Al-Quran sebagai petunjuk kepada seluruh umat manusia menamakan manusia sebagai insan. Oleh itu, pendidikan mempunyai maksud yang luas iaitu tunjuk ajar dan latihan yang tersusun dan berterusan untuk membentuk akhlak, kemampuan akal, pembentukan disiplin, menjaga batas-batas pergaulan dan lain-lain lagi. (rujuk an-Nur: 30-31)
Kedua ibu bapa merupakan institusi pertama dan paling asas dalam pendidikan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa mesti menanamkan aspek keimanan yang kukuh kepada Allah dan rasul dalam diri anak-anak. Selain menggalakkan mereka agar rajin, sentiasa berusaha memajukan diri dalam apa jua bidang. Seterusnya, guru pula akan menyambung tugasan tersebut di sekolah.
Imam Al-Ghazali menyatakan manusia tidak diciptakan sia-sia dan sembarangan, melainkan ia dijadikan mengajaibkan untuk masa yang lama. Meskipun ia tidak kekal, tetapi sesungguhnya hidup untuk selama-lamanya walaupun badannya hina dan kasar, namun rohnya mulia dan suci.
Beliau juga menerangkan tentang hakikat akal itu ialah pengetahuan yang timbul ke alam wujud dalam diri anak kecil yang dapat membezakan tentang kemungkinan barang yang mungkin dan muslihat barang yang mustahil.
Ini bermakna, seseorang anak itu mestilah dididik untuk hidup selama-lamanya, selain mementingkan hati, akal dan roh yang dapat membezakan antara kebaikan dan keburukan dalam kehidupan yang akan dilaluinya.
Seimbang dan harmoni
Guru dan ibu bapa mestilah juga istiqamah ke arah mengembangkan potensi individu anak-anak secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan.
Segalanya ini bertujuan supaya pelajar dan anak-anak ini menjadi warganegara yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Dasar ini adalah selari dengan dasar yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan sekolah. Semuanya ini bertujuan memenuhi keperluan negara serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip Rukun Negara.
Guru dan ibu bapa juga harus memahami dalam era globalisasi, Malaysia akan menjadi negara maju daripada segala segi, iaitu ekonomi,politik, sosial, kerohanian, psikologi, dan kebudayaan. Kita juga akan mencapai sepenuhnya daripada segi perpaduan negara.
Justeru, anak-anak adalah amanah Allah SWT kepada ibu bapa. Ia diibaratkan sebagai kain putih yang mudah menerima apa yang dicorakkan kepadanya, sama ada ke arah kebaikan atau sebaliknya. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tiap-tiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan suci bersih, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (riwayat At-Tabrani)
Ini menjelaskan bahawa ibu bapa mempunyai peranan yang penting dan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Hanya melalui kaedah ini sahajalah anak-anak akan berjaya di dunia dan akhirat. Ini disebabkan setiap tindak-tanduk manusia di dunia ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Kerjasama guru dan ibu bapa sangat penting dalam hal ini.
Guru dan ibu bapa juga digalakkan memacu kecemerlangan anak-anak dalam segala bidang berlandaskan sifat yakin diri, rajin, berani, progresif dan membina potensi diri. Selain itu, anak-anak mestilah dididik rohani dan peribadi mulia serta berpegang teguh kepada nilai-nilai murni keagamaan.
DALAM era globalisasi guru dan ibu bapa boleh menggalakkan pelajar dan anak-anak menimba dan mengaplikasikan ilmu pengetahuan, khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Di samping itu, mereka juga mesti dipupuk dengan sifat penyayang dan bertimbang rasa, cintai keluarga dengan mementingkan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan masyarakat.
Selain guru, tugas ibu bapa juga memastikan anak-anak tidak terikut dengan gegala sosial yang tidak sihat seperti merokok, melepak, ponteng sekolah, terlibat dalam penyalahgunaan dadah, pergaduhan, merempit, melepak di kafe siber dan membuang masa dengan sia-sia. Jika pergaulan anak-anak dapat dikawal, banyak manfaat diperoleh berbanding musibah.
Pastikan anak-anak berkawan dengan kawan-kawan yang berakhlak baik. Jangan benarkan anak-anak keluar waktu malam tanpa tujuan. Pupuk hubungan intim dan kemesraan kekeluargaan. Galakan anak-anak suka tinggal di rumah daripada berkeliaran di luar rumah tanpa arah dan tujuan. Menjaga maruah dan kehormatan penting bagi mengelakkan diri terjerumus ke lembah kehinaan.
Lantaran itu, pendidikan mestilah mengikut zaman. Guru dan ibu bapa juga boleh mendidik pelajar di sekolah dan anak-anak di rumah dengan kemahiran asas 6M, iaitu membaca, menulis, mengira, menghafal, melukis dan menggunakan komputer. Kemudian mereka patut diajarkan dengan kemahiran 6S iaitu seni budaya, seni saintifik, seni intelektual, seni maklumat, seni kreativiti kerja dan seni etika kemanusiaan. Semua kemahiran ini penting dalam era globalisasi bagi mengisi harapan negara untuk membina negara maju dan insan cemerlang.
Kesimpulannya, guru dan ibu bapa berperanan penting dalam menyelamatkan anak-anak daripada salah laku remaja dan penyakit sosial. Jika ini dapat dilakukan, ibu bapa akan berjaya mendidik anak-anak dalam era globalisasi ke arah pembangunan manusia dan masyarakat yang selamat di dunia dan akhirat. Pendidikan yang berkesan akan membentuk ke arah mukmin yang berjaya.