Headlines News :

Bagaimana Rupa Makanan Tengah Hari di Sekolah di Seluruh Dunia

Kita semua sedia maklum bahawa makanan yang sihat dan seimbang dapat membantu murid-murid menjadi lebih fokus dalam sesi pembelajaran mereka. Atas sebab yang demikian Sweetgreen telah menghasilkan satu siri gambar yang menunjukkan koleksi makanan tengah hari di sekolah di seluruh dunia sebagai rujukan untuk menghasilkan makanan yang sihat untu para pelajar.

School-Lunches-around-the-world-1 School-Lunches-around-the-world-2 School-Lunches-around-the-world-3 School-Lunches-around-the-world-4 School-Lunches-around-the-world-5 School-Lunches-around-the-world-6 School-Lunches-around-the-world-7 School-Lunches-around-the-world-8 School-Lunches-around-the-world-9
Sumber: Ufunk

Walaupun saya non-muslim, tetapi saya memang respect kepada TGNA.

Oleh Rajinder Singh

Malam 13hb Februari  , lain sungguh rasa nya bila mendapat berita mengenai kematian Tok Guru Nik Aziz, TGNA.Saya, secara peribadi, memang kagum dan menghormati beliau.

Dan saya ingin kongsikan pengalaman ketika bertemu dengan beliau di salah sebuah restauran makan di Kelantan beberapa tahun dahulu.

Memandangkan saya dan rakan rakan saya, semua nya berbangsa Punjabi (kami semuanya 5orang sahabat, cuma saya sahaja yang tidak memiliki sarban), maka nak dijadikan cerita, masa itu, rakan rakan saya sentiasa dipandang oleh penduduk Kelantan. Rasa macam artis pulak, semua nak berkenalan....hmmm

Di restoran itu kami berkumpul untuk mkn . Sambil jamu selera, rakan saya memberitahu, bahawa orang yang duduk di hujung meja itu adalah TGNA.

Saya tak percaya, takkan la TGNA sebagai Menteri Besar nak makan kat kedai ini (tak ingat pulak nama kedai tu), dah tu pulak takde bodyguard, mustahil, mana mungkin seorang yang diberikan mandat menguruskan negeri jalan senang lenggang macam tu je tanpa bodyguard.

Kawan saya pula confident sungguh beliau adalah TGNA. Saya pun bangun pergi, nak tanya sendiri, betul ke?

Bila saya beri ucapkan Selamat Pagi kat beliau, dan saya tanya betul ke Encik ni TGNA. Dia menjawab yer...Opocot!!! betul laa...aduhai, terkezut siot. Saya pun senyum dan toleh kat kawan saya, saya angguk kepala memberikan isyarat yang mereka itu betul.

TGNA pun bertanya, siapa nama, dari mana, nak kemana...saya pun bagi tau yang kami daripada Ipoh Perak, datang melawat Kelantan selepas balik dari pulau perhentian. Dan TGNA pun cerita tempat yang menarik saya dan kawan kawan saya boleh lawati....sempoi je bercerita dan bersembang dgn TGNA ini.

Lepas tu saya pun join member saya, makan....

TGNA selepas selesai makan, datang ke meja kami, dan dia ucapkan selamat datang ke Kelantan dan terus membawa diri....ringkas je dia wish kat kami semua, mungkin ade urusan ler tu yang perlu dikerjakan....

Dan kami pun selepas beberapa minit, habis makan nak bayar. Bila pergi ke kaunter nak bayar, rupa rupa nya bill makan minum kami telah disettle kan oleh TGNA...uishhh...sampai mcm tu sekali!
nak ucapkan terima kasih pun kami tak sempat, beliau masa tu dah lama beredar.

Memang pengalaman yang sungguh menarik.

Dan ketika saat itu, ianya menjadi turning point pada diri yang kerdil ini, bahawa apa jua yang saya ketahui mengenai TGNA dan juga parti nya adalah amat serong sekali (terima kasih kepada media tempatan yang menanamkan pemikiran negatif kami terhadap TGNA dan juga parti nya...

saya tak berminat nak ceritakan pasai media kita, utusan meloyakan, dan juga berita hairan dan mana mana yg sekutu dgn nya, sudah lebih 10 tahun diri ini tak layan mainstream media).

Itu lah cerita yang saya nak sampaikan..dan memang betul, TGNA ini, memang humble orang nya.

Banyak juga member kenalan memberitahu saya, dia tinggal dirumahnya dan tidak pun bangga tinggal dikediaman rasmi yang sepatutnya.

Tiada protokol yang ketat untuk berjumpa dengan nya...mudah nya nak berurusan tanpa banyak karenah.
Malah saya juga mendapat tahu, beliau banyak menderma duit gaji nya....sungguh mulia hati TGNA ini....segala jua urusan yang dia lakukan adalah kerana Allah s.w.t

Semoga, pendekatan beliau menjadi ikutan kepada barisan pemimpin yang memimpin negara ini.

Walaupun saya non-muslim, tetapi saya memang respect kepada TGNA. Pernah juga terkilan dengan member lain yang mengkutuk dan menghina beliau hanya kerana perbezaan ideologi politik. Lebih terkilan dan tersentap apabila hinaan itu datangnya dari Muslim....aduhai....

Ape ape pun, kita ketepikan fahaman masing masing, ambil yang jernih, buang yang keruh.

Kepada rakan KGM semua, terutamanya yang beragama Islam, hari ini, hari Jumaat, dan ketika menunaikan solat Jumaat nanti, doakan TGNA semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang orang beriman.

Rajinder Singh a.k.a Tutor Raj

Tok Guru sepanjang zaman

Oleh DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA 


SIAPA yang sangka sosok tubuh kecil ini telah menempa nama sebagai pemimpin yang disayangi rakyat berbilang kaum. Sepanjang karier politik beliau kenyataannya sering menjadi bahan kontroversi mendapat reaksi daripada musuh politiknya, malah jikalau tersiar namanya di dada akhbar atau di kaca TV pasti ia bertujuan untuk mengeksploitasi dan bukan menceritakan yang sebenarnya.

Namun pada waktu pemergiannya, media perdana seolah mahu ‘menebus’ perbuatannya selama ini dengan menyiarkan berita pemergiannya sebagai pemimpin besar negara. Malah Astro Awani membuat liputan dari awal berita kematian sehinggalah majlis penyempurnaan jenazah sehingga ke malam harinya.

Akhbar berbahasa Mandrin pula menyiarkan sepenuh muka surat tentang kehadiran berpuluh ribu rakyat menziarahi dan mengiringi jenazah. Terpampang tajuk besar berbahasa Mandarin “Tok Guru Sepanjang Zaman”.

Mendapat Berita Sedih 

Berita pemergian Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat dimaklumkan ke seluruh negara 10 atau 15 minit setelah allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu pada pukul 9.40 malam.

Saya berada dalam majlis forum anjuran MalaysiaKini sebagai salah seorang panelis membicarakan masa depan politik selepas Anwar dipenjarakan apabila Fathi Aris selaku moderator mengumumkan kepada orang ramai berita mengejutkan ini.

Saya terus menghubungi anak Tok Guru, sahabat saya Ustaz Nik Omar untuk mendapat kepastian lalu mendapat balasan whatsapp ringkas, “Tok Guru meninggal jam 9.40”. Saya sudah hilang fokus dan hanya tertumpu untuk ke Kota Bharu sejurus majlis walaupun saya terpaksa menyelesaikan dahulu baki masa berforum. Usai forum, malam itu juga saya bertolak ke Kota Bharu.

Bersama Tok Guru Semasa Pelajar 

Sepanjang perjalanan ke Kota Bharu, saya hanya mampu menahan sebak kesedihan kerana beliau adalah pemimpin tertinggi parti saya. Peranan kepimpinan Tok Guru kepada orang PAS bukan sahaja sebagai ketua tetapi sifat kebapaan beliau yang melihat kami dengan penuh kasih sayang dan senantiasa berjiwa besar.

Saya terkenangkan semua itu sehingga membawa saya kepada ingatan beberapa pertemuan saya dengan Tok Guru sepanjang karier saya dalam PAS. Pertemuan awal ialah semasa saya masih menuntut di Mesir sekitar awal 90an.

Kali pertama saya diberi penghormatan bersama Tok Guru ialah ketika beliau berkunjung ke Mesir pada tahun 1991. Melalui Nik Omar anaknya, saya meminta jasa baiknya supaya ayahnya mentahnikkan anak sulung saya yang baru sahaja lahir ketika itu. Saya bukan sahaja mendapat persetujuan bahawa Tok Guru akan mentahnik (sunnah membelah mulut bayi kecil) anak saya malah beliau akan berkunjung ke rumah sewa saya pada pagi hari.

Saya dan isteri teruja kerana Tok Guru akan makan pagi di rumah kami. Pertemuan pagi itu dalam kedinginan cuaca musim sejuk Mesir bersama Tok Guru akan saya ingat selamanya. Malah saya sering mengingatkan anak sulung saya Nidhal bin Mujahid bahawa betapa beruntungnya anak saya didoakan oleh tokoh hebat ini.

Bimbingan dan Nasihat 

Tugas saya sebagai Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional (LPN) membawa saya terjun dalam kancah kepelbagaian kaum dan agama di negara ini. Saya mendapat keyakinan dengan sokongan dan dorongan Tok Guru kepada usaha yang saya jalankan.

Sebahagian besar perasmian besar-besaran Kelab Penyokong PAS yang kami usahakan akan disempurnakan oleh Tok Guru. Antaranya ialah di Kelantan sendiri, Selangor dan Johor. Setiap kali kehadiran Tok Guru menyempurnakan pelancaran Kelab Penyokong PAS, masyarakat berbilang kaum khususnya kaum India akan memenuhi dewan. Mereka melihat Tok Guru sebagai idola mereka malah ada yang menganggap mereka adalah anak angkat Tok Guru sendiri.

Beliau sering mengingatkan saya bahawa, “Mujahid kena jaga mereka molek-molek, dakwah Rasullullah ialah kepada bukan Islam, kena ambil contoh lagumano Islam menyantuni mereka, ambo (saya) sendiri cubo di Kelantan untuk buktikan pada demo (bukan Islam) betapa chomenyo (cantiknya) Islam”.

Kemuncak kehadiran Tok Guru ialah pelancaran Kelab Penyokong PAS Nasional di Kelang pada tahun 2009 dengan kehadiran perwakilan seluruh negara lebih kurang dalam 1,000 orang ahli yang berdaftar termasuk Sabah dan Sarawak. Tok Guru begitu gembira dengan pencapaian PAS di kalangan bukan Islam pada hari tersebut kerana mereka sudah boleh menerima perjuangan PAS.

Menyokong DHPP 

Saya sering juga mengadu keoada Tok Guru dalam pertemuan-pertemuan saya tentang betapa Kelab Penyokong PAS perlu dinaik taraf kepada Dewan untuk mereka menjalankan aktiviti mereka yang diiktiraf oleh perlembagaan parti.

Beliau selain almarhum Ustaz Hasan Syukri dan Tuan Guru Dato’ Seri Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden amat prihatin untuk meletakkan bukan Islam dalam bentuk sebuah sayap yang diiktiraf oleh parti berbanding Kelab Penyokong PAS yang hanya bernaung di bawah Lujnah Perpaduan Nasional.

Semasa saya mengiringi beliau dalam pengistiharaan Pilihan Raya Permatang Pauh 2009, beliau menggesa pada saya supaya perkara ini disegerakan dengan melihat peruntukan perlembagaan dan memberi ruang yang lebih besar kepada ahli Kelab Penyokong PAS menyertai organisasi induk parti.

Semangat itu yang saya dan rakan-rakan bawa dalam usaha meningkatkan tahap keterlibatan bukan Islam dalam PAS dengan mencadangkan sayap baru yang kemudiannya dinamakan sebagai Dewan Himpunan Penyokong PAS atau ringkasnya DHPP.

Alhamdulillah berkat nasihat dan bimbingan Tok Guru, kini DHPP adalah sayap penting parti dengan keanggotaan hampir 20,000 ahli seluruh negara.

Mendamai Saat Tegang 

Pada saat segelintir rakyat Malaysia memilih jalan kebencian dan permusuhan dalam isu kalimah “Allah”, Tok Guru menghulurkan kedamaian dengan berdialog dan hormat menghormati. Malah saya dihubungi oleh pegawai Tok Guru untuk mendapat beberapa maklum balas tentang isu ini kerana Tok Guru mahukan input daripada saya.

Tok Guru adalah antara penyokong tegar dialog silang agama dan kerana itu apabila satu pertemuan diaturkan oleh Lujnah Perpaduan Nasional PAS untuk bertemu dengan Uskop Katolik Wilayah Utara Bishop Sebastian di Pulau Pinang, Tok Guru tidak teragak-agak menerima temujanji ini.

Di bilik suite Vistana Hotel Bukit Jambul menjadi saksi pertemuan bersejarah antara Mursyidul Am PAS dan Uskop Katolik mementeraikan harapan untuk kedamaian pada masa hubungan tegang kalimah “Allah” mewarnai hubungan antara agama di Malaysia.

Jadual Tok Guru pada hari itu begitu ketat dan semasa pertemuan di petang hari itu, beliau hanya menyatakan betapa beliau berasa terlalu letih namun bersemangat untuk menyatakan kata-kata kedamaian kepada Bishop Sebastian.

Saya yang berada rapat di sisi Tok Guru masih ingat kata Bishop Sebastian, bahawa Malaysia masih memerlukan kepimpinan Tok Guru yang membekalkan kekuatan spiritual bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga kepada yang bukan Islam.

Tok Guru tersenyum sambil menyatakan itulah yang beliau harapkan supaya kita hidup berdamai antara sesama kita. Majlis berakhir dengan pemberian kek sempena ulang tahun kehadiran Tok Guru yang kemudian kami namakan sebagai kek kedamaian. Jiwa Tok Guru sentiasa terbuka kepada kedamaian antara agama.

Perbualan Tertutup 

Buku saya Menuju PAS Baru mendapat kritikan antara pujian dan kejian. Tok Guru mengikuti perkembangan dan sebagai ayah tidak mahu mengambil sikap sehingga mendengar penjelasan daripada saya. Beliau begitu berhati-hati dan teliti supaya sikapnya tidak dieksploitasi oleh pihak yang memangnya mahu kalau boleh buku saya itu diharamkan daripada dibaca oleh ahli PAS. Saya berkesempatan menemui Tok Guru untuk menjelaskan dan menghadiahkan senaskhah buku saya itu.

Di akhir perbualan tertutup ini, beliau hanya menasihati supaya diadakan diskusi buku ini dan diberi ruang untuk mendengar ide yang ada dalam buku Menuju PAS Baru. Alhamdulillah atas nasihat mulia ini, Pemuda PAS Kelantan menjayakan diskusi buku saya dengan ahli panel Ustaz Riduan Mohd Nor di Pejabat Perhubungan PAS Negeri di Kota Bharu.

Pertemuan selanjutnya ialah untuk saya hadiahkan sequel Menuju PAS Baru iaitu Rejuvenasi PAS kepada beliau. Saya menerangkan tajuk-tajuk dimuatkan dalam buku ini sambil berbincang tentang “kepimpinan ulama”.

Saya membawa ide kepimpinan yang lebih mencakupi kepimpinan Islam dengan melihat kepada konsep Al Qawwi dan Al Amin (berkelayakan dan amanah). Tok Guru sedia mendengar pandangan dengan sikap terbuka apabila ada hujah dan beralaskan dalil Al Quran dan Sunnah.

Malah beliau bersetuju asas kepimpinan mestilah mengikut prinsip Al Quran. Namun beliau juga cuba membayangkan kepada saya bahawa betapa sukarnya sesuatu untuk mengubah paradigma sebahagian orang PAS. Wajahnya sesekali membayangkan sesuatu yang serius dan mendalam apabila kami berbincang soal ini.

Buku Berdialog Dengan Gereja 

Buku saya ini mendapat penghormatan apabila Tok Guru sudi menulis kata pengantar bersama Bishop Sebastian. Saya sendiri menyerahkan buku ini kepada beliau di rumahnya ketika itu. Saya menunjukkan kepadanya gambar-gambar dalam buku saya itu semasa kunjungan Uskop Wilayah Utara di Pulau Pinang tempoh hari bertemu dengan beliau.

Saya turut memuatkan cerita pertemuan itu dalam buku saya sambil saya merakamkan penghargaan bahawa semangat Tok Guru yang mempercayai dialog silang agama sebagai jalan kedamaian membawa saya ke seluruh negara membawa mesej ini.

Pertemuan yang sepatutnya hanya beberapa minit itu menjadi sejam kerana minatnya Tok Guru kepada tajuk ini walaupun beliau terpaksa membawa kantung plastik kerana kanser prostat yang dialami.

Nik Omar yang mengaturkan pertemuan berbisik kepada saya, “Selalunya ayah tidak lama berjumpa dengan tetamu, dengan anta (awak) nampak dia lama sikit”. Kebetulan Tok Guru menunjukkan pada saya skrip biografi tentang dirinya yang sedang disiapkan oleh seorang penulis. Beliau nampaknya begitu bersemangat pada pertemuan hari itu, mungkin sebab itu pertemuan saya lama sedikit berbanding tetamu yang lain.

Bergegas Balik dari Turki 

Kali terakhir pertemuan saya denga Tok Guru ialah bulan Januari di HUSM. Saya bergegas balik dari Turki setelah mendapat perkhabaran Tok Guru dimasukkan ke bilik rawatan rapi kerana tahap kesihatan yang dialami turun mendadak.

Sejurus tiba di KLIA, saya meneruskan perjalanan ke Kota Bharu dan ke terus hospital namun hanya dapat menjenguk dari pintu cermin. Esok paginya saya diberi izin masuk oleh pakar yang merawat sambil saya mencium tangan dan dahi Tok Guru.

Beliau sedar sambil tersenyum dan bertanya khabar dalam nada yang sangat lemah. Saya menyampaikan salam beberapa sahabat dari Tuki dan juga Tuan Yang Di Pertua Dewan Rakyat Tan Seri Pandikar Amin yang bersama kami di Turki untuk mengikuti sebuah konferens.

Saya juga membawa amanah dari pengusaha permaidani di Bazar Istanbul yang mengirimkan kepada saya rehal hiasan batu marmar untuk dihadiahkan kepada Tok Guru kerana beliau amat menghormati dan menyayangi Tok Guru.

Saya juga membawa buku terkini saya berjudul Malaysia Pasca Rasisme yang mana beliau turut menulis kata pengantar untuk dihadiahkan kepadanya. Saya hanya mampu menyerahkan kepada anaknya Nik Adli dengan harapan apabila Tok Guru sihat nanti dapatlah beliau membacanya.

Berakhir Dengan Permulaan 

Saya menyaksikan pemergian dua tokoh yang saya kagumi dalam PAS selain ayahanda saya, Haji Yusof Rawa iaitu allahyarham Ustaz Fadzil Noor dan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Setiap kali saya terkenangkan mereka, saya menanam azam untuk meneruskan apa yang telah mereka mulakan.

Perjalanan jauh yang mereka tempuh janganlah disia-siakan dengan sekadar bersedih, limpahkanlah kasih mereka dengan terus beristiqamah. Anggaplah mereka berakhir dengan sebuah permulaan yang akan digalas oleh kita yang masih hidup.

Buat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sekalung Al-Fatihah, pastinya pemergianmu tidak akan disia-disiakan dan nasihat mu akan sentiasa bergelora menjadi azimat buatku.

Allahumma Arhamhu Rahmatan Wasi'ah...Amin Ya Rabbal Alamin...
Penulis ialah Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS dan AJK PAS Pusat serta Ahli Parlime Parit Buntar.

TG Nik Aziz dalam pentas dan jalur perjuangan ‘Political Islam’

Oleh DR DZULKEFLY AHMAD

INI eulogi khas buat almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (10 Januari 1931- 12 Februari 2015). Tanggal malam Jumaat serta disemadikan pada penguhulu segala hari adalah merupakan penyudah kehidupan yang baik (husnul khatimah) bagi insan istimewa ini.

Puluhan ribu manusia yang membanjiri bumi Kelantan persis pengkebumian almarhum Ustaz Fadzil Noor, pada usia lebih muda, 65 tahun (13 Mar 1937 - 23 Jun 2002) ketika memimpin Parti Islam SeMalaysia, PAS selaku Presidennya (1989-2002).


Telah banyak naratif tampil daripada pelbagai sisi tumpuan pengkisahan hidupnya. Pelbagai istilah molok cuba untuk dipakaikan kepada sosok tubuh ulama hebat ini. Penulis tidak perlu mengulang atau menambah.Satu jilid besar sirah hidup Tok Guru juga tidak mencukupi untuk diabadikan riwayat sang murabbi-murshid-‘abid ini.

Lalu penulis tidak malu dan silu untuk memohon pihak berkuasa mahupun pihak korporat ataupun individu supaya cuba memperuntukkan dana yang selesa menerbitkan autobiografi pemimpin ulama-umara ini.

Pentingnya, kualitinya tidak harus dikompromikan setanding autobiografi founding fathers, bahkan tokoh-tokoh pemimpin dunia yang pernah tampil di muka bumi ini.

Penulis bukan jenis manusia ‘pengkagum’ tetapi untuk Tok Guru, hujahnya ketara dan nyata. Belasungkawa atau eulogi ini hanya satu usaha kecil untuk memberi makna sebenar tentang nilai pemikiran seorang ulama-umara ini.

Ya, penulis sedar Tok Guru bukan maksum.

Walaupun bukan dari parti pemerintah persekutuan, pemikiran, tata kelola politik yang bersih serta penuh integriti dan juga kehidupannya yang serba sederhana, amat wajar dikaji untuk diteladani oleh generasi pewaris.

Pelbagai sisi dan dimensi kajian ilmiah perlu ditekuni dan didalami. Fokusnya bukanlah untuk periwayatan dan penonjolan naratif, tetapi maqasid utamanya adalah pencerakinan sebuah pemikiran, bertema-teraskan “Politikal Islam Dalam Sebuah Masyarakat Majmuk”.

Atas pengamatan penulis yang telah berpeluang bukan sahaja hidup dibawah pimpinan Tok Guru, malah juga bekerja dan ‘belajar’ secara langsung dengan Tok Guru, mahu sahaja penulis syorkan dengan penuh yakin agar Tok Guru dinobatkan sebagai “Mujaddid Zaman”, sekiranya diizinkan Ilahi dan disokong umat Islam terkini.

Dunia kontemporari telah menyaksikan penampilan Politikal Islam dalam pelbagai model dan eksperimen (tajribah) di serata dunia. Politikal Islam, takrif ringkasnya, disepakati sebagai “projek menjayakan Islam dan penghayatan syariat sebagai teras pemerintahan di dalam kerangka negara moden:. Satu snapshot mutakhir kedudukan gerakan Islam wajar dirakamkan.

Tentunya kejayaan berserta kegagalan Dr Morsi dan Ikhwan Muslimin mendepani ujian demokrasi serta kecurangan-kebobrokannya, menjadi naratif ilmiah yang didambakan generasi pemimpin gerakan Islam yang mendatang.

Erdogan dan AKP pula pastinya tampil sebagai gerakan Islam yang cukup moden dan sofistikated.

AKP tidak mempedulikan sangat status “gerakan Islamnya” berbanding perlaksanaan program, agenda dan objektif mereka. Berpandukan road-map partinya, Erdogan lantas merintis jalan-jalan baru yang tidak konvensional yang penuh risiko.Kini AKP mula meraih pulangan pelaburan berisiko tinggi itu.

Satu lagi keterampilan gerakan Islam yang turut mewarnai naratif Politikal Islam kontemporari dipimpin Sheikh Rachid Ghanoushi. Suaka politik di United Kingdom diakhir tahun 80an tamat apabila kembali memimpin an-Nahdah. Beliau menang pada pilihan raya umum tahun 2011, tetapi kemudian kalah ketika menyerah kuasa pemerintahan kepada rakyat ketika didesak seteru pada 2014 secara damai dan demokratik.

Sesuai dengan penegasan sebuah Qawaid Fiqhiyyah: “Tasharruful imam ala ra’iyyah, manutum bil maslahah’ yang bermaksud “Tindak-rencana dan advokasi polisi Imam atau para pemimpin adalah tergantung dan bersesuaian dengan kemaslahatan rakyat yang mereka pimpin”.  Begitulah kira-kira ketetapannya.

Pemimpin Islam sangat sedar, siasah atau politik diukir dalam keluasan syariat yang menjadi asas dan memandu segala tindakan dan pendirian, berlegar disekitar bab muamalat, yang bersifat berubah-ubah (mutaghayyirat). Ruang siasah sentiasa bersifat baru dan memerlukan ijtihad.

Sebab itu hukum asal muamalat itu harus (mubah). Perkara ini adalah sebaliknya dalam perihal akidah atau akhlak, yang sifatnya tetap, tidak berubah dan tidak fleksibel. Akidah dan akhlak tidak tertakluk kepada ijtihad justeru berubah zaman dan realiti kehidupan yang moden.

Nah, dengan catatan pengantar di atas penulis ingin membuat komentar tentang kepimpinan Politikal Islam Tok Guru. Penulis hanya mampu memberi contoh-contoh secara selektif.

Terpenting, Tok Guru sangat konsisten dan tabah mendukungi teras dan prinsip Islam sebagai rahmat lil ‘aalamin. Politik Islam olahannya terpasak di atas paksi dakwah Islamiyah, sekaligus menghapuskan polemik jurang  “politik vs dakwah”. Kedua anasir ini seiring dan sebati serta  menonjol dalam pemikiran siasahnya.

Meskipun Tok Guru tidak lazim dikenali sebagai ideolog parti, tetapi penghayatnnya jelas mencerminkan peranan dan kedudukan itu. Tok Guru juga dilihat oleh samada kawan ataupun lawan sebagai seorang pemimpin yang walk the talk (cakap serupa bikin).

Penglibatan politiknya yang bermula sejak 1967 meletakkan Tok Guru amat peka dengan dinamika politik negeri dan negara bahkan dunia seanteronya. Evolusi tahapan pemikirannya disegi penggarapan perjuangan lebih menyerlah ketika mengemudi PAS selaku Murshidul ‘Am parti.

Kerap Tok Guru mengingatkan kepimpinan dan aktivis untuk mendahulukan dan mengutamakan mesej Islam dari kepentingan kepartaian. Apabila Islam dibela maka PAS akan turut didukungi bersama, tegasnya.

Di negara yang fahaman rasisme dan asabiyyah Melayu sangat tajam dan mendalam, bahkan menjadi modal politik bagi meraih sokongan untuk kekal berkuasa, doktrin ketuanan Melayu mewarnai ideologi dan polisi advokasi pemerintah.

Penentangan Tok Guru secara tidak berbelah bagi, layak menjadikannya lambang atau ikon pendobrak asabiyyah paling lantang dan konsisten. Rasisme, sejak berzaman dan khasnya semakin terserlah mutakhir ini, dengan repackaging baru atau transformasi kepada ketuanan Melayu-Islam (seperti yang ditaja oleh beberapa badan NGO yang pro-BN), dijadikannya sasaran untuk didobrak, dikalahkan dan disingkir dalam pencerahan mesej politik dan dakwah Tok Guru dan PAS.

Lebih terperinci, kalau ada yang cuba mendakwa merekalah yang memulakan pendekatan engagement dengan kaum bukan Islam dan bukan Melayu untuk meruntuhkan tembok-tembok pemisah atas garis ras dan kaum, maka wajar memerhatikan Tok Guru. Siasah Tok Guru berjalan serentak dan seiring dengan dakwahnya bermula sejak pemerintahannya, awal 90an.

Tahaaluf Siyasi atau koalisi politik juga bukan fenomena yang baru bermula dengan kemenangan besar pembangkang selepas PRU ke-12 pada 2008, lantas menubuhkan Pakatan Rakyat. Tok Guru sangat prihatin memecahkan halangan ras dan rintangan kaum serta sentiasa bersedia untuk berkoalisi sebagai pendekatan siasahnya bagi mendepani cabaran kuasa pemerintah. Bahkan tahaaluf-lah yang meletakkan Tok Guru ke tampuk kuasa sejak 1990.

Tok Guru adalah perintisnya, hasil tekunan dan ijtihadnya, untuk menjayakan perjuangan politiknya dan penyebaran dakwah Islamnya. Pemimpin ini jelas menyerlahkan erti dan kefahaman tuntutan siasatud-dakwah, istilah gerakan Islam, yang tidak begitu popular di kalangan pimpinan PAS berbanding di negara Arab atau golongan Islamis di Indonesia.

Maksud mudahnya, dalam langkah siasah terangkum perhitungan dakwah sementara penganjuran dakwah sentiasa bermatlamatkan meluaskan tapak sokongan siasah. Tidak pernah wujud konflik, pertembungan, jauh lagi kecelaruan, seperti yang selalu dipolemik sesetangah pihak kononnya, terlalu banyak bersiasah atau sebaliknya, kritikan tidak peka dengan dakwah!

Sangat tepat dan mudah jalur pemikiran Tok Guru. Tegasnya, penulis telah lama memerhatikan Tok Guru inilah ulama haraki yang punya penguasaan (isti’ab) terhadap realiti politik pelbagai tuntutan, yang saling bertentangan (mutually exclusive) di kalangan masyarakat plural, yang majmuk di negara ini. Tok Guru tetap bertegas dan tidak mengundur.

Justeru kerana itu juga, Tok Guru pernah dicemuh dan ditohmah sebagai pengamal pluralisme agama bahkan liberal. Golongan agamawan sama ada dari luar mahupun dalam parti ini cepat menuduh Tok Guru ketika mereka tidak memahami strategi siasah dan pendekatan dakwahnya. Hanya dengan ilmu, yang mengizinkan Tok Guru meneroka dan merentas keluasan siasah dan dakwah serta faham batas-batasnya.

Tok Guru tidak takut dikritik ketika hadir menziarahi kematian Sami Buddha yang terkemuka. Tok Guru menghadiri tempat ibadat seperti tokong dan keramaian budaya di restoran-restoran besar di kalangan kaum Tionghua meskipun arak serta hidangan yang kurang ‘menyenangkan’ di mata masyarakat ummat Islam persis Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimin, yang menyatuni dan berdakwah kepada anak muda Mesir di pusat-pusat hiburan di bandar-bandar di Kaherah.

Bahkan Tok Guru dikatakan memberi keutamaan meraikan program seumpama ini, seandainya bertembung dengan perihal pentadbiran yang lain.

Kerap Tok Guru memulakan ucapannya di hadapan kaum Tionghua dengan ayat-ayat al-Quran yang releven dan sesuai dengan tujuan dakwahnya. Contohnya, kerap Tok Guru mengungkapkan ayat 13 Surah Hujurat yang menekankan manusia dari datuk dan moyang yang sama yakni Adam dan Hawa. Itu biasa.

Namun apabila Tok Guru tekankan bukan sahaja “kita bersaudara”, tetapi acap didengari menggunakan kalimat kita ini “adik-beradik” itu ajaib dan istimewa. Wow!

Dari sudut psikologi komunikasi, Tok Guru lebih arif bagaimana untuk menjadikan dakwah dan mesej politik yang benar-benar berkesan sekaligus inklusif, yang merangkum dan terangkum serentak menambat hati budi dan pemikiran kaum Tionghua khasnya di bumi Kelantan itu. Tidak aneh kalau akhbar Mandarin menobatkannya “Tok Guru Sepanjang Zaman”. Ajaib.

Bandingkan hakikat ini dengan pelbagai episod konflik kaum yang tidak ada kesudahan di negara ini, seumpama kontroversi oleh seorang menteri mutakhir ini. Perkauman sudah mendarah-dagingi warga negara ini. Malangnya umat Islam tidak mampu menunjukkan penyelesaiannya, bahkan juga sebati dan berakar-umbi dalam benak hati dan pemikiran, justeru kerana tidak mendapat pencerahan Islam sebenarnya.

Persoalan yang perlu dihalusi adalah mengapakah Tok Guru mengambil pendekatan untuk benar-benar melazimi dan mendampingi kaum Tionghua, sehingga negara luar yang pertama dilawati sebaik sahaja menjadi Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, ialah membuat lawatan ke negara China?

Mengapakah Tok Guru mengizinkan kalimah “Allah” digunakan penganut agama lain sementara wujud golongan agamawan yang bertegas dan berkeras untuk tidak mengizinkan?

Terdahulu, ramai masih ingat pelbagai reaksi dan kontroversi terhadap usaha Tok Guru membina masjid yang rekabinanya berbentuk bumbung pagoda, sehingga mendapat jolokan Masjid Cina.

Mungkin telah ada masjid seperti ini lebih awal di negara ini, tetapi tatkala Tok Guru membinanya ia punya matlamat yang jelas dalam siasah dan dakwahnya bagi menambat hati kaum Tionghua dan meredakan prajudis terhadap Islam. Kerap Tok Guru menekankan kaum Cina lebih dahulu Islam dan lebih ramai Islam dari orang Melayu!

Ini menunjukkan betapa Islam itu bukan hanya untuk Melayu, bahkan untuk semua kaum, seluruh alam. Ini mesej Tok Guru yang sangat mendalam penghayatan siasah dan dakwahnya. Bukan sahaja untuk kekal berkuasa seperti sang penguasa politik di mana pundi dunia ini.

Seperkara lagi, meskipun Tok Guru sedar, demografi negara ini berteraskan majoriti orang Melayu pastinya, sengaja Tok Guru lontarkan, satu hari nanti mahu dilihat seorang Perdana Menteri berketurunan Cina. Melompat pelbagai pihak. Chauvinist Melayu pastinya berang dan kita mampu faham. Tetapi chauvinist Cina juga marah, kononnya Tok Guru mahu ‘Islamkan’ mereka.

Hanya rakyat Malaysia sejati yang sangat memahami ‘insinuasi’ ulama bertubuh kecil ini tetapi mempunyai minda yang tak bertepi dan berfikir diluar kotak.

Mampukah PAS meneruskan penerobosan pemikiran Tok Guru?

Sangat tegas dengan prinsip, kreatif dalam perlaksanaan dan antisipatif dengan cabaran dan persaingan.

Mampukah PAS memenuhi perlaksanaan syariat yang telah diasaskan oleh Tok Guru dengan penuh kebijaksanaan dalam ruang-lingkup keluasan demokrasi dan peruntukan perlembagaan negara?

Mampukah pimpinan tertinggi PAS meneruskan penegasan Tok Guru, untuk kekal bertahaaluf dalam Pakatan Rakyat sementara bijak mengurus perbezaan yang terkadangkali sangat tajam dan  mendebarkan?

Itulah siyasah syar’iyah Tok Guru yang bijak persis, mencerminkan sifat fatonah para anbiya’.
Itulah legasi siasatud-dakwah Tok Guru yang menambat hati-budi mereka yang mulanya curiga dan sangsi, tetapi kini sudah mula melazimi “PAS Untuk Semua” dan Islam agama yang mendamaikan.

Tok Guru berjaya menampilkan “Islam Adil Untuk Semua”.

Malangnya hanya setelah ketiadaannya, negara bahkan dunia mula mengiktiraf bahawa Tok Guru adalah tokoh pemimpin negara merentas agama, etnik dan budaya. Amat sukar mencari calon yang boleh dinobatkan begitu dan hilangnya sukar dicari ganti.

Banyak lagi yang harus digali dan dicerakinkan dari segenap aspek hidupnya ulama yang cukup sederhana dalam kehidupan. Cukup sekadar ini untuk penulis berhujah agar  Institut Pemikiran Tok Guru yang telah ditubuhkan di bawah kerajaan negeri Kelantan benar-benar berfungsi seperti yang disarankan ini.

Moga Allah merahmati ruhnya Tok Guru bersama Al-Akhyar! Amin. Al-Fatihah. –

Dr Dzulkefly Ahmad,Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Tok Guru bukan milik Kelantan dan PAS sahaja

Oleh SUBKY LATIF 

ORANG kata mati hari Jumaat baik. Sebagai orang dikenali baik oleh semua, maka Tok Guru Nik Abdul Aziz, Mursyidul Am PAS yang kedua menemui ajalnya pukul 9.40 malam di kediaman serba sederhananya sejurus dibawa pulang dari hospital.
    
Pertama kali ulama besar itu diberitakan mati tujuh bulan dulu semasa saya bermukim di Birmingham, England. Dua hari kemudian saya terima telefon Hussam dari Kelantan menyampaikan salam Tok Guru. Beliau menyatakan tahniah atas rencana saya tentang politik TPM Muhyiddin Yassin.
    
Beliau tidak jadi mati masa itu. Dalam keadaan semi nazak pun Tok Guru sempat membaca akhbar dan menghantar mesej pula tentang apa yang dibaca. Luar biasa otaknya, tua dan uzur yang bukan kepalang masih sempat dan sanggup berpolitik.
   
Tok Guru adalah legenda ulama Kelantan selepas Tok Janggut dan Tok Kenali. Jika Kelantan itu dikira negeri Cik Siti Wan Kembang, dan negeri Tok Kenali dan Tok Janggut, dalam era merdeka ini Kelantan adalah negeri Tok Guru Nik Aziz.
    
Beliau bukan milik Kelantan, Islam dan PAS saja, tetapi kuasa auranya merentas sempadan Malaysia, ulama terpenting Asia Tenggara buat zaman dan kurunnya. Mungkin namanya setanding dengan Syaikh Daud Patani dan Hamka. Lebihnya Tok Guru dari lain-lain ulama tersohor selepas keruntuhan penjajahan barat ialah beliau ketua kerajaan dan pemimpin politik yang dapat mencorak wilayahnya yang boleh dikira sebagai khalifah umat di abad ini.
    
Lebihnya Tok Guru dari lain-lain pemimpin politik dan pemimpin kerajaan ialah beliau adalah seorang ulama.
    
Jika dunia terpesona dan kagum dengan kepimpinan agung dan serba sederhana seperti Mahatma Gandhi dan Ho Chi Minh, maka Tok Guru Nik Aziz adalah versi pimpinan dari Islam yang setara agungnya dengan legenda yang lain itu.
    
Sejak berpuluh tahun beliau bercakap setiap hari bermula dari kuliah subuh, kuliah zohor dan maghrib. Memberi ucapan politik pagi, petang dan malam. Semua yang keluar antara dua bibirnya adalah ajaran, penuh dengan falsafah dan mantik. Dan kekuatan pandangannya adalah kata-kata mantik yang payah ditandingi.
   
Semua kata dan ucapannya dirakam dan sebahagiannya sudah diterbitkan, dan banyak lagi yang belum diterbitkan.
  
Kelebihannya dari tokoh-tokoh lain ialah beliau jarang mengulangi apa yang pernah diucapkannya. Ucapannya tidak sama antara satu tempat dengan tempat yang lain. Kebanyakan ucapannya disampai secara spontan seperti tanpa persediaan. Tetapi penuh isi dan sentiasa membawa perkara baru.
   
Tun Razak juga terkenal sebagai pemimpin yang jarang mengulangi ucapannya, tetapi Tun Razak becakap di tempat rasmi dan banyak yang disediakan. Tok Guru bercakap setiap kali selepas mengimamkan solat, meliputi isu dunia dan akhirat, politik dan agama, syurga dan neraka, halal dan haram.
  
Jika semuanya dihimpun dan diterbitkan, mungkin satu memorial baginya menyaingi lain-lain memorial.
  
Saya mengenalinya sekitar 40 tahun dulu. Dari mula saya kenal, beliau seorang yang sakit. Tak pernah tidak demam. Ketika tamrin di Masjid Rusila, saya lihat beliau baring di baris belakang lain-lain pemimpin. Tetapi apabila diberi pembesar suara demamnya kebah seolah-oleh dia tidak pernah sakit.
  
Sekalipun uzur tetapi beliau ligat ke sana sini menunaikan tugas politik dan sosial. Orang kata ulama berjalan laju. Betul. Dia yang jarang sihat itu, saya tak terikut semasa berjalan di Mekah.
    
20 tahun dulu beliau diserang kayap ular yang telah melilit badannya. Penyakit yang sedimikian mudah menyebabkan ajal. Ajaib dia tidak mati atas penyakit itu walaupun dia memberitahu saya, bisanya selalu terasa.
   
Beliau menjadi Menteri Besar sebagai orang uzur, tetapi uzurnya tidak menghalangnya membuat tugas yang besar banyak, mengalahkan lain-lain oraang yang sihat. Itulah seorang lagi Tok Guruku dan Rakanku

Semoga Tok Guru tenang berkelana di alam abadi

Oleh SYAHIR SULAIMAN 

"WAHAI jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha lagi diredhaiNya. Maka masuklah dalam kalangan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Al- Fajr: 27-30)

1995 – Darjah 6

“Baik murid-murid, sila tulis karangan bertajuk, Tokoh Yang Saya Kagumi”, ujar guru kami.Hampir separuh rakanku memilih Perdana Menteri dengan Wawasan 2020, dan hampir separuh lagi menulis tentang ketokohan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.


Seperti biasa, hanya pemimpin yang dijadikan idola, bukan artis mahupun ahli sukan, kerana pada zaman itu, tiada lagi fenomena Akademi Fantasia dan K-Pop, apatah lagi tablet dan internet di tangan.

Seminggu kemudian, karangan kami dipulangkan oleh guru dengan markah dan pembetulan, namun aku mendapat satu teguran, “Jangan berpolitik di sekolah”.

1996 – Tingkatan 1

“Baik pelajar-pelajar, sila tulis karangan bertajuk, Tokoh Yang Saya Kagumi”, ujar guru kami.

Seperti biasa, hampir separuh memilih (Tun) Dr Mahathir dan sebahagian lagi tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala beberapa rakan yang kreatif menulis tentang datuk dan ayah masing-masing.

Seminggu kemudian, karangan kami dipulangkan oleh guru dengan markah dan pembetulan, namun aku mendapat teguran yang sama, “Jangan berpolitik di sekolah”. Malah, pada malamnya, aku dipanggil senior tingkatan tiga untuk menegur perkara yang sama, mujur tidak disentuh (baca: buli), hanya diberi amaran keras agar “Jangan berpolitik!”.

Pada hujung tahun, pada hari penyampaian rekod pelajar, guru kelas sempat menegur ibuku, “Dia ini bijak, tapi gemar berpolitik di sekolah”. Ibuku hanya tersenyum.

2013

Aku berkesempatan menziarahi tokoh yang sangat aku kagumi ini bersama beberapa sahabat.

Pada awal bicara beliau menyebut, “Ana tenang sekarang walaupun uzur”. Satu lafaz yang sangat dalam maknanya, terbit dari sanubari yang damai di hujung usia, sambil berkongsi tertib medikasi yang perlu dilalui badannya, selepas tidak lagi menjawat jawatan penting yang disandangnya selama 23 tahun.

Beliau memberi pesanan khusus untuk anak muda, “Kena kuat bertaqwa pada Allah, pada waktu terang atau sulit. Bagaimana? Kena ikut nabi. Allah hantar nabi sebagai tok wakil dia di bumi untuk sampaikan perintah pada kita”.
Beliau menyebut, Kelantan sudah melaksanakan tuntutan taqwa sejak dulu. “Antara perkara pertama yang ambo buat masa jadi MB, ambo panggil pegawai kewangan negeri, minta pindah akaun kerajaan ke bank Islam. Ambo buat ni tanpa mesyuarat sebab ini perkara nas, tak perlu mesyuarat, kena buat”.
Pesan beliau, “pemuda dengan kekuatan tenaga, kena perkuatkan taqwa, sama ada dengan menulis, ceramah, program, pandai-pandailah”.

Ketika ditanya bagaimana mahu istiqamah, beliau sebut, “Istiqamah ni 24 jam, tak boleh sekejap-sekejap. Pada peribadi kita, kena jaga solat, solat awal waktu, berjemaah. Biar orang tahu kita orang PAS, lebih baik dari orang Umno. Kedua hal peribadi, kena banyak senyum. Antum nanti jadi orang besar, jadi tok wakil, kena senyum sokmo walaupun letih”.

Ditanya apakah aktiviti harian selepas tidak lagi bergelar MB, beliau menjawab, “Ambo banyak kena rehat. Ambo suka baca buku. Nampak buku baru, semangat nak baca. Belum sempat habis, nampak buku baru pulak. Lepas tu, suka menulis. Apabila mari cetusan, kena cepat menulis. Kadang-kadang masa nak tidur, mari idea, kena tulis. Kita kena bawa sokmo, kertas dan pen”.

Tok guru turut berkongsi, dalam munajat dan doanya, antara doa yang paling kerap dibaca, “Doa ambo pada mak ayah ambo. Kedua, doa pada orang yang beri ambo makan minum”. Tok guru turut berpesan, “Banyak-banyak ingat Allah, masa senang dan susah. Kadangkala Allah sengaja uji kita supaya kita sebut ‘Allah’. Senang susah ni makjun hidup. Orang kaya pun ada senang susah. Pak Mat kampung pun ada senang susah. Lazimi zikir, sebutlah apapun, asal hati ingat Allah. Ambo berasa tenang sekarang”.

“Ambo setakat ni je la, nak rehat”, sambil mengusap dada, ungkap beliau mengakhiri pertemuan. Tatkala bersalaman selepas bergambar sambil berkenalan dengan kami yang pelbagai profesion, tok guru sebut, “Zaman ambo dulu, ada seorang sahaja lulusan universiti yang terlibat dengan PAS di sini. Kami panggil dia, ‘Deraman Intelek’. Sekarang ni ramai dah orang bijak masuk PAS”.

2015

Kini beliau telah pergi buat selamanya, meninggalkan ilmu sebagai warisan. Ia sebuah kematian yang menghidupkan, menjadi teladan setiap insan.

“Tok Guru, ilmumu mengajarku erti Islam, hidupmu mengajarku erti zuhud, tabahmu mengajarku erti sabar, lembut bicaramu mengajarku hikmah berdakwah.

Nasihatmu sentiasa bernada sederhana, tidak pernah kulihat dikau bersedih kerana dihina, kesedihanmu hanya kerana agamamu dihina, tahajud dan doa sebagai senjata.

Ya Allah, jadikan kami seteguh tok guru, jadikan kami sekuat tok guru, jadikan kami semulia tok guru, jadikan kami pewaris perjuangan tok guru.

Ya Allah, semoga tok guru sentiasa dirahmati, tenang berkelana di alam abadi, gembiralah amat hati kami, bertemu tok guru di sana nanti.”

Tokoh yang saya kagumi, Tuan Guru Nik Aziz.

Penulis ialah Exco Pemuda PAS Malaysia.

Pergi, tinggalkan seribu pedoman

Oleh Farush Khan Akbar Khan

JIKA nak ke KL, kena cari pemandu yang tahu jalan ke KL. Jika pemandu hanya tahu jalan setakat Gua Musang, kita tidak akan sampai KL. Demikian juga dengan pemimpin.

Kita kena cari pemimpin yang tahu jalan ke akhirat. Jika tahu hanya memimpin setakat dunia, bagaimana kita mahu teruskan jalan ke akhirat?

Itu sedutan satu daripada banyak peringatan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang disebarkan secara meluas sejak beliau menghembuskan nafas terakhir.

Saya tidak bercadang paparkan banyak lagi kata-kata nasihat daripada Mursyidul Am Pas itu, yang, antara lain, juga Menteri Besar Kelantan selama 23 tahun. Apa lagi biodata yang sudah banyak dipaparkan.

Cuma saya ingin berkongsi serba sedikit. Saya sendiri pernah menemuinya beberapa kali dan menulis hampir dua tahun lalu bahawa seperti lagu dan irama, Nik Abdul Aziz, Pas dan Kelantan tidak dapat dipisahkan.

Beliau timbul dan tenggelam bersama parti yang memperjuangkan Islam itu sejak 47 tahun lalu.

Maka, memang patut sangatlah ramai mengalirkan air mata mendapat berita sedih itu, membanjiri masjid untuk solat jenazah dan iringinya hingga ke pusara semalam.

“Islam bukan kepunyaan saya (sahaja). ALLAH beri pengetahuan bukan (hanya) kepada saya seorang,” katanya selepas melepaskan jawatan menteri besar pada 6 Mei, 2013.

Walau apa pun, yang ketara ialah Nik Abdul Aziz meletakkan piawaian yang sangat tinggi untuk diteladani ramai pemimpin dalam dunia politik dan pentadbiran tanah air.


Kini, lebih-lebih lagi setelah beliau tiada, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin-pemimpin yang masih ada, untuk tidak merendahkan piawaian yang diletakkan itu.

Tidak memadai dengan hanya sekadar menghargai dan mengucapkan terima kasih kepadanya.

Nik Abdul Aziz, seorang ulama berkelulusan Sarjana Perundangan Islam daripada Universiti al-Azhar di Mesir sebelum menceburi politik Pas 48 tahun lalu, sering kali dikaitkan dengan ciri-ciri seorang zuhud dalam perjalanan hidupnya.

Sejak menjadi menteri besar pada 20 Oktober 1990, beliau tidak tinggal di kediaman rasminya di JKR 10, Kampung Sirih, Kota Bharu, tetapi memilih untuk menetap di rumah kampungnya di belakang masjid, Pulau Melaka, dekat Kota Bharu.

Di masjid beliau mengimamkan solat, memberi kuliah dan melayan ramai orang yang datang.

Bahawa Nik Abdul Aziz, yang sentiasa dilihat dengan jubah dan serban itu, dikatakan memadam lampu ketika menunaikan solat di pejabat untuk mengelak daripada membelanjakan wang rakyat, sudah menjadi pengetahuan umum.

Untuk rekod, pada 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) menobatkan beliau sebagai menteri besar yang mempunyai rekod paling bersih di negara ini. Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha gigih beliau menentang segala gejala rasuah.

Setahun kemudian, beliau dibariskan di antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul “The 500 Most Influential Muslims” (500 orang Islam paling berpengaruh).

Nik Abdul Aziz, bagaimanapun, tidak terlepas daripada perselisihan pendapat, pergeseran dan kemelut politik. Beliau masih dikritik pihak lawan biasanya disebabkan luahan perasaannya melalui kata-kata pedas terhadap mereka yang beliau anggap sebagai musuh kepada kemajuan dan peraturan berkaitan Islam.

Dengan segala kesulitan dalam mentadbir negeri yang sentiasa diserang musuh politik di samping mengatasi masalah dalaman yang kadangkala menggugat keutuhan partinya, kemampuan Nik Abdul Aziz menghadapi cabaran dengan jayanya adalah sesuatu yang bukan mudah ditandingi.

Moga ALLAH mengumpulkan Allahyarham bersama mereka yang diredaiNya. Al-Fatihah.

Pemergian Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat

Oleh Lokman Mustafa

Al-Fatihah


Ketika bertemu Ahli Parlimen Raub Datuk Mohd Ariff Sabri sekitar bulan Mei tahun lalu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berbicara soal kematian. Katanya, selepas membaca beberapa ayat daripada Al-Quran:

“Kita perlu percaya kepada alam selepas kematian. Saya dilahirkan pada 1931, sebelum itu tiada Nik Aziz. Nik Aziz bukan dicipta ibu bapa atau mana-mana syarikat. Allah mencipta kita daripada tidak wujud kepada wujud. Kita perlu percaya kepada Allah. Islam bermaksud berserah kepada ketentuan Allah.”


“Saya mungkin mati malam ini, esok atau bila-bila sahaja. Tetapi ada hidup selepas mati. Seperti mana saya wujud, selepas tidak wujud; akan ada hidup selepas mati. Saya tidak wujud sebelum ini, kemudian  diwujudkan; saya akan mati, tetapi akan diwujudkan semula di alam selepas kematian.”

Ilmuwan Islam itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.45 malam, 12 Januari berikutan masalah prostat yang dialaminya sekian lama. Allahyarham berusia 84.

Lautan manusia dilaporkan mengunjungi jenazahnya hari ini dari jauh dan dekat bagi merakamkan penghormatan terakhir buat Allahyarham. Tentu ramai yang bakal memberikan kata-kata semangat buat ahli keluarganya.

Malah, mungkin ada yang akan berkata, “Jangan bersedih”, meminjam judul buku terkenal karangan Aaidh ibn Abdullah al-Qarni.

Di arena politik tanah air, Allahyarham Nik Aziz akan dikenang sebagai tunjang kekuatan PAS terutamanya dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini.

Sejak menerajui parti Islam itu melakar kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-8 pada 1990, ketokohan mursyidul am PAS itu memang sukar ditandingi.

Allahyarham mengharungi pelbagai macam cabaran di dalam mengekalkan pentadbiran PAS di negeri Kelantan. Kini Allahyarham meninggalkan segalanya di dunia ini bagi kembali kepada Pencipta.

Jasa Almarhum Nik Abdul Aziz di dalam menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia akan dikenang sentiasa.

Berehatlah Tok Guru.

Tanda kematian dimuliakan ALLAH SWT

SHAH ALAM - Terdapat pelbagai tanda kematian yang dimuliakan di sisi ALLAH.
Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, kehadiran ramai kenalan dan sahabat menunjukkan si mati mempunyai kemuliaan tinggi di sisi ALLAH.

"Orang yang datang menziarahi itu adalah rezeki daripada ALLAH SWT kerana mereka datang dengan membawa doa kepada si mati.
 "Kenikmatan yang diberikan ALLAH itu hanya diberikan kepada mereka yang terpilih. Bagi meraih kemuliaan di sisi ALLAH, seseorang perlu mendekatkan diri dengan Yang Maha Esa, sentiasa perlu mencari keredaan Ilahi dan sentiasa merendah diri sesama insan," katanya.

Beliau berkata, perkara (kemuliaan) itu boleh dilihat terhadap Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang yang warak.

"Allahyarham juga turut memberi sedekah dengan duit gajinya dari dulu hingga kini.

"Kredibiliti diri yang tinggi serta disenangi rakyat antara kelebihan seseorang itu boleh dianggap mendapat kemuliaan di sisi ALLAH," katanya.

Pendakwah Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kassim berkata, antara tanda kemuliaan seseorang ialah kematian pada hari Jumaat selain dihadiri ramai kenalan dan sahabat.

“Dalam hadis riwayat Tirmidzi ada mengatakan orang yang mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat, ALLAH akan selamatkannya daripada azab kubur.

“Maknanya, nak kata fadilat orang meninggal dunia pada hari Jumaat adalah orang terpilih. ALLAH muliakan sesiapa yang meninggal pada hari Jumaat, iaitu hari terbaik daripada hari lain. ALLAH nak tunjukkan dan berikan kelebihan pada orang-orang sebegini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, tidak ramai yang terpilih dan diberikan kelebihan untuk meninggal dunia pada hari Jumaat.

“Orang-orang terpilih ini biasanya mereka yang memiliki kewarakan yang tinggi, kuat ibadahnya dan terkenal dengan kebaikannya dengan manusia.

“Sebab itu kita kena baik dengan manusia dan ALLAH. Bila kita baik dengan manusia, ALLAH akan jadikan manusia baik dengan kita. Bila kita baik dengan ALLAH, ALLAH akan tolong kita di akhirat,” katanya.

Katanya, kehadiran ramai kenalan dan sahabat menunaikan solat jenazah juga antara tanda kemuliaan daripada ALLAH kepada si mati.

“Untuk solat jenazah, makmum disunatkan membentuk tiga saf untuk muliakan si mati. Tetapi jika jumlahnya lebih daripada tiga saf ia adalah kemuliaan yang ALLAH gambarkan terhadap si mati,” katanya.

Tuan Guru Nik Aziz di hati semua

Oleh Shamiel Fikri

Kisah cinta Stephen Hawkings dan Jane Wild dirakamkan indah sekali dalam "The Theory of Everything".Kyai Dahlan, dan Soekarno masing-masing diagungkan dalam "Sang Pencerah" dan "Soekarno".

Nelson Mandela, Martin Luther King, ada filem tentang mereka, pecah panggung semuanya.

Pemergian Tuan Guru Nik Aziz tiada filemnya. Kisahnya tidaklah seindah mana, rumahnya biasa, orangnya sederhana, namanya pernah diperbodohkan media.

Namun, inilah kisah pejuang sebenar. Seorang pemimpin yang disanjungi semua.

Pemergian TGNA adalah kehilangan yang besar. Saat hidupnya ada yang berbalah, bertikam lidah, saling berpecah sesama sendiri. Tapi saat perginya, semua menangis hiba. Semua duduk bersama, tidak peduli sudut dan pihak mana.

Dunia menyaksikan ramai tokoh agamawan yang hebat, telah membawa perubahan yang besar dalam arena politik global.

Mahatma Gandhi, seorang peguam Hindu terkenal yang berpegang pada falsafah Ahmisa (pasifisme), beliaulah juga pejuang kemerdekaan India. Sosok itu yang melancarkan perang saraf "Satyagarha" yang menentang kongkongan ekonomi British terhadap rakyat India.

Martin Luther King, seorang pejuang hak asasi dan keadilan sosial adalah seorang penganut Kristian yang baik. Beliau menyatakan dalam salah satu ucapan terkenalnya yang bertajuk "l've been to the mountaintop"; perjuangannya adalah untuk menjalankan kehendak Tuhan.

Seandainya pada era ini, ramai yang menentang pemimpin politik yang "bertuhan" dan kuat beragama, maka beberapa tokoh-tokoh ini masih mampu memberi harapan masyarakat bahawa pemimpin yang beragama itu masih boleh diharapkan. Salah seorangnya adalah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Beliau bukan sekadar pemimpin negeri Kelantan, bukan hanya Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia. Sumbangannya banyak sekali, bukan sekadar terkenal dalam usaha menyatukan Pakatan Rakyat pada tahun 2008.

Karismanya bukan hanya dikagumi di negara Malaysia sahaja khususnya. Malah, jasanya dikenali dan turut dirasai oleh Umat Islam di serata dunia amnya.

Saat "ulama-ulama" yang lain sibuk menuding jari dengan isu anjing dan yoga, tenggelam dengan hukum halal dan haram babi dalam coklat. TGNA fokus pada usaha menyatukan umat. Di hatinya risau memikirkan akan masa depan Islam dan Malaysia.

Pemimpin Muslim sedemikian, adalah pemimpin yang perlu dicemburui oleh pemimpin Islam yang lain hari ini.

Bukan sekadar kerana serban dan jubah yang menghiasi tubuh. Bukan jua sekadar kerana akhlak dan keindahan peribadi pemimpin agung ini yang perlu diteliti. Malah kecekapan mentadbir, ketelusan memimpin, ketegasan dan sifat berprinsip TGNA selama ini, itu adalah kualiti yang paling sukar dicari dalam mana-mana pemimpin dunia abad ini!

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, inilah dia pemimpin yang dirindui. Seluruh air mata rakyat menjadi bukti kehilangan yang besar ke atas Malaysia.

Hayat TGNA semasa hidupnya adalah contoh terbaik yang mencorakkan sikap "umara" (pemimpin) dan "ulama" (ilmuwan) yang patuh pada Tuhan dalam masa yang sama cekap dalam pemerintahan.
Meski tiada filemnya, tiada drama tentangnya, di hati rakyat, di situ terpahat nama dan ingatan mereka pada insan ini! Berehatlah, TGNA. Al-Fatihah.

Tuan Guru Nik Aziz buktikan Islam bukan retorik

Tanggal 12 Februari lalu kita digegarkan dengan gugurnya sebutir permata. Permata yang selama ini menyinari jalan penuh sukar ini.

Ketua Pembangkang yang kini menjalani hukuman penjara menyifatkan pemergian beliau sebagai kehilangan sebiji bintang yang menyinar, manakala Menteri Pertahanan pula mengakui pemergian tokoh ulama itu menyedarkan beliau bahawa personaliti manusia hanyalah bersifat sementara dan akhirnya manusia akan menemui Penciptanya.

Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 menyifatkan beliau sebagai tokoh yang berperanan penting dalam mempopularkan PAS di kalangan bukan Islam pada tempoh kritikal apabila bangsa dan agama dipolitikkan oleh kerajaan pemerintah untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Sesungguhnya pemergian Almarhum Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menemui Penciptanya meninggal kesedihan yang mendalam di hati para penyokong dan pendukung PAS. Kesedihan itu turut dirasakan segenap lapisan rakyat negara ini apabila ucapan takziah datang mencurah daripada kalangan pemimpin negara, badan bukan kerajaan, ahli akademik dan sebagainya.
Jarang berlaku dalam sejarah perjuangan PAS apabila pemergian tokohnya diberi liputan meluas media cetak dan elektronik.

Dan inilah keajaiban yang wujud pada sosok tubuh Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang selama lebih tiga dekad mengukir nama di arena politik tanah air.

Tidak terbayang di fikiran ramai apabila beliau dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan hampir 24 tahun lalu setelah PAS berjaya mentadbir semula Kelantan bersama Angkatan Perpaduan Ummah.
Ada suara-suara nakal yang meramalkan kerajaan negeri diterajui PAS hanya akan bertahan selama tiga bulan kerana dipimpin seorang guru pondok yang tiada kemahiran dan pengalaman mentadbir.
Bagaimanapun, andaian itu ternyata meleset apabila beliau berjaya mengekalkan pentadbiran PAS di Kelantan selama lima penggal berturut-turut.

Sepanjang pentadbirannya, Tuan Guru Nik Aziz membuktikan slogan “Membangun Bersama Islam” bukanlah satu retorik.

Langkah pertama dilaksanakan beliau adalah memindahkan akaun kerajaan negeri daripada bank konvensional kepada sistem perbankan Islam. Langkah yang mengejutkan ini membuka mata khalayak perbankan dan kewangan bahawa permintaan terhadap sistem kewangan dan perbankan yang bebas riba adalah satu kewajipan dan bukannya sekadar pilihan.

Beliau terus mara memperkenal Ar-Rahnu (pajak gadai Islam) bagi membebaskan rakyat negeri itu daripada cengkaman sistem gadaian konvensional yang menindas dan memastikan kakitangan kerajaan negeri bebas daripada sistem pinjaman berasaskan riba.

Keprihatinannya terhadap nasib rakyat mendorong kerajaan negeri pimpinannya melaksanakan pelbagai program kebajikan antaranya Takaful Kafaalah, rumah Du’afa untuk penduduk miskin tegar, skim bantuan beras percuma al-It’aam yang bukan sahaja berperanan membantu penduduk miskin malah melonjakkan pasaran beras tempatan. Jasanya dalam memartabatkan wanita dalam pentadbiran dan politik negara tidak boleh dipertikaikan.

Pelbagai insentif diberikan kepada kakitangan wanita seperti cuti bersalin yang panjang, melarang wanita bekerja pada shift malam dan menyediakan persekitaran yang kondusif untuk wanita di tempat kerja mahupun di tempat awam-Editorial Harakah

Ustaz Google, Ustazah Yahoo

Oleh

PERKEMBANGAN dunia teknologi maklumat hari ini begitu hebat sekali. Kadang-kadang ada yang tidak terjangkau oleh akal kita sebelum ini, sekarang ia bukan lagi suatu yang mustahil.

Melalui teknologi maklumat, yang jauh dapat didekatkan, yang sukar dipermudahkan dan bumi yang luas seolah-olah menjadi satu kampung yang kecil.

Begitulah mungkin tamsilannya. Kecanggihan teknologi maklumat ini memberi banyak kebaikan dan kemudahan kepada manusia.

Untuk mendapatkan sebarang maklumat, ia tidak lagi sesukar dahulu.


Hanya satu klik

Hari ini seseorang boleh dilihat sebagai pakar ekonomi yang mengulas isu kenaikan harga barang; seorang doktor yang bercakap isu kesihatan; seorang juruterbang yang memberi komen isu pesawat terhempas; ahli mateorologi yang menerangkan keadaan cuaca; dan apa sahaja bidang yang mahu disentuh; semua itu hanya dengan satu klik di internet.

Ini termasuk juga dalam bidang berkaitan agama. Ia tidak dapat lari dari diulas sesiapa sahaja yang mahu mengulas dan membahaskannya.

Satu klik di enjin carian internet, mampu menjadikan seseorang itu kelihatan sebagai seorang ustaz dan ustazah yang berkelulusan dari Timur Tengah.


Ilmu berkembang

Dari satu sudut, realiti ini adalah positif. Ruang pencapaian maklumat menjadi mudah. Perkembangan ilmu bertambah pesat dan tidak tersekat.

Satu bahan bacaan, artikel atau jurnal terbitan di Universiti Oxford contohnya, boleh dibaca oleh seorang pelajar yang tinggal di Kampung Teluk Wang tanpa perlu pergi ke sana. Satu ceramah agama yang berlangsung di Universiti Ummul Qura, Makkah boleh disaksikan dari Kampung Bukit Kura tanpa perlu pergi ke Makkah. Semuanya adalah manfaat daripada internet.

Dengan kecanggihan dunia teknologi maklumat sekarang, ilmu semakin berkembang dan merentasi kepungan yang ada sebelum ini. Perkembangan ilmu akan mencetuskan perkembangan minda dan kematangan seseorang.

Jika sebelum ini, ilmu agama yang kita belajar mungkin terbatas kepada satu pandangan mazhab sahaja dan hanya berdasarkan kepada beberapa buku. Sehinggakan sebahagian orang begitu mudah menuduh seseorang yang membawa pandangan lain yang tidak diketahuinya bahawa itu adalah Wahabi, sesat dan sebagainya.

Sedangkan pandangan tersebut ada dalam al-Quran dan hadis sahih serta disebut imam mazhab lain dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Namun, disebabkan keterbatasan maklumat, dia menjadi musuh kepada kejahilan diri sendiri.

Tetapi, hari ini keadaan semakin berubah. Seseorang itu berupaya untuk membaca dan mengetahui ilmu agama dari sudut yang pelbagai. Dari banyak aliran mazhab. Dari ramai guru dan tokoh pendakwah. Dari banyak sumber bacaan. Semua ini adalah manfaat daripada internet.

Kesannya, tembok kejumudan dan ketaksuban yang sebelum ini menyekat dan menumpulkan minda seseorang dapat dirobohkan. Nilai ilmiah diangkat lebih tinggi apabila membahaskan sesuatu isu agama berbanding emosi. Islam dapat difahami secara lebih meluas, rasional dan praktikal berpaksikan kepada prinsipnya yang jelas dan tetap.


Disiplin ilmu agama

Namun, bukankah apabila ruang pencapaian maklumat di internet begitu luas dan senang, ia juga boleh mengundang keburukan?

Benar! Ia boleh mengundang keburukan dalam apa jua bidang. Lebih merisaukan jika keburukan itu terpalit kepada bidang agama. Tersilap mengulas tentang isu ekonomi tidaklah seberat tersilap dalam mengulas isu agama.

Agama Islam bukan berasaskan teori rekaan atau pandangan manusia. Ia adalah agama wahyu. Wahyu berteraskan dalil. Dalil yang utama adalah al-Quran dan sunnah. Al-Quran dan sunnah bukan boleh difahami sewenang-wenangnya. Ia mempunyai prinsip dan metod yang tersendiri.

Justeru, bertitik tolak dari sinilah Islam terlebih dahulu menitikberatkan metod dalam mempelajari ilmu agama atau dalam istilah bahasa Arab disebut manhaj al-talaqqi. Metod yang betul akan membuahkan natijah yang betul. Jika dari awal metodnya  salah, maka natijahnya juga akan salah.

Ruang yang terhad ini tidak mengizinkan saya untuk berkongsi apakah manhaj al-talaqqi yang digariskan oleh Islam. Namun, sebagai gambaran ringkas, ia berkisar kepada beberapa prinsip berikut:

Prinsip utama mempelajari ilmu agama ialah mesti bersumberkan kepada al-Quran, sunnah Rasulullah SAW, ijma salaf al-soleh dan qiyas. Walaupun ulama berbeza pandangan dalam menjadikan qiyas sebagai sumber hukum, namun majoriti (jumhur) mereka bersetuju dengan syarat-syarat tertentu.

Al-Quran, sunnah, ijmak dan qiyas inilah menjadi teras dalam agama Islam. Al-Quran dan sunnah menjadi sumber utama.

Justeru, cara berinteraksi dengan kedua-dua sumber ini perlu betul supaya kita mendapat pemahaman yang betul. Antara asasnya yang penting ialah:

Pertama: Mengutamakan nas syarak daripada al-Quran dan sunnah
Bagi memahami al-Quran, ia perlu dirujuk kepada tafsirannya. Bagi memahami hadis, ia perlu dirujuk kepada huraiannya yang diiktiraf.

Jika hanya dirujuk kepada Syekh Google, ia akan memaparkan tafsiran dan huraian daripada pelbagai sudut. Ada yang betul dan ada yang ternyata salah. Jadi, mengetahui sedikit asas disiplin dalam ilmu tafsir dan ilmu mustalah hadis adalah kuncinya.

Kedua: Berpegang kepada sunnah sahih. Ini adalah metod penting. Mesti mengetahui terlebih dahulu status hadis yang kita ingin jadikannya sebagai hujah. Perbahasan tentang ilmu hadis ini sangat luas dan ia terikat dengan disiplin yang sangat ketat.

Tidak mempunyai asas dalam ilmu hadis ini boleh menyebabkan seseorang itu tersalah faham bahkan menyebarkan pula sesuatu yang salah.

Sebahagian mereka yang bergelar ustaz, memakai jubah, melilit serban, ada slot di TV, dijemput di radio, pun masih membaca, menyebar dan berhujah dengan hadis-hadis palsu.

Jika tersalah sekali, mungkin kita faham bahawa ustaz juga ada kelemahannya. Tetapi jika melakukan perkara yang sama berulang kali, ini sudah karut!

Seseorang bergelar ustaz yang berhujah dan menyebarkan hadis palsu kemudian memberi alasan “saya tak pasti”, “saya tak dan nak semak”, “saya rasa pernah terbaca dulu dalam buku kawan saya” dan sebagainya, adakah ini alasan yang munasabah diberikan oleh seorang ustaz?

Sepatutnya, sebelum memberi berceramah, mengajar, atau bersiaran tidak kira berapa puluh minit sekali pun, seorang ustaz mesti membuat persiapan terlebih dahulu. Memastikan dalil dan hujah yang ingin disampaikan adalah betul.
 Justeru, metod yang betul akan membuahkan natijah yang betul.

Ketiga: Memahami nas dengan betul

Bukan sahaja berpegang dengan nas dan dalil yang sahih, tetapi cara memahaminya juga mestilah betul. Ada orang yang berhujah dengan ayat al-Quran dan hadis yang sahih, tetapi cara pemahamannya salah, maka kesimpulannya juga akan salah.

Ringkasnya, bagi mendapat kefahaman yang betul terhadap sesuatu dalil dan nas, perkara-perkara berikut perlu diberikan perhatian:

Merujuk kepada cara pemahaman sahabat Rasulullah SAW terhadap sesuatu ayat al-Quran dan hadis Baginda SAW.

Memahami asas dalam bahasa Arab

Menghimpunkan semua dalil yang menyebut tentang perkara yang sama dalam satu bab bagi mendapat gambaran menyeluruh tentang isu tersebut.

Memahami objektif sebenar (maqasid) ayat al-Quran atau hadis tersebut .


Semangat berdakwah

Semangat dan keinginan untuk berdakwah adalah sikap terpuji. Bahkan ia satu kewajipan berdasarkan kemampuan masing-masing. Tidak hanya ditanggung oleh mereka yang bergelar ustaz atau ustazah sahaja. Bahkan, kecanggihan teknologi maklumat hari ini semakin memudahkan kita untuk berdakwah.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam muqadimah Thaqafat al-Daiyah menyebut pendakwah yang ingin terjun ke medan perjuangan bagi menentang kejahilan, hawa nafsu, penyelewengan  dan kejahatan, perlulah mempersiapkan diri dengan beberapa kelengkapan senjata: Pertama: Senjata iman. Kedua: Senjata akhlak.

Ketiga: Senjata ilmu pengetahuan.

Kita sedang membincangkan senjata yang ketiga. Ilmu pengetahuan. Sebelum berkongsi sesuatu maklumat dengan orang lain, pastikan terlebih dahulu maklumat tersebut adalah sahih. Niat berdakwah itu baik dan betul. Namun niat yang betul sahaja tidak cukup melainkan kita pastikan juga bahan dakwah kita juga adalah baik dan betul.

Jika kita tidak ada kemampuan untuk membaca dan memahami kitab-kitab tafsir dan hadis secara langsung, maka antara jalan selamat ialah kita belajar agama ini dari mereka yang mementingkan metod dan disiplin yang betul dalam memahaminya. Jika metod kita betul, jadi “ustaz google dan ustazah yahoo” mungkin lebih baik daripada ustaz yang menjadi penglipur lara, bercerita dan berlawak jenaka sahaja.

Mengapa lelaki dianggap gelojoh?

Oleh

SUATU malam, selepas solat Maghrib, isteri kata kepada saya: "Abang, saya sedia nak bantu abang bina keluarga baru!"

Mendengar itu, saya terus terkedu. Dalam keadaan masih bertelekung, saya tidak terfikir yang bukan-bukan untuk isteri tiba-tiba berkata begitu.

Apa yang saya fikir ialah dia mungkin telah mencapai tahap kekhusyukan solat yang di kemuncak  sebentar tadi, hingga mungkin sudah ternampak payung emas seperti yang selalu disebut-sebut orang (saya kata disebut orang kerana saya difahamkan tidak ada  dalil yang menyebut hal itu di akhirat).
 
Suami mana tidak terkejut jika isteri tiba-tiba tawar diri untuk bantu bina keluarga baharu. Ia umpama seorang wanita yang sudah umur 70 tahun tiba-tiba diberitahu oleh doktor dia mengandung ketika datang ke klinik hanya untuk minta ubat cirit-birit. Terkejut dan tidak tahu hendak berkata apa-apa.
 
Rasa saya, seorang lelaki yang terlantar sakit berbulan-bulan pun boleh bingkas bangun jika terdengar isterinya berkata seperti apa yang dikata oleh isteri saya.
 
Setelah beberapa lama memandang isteri saya atas bawah selepas dia berkata begitu, akhirnya saya dapat kekuatan untuk membalas: "Apa awak cakap macam tu?

Abang tak pernah pun ada niat nak bina keluarga baru. Keluarga abang ini lah saja. Abang sayang awak, sayang anak-anak..."
  
Kemas, jelas, tegas dan tuntas  kata-kata saya.
 
Isteri terus tergelak. Kemudian mencubit manja lengan saya. "Abang ni... ke situ pulak dia. Bukan keluarga yang itulah. Ni, keluarga bisnes kita ni. Abang buatlah network baru, buat dengan sungguh-sungguh, nanti saya bantu abang bina grup abang. Itulah 'keluarga baru' abang."
   
"Ooohh, barulah abang faham." Malunya dalam hati hanya Tuhan yang tahu.
 
Alkisahnya, isteri saya sejak dua bulan lalu sertai satu bisnes berangkai. Memang sekarang dia sedang ghairah dengan bisnes itu. Tidak kira siang malam, pagi petang dia akan bercakap pasal itu, Apa lagi setelah masuk bulan kedua sahaja dia sudah dapat pulangan empat angka.

Kerana itu, dia taja saya untuk sertai kumpulannya. Kiranya dia memang sedang ghairah hendak bina lebih banyak 'keluarga baharu'. Yang saya pula tersilap faham keluarga baharu itu sebagai kesediaan bermadu.
 
Ok, apa yang saya nak ceritakan di sini bukanlah mengenai bisnes itu. Apa yang membuat saya terdiam seketika, dan ambil masa yang agak lama untuk menjawab apabila isteri tawar diri untuk bantu saya bina 'keluarga baharu' sebenarnya ada sebab.
 
Saya sudah ada pengalaman dan tidak mahu pisang berbuah dua kali. Sebab itulah apabila menyentuh hal yang itu, mahu tidak mahu, kena berhati-hati.
 
Dalam apa juga keadaan, orang lelaki biasanya akan dianggap bersikap gelojoh.
   
Apabila saya kongsi cerita itu dengan kawan-kawan, mereka terutamanya wanita kata saya gelojoh.  Puncanya hanya kerana saya tersalah faham akan maksud tawaran isteri untuk bantu saya bina keluarga baharu itu.

Tuduhan mereka menyebabkan saya terpaksa bertanya pula, apakah respons saya yang negatif, yang bermaksud menolak meskipun jika benar isteri tawarkan saya ruang untuk bermadu, masih menunjukkan saya seorang yang gelojoh?
  
Soal salah faham, nak buat macam mana kerana memang saya tersalah faham!
   
Itulah apabila berkaitan dengan hal-hal poligami, lelaki tetap akan dipersalahkan walaupun kita berkata 'tidak', 'tidak mahu', 'tidak pernah terlintas dalam hati walau sekelumit'.

Untuk membuktikan pendirian anda yang kemas, jelas, tegas, tuntas dan muktamad seperti saya, anda malah boleh buat pengakuan seperti ini: "Poligami? Apa tu?

Saya tak pernah dengar perkataan tu... boleh terangkan kepada saya apa maksudnya? Sepanjang umur saya, saya tak pernah tahu pun apa itu poligami."
   
Tetapi percayalah, apa juga sikap atau respons anda, anda tetap akan dipersalahkan juga jika anda lelaki yang membicarakan mengenai poligami.
 
Semalam, seorang kawan berkongsi cerita, ketika heboh Ashraff Muslim berpoligami, dia teruk disoal siasat oleh isterinya. "Orang lain bermadu, aku pula yang kena," rungutnya ketika kami 'mengeteh' petang semalam.

Dalam hal poligami, lelaki walaupun berkata tidak, tetap akan dicurigai. Lebih-lebih lagi apabila ada yang sebelum itu bersungguh-sungguh menafikan, tahu-tahu pecah cerita sudah pasang dua atau tiga.
 
Akhirnya, apa yang paling baik ialah diam walaupun diam itu lazimnya dikaitkan dengan tanda setuju.

Lebih RM21 Juta, Nilai Tali Gantung Saddam Hussein

LONDON: Ia hanya seutas tali, tetapi tetap menjadi rebutan walaupun nilainya mencecah puluhan juta.Nyata ia bukan sebarangan tali kerana pernah digunakan untuk mengantung bekas Presiden Iraq, Saddam Hussein.

Pada harga 4.6 juta pound (RM21.64 juta), pembida kini berebut-rebut untuk memastikan artifak bersejarah itu menjadi milik mereka.

Mail Online melaporkan tali tersebut ketika ini dimiliki oleh bekas penasihat Pasukan Keselamatan Iraq, Dr. Mowaffak al-Rubaie, dan mula menjadi perhatian selepas laman web Al-Araby Al-Jadeed memuat naik gambar Mowaffak bersama tali gantung itu di Internet.


Dr Mowaffak menunjukkan tali gantung Saddam Hussein yang kini diletakkan pada patung gangsa bekas pemimpin Iraq itu.

“Beberapa pembida berminat untuk mendapatkan bahan bersejarah itu, antaranya dua usahawan dari Kuwait, keluarga hartawan dari Israel dan kumpulan agama yang berpusat di Iran.

“Bidaan tertinggi yang diterima ketika ini adalah 4.6 juta pound (RM21.64 juta),” jelas web Al-Araby Al-Jadeed.

Bidaan tersebut mendapatkan kritikan daripada seorang anggota kumpulan hak asasi manusia, Ahmeed Saheed yang memberitahu laman web Al-Araby Al-Jadeed, wang hasil bidaan itu perlu diserahkan kepada Jabatan Perbendaharan Iraq dan bukannya menjadi hak milik peribadi.

Saddam dijatuhi hukuman gantung pada 30 Disember 2006 selepas Tribunal Khas Iraq mendapati beliau bersalah melakukan jenayah kemanusiaan.

Banjir di mata basah di hati

Oleh WAN ABD RAHIM WAN MOHAMAD 


SELEPAS banjir besar melanda yang dianggap juga oleh sesetengah orang sebagai bencana, atuk hanya diam.

Atuk hanya menyendiri termenung di jendela melontar pandang melihat sekeliling. Atuk tidak banyak bercakap, hanya sesekali mulutnya kumatkamit membaca sesuatu.

Mungkin melafas wirid atau zikir barangkali.

Petang itu, atuk berdiri di jendela terbuka melihat pohon-pohon yang bergoyang disapu angin.

Melihat awan d berarak perlahan. Atuk melihat sampah sarap yang berserakan ada yang tergantung terlekat di pokok dan dahan.

Rumah atuk pun masih ada sisa-sisa lumpur yang belum hilang. Rumah atuk agak tinggi, berada pun di tempat yang agak tinggi yang belum pernah dinaiki air walau seinci. Tapi banjir kali ini
benar-benar memecah tradisi, namun atuk tidak anggapnya sebagai bencana tetapi ianya sebagai rezeki yang cukup bererti.

“Ingat cu, hujan itu adalah rahmat walau ia mendatangkan banjir.

Banjir itu dikatanya bencana yang meranapkan banyak kediaman dan harta benda. Tapi sebenarnya ia adalah rezeki yang tidak ternilai harganya.”

Atuk diam sejenak, kemudian mengambil sehelai kertas yang tertulis tangan kemudian ditatap dan dibacanya perlahan-lahan.

Banjir Di mata Basah Di hati

Dari Dabong ke Laloh
dari Laloh ke Manek Urai
singgah pula di kampung
karangan
kemudian ke kampung
pemberian
suatu pemandangan
yang amat
menyedihkan
sayu pilu dan airmata
tanpa diminta
tanpa diduga
tumpah jua…

Benarlah kata orang
ia bagaikan tsunami
setiap mata yang
memandangnya
menyentuh rasa
dugaan apakah yang
datang ini

Dari Temalir terus ke
Guchil
singgah pula di Bandar kuala krai
ah bandarnya sunyi sepi
bagai dilanda petaka
namun semua itu terselit
rahsia
kerana setiap yang
berlaku itu
adalah pemberian Tuhan
Ianya rencana yang
cukup indah

Dia memberikan yang terbaik untuk kita
bagaikan banjir di mata
namun basah di hati.

Atuk diam lagi. Dilontar pandangannya ke luar jendela. Melihat sampah sarap yang belum terkutip. Kemudian kembali menatap kertas di tangannya. Atuk termenung menoleh ke zaman silam, melihat zaman kegemilangan dahulunya sebagai seorang penyair.

Benarlah kata atuk,hujan itu rahmat banjir itu hikmah.Terlalu banyak rahsia yang tersembunyi di sebalik kejadian itu.

Selama hayatnya, atuk juga pernah berkata dunia ini bagaikan ranting.

Seperti burung-burung, singgah di ranting sebagai pengkalan sebelum meneruskan kehidupan.

Kita manusia pun begitu, dunia ini sebagai ranting tempat persingahan sebelum meneruskan lagi kembara menuju ke sebuah pengkalan yang lain.

Kita datang tidak meminta tapi pergi disuruh pula.Ajaibnya kehidupan ini. Kehidupan ini disediakan hanya untuk orang-orang yang mengerti. Setiap saat adalah perjuangan, setiap saat adalah kesabaran walau dalam bentuk apa sekali pun.

Alif masih ingat ketika bersama atuknya.Atuk juga pernah berkata, kita ini bagaikan sebuah alam,bukit dan gunung sebagai pasaknya demikian otak dan akal yang tersimpan di puncaknya iaitu kepala. Alur dan sungai yang mengalir airnya adalah saraf yang menghidup dan menyegarkan tubuh. Kata atuk, lihat saja bila kepala seseorang dibotakkan. Air yang dijirus meluncur laju ke seluruh tubuh tanpa sekatan.

Ah alangklah harmoninya kehidupan ini jika semuanya mengikut hukum dan ketentuan tanpa merobek dan merosak serta memindanya. Kini atuk sudah tiada tapi kata-kata atuk masih terngiangngiang ada kebenarannya.

“Ingat cu.. Pada suatu waktu nanti. Cucu akan dapat melihatnya. Semua akan dapat rasainya. Bila kepala dibotakkan air yang terjirus tidak akan tertahan lagi.”

Benarlah kata atuk,hidup ini disediakan untuk orang-orang yang mengerti.

“Ingat cu... Kesabaran itu adalah rezeki yang paling mahal.”

Umat Islam memiliki kekuatan alat perisikan di dunia

Oleh ABU AL-MA’ALI FAEQ AHMED 


SETIAP negara daripada negara negara di dunia, memiliki peralatan yang mampu mengumpul data dan maklumat, sama ada maklumat yang baik ataupun yang buruk, kesemua itu adalah bertujuan untuk kerja-kerja mempastikan keamanan negara.

Dan sesebuah negara sama ada dikira kuat ataupun lemah berdasarkan alat perisikan yang dimilikinya, peralatan yang lemah tidak mampu menghasilkan laporan yang baik, malah terdedah kepada kehancuran sesebuah negara.

Dan mungkin juga peralatan yang canggih bertujuan untuk melemahkan negara lain, seperti apa yang berlaku kepada peralatan perisikan Amerika yang dapat mengesan pelbagai maklumat tentang Iraq, Afghanistan, Kashmir, Bosnia dan lain-lain boleh disifatkan sebagai ancaman yang membahayakan ketika ini.

Tetapi bukanlah itu maksud penulis berhubung dengan peralatan perisikan canggih ataupun tidak canggih, apa yang dimaksudkan di sini ialah kepentingan sesebuah alat itu bagi menyingkap atau membongkar maklumat berhubung musuh Islam, khususnya puak Zionisme Yahudi.

Umum mengetahui bahawa maklumat perisikan membebankan belanjawan sesebuah negara dan kita dapati tidak ada satu alat perisikan yang mampu mendedahkan kegiatan jahat mereka (Yahudi) secara menyeluruh. Adapun segala peristiwa yang kita saksikan dengan mata dan telinga kita, berhubung operasi kejahatan mereka adalah satu petanda daripada Allah yang akan memenangkan dengan kemenangan yang hampir kepada pembela-pembela Islam.

Sebagai contoh, satu kejadian masa dulu peristiwa pengeboman hotel “Paradise” di bandar Mombasa pada 2002, Kenya yang dimiliki seorang warga Yahudi serta pelancaran peluru berpandu terhadap pesawat Yahudi, ini menandakan alat perisikan Zionis Yahudi dan sekutunya Amerika gagal mengesan dari siapa dan dari mana punca pelancaran peluru berpandu itu dilakukan.

Sehingga kini masih belum berjaya memastikan angkara siapa yang melakukan, tapi sebagai orang Islam, apa yang penting jika masih lagi terdapat hamba Allah di dunia Islam yang bangun di waktu malam untuk bersolat tahajjud menghadap Tuhan yang Maha Berkuasa mengharapkan dari-Nya membantu menggagalkan perancangan Yahudi, insya- Allah ia akan terkabul.

Sesungguhnya perancangan Yahudi dan sekutunya digagalkan oleh Allah yang Maha Berkuasa dalam setiap tindakannya yang dapat disaksikan menerusi media massa arus perdana sesebuah negara.
Tetapi persoalannya di sini berdasarkan iman kita, kenapa kita memiliki kekuatan alat perisikan untuk membongkar kerjakerja Yahudi di seluruh dunia? Di negara manakah boleh didapati alat tersebut selain yang kita miliki?

Berapakah anggaran peratusnya pula laporan yang tidak tepat? Sejauh manakah kebenaran alat itu?
Semua persoalan di atas dan mungkin yang lain-lain juga, amat perlu dilontarkan oleh insan yang bernama Islam, tidak kira di mana mereka berada, iaitu persoalan berdasarkan peristiwa menyayat hati dan sebagainya yang disaksikan oleh kedua matanya.

Kecanggihan peralatan perisikan ciptaan manusia tidak mampu menjangkau lebih dari yang sedia ada di tangannya, ini dapat dilihat kegagalan peralatan tersebut untuk mengesan detik-detik peristiwa 11 September 2001.

Apa yang penulis ingin beritahu sidang pembaca sekelian, alat perisikan yang penulis maksudkan itu sebenarnya terdapat di dalam setiap rumah orang Islam di seluruh dunia, ia merupakan alat yang paling tepat, berkesan dan memiliki kebenaran 100%.

Tahukah saudara apakah kekuatan alat perisikan yang mampu menyingkap, mengesan dan membongkar perancangan jahat Yahudi dan sekutunya, tidak lain itulah “al-Quran al-Karim” yang ada di setiap rumah pencinta Islam.

Kemampuan al-Quran bukan sahaja menghimpun berita berhubung Yahudi, malah menceritakan dengan terperinci telatah, gelagat dan watak mereka, kerana ia adalah berita yang diberitahu oleh Tuhan yang Mencipta bangsa Yahudi itu.

Mari kita bersama menyingkap apa yang diketengahkan oleh al- Quran berhubung dengan bangsa Yahudi, kita sedia maklum, bahawa al-Quran bukan sekadar menceritakan asal-usul sesuatu bangsa seperti Bani Israil.
Malah menceritakan juga kegiatan jahat mereka dengan segala pembohongan dan kerjakerja jijik yang tidak dilakukan oleh bangsa lain selain mereka seperti membunuh mereka yang bukan dari kalangan mereka dan banyak lagi dibongkar oleh al-Quran.

Inilah yang dapat kita saksikan hari ini telatah Zionis/Yahudi dan Amerika kononnya menyerang negara-negara yang menyanggah dasarnya atas dasar hak asasi manusia.

Mereka gunakan segala wasilah bagi memastikan negara-negara yang menentang mereka berada dalam tertekan dan akhirnya tunduk dan menyerah diri dan bersedia dihukum dengan hukuman yang tidak diguna pakai oleh undang-undang antarabangsa.

Al-Quran sebenarnya telah mendedahkan pengkhianatan dan pembelotan mereka terhadap Nabi-nabi yang diutus kepada mereka.

Mereka cuba mengikis sejarah kejahatan dan pembohongan mereka, agar tidak dapat dikesan dan diketahui secara umum oleh generasi umat Islam akan datang yang sebenarnya tidak dapat ditutup kerana paparan al-Quran adalah satu kebenaran.

Yahudi adalah satu bangsa yang selalu melakukan pelbagai pengkhianatan, sesungguhnya Allah SWT telah menyelamatkan mereka daripada kejahatan Fir’aun yang telah menyembelih anak-anak mereka dan mencabuli kehormatan isteri-isteri mereka, akan tetapi mereka membalas segala kebaikan yang Allah berikan pada mereka dengan penentangan dan kebiadaban.

Hal ini telah disebut oleh Allah menerusi ayat 47 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Hai Bani Israil, ingatlah akan nikmatku yang telah Aku anugerahkan kepada kamu dan ingatlah bahawasanya Aku telah melebihkan kamu atas segala umat.”
 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER