Headlines News :

Jom kopi! Panjang umur, kurang penyakit, seks baik

SYDNEY,  ― Lebih banyak kopi yang diminum, lebih kurang risiko seseorang mengalami masalah kesihatan, termasuk penyakit rosak hati cirrhosis, kata satu kajian terkini.

Kajian Universiti Southampton di Britain mendapati mengambil satu atau dua cawan kopi setiap hari boleh mengurangkan risiko kerosakan hati antara 22 hingga 43 peratus, lapor News.com.au hari ini.
Kajian terhadap 430,000 orang juga menunjukkan mereka yang minum tiga atau empat cawan kopi boleh merendahkan risiko kerosakan hati antara 57 hingga 65 peratus.

Ketua penyelidikan itu Oliver Kennedy memberitahu akhbar The Washington Post bahawa cirrhosis boleh membawa maut dan tiada ubat dapat merawatnya.

“Jadi, penting bagi kita mengurangkan risiko berlakunya kerosakan hati dengan mengambil kopi, sejenis minuman yang murah dan mudah diperolehi,” katanya.

Penyebab-penyebab utama kerosakan hati termasuklah pengambilan alkohol yang banyak, serangan hepatitis B, jangkitan hepatitis C dan juga pengumpulan lemak di hati.

Menurut data, lapor portal Australia itu lagi, 1,772 orang mati di negara itu akibat kerosakan hati pada 2013 dan lebih satu juta maut setiap tahun angkara masalah ini di seluruh dunia.
Manfaat-manfaat lain kopi ditunjukkan dalam beberapa kajian lain:

1. Panjangkan usia 

Kajian di Universiti Harvard mendapati minum kopi antara tiga hingga lima cawan kopi sehari boleh melanjutkan usia seseorang. Mereka yang mengamalkan minuman ini boleh mengurangkan risiko terkena penyakit jantung, bunuh diri, kencing manis atau penyakit Parkinson.

2. Tidak tingkatkan degupan jantung

Mitos yang popular, kopi akan menyebabkan degupan jantung anda lebih kencang atau tidak teratur. Namun kajian mutakhir menunjukkan mengambil kafein dengan kerap bukan penyebab gejala tersebut. Malah, peminum kopi lebih rendah risiko mendapat penyakit jantung koronari.

3. Bantu kekalkan ketahanan seks

Kajian Pusat Sains Kesihatan di Universiti Texas mendapati lelaki yang minum dua cawan kopi sehari lebih sukar terkena masalah organ seks susah tegang, atau ED, sebanyak 42 peratus.
4. Cegah kencing manis

Kajian menunjukkan peminum kopi lebih rendah peluang terkena diabetes jenis 2, sama ada mengambil kopi biasa atau kopi tanpa kafein.

Bagus atau tidak pemanis tiruan dalam minuman anda?

NEW YORK, — Ahli sains masih menggaru-garu kepala, tidak pasti sama ada mengambil pemanis
tiruan seperti dalam minuman diet boleh menguruskan badan atau menggemukkan?

Pemanis tiruan, yang tidak mempunyai khasiat pemakanan, memang tidak mempunyai kalori dan sering dimasukkan dalam makanan untuk membantu mengurangkan berat badan.

Beberapa ujian menunjukkan mereka yang mengambil pemanis tiruan tidak menambah berat seperti mereka yang mengambil minuman bergula, lapor New York Times seminggu lalu.

Namun, lapor akhbar berpengaruh itu, kajian di kalangan ramai responden menunjukkan keputusan sebaliknya. Mereka yang sering mengambil pemanis tiruan boleh mengalami mudarat kesihatan, termasuk menambah berat badan.

Kajian melibatkan 6,814 warga Amerika Syarikat berumur 45 hingga 84 tahun mendapati mereka yang meminum soda diet sekurang-kurangnya sekali sehari lebih berisiko 67 peratus menghidap diabetes jenis 2 berbanding mereka yang tidak mengambil minuman diet, sama ada berat badan mereka bertambah atau tidak.

Kajian itu, yang dijalankan sekurang-kurangnya selama lima tahun, juga mendapati mereka bakal mengalami sindrom metabolisme 36 peratus lebih tinggi, yang boleh mendatangkan penyakit jantung, serangan angin ahmar dan diabetes kemudiannya.

Satu lagi kajian yang dijalankan terhadap penduduk San Antonio selama 10 tahun mendapati mereka yang mengambil lebih 21 hidangan minuman diet setiap minggu berisiko dua kali ganda menjadi gemuk. Lebih banyak minuman soda diet yang diambil, lebih tinggi risikonya.

Ujian berskala besar itu bagaimanapun tidak mencari sebab dan akibat; dan mungkin membayangkan mereka yang bertambah berat badan minum terlalu banyak soda diet.

Dr John Fernstrom, profesor di Universiti Pittsburgh dan juga perunding syarikat perisa makanan terkenal Ajinomoto, mengkaji semula bukti terhadap pemanis tiruan. Beliau menyimpulkan bukti yang mengaitkan pemanis tiruan dengan masalah metabolisme sebagai "tidak begitu meyakinkan".
Tetapi ahli-ahli sains lain lebih berhati-hati, mereka menuntut lebih banyak kajian.

Mereka berhujah, ujian-ujian pada haiwan menunjukkan pemanis tiruan mengubah tindak balas terhadap gula dalam darah tikus dengan mengganggu hidupan mikrob pada sistem penghadaman.

Ada juga ahli-ahli sains mengandaikan pemanis tiruan boleh mengganggu keupayaan badan mengawal gula dalam darah dengan merangsang reseptor rasa manis ke seluruh sistem pencernaan atau mengganggu hormon dan laluan saraf otak yang mengawal kelaparan dan kekenyangan.

"Sehingga kita mengetahui lebih lanjut, kita wajar menggunakan pemanis tidak berkhasiat ini secara berpada-pada.

“Anggap saja ia satu hidangan khas sekali-sekala, bukannya sesuatu yang perlu diminum sepanjang hari," kata M Yanina Pepino, pembantu profesor di Pusat Pemakanan Manusia di Fakulti Perubatan Universiti Washington.

Lima Kg Ketumbuhan Keluar Dari 'Lelaki Pokok' Bangladesh

WARGA Bangladesh yang dikenali sebagai 'Lelaki Pokok' berikutan ketumbuhan yang menyerupai
akar yang banyak pada tangan dan kakiknya perlu menjalani belasan sesi pembedahan untuk tempoh sehingga setahun.

Pengarah Hospital Kolej Perubatan Dhaka, Samanta Lal Sen berkata, sepasukan doktor telah melakukan pembedahan pada tangan kanan Abul Bajandar untuk mengeluarkan beberapa ketumbuhan Sabtu lalu.

Prosedur pada lelaki berusia 26 tahun yang dimasukkan ke hospital bulan lalu dapat mengeluarkan sekurang-kurangnya lima kilogram ketumbuhan.

Pemuda dari Khulna ini menderita penyakit yang dikenali sebagai Epidermodysplasia verruciformis sejak 10 tahun lalu.

Penyakit kulit yang jarang dialami ini menyebabkan kaki dan tangannya ditumbuhi umpama akar kayu yang menyukarkan kehidupan hariannya.

"Kami mengeluarkan beberapa ketumbuhan pada tapak tangannya, selain mencuci lula pada jari yang dibedah minggu lalu," katanya.


Berita kaki dan tangannya dipenuhi ketumbuhan yang tersebar menyebabkan ribuan pengunjung membanjiri pekan kelahirannya di selatan Bangladesh sekali gus menjadikannya terkenal.

Kata Bajandar, dia tidak mahu pulang ke kampung selagi kaki dan tangan masih dipenuhi ketumbuhan.

Beliau disahkan bebas penyakit kanser dan susulan itu pasukan perubatan yang mengendalikan kesnya merangka jadual pembedahannya.

Kos pembedahannya akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Bangladesh.

Delima pilihan jaga kesihatan

Punica granatum atau lebih dikenali sebagai buah delima menjadi pilihan ramai masa kini untuk
menjaga kesihatan. Ia juga dikenali sebagai pomegranate, rumman, rumien atau rimmon.

Buah delima memang terkenal dengan khasiat kerana mengandungi antioksidan yang tinggi malah kajian menunjukkan kandungan antioksidan dalam buah itu dua atau tiga kali lebih tinggi berbanding anggur merah.

Malah kualiti antioksidan delima juga dikatakan lebih baik daripada beri biru, kranberi dan oren kerana polifenol di dalamnya lebih tinggi.

Ketika ini ramai pengusaha produk kecantikan mahupun makanan berlumba menggunakan buah delima dalam produk mereka disebabkan khasiatnya.

Bagi pencinta aiskrim, anda boleh mendapatkan khasiat buah delima melalui Magnum Pink Pomegranate yang dihasilkan daripada seratus peratus buah delima asli serta coklat Belgium.

Menurut Chef Isadorai Chai, umum mengetahui buah delima menjadi pilihan ramai masa kini untuk menjaga kesihatan. Ia kaya dengan sodium dan mengandungi unsur nutrien seperti riboflavin, tiamin, niasin, vitamin C, kalsium dan fosforus. Kajian dijalankan juga menunjukkan buah delima mengandungi zat protein dan lemak dalam kuantiti sedikit.

“Selain bagus untuk kesihatan, buah delima juga tidak mempunyai kandungan gula yang tinggi malah lebih baik berbanding buah oren.

“Selain itu coklat pahit (dark chocolate) juga kaya dengan kandungan mineral penting antaranya, kalium, kalsium, magnesium, zat besi dan tembaga selain mineral coklat juga mengandungi vitamin C yang sangat baik untuk memperkuat sistem imun,” katanya ketika ditemui pada pelancaran Magnum Teases Upcoming Ice Cream Launch Through A Molecular Gastronomic di ibu negara, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, pesakit kecing manis juga boleh makan buah delima tetapi dalam kuantiti yang sederhana kerana setiap buah mempunyai rasa manis sendiri.

“Saya percaya setiap makanan yang diambil dalam kuantiti yang sederhana tidak akan mendatangkan kesan mudarat. Semuanya terpulang kepada individu itu sendiri,” katanya.

Delima berasal dari Iran dan juga didapati di India, Afghanistan dan Syria. Daun delima mempunyai permukaan yang berkilat dan berbentuk oblong berukuran antara tiga hingga tujuh sentimeter (sm) panjang dan 1.3sm lebar.

Bunga delima berwarna merah terang, ada yang mempunyai bunga oren terang terutama bagi spesies delima katik atau kerdil (dwarf pomergranate) atau nama saintifiknya punica granatum nana.

INFO MANFAAT DELIMA

- Dapat menurunkan kadar kolesterol dalam darah. Penelitian dijalankan American Journal of Clinical Nutrition, mendapati antioksidan dalam delima dapat mengurangkan oksidasi LDL (kolesterol jahat) pada tikus. Hal ini menurunkan kadar LDL dan meningkatkan HDL (kolesterol baik).

- Dapat mencegah dan mengubati barah. Buah delima memiliki khasiat mencegah dan mengubati pelbagai jenis barah. Jus delima dapat menghancurkan sel barah payudara dan mengaktifkan sel sihat. Ini kerana ekstrak biji delima kaya dengan polifenol yang berupaya memulihkan leukemia.

- Ia merencatkan barah paru-paru dan prostat. Dalam penelitian terhadap 50 lelaki yang minum 205 gram jus delima setiap hari didapati melambatkan ukuran perkembangan barah prostat.

- Buah delima dikatakan mencegah dan melambatkan penyakit Alzheimer. Kajian dijalankan ke atas tikus yang diberi minum jus delima menunjukkan sel aktif meningkat.

- Kandungan gula dalam delima bertindak sebagai ‘penggosok’ untuk menyingkirkan sel kulit mati. Hasilnya kulit segar dan muda.

- Kulit buah delima boleh digunakan untuk menghilangkan jerawat. Kulitnya yang dijemur dikisar dan digunakan bersama sedikit air perahan limau nipis.

- Dapat menghilangkan kejang kaki yang biasa dihadapi wanita hamil.

- Bagi ibu mengandung, delima baik diambil kerana kandungan asid folik tinggi mencegah kecacatan tiub saraf yang menyebabkan kerosakan pada sumsum tulang belakang dan langit bibir sumbing pada bayi.

- Ketika membeli delima, pilih buah yang berat dan kulitnya bersih tanpa cela serta tidak merekah.

- Boleh dibeli banyak kerana ia tahan enam bulan dalam peti sejuk.

Boboiboi The Movie

Oleh SYED MUSSADDAD SYED MAHDI 

MENGAMBIL masa dua tahun untuk disiapkan dan menelan belanja keseluruhan berjumlah RM5
juta merupakan pelaburan yang besar buat Animonsta Studios dalam menghasilkan filem animasi Boboiboy The Movie yang bakal ditayangkan bermula 3 Mac hadapan.

Pastinya pelaburan besar yang dilakukan oleh syarikat tersebut seiring dengan kualiti yang bakal dipersembahkan kepada umum memandangkan soal kualiti dan jalan cerita yang menarik merupakan elemen terpenting dalam menghasilkan animasi.

Sudah pasti debaran makin dirasai oleh pengarah BoboiboyThe Movie, Nizam Razak. Baginya sepanjang dua tahun terlibat dalam proses pra-penerbitan, dia dan 50 kru yang lain sudah bertungkus-lumus mencari kekuatan dan kelainan untuk dipersembahkan kali ini.

“Apabila keputusan untuk membuat filem diambil, saya dan rakan-rakan yang lain sudah berfikir macam-macam hal untuk projek ini. Apa yang pasti soal kelainan adalah elemen terpenting untuk tidak dilihat sama dengan siri yang ditayangkan di kaca televisyen.

“Jadi setelah berbincang dan kami temui apa yang perlu dilakukan untuk animasi ini. Selain soal jalan cerita, antara kelainan yang ditampilkan termasuklah menerapkan lebih aksi dan emosi,” katanya lagi.

Menjadi tulang belakang dan tunjang kekuatan siri Boboiboy sejak watak tersebut mula dicipta, pastinya pengalaman luas yang ada pada pengarah muda ini sudah teruji sebelum itu lagi.

Pernah terlibat sama membangunkan siri animasi Upin & Ipin dan menjadi pengarah untuk filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula bagi animasi yang sama, pastinya pengalaman yang ada diterjemah bagi menghasilkan naskhah yang lebih baik.

Tambahnya, untuk menyiapkan BoboiboyThe Movie menjadi sebuah filem animasi yang baik tidak mudah tetapi dengan bantuan yang diberikan oleh seluruh tenaga kerja, akhirnya mereka dapat menghidupkan filem tersebut dengan baik.

“Apabila siri televisyen mahu difilemkan, sudah tentu penonton mahukan kelainan. Tidak boleh terlihat sama dan menggunakan asas yang sama, semua itu perlu diberi ‘nyawa’ baharu termasuklah lokasi, jalan cerita dan latar belakang itu.

“Paling penting kita turut menyelitkan unsur emosi dalam beberapa babak agar dapat menyentuh hati penonton. Walaupun filem ini telah siap tetapi banyak perubahan dari semasa ke semasa yang kita buat bagi memastikan mesej itu sampai kepada penonton,” katanya lagi.

Tidak sekadar menyasarkan golongan kanak-kanak semata-mata, Boboiboy The Movie juga sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Menariknya, berpandukan kepada kajian yang telah dibuat oleh AC Nielson menunjukkan sebanyak 60 peratus daripada penonton siri televisyen animasi ini terdiri daripada golongan yang berusia 14 tahun ke atas.

Teruja

TIDAK sekadar ditayangkan di Malaysia, Boboiboy The Movie juga bakal ditayangkan serentak pada tarikh yang sama di Brunei dan kemudian masuk ke pawagam di seluruh Indonesia pada 13 April hadapan. Paling membanggakan apabila filem ini boleh ditonton di 100 buah panggung di seluruh negara berkenaan.

Menyifatkan perkara itu sebagai satu yang menggembirakan, pastinya keterujaan jelas terpancar di wajah lelaki ini memandangkan apa yang dilakukan akhirnya mendapat maklum balas yang baik daripada penggemar animasi dari negara luar.

“Sejak siri televisyen ini ditayangkan di Indonesia bermula tahun 2015, maklum balas yang diterima begitu baik. Di sana, Boboiboy mendapat rating kedua tertinggi pada hari tayangan dan membuktikan animasi ini diterima ramai.

“Apabila sudah diterima ramai, banyak produk-produk lain yang mahu melakukan kerjasama strategik dengan kami. Perkara itu sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawasanya Boboiboy benar-benar diterima di negara luar.

“Kita gembira kerana mereka masih mengekalkan suara yang sama dan tidak dialih bahasa. Setidaknya peminat di sana masih dapat mempelajari Bahasa Melayu juga,” katanya lagi.

Boboiboy The Movie mengisahkan tentang sekumpulan makhluk asing pemburu harta karun bernama Tengkotak telah tiba di bumi dan menculik Ochobot (robot kesayangan Boboiboy) bagi untuk kegunaan mereka mengesan ‘power sphere’ yang purba dan berkuasa yang tersembunyi di bumi.

BoboiBoy, Gopal, Yaya, Ying dan Fang perlu mengejar masa untuk menyelamatkan Ochobot dan membongkar rahsia di sebalik ‘power sphere’ tersebut. Perjalanan mereka akan membawa mereka ke sebuah pengembaraan yang penuh dengan aksi, komedi, emosi yang berpaksikan kepada persahabatan sejati.

Sebagai tambahan, siri animasi televisyen Boboiboy sebenarnya sudah ditayangkan di 45 buah negara sejak beberapa tahun yang lalu dan ditonton lebih 85 juta kali di YouTube.

Tambah Nizam lagi, beberapa pihak lain sudah berbincang untuk membawa filem animasi ini ke negara mereka termasuklah Vietnam, Thailand dan Kemboja dalam tempoh terdekat.
“Insya-Allah jika kita sudah melakukan beberapa perbincangan untuk membawa filem ini keluar Asia Tenggara. Cuma saya masih belum boleh memberi tahu memandangkan segala-galanya masih belum ada kata putus,” tambahnya lagi.

Menariknya, filem ini juga menggunakan runut bunyi yang dinyanyikan oleh kumpulan Bunkface (Masih Di Sini) dan kumpulan popular Indonesia D’Masiv (Di Bawah Langit Yang Sama).

Tarikan lukisan 'hidup'

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Lukisan dipamerkan sememangya ‘melekat’ di dinding, tetapi apabila dirakam dengan lensa kamera,
ia seperti ‘hidup’ dan pelbagai perasaan bermain di minda saat anda memikirkan keunikan imej berkenaan.

Ia membuatkan pengunjung seolah-olah berada dalam situasi dan lokasi sebenar saat merakamkan kenangan bersama lukisan berkenaan.

Itulah keistimewaan seni lukisan tiga dimensi (3D) yang makin mendapat sambutan menggalakkan walau di mana sahaja ia dipamerkan terutama di kawasan tumpuan pelancong.

Situasi sama turut dirasai penduduk pekan Sungai Lembing dekat Kuantan, Pahang apabila Sg Lembing Three Dee Gallery (Galeri 3D) mula dibuka kepada orang ramai mulai November tahun lalu.
Penulis yang pertama kali berkunjung ke galeri berkenaan turut teruja apabila dapat merakam detik manis bersama figura seni mempertahankan diri terkenal dunia, mendiang aktor Bruce Lee dan potret Monalisa di Mr Bean.

Bukan mudah untuk bergambar dengan kedua-duanya biarpun hanya dalam bentuk 3D.
Selain itu, galeri yang mempamerkan 30 lukisan 3D bersaiz besar itu turut mengetengahkan beberapa produk pelancongan dan suasana kehidupan penduduk di pekan berkenaan serta imej yang mempunyai ‘hubungan mesra’ dengan masyarakat.

Pengurus galeri berkenaan Thomas Lee berkata, idea mewujudkan galeri lukisan 3D itu tercetus apabila melihat kebangkitan semula Sungai Lembing sebagai destinasi pelancongan selepas mengalami zaman gelap dengan berakhirnya aktiviti pelombongan bijih timah pada pertengahan 1980-an.

“Lukisan 3D membuatkan kita seperti berada dalam situasi sebenar menerusi pelbagai bentuk kehidupan seperti di hutan, dasar laut serta alam fantasi malah tidak ketinggalan gambaran daripada kerja perlombongan yang dijalankan penduduk pada waktu itu.

“Bagaimanapun, pengunjung perlu menggunakan kreativiti tersendiri untuk merakamkan gambar terbaik dari sudut tepat supaya gambar itu kelihatan benar-benar ‘hidup’,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Lee berkata, galeri itu antara usaha mempromosi aktiviti pelancongan khususnya di pekan berkenaan yang turut dikenali sebagai El-Dorado Timur kerana aktiviti perlombongannya ketika itu.
“Bagi mendapatkan lukisan 3D menarik, ia memerlukan beberapa teknik lukisan yang betul dan ketelitian bagi menghasilkan lukisan yang berkualiti.

“Saya berpuas hati de­ngan kualiti kerja seorang pelukis dari Pulau Pinang yang mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan semua lukisan ini,” katanya.

Menurutnya, antara imej yang dipaparkan ialah Bukit Panorama, Air Terjun Pelangi, jambatan gantung Kuala Kenau, terowong Sungai Lembing dan peti surat lama serta peta penunjuk arah yang menjadi antara ikon pelancongan pekan bersejarah itu.

Lukisan lain ialah kanak-kanak bermain layang-layang, menangkap kupu-kupu, memancing, aktiviti kenderaan pacuan empat roda, hidupan laut seperti jerung dan sotong, permainan Star Wars serta beberapa lukisan 3D lain.

Orang ramai boleh berkunjung ke galeri berkenaan yang dibuka mulai jam 9 pagi hingga 6 petang. Tiket berharga RM16 bagi dewasa, kanak-kanak (RM12) dan orang kelainan upaya (RM10).

Galeri berkenaan yang mula dibuka sejak November tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dan dikunjungi pelancong luar setiap hujung minggu.

“Pengunjung memerlukan sekurang-kurangnya sejam untuk ‘menjelajah’ dan bergambar dengan semua lukisan di dinding bangunan dua tingkat ini. Kita juga ada kakitangan untuk membantu pengunjung bergambar.

“Ada pengunjung yang belum pernah melihat lukisan 3D teragak-agak untuk bergambar menyebabkan mereka gagal mendapat sisi yang menarik,” katanya.

Sementara itu, beberapa pengunjung teruja melihat lukisan berkenaan, sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada mereka terutama yang baru pertama kali melihat imej berkenaan secara berdepan.

Kakitangan swasta, Siti Zaleha Khairuddin, 32, berkata muzium yang dipenuhi lukisan ‘seni silap mata’ itu berpotensi sebagai tarikan utama pekan Sungai Lembing.

“Ketika melihatnya dengan mata kasar, ia hanya sekadar sebuah lukisan, tetapi selepas gambar dirakam, saya teruja kerana lukisan di galeri ini benar-benar ‘hidup’ apabila dirakam menerusi lensa kamera,” katanya yang menetap di Shah Alam, Selangor.

Elias Abdullah, 45, berkata lukisan 3D mempunyai daya tarikan tersendiri kerana berbeza dengan lukisan biasa.

“Lukisannya menarik kerana menggambarkan situasi sebenar pekan ini, malah kelihatan hidup sehingga sukar dipercayai apabila dirakam,” katanya.

Ancaman Perang Dunia Ketiga : Negara panas berpotensi jadi pencetus

OLEH MOHD. HASRIQ AMIRUDDIN dan BASIR ABU BAKAR

Krisis di Asia Barat antara Pa­lestin dan Israel, peperangan di Syria, konfrontasi Korea Utara dan
Korea Selatan, perebutan wilayah, kemelut di timur Ukraine dan pemberontakan di benua A­frika antara konflik besar yang berpotensi besar mengheret dunia ke kancah Perang Dunia Ketiga.

Jika Perang Dunia Kedua melibatkan dua pihak utama iaitu Pakatan Axis (Jerman, Itali, dan Jepun) dan Pakatan Berikat (Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, dan Rusia), Perang Dunia Ketiga dijangka membabitkan tiga kuasa utama dunia iaitu AS, Rusia dan China.

Secara teknikalnya, Rusia dan AS sedang berperang, tetapi lebih kepada bentuk peperangan proksi iaitu memainkan peranan penting menga­tur strategi walaupun tidak terlibat secara langsung dengan konflik yang berlaku di serata dunia.

Manakala China sebagai satu daripada kuasa dunia, dianggap sebagai ancaman besar oleh AS dan sekutunya yang bimbang terhadap perkembangan ekonomi dan pembangunan ketenteraan republik itu selain kelantangan Beijing memperluaskan pengaruh serta penguasaan di rantau Asia.

Berdasarkan konflik yang tercetus di seluruh dunia pada hari ini, terdapat lima lokasi panas atau krisis yang berpotensi besar untuk mencetuskan Perang Dunia Ketiga jika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau masyarakat dunia tidak mengambil tindakan bagi mengelakkan episod hitam Perang Dunia Kedua berulang.

Krisis Korea Utara

Pelancaran roket jarak jauh dan ujian nuklear yang dijalankan oleh Pyongyang baru-baru ini ternyata membangkitkan kebimbangan seluruh dunia yang menganggap republik itu tidak goyah dengan sekatan antarabangsa, sebaliknya melaungkan amaran dengan me­lancarkan provokasi dan propaganda secara terbuka.

Di bawah kepemimpinan Kim Jong-un yang jauh lebih muda dan lebih bercita-cita tinggi berban­ding ba­panya, Korea Utara dengan lantang mempamerkan kekuatan untuk menjadi kuasa baharu dunia dengan membangunkan program nu­klear dan peluru berpandu ba­listik yang secara tidak langsung menggugat kedudukan AS di rantau Asia menerusi Korea Selatan.

Sekatan PBB dan antarabangsa juga gagal memberi impak yang besar terhadap ekonomi republik itu dalam program memodenkan ketenteraan, tetapi peperangan antara Korea Utara dan Korea Selatan akan mengheret beberapa negara lain termasuk China, sebagai sekutu Pyongyang, manakala Jepun dan AS memihak kepada Seoul.

Konflik China-India-Pakistan

Krisis tiga negara berkuasa nu­klear ini melibatkan pertikaian sempadan susulan isu tentera China melintasi Garisan Kawalan Sebenar (LAC) yang terletak bersempadan dengan India di kawasan Chumar, timur Ladakh dekat pergunungan Himalaya pada September tahun lalu yang membangkitkan kemarahan New Delhi.

Tiada sebab kukuh boleh mencetuskan perang antara kedua-dua negara memandangkan pertikaian sebelum ini berjaya menemukan jalan penyelesaian, tetapi hubungan baik antara China dan Pakistan berpotensi menjadi punca pergolakan serius, lebih-lebih lagi isu perebutan wilayah Kashmir antara Islamabad dan New Delhi sejak kedua-dua negara mencapai kemerdekaan pada 1947.

Selain itu, dasar Pandang ke Timur yang dipegang oleh India tidak disenangi oleh China kerana polisi tersebut berpihak kepada ­Vietnam dan Jepun yang merupakan seteru lama Beijing.

Pergolakan Asia Barat

Peperangan di Syria yang berlanjutan sejak lima tahun lalu bukan lagi antara kumpulan penentang dan kerajaan, sebaliknya lebih kepada perang proksi antara dua pakatan utama iaitu AS menentang Rusia sebagai merebut gelaran kuasa dunia, manakala Arab Saudi menentang Iran disebabkan fahaman yang berbeza.

Campur tangan AS memberi tamparan buat Rusia sebagai sekutu kuat Syria, tetapi Moscow berpeluang membantu Damsyik apabila berselindung di sebalik kempen memerangi kumpulan militan IS yang diisytiharkan sebagai musuh global.

Kemelut antara Arab Saudi dan Iran bukan sesuatu yang baharu, tetapi hubungan diplomatik kedua-dua negara bertambah keruh susulan hukuman mati terhadap ulama terkemuka Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr pada awal bulan lalu mengundang bantahan keras dari Teheran selain penglibatan Riyadh memerangi pemberontak Syiah Houthi di Yemen juga sebagai usaha mengekang pe­ngaruh Iran di rantau Asia Barat.

Krisis timur Ukraine

Sebelum Rusia menyertai kempen memerangi militan IS di Syria dan Iraq, isu pemisahan wilayah Crimea daripada Ukraine menarik perhatian dunia terutamanya Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bimbang terhadap usaha Moscow memperluaskan pengaruh.

Sentimen pro-Rusia menular pantas di beberapa wilayah lain termasuk Donetsk dan Luhansk sehingga tercetusnya pemberontakan antara kumpulan pro-Moscow dan tentera Ukraine yang disokong oleh NATO yang juga dianggotai oleh AS.

Meskipun konflik itu dilihat semakin reda susulan perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua pihak, NATO mengambil langkah drastik untuk memperkukuhkan kedudukan di timur Eropah de­ngan memulakan perbincangan sejak September lalu bagi melaksanakan Pelan Tindakan Persediaan terma­suk menempatkan kira-kira 20,000 tentera dan aset pertahanan di negara yang bersempadan dengan Rusia.

Pertikaian wilayah Laut China Selatan-Timur
Isu pertikaian di Laut China Selatan dilihat sebagai ancaman utama untuk mencetuskan Perang Dunia Ketiga memandangkan AS secara terbuka menggunakan proksinya di rantau Asia mengekang sebarang tuntutan China terhadap kawasan perebutan.

Di Laut China Selatan, Beijing berdepan bantahan daripada ­Vietnam, Taiwan, Filipina, Malaysia dan Brunei berhubung isu perti­kai­an wilayah terutamanya di Kepulauan Spratly manakala di Laut China Timur, isu perebutan Pulau Senkoku atau Diaoyu membaya­ngi konflik yang lebih besar antara Beijing dan Tokyo jika isu tersebut tidak ditangani secara diplomatik.

Malah tindakan sengaja AS me­nunjukkan kuasa ketenteraan di rantau itu dengan menghantar kapal pemusnah dan pesawat pengebom di kawasan pertikaian sejak kebelakangan ini selain menjalankan urusan penjualan senjata kepada Taiwan, mengeruhkan lagi keadaan dan dikhuatiri China akan bertindak balas secara fizikal.

Jangan sia-siakan cuti yang ada

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

SETIAP kali cuti maka rumah-rumah menjadi kosong dan lebuh raya menjadi pasaraya. Semua mengambil peluang balik ke kampung tidak kiralah ia cuti pe­rayaan kaum lain.

Tahun ini cuti Tahun Baharu Cina seminggu lebih melibatkan sesi persekolahan. Untuk yang be­kerja diberi dua hari cuti namun disambung dari Sabtu hingga Selasa.

Sesungguhnya cuti membuka ruang untuk adik-beradik kembali bertemu bagi mengadakan majlis tahlil ibu bapa yang sudah lama meninggal dunia.

Dalam masa yang sama pelbagai program seperti sesi karaoke dan bersembang mengimbas kenangan silam diadakan.

Pengalaman teman yang jarang pulang ke kampung kerana komitmen kerja dan lebih suka mendaki gunung bersama rakan telah menyebabkan hubungan dengan keluarga sendiri renggang. Hinggakan ketika ibunya meninggal dunia, beliau tidak dapat pulang kerana berada di puncak gunung.

Dalam keadaan masyarakat yang kini mementingkan media sosial hingga media perdana dipandang sebelah mata, hubungan keluarga semakin menjadi hangat-hangat tahi ayam.

Baru sampai dari bandar, salam tangan adik-beradik, selepas makan malam sudah masuk ke bilik.
Bukan untuk tidur tetapi sibuk melayari Facebook.

Itulah kenyata­annya.

Media sosial mendekatkan yang jauh tetapi merenggangkan yang dekat.

Amalan ini sudah menjadi barah dalam hubungan kekeluargaan apabila keluarga maya menjadi le­bih dirindui daripada orang sekeliing kita.

Jika kita biasa mendengar promosi syarikat telco pelbagai pakej data murah ditawarkan. Sehinggakan waktu untuk melayari media sosial lebih panjang diberikan.

Kedengarannya bagus tetapi membuka ruang untuk reunion maya diraikan semahu-mahunya sehingga mata menjadi lebam akibat berjaga 2 hingga 3 pagi.

Untuk dua hari cuti ini peruntukkanlah masa bersama keluarga jauh dan dekat. Kita tidak tahu nyawa kita esok lusa masih ada atau tidak.

Sewajarnya cuti dimanfaatkan untuk menjadi penampung masa yang hilang bersama keluarga dise­babkan kesibukan kita mengejar Indeks Prestasi Utama (KPI) di pejabat sama ada bekerja dengan kerajaan mahupun swasta.

Mungkin kita ketua jabatan mahupun pegawai bergaji besar tetapi kita tetap seorang bapa mahupun ibu di rumah.

Sesungguhnya pada masa harga minyak jatuh ini kita perlu mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung menemui kaum keluarga mahupun bersiar-siar bersama anak-anak.

Walaupun terpaksa bersesak-sesak di zaman kasih sayang semakin terhakis akibat cinta media sosial yang semakin menggila, pulanglah ke desa tercinta tanpa syarat.

Mungkin duit tol yang menjadi batu penghalang namun apa yang penting hubungan kekeluargaan tidak akan mati.

Bila sampai di rumah keluarga, tinggalkan gajet sehari dua di dalam beg pakaian mahupun di dalam dash board kereta. Bukan sahaja suami isteri malahan anak-anak diharamkan memegang i-Pad mahupun komputer peribadi.

Bawa-bawa berbual dengan datuk dan nenek yang entah bila boleh berjumpa lagi.

Sembang-sembanglah dengan mereka sejarah kampung.

Tanyakan pengalaman mereka membesarkan ibu atau bapa kita hingga mampu memberi pendidikan sampai ke tahap ijazah mahupun sarjana.

Sebagai kesimpulan, janganlah kita taksub dengan gajet dan dunia maya hingga gagal berpijak di dunia nyata.

Gunakan cuti yang berharga untuk merapatkan silaturahim bersama anak mahupun leluhur kita. Jangan sampai lemas di dalam dunia maya.

Berikan hak kasih sayang kepada yang berhak.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER