Headlines News :
Home » » Tarikan lukisan 'hidup'

Tarikan lukisan 'hidup'

Written By zabidi morad on Wednesday, 17 February 2016 | 2:43 pm

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Lukisan dipamerkan sememangya ‘melekat’ di dinding, tetapi apabila dirakam dengan lensa kamera,
ia seperti ‘hidup’ dan pelbagai perasaan bermain di minda saat anda memikirkan keunikan imej berkenaan.

Ia membuatkan pengunjung seolah-olah berada dalam situasi dan lokasi sebenar saat merakamkan kenangan bersama lukisan berkenaan.

Itulah keistimewaan seni lukisan tiga dimensi (3D) yang makin mendapat sambutan menggalakkan walau di mana sahaja ia dipamerkan terutama di kawasan tumpuan pelancong.

Situasi sama turut dirasai penduduk pekan Sungai Lembing dekat Kuantan, Pahang apabila Sg Lembing Three Dee Gallery (Galeri 3D) mula dibuka kepada orang ramai mulai November tahun lalu.
Penulis yang pertama kali berkunjung ke galeri berkenaan turut teruja apabila dapat merakam detik manis bersama figura seni mempertahankan diri terkenal dunia, mendiang aktor Bruce Lee dan potret Monalisa di Mr Bean.

Bukan mudah untuk bergambar dengan kedua-duanya biarpun hanya dalam bentuk 3D.
Selain itu, galeri yang mempamerkan 30 lukisan 3D bersaiz besar itu turut mengetengahkan beberapa produk pelancongan dan suasana kehidupan penduduk di pekan berkenaan serta imej yang mempunyai ‘hubungan mesra’ dengan masyarakat.

Pengurus galeri berkenaan Thomas Lee berkata, idea mewujudkan galeri lukisan 3D itu tercetus apabila melihat kebangkitan semula Sungai Lembing sebagai destinasi pelancongan selepas mengalami zaman gelap dengan berakhirnya aktiviti pelombongan bijih timah pada pertengahan 1980-an.

“Lukisan 3D membuatkan kita seperti berada dalam situasi sebenar menerusi pelbagai bentuk kehidupan seperti di hutan, dasar laut serta alam fantasi malah tidak ketinggalan gambaran daripada kerja perlombongan yang dijalankan penduduk pada waktu itu.

“Bagaimanapun, pengunjung perlu menggunakan kreativiti tersendiri untuk merakamkan gambar terbaik dari sudut tepat supaya gambar itu kelihatan benar-benar ‘hidup’,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Lee berkata, galeri itu antara usaha mempromosi aktiviti pelancongan khususnya di pekan berkenaan yang turut dikenali sebagai El-Dorado Timur kerana aktiviti perlombongannya ketika itu.
“Bagi mendapatkan lukisan 3D menarik, ia memerlukan beberapa teknik lukisan yang betul dan ketelitian bagi menghasilkan lukisan yang berkualiti.

“Saya berpuas hati de­ngan kualiti kerja seorang pelukis dari Pulau Pinang yang mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan semua lukisan ini,” katanya.

Menurutnya, antara imej yang dipaparkan ialah Bukit Panorama, Air Terjun Pelangi, jambatan gantung Kuala Kenau, terowong Sungai Lembing dan peti surat lama serta peta penunjuk arah yang menjadi antara ikon pelancongan pekan bersejarah itu.

Lukisan lain ialah kanak-kanak bermain layang-layang, menangkap kupu-kupu, memancing, aktiviti kenderaan pacuan empat roda, hidupan laut seperti jerung dan sotong, permainan Star Wars serta beberapa lukisan 3D lain.

Orang ramai boleh berkunjung ke galeri berkenaan yang dibuka mulai jam 9 pagi hingga 6 petang. Tiket berharga RM16 bagi dewasa, kanak-kanak (RM12) dan orang kelainan upaya (RM10).

Galeri berkenaan yang mula dibuka sejak November tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dan dikunjungi pelancong luar setiap hujung minggu.

“Pengunjung memerlukan sekurang-kurangnya sejam untuk ‘menjelajah’ dan bergambar dengan semua lukisan di dinding bangunan dua tingkat ini. Kita juga ada kakitangan untuk membantu pengunjung bergambar.

“Ada pengunjung yang belum pernah melihat lukisan 3D teragak-agak untuk bergambar menyebabkan mereka gagal mendapat sisi yang menarik,” katanya.

Sementara itu, beberapa pengunjung teruja melihat lukisan berkenaan, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada mereka terutama yang baru pertama kali melihat imej berkenaan secara berdepan.

Kakitangan swasta, Siti Zaleha Khairuddin, 32, berkata muzium yang dipenuhi lukisan ‘seni silap mata’ itu berpotensi sebagai tarikan utama pekan Sungai Lembing.

“Ketika melihatnya dengan mata kasar, ia hanya sekadar sebuah lukisan, tetapi selepas gambar dirakam, saya teruja kerana lukisan di galeri ini benar-benar ‘hidup’ apabila dirakam menerusi lensa kamera,” katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Elias Abdullah, 45, berkata lukisan 3D mempunyai daya tarikan tersendiri kerana berbeza dengan lukisan biasa.

“Lukisannya menarik kerana menggambarkan situasi sebenar pekan ini, malah kelihatan hidup sehingga sukar dipercayai apabila dirakam,” katanya.
Share this post :

Post a Comment

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. BERANI KERANA BENAR - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER