Headlines News :

Misteri Kehilangan Mulut Ayah

Oleh Dr. Azman Ismail

PAGI itu ruang dapur rumah kami dikejutkan dengan deraian ketawa ibu selepas membaca pesanan ringkas daripada ayah dalam telefon pintarnya. Ketawa ibu bersungguh-sungguh. Dia bagaikan tidak mampu berhenti. Sesekali belakang tapak tangannya mengelap air mata. Tangan kanan ibu menepuk-menepuk dadanya seakan-akan semput.


Kami terpinga-pinga melihat apa yang berlaku di depan kami itu. Secara jujur, kami tiga beradik tidak pernah melihat ibu ketawa seperti itu. Seingatku sebagai anak tertua yang kini berusia hampir 20 tahun, ibu agak susah ketawa. Selalunya hanya sekadar senyum atau tertawa kecil apabila diusik ayah atau kami adik-beradik. Tidak akan lebih daripada itu. Kami arif benar perangai ibu.

Tapi pagi itu cukup berlainan. Ibu bagai dirasuk. Ketawa ibu yang bersungguh-sungguh mengejutkan kami.

Adik keduaku, Aliff yang berusia 12 tahun yang sedari tadi bersama-sama di meja makan bangun menuju ibu. Berhati-hati menyusun langkah. Mulutnya masih mengunyah nasi goreng yang baru dihidang ibu.

Adik keduaku juga tersampuk oleh ketawa. Sejurus membaca pesanan ringkas pada telefon bimbit ibu. Nasi goreng yang separuh lumat dikunyah tersembur keluar. Bertaburan di lantai marmar kuning air di dapur kami.
Bercampur air liurnya. Tidak keterlaluan kalau kukatakan ruangan dapur rumah kami seperti ada pertunjukan lawak jenaka oleh pelawak yang hebat.

Adikku yang bongsu, Aqiff turut ketawa setelah membaca pesanan ringkas itu. Pembantu rumah kami, Leni berasal dari Bengkulu yang tidak tahu pokok pangkalnya turut tertawa kecil. Bakul yang berisi pakaian yang akan disidai di samping rumah diletakkan di lantai berhampiran ibu dan kedua-dua adikku. Motifnya? Ya... untuk turut ketawa seperti ibu, Aliff dan Aqiff. Penghuni rumah kami pagi itu, benar-benar diserang sindrom ketawa. Setiap inci rumah kami dipenuhi ketawa yang melimpah. Gamat.

Ibu masih menekan-nekan perutnya kerana terlalu banyak ketawa. Matanya berair. Sedikit merah. Ibu cuba beristighfar. Tapi istighfarnya itu seolah-olah tersekat di kerongkong. Terkunci rapat oleh ketawanya.
Mungkin juga terganggu oleh ketawa kedua-dua adikku.

Sambil memerhati gelagat ibu, Aliff dan Aqiff, tangan kananku mencapai telefon daripada tangan ibu yang ketawanya mula mereda. Membuka kotak pesanan. Tertera pesanan ringkas daripada ayah:

“Asalamuaikum Ibu, abang masih di perkarangan masjid. Semua jemaah lain dah pulang selepas solat subuh tadi. Abang masih menunggu farmasi di depan masjid ni buka. Tadi sewaktu masuk ke kereta selepas mengimamkan solat, TIBA-TIBA MULUT ABANG HILANG. Sekarang abang dah tak ada mulut lagi. Abang nak beli topeng, NAK TUTUP BAHAGIAN MULUT YANG HILANG.”

Oh, pesanan ringkas ayah rupa-rupanya yang menjadi punca ibu, dua adikku dan pembantu rumah kami ketawa. Aku yakin, kali ini ayah sedang melawak lagi. Memang ayah seorang yang kelakar. Ada sahaja lawaknya yang mencuit hati kami. Mungkin itu juga resipi ibu dan ayah tidak pernah bermasam muka seperti pasangan-pasangan lain. Lawak ayah mampu membajai cinta mereka. Lawak seperti itu juga menjadi kunci ibu begitu menyayangi ayah.

“Ibu tahu ayah kamu melawak tapi pesanan ringkasnya seperti dia benar-benar kehilangan mulut,” tutur ibu sambil terus mengelap air matanya dengan hujung tangan baju kurung Kedah berbunga-bunga hijau yang dipakainya pagi itu. Tawa kedua-dua adikku juga sudah mereda. Aliff kembali menyambung sarapannya.

Aqiff kembali di depan kaca televisyen di ruang tamu. Sesekali ketawa kecil mereka masih kedengaran.
Pembantu rumah kami, tertunduk-tunduk menyapu nasi goreng di lantai yang tertumpah keluar dari mulut Aliff tadi. Ibu bergerak berhampiran sinki, memberi ruang kepada Leni menyapu.

“Bapak kok candanya aneh-aneh aja ya bu. Masak sih orang-orang bisa kehilangan mulut. Ngak mungkin kan?” Lantun Leni sambil ketawa kecil kepada ibu dalam pekat loghat Indonesianya. Ibu terus mengelap air matanya dengan hujung lengan baju kebaya Kedahnya. Mengangguk.

Aku hanya tersenyum. Gurauan seperti itu membuat kami bangga terhadap ayah. Ayah menggunakan gurauannya untuk menasihat kami. Dalam guraunya ayah berkias. Dalam candanya ayah memotivasikan kami adik-beradik. Jarang ayah meninggi suara.

Selain bertugas sebagai pensyarah di sebuah IPTA di ibu kota, ayah juga merupakan Imam II masjid di kawasan perumahan kami. Sedikit pengetahuan agamanya sering dikongsi bersama kariah melalui tazkirah Subuh atau Maghrib jika ustaz jemputan pihak masjid berhalangan.

Kadang-kadang ayah menjadi bilal terutama untuk solat Subuh. Sering juga dia menjadi siak. Ayah selalu menjadi tukang kebun atau tukang sapu membersih perkarangan masjid, menyirami dan membajai pokok-pokok bunga. Ayah tidak pernah merungut. Ayah melakukan dengan penuh ikhlas.

Hujung minggu ayah biasanya hanya di masjid jika tidak ada jemputan kenduri-kendara atau out station. Dia hanya pulang untuk mandi, berganti pakaian dan makan. Ibu sudah masak benar perangai ayah. Ayah juga cukup tegas terutama dalam hal-hal berkaitan hukum-hakam agama. Bebelan yang diselang seli candanya, ayah menyuruh kami solat, menjaga kebersihan dan peringatan untuk belajar bersungguh-sungguh. Itu menjadi menu wajib kami setiap hari.

Sikap tegas ayah tidak hanya di rumah. Dia sering menegur pihak masjid dan pihak pengurusan agama yang tidak telus dalam pelantikan imam atau pegawai-pegawai masjid. Jika ada isu kebersihan ayah tegur. Jika ada pembaziran perbelanjaan wang tabung masjid, ayah bersuara.

Pernah ayah mendapat surat layang yang mencemuh dan mengingatkan ayah supaya tidak terus mengkritik pihak pengurusan agama dan masjid. Ayah memberitahu kami, dia tidak suka-suka mengkritik pihak pengurusan masjid atau pengurusan agama. Tapi itu merupakan tanggungjawabnya dalam amar maaruf nahi mungkar. Dia tidak mahu, dia dipersoalkan di akhirat kelak kerana kegagalan membetulkan kemungkaran.

Di kampus, ayah juga terkenal dengan ketegasannya. Tidak ada istilah kompromi dengan pengurusan universiti dan para mahasiswanya. Bagi ayah, biarlah dia dicemuh. Biarlah dia dikritik. Buat ayah, kualiti akademik mesti diberi keutamaan. Ranking universiti di QS World University Ranking atau Asian University Ranking tidak bermakna kalau produknya tidak berkualiti, beritahu ayah pada kami.

Pernah ayah menyuarakan kepada ibu, rakan-rakannya yang jauh lebih junior dinaikkan pangkat walaupun kelulusan akademik dan pengalaman ayah lebih tinggi. Ayah? Setahuku, ayah masih di pangkat lamanya hingga kini. Tapi ayah tidak pernah merungut. Tugasnya sebagai pensyarah dan penyelia mahasiawa peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah ditekuni dengan gembira.

Ayah benar-benar menikmati tugasnya. Sungguhnya, ayah sama sekali tidak pernah menyuarakan kekesalan atau rasa tidak puas hati terhadap pimpinannya di kampus pada ibu atau kami tidak beradik. Jauh sekali mengutuk dan mencerca. Bagi ayah, universiti adalah premis untuk mendidik manusia dan ayah adalah medium untuk membina manusia itu.

Bunyi deruan enjin kereta memasuki halaman rumah kami memecah lamunanku. Ibu bergegas membuka pintu depan. Senyum ibu melebar. Mungkin mesej dari ayah tadi masih membalut kemas di mindanya. Aliff dan Aqiff juga menyusul di belakang ibu. Aku hanya memanjang leher melihat ayah membuka pintu keretanya.

Topeng

Aneh. Ayah benar-benar memakai topeng berwarna putih susu menutup bahagian mulutnya. Tidak cukup dengan itu, serban berwarna putihnya turut melilit sebahagian muka ayah. Tangannya dihulur kepada ibu. Ibu membongkok mencium tangan lelaki yang mengahwininya lebih 20 tahun itu. Adik-adikku juga turut menyalami ayah. Menciumnya sebagai tanda hormat dan kasih.

Aku yang berada paling belakang turut melakukan perkara yang sama. Seingatku, kami adik-beradik telah dididik oleh ayah dan ibu untuk menyalami dan menciumi kedua-dua orang tua kami sekiranya mahu berpergian. Begitu juga, sekiranya mereka akan berangkat pergi atau pulang ke rumah.

Empat pasang mata kami memaku kukuh pada wajah ayah. Pastinya yang menjadi tumpuan kami ialah topeng putih dan serban yang membalut bahagian bawah hidung ayah. Sepasang mata ayah juga memerhati kami. Satu-persatu. Tanpa sebarang suara.

Kuperhatikan wajah ayah. Biasa-biasa sahaja. Dia sama sekali tidak cemas. Selepas menyalami kami, Ayah terus menuju ke bilik tidur. Masih tanpa suara seperti selalu mencandai kami. Pelik benar kami melihat keadaan ayah pagi itu. Tangan kanannya masih terus memegang serban putih yang menutup bahagian mulutnya. Di sebalik topeng dan serban putih itu, kedengaran suara ayah..arghh..arghhh.

“Abang...” suara ibu seolah-olah tersangkut di kerongkong. Kami mulai cemas. Wajah ibu pucat. Biasanya selepas dari masjid ayah akan ke ruang tamu membaca akhbar atau menonton TV. Sekiranya belum bersarapan bersama-sama rakan-rakan masjidnya, ayah akan ke dapur sambil mempelawa kami sama-sama bersarapan.

“Abang... kenapa?” hanya itu yang mampu diucapkan ibu. Suara ibu terbata-bata. Antara kedengaran dan tidak. Seolah-olah tersekat di kerongkong. Wajah ibu kali ini bertukar cemas. Sama sekali berbeza ketika ketawa membaca pesanan ringkas daripada ayah sejam lalu. Kami memerhati setiap gerak-geri ayah seperti dia objek asing yang tidak pernah kami lihat sebelum ini.

Ayah yang duduk di birai katil membuka lilitan serban putihnya. Kami tidak berkerdip memerhati ayah.
Sebaik ayah membuka topeng yang menutup mulutnya, ibu berteriak sambil kedua-dua tangan menutup mulutnya. Aqiff menjerit ketakutan sambil berlari keluar. Aku dan Aliff hanya mampu terlopong tanpa mampu bersuara. Pembantu rumah kami turut menerpa ke bilik. Matanya membuntang. Di telingaku jelas kedengaran Astafirullahaljimm, istighfar terpacul keluar dari bibir Leni dengan lidah Indonesianya.

Ayah benar-benar tidak lagi mempunyai mulut. Di wajahnya hanya ada sepasang mata, hidung yang sedikit mancung dan sepasang telinga. Selebihnya hanya garis-garis usia yang semakin memenuhi di seluruh wajahnya seiring dengan umurnya yang mencecah lebih 50 tahun. Di bawah hidung ayah, tunggul-tunggul pendek misai berwarna putih dan hitam masih kukuh di situ. Begitu juga, sejemput janggut dwiwarna ayah di bahagian dagu masih bergantung kemas. Hanya mulut yang tidak ada. Sama sekali tidak ada.

Esakan ibu mulai mengisi ruang kamar. Kecil dan semakin meninggi. Mungkin dia menyesal kerana mentertawakan ayah ketika membaca mesejnya pagi tadi. Kedua-dua adikku juga kelihatan begitu sugul dan sedih. Aqiff memeluk dan mencium pipi ayah. Bunyi aah..ahhh masih tersangkut di kerongkong ayah.

Seperti kukatakan, canda ayah tidak pernah padam. Dalam situasi seperti itu, ayah masih sempat bergurau.

Dia tiba-tiba menunjukkan isyarat bagus. Ibu jarinya diacung ke atas. Empat lagi jarinya dikepal kemas. Rasa ketawaku seolah-olah ingin meledak.

Melihat kegelisahan kami, ayah menaip sesuatu pada skrin telefon pintarnya. Ayah mahu ibu dan kami anak-anaknya bertenang. Ayah yakin, satu hari nanti dia akan kembali mempunyai mulut.

Mulut, suara dan kita semua milik Tuhan. Kalau sudah tamat tempoh pinjaman-Nya pasti Dia akan mengambil balik. Tapi ayah yakin, mulut ayah akan dikembalikan. Mungkin Tuhan mahu menguji kesabaran ayah saja. Sabarlah.

Sudah hampir dua minggu ayah tidak ke kampus. Ayah mendapat cuti sakit. Ayah pun tidak tahu untuk apa dia diberi cuti sakit oleh pihak hospital. Dia tidak pernah merasa sakit. Cuma dia tidak memiliki mulut dan suara. Ayah masih mempunyai pendengaran dan penglihatan. Ayah juga masih lagi mempunyai akal dan keupayaan lain.

Paling menakjubkan, ayah tidak merasa lapar atau dahaga walaupun tidak makan dan minum. Dia tetap bertenaga. Ayah masih mampu menyemak dan memberi komen tesis-tesis pelajar Ph.D dan Sarjana di bawah seliaannya. Cuma komen dan cadangan itu ditulis tangan, ditaip pada komputer atau pada skrin telefonnya.

“Ayah tidak sakit, cuma ayah tidak memiliki mulut. Tidak ada mulut bukan bermakna ayah sakit,” ayah menulis pada sehelai kertas ketika aku memintanya berehat.

Sejak ayah kehilangan mulut, kami benar-benar merindukan bebelan ayah mengejutkan kami dari tidur. Sungguh, kami rindukan cerita-cerita lucu dan canda ayah. Kini semuanya telah hilang. Semuanya pergi bersama ghaibnya mulut ayah. Kehilangan mulut ayah seolah-olah membawa pergi sebahagian daripada keceriaan kami sekeluarga.

Berita ayah kehilangan mulut begitu cepat tersebar dalam kalangan kariah masjid di taman perumahan kami.

Di kampus tempat ayah mengajar juga menjadi bualan mahasiswa dan pensyarah. Ramai yang menuduh punca ayah kehilangan mulut kerana kutukan Tuhan atas kelantangan mulut ayah di kampus dan masjid.

Beberapa akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris turut melaporkan pada muka depan akhbar mereka misteri kehilangan mulut ayah. Gambar ayah yang tidak mempunyai mulut terpampang dengan kapsyen yang pelbagai. Sejujurnya, berita-berita itu menjadi beban moral pada ibu dan kami adik-beradik. Ayah seolah-olah objek komersial yang diperdagangkan.

* * * * *

Tidur kami tengah malam itu dikejutkan dengan ucapan syukur yang panjang. Benar-benar mendalam, diiringi tangis kegembiraan ibu. Aku dan adik-adik berlari menerpa bilik mereka. Kami tahu perbuatan itu tidak sopan. Biarlah. Pembantu kami turut melangkah masuk sambil membetulkan ikatan sanggul rambutnya yang terlerai.

Bersama-sama suara ibu kedengaran juga suara yang amat kami kenali. Ya...suara ayah. Tidak salah lagi. Ya...ayah kembali mempunyai mulut dan suara.

Melihat kami masuk, ibu terus memeluk kami.

“Ayah kamu mempunyai mulut kembali nak!”, jerit ibu dengan gembira sambil terus memanjat kesyukuran.
Ayah hanya tersenyum. Manis, menampakkan barisan giginya.

“Ibu, Along, Angah, Adik...mulut ayah bila-bila masa akan hilang lagi kalau terlalu banyak bersuara. Orang yang banyak bersuara pasti akan kehilangan mulut. Masih ada kawan-kawan ayah yang sampai sekarang masih hilang mulutnya,” kata ayah. Melempar senyumnya lagi.

Ayah menarik selimutnya berwarna coklat dari kain wol menyambung mimpinya. Membelakangkan kami yang berdiri di samping katil.

Kami menjadi bimbang. Jangan-jangan esok ayah akan kehilangan lagi mulutnya! Tangis kecil ibu kembali terdengar. Perlahan. Sayup. Berbaur bersama pekat malam.

Barat Berjaya Mendoktrin Dunia

Oleh SHAMSIAH ZULKAFLI

PARIS digemparkan lagi dengan serangan berdarah. Kali ini membabitkan siri keganasan hampir serentak pada satu malam, mengorbankan 153 orang, tragedi dianggap Barat paling berdarah sejak September 2001 di New York.

Sehari sebelumnya, 45 nyawa tidak berdosa menjadi korban juga dalam serangan keganasan di Beirut, Lebanon.

Dua tragedi ini tiada beza. Kedua-duanya membunuh orang awam. Kedua-duanya dilancarkan kononnya atas nama ‘perjuangan’.

Namun, kita sebagai manusia tidak belajar daripada kejadian ini.

Mengapa perlu bandingkan antara Paris di Perancis dan Beirut di Lebanon sedangkan dua lokasi ini terletak pada jarak lebih 3,000 kilometer?

Kerana kebetulan dua bandar raya ini menghadapi serangan keganasan pada tarikh yang lebih kurang sama, motifnya serupa, dilancarkan oleh kumpulan militan.

Namun, dalam tidak sedar, cara kita memandang dan menghakimi dua tragedi ini sangat berbeza.

Apabila tubuh orang-orang tidak berdosa diletupkan di jalan-jalan di Beirut pada 12 November lalu, akhbar-akhbar global memaparkan tajuk ‘Letupan di kubu kuat Hezbollah’, menggambarkan latar belakang politik bandar yang sering menjadi sasaran serangan keganasan.

Apabila penduduk Beirut menjadi mangsa serangan keganasan, tiada pula pemimpin dunia mengutuk kejadian itu, seolah-olah nyawa mangsa tiada harga.

Tiada kenyataan dikeluarkan menyatakan rasa simpati terhadap rakyat Lebanon. Masyarakat dunia tidak marah dengan kematian mangsa yang berada di tempat yang salah pada masa yang salah.

Barack Obama juga tidak mengeluarkan kenyataan mengutuk kematian mereka sebagai jenayah kemanusiaan. Justeru, apakah maksud sebenar jenayah terhadap manusia dalam tragedi di Paris dan Beirut?

Apabila penduduk Beirut terbunuh, tiada negara pun menerangi mercu tanda negara masing-masing dengan lampu berwarna merah, putih dan hijau (warna bendera Lebanon).

Media sosial popular, Facebook juga tidak mengaktifkan butang Safety Check yang membolehkan penduduk Beirut memberitahu yang mereka selamat dalam se­rangan berkenaan.

Kematian mangsa serangan keganasan di Beirut hanya sekadar menjadi tajuk berita di akhbar dan portal di Internet, insiden yang dianggap biasa berlaku di seluruh dunia.

Mengapa keadaan itu terjadi? Apakah kerana dunia telah berjaya didoktrinkan oleh kuasa-kuasa tertentu bahawa nyawa orang Islam tidak penting? Atau kita sendiri terpengaruh dengan agenda Barat yang memang mahu Islam berpecah?

Dalam tidak sedar, umat Islam sendiri memandang remeh kematian orang Islam akibat serangan keganasan. Kita bersikap double standard.

Dunia bakal digegarkan lagi dengan serangan keganasan yang dilakukan kumpulan militan menggunakan nama Islam, sedangkan nyata mereka sebenarnya bukanlah Islam. Tidak lebih hanya mahu mencetuskan ketakutan terhadap agama Islam dan menyebarkan pengaruh Islamofobia.

Tragedi Paris yang dilakukan oleh pihak mengguna pakai nama Islam juga memburukkan lagi nasib pelarian Islam yang kini mencari perlindungan di Eropah.

Silap-silap, pelarian pula dipersalahkan sebagai punca serangan pada malam 13 November itu sedangkan malam-malam mereka tidak pernah nyenyak sejak bertahun-tahun lalu akibat krisis perang dan kemanusiaan yang berlaku.

Kita boleh menggesa dunia melihat Beirut sama penting se­perti Paris, atau meminta Facebook mengaktifkan butang Safety Check setiap hari.

Namun, pada hakikatnya, pandangan kita sendiri terhadap serang­an keganasan telah berubah. Cara kita mengadili tragedi keganasan di Barat dan negara Arab juga berbeza.

Keadaan ini dipanggil ‘habituation’ iaitu proses penciptaan situasi secara psikologi yang membuatkan kita terbiasa dengan sesuatu.

Tidak syak lagi, kita telah didoktrin oleh Barat.

Indahnya Islam bukan retorik

APA yang indahnya tentang Islam? Bagaimana jika soalan tersebut ditanya secara spontan dan bersahaja? Kelu lidah, tergamam dan tergagap-gagap juga untuk menjawabnya. Mungkin juga jarang sekali kita merasakan “beragama Islam” itu indah. Mungkin orang Islam sendiri pun belum menemui keindahan Islam.

Islam agama lengkap dan sempurna, sederhana dan sesuai mengikut peredaran masa serta tempat. Islam tidak bercanggah dengan fitrah dan tabii manusia, mudah serta tidak menyusahkan. Islam menolak semua unsur ekstremis dalam kehidupan manusia. Sikap melampau bukan sahaja ditegah dalam aspek kehidupan di dunia seperti pemakanan, mengumpul harta dan sebagainya.

Malahan, dalam aspek akhirat seperti beribadat dan berzikir, sekiranya dilakukan secara melampau, juga tidak dibenarkan. Islam amat menitik beratkan kesederhanaan dalam semua perkara kerana sifat kesederhanaan ini sesuai dengan fitrah manusia. Namun pada masa yang sama juga Allah mengingatkan manusia agar tidak melampaui batas.

Firman-Nya bermaksud: “Dan makan dan minumlah, jangan kamu melampaui batas kerana Allah tidak suka orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf: 31)

KESEDERHANAAN DALAM SEMUA ASPEK

Melampaui batas dalam apa jua aktiviti sekalipun, merupakan sesuatu yang membahayakan diri termasuklah dalam ibadat. Sikap melampaui batas dalam beribadat menyebabkan seseorang berasa susah, tertekan dan akhirnya menjadi jemu. Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam dalam sabda bermaksud :
“Lakukan amalan ibadat (sunat) sekadar yang kamu mampu, kerana Allah SWT tidak jemu sehingga kamu sendiri nanti yang akan jemu.” - Riwayat Bukhari.

Namun tidak bermakna umat Islam mesti bersederhana dalam melaksanakan akidah Islamiah iaitu beriman kepada semua rukun iman secara sederhana sahaja dan tidak benar-benar yakin. Keimanan kepada Allah dan semua rukun iman dilakukan dengan penuh keyakinan tanpa sebarang keraguan. Keimanan yang tidak kukuh dan ragu-ragu tidak diterima Allah.

Islam mengimbangi tuntutan jasmani dan rohani bersama tuntutan fardu ain dan kifayah. Imam al-Nawawi menyatakan pelaksanaan fardu kifayah itu dituntut ke atas semua orang Islam yang mukalaf. Apabila seorang atau sebahagian umat Islam melaksanakannya maka terlepaslah tanggungjawab itu daripada seluruh umat Islam.
Menurut Ibn Khaldun manusia tidak dapat hidup sendirian sebaliknya memerlukan kepada satu organisasi kemasyarakatan di mana mereka dapat bekerjasama menjalani kehidupan. Manusia memerlukan makanan untuk hidup dan makanan tersebut tidak dapat dihasilkan tanpa melalui beberapa proses yang melibatkan penggemblengan tenaga kerja sesama manusia dan alat-alat tertentu.

Oleh yang demikian memiliki kemahiran di dalam hal tersebut bagi memenuhi keperluan masyarakat juga termasuk dalam tuntutan fardu kifayah. Pengetahuan terhadap prinsip halal dan haram adalah wajib bagi setiap Muslim kerana dengan itu dia akan mengetahui perkara yang menjadi fardu ain dan yang menjadi fardu kifayah.

Sudah sampailah masanya kita tidak lagi memenuhi keperluan aspek fardu kifayah dalam bidang yang sempit. Kita tidak boleh menilai kerja secara berpilih. Bermula daripada pengutip sampah sehinggalah pemimpin nombor satu negara semuanya penting dan dihormati oleh Islam selagi ia diiringi dengan niat yang baik.

Islam menghormati penganut agama lain dan kebebasan beragama dijamin dalam Islam. Al-Quran merakamkan peraturan kebebasan beragama di mana tiada paksaan untuk memeluk Islam sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 256. Al-Quran turut menggariskan pendekatan berdakwah secara berhujah dan memberi nasihat secara lembut serta sopan sebagaimana dalam Surah al-Nahl ayat 125.

Islam menggariskan langkah yang positif untuk memuliakan orang bukan Islam. Al-Quran memberi panduan dalam berinteraksi bersama penganut agama wathani (penyembah berhala), mereka memohon perlindungan kepada orang Islam sebagaimana dirakamkan oleh Allah dalam Surah al-Taubah ayat 6 yang menyatakan agama Islam tidak sekadar memberi perlindungan dan menjamin keselamatan orang musyrik yang memohon perlindungan, malah diperintahkan untuk menjamin keselamatan mereka semasa perpindahan mereka ke negara yang ditujui.

Kesimpulannya, kesatuan ummah yang terdapat dalam Islam tidak hanya menghormati pemeluk-pemeluknya sahaja, malah ia menjamin keselamatan orang bukan Islam yang berada di negara Islam, mereka bebas mengamalkan akidah dan kepercayaan mereka, keselamatan diri, harta serta kehormatan mereka dijamin oleh Islam yang diberi hak sebagaimana diberi kepada orang Islam.

Itulah kebaikan dan keunggulan Islam yang menyeru perdamaian dan keharmonian sesama manusia. Senario ini dibuktikan oleh pendakwah Islam di alam Nusantara ini, mereka memperkenalkan agama Islam bukannya berperang menyebarkan agama ini yang diakui oleh Sir Thomas Arnold, tokoh sejarawan Barat dalam karya tersohor beliau ‘The Preaching of Islam’.

ISLAM AGAMA PRAKTIKAL

Islam agama praktikal. Al-Quran dan sirah merakamkan nabi-nabi dan tokoh terkemuka Islam terdahulu memiliki kepakaran sains dan teknologi seperti yang dibuktikan oleh Nabi Nuh a.s. membina bahtera, Nabi Daud a.s memiliki kepakaran dalam industri besi dan sebagainya. Islam menggalakkan ilmu pentadbiran, pengurusan dan perancangan dalam kehidupan umatnya. Al-Quran merakamkan Nabi Yusof a.s. yang terkenal menguruskan ekonomi kerajaan Mesir, sebagaimana mafhum Surah Yusof ayat 43-49 yang menyatakan tentang pengurusan bagi menghadapi masa hadapan.

Islam menggalakkan ilmu statistik seperti mana sirah merakamkan antara tindakan awal yang dilakukan oleh Rasulullah ketika sampai di Madinah adalah mengadakan bancian penduduk Madinah. Islam menggalakkan penyelidikan seperti sirah merakamkan sabda Rasulullah SAW terhadap amalan sahabat yang mencantumkan mayang kurma untuk mendapatkan hasil yang baik.

Beginilah indahnya Islam. Dalam usaha menarik masyarakat mendekati Islam, marilah kita mempersembahkan Islam yang lengkap, sederhana dan mudah serta praktikal seperti mana pada era Nabi SAW dan sahabat baginda. Inilah yang dikatakan Islam sebagai agama dan cara hidup yang sempurna merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Kesemuanya terangkum dalam ibadah kepada Allah yang disertai dengan ikhlas dan takwa.- utusan.com.my
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER