atmosfera, peredaran angin, dan cuaca panas dan hujan yang berkurangan boleh menyumbang kepada berlakunya jerebu.

Fenomena jerebu dari tahun ke tahun hampir sukar dielakkan selain atas sebab perubahan iklim itu sendiri dan juga aktiviti perlada­ngan yang tidak terkawal. Oleh itu, pihak kerajaan perlu mencari jalan terbaik dan lebih berkesan untuk membendung kejadian ini.

Salah satu punca cuaca panas kali ini kemungkinan terdapat pertembungan antara Ekuinoks dan El Nino. Merujuk kepada data putaran selatan El Nino (ENSO) daripada NOAA, fasa panas El Nino tahun 2015 masih dikesan tinggi. Ini berikutan suhu permukaan laut tropika di Barat Pasifik (kawasan Nino 4.3) menunjukkan keadaan El Nino yang masih kuat dan akan melemah menjelang pertengahan 2016. Peningkatan suhu ini dikuatkan lagi oleh laporan Met Office British bahawa purata suhu global 2016 telah meningkat antara 0.72 dan 0.96 darjah Celsius.

Ini memperjelas cuaca panas yang berlaku pada sebelum hingga 20 Mac 2016 adalah anomali biasa.

Anomali ini sedikit dirasakan berbeza pada hari Ekuinoks di mana langit pada waktu tengah hari sedikit dilitupi awan panas dan dua ke tiga jam kemudian, hujan lebat telah berlaku di kawasan Putrajaya dan Kuala Lumpur berserta kawasan sekitarnya.

Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa maklumat cuaca yang diedarkan oleh bukan pihak berkuasa perlu diteliti dan diuji kesahihannya.

Perubahan musim ini adalah amat penting dalam pelbagai sektor kehidupan. Justeru, edukasi fenomena oleh pihak berkuasa kepada masyarakat perlu dipergiat untuk memberi kesedaran amaran awal yang berkesan. Akhirnya, fenomena Ekuinoks Mac ini memberi petanda yang semakin jelas bahawa musim kemarau akan berlaku di rantau ini.

PROF. MADYA DR. WAYAN SUPARTA ialah Felo Penyelidik Kanan, Pusat Sains Angkasa, Institut Perubahan Iklim (IPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Buah Zaitun : Khasiat dan Keistimewaannya

Oleh Norkumala binti Awang

"Demi buah tiin dan zaitun. Dan Gunung Tursina". (Surah at Tiin ayat 1 dan 2). Allah telah menyebut di dalam Al Quran berkenaan dengan buah zaitun. Ini menunjukkan buah zaitun juga memiliki banyak keistimewaan tersendiri yang jarang diketahui dan diselidiki. Di dalam Al Quran, buah zaitun disebut sebanyak 7 kali di mana sebanyak 2 kali, ia di sebut bersendirian dan 5 kali lagi ia digambarkan dalam Al Quran bersama dengan buah- buahan lain seperti tamar, delima, anggur dan buah tiin. Gambaran ini menunjukkan betapa banyaknya khasiat buah zaitun sepertimana buah- buahan lain yang mendatangkan kebaikan kepada kehidupan manusia sejagat.

Buah zaitun atau nama botaninya dikenali sebagai olea europea ditanam di kawasan Meditranean tetapi tempat penanaman yang paling utama ialah Sepanyol, Turki, Itali, Tunisia dan Morocco. Di dalam surah an Nur ayat 35 juga Allah menyebut tentang buah zaitun yang mana ulama seperti Maulana Majid, Maulana Maudoodi, Maulana Usmani, Maulana Haqqani dan Abdullah Yusuf Ali memberi pentafsiran dan pandangan yang sama merujuk kepada tempat dan taburan penanaman buah zaitun.

Dunia moden pada hari ini, melalui kajian- kajian sains semasa mengiktiraf khasiat buah zaitun. Minyak zaitun mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang perubatan. Seandainya minyak zaitun diambil sebagai bahan makanan, ia bertindak sebagai penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang. Jika minyak zaitun diambil sebagai sapuan luaran, ia bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan psoriasis seterusnya dapat meremajakan kulit. Menurut Tarmizi dan Ibn Majah, Nabi Muhamad SAW bersabda, " Makanlah minyak zaitun, dan sapulah kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati".

Dari sudut pandangan sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai "monounansaturated" yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah. Satu kajian yang telah dijalankan oleh pakar- pakar kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti Oxford melihat perkaitan antara kanser dan pemakanan seseorang. Didapati bahawa negara yang mengamalkan pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam pengambilan sayur- sayuran mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut. Dalam Annals of Oncology (10 Januari 2005) menyatakan pakar- pakar sains mendapati diet Meditranean yang kaya dengan minyak zaitun akan mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser payudara kerana kandungan ‘oleic acid' yang terdapat didalamnya. Menurut Imam Ibn Qayyim Al Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah bergantung kepada pokok yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak, manakala minyak daripada buah zaitun yang belum masak adalah bersifat sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak ranum, lebih cenderung menjadi panas dan mengurai. Oleh itu, jika ia diproses menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan lembut dan lebih berkhasiat. Walaubagaimanapun, semua jenis minyak zaitun akan melembutkan kulit serta melambatkan proses penuaan. Di samping itu, minyak zaitun dapat melawan racun di dalam badan dengan bertindak sebagai ‘laxative' dan menyingkirkan cacing di dalam badan.

Melihat kepada keadaan dan tahap kesihatan masyarakat kita sekarang, penyakit jantung yang dikenali sebagai pembunuh secara senyap semakin meningkat. Namun begitu, pengambilan minyak zaitun mungkin dapat mencegahnya kerana ia kaya dengan bahan ‘phenol'. Bahan ini mempunyai bahan antioksidan yang tinggi di samping mampu mencegah proses radang dan pembekuan darah. Oleh itu, pengambilan minyak zaitun amat bermanfaat untuk mencegah seseorang daripada menghidapi penyakit jantung. Di samping itu, mutakhir ini, manfaat minyak zaitun untuk kecantikan seringkali dihebahkan di dada akhbar mahupun media elektronik. Ini kerana, banyak syarikat kosmetik yang menggunakan minyak zaitun sebagai bahan asas ramuan dalam pembuatan barangan kecantikan. Oleh itu, sememangnya kelebihan minyak zaitun tidak dapat dinafikan lagi.

Kelebihan minyak zaitun boleh dilihat dalam situasi yang paling dekat dengan kehidupan kita di mana penggunaannya sebagai minyak masak. Walaupun banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng menggunakan minyak zaitun tidaklah sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan. Minyak masak selain yang berasaskan buah zaitun apabila digunakan berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan dan berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan dan menjadi tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau. Setelah makan makanan yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan terasa ringan dan puas sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini adalah kerana kesan daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun yang mempunyai banyak kandungan zat yang bermanfaat.

Oleh itu, tidak dapat disangkal lagi akan keistimewaan buah zaitun yang daripadanya boleh menghasilkan pelbagai jenis barangan dengan teknologi yang ada pada masa kini untuk kegunaan ramai. Sehubungan dengan itu, daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW pernah bersabda " Ambillah minyak zaitun dan sapulah ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh (beberapa) penyakit dan juga Juzam (kusta). Dengan ini, tidak hairanlah, ramai yang mengetahui akan kelebihan buah zaitun, memanfaatkannya sebagai bahan untuk kegunaan asas seperti minyak masak, minyak rambut, barangan kecantikan, sabun dan juga dijadikan sebagai makanan tambahan. Justeru, khasiat yang terdapat pada buah zaitun merupakan anugerah Allah ke atas hamba- hambaNya yang amat bernilai untuk dimanfaatkan kerana bukan sahaja buah zaitun disebut di dalam Al Quran, malah pakar- pakar sains dunia juga mengiktiraf akan keistimewaannya.

Berdakwah Melalui Internet

Oleh Dr Abu Bakar Abdul Majeed. 

Dakwah dan Media

Sejak zaman dahulu, mereka yang terlibat di dalam aktiviti dakwah sentiasa berusaha untuk menyampaikan seruan agama melalui pelbagai kaedah dan media. Penggunaan teknologi sejagat dan terkini adalah satu perkara lumrah bagi para pendakwah. Menurut sejarah, kitab suci Al-Quran pertama sekali didokumentasikan dalam bentuk penulisan ketika pemerintahan Saidina Usman ibn. 

Affan (r.a). Tujuan Al-Quran dibukukan ialah bagi mengekalkan isi kandungannya untuk dibaca dan dihayati oleh generasi akan datang. Salinan Kitab Suci ini yang ditulis dengan tangan seperti yang terdapat di Baitul Quran di Kuwait sekarang memerlukan masa yang sangat lama untuk disediakan. Hal ini pasti telah menghadkan keberkesanan dan kemampuan kerja-kerja dakwah.

Walaubagaimanapun di dalam tahun 1456 Masehi, Gutenberg telah berjaya mencipta mesin cetak. 

Kewujudan mesin cetak mempercepatkan usaha menyediakan teks-teks berkaitan keagamaan. Kos bahan-bahan tersebut juga menurun apabila salinan dapat disediakan dengan banyak. Media cetak terus menjadi saluran utama aktiviti pengembangan agama sehingga kurun ke-20. Kurun ke-20 merupakan kurun revolusi komunikasi. Satu media komunikasi baru, iaitu media elektronik, diperkenalkan di sekitar tahun 1910an. Alat pertama yang dihasilkan ialah radio. Siaran radio mampu dipancarkan dengan meluas ke seluruh pelusuk dunia. Seruan pendakwah dapat diamati lebih ramai pendengar. Pada hari ini, kita dapati banyak stesen radio tempatan dan kebangsaan menyediakan pelbagai rancangan bercorak keagamaan bagi menjalankan aktiviti dakwah. Kuliah pendakwah diselang-selikan dengan respons daripada pendengar yang menelefon untuk memberi pendapat atau menanyakan soalan.

Selepas radio, televisyen pula diperkenalkan sebagai media komunikasi elektronik. Perkara ini berlaku di sekitar pertengahan kurun ke-20. Kemunculan televisyen memberi satu wadah dan peluang baru untuk aktiviti dakwah. Selain suara, grafik dalam bentuk statik atau video dapat dipertontonkan di dalam program-program keagamaan. Maklumat dapat disampaikan dengan lebih realistik. 

Keberkesanan pendakwah juga semakin meningkat. Pada mulanya kelompok penonton televisyen agak terhad. Namun demikian, dengan kewujudan satelit, siaran televisyen dapat dipancarkan ke seluruh dunia. Di samping televisyen satelit, kemudahan televisyen interaktif atau saling tindakan juga dijangka boleh merevolusikan kaedah berdakwah menerusi media elektronik.

Internet

Ketika kita menghampiri milineum ketiga selepas Masehi ini, bidang media elektronik maju setapak lagi. Satu sistem komunikasi canggih, pantas dan berkesan yang berlandaskan teknologi maklumat diperkenalkan. Sistem ini lebih dikenali sebagai Internet. Berjuta-juta penduduk dunia kini dihubungkan antara satu dengan lain oleh satu rangkaian sistem maklumat padu. Internet mudah digunakan. Hanya dengan beberapa peranti asas dan sofwer sesuai, serta talian telefon biasa atau selular, seseorang boleh dihubungkan ke rangkai maklumat sedunia. Yang pasti, pendakwah juga tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk sama-sama menyalurkan maklumat serta menyampaikan seruan agama masing-masing melalui Internet.

Internet pada mulanya merupakan media bersandarkan teks bagi komunikasi surat elektronik atau `e-mail'. Internet dicipta semata-mata bagi tujuan ketenteraan oleh pihak Pentagon, iaitu Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. Selepas sekian lama teknologi ini tertekan atas alasan kepentingan keselamatan, di awal tahun 1990an barulah ada pihak yang memasarkan penggunaannya secara meluas. Institusi pengajian tinggi serta makmal-makmal penyelidikan merupakan pelanggan terawal kemudahan Internet. Pihak awam lain hanya menyedari kekuatan pengaruh sistem ini apabila jaringan raya seluruh dunia atau `world wide web (www)' Internet diperkenalkan. Www membolehkan komunikasi multimedia dijalankan. Teks boleh digandingkan dengan bunyi, gambar dan video.

Jaringan raya Internet yang tidak mengenal sempadan ini menjadi info-struktur terunggul media komunikasi sejagat. Justeru itu, saluran Internet dapat digunakan bagi tujuan penyebaran ilmu dan maklumat secara optima, termasuklah usaha-usaha menyampaikan dakwah.

Internet amat mesra pengguna. Kandungan Internet boleh ditinjau melalui pelbagai enjin atau sofwer pencari yang sedia wujud di dalamnya. Hanya dengan berbekalkan beberapa kata kunci yang berkaitan dengan maklumat yang dicari, kita dapat melangkah masuk ke ratusan ribu fail yang mengandungi kata kunci tadi yang terdapat di server-server atau komputer penyimpan maklumat di seluruh dunia. Fail data biasa dikumpulkan ke dalam pakej tertentu yang didahului satu papan pengenalan yang bertindak sebagai `paparan induk' atau `homepage'. Setiap pakej fail juga diberi satu alamat. Kita boleh terus memasuki fail-fail tadi kalau kita tahu alamatnya di tapak jaringan.

Biasanya, `homepage' adalah saling berhubung. Kita mudah bergerak dari satu fail ke satu fail yang berkaitan. Keupayaan ini amat memukaukan sehingga kadang-kadang kita alpa tujuan atau maklumat asal yang dicari. Aktiviti seperti ini biasanya dikenali sebagai `net-surfing' atau `merayau di jaringan'.

Satu pencarian yang berdasarkan beberapa kata kunci telah dibuat melalui salah satu daripada enjin pencari Internet pada 8 April, 1997. Kata kunci `Islam' menunjukkan bahawa terdapat 21 kategori dan 460 tapak atau fail yang menyebut tentang `Islam'. Istilah `Christian' pula menghasilkan 103 kategori dan 4474 tapak; `Judaism' memberi 20 kategori dan 104 tapak; `Hinduism', 4 kategori dan 30 tapak; dan `Buddhism', 10 kategori dengan 127 tapak.

Kata kunci `religion' (agama) memberi 463 kategori dan 827 tapak, manakala `faith' (kepercayaan) pula terdapat di dalam 19 kategori dan 606 tapak. Pencarian dengan kata kunci `Allah' atau `God', masing-masing memberi 0 kategori dengan 8 tapak, dan 16 kategori dengan 1085 tapak. Angka-angka yang diberi di atas adalah melalui pencarian kasar, dan tidak membenarkan sebarang rumusan atau kesimpulan dibuat. Setiap fail perlu diteliti bagi menentukan tujuan tulisan yang mengandungi istilah tadi dibuat dan dimasukkan ke dalam Internet. Namun demikian, keputusan yang diperolehi ini menunjukkan bahawa aktiviti dakwah sudah meresap ke dalam Internet. Para pendakwah sekali lagi menunjukkan ciri kreatif dan peka terhadap kemajuan teknologi.

Islam di Jaring

Apabila diteliti `homepage' yang berciri keagamaan, nyata ianya disediakan oleh pelbagai pertubuhan, institusi pengajian tinggi dan orang perseorangan dari seluruh pelusuk dunia. Setiap `homepage' mempunyai gaya dan penekanan tersendiri. Contoh `homepage' maklumat multimedia tentang Islam serta alamat masing-masing di dalam Internet termasuklah Islamicity (www.Islamicity.org/), Kampung Net masyarakat Islam Singapura (www.pointpub.co/kampungnet/), Pemikiran Islam (wings.buffalo.edu/sa/muslim/isl/thought.html) dan Kesatuan Belia Muslim Sedunia (www.maxinet.com/yusuf/wamy).

Selain daripada maklumat multimedia, Internet juga berciri interaktif. Justeru itu pengguna dapat berinteraksi dengan pembekal maklumat. Keupayaan ini amat penting bagi forum dakwah kerana pelbagai persoalan mungkin timbul disebabkan salah faham atau salah tanggapan. Pengguna boleh mengajukan soalan atau komen yang kemudiannya akan dijawab oleh pembekal maklumat atau pihak pendakwah. Ciri interaktif bukan sahaja memantapkan keupayaan Internet sebagai media penyebaran dakwah, malah hal ini menjadikannya satu wadah percambahan pendapat ahli-ahli teologi dan cendiakiawan-cendiakiawan bidang keagamaan dan keilmuan, sesuai dengan maksud ayat 125 dari surah An-Nahl, "Serulah (manusia) ke jalan (agama) Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan pengajaran yang baik dan berbantahlah (berdebatlah) dengan mereka dengan (jalan) yang terbaik. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui orang-orang yang sesat dari jalannya dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk."

Sebagai khalifah yang bertanggungjawab memakmurkan agama Allah di muka bumi, pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat tidak lagi boleh kita abaikan. Setiap Muslim adalah pendakwah. Justeru itu kebolehan menggunakan Internet memberi satu peluang terbaik kepada umat Islam untuk menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada keburukan. Golongan cendiakiawan Muslim terutamanya perlu memainkan peranan aktif di dalam memanfaatkan kemajuan teknologi maklumat.

Ajaran Songsang

Namun demikian, di sebalik kehebatan aktiviti dakwah melalui Internet, terdapat juga pihak yang tidak bertanggungjawab yang sama-sama menumpang jaringan raya sedunia ini untuk menyebarkan ajaran sesat, dakyah palsu dan kepercayaan karut. Oleh kerana Internet merupakan sebuah wadah terbuka dan terdedah, maka sebarang jenis maklumat boleh disebarkan melaluinya. Penapisan maklumat hampir mustahil dilakukan. Justeru itu, golongan anti-keagamaan dan anti-kemanusiaan juga bermaharajalela dengan `homepage' masing-masing. Internet kini dikatakan menjadi padang permainan pengikut ajaran-ajaran songsang atau `cult'. Satu contoh terkini ialah kumpulan ajaran songsang yang bergelar `Heaven's Gate' atau Pintu Syurga. Kumpulan ini mempunyai ahli yang pakar di dalam pembangunan `homepage' di Internet. Mereka telah menggunakan saluran komunikasi tersebut untuk menarik ahli-ahli baru.

Terdapat kes di mana suri rumah yang terbaca dakyah palsu kumpulan ini di Internet, telah terpukau dan terus meninggalkan rumah tangga dan anak pinak untuk bersama-sama kumpulan ini. Ramai juga ibu bapa yang kehilangan anak-anak muda yang terpengaruh dengan maklumat karut kumpulan ini di Internet. Akhirnya antara 23 - 25 March 1997, 39 orang ahli dari kumpulan ini telah membunuh diri secara beramai-ramai di dalam sebuah rumah mewah di Rancho Grande, California. Maka, tidak hairanlah mengapa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamed menyatakan rasa bimbang apabila media maklumat yang kuat seperti Internet dicemari ajaran songsang. Jelas bahawa pengguna Internet bukan sahaja boleh tercabar intelektualnya, malah kerohaniannya juga.

Ummah Siber

Menyedari hakikat bahawa Internet mudah diserapi unsur-unsur negatif, maka Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (MIMOS) telah mengadakan satu seminar bertajuk "Cabaran Teknologi Maklumat dan Internet: Agenda Umat Islam" baru-baru ini. Tujuan seminar ialah bagi memahami keupayaan dan penggunaan teknologi Internet, meneliti peluang, cabaran dan aspek-aspek negatif Internet dan mempastikan orang Islam bersedia memperoleh dan meneraju era teknologi maklumat, khususnya Internet, agar mampu menampilkan diri dalam mengajukan idea-idea Islam dan mendapat faedah daripada pelbagai penggunaan teknologi tersebut.

Menurut pendapat pembentang-pembentang kertas kerja seminar tersebut, sudah sampai masanya masyarakat Islam seluruh dunia dihubungkan dan disatupadukan sebagai suatu `ummah siber'. Bagi mencapai tujuan ini badan-badan awam dan korporat perlu berganding bahu untuk membekalkan maklumat tentang Islam. Satu `homepage' baru perlu diwujudkan di dalam Internet bagi menerangkan pendirian Islam tentang isu-isu semasa, memperjelaskan konsep pandangan dunia Islam (Islamic world view) dan menonjolkan nilai-nilai murninya yang universal. `Homepage' ini mestilah unggul, menyeluruh dan interaktif yang membentangkan fakta-fakta mengapa Islam adalah satu pegangan cara hidup, budaya dan peradaban yang sejagat.

Sebagai penutup, jelas Internet bukan sahaja digunakan untuk berdakwah kepada kebenaran, malah ada pihak yang menyalahgunakannya untuk menyeru manusia kepada kebatilan. Justeru itu, homepage `ummah siber' yang bakal dibangunkan boleh bertindak sebagai salah satu wadah yang memberi gambaran sebenar tentang Islam sebagai sistem kehidupan yang unggul dan sekaligus menangkis maklumat palsu yang mendorong kepada kehancuran

Gerhana Matahari

Oleh WAYAN SUPARTA 


9 Mac 2016 bakal berlaku satu fenomena pen­ting di rantau Asia Tenggara iaitu gerhana matahari. Gerhana matahari ini telah menjadi impian orang ramai untuk meneroka alam dan penyelidikan dalam bidang astronomi.

Kali ini, Indonesia menerima gerhana matahari penuh (GMP) dengan lokasi laluan yang pa­ling jelas (Lihat Rajah 1) iaitu dapat diperhati bermula dari Sumatera (Palembang, Bangka, dan Belitung), Kalimantan (Palangkaraya, Balik Papan, dan Sampit), Sulawesi (Palu, Poso, dan Luwuk) hingga ke Kepulauan Maluku (Ternate, Tidore, dan Halmahera).

Gerhana bermula pada pukul 6.20 pagi waktu Indonesia Barat (WIB) di bahagian Barat (Palembang) dan kemuncaknya pukul 7.21 pagi; kawasan Palangkaraya bermula pukul 6.23 pagi dan kemuncak 7.30 pagi WIB; kawasan Palu pula bermula pukul 7.27 pagi waktu Indonesia tengah (WITA) dan kemuncak pukul 8.38 pagi WITA manakala di kawasan Timur Indonesia, gerhana bermula pukul 8.36 pagi waktu Indonesia Timur (WIT) dan mencapai kemuncaknya pada pukul 9.52 WIT.

Sementara itu, di seluruh Malaysia termasuk beberapa bandar utama di Indonesia seperti Ban­dung, Jakarta dan Makassar akan menerima gerhana matahari separa (GMS). Malaysia berpeluang me­nyaksikan GMS dalam jangkaan 67% hingga 86% litupan ke atas permukaan matahari dan ini bermula dari Utara (Kangar) hingga ke Selatan (Johor Bahru).

Sabah dan Sarawak juga menerima GMS dengan litupan sekitar 70% hingga 90%. GMS dapat disaksikan mulai pukul 7.30 pagi hingga 9.30 pagi.
Walau bagaimanapun, sentuhan pertama bulan ke cakera matahari dijangka berlaku pada pukul 7.24 pagi waktu Malaysia. Thailand dan Filipina juga menerima GMS, masing-masing bermula 7.39 dan 7.51 pagi waktu tempatan.

Secara asasnya, gerhana matahari berlaku semasa fasa bulan baru bermula (sehari selepas bulan tiada cahaya atau bulan gelap). Perlu dicatat bahawa fasa bulan berlaku dalam tempoh 28 hari, di mana bulan berputar mengelilingi matahari dalam tempoh tersebut. Pada hari bulan baru ini, bulan melintas di antara matahari dan bumi menyebabkan matahari tertutup sebahagian atau keseluruhannya.

Dengan kata lain, gerhana matahari berlaku apabila sebahagian atau keseluruhan matahari dilin­dungi atau dihalang oleh bulan menuju ke bumi. Pada keadaan ini, bumi, bulan dan matahari berada di dalam kedudukan selari (lihat Rajah 2). Perlu dibezakan pula de­ngan gerhana bulan (GB) bahawa GB ini umumnya berlaku pada bulan penuh, di mana sebahagian atau keseluruhan luasan bulan tertutup oleh bayangan bumi.

Dalam Rajah 2 ditunjukkan bahawa gerhana matahari adalah sebagai akibat daripada revolusi bumi mengelilingi matahari. Dalam revolusinya ini, bumi menghasilkan bayangan yang agak panjang dari matahari (beberapa ribu kilo­meter). Jenis bayangan ini dibahagikan kepada bayangan yang sangat gelap, yang dinamakan umbra (atau ba­yangan inti) dan bayangan yang agak kabur dinamakan sebagai penumbra.

Semakin jauh dari bumi, bentuk umbra semakin mengecil. Sebalik­nya, penumbra menjadi lebih besar. Dengan kata lain, gerhana bulan dan matahari berlaku akibat pembentukan umbra dan penumbra ini.

Jika umbra dan atau penumbra bulan jatuh ke permukaan bumi maka bulan jauh lebih kecil daripada matahari sehingga bayangan bulan hanya melingkupi luasan yang kecil. Justeru, proses gerhana matahari dapat dibezakan kepada gerhana penuh, gerhana separa, dan gerhana cincin.


GMP kali ini dijangka berlaku dalam tempoh 4 hingga 5 minit sahaja bergantung kepada lokasi dan keadaan atmosfera. Perlu diingatkan pula melihat gerhana matahari secara terus dengan mata atau peralatan astronomi tanpa penapis khas matahari dapat mengakibatkan kebutaan.

Sehubungan itu, sebuah Program Gerhana Matahari Separa akan dianjurkan oleh Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) yang dipusatkan di Planetarium Negara, Kuala Lumpur pada 9 Mac ini.

Selain itu, pembaca juga dinasihatkan tidak menggunakan telefon pintar untuk berselfie semasa pembentukan GMP. Skrin telefon yang tidak dilengkapi dengan penapis khas akan terbakar akibat radiasi tinggi matahari terutama semasa pembentukan dan selepas GMS berlaku. Namun selfie dapat dilakukan dengan menangkap pantulan cahaya matahari yang diarahkan ke sebuah tabir atau dengan cara berlindung di sebalik pokok berdaun.

Jumlah kandungan elektron di angkasa akan menurun agak ketara berbanding sebelum dan selepas GMS. Oleh itu, fenomena gerhana ini akan sedikit memberi gangguan di kawasan yang dilalui seperti kapal terbang yang menggunakan penerima GPS. Dengan alasan ke­selamatan, juruterbang atau pegawai kawalan trafik udara perlu memikirkan fenomena ini sebagai amaran awal penerbangan.

Disebabkan GMP ini adalah kejadian alam yang luar biasa, peminat astronomi berharap fenomena ini akan berlaku lagi di kawasan yang sama di masa depan. Malangnya, ini agak sukar diramalkan dan mungkin akan mengambil masa puluhan atau ratusan tahun untuk berlaku semula. Contohnya, Indonesia sekali lagi diberi peluang menerima GMP pada 20 April 2023, namun tidak akan berlaku di lokasi sekarang ini.

GMP dijangka berlaku di bahagian Timur Indonesia (Timor Leste menuju ke Papua Barat) bermula pukul 11.37 WIT dan mencapai kemuncaknya pada pukul 13.12 WIT. Sementara itu, Malaysia baru akan meraikan GMP pada 9 April 2042 yang merentasi kawasan Sabah dan Sarawak. GMP ini dijangka berlaku mulai pukul 8.36 pagi dan mencapai kemuncaknya pada pukul 10.14 pagi waktu tempatan, namun sebelum itu, fenomena ini terlebih dahulu memasuki kawasan Sumatera (Padang dan Jambi).

Dengan GMP yang bakal berlaku di Malaysia, pihak kerajaan dan agensi terbabit boleh mula meran­cang perayaan budaya berskala besar dengan memanfaatkan pe­rayaan astronomi (Astronomy Festival) ini. Akhir sekali, kita tidak boleh menafikan fenomena gerhana matahari telah menjadi teropong untuk melihat perjalanan alam semesta dan mentafsir kewujudan manusia dengan dunianya. Sesungguhnya sains telah memainkan pe­ranan penting dalam menyedarkan kita semua.

PROF. MADYA DR. WAYAN SUPARTA ialah Felo Penyelidik Kanan, Pusat Sains Angkasa, Institut Perubahan Iklim (IPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER