Headlines News :

10 Jenis Ubat Dari Limau Kasturi


1 . ubat batuk

limau+kicap+garam = minum setiap pagi and malam …batuk akan beransur pulih

2 . ubat demam
Petiklah 2-4 genggam daun limau nipis. Rebus dengan 2 hingga 4 gelas air. Gunakan air rebusan ini untuk menuam pesakit yang demam. Caranya dengan membasuh kain pada air rebusan dan diperas, lalu ditempelkan pada dahi pesakit.

3. ubat ketiak
Siapkan limau nipis yang dicampur kapur sirih. Setelah mandi, sapukan campuran ini pada ketiak dan biarkan beberapa waktu sebelum dibasuh. Lakukan pagi dan petang.

4 . ubat pening kepala
Ambil sebiji limau kasturi dan potong sedikit di bahagian atasnya. Kemudian, picit kulit limau kasturi tadi sehingga cecairnya keluar. Pastikan anda menghalakan cecair tu ke arah hidung semasa ia terpancut.

5 . ubat lelah
Ambil sesudu madu. Kalau boleh madu asli. Kemudian, campurkan dengan 5 titik jus limau kasturi.Minumlah campuran madu dan jus limau kasturi tadi.Anda boleh meminumnya pada bila-bila masa walaupun ketika tak mengalamilelah. Tapi cukuplah anda mengamalkan cara ini seminggu sekali.

6 . ubat kurus
Perahan limau nipis yang dicampur dengan teh tanpa gula dan diminum setiap hari. Sebaik-baiknya biarlah teh yang diminum itu teh panas suam, kesannya lebih cepat. Amalkan meminum air ini dan insya-Allah perut anda yang buncit akan menjadi kempis dan kemas semula.

7 . ubat kelemumur
Biasakan mencuci rambut dengan beberapa helai daun rambutan yang diramas bersama setengah cawan air hingga mengeluarkan lendir. Kemudian bancuh sebati lendir daun rambutan bersama dua cawan santan dan sebiji air limau nipis. Lumur pada seluruh kepala dan balut menggunakan tuala lembap. Biar sebentar sebelum dibilas bersih, Lakukan seminggu sekali.

8 . ubat hilang minyak pada baju
Perahkan sebiji limau kasturi ke dalam piring.Campurkan perahan limau kasturi tadi dengan sedikit garam.Kemudian, gosokkan campuran di atas pada bahagian pakaian yang terkena minyak.Lepas dah gosok, biarkannya selama 5 hingga 10 minit. Kesan minyak tu akan hilang nanti.Akhir sekali, barulah anda basuh pakaian tadi bersama dengan pakaian lain macam biasa.

9 . ubat wangi rambut
Ambil beberapa biji limau nipis & hiris2kan. Kemudian gosokkan ke seluruh kepala. Biarkan beberapa minit, kemudian barulah cuci hingga bersih. Selain mewangikan rambut, limau nipis juga boleh menghilangkan rasa pening & menyejukkan kepala.

10 . ubat kilatkan cermin mata
Cermin mata selalu kabur warna kerana terkena peluh disekitar mata atau hidung. Cuba petua ini bagi mengatasi cermin mata anda jelas lebih lama. Cuci & gosokkan sedikit limau pada kacanya. Bilas bersih2 kemudian lap dgn kain bersih atau tisu. Hasilnya cermin mata lebih kuat & jelas lebih lama

Ikan dari planet asing?

WELLINGTON  - Seekor ikan aneh berwarna hitam yang kelihatan seperti makhluk asing dari
sebuah planet lain, ditangkap di perairan New Zealand, baru-baru ini.

Portal berita Mail Online me­laporkan, beberapa gambar yang memaparkan rupa pelik ikan laut dalam itu dimuat naik di halaman Facebook Muzium Te Papa pada Jumaat lalu selepas ditangkap oleh dua nelayan bernama Claudia dan Glenys Howse di Bay of Islands.

“Makhluk aneh itu kelihatan se­perti seekor ikan katak atau ‘frogfish’, tetapi kami masih tidak pasti spesies sebenarnya sehingga kajian mendalam dilakukan.

“Ikan katak merupakan verterbrata yang mampu mengigit dengan pantas,” jelas Muzium Te Papa dalam kenyataannya.

Menurut muzium itu, ikan katak adalah ikan pemangsa yang men­yerang dan mampu makan hampir apa sahaja yang dapat dimuatkan ke dalam mulutnya yang besar terma­suk ikan, ketam, dan udang.

Gambar itu turut mendapat ratusan komen daripada orang ramai antaranya pengguna Facebook bernama Robyn Wendt yang bertanya adakah ikan itu boleh dimakan kerana kelihatan seperti makhluk asing.

“Ikan katak ini juga kelihatan seperti burung,” katanya.

Seorang pemancing profesional dari Barmera, Garry Warrick berkata, dia tidak pernah melihat sesuatu seperti itu dalam 30 tahun bekerja di kawasan tersebut.

“Penemuan spesies ini sangat luar biasa. Saya telah memancing di sini sejak 30 tahun dan saya pernah mendapat ikan cacat, tetapi tidak seperti ikan ini,” ujarnya

Seni P. Ramlee getarkan jiwa pensyarah Rusia

Perjalanan dari rumah lelaki ini ke tempat kerjanya di Universiti Malaya hanya mengambil masa 15
minit sahaja, akan tetapi ia kebiasaannya lebih daripada itu.

Tinggal di Kerinchi, kawasan yang berhampiran dengan beberapa tanda tempat ibu kota dan pusat perubatan, kesesakan dan kesibukan kenderaan bertali arus ketika waktu puncak sememangnya tidak dapat dielakkan.

Boleh mengundang tekanan dan kemarahan kepada sesiapa sahaja, tetapi tidak bagi lelaki ini kerana beliau mempunyai cara tersendiri untuk menenangkan jiwa pada waktu itu.

Memilih lagu sebagai terapi minda seperti mana warga kota lain, menariknya lagu-lagu yang mengisi halwa telinganya bukanlah berentak terkini tetapi dendangan suara Seniman Agung Negara Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Saya ada dua CD (cakera padat) yang menghimpunkan lagu-lagu P. Ramlee dan isterinya Saloma. Boleh dikatakan saya mendengarnya setiap kali pergi dan pulang dari kerja. Suaranya begitu merdu dan sebab itulah saya meminatinya.

“Beliau merupakan permata yang amat berharga dan semestinya Malaysia sangat bertuah kerana pernah memiliki insan seni yang sungguh hebat ini,” katanya

Kata-kata penghargaan dan minat terhadap legenda negara ini adalah biasa dalam kalangan kita, tetapi bagaimana pula dengan lelaki ini yang sebenarnya  anak kelahiran Rusia.

Tidak jemu

Beliau adalah Profesor Madya Dr Victor A. Pogadaev yang begitu mengagumi bakat insan istimewa ini. Beliau yang merupakan pensyarah bahasa dan budaya Rusia di UM sempat berkongsi keterujaannya dengan menyanyikan beberapa bait kata lagu ‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ semasa ditemuramah baru-baru ini.

Pogadaev, 68, yang fasih berbahasa Melayu mengakui tidak pernah jemu mendengar kemerduan suara legenda Malaysia itu. Turut tergantung di dinding biliknya adalah potret P. Ramlee.

“Tidak kira mana-mana, lagu-lagu P. Ramlee sentiasa menjadi pilihan termasuklah semasa percutian saya ke Tanjung Bidara, Malacca. Saya mendengarnya bersama isteri sepanjang perjalanan pergi dan balik.

“Walaupun tidak tahu semua lirik lagu, tetapi apabila mendengar berulang kali, ia sedikit-sebanyak membolehkan saya menghafalnya,” ujar bapa kepada tiga orang anak ini.

Gabungan pelbagai irama tradisional sambil berselang-seli kerancakan muzik moden, lagu-lagu Allahyarham amat mengasyikkan.

Maka, tidak menghairankanlah seniman berbakat besar dalam industri seni  sebagai komposer, penyanyi dan penulis lirik ini sukar ditandingi artis lain malah sehingga ke generasi hari ini mengenali beliau, kata Pogadaev.

Sebutir bintang

Siapa tidak kenal bintang legenda ini? Tanyalah sesiapa sahaja, pastinya generasi muda hari ini juga mengenalinya walaupun sudah hampir lima dekad pemergian Allahyarham pada 1973.

P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh, merupakan anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang yang mempunyai bakat begitu besar dalam industri hiburan.

Kreativitinya sungguh hebat dan tidak dapat disangkalkan dalam penghasilan karya indah dan bermutu meliputi pelbagai cabang seni, ciptaan lagu, pemuzik, penyanyi, pelakon mahupun juga dalam pengarahan filem.

Malah, filem arahan dan lakonannya tidak pernah jemu ditonton biarpun  berulang kali kerana jalan ceritanya yang amat menarik.

Hang Tuah, antara filem Allahyarham yang kerap kali disiarkan di kaca televisyen yang begitu menggamit perhatian Pogadaev.

Baginya, biarpun pemilik suara emas itu tidak meninggalkan pusaka emas mahupun wang berjuta. Tetapi, khazanah seninya dalam menyuntik arena perkembangan Baru industri hiburan adalah peninggalan amat berharga bagi generasi akan datang.

Semua gara-gara ‘woh’

Menceritakan detik awal minatnya terhadap seniman ikon Malaysia ini, Pogadaev berkata semuanya bermula pada 1970 semasa terpilih mengikuti programme pertukaran pelajar antara Malaysia dengan Rusia di UM selama setahun.

Bertujuan mengukuhkan bahasa Melayu yang dipelajarinya di Moscow State University ketika itu, pertemuannya dengan P. Ramlee di Dewan Tunku Canselor (DTC), UM, membuatkan jiwanya terus terpaut.

“Waktu itu, DTC adalah dewan paling besar di Kuala Lumpur. Segala pertunjukan, konsert diadakan di sini. Kebetulan P. Ramlee ada datang mengadakan konsert ketika saya berada di UM bagi programme pertukaran pelajar.

“Sebaik mendengar suaranya, saya terus terpegun kerana beliau menyanyi seolah-olah bukan dengan suara tetapi dengan ‘jiwa’. Saya masih ingat lagi, ketika hendak mengambil gambarnya dari dekat, beliau mengangkat tangan dan melaung ‘Woh’ kepada saya sambil tersenyum,” ceritanya sambil ketawa.

Merasakan insan seni itu seorang yang peramah dan begitu dekat dengan peminat, akui Pogadaev yang beliau mula mencari maklumat mengenai Allahyarham selepas daripada konsert itu.

Pada masa sama, beliau yang turut meminati Saloma telah membeli beberapa piring hitam dan kaset kedua-dua insan hebat ini untuk dibawa balik ke Moscow.

Koleksi

Minatnya terhadap P. Ramlee tidak pernah pudar biarpun setelah kembali ke negara asalnya setahun selepas itu. Malah, dikongsi pula dengan tiga orang anak perempuan, isteri dan pelajarnya ketika menjadi pensyarah di universiti negara berkenaan.

“Bahasa yang digunakan P. Ramlee dalam karya-karyanya sangat mempersona, sempurna dan sesuai untuk dijadikan bahan pengajaran kepada pelajar.

“Bagaimanapun, ketika itu hanya lagu-lagunya sahaja dapat diperdengarkan kerana belum ada lagi teknologi DVD untuk filem-filem P. Ramlee,” katanya.

Sudah dinamakan rezeki, beliau kembali ke negara ini apabila ditawarkan berkhidmat di UM.

Peluang itu tidak disia-siakan, malah beliau yang turut meminati penyair hebat dan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr Usman Awang ini tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan DVD filem-filem P. Ramlee.

Selain dijadikan koleksi peribadi, beliau juga menghadiahkan DVD berkenaan kepada rakannya yang mengajar bahasa Melayu di Moscow State University.

“Sampai sekarang, karya-karya P. Ramlee masih digunakan di universiti sana sebagai rujukan. Sambutan diberikan pelajar pun amat menggalakkan dan mereka menyukainya,” katanya yang mempunyai lebih 10 DVD filem P. Ramlee dalam koleksi peribadinya.

Relevan

Karyanya yang jujur dan kepintarannya dalam menghasilkan filem yang mempunyai nilai pengajaran dalam kehidupan masyarakat merentasi zaman dan sempadan, menjadikannya relevan sehingga hari ini.

Selain itu, ia kaya dengan identiti budaya Melayu untuk dipelajari kalangan mahasiswa Rusia, kata Pogadaev.

“P. Ramlee berjuang hak masyarakat melalui karyanya. Beliau pandai mengolah cerita untuk menampakkan manusia sama sahaja tanpa mengira darjat. Baginya, setiap orang ada kepentingan masing-masing.

“Misalnya, filem Penarek Becha beliau menggarap cerita supaya orang faham bahawa peranan penarik beca juga penting dalam  masyarakat,” katanya.

Bagi membuatkan mereka lebih faham, Pogadaev ada menghasilkan beberapa artikel mengenai P. Ramlee selain ensiklopedia mengenai Malaysia dalam bahasa Rusia.

“Kerana terlalu minat juga, saya ada menziarahi kuburnya di Ampang sebagai tanda penghormatan. Beliau, sebenarnya adalah seorang insan seni hebat yang mana  bakatnya tidak ada galang gantinya,” katanya.— Bernama

Kuasa beli semakin kecil tahun ini

Oleh Mutazar Abd Ghani 

KECUALI penurunan harga runcit petrol dan diesel pada tanggal 1 Januari lalu, tahun baharu 2016
tidak banyak membawa sinar ceria untuk negara amnya dan rakyat khasnya, dalam mengharungi tempoh 12 bulan akan datang.

Penyusutan berterusan harga minyak mentah global yang menyaksikan harga minyak mentah Brent menjunam ke paras terendah dalam tempoh lebih sedekad pada AS$32.16 setong pada Khamis minggu lalu, telah menjejaskan dengan ketara pendapatan negara pengeksport komoditi itu, termasuk Malaysia.

Difahamkan, kejatuhan setiap AS$1 setong dalam harga minyak dunia akan menyebabkan negara mengalami penyusutan dalam pendapatan hasil komoditi itu sebanyak RM300 juta.

Bayangkan berapa jumlah penyusutan hasil pendapatan kerajaan daripada hasil minyak selepas harga minyak mentah Brent menjunam daripada AS$98.94 setong pada 2014, kepada sekitar AS$33 setong pada masa ini.

Bagi rakyat pula, kesan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kenaikan tambang pengangkutan awam dan tol serta penurunan nilai ringgit yang menyumbangkan kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan, terus menghimpit poket orang ramai.

Dengan jangkaan prestasi ekonomi negara dan sektor perniagaan berterusan lembab, sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan akan datang, pastinya ia memberi kesan kepada orang ramai terutama pekerja sektor swasta dari segi pemberian bonus, kenaikan gaji, kenaikan pangkat, hatta pemberhentian tenaga kerja, terutama bagi sektor minyak dan gas.

Ini bersandarkan keputusan kewangan syarikat tersenarai yang kurang memberangsangkan setakat suku kewangan berakhir 30 September 2015, yang menyaksikan tidak banyak syarikat yang mencatatkan peningkatan keuntungan, malah tidak kurang pula yang melaporkan kerugian.

Selain itu, prestasi kurang memberangsangkan Bursa Malaysia yang menyaksikan Indeks FBM KLCI menyusut lebih 100 mata daripada 1,761 mata ketika penutup 31 Disember 2015 kepada 1,657.61 pada penutup Jumaat lalu, turut dijangka menjejaskan kadar pemberian bonus/dividen oleh syarikat pengurus dana saham amanah.

Jika mengambil kira pemberian dividen dan bonus bagi dua saham amanah utama negara iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) hujung bulan lalu, yang masing-masing berkurangan berbanding tahun sebelumnya, tentu agak sukar untuk kita mengharapkan pemberian bonus dan dividen yang lebih tinggi tahun ini daripada KWSP, Tabung Haji dan sebagainya.

Bersandarkan senario peningkatan kos sara hidup susulan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta jangkaan pertambahan pendapatan yang tidak `semewah' seperti tahun sebelum ini, ia bermakna pendapatan boleh guna atau kuasa beli orang ramai juga dijangka semakin mengecil tahun ini.

Justeru, keadaan ini memerlukan orang ramai membuat perancangan bajet yang benar-benar teliti untuk setiap sen wang yang bakal dibelanjakan tahun ini agar bajet tidak `bocor' atau lebih parah menjadi defisit bajet yang besar, dengan peningkatan jumlah hutang. Ini juga sejajar pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

Pengubahsuaian bajet itu yang akan dibentangkan tidak lama lagi, antara lain akan membabitkan langkah mengoptimumkan perbelanjaan, mengambil kira peranan syarikat berkaitan kerajaan dan memastikan kerajaan terus menjaga kesejahteraan rakyat.

Di peringkat orang ramai, pengubahsuaian bajet individu misalnya boleh dilaksanakan dengan menangguh atau membatalkan perbelanjaan tidak perlu atau mendesak. Ini termasuk pembelian kereta baharu, jika kereta lama masih boleh digunakan; pembelian kelengkapan rumah baharu; pengubahsuaian rumah; dan melancong ke luar negara, kecuali untuk menunaikan umrah atau haji.
Bagi pembelian keperluan harian, orang ramai juga boleh membeli secara pukal melalui koperasi di tempat mereka bekerja atau di Kedai Rakyat 1Malaysia, yang menawarkan harga berpatutan; berkongsi kenderaan ke tempat kerja; kurang makan di luar; meminimumkan percutian; berjimat dalam penggunaan utiliti dan telefon mudah alih.

Namun, bagi golongan berkemampuan dan tidak terjejas dengan suasana kelembapan ekonomi semasa, mereka boleh meneruskan corak perbelanjaan yang sesuai dengan kemampuan masing-masing. Cuma, sekiranya mereka turut dapat menyumbang terhadap langkah penjimatan kerajaan seperti kurang melancong ke luar negara atau kurang membeli barang import, ia sekurang-kurangnya dapat mengelak pengaliran atau ketirisan ringgit ke luar negara.

Salah satu cara untuk meningkatkan kesan pengganda di dalam ekonomi adalah dengan mengurangkan ketirisan proses kitaran ekonomi negara.

Jika berlaku ketirisan, kesan pengganda berlaku di negara asing, iaitu setiap ringgit yang dibelanjakan akan menjana pertumbuhan ekonomi negara berkenaan.

Akhir kalam, dalam persekitaran ekonomi mencabar dan tidak menentu sekarang, orang ramai perlu menghadapi realiti serta berusaha untuk hidup dalam kemampuan masing-masing.
 Ini bagi membolehkan kita lebih bersedia, sekiranya senario lebih buruk berlaku pada masa hadapan.

Air sebagai sumber kehidupan

AIR merupakan satu khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Kita perlukan air untuk menjalani
kehidupan seharian kerana ia sumber penting dalam menjana pelbagai bidang ekonomi seperti pertanian, perindustrian, perikanan dan penjanaan sumber tenaga elektrik dan sebagainya.

Seperti yang kita sedia maklum, hampir 3/4 daripada permukaan bumi adalah kawasan berair. Begitu juga dengan tubuh manusia di mana 70% daripada komposisi tubuh manusia adalah air.

Kajian menunjukkan bahawa manusia boleh hidup lebih seminggu tanpa makanan tetapi hanya beberapa hari tanpa air. Ini menggambarkan betapa pentingnya air dalam kehidupan kita.

Negara kita juga telah mengalami beberapa krisis bekalan air yang serius. Antaranya krisis air pada tahun 1998 di Lembah Kelang di mana kira-kira 600,000 penduduk Selangor dan Kuala Lumpur telah terjejas.

Sebagai pengguna kita haruslah mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa ini dengan menyediakan satu pelan tindakan agar krisis seperti ini dapat dielakkan daripada berulang atau setidak-tidaknya mengurangkan impaknya.

Antara tugas dan tanggungjawab pengguna yang paling utama ialah menjimatkan air. Kita sememangnya berhak untuk mendapatkan bekalan air yang terjamin keselamatannya serta menggunakan sebanyak mana yang kita ingini berdasarkan harga yang telah dibayar.

Tetapi, sedarkah bahawa kita sebenarnya berurusniaga dengan alam. Setiap liter air yang digunakan akan melalui proses kitaran semulajadi.

Hari demi hari kita harus menyaksikan betapa pencemaran terhadap sumber alam ini masih berlaku. Adakah suatu hari nanti kita sanggup membayar harga yang begitu tinggi untuk mendapatkan bekalan air yang selamat dan bersih?

Jawapannya pada diri kita sendiri. Oleh itu, langkah yang paling mudah boleh diambil oleh setiap pengguna ialah dengan menjimatkan penggunaan air.

Apabila kita menyentuh isu penjimatan air, ia tidak akan lengkap tanpa kita melihat dan membincangkan tentang cabaran dan kesan jika terdapat masalah kepada bekalan air bersih kerana tiada sesiapa pun yang menjimatkannya.

Sehingga kini, pencemaran air terutamanya sumber utama air bagi kehidupan harian dan kegunaan industri iaitu sungai sudah terlalu kritikal kecederaannya. Di manakah punca dan siapa pula yang harus dipersalahkan.

Pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan tetapi hasilnya masih mendukacitakan. Dalam setiap persidangan sedunia atau di peringkat kebangsaan dan serantau mengenai alam sekitar mahupun bekalan air, pencemaran pastinya akan menjadi isu pokok.

Namun sedemikian, biar sekerap atau seserius mana pun perbincangan dan persidangan itu diadakan, tetapi tanpa tindakan dan susulan yang sewajarnya, pencemaran sungai-sungai ini akan bertambah parah.

Peranan pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Air usaha memelihara dan memulihara sungai-sungai dan sumber air yang lain sewajarnya diberi pujian.
Tetapi tanpa kesedaran pengguna, sebagai pengguna utama alam sekitar yang mendagangkan air ini, semua usaha akan sia-sia umpama mencurahkan air ke daun keladi.

Kesedaran pengguna sebenarnya merupakan aset terpenting untuk terus memastikan bahawa sumber ini akan terus wujud, bersih dan selamat serta dapat meneruskan khidmatnya kepada kehidupan sejagat.

Yang pasti, ibu bapa harus memainkan peranan untuk mendidik anak-anak yang bakal menjadi pengguna alam ini agar sedar akan tanggungjawab mereka dan bersama-sama menjaga khazanah ini.

Kesedaran pengguna di peringkat awal akan menjadi pemangkin kepada jaminan bahawa sumber alam ini akan terus selamat dan berdekatan.

Ibu bapa pastinya akan tersenyum lega kerana warisan anak cucu mereka akan terus menikmati kehebatan sumber air ini dan meneruskan kemandiran tamadun dan kehidupan.

Seterusnya, pengguna harus sedar bahawa mereka juga mempunyai hak mengenai kualiti pembekalan air agar kita sentiasa mendapat perkhidmatan air yang benar-benar berkualiti, bersih dan selamat.

Saban tahun, pelbagai isu mengenai kualiti pembekalan air yang semakin menurun dilaporkan.
Pengguna seringkali menghadapi pelbagai masalah seperti mendapat bekalan air yang kotor, gangguan perkhidmatan yang terlalu kerap dan kadar bayaran perkhidmatan yang kadangkala terlalu tinggi dan tidak masuk akal.

Malah ramai pengguna terpaksa berbelanja lebih dengan memasang sendiri penapis air berteknologi tinggi di premis masingmasing lantaran kualiti air yang begitu teruk.

Selain itu, beberapa tempat di Semenanjung Malaysia pula turut mengalami masalah catuan bekalan air kerana hujan yang tidak menentu dan mempengaruhi kadar takungan air serta masalah penyaluran bekalan.
Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian mendalam oleh semua pihak terutamanya pengguna ialah keselamatan dan keupayaan kawasan tadahan hujan serta alam sekitar yang bersih untuk memastikan sumber ini akan terus kekal dan berupaya menampung penambahan bilangan penduduk. Perkara ini perlu diberikan perhatian serius kerana sumber ini adalah asas utama kemandirian tamadun dan kehidupan.
Tanpa usaha yang berterusan dan berkesan, suatu hari nanti pasti tiada lagi sumber air yang benar-benar bersih untuk kehidupan sejagat.
Mungkin suatu hari nanti air untuk kegunaan harian terpaksa melalui satu proses kompleks untuk dijadikan air yang benar-benar bersih dan selamat. Justeru itu, pengguna haruslah memainkan peranan utama dengan memupuk kesedaran agar kawasan tadahan hujan dan alam sekitar kita akan terus sesuai untuk kehidupan sejagat.
Oleh itu, semua pihak harus sedar tentang tanggungjawab dan tugas mereka mengenai penggunaan air.
Pengguna terutamanya sebagai pengguna utama alam sekitar harus mempunyai kesedaran yang tinggi untuk terus memastikan bahawa generasi masa depan akan terus menikmati alam sekitar yang bersih seterusnya bekalan air yang selamat.
Semoga air bersih akan terus 'hidup' di muka bumi ini bagi memastikan kemandirian tamadun kehidupan yang gemilang.
- Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com kehidupan dengan kerjasama KPDNKK

Kekejaman rejim Pol Pot masih berbekas

Oleh Mona Ahmad 

DIPUKUL sepanjang hari, dicabut kuku menggunakan playar, dikenakan renjatan elektrik dan
dipaksa bekerja sepanjang hari tanpa rehat, tidak dibenarkan mandi hanya disiram air tiga bulan sekali dan diberikan nasi bubur cair bagi mengalas perut.

Itu adalah sebahagian rutin harian tahanan Penjara Tuol Sleng, Phnom Penh, Kemboja ketika zaman pemerintahan kejam rejim Pol Pot.

Dalam tempoh hampir empat tahun dari 1975 hingga 1979 pemerintahan rejim itu, lebih dua juta rakyat Kemboja mati kebuluran, diseksa dan dibunuh, manakala ramai lagi yang terselamat mengalami kecacatan fizikal dan mental.

Biarpun zaman itu sudah berlalu lebih 30 tahun, namun parutnya masih berbekas dalam sanubari rakyat Kemboja yang melalui kehidupan di zaman Khmer Rouge itu terutama bagi warga emas yang masih hidup.

Tentera Khmer Rouge membunuh artis, guru, peguam, doktor, wartawan, ahli agama atau sesiapa saja yang dianggap sebagai 'intelek,' atau sesiapa saja yang mempamerkan bangsa, agama atau kedudukan mereka.

Tanpa sebarang alasan, penduduk ditangkap dan dibunuh atau dipaksa menjadi buruh kasar. Ada kalanya, alasan yang tidak boleh diterima akal manusia waras seperti memanjat pokok kelapa kerana haus atau hanya kerana memakai cermin mata yang menampakkan seolah-olah bijak atau kaya turut ditangkap atau dibunuh.

Penjara Tuol Sleng adalah bekas Sekolah Tinggi Chao Ponhea Yat yang dijadikan penjara menempatkan hampir 20,000 tahanan yang kemudiannya dibunuh ketika di zaman pemerintahan kuku besi itu.

Peluang mengunjungi Penjara Muzium Tuol Sleng bersama Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (PKPU JAKIM) yang kini dijadikan Muzium Tuol Sleng baru-baru ini, benar-benar menginsafkan penulis.

Apakan tidak terutama apabila melihat ribuan gambar wajah insan tidak bersalah dipamerkan, selain lukisan gambaran penyeksaan yang dilakukan tentera rejim itu dan tengkorak tahanan yang ditemui di perkuburan besar di banyak kawasan dikenali sebagai Killing Fields.

Pertemuan dengan Chum Mey, 86, satu-satunya bekas tahanan Penjara Tuol Sleng yang masih hidup, di mana 12,000 yang lain didera dan dibunuh dengan kejam serta dihantar ke lapangan pembunuhan (Killing Field), benar-benar menyentuh jiwa.

Selain menceritakan pengalamannya kepada wartawan dunia dan pengunjung penjara itu yang kini dijadikan muzium menempatkan maklumat, gambar serta tengkorak mangsa kekejaman rejim Pol Pot, Chum turut menulis pengalamannya melalui buku dalam bahasa Inggeris berjudul Survivor.

Saksi utama kes perbicaraan Beliau turut menjadi saksi utama dalam kes perbicaraan Ketua Penjara itu, Kaing Guek Eav atau Duch yang diadakan di tribunal jenayah antarabangsa.

"Saya tidak mahu zaman itu berulang. Menjadi tanggungjawab saya untuk bercerita kepada dunia mengenai kebenaran dan apa yang terjadi ketika itu. Saya bukan hanya bercerita kepada orang Kemboja saja, tetapi seluruh dunia tidak kira orang Cina, orang Champa (Muslim), sesiapa saja yang berjumpa dengan saya.

Saya mahu dunia tahu apa sebenarnya terjadi dan tidak mahu ia berulang," katanya. Chum bernasib baik tidak dibunuh kerana mempunyai kemahiran membaiki peralatan seperti mesin, jana kuasa, trak dan kenderaan.

"Saya bernasib baik tidak dibunuh kerana mereka mahukan kepakaran dan kemahiran saya dalam membaiki peralatan. Mesin taip adalah peralatan pertama yang perlu dibaiki, ini kerana semua pengakuan direkodkan.

Saya kemudian diarah melakukan kerja pembaikan mesin termasuk mesin jahit. "Saya bekerja bersebelahan dapur, kadangkala saya diarahkan mengangkut kayu api, apabila bernasib baik saya diberikan kerak nasi yang disorokkan dalam laci mesin jahit," katanya.

Chum berkata, dua anak perempuannya hilang pada zaman pemerintahan Pol Pot.
Hanya selepas tahun 1979, beliau diberitahu kedua-dua anak perempuannya dibawa menaiki kereta api ke Pursat atau Battambang.

"Saya dengar kereta api itu meletup dan kemungkinan besar kedua-dua mereka meninggal dunia. Saya cuba mencari mereka, tetapi tidak menemui atau mendengar berita mengenai mereka.

Jika mereka dibawa keluar negara untuk proses anak angkat dan masih hidup, tentu mereka pernah mendengar nama saya kerana saya banyak ke Asia, Eropah dan Amerika.

Namun, sehingga kini tiada berita mengenai mereka," katanya yang turut kehilangan isteri dan dua anak lelaki pada zaman itu akibat sakit.

Tarikh 28 Oktober 1978 menjadi kenangan pahit dalam hidupnya apabila ditangkap pihak rejim Pol Pot atas alasan mahu meminta tolong membaiki trak berhampiran Vietnam, namun beliau terus dibawa ke Penjara Tuol Sleng.

Mengikut prosedur, semua tahanan dirakam gambar dan ditanggalkan pakaian sebelum dimasukkan dalam sel kecil.

Dipukul, kuku dicabut Berhari-hari didera dengan dipukul tanpa henti dan kuku kaki dicabut dengan playar atas dakwaan menyertai Agensi Perisikan Amerika (CIA). Mendengar nama CIA pun kali pertama, inikan pula menjadi perisiknya.

Selama 10 hari didera, dipukul dan telinga kiri dipasang wayar elektrik, akhirnya beliau tidak tahan dan terpaksa mengaku atas pertuduhan walaupun tidak tahu menahu butiran pangkalnya.

"Mereka bukan manusia tetapi lebih teruk daripada haiwan. Kami diberikan kotak plastik untuk membuang air, jika terjatuh di lantai kami diarahkan menjilatnya. Jika kedengaran kaki yang diikat dengan besi bergerak, mereka datang dan menyebat kami sebanyak 200 sebatan.

"Bagi mengalas perut, kami diberi makan bubur nasi dua kali sehari, jika meminta tambah akan dipukul, kadang kala cicak dan tikus turut menjadi santapan penghuni penjara," katanya. Selepas berdekad kejadian itu, walaupun menderita akibat kekejaman rejim Pol Pot, Chum tidak

menyalahkan tentera yang menderanya kerana mereka hanya melaksanakan arahan pegawai atasan.
"Saya menganggap mereka juga mangsa seperti saya kerana terpaksa mengikut perintah ketua mereka. Jika saya di tempat mereka, sanggupkah saya berdepan dengan hukuman bunuh jika gagal melaksanakan arahan supaya mendera tahanan," katanya yang turut mengenal pasti tentera yang menderanya.

Kini, Chum menghabiskan masa tuanya dengan menjual buku tulisannya di pekarangan Muzium Tuol Sleng dan bercerita dengan pengunjung mengenai kekejaman dan pengalamannya menghuni tirai besi itu.

Umat Islam dibunuh, hidup dalam ketakutan Kemboja terus berdepan perang dengan Vietnam di sempadan Kemboja-Thailand selepas bebas daripada pemerintahan kuku besi Pol Pot. Bukan itu saja, perang saudara turut tercetus antara saki-baki penyokong Pol Pot dan pihak berkuasa sekitar 1990-an yang menyukarkan kerajaan untuk mewujudkan kestabilan dan keamanan.

Pilihan raya pertama Kemboja diadakan pada tahun 1993 dan pilihan raya kedua pada tahun 1998 menjadi titik-tolak keamanan kepada negara itu menerusi kepemimpinan kerajaan campuran yang berusaha mengekalkan kestabilan Kemboja.

Di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Hun Sen, negara itu banyak berubah dan rakyat diberi kebebasan beragama dan mencari rezeki termasuk umat Islam di negara itu.
Bagi Pengerusi Cambodia Muslim Intellectual Alliance (CMIA), Farid Hosen, walaupun tidak merasai secara langsung keperitan kekejaman rejim Pol Pot tetapi ia meninggal parut yang masih berbekas apabila bapanya, Hosen Abu Bakar turut ditangkap dan meninggal dunia ketika dalam tahanan.

"Seperti yang diceritakan ibu, saya ketika itu hanya berusia 15 hari semasa bapa ditangkap rejim Pol Pot. Ketika itu, regim itu memburu dan menahan guru agama. Bapa saya seorang imam dan guru agama.

Kami difahamkan beliau meninggal dunia ketika dalam tahanan akibat kebuluran," katanya ketika ditemui di Phnom Penh, Kemboja, baru-baru ini. Hanya tiga tahun, lapan bulan dan 10 hari saja, pemerintahan kuku besi itu menyaksikan kira-kira setengah juta umat Islam Kemboja berketurunan Melayu Champa meninggal dunia dan yang tinggal hanyalah sejumlah 100,000 saja ketika zaman itu.

Guru agama Kampung Suay Bakau, wilayah Kampong Chnang, Ishak Irham, 72, yang kehilangan kebanyakan ahli keluarganya ketika di zaman Pol Pot menyifatkan keamanan yang dikecapi sekarang perlu dipertahankan kerana penderitaan hidup ketika itu tidak boleh gambarkan oleh akal waras manusia. BILIK seksaan. Hidup dalam ketakutan

"Di zaman Pol Pot, hidup memang susah. Kami hidup dalam ketakutan kerana bimbang ditangkap dan dibunuh. Kebanyakan yang dibunuh adalah guru agama dan imam kerana komunis tidak percaya kepada agama. Adik beradik saya ada juga yang ditangkap dan dibunuh," katanya.

Bagi generasi muda, Nasief Mohamad, 25, walaupun tidak sempat merasai penderitaan di zaman Pol Pot tetapi ibu bapanya serta saudara yang lebih tua di rumah serta kampungnya pernah bercerita mengenai kekejaman yang dialami ketika itu.

"Alhamdulillah, kami tidak merasai keperitan yang pernah dialami generasi sebelum ini. Kami berharap sejarah tidak berulang dan negara ini terus aman di mana umat Islam boleh mengamalkan ajaran dan menjalani hidup harmoni dengan penduduk yang beragama dan berbangsa lain," katanya.

Berasal dari wilayah Kampong Cham, Nasief yang kini menuntut di Universiti SEGI, Kota Damansara, Kuala Lumpur, turut menyuarakan rasa kesyukuran kerana berpeluang melanjutkan pengajian di Malaysia dengan tajaan Yayasan al Bukhary dan berharap dapat kembali menabur bakti di negaranya selepas tamat pengajian.

WhatsApp Hapus Yuran Langganan

PERKHIDMATAN pesanan mudah alih WhatsApp yang dimiliki oleh Facebook Inc berkata, ia
tidak lagi mengenakan yuran langganan tahunan dan merancang untuk menguji sistem yang membolehkan pengguna berkomunikasi secara langsung dengan organisasi dan perniagaan menerusi aplikasi tersebut.

WhatsApp yang mempunyai 900 juta pengguna di seluruh dunia dan berfungsi menerusi pelbagai jenis telefon berkata, ia tidak merancang untuk melancarkan pengiklanan pihak ketiga bagi menjana pendapatan.

Ia hanya mengenakan caj untuk yuran langganan tahunan sebanyak AS$0.99 (RM4.35) atau setaraf, yang dikecualikan pada tahun pertama, dan berkata, ia akan menghapuskan bayaran itu dalam beberapa minggu akan datang.

Ia akan menguji sistem yang membolehkan pengguna berkomunikasi dengan organisasi dan perniagaan di WhatsApp, berbanding menerusi pesanan teks dan panggilan telefon.

WhatsApp merupakan salah satu aplikasi pertama yang membolehkan orang ramai menghantar dan menerima teks pesanan menerusi telefon pintar.

Tanpa caj rangkaian, ia akan menjadi semakin popular di kalangan pengguna muda.
Ia menyaksikan persaingan berdasarkam aplikasi perkhidmatan yang ditawarkan oleh antara lain adalah Google. - Reuters

Hak-hak yang terdapat dalam Islam

ISLAM sebagai satu-satunya agama yang diperakui di sisi Allah SWT, tidak pernah meninggalkan
sesuatu ajarannya dengan kabur hingga manusia menjadi celaru dan meraba-raba hingga boleh membawa kesesatan yang tidak berkesudahan.

Justeru, antara ajaran Islam yang jitu lagi terarah kepada kebenaran, ia memperkenalkan kepada manusia sejagat beberapa hak yang mesti ditunai dan dihormati, hak kepada Allah, hak kepada Rasulullah, hak kedua ibu bapa, hak muslim sesama muslim yang lain dan hak jiran adalah antara ajaran Islam yang berjaya membentuk jati diri muslim yang unggul dari segi pegangan, kepercayaan dan pelaksanaan hidup yang diredai Allah.

Hak kepada Allah

Allah SWT adalah matlamat hidup setiap muslim, Dialah yang menjadikan segalagalanya di muka bumi ini untuk kelangsungan kehidupan mereka tanpa sebarang masalah, ia juga adalah
kemudahan buat mereka untuk melakukan ibadat kepada-Nya, justeru hak Allah yang mesti ditunaikan oleh setiap manusia adalah seperti berikut:

1. Mentauhidkan-Nya pada zat, nama, sifat dan perbuatan- Nya dengan kefahaman yang mendalam pada Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah.

2. Tidak beribadat melainkan hanya kepada-Nya, kerana Dialah Yang Mencipta, Memberi rezeki dan menerima segala permohonan hamba-hamba-Nya.

3. Bersyukur kepada-Nya atas segala nikmat yang tidak terhingga, nikmat hidup, kesihatan, makanan dan lain-lain.

Hak kepada Rasulullah

Perutusan baginda Rasulullah sebagai nabi dan rasul terakhir merupakan satu nikmat yang paling besar kepada seluruh manusia, kerana kerasulan baginda adalah untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan hidup kepada cahaya dan menunjuk-ajar mereka kejalan kebenaran.
Hak Rasul yang wajib umat Islam tunaikan ialah dengan mencintainya, mentaati ajarannya, melaksana ajaran dan meninggalkan larangannya.

Hak kedua ibu bapa

Islam amat menitik-beratkan persoalan institusi kekeluargaan yang berasaskan kasih-sayang, antara ajaran Islam ialah menghormati kedua ibu bapa yang diletakkan selepas taat kepada Allah dan Rasulullah.

Kedua ibu bapa berhak untuk dihormati, ditaati serta dipatuh segala perintah keduanya seperti yang diarahkan Allah dalam al- Quran.

Menurut ajaran Islam, seorang ibu lebih perlu ditaati, kerana ibu telah mengandungkan anak-anaknya, melahir dan menyusukan mereka, hal ini diperakui oleh baginda Rasulullah menerusi sebuah hadis ketika seorang lelaki bertemu baginda dan bertanya, Wahai Rasulullah! Siapakah di kalangan manusia yang berhak untuk ditaati perintahnya, baginda menjawab: Ibumu (sebanyak 3 kali) dan pada kali keempat barulah baginda sebut ayahmu.

Hak muslim sesama muslim

Umat Islam sesama mereka adalah bersaudara, bagaikan batu-bata yang memperkukuh bangunan antara satu sama lain, mereka berkasih-sayang kerana Allah berasaskan ajaran al-Quran dan petunjuk baginda Nabi Muhammad s.a.w. untuk menuju satu umat yang kuat.

Justeru bagi mengekalkan kasih sayang yang sedia ada, Islam menganjurkan agar mereka menunaikan hak-hak bagi tujuan tersebut, antara lain menjawab salam, menziarahi ketika mereka sedang sakit, sahut undangannya, mendoakan ketika bersin, mengurus jenazah hingga ke perkuburan.
Kesemua hak jika dapat dilakukan dengan baik, umat Islam pasti akan berjaya dan mampu menghadapi sebarang kemungkinan khususnya ketika mereka berada di zaman yang penuh dengan fitnah sekarang ini.

Hak jiran

Jiran merupakan anggota masyarakat yang paling hampir dengan diri kita, dia diumpamakan oleh baginda sebagai anggota tubuh badan manusia, malah digambarkan sebagai golongan yang sepatutnya boleh menerima harta pusaka.

Hak yang sepatutnya diberikan kepada jiran antara lain, memberi salam jika mereka orang Islam, menjenguknya jika sakit, mengucapkan takziah atas sesuatu musibah, mengucapkan tahniah atas sesuatu kegembiraan, menasihatinya jika tidak menutup aurat dengan sempurna, bersabar atas karenahnya.

Islam melarang umatnya dari menyakiti jiran, mengganggunya, apatah lagi mencuri harta bendanya, malah mereka patut diberi sokongan untuk meneruskan kehidupan jika didapati mereka berada dalam kesempitan.

Cinta Pigafetta

Oleh Nisah Haron

DUA cawan cappucino yang sampai ke meja kecil kami tidak dihiraukan. Dia leka membelek buku
yang baru sahaja bertukar tangan. Sinar pada matanya bertambah cemerlang. Saya yang berasa lebih bahagia kerana baru sahaja memberikan sebuah kepuasan kepada pelanggan. Dia bukan sekadar pelanggan biasa. Pelanggan antarabangsa malah!

Saya memandu ke Verona untuk mengotakan janji biarpun jaraknya hampir 60km dari Vicenza. Sejak pukul sepuluh pagi lagi, dia menunggu di kafe ini. Begitu janji kami. Saya serahkan sepenuhnya urusan kedai buku kepada pembantu. Pelanggan yang satu ini terasa istimewa dan saya tidak wajar menyuruh dia datang semula ke Vicenza semata-mata untuk buku ini. Lagipun, saya sering mencari alasan untuk meninggalkan libreria.

Memang saya tidak akan mendapat untung yang banyak kerana kos untuk Verona sahaja sudah hampir memakan modal. Pun, saya sungguh-sungguh percaya ada pulangan yang lebih besar daripada itu. Lebih besar nilainya berbanding harga buku ini dalam Euro.

“Mengapa mencari Pigafetta?” saya mula memancing minatnya. Anak matanya dialihkan dari halaman buku kepada saya. Pandangan itu segera kembali ke halaman yang sama. Tiada jawapan yang keluar dari bibirnya.

Selendang biru kehijau-hijauan yang membaluti kepalanya itu menjadikan wajah kecilnya bertambah comel. Rangka tubuhnya bukan seperti orang keturunan Eropah. Namanya Zubayda, ada pengaruh Islam, tetapi saya percaya dia tiada percampuran darah Arab atau Timur Tengah. Tekaan saya: orang Asia. Tidak pasti di sebelah mana. Banyak maklumat dirinya yang tidak mampu saya cungkil keluar hanya melalui telahan secara fizikal.

“Apakah saya boleh mendapat sedikit rahsia setelah saya redah perjalanan awal pagi dari Vicenza ke Verona supaya buku ini dapat saya hantar sebelum puan berangkat pulang?”
Kali ini dia mengangkat wajah lalu memandang saya dengan tepat.

“Anehkah jika ada pelanggan seperti saya mencari buku ini?”

“Bukan aneh. Cuma tidak ramai orang mencari buku seperti ini di sini. Sebab itulah kami tidak menyimpan stok di dalam kedai.”

Matanya kembali menatap kulit depan buku, manuskrip hasil catatan Antonio Pigafetta yang telah diterbitkan semula dalam versi yang mudah dibaca. Tatapannya seolah-olah ada sesuatu di sebalik kulit buku itu yang sedang mendapat perhatian sepenuhnya daripada Zubayda.

“Biasanya, Pigafetta bukanlah tokoh yang dicari pengunjung apabila sampai ke Itali,” saya menambah apabila saya dapati Zubayda seperti tidak gemar bercerita. Terlalu banyak rahsia yang terselindung di sebalik selendangnya itu.

“Siapa yang pengunjung suka cari di sini?” Soalan-soalan saya tidak menemukan banyak jawapan. Sebaliknya, dihujani kembali dengan soalan.

“Bukankah kita kini sedang berada di Kota Verona, bandar yang pernah mengabadikan kisah Romeo dan Juliet? Kata Shakespeare:
Dua keluarga maruah sama tinggi rendah,
Latar kisah di Kota Verona nan indah
Bara kesumat pun marak dan parah
Pada batu dan aspal, terpercik air mata dan darah.”
Sudah ke rumah Juliet?”

Dia mengangguk sambil tersenyum mendengar saya mengungkap baris-baris awal drama itu. “Tetapi, saya tidak masuk. Terlalu ramai orang. Lagipun, rumah itu bukanlah rumah asal Juliet. Casa di Giulietta sengaja dibina supaya menjadi fenomena dan menambah jumlah tarikan pengunjung ke bandar ini.”

Saya berasa terpukul tetapi kata-kata Zubayda yang memang ada benarnya.
“Sebab itu puan mencari Pigafetta?”

Dia menghirup cappucino sebelum menjawab, “Ada banyak sebab saya mencari Pigafetta.” Jemarinya terus berlari menyelak halaman buku The First Voyage Around the World, 1519-1522: An Account of Magellan’s Expedition. Edisi ini telah disunting dan diberi pengenalan oleh Theodore J. Cachey Jr. dan terhenti pada halaman xxv. Dia memusingkan buku itu supaya ia menghala ke arah saya. “Baca ini.”

Two aspects of Pigafetta’s account are particularly worthy of note in this regard. The first is Pigafetta’s attention to the languague of the peoples encountered which results in wordlists or vocabularies, including extensive lists for the Philippine (160 words) to distinguish it from the Malay Muslims and the Malay Language (450 words). The second is Pigafetta’s contribution to the cartography of the East Indies…

“Pigafetta bukan sekadar pengembara biasa. Mungkin dia mencari jalan untuk mengembara. Orang tidak mengenalinya seperti Magellan yang dikatakan orang pertama mengelilingi dunia, sedangkan Magellan mati sebelum sempat menamatkan pelayarannya. Pigafetta selamat sampai ke titik mula. Dia dan sekumpulan anak kapal yang lain, termasuk seorang yang disebut dalam tulisannya sebagai Enrique of Malacca. Bukankah hal ini sesuatu yang menarik. Malah lebih menarik daripada kisah fiksyen Romeo dan Juliet yang penuh hiperbola!”

Wah, tiba-tiba Zubayda menjadi sangat petah. Barangkali inilah kuncinya. Dia enggan bercerita tentang cinta biasa kerana definisi cintanya sungguh berlainan.
“Sudah lamakah puan mencari buku ini?”

“Saya sudah tahu kewujudannya. Saya juga boleh beli secara atas talian dari kedai-kedai buku serata dunia. Namun, saya mahu abadikan lawatan saya ke Rumah Pigafetta di Vicenza tempoh hari dengan membeli sebuah buku yang berkaitan dengannya. Tidak lengkap jika singgahan saya ke rumah itu hanya membawa pulang rantai kunci atau magnet peti ais.”

Saya merenung matanya lagi. Zubayda punya mata secantik “Fantaghiro”. Dia tertawa kecil sambil bertanya, “Fantaghiro? Versi buku tulisan Italo Calvino atau versi televisyen?”

“Tentu sahaja secantik mata Allesandra Martines yang melakonkan watak “Fantaghiro”. Siri televisyen yang popular di tempat kami sekitar awal tahun 90-an dahulu.

“Saya juga menonton siri yang telah dialih suara dan dijudulkan sebagai The Cave of the Golden Rose di tempat saya,” senyuman menjadikan matanya bertambah cantik.

Fantaghiro, watak dalam cerita lipur lara kami yang merakamkan kisah wanita hebat yang langsung tidak bergantung jiwa dan raga kepada seorang lelaki. “Dia mengembara dan menyelamatkan suaminya daripada sumpahan ahli sihir.”

“Ya, saya amat suka kepada watak itu. Kami juga ada padanannya dalam sejarah kesusasteraan Melayu. Namanya Siti Zubaidah, seperti nama saya juga. Pergi mengembara untuk menyelamatkan suaminya yang diculik sekumpulan puteri China.”

“Ceritalah lagi tentang Siti Zubaidah. Saya mahu tahu.”

Dia menutup buku Pigafetta dan memberikan tumpuan kepada kisah yang mahu dibuka. “Seperti Fantaghiro, Siti Zubaidah pencinta ilmu. Khatam al-Quran sejak kecil dan mengajar anak-anak gadis di daerahnya. Kemudian dipinang anak raja yang menyangka dia perempuan biasa. Zubaidah seorang puteri raja sebenarnya. Ah, panjang sekali syairnya kalau mahu diceritakan. Tuan perlu menikmatinya sendiri.”

Saya terasa seperti Romualdo yang kehilangan Fantaghiro apabila Zubayda pulang ke Kuala Lumpur. Pertemuan kami di Verona pagi semalam mengajar saya tentang buku, kembara dan wanita hebat sepertinya.

Komputer riba di atas meja saya renung sambil membaca e-mel daripada Zubayda:
“Kedai buku dalam bahasa Itali ialah libreria. Dalam bahasa Perancis pula disebut librairie. Perpustakaan dalam bahasa Inggeris disebut library. Kesemuanya itu dari kata akar Latin “libr” yang membentuk librarius iaitu sesuatu yang berkaitan dengan buku atau libraria – juga bermakna kedai buku dalam bahasa Latin. Perkataan libertà dalam bahasa Itali atau liberty dalam bahasa Inggeris juga datang dari kata akar yang sama “libr” dan “liber”, kedua-duanya bermaksud pembebasan. Lantas buku dan ilmu itu ialah cahaya di hujung jalan yang gelap. Berbanggalah kerana tuan mempunyai sebuah libreria, obor ilmu yang membawa cahaya kepada sesiapa sahaja, termasuk saya yang datang dari jauh kerana mahu menumpang sinarnya!”

Saya membayangkan ketika dia mula-mula masuk ke libreria ini. Langkahnya yakin, menolak pintu masuk dan tidak terkejut dengan genta yang berbunyi setiap kali pelanggan masuk dan keluar. Langkah itu langkah seorang pengembara yang tahu hala tujunya. Langkah seorang pembaca dan rupa-rupanya langkah seorang penulis juga.

“Jika saya mati kelak, saya tidak mahu meninggalkan hanya tiga baris ungkapan: nama penuh, tarikh lahir dan tarikh mati yang dipahatkan pada nesan di pusara saya. Benar, saya penulis, kerana itulah caranya untuk saya hidup lebih lama. Saya belajar dari kisah-kisah manusia terdahulu. Nama Magellan hebat kerana catatan Pigafetta. Dia tidak ada kemahiran lain selain menulis dan Enrique of Malacca juga hebat kerana dia jurubahasa yang memudahkan tugas tuannya kerana boleh berbahasa Sepanyol.

Bayangkan diri Magellan tanpa Pigafetta dan Enrique? Tanpa jurutulis dan jurubahasa, dia tidak mungkin dapat melengkapkan pelayaran ke Bumi Rempah ini. Sejauh itu, saya mencari Pigafetta di Vicenza kerana saya percaya catatan Pigafetta bukanlah sekadar untuk penajanya. Penulis sejati sepertinya menulis lebih daripada itu.”

Saya merenung kembali naskhah Primo Viaggo Intorno al Mondo atau The First Voyage Around the World dalam bahasa asalnya. Saya mahu mempamerkan buku ini semula di dalam libreria ini kerana inilah buku yang wajar menjadi kebanggaan kami. Pigafetta yang menjadi penghubung Barat dan Timur. Bukan itu sahaja, Pigafetta juga penulis Kamus Itali – Melayu yang pertama di dunia. Pigafetta menjadi pemangkin pertemuan saya dengan wanita sehebat Zubayda.

Dalam e-mel terdahulu saya tanyakan tentang asal-usul Zubayda. Wajahnya yang bukanlah seperti wanita Asia Barat mahupun persis wanita Timur. Lalu, dia menulis lagi dalam e-melnya:
“Saya warga dunia. Sentiasa mencari makna dan hubungan sesama manusia di dunia ini. Sebelah ibu, leluhur saya dari Melayu Champa. Barangkali, nama saya Zubayda bukanlah saja-saja. Syair Siti Zubaidah juga dikatakan cerita tentang seorang puteri Champa. Sebelah ayah pula, saya sedang mencari kebenarannya – apakah saya ini jalur keturunan Enrique of Malacca atau Panglima Awang dalam catatan orang-orang Melayu. Lantas, singgahan saya ke Vicenza telah menemukan sejumlah jawapan.”

Ada sesuatu yang tidak selesai antara kami. Jawapan demi jawapan yang tidak mungkin diperoleh selagi saya berada di sini. Zubayda harus saya jejaki kerana dia mengajar saya juga tentang cinta. Bukan cinta biasa tetapi tentang keasyikan dan keghairahan pada ilmu.

“Cinta Pigafetta ialah pada kembara dan bahasa. Dia tinggalkan jubah kesarjanaan dan kilauan kemewahan di Kota Vicenza kerana mengejar keghairahannya terhadap kedua-dua itu. Cinta saya ialah pada sesiapa sahaja yang punya keghairahan yang demikian.”

Saya baca kembali baris akhir e-melnya dari telefon pintar di dalam genggaman saya sewaktu pengumuman penerbangan dari Rom bergema di Lapangan Terbang Leonardo da Vinci–Fiumicino.

Saya mahu lihat sendiri tradisi dan asal-usul wanita ini yang mampu melihat Pigafetta mengatasi cinta Romeo dan Juliet. Saya terpandang dia seperti Fantaghiro bermata cantik, bijak dan punya pendirian.

Ketika penumpang berbaris untuk masuk ke pesawat, e-mel terakhir itu sempat saya balas, “Ajarkan saya membaca Syair Siti Zubaidah. Saya cemburu melihat kamu mencintai akar bangsamu dengan begitu ghairah sekali. Nantikan saya di Kuala Lumpur.”

Telefon bimbit ubah ke mod penerbangan dan pasport antarabangsa saya genggam dengan kemas. Saya mahu menjadi Romualdo yang mencari Fantaghironya. Naskhah Primo Viaggo Intorno al Mondo menemani saya dalam kembara kali ini. Melontar pandangan melalui jendela pesawat, saya terasa menjadi Pigafetta yang sanggup mengelilingi dunia kerana bahasa!

Evolusi senjata dunia kian membimbangkan

Oleh Irman Hashim 
dan Zuhayati Yazid 

KEMAJUAN teknologi pada era moden ini bukan sahaja diaplikasi dalam bidang industri dan
kehidupan, tetapi juga berlaku dalam pembangunan senjata canggih yang kadang-kala menakutkan dan tidak masuk akal.

Ini melibatkan bukan sahaja pengeluaran senjata berbahaya dan pemusnah besar-besaran, tetapi juga membabitkan perubahan taktik perangan mengikut peredaran masa dengan penggunaan senjata canggih.

Senjata yang digunakan dalam perang era moden sekarang jauh berbeza daripada apa yang dilihat dalam filem-filem koboi atau Hollywood yang biasa memaparkan penggunaan kuda, senapang patah, dan meriam dalam pertempuran.

Meriam misalnya merupakan senjata terkuat semasa perang kemerdekaan antara Amerika Utara dan Amerika Selatan sebelum pembentukan Amerika Syarikat (AS) pada 1860-an.

Taktik pepe­rangan berubah selepas itu iaitu semasa Perang Dunia Pertama pada 1914 hingga 1918 apabila kapal terbang dan kereta kebal digunakan, namun teknologi ketika itu masih terhad kerana askar masih memainkan peranan utama dalam strategi pertempuran.

Perang Dunia Kedua pada 1935 hingga 1945 pula menyaksikan bom atom digunakan buat pertama kali selepas AS menggugurkan senjata pemusnah tersebut di Hiroshima dan Nagasaki yang mengakibatkan kematian sehingga ratusan ribu orang, angka korban paling tinggi dalam sejarah konflik manusia.

Bagaimanapun, perang yang berlaku seterusnya tidak lagi menyaksikan bom atom digunakan walaupun negara-negara kuasa besar termasuk AS dan Rusia selain India, Pakistan, dan Israel mempunyai senjata pemusnah itu dalam sistem pertahanan mereka.

Taktik peperangan kemudian bertukar kepada kaedah pengeboman dari jarak jauh ketika Perang Dingin pada 1947 dan berterusan semasa Perang Teluk pada 1991 serta pencerobohan Iraq pada 2003 oleh tentera bersekutu dipimpin AS.

Bedilan udara dilancarkan dari jarak jauh menggunakan peluru berpandu, dalam usaha memastikan angka kematian askar yang dihantar ‘pasukan penyerang’ dapat dikurangkan.

Nama seperti Scud yang merupakan peluru berpandu Rusia dan sistem pertahanan peluru berpandu Patriot buatan AS mula disebut-sebut dan digunakan oleh pelbagai negara.

Dalam tempoh yang sama, kuasa-kuasa besar cuba mencipta senjata baharu, kali ini membabitkan pembinaan senjata biologi, antara ciptaan senjata yang menakutkan dan boleh menyebabkan jumlah kematian yang tinggi.

AS dan tentera bersekutu menggunakan alasan Iraq mempunyai senjata terbabit untuk menceroboh negara itu pada 2003.

Penggunaan senjata biologi yang menjadi perhatian adalah apabila kumpulan ajaran sesat Aum Shinrikyo melepaskan gas sarin di dalam kereta api bawah tanah di Tokyo pada 1995 yang menyaksikan 12 orang maut dan berpuluh-puluh orang cedera.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) me­laporkan gas sarin digunakan dalam beberapa serangan terhadap penduduk Syria ketika konflik di negara itu semakin teruk.

Dalam pada itu, sebelum pesawat kawalan jauh atau drone dipasarkan di pasaran komersial ketika ini, pesawat tersebut terlebih dahulu digunakan sebagai senjata dalam memerangi musuh.

Drone digunakan sebagai alat pemantau jarak jauh yang membolehkan kerja-kerja pemantauan musuh dilaksanakan tanpa penghantaran seorang pun askar atau pengintip, menyebabkan jumlah korban dalam peperangan dapat dikurangkan jika berlaku pertempuran atau serangan hendap.

Tambahan lagi, drone juga boleh dilengkapkan dengan peluru berpandu jika pesawat itu digunakan untuk menyerang musuh.

Walaupun beberapa negara dikatakan mempunyai teknologi membina drone, tetapi dilaporkan hanya AS, Pakistan, China, Israel, dan Turki membina pesawat perang kawalan jauh terbabit.

Sementara itu, bom hidrogen menjadi perhatian baru-baru ini apabila Korea Utara mengumumkan ujian bom terbabit pada minggu lepas, tindakan yang menggemparkan dunia ekoran kekuatan dan pemilikan senjata pemusnah negara komunis tersebut.

Keadaan itu kerana kekuatan bom hidrogen yang dikenali sebagai bom termonuklear dilaporkan lebih kuat daripada bom atom.

Bom hidrogen menggunakan bahan asas berbeza daripada bom atom iaitu plutonium atau uranium, dan pertama kali diuji oleh AS pada November 1952 yang menghasilkan kekuatan letupan sebanyak 10,000 kiloton.

Perjanjian Pengharaman Ujian Komprehensif 1996 yang mengha­ramkan ujian dan pembinaan bom nuklear telah ditandatangani oleh 183 negara, namun ekoran negara-negara kuasa dunia termasuk AS tidak menyertainya, penguatkuasaan perjanjian terbabit tidak pernah berlaku.

Dilaporkan, Pakistan, India, dan Korea Utara telah melaksanakan ujian nuklear sejak 1996.
Dalam pada itu, peralatan menggunakan laser kini banyak digunakan dalam pelbagai industri termasuk pembuatan, pengilangan, dan sebagainya dan tidak hairanlah alatan tersebut digunakan dalam peperangan.

Tentera Laut AS menggunakan Sistem Senjata Laser (LAW) sebagai satu sistem pertahanan yang menyaksikan pancaran inframerah yang dilancarkan boleh memusnahkan atau melumpuhkan peralatan sensor.

Ciptaan-ciptaan senjata berkenaan sangat mengagumkan, namun pada masa sama amat menakutkan.
Mungkin pada masa depan, pe­perangan akan berlaku di angkasa lepas seperti dalam filem Star Wars karya George Lucas.- utusan.com.my

Daun kesum antikanser?

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID 

Selain mas cotek, satu lagi herba yang sedang dikaji untuk mencari penawar kanser ialah daun
kesum. Daun kesum sering diambil dan dijadikan bahan masakan yang sungguh menyelerakan.

Daunnya yang berwarnah hijau, bentuk bujur dan meruncing di hujung, berbau harum serta aroma yang amat menyelerakan pada setiap hidangan asam pedas dan laksa pasti membuat perut berkeroncong.

Namun daun kesum yang amat popular dalam masakan orang Melayu itu dikatakan mempunyai khasiat untuk membantu dalam membantu merawat kanser.

Melalui integrasi maklumat metabolomik dan proteomik serta teknologi perkomputeran biologi dan bioinformatik, Institut Biologi Sistem (Inbiosis) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi tempat rujukan dalam bidang biologi sistem dengan pengaplikasian dalam pelbagai jenis penyelidikan terutamanya tumbuhan dan mikroorganisma sehingga berjaya merungkai jaringan metabolisme yang kompleks daripada pokok herba kesum atau pun dikenali Polygonum minus Huds.

Kajian itu sekali gus mengenal pasti tapak jalan yang menghasilkan sebatian utama bau dan rasa tumbuhan tersebut.

Selain itu, kajian di Inbiosis juga mendapati bahawa kesum turut mempunyai sebatian yang bertindak sebagai antioksidan dan penghalau serangga. Antara produk yang telah dihasilkan adalah pewangi kereta yang mempunyai kelebihan sebagai penghalau serangga dan juga mengandungi bahan aromaterapi.

Pun begitu, tidak diduga, UKM melalui kajian terhadap tumbuhan tersebut menemui aspek baharu berpotensi sebagai penawar kanser serta mempunyai kandungan sebatian tulen yang diberi nama Polygonumins A.

Ketua penyelidiknya, Dr. Syarul Nataqain Baharum memberitahu, kajian sebatian yang diuji secara in-vitro menggunakan sel kultur kanser menunjukkan aktiviti antikanser yang tinggi terhadap kanser kolon, kanser payudara dan juga kanser paru-paru.

Sebatian tersebut diasingkan melalui teknik fraksi dan kromatografi dan telah ditentusahkan strukturnya melalui kaedah Resonans Magnetik Nuklear (NMR).

Jelasnya, sebatian tersebut menunjukkan reaksi aktif sebanyak 100 peratus perencatan terhadap sel kanser tersebut walaupun pada kepekatan yang amat rendah.

“Kajian tersebut masih di peringkat awal, pihak kami masih memerlukan lebih kajian secara terperinci dan menyeluruh untuk melihat kelebihan lain pada tumbuhan herba tersebut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kajian terhadap daun yang menjadi bahan utama dalam laksa dan asam pedas itu turut menemuikan kelebihan sebagai pemangkin daya ingatan dan sebatian ini juga boleh dijadikan bahan utama dalam produk farmaseutikal. Ini menjadi tarikan kepada sebuah syarikat tempatan untuk bekerjasama dalam memasarkan produk tersebut.

“Kajian ini bukan sesuatu yang mudah kerana mengambil masa yang agak panjang. Inbiosis akan terus membangunkan prasarana dan fasiliti untuk pelantar biologi sistem terutamanya metabolomik dan bioinformatik.

Kajian yang dijalankan adalah menyeluruh serta berperingkat bagi memastikan kajian adalah tepat dan jitu serta boleh diguna pakai,” katanya.

Kajian tersebut telah dipatenkan oleh UKM bagi melindungi hasil penemuan itu. Kerjasama penyelidikan dan pengkomersialan dalam proses mendapatkan dana pembangunan produk dan juga sijil halal serta sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Inbiosis perkasa bioteknologi

Institut Biologi Sistem (Inbiosis), adalah sebuah institut penyelidikan di UKM yang menerajui dan menjalankan penyelidikan inovatif dalam bidang biologi sistem di negara ini. Tumpuan utama penyelidikan adalah untuk menerokai penemuan biologi dan penghasilan produk yang memberi impak kepada masyarakat menerusi pendekatan pelbagai bidang.

Sejak ditubuhkan pada 2005 yang lalu, Inbiosis terus bergerak maju dan meraih pelbagai kejayaan dan pengiktirafan dalam kajian-kajian yang dilakukan bermotifkan tumbuhan tropika.

Institut berkenaan telah menjadi pelopor penyelidikan bioteknologi moden di negara ini berasaskan bidang biologi sistem, iaitu cabang sains yang terkini.

Walaupun baharu 10 tahun usia penubuhannya, namun perkembangan institut penyelidikan tersebut dalam bidang bioteknologi memberi sumbangan besar menerusi kajian saintifik bagi menyokong industri perubatan mahupun makanan.

Sebagai sebuah institut penyelidikan pertama seumpamanya di negara ini, Inbiosis berperanan mengkaji kekompleksan biologi sistem organisma sama ada tumbuhan, mikroorganisma dan juga manusia.

Menurut Pengarahnya, Prof. Dr. Ismanizan Ismail, institut penyelidikan tersebut menfokuskan kepada bidang biologi sistem yang melibatkan kajian secara holistik dan tidak tertumpu kepada satu bidang sains semata-mata.

Pendekatan yang digunakan membolehkan penyelesaian biologi dan penemuan produk baharu dihasilkan dengan lebih berkesan.

Katanya, untuk mencari penemuan baharu tidak hanya boleh melihat daripada dalam bidang sains sahaja, sebaliknya kombinasi dalam bidang-bidang penyelidikan sains yang boleh digunakan untuk menyelesaikan satu masalah biologi yang kompleks.

“Ini bermakna setiap kajian atau pun penyelidikan yang dijalankan di sini melibatkan gabungan pelbagai disiplin sains seperti biologi, kimia, matematik, kejuruteraan dan fizik.

“Tidak terhad di situ, malah kepakaran dalam bidang bioinformatik dan biologi perkomputeran amat diperlukan dan merupakan elemen penting kajian bidang biologi sistem,’’ ujar beliau semasa ditemui di Bangi baru-baru ini.

Kata beliau, peningkatan masalah biologi yang kompleks serta data biologi yang sangat besar memerlukan kaedah baharu untuk menjawab cabaran penyelidikan terkini yang tidak boleh diselesaikan menerusi pendekatan tradisional.

Dengan fasiliti yang moden dan terkini yang tersedia pastinya lebih memudahkan pelbagai aspek penyelidikan dijalankan di institut tersebut. Ini melibatkan lima makmal penyelidikan iaitu makmal metabolomik, makmal proteomik, makmal genomik, makmal analisis kimia dan makmal bioinformatik.

Dr. Ismanizan mempunyai impian serta visi untuk melihat hasil kajian yang dijalankan tidak hanya dibukukan dan diletakkan di rak buku sebaliknya memberi impak positif kepada masyarakat.

“Di Inbiosis, setiap felo diberi kebebasan untuk merancang sebarang kajian selagi memberi kebaikan kepada masyarakat.

“ Kita tidak mahu satu kajian saintifik dilakukan tanpa tujuan dan hasil yang positif. Saya berhasrat untuk melihat setiap kajian yang dijalankan memberi manfaat kepada masyarakat dalam apa jua bentuk sekali pun,” ujarnya.

Pihaknya sedang dalam usaha untuk mengkomersialkan produk penyelidikan di Inbiosis dengan beberapa pihak seperti Sime Darby Technology Centre Sdn. Bhd. dan Orchid Life Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, Inbiosis akan memainkan peranan penting sebagai penggerak dan rakan kongsi dengan industri dan penghasilan harta intelektual bidang tersebut.

Tabiat makan tingkat risiko

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad
Penyakit kardiovaskular (CVD) seperti strok dan jantung antara penyebab utama kematian di
Malaysia. Sehingga 2011, kategori ‘pembunuh se­nyap’ itu membunuh kira-kira 17 juta penduduk dan setiap tiga daripada 10 kematian adalah disebabkan CVD.

Kolesterol tinggi menjadi antara faktor utama penyakit jantung koronari, serangan jantung serta strok. Individu yang mempunyai kolesterol tinggi adalah dua kali lebih tinggi berisiko mendapat serangan jantung.

Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) satu dalam tiga rakyat Malaysia menderita akibat kolesterol tinggi.

Meskipun telah banyak kempen kesedaran dijalankan mengenai bahaya kolesterol tinggi, penduduk negara ini masih tidak meng­ambil langkah bagi mengurangkan serta mengekalkan kolesterol baik dalam badan mereka.

Lebih mengejutkan, usia mereka yang berisiko mendapat kolesterol tinggi adalah golongan muda. Institut Jantung Negara (IJN) merekodkan kes remaja berusia 19 tahun yang menderita akibat serangan jantung disebabkan tabiat makan yang kurang sihat.

Ketua Pegawai Klinikal IJN, Datuk Dr Rosli Mohd Ali berkata, kurang pengetahuan ditambah pula dengan gaya hidup tidak sihat adakalanya menyebabkan orang ramai kurang mengambil berat mengenai penyakit yang tidak dapat dilihat ini.

“Sebaiknya mereka yang mempunyai genetik atau sejarah keluarga penghidap CVD hendaklah melakukan pemeriksaan kesihatan awal bagi mengenal pasti tahap kesihatan.

“Apatah lagi kebanyakan pesakit CVD adalah golongan muda, namun mereka tidak sedar dan selalu beranggapan penyakit berkenaan hanya menyerang golongan berusia,” katanya ketika ditemui pada majlis Perbincangan Meja Bulat antara Nestle Omega Plus dengan Institut Jantung Negara di pusat perubatan itu baru-baru ini.

Menurutnya, melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam serta olahraga dapat mengurangkan risiko kolesterol tinggi serta menyihatkan jantung.

“Zaman serba moden ini, masyarakat sibuk dengan gajet. Begitu juga dengan anak yang hanya diberi gajet sebagai ‘gula-gula’ kepada mereka.

“Apabila sibuk dengan permainan seperti game, akhirnya mereka tiada masa melakukan aktiviti di luar yang boleh mengeluarkan peluh seterusnya meningkatkan risiko penyakit CVD,” katanya.

Ketua Pakar Diet IJN, Mary Easaw pula berkata, slogan ‘syurga makanan’ di negara ini menyebabkan masyarakat mudah mendapatkan apa yang mereka mahu makan.

“Sebut saja apa yang tiada di Malaysia. Paling popular nasi lemak, teh tarik dan roti canai. Memang sedap apa yang kita makan, namun dalam masa sama ada ‘penyakit’ di sebaliknya jika dimakan tanpa kawalan.

“Bukan tidak boleh ambil langsung, namun perlu dikawal. Begitu juga dengan peranan ibu bapa penting bagi memastikan anak mendapat makanan sihat dan berkhasiat,”katanya.

Sementara itu, Farmakologi Queen’s Universiti Belfast, United Kingdom (UK) Dr Zhao Youyou berkata, apabila terlalu banyak mengambil makanan tidak sihat, ia boleh meningkatkan tahap kolesterol tidak baik yang dikenali sebagai low density lipoprotein (LDL).

“Tahap LDL yang banyak akan menyebabkan kolesterol berkumpul pada dinding salur darah (arteri).
Lama kelamaan, lapisan kolesterol yang dipanggil plak kolesterol ini semakin menebal dan akhirnya menyebabkan ruang untuk pengaliran darah menjadi sempit.

“Jika keadaan berterusan, ia boleh menyebabkan salur darah tersumbat. Proses pemendapan plak kolesterol dinamakan aterosklerosis.

“Namun kolesterol boleh dikurangkan dengan pengambilan susu yang mengandungi acticol iaitu sterol tumbuhan yang ditemui dalam buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, kekacang dan bijian. Sterol tumbuhan boleh mengurangkan penyerapan kolesterol pemakanan di dalam usus kecil, dengan itu membantu mengurangkan paras kolesterol tidak baik dalam badan,” katanya.

Turut hadir Pengurus Pemakanan Nestle, Cher Siew Wei serta Pakar Fisioterapi Kanan IJN, Erleena Boey.

Langkah mudah untuk jantung sihat 

Untuk kekal sihat tidak bermakna anda perlu mengubah gaya hidup. Beberapa langkah mudah boleh membantu dalam jangka masa panjang.

* Bersenam

* Kurangkan pengambilan makanan berlemak - Kurangkan mengambil makanan manis dan segera -

Baca label makanan terlebih dulu

* Tidak merokok

Simptom penyakit jantung

* Kesukaran bernafas terutama jika berbaring
* Sakit kepala
* Pening
* Pengsan
* Berasa tertekan
* Kerap terjaga ketika tidur
* Sakit dada
* Rasa pijar (sensations) di bahagian dada
* Bengkak di bahagian buku lali

Apa itu kolesterol

* Kolesterol adalah bahan melekit seakan-akan lemak dalam sel darah dan setiap sel dalam badan. Badan kita memerlukan kolesterol untuk membentuk hormon, vitamin D dan enzim bagi sesetengah makanan seperti daging, organ dalaman dan telur kuning.

* Kolesterol bergerak melalui peredaran darah dalam bentuk lipoprotein (lip-o-PRO-teen).

Lipoprotein ini diperbuat daripada lemak (lipid) di dalam dan protein di luar.

* Dua jenis lipoprotein membawa kolesterol dalam peredaran darah kita. Low density lipoprotein (LDL) dan high density lipoprotein (HDL). Kedua-dua penting untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik.

* Kolesterol LDL dipanggil kolesterol jahat. Tahap LDL yang tinggi boleh membentuk kolesterol dalam saluran darah.

* Kolesterol HDL dipanggil kolesterol baik. Ini kerana ia membawa kolesterol dari bahagian badan lain kembali ke hati untuk metabolisme. Hati anda membuang kolesterol daripada badan.

Antara cara mendapatkan paras kolesterol sihat

* Kurangkan pengambilan daging merah, lemak haiwan dan produk tenusu.
* Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kolesterol seperti hati dan sesetengah makanan laut.
* Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi gula dan karbohidrat ring­kas.
* Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayuran segar.
* Pengambilan lecithin bantu mengelakkan pemendapan dan memudahkan penyingkiran lemak badan.
* Senaman berterusan bantu meningkatkan kolesterol baik dan bantu mengurangkan kolesterol secara menyeluruh.
* Elak pengambilan alkohol secara berlebihan kerana ia menurunkan paras kolesterol baik, sekali gus menambah risiko penyakit jantung.

Indikator bacaan kolesterol: 

* Kurang 5.2 mmol = ideal
* Antara 5.2 hingga 6.2 mmol = berwaspada
* Lebih 6.2 mmol = tinggi

Semua Versi Windows 10 Dalam Satu Fail ISO

Oleh Zul Mohd

Bila saya tulis artikel "Windows 7, 8.1 dan 10 dalam satu fail ISO" ada yang bertanya pula "tak ada ke yang Windows 10 sahaja??" Rupanya ada yang macam saya, baik guna Windows 10.

Adguard juga ada membuat ISO untuk Windows 10 untuk semua versi.

Windows 10 ini merupakan windows 10 AIO yang mana versi 32 bit dan 64 bit telah dibundle sekali menjadi satu dengan paket 12 in 1 yang bererti windows 10 AIO ini terdiri dari

1. Windows 10 Home,
2. Windows 10 Pro,
3. Windows 10 Enterprise

Terdapat pilihan nak install asal (kena aktive) dan yang telah aktive (KMS).

* Sources:
* 10586.0.151029-1700.TH2_CLIENTPRO-CORE_X86_FRE_EN-US
* 10586.0.151029-1700.TH2_CLIENTPRO-CORE_X64_FRE_EN-US
* en_windows_10_enterprise_version_1511_x86_dvd_7224912
* en_windows_10_enterprise_version_1511_x64_dvd_7224901

* Language: en-US [ ENGLISH ]
[ CONTENTS ]
* Integrated / Pre-installed
* KB3103688
* KB3116278
* KB3116908

* Setupcomplete / Post-install:
* .NET Framework 3.5
* Defender Updates

[ FEATURES ]
* DUAL boot & install.wim (ESD)
* UEFI supported for both 32 & 64bit
* install.wim(s) compressed to recovery format (install.esd)
* (Use attached Rufus USB-tool to make UEFI-bootable).
* Diagnostics and Recovery Toolset 10.0 (Microsoft DaRT)

[ EDITIONS INCLUDED ]
* 32bit & 64bit:
* Windows 10 Home – – – – – STD
* Windows 10 Home – – – – – KMS
* Windows 10 Pro – – – – – – -STD
* Windows 10 Pro – – – – – – -KMS
* Windows 10 Enterprise – – STD
* Windows 10 Enterprise- – -KMS

* STD = Standard installation
* KMS = Activated by KMSpico
*(Potential False Positive Virus Alarm)

* Activator: KMSpico v10.1.8.2 FINAL
* Exclusions are made in Defender.


Semasa boot akan ditanya 32/64 bits seperti menu di bawah:-



Installernya seperti di bawah:-

Size : 5.8 Gb | @Part 1 Gb | Add recovery 5%
 Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Part 5 | Part 6| Via Du
 Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Part 5 | Part 6| Via Uptbx
 Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Part 5 | Part 6| Via KmpulBgi
 Part 1 | Part 2 | Part 3 | Part 4 | Part 5 | Part 6| Via Gd


Selamat mencuba

http://zulbmohd.blogspot.my

Susur galur parti-parti di Malaysia

Oleh Zin Mahmud 

Asalnya kita semua pakat-pakat dan tubuhkan UMNO. Tapi kerana masalah bendera, ada antara kita
iaitu dari PKMM dan beberapa sekutunya keluar. British tangkap pemimpin-pemimpin PKMM dan parti itu terbubar. Kemudian apabila pengasas UMNO mahu jadikan ia parti Malaya dan bukannya parti Melayu, beliau ditolak, beliau pun keluar tubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya. Pada waktu sama biro agama UMNO keluar untuk tubuhkan PAS.

Selepas bekas pemimpin PKMM dibebaskan, ada antara mereka tubuhkan Parti Rakyat Malaya. Sementara bekas ketuanya dijemput untuk ketuai PAS. Ini kerana ada pemimpin PAS ikut sertai Parti Kemerdekaan Malaya menjelang pilihan raya.

Rakyat tolak Parti Kemerdekaan Malaya dan memilih UMNO. Parti Kemerdekaan Malaya dibubarkan dan digantikan dengan Parti Negara. Parti Negara pun gagal mendapat sambutan dan pemuka-pemukanya kembali pada UMNO.

Apabila seorang menteri enggan menggunakan baja dari Britain, beliau dipecat dan keluar tubuhkan Parti Konvensyen Malaya. Parti ini bersama dengan Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh Malaya tubuhkan Front Sosialis.

Selepas 13 Mei, UMNO dan PAS bersatu dalam Barisan Nasional. Parti Rakyat Malaya pula berpecah, satu jadi Parti Sosialis Rakyat Malaya, satu lagi tubuhkan Parti Marhaen.

Tidak lama kemudian, PAS dipecat dan berpecah dengan tertubuhnya Berjasa yang menyertai Barisan Nasional. PAS kalah di Kelantan dan ketuanya kemudian keluar parti dan tubuhkan Hamim, yang ikut masuk Barisan Nasional. Kemudian ketuanya disingkirkan dan akhirnya dia sertai UMNO.

Ketua Parti Sosialis Rakyat Malaya kemudian keluar parti dan sertai UMNO. Ketua Parti Marhaen kemudian menyertai Parti Keadilan Masyarakat sebelum kembali pada Parti Rakyat Malaya. Pemimpin Parti Marhaen pula sertai PAS sebelum ia dibubarkan. Ketua Parti Konvensyen Malaya juga menyertai PAS.

Parti Sosialis Rakyat Malaya kembali jadi Parti Rakyat Malaysia dengan seorang pemimpinnya menubuhkan Parti Sosialis Malaysia.

Kemudian UMNO diisytiharkan tidak sah. Daripadanya tertubuh UMNO Baru dan Parti Semangat 46. Parti Semangat 46 kemudian jadi Parti Melayu Semangat 46 sebelum dibubarkan untuk menyertai UMNO Baru, yang kemudiannya kembali menjadi UMNO.

Tidak lama kemudian, pemimpin kedua UMNO dipecat dan beliau menubuhkan Parti Keadilan Nasional. Ia kemudian bersatu dengan Parti Rakyat Malaysia untuk jadi Parti Keadilan Rakyat. Tahun lalu, ada ahli-ahli PAS pakat pakat tubuhkan Parti Amanah Negara.

Ip Man 3: Pembantaian fizikal, kasih sayang

Oleh Najmuddin Yusoff 

"Tiada yang lebih penting daripada kasih sayang orang di sekeliling kita."

Ip Man 3 diakhirnya dengan kata-kata di atas yang dilafazkan oleh protagonis filem tersebut, Ip Man. Ia seolah-olah mahu menyimpulkan bahawa filem berkenaan bukan sekadar tentang aksi pertarungan semata-mata, sebaliknya Ip Man adalah mengenai kasih sayang.

Malah melalui Ip Man 3, kasih sayang itu hadir sebagai salah satu bentuk pertarungan. Dan setiap orang ada perlawanan masing-masing.

Sebab itulah, ketika semua orang menjangkakan Ip Man akan berada di gelanggang untuk menghadapi pencabarnya - seorang ahli kung fu dari sekolah yang sama dengannya, Wing Chun - dia memilih untuk melayan isterinya di pentas tarian.

Bukan kerana Ip Man melarikan diri daripada perlawanan, tetapi dia memilih 'perlawanan' lain yang dirasakan lebih bermakna untuknya pada ketika itu.

Sekurang-kurangnya ada tiga pertarungan utama dihadapi Ip Man dalam edisi ketiga trilogi Ip Man lakonan utama Donnie Yen ini.

Pertama, pertarungan untuk memberikan kasih sayang kepada si isteri pada saat sangat kritikal untuk wanita itu yang menanti kematian; kedua, pertarungan membela rakyat dan orang miskin daripada dibuli samseng serta orang kaya; dan ketiga pertarungan mempertahankan maruah Ip Man dan sekolah kung funya.

Watak jahat dalam filem ini adalah orang asing - Frank - yang dilakonkan Mike Tyson.

Atas nama keuntungan dan pembangunan, Frank bercadang membeli (secara rela atau paksa) tanah yang terletaknya sekolah tempat anak Ip Man, Ip Ching, dan kawan-kawannya belajar.

Jika pertarungan pertama adalah mengenai kasih sayang untuk isteri, pertarungan kedua adalah kebangkitan golongan tertindas melawan yang penindas.

Melalui pertarungan ketiga, kita boleh saja mentafsirnya sebagai kemahuan yang didorong oleh agama atau pegangan politik.

Dan antara ketiga-tiga pertarungan itu, kita boleh melihat Ip Man pada awalnya memilih untuk melawan penindasan, kemudian ketika tibanya masa untuk memilih antara keluarga dan kung fu, dia memilih keluarga.

Ada yang boleh kita pelajari mengenai keutamaan dalam hidup seseorang di sini.

Serangan siku, lutut

Dari segi jalan cerita dan sudut emosi yang dibawakan, saya sangat berpuas hati dengan Ip Man 3 ini. Aksi pertarungannya hasil kerja koreografi yang baik juga sangat menarik .

Sekurang-kurangnya ada tiga aksi perlawanan yang boleh saja dikatakan epik. Pertama - dan yang paling digemari - ketika Ip Man melawan petinju Thai dengan aksi tomoinya.

Dalam lif yang ada tiga orang (Ip Man, isterinya serta musuh) berlangsung pertarungan menggunakan seni seni bela diri tahap tertinggi.

Dalam ruang yang sempit, Ip Man terpaksa menangkis serangan siku dan lutut bertubi-tubi si penyerang, pada masa yang sama mengelakkan isterinya tercedera.

Pertarungan epik kedua adalah ketika Ip Man berdepan dengan Frank.

"Aksi itu buruk," kata seorang teman.

Tetapi tidak bagi saya. Ia nampak buruk kerana tinju sememangnya seni perseteruan yang buruk.

Pertembungan itu 'buruk' tapi mendebarkan. Ia 'buruk' yang perlu dan memuaskan.

Aksi pertarungan epik ketiga pula adalah kemuncak filem ini. Ia membabitkan dua pelatih kung fu dari sekolah yang sama - Ip Man melawan Cheung Tin-chi.

Pertembungan itu berlaku apabila salah seorang daripada mereka lawannya telah menyimpang dari ajaran sebenar. Macam biasa kedengaran dalam dunia politik, bukan?
Emosi terasa dekat

Di sebalik aksi-aksi kung fu dan seni bela diri yang hebat itu, sebenarnya ada satu adegan lain yang melekat dalam ingatan saya. Ia adegan tanpa pertembungan kekerasan fizikal namun penuh bererti.
Tanpa diiringi muzik sebagai latar - malah seluruh panggung turut sunyi sepi - yang kedengaran hanya tutur kata isteri Ip Man, Wing Sing.

Tanpa perlu memahami bahasa Kantonis, penonton dapat merasakan emosi wanita itu secara dekat.

Wing Sing juga punya pertarungannya yang tersendiri. Pertembungan antara keinginan perhatian suami dan hakikat Ip Man juga menjadi milik masyarakat.

Satu lagi pertarungan Wing Sing tidak boleh dikongsi sesiapa kerana 'musuh' ada di dalam badannya sendiri.

Menyedari bahawa Wing Sing dan suaminya tak akan menang menghadapi pertarungannya yang satu itu, dia melepaskan Ip Man kerana lelaki itu ada pertarungan lain yang perlu dimenangi.

Sungguh, adegan ini sangat indah. Ia adalah gambaran cinta sesama manusia pada tahap paling tinggi.

Dalam hidup begitulah, pertarungan demi pertarungan akan datang pada seseorang.

Ada yang terelakkan, tapi banyak yang perlu dihadapi. Apa yang penting, kitalah menentukan sendiri untuk beraksi dalam pertarungan mana. Jangan biarkan orang lain memilih pertarungan kita.


NAJMUDDIN YUSOFF eksekutif komunikasi yang kadang-kadang memilih penulisan sebagai 'pentas pertarungan' menyampaikan apa yang terkandung dalam fikirannya.

Basikal

Oleh ZALILA ISA

‘Nya­ris-­­nya­ris,’ hati­nya menjerit. Tangannya yang menggigil mengurut-urut dada. Matanya menyorot
kereta yang semakin jauh di hadapan. Dengan debaran cemas yang masih memuncak, dia 
mengetapkan gigi. Dia membebel dalam hati, ‘tunggulah aku ada kereta nanti.’ Sampai di rumah, tidak semena-mena, mulutnya mengeluarkan keluhan kepada isterinya, “Nyaris-nyaris saya dilanggar kereta tadi.”

Si isteri yang sudah bertelekung memandang wajahnya dengan cemas. “Jadi?” tanya si isteri dengan rasa tidak sabar.

“Nyaris....” diulangnya perkataan itu dengan lebih jelas.

“Iya, iya ... nyaris. Jadi?” Si isteri menyoal lagi.

“Jadi apa? Nyaris itu bermakna hampir-hampir kena langgar. Maknanya tidaklah dilanggar. Nyaris! Mentang-mentang kita ini cuma berbasikal. Main laju dia bawa kereta. Tak fikir orang lain. Nantilah jika saya ada kereta,” dia membebel. Panas hati kepada pemandu kereta tadi belum habis, ditambah lagi dengan si isteri yang asyik menyoal.

“Entah-entah lagi teruk daripada orang itu. Ramai yang lupa diri bila sudah kaya. Sudahlah bang, siaplah segera. Saya ke surau dahulu.” Itulah reaksi isterinya sambil berlalu.

Dia melangkah longlai. Pintu di tutup. Dia tidak berhasrat untuk segera mandi dan bersiap ke surau. Biarlah hari ini dia solat di rumah sahaja. Lagipun, hatinya masih belum reda dengan cemas dan gigil tadi. Sambil melepaskan nafas perlahan-lahan, dia menuju ke arah tingkap rumahnya. Hasrat mahu menutup tingkap kayu itu tergendala tatkala terpandang basikal yang tersandar di dinding rumahnya.

Basikal yang tidak terlalu buruk itulah kenderaannya ke sana sini mencari rezeki.

Setiap hari, selain memikirkan hal anak, dia suami isteri juga sering didatangi soal-soal tentang ekonomi keluarga yang tidak ada bezanya sejak dahulu. Turun naik. Tapi kebanyakan waktu turun sahaja. Jika naik pun, tentunya atas ihsan majikannya memberi sedikit bonus tahunan.

Fikirannya meleret pula kepada isterinya yang dikasihi. Dikahwini tujuh tahun lalu ketika isterinya berusia 25 tahun manakala dirinya sendiri sudah berusia agak lewat untuk bergelar suami. Ekonomi, bisiknya. Ya, ekonomi yang tak ketentuan menyebabkan dia, dan mungkin isterinya tidak memikirkan soal masa depan berkeluarga tetapi hanya sibuk mencari wang. Isterinya meminta izin membuka gerai kecil menjual nasi lemak, pisang goreng dan kuih muih. Dia izinkan sahaja. Namun, dia, malah isterinya tidak juga kaya-kaya sehingga kini. Adakah kerana salah keluarga mereka, salah nenek moyang poyang mereka yang mewariskan kemiskinan kepada mereka sehingga kini?

Dan dia, tidak mahu pula dipersalahkan oleh anak cucu cicitnya kelak akibat kegagalannya mewariskan kesenangan kepada mereka. Tetapi, adakah kemiskinan dan kekayaan seseorang itu berpunca daripada nenek moyang poyang? Kemiskinan itu diwarisi daripada keturunan?

Hatinya rusuh mengenangkan hal-hal berkaitan nasib diri. Jika isterinya ada, pasti dia dimarahi kerana asyik bersungut tentang nasib diri. Dia melihat bumbung surau daripada kejauhan. Sekurang-kurangnya dia bangga dan lega kerana isterinya seorang isteri yang taat. Bukan sahaja taat kepada dirinya sebagai suami, tetapi juga kepada Tuhannya. Isterinya yang berwajah tenang tetapi cekap bekerja itu juga, sering kali menjadi pengingat kepadanya, tentang tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan tanggungjawab kepada Tuhannya. Segera dia menoleh ke dinding. Jam menunjukkan pukul 7.50 malam. Ah, terlalu jauh dia mengelamun. Maghrib sudah hampir ke garisan penamat.

Segera dia menutup tingkap, mencapai tuala dan melangkah menuju ke bilik air.

 Keesokan paginya, dia keluar bekerja seperti biasa. Mengayuh basikal mengikut arus kenderaan lain.

Ketika mengayuh, sesekali fikirannya menerawang kepada hal nasib diri lagi. Entah kenapa, kadangkala dirasakan ujiannya begitu getir walaupun dia tahu ramai lagi selain daripada dirinya yang mengalami ujian lebih berat, lebih getir. Sekali kayuh, sekali roda berputar. Adakah selamanya dia perlu bergerak seperti mengayuh? Letih. Dia benar-benar letih.

Dia juga teringin bermotosikal. Sekali pulas pemegang, terus motor bergerak. Tekan gear, bergerak lagi laju. Atau, bukan sekali dua dia berangan memiliki kereta. Sudahlah terlindung daripada panas dan hujan, malah, senang pula bergerak ke sana sini. Bukan sahaja senang bergerak, malah senang pula membawa isterinya meronda-ronda bandar. Dengan basikal ini, amat jarang sekali dia membawa isterinya ke mana-mana hatta ke pasar sekalipun. Bukan dia tidak mahu, tetapi isterinya yang enggan berbasikal dengannya. Punggungnya sakit apabila duduk di pelantar belakang. Juga, pergerakan basikal yang bergoyang terutama ketika berada di jalan yang sibuk, amat menggerunkan isterinya.

Dengan itu, hasrat untuk membawa isterinya meronda-ronda bandar pun terkubur. Sehabisnya mereka akan menggunakan pengangkutan awam sahaja.

Dia memujuk hati untuk akur dengan keupayaan dirinya sehingga hari ini. Basikal inilah yang membawanya ke sana ke mari. Namun, hatinya tetap merasakan dia layak mendapat lebih daripada itu. Usahanya, kerjanya dan taat setianya kepada Tuhan dan keluarga, melayakkan dia mendapat apa yang diinginkan. Sekurang-kurangnya sebuah motosikal atau selebih-lebihnya sebuah kereta yang sederhana.

Matahari mula menunjukkan wajah ketika dia sampai di tempat kerjanya. Dua tiga orang rakannya sudah mula bersiap sedia dengan peralatan memotong rumput, penyapu, dan sebagainya. Dia menongkat basikal di kawasan letak basikal. Kawan-kawannya yang berlainan bangsa mengangkat tangan tanda sapaan. Dia turut mengangkat tangannya tanpa sebarang perkataan keluar dari mulutnya. Tidak perlu banyak bercakap. Jika tidak, kerja tak jalan. Kerja tak jalan bermakna akan ada penangguhan dan ia akan lebih memberatkan tugas-tugas di kemudian hari.

Namun, belum sempat dia bergerak untuk mengambil peralatan kerjanya, namanya dipanggil dari belakang. Dia menoleh. Ketua bahagiannya melambai. Dia melangkah laju ke arah lelaki yang lebih muda daripadanya itu. “Kenapa bos?” tanya dia penuh mesra. Tapi pertanyaannya dibalas dengan muka kelat. Tanpa jawapan, lelaki yang dipanggil ‘bos’ itu terus berjalan meninggalkannya menuju ke arah bilik pejabat. Dia melangkah laju dan pantas mengikuti lelaki itu. Walaupun tidak rasa bersalah, dan dia yakin tidak membuat apa-apa kesalahan, dadanya tetap berdebar. Soalan-soalan mula menerpa dalam benaknya sambil dia menoleh ke arah rakan-rakannya di belakang. Mereka angkat bahu dan membuat riak wajah ‘kenapa?’ kepadanya. Dia pun angkat bahu dan terus melangkah laju.

“Duduk!” arah lelaki muda di hadapannya. Dia duduk kemas-kemas. Memandang wajah lelaki di hadapannya dengan mesra.

“Semalam kau pergi bahagian mana?” tanya bos tanpa berbasa-basi.

“Tepi padang kompleks sukan, bos.” Jawabnya jitu. Walaupun dia berasa pelik dengan soalan itu. Bukankah bos lebih tahu jadual pembersihan pekerjanya kerana jadual itu disusun oleh bosnya sendiri.

Jemari sang ketua mengetuk-ngetuk permukaan meja yang kosong. Dia diam. Tidak berani bertanya apa-apa. Debaran dadanya tidak reda. ‘Entah apa yang berlaku agaknya.’ Bisik hatinya sambil memikirkan perkara-perkara yang memungkinkan keresahan pagi ini berlaku. Adakah dia memotong rumput di tempat yang salah? Adakah dia menyapu tidak bersih? Adakah dia ... adakah dia...
bermacam-macam-macam tanya wujud dalam kepalanya ketika ini.

“Semalam ada orang mengadu cermin keretanya retak. Katanya dia parkir di tepi padang kompleks sukan. Katanya lagi dia nampak awak yang memotong rumput di sana.” Kata ketua bahagiannya.
Derau darahnya naik ke muka. Kali ini dia benar-benar tak menduga inilah halnya yang akan dia hadap pagi-pagi begini. Dia cuba bertenang. Mengingat semula kerja-kerja pemotongan rumput di tepi padang semalam. Belum sempat dia mengingat keseluruhan cerita semalam, ketua bahagiannya bertanya lagi dengan suara lebih dalam, “Betul ke? Jangan main-main. Kita kena beri ganti rugi kepada pemilik kereta. Bukan sikit tau. Dua tiga kali ganda harga basikal awak.”

Mukanya berubah. Bukan kerana ketua bahagian yang berawak-awak dengan dirinya walaupun dia lebih tua daripada lelaki di hadapannya ini. Mukanya berubah seolah-olah basikalnya itu dijadikan perlambangan barang yang murah. Tidakkah ketuanya sedar dengan gaji sebagai pemotong rumput dan kerja-kerja pembersihan jalan itu, hanya basikal sahaja yang mampu dia beli? Basikal itu pun mahal baginya. Tapi itulah pilihan terakhirnya. Hatinya terbetik sedih dan geram sekali gus. Apatah lagi mengingat kerja-kerja pemotongan semalam, dia pasti tiada kenderaan yang diletakkan di tepi padang. Kalau ada pun, dia pasti lebih berhati-hati. Selama dia memotong rumput, tidak pernah dia tak berhati-hati dengan persekitaran, dengan jenis tanah yang menumbuhkan rumput-rumput liar, dan tidak pernah juga dia tidak berhati-hati dengan jenis rumput itu sendiri.

“Tuan kereta datang sekejap lagi. Saya mahu awak ada untuk memberi penjelasan. Tunggu di bilik pekerja dahulu. Nanti saya panggil.” Begitu keputusan ketuanya, tanpa sempat dia menjawab apa-apa pun. Akhirnya dia berdiri dan keluar dari bilik itu sebelum dipanggil lagi.

Langkahnya longlai. Pintu bilik pekerja dibuka. Tiada sesiapa di dalamnya. Jam menunjukkan pukul 9.15 pagi. Memang waktu-waktu begini kawan-kawannya sudah bertebaran melaksanakan tugas yang ditetapkan oleh jadual. Mengusap-usap perut dengan hati yang tak tenang tidak banyak membantu dia untuk membela diri sebentar lagi. Entah dari bahagian mana dia mahu mulakan pembelaan nanti kerana walaupun dia pasti dia tidak cuai, tetaplah sesuatu perkara itu di luar batasan manusia. Itu tazkirah yang dia dengar di surau tempoh hari. Seorang manusia, tiada yang sempurna. Pasti melakukan kesilapan tanpa disedari. Itu menunjukkan hanya Allah yang sempurna dan kesilapan yang manusia lakukan tidak lebih tidak kurang sekadar mahu mengingatkan kepada kalangan manusia, sentiasa waspada dan berhati-hati dengan tindak-tanduk. Apabila berlaku juga sesuatu yang tidak baik, jadikan pengajaran.

‘Tapi aku yakin aku tak bersalah. Jika ada batu yang terpelanting lalu terkena cermin kereta itu, pasti aku menyedarinya.’ Hatinya berkata-kata lagi. Dia mencongak-congak pula duit di dalam simpanannya jika benar-benar dia disabitkan bersalah dan perlu membayar ganti rugi. ‘Berapa kena bayar agaknya? Seratus? Dua ratus? Tiga ratus? Seribu?’ Ah, memang besar jumlahnya berbanding harga basikal miliknya.

Sambil menunggu-nunggu dipanggil itu juga, dia memikirkan alasan-alasan untuk mengelak daripada membayar. ‘Tak perasan? Dangkal! Batu yang salah? Haha....’ hampir-hampir ketawa dalam hati itu terkeluar dari mulutnya.

Dia bangun. Kemudian duduk semula. Meninjau dari celahan tingkap. Melihat-lihat kelibat ketuanya. Tapi tiada sesiapa di luar. Dia hanya melihat basikalnya sahaja. Tiba-tiba juga dia rasa sedih apabila mengenangkan isterinya. Entah kenapa, isterinya begitu dekat di hatinya kini. Dia ingin berlari pulang, mengadu dengan isterinya. Namun, itu mustahil. Bila-bila masa sahaja sang ketua akan memanggilnya untuk menghadap ‘mahkamah keadilan’.

“Sudah kenapa aku ini? Berserah sahajalah. Aku tidak bersalah. Jika aku yang bersalah pun aku tidak sengaja. Aku akan meminta maaf. Aku akan menggantikan kerugian pemilik kereta. Aku tak perlu rusuh dan takut begini. Aku perlu berani kerana aku tidak melakukan kesalahan. Aku hanya perlu minta maaf. Bukankah dengan meminta maaf segala kemarahan akan reda? Bukankah dengan meminta maaf, singa boleh bertukar menjadi kucing?” Dia memujuk hati. Tapi hatinya tidak terpujuk malah bertambah runsing. Beberapa ketika pintu dibuka. Wajah ketuanya terpampang di hadapan mata.

“Jom.” Itu sahaja ayat yang terkeluar dari rengkung ketuanya. Dia menyarung kasut dan berjalan dengan pantas. Di hujung bangunan terlihat seorang lelaki di sisi sebuah kereta. Dia merenung kereta itu. Semakin dekat, semakin terlihat retak pada bahagian belakang cermin kereta. Dia rusuh.

Sebuah kereta yang mahal pada pengamatannya. Kereta yang berwarna hitam berkilat itu tidak pernah dilihat sebelum ini, malah jika semalam kejadian itu benar-benar berlaku, sumpah, dia tak melihat kereta itu di sisi jalan semasa dia melakukan kerja-kerja pemotongan rumput. Lainlah jika kereta itu bergerak melalui jalan itu. Ah, dia tak mahu berperang dengan segala yang bercakap-cakap dalam kepalanya. Semak.

“Ini dia, Samad. Pekerja yang bertugas memotong rumput di tepi padang kompleks semalam.” Demikian pengenalan ketuanya. Lelaki pemilik kereta berpaling, memandang sang ketua dan sekali gus matanya memandang ke arah dia.

Dia serba salah, mahu menghulur jabat tangan, tapi dirasakan tidak wajar. Dia hanya memaniskan wajah dan mengangguk kecil seperti mengiyakan sahaja pengenalan ketuanya. Dalam hatinya tak henti berdoa agar dia tidak diapa-apakan, apatah lagi diminta ganti rugi dalam bentuk kewangan.
“Ini cermin yang retak seribu tu.” Tiba-tiba si ketua bersuara padahal tentunya dia tahu pekerjanya tidak buta.

“Saya berani bersumpah, saya tidak nampak kereta ini di situ. Sudah hampir 10 tahun saya kerja potong rumput, saya tak pernah pecahkan cermin kereta orang.” Dia menjawab jujur.

Tapi nampaknya, pemilik kereta enggan terima dan akhirnya syarikatnya terpaksa juga membayar ganti rugi kerana tidak mahu membesarkan masalah. Ini bermakna gajinya yang seciput itu juga akan ditolak bulan-bulan untuk melangsaikan kerugian yang syarikat alami.

Entah kenapa, dia tidak berasa rugi dan tidak sedih. Dia telah menjalankan tugasnya dengan baik dan dia bercakap benar. Dia tahu Tuhan melihat dan tahu kebenaran itu. Dia berfikir lama tentang hal tersebut. Entah kenapa hasratnya untuk berkereta terbantut hari itu.
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER