Headlines News :

Internet di Cuba untuk orang kaya


Ketika memegang telefon pintar dan tablet, mereka kelihatan seperti remaja biasa di seluruh dunia.
Bagaimanapun, golongan remaja di Cuba terpaksa melalui pelbagai rintangan untuk mendapatkan kemudahan internet. Kadang-kadang mereka terpaksa berada di kawasan yang dikuasai pihak komunis.

Di ibu kota Havana, kelompok golongan muda Cuba dilihat duduk secara berkumpulan berdekatan hotel-hotel, bangunan kedutaan dan pusat perniagaan dalam usaha untuk mendapatkan perkhidmatan internet.

“Sesetengah daripada mereka dapat mengakses internet selepas memperoleh kod laluan daripada rakan-rakan yang bekerja di sini. Namun, saya tidak tahu bagaimana individu yang berjaya memecahkan kata laluan dengan perisian khas,” kata seorang saksi yang tidak mahu namanya didedahkan.

Dikawal ketat

Di sebatang jalan kecil berhampiran sebuah hotel, beberapa orang anak muda kelihatan sedang menggunakan gajet masing-masing selepas memperoleh talian internet yang dikongsi dengan rakan sekelas lain di kawasan resepsi hotel.

Situasi itu cukup untuk menggambarkan bahawa isyarat jalur lebar internet sangat sukar untuk diperoleh dan didambakan remaja di Cuba. Kemudahan internet dikawal ketat dan hanya untuk kegunaan syarikat, universiti serta institusi.

Individu yang memiliki profesion seperti wartawan, artis dan doktor mempunyai kelebihan untuk melayari internet dengan talian tertentu.

Menurut Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), hanya 3.4 peratus daripada isi rumah di Cuba mempunyai kemudahan internet pada tahun 2013. Sejak bulan Jun tahun lalu, pihak berkuasa Cuba cuba memberikan kemudahan akses internet di kepulauan yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 11.3 juta orang itu dengan membuka kira-kira 100 pusat internet.

Namun, kadar AS$4.5 (RM15.70) untuk sejam adalah terlalu mahal untuk negara itu yang majoriti penduduknya berpendapatan purata sekitar AS$20 (RM70) sebulan itu. Sebelum ini, hanya hotel-hotel yang menawarkan perkhidmatan internet kepada orang ramai tetapi dengan kadar lebih tinggi iaitu AS$10 (RM34.90). Perkhidmatan itu hanya mampu digunakan oleh pengunjung dari luar negara.

Pembekal perkhidmatan telekomunikasi negara (ETECSA) tidak menawarkan perkhidmatan internet mudah alih kepada pelanggan, sementara rangkaian 3G hanya bagi pelawat dari luar negara yang menggunakan saluran perayauan selular dengan sambungan tidak konsisten.

ETECSA kini membenarkan pelanggan untuk mengakses e-mel mereka menggunakan telefon pintar tetapi menerusi domain @nauta.cu.

Syarikat itu juga membuka perkhidmatan untuk menghantar gambar dari telefon ke e-mel. Terdapat konsesi kecil di negara itu yang membenarkan pengunjung luar dengan telefon pintar berjenama menggunakan rangkaian internet.

“Cuba mahu kekal sebagai sebuah negara yang paling terbatas dalam kebebasan penggunaan internet,” kata pengarah projek untuk Kebebasan Internet, Sanja Tatic Kelly di NGO Freedom House, Amerika Syarikat (AS).

“Di sebalik penapisan dan sekatan teknikal sofistikated yang digunakan rejim penindas, pihak kerajaan Cuba mengehadkan jumlah pengguna bagi mendapatkan maklumat terutamanya melalui kekurangan teknologi dan kos terlalu tinggi,” katanya.

“Kerajaan Cuba juga mengehadkan jumlah pengguna daripada mendapatkan maklumat di internet dengan membiarkan teknologi itu pada paras mundur selain mengenakan kos yang terlalu tinggi,” katanya.

Ditapis

Pihak berkuasa Cuba menapis beberapa laman web seperti blog dan portal media yang menentang kepimpinan bekas Presiden, Fidel Castro, pornografi dan perisian Skype. Namun, Kelly memberitahu, jumlah laman web yang disekat amat sedikit berbanding negara-negara lain seperti China, Iran dan Arab Saudi.

Remaja yang celik teknologi menemui cara baharu untuk mengakses internet iaitu dengan memuat turut perisian yang boleh menyembunyikan Protokol Intenet (IP) bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Mereka yang tidak mahir dalam teknologi bergantung kepada paquete iaitu pemacu perisian yang penuh dengan filem cetak rompak, rancangan televisyen, muzik pop dan permainan yang dijual di pasaran gelap dengan harga beberapa dolar Amerika Syarikat (AS).

Pemerintah Cuba memberitahu, mereka perlu mengawal ketat penggunaan internet untuk melindungi pulau itu daripada serangan siber.

Timbalan Menteri Komunikasi, Wilfredo Gonzalez berkata, Havana menjadi mangsa serangan siber lebih 18 bulan dengan beribu-ribu alamat berdaftar di lebih 150 buah negara.

Namun, Kelly menegaskan, berdasarkan data daripada pakar-pakar keselamatan dalam talian Kaspersky Lab, Cuba berada di kedudukan 199 dalam senarai negara yang dilanda serangan balas siber. Negara nombor satu yang menjadi sasaran adalah Rusia. – AFP


Kelahiran Rasulullah memartabat ulama

TIDAK ada manusia di dunia ini yang mampu untuk mencari jalan bagi mengangkat kedudukan para ulama melainkan baginda Rasulullah s.a.w., justeru kelahiran baginda benar-benar memberi ruang dan peluang kepada golongan ulama untuk melangsungkan tugas, peranan dan tanggungjawab yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Ini kerana dalam sebuah hadis baginda ada menegaskan bahawa : “Akan datang suatu masa kepada orang ramai, di mana mereka menjauhkan diri daripada para ulama dan golongan fuqaha’ (ilmuan dalam ilmu fiqh), maka Allah SWT akan menimpakan ke atas mereka dengan tiga bala:

1. Allah akan mengangkat daripada diri mereka keberkatan dalam segenap usaha yang dilakukan.

2. Allah akan menghukum mereka dengan wujudnya pemerintah yang zalim.

 3. Mereka akan meninggalkan dunia ini tanpa membawa walau secebis iman dalam diri mereka.”

Hadis di atas dengan jelas menunjukkan bahawa para ulama mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT, malah dalam satu hadis yang lain, baginda menegaskan: “Para ulama itu adalah pewaris nabi-nabi.”

Al-Quran juga ada menegaskan, bahawa ulama adalah golongan yang paling takut di sisi Allah, mereka takut kerana bersebab:

1. Takut jika tidak menjalankan tanggungjawab menyedarkan masyarakat ke jalan kebenaran.

2. Takut jika Islam tidak tersebar secara meluas dalam kalangan umat manusia sejagat.

3. Takut jika masyarakat mencari selain Islam sebagai pegangan dan kepercayaan mereka.

4. Takut untuk dihumban dalam api neraka, justeru mereka sentiasa berwaspada.

5. Takut apabila tidak menyampaikan yang hak dan menyokong yang bathil.

6. Takut apabila tidak menyuruh yang baik (makruf) dan tidak mencegah yang mungkar.

7. Takut apabila ada dalam kalangan orang Islam yang mati dalam agama selain Islam.

Justeru, ulama diseru agar sentiasa peka dalam mengemaskinikan pengisian agar mudah diterima oleh semua golongan manusia, yang muda, tua, bukan Islam dan sebagainya, kerana Islam adalah hak milik bersama dan bukan khusus buat

Jenis-jenis SIM Kad

Memiliki ciri sebagai litar bersepadu yang diperakui selamat bagi menyimpan International Mobile Subccriber Identity (IMSI) serta bertindak sebagai storan penyimpanan mudah alih yang berkaitan dengan fungsi mengenal pasti dan memberi pengesahan identiti pelanggan. SIM ini telah digunakan di kesemua peranti mudah alih, termasuklah telefon mudah alih, tablet, komputer dan sebagainya.


Standard SIM kad 

Daripada segi teknikalnya, SIM ini tertanam dalam SIM kad yang boleh ditanggalkan serta ia semestinya boleh dipindahkan antara peranti mudah alih yang berbeza-beza. Secara umumnya, kad SIM yang pertama dengan gelaran 1FF (1st Form Factor) dibuat bersaiz sama seperti kad kredit dengan ukuran 85.60mm x 53.98 mm x 0.76 mm. Seterusnya, perkembangan kepada perubahan fizikal peranti mudah alih menyebabkan pelbagai pengeluar teknologi komunikasi menghasilkan inovasi kad SIM yang lebih kecil dan dikenali sebagai mini SIM kad.

Mini SIM kad 

Semestinya, segelintir daripada masyarakat kini sangat sinonim dengan SIM kad yang telah mengalami evolusi ini. Semestinya ia lebih kecil berbanding yang pertama, mini SIM kad ini atau 2FF (2nd Form Factor) masih memiliki ketebalan yang sama seperti SIM kad yang bersaiz penuh tetapi panjang dan lebarnya telah banyak dikurangkan sehingga mencapai saiz standard yang boleh diguna pakai di kesemua peranti mudah alih pada masa itu sehinggalah kini, 25 mm x 15 mm.



Mikro SIM kad 
 
Evolusi ini terus berkembang dengan 3FF (3rd Form Factor) yang juga digelar mikro SIM kad pula diperkenalkan bagi menyelaraskan dengan perkembangan pembuatan peranti yang semakin mengoptimumkan ciri fizikal yang nipis serta sangat fleksibel. Fizikalnya memiliki ketebalan yang sama, ia mengurangkan lagi panjang dan lebar sehingga berukuran 15mm x 12mm yang kini digunakan hampir di kesemua peranti terbaru yang muncul di pasaran seperti sesetengah model iPhone, Samsung Galaxy , Lumia, Lenovo dan banyak lagi.

Nano SIM kad 

iPhone 5, keluaran Apple Inc telah memberikan impak yang besar kepada ramai pihak dengan memilih untuk menggunakan nano SIM kad yang ketika pelancarannya, SIM kad jenis tersebut masih belum boleh didapati di pasaran terbuka. Nano SIM kad ini atau 4FF (4th Form Factor) memiliki ukuran 12.3 x 8.8mm (30% lebih kecil berbanding sebelumnya) dan telah mengurangkan format sebelumnya kepada luas sentuhan.Di Malaysia ketika itu, Maxis mengambil langkah bijak terlebih dahulu memperkenalkan nano SIM kad ini ke pasaran umum, sebelum diikuti oleh syarikat telekomunikasi lain.

Selain itu, ia juga mengekalkan pengaturan hubungan yang sedia ada serta satu rim kecil mengasing bahan ditinggalkan di sekitar luas sentuhan untuk mengelakkan litar pintas dengan soket. Ketebalannya juga telah dikurangkan sebanyak 0.7mm, 15% kurang daripada sebelumnya.

LELUHUR

Oleh HANIFF YUSOFF

‘‘KETIKA abang Awi kamu masih kecil dan remaja, abang Awi kamu disanjung-sanjung masyarakat
di Negeri Silam. Hidupnya begitu murah dengan rezeki. Setiap hari ada sahaja rezeki yang dihulurkan kepadanya. Ada yang memberinya makanan, ada juga yang memberinya pakaian. Setiap masyarakat desa mahu membelanya.” Cerita bonda sambil mengunyah pinang dan sirih.

“Seingat Rumi, abang Awi selalu senyum sahaja. Kalau Rumi marah-marah abang Awi ketika bermain dengannya, dia cepat-cepat pujuk Rumi. Dia tetap juga menguntum senyum. Wajahnya tenang.”

“Ya, Bonda rindu akan senyumannya.”

Bonda selalu bercerita tentang abang Awi kepada saya ketika duduk santai kala petang hari. Setiap kali jika berpeluang, Bonda akan bercerita tentang abang Awi, cuma beberapa fragmen kisah yang diceritakan tidak saya ingati. Maklumlah ketika itu saya masih kecil. Seingat saya hubungan kami seperti adik-beradik yang sangat rapat. Setiap kali bonda bercerita, setiap kali itulah telinga saya bersedia menadah segala kisah tentang abang Awi. Aneh, saya tidak pernah sesekali berasa jemu mendengar biarpun sesekali bonda mengisahkan kisah yang sama. Dan kini saya sudah meningkat remaja, kisah-kisah abang Awi masih mesra di telinga saya. Dan bonda masih selesa bercerita sambil mengunyah pinang dan sirih. Sayalah yang mengacipkan buah pinang sebelum diberikan kepada bonda. Seolah-olah, kunyahan sirih yang disapu sedikit kapur dan dimakan buah pinang itu memberi kuasa luar biasa untuk dia bercerita.

Kira-kira beberapa tahun ke belakang, saya sekeluarga dan beberapa lagi keluarga tinggal di Negeri Silam, sebuah wilayah Melayu yang permai. Kami membina teratak cinta dan menyemai benih-benih cita di sini. Sebuah penempatan Melayu yang persekitarannya begitu sinonim dengan sosiobudaya Melayu. Wajah abang Awi yang persis orang Arab itu masih jelas terbayang dalam minda saya walaupun hakikatnya jati abang Awi ialah Melayu. Hidupnya begitu murah dengan rezeki serta sentiasa di senangi oleh Negeri Silam. Kata bonda, penduduk di Negeri Silam mempunyai pertalian darah dengan abang Awi termasuk kami dan kerana itulah dia begitu akrab dengan masyarakat di situ.

Setelah saya dewasa, beberapa persoalan tentang abang Awi menghurungi kepala saya. Oh kalian tidak nampak persoalan yang menghurung kepala saya, hanya saya sahaja yang merasainya. Jangan pula sampai ada yang membayangkan kepala saya dipenuhi tanda soal seperti dalam cerita kartun di televisyen.

“Bonda, siapakah sebenarnya keluarga abang Awi? Bonda tidak pernah pula berceloteh tentang keluarganya.”

“Rumi, kitalah keluarganya.”
“Benarkah, bonda?”
“Benar. Kita ialah ahli keluarganya dan seluruh penduduk di Negeri Silam ialah ahli keluarganya juga.”
“Mengapa kita tidak membawa abang Awi tinggal bersama kita?”

Setelah diajukan soalan itu, Bonda memandang anak mata saya dan air mata jernih bonda mengalir diam. Saya tidak lagi mengaju tanya. Saya lihat bonda mengambil masa menarik nafas dalam-dalam dan menghembus perlahan. Lembut.

“Sewaktu seluruh penduduk Negeri Silam dikehendaki berpindah ke sini, satu senarai nama telah dikeluarkan dan nama abang Awi kamu tiada dalam senarai. Nama-nama yang disenaraikan wajib untuk berpindah ke Negeri Sekarang.”

“Abang Awi seorang sahaja ke, bonda?”

“Tidak, nama Tok Mat juga tiada dalam senarai nama tersebut. Berdasarkan cerita-cerita yang merayap dari Negeri Silam sehingga ke sini, Tok Matlah yang menjaga abang Awi kamu di sana.”

“Kenapa nama mereka tiada dalam senarai? Mengapa mereka tidak dibenarkan berpindah bersama kita? Muslihat apakah yang berselidung?” Soalan saya yang bertalu-talu dibalas dengan renung tajam bonda. Jeda.

“Ketika hendak berpindah ke Negeri Sekarang, satu akta baharu diwujudkan dan hanya sesiapa yang namanya tercatat dalam senarai sahaja yang dibenarkan berpindah ke Negeri Sekarang dan ketika itu kami tidak mempunyai pelajaran untuk menentang segala yang menghalang. Sayang seribu kali sayang.”

Saya mengangguk, mengerti setiap butir bicara bonda. Saya lihat matanya berkaca-kaca.
“Rumi, pergilah ke Negeri Silam dan bawalah abang Rumi kamu ke sini untuk terus mengecap nikmat hidup bersama-sama kita di Negara Sekarang sebelum masa terlalu jauh meninggalkan kita dengan segala penyesalan. Pelawa sekali Tok Mat untuk tinggal bersama-sama kita. Dia penyantun budaya yang perlu kita hormati. Hatinya tidak boleh dilukai lagi. Jasanya membela abang Awi kamu selama ini perlu kita hargai.”

Awan yang bersilih ganti berkepul di langit Negeri Sekarang menjadi saksi pelangi yang akhirnya menyeri di tempat kami. Bonda dan penduduk Negeri Sekarang bersepakat memperjuangkan agar akta baharu digubal semula agar abang Awi dan Tok Mat dibenarkan menetap di Negeri Sekarang.

Masa lalu adalah suatu kesilapan yang perlu diperbetulkan. Takut-takut generasi mendatang menyalahkan kita pada zaman sekarang yang tidak membela nenek moyang.

II

Perjalanan saya mencari abang Awi bermula dengan restu bonda dan restu itulah yang mengiringi setiap langkah saya. Akta baru di Negeri Sekarang juga mempelawa abang Awi dan Tok Mat segera dibawa pulang. Berdiri di pintu, bonda melambai harap nan bersayap seribu agar pencarian saya dipermudahkan, sekali gus dapat membawa abang Awi dan Tok Mat pulang untuk terus tinggal bersama-sama kami di Negeri Sekarang.

Matahari yang bangun sejak awal pagi turut tersenyum memberi pengharapan baru pada sebuah kehidupan yang bakal tercipta. Syukur, saya dikirimkan malaikat oleh Tuhan untuk menjaga saya sepanjang saya mengembara, selama beberapa jam dalam perjalanan menuju Negeri Silam yang pernah saya sekeluarga diami suatu ketika dahulu.

Syukur, Tuhan makbulkan doa suci bonda, akhirnya saya dapat menghirup udara di Negeri Silam semula. Kesunyian menyambut ketibaan saya di Negeri Silam. Angin yang menyusur lalu turut membisik-bisik keanehan di telinga saya. Mustahil Negeri Silam sudah tidak berpenghuni, tambahan pula persekitarannya tampak rapi dihiasi mekar bunga raya yang merah menyala. Mungkin abang Awi dan Tok Mat menghadiri rewang majlis kenduri di wilayah berdekatan. Saya cuba berprasangka baik. Lagipun, misi mencari abang Awi dan Tok Mat baru sahaja bermula dan tidak semudahnya saya mengaku kalah.

Saya mengorak langkah, menghirup kembali udara Negeri Silam yang pernah saya rasai suatu ketika dahulu. Saya melewati sungai yang pernah saya puja dingin airnya. Saya tersenyum sendiri apabila memandang sungai yang mengalir di bawah daripada atas titi papan yang masih kukuh. Saya seolah-olah melihat kembali kelibat saya dan abang Awi sedang riuh bermain air sungai itu. Oh, indah sungguh kehidupan di sini suatu ketika dahulu.

Ketika tersenyum seorang diri melihat gelagat saya dan abang Awi yang bergentayangan, saya disapa seseorang dan saya kembali kepada alam nyata, dunia sebenar yang tiada lagi abang Awi dan saya ketika kecil yang begitu asyik bermain air sungai.

“Cucu, kelihatannya kamu seperti orang luar yang bertandang ke sini.”

“Tok, sebenarnya asalnya dahulu saya dan keluarga orang sini.”

“Oh kamu pasti penduduk asal Negeri Silam yang telah berpindah ke Negeri Sekarang, bukan?”

“Ya, saya kembali ke sini mencari abang Awi dan Tok Mat.”

“Abang Awi kamu terlantar di hospital. Pergilah ke sana melawatnya. Keadaannya sangat tenat.”
“Tok, sememangnya memang tiada orang lain yang menginap di sini? Mustahil selepas kami semua diwajibkan berpindah ke Negeri Sekarang, hanya tinggal abang Awi dan Tok Mat sahaja di sini.”
“Benar, hanya tinggal Awi dan Tok Mat sahaja di sini dan merekalah yang menjaga damai Negeri Silam dari segala cela sejak dahulu.”

“Dan siapakah pula insan yang berbicara di hadapan saya ini yang begitu berseri-seri wajahnya?”
Orang tua berserban serta berjubah putih itu menjawab soalan saya dengan manis senyuman, lalu menundukkan kepalanya. Dia berpaling dan terus menyusup ke dalam hutan berhampiran. Hilang.

Anehnya orang tua itu. Sejak menjejakkan kaki ke sini harus saya akui bahawa keanehan melata-lata di sini. Tanpa terus memikirkan keanehan yang menghantui, saya menyusun langkah ke hospital mencari abang Awi. Hati saya mula berdegup kencang apabila mengetahui abang Awi sedang bertarung nyawa di hospital. Kebimbangan mula tumbuh melata di jiwa serta minda mengatasi rasa keanehan yang turut sirna tiba-tiba.

III

“Doktor, bagaimana keadaan abang saya?”

“Awak adik kandung kepada pesakit?”

“Ya, dia memang abang saya. Dahulu, kini dan selamanya.” Pada wajah doktor terpamer kepelikkannya terhadap jawapan saya. Sebenarnya sukar untuk saya rungkaikan salasilah kami, jadi saya kira itu jawapan yang terbaik.

“Keadaan dia terlalu tenat. Kita serahkan segalanya kepada Tuhan yang Maha Hebat. Dan kalau boleh, tolong sampaikan kepada keluarga terdekat sebelum penghujungnya tiba dan seluruh legasi bangsa tanpa sudah akan sesal meratap.”

Jawapan daripada doktor benar-benar membuatkan jantung saya hampir luruh. Saya mengalih pandang dari tajam mata doktor pada keadaan abang Awi yang terbaring kaku. Entah mengapa, ketika itu, terasa sangat sayu melihat matanya yang kuyu. Saya tahu, dalam diamnya dia masih berharap orang yang terdekatnya hadir meniup semangat. Terasa berdosa juga membiarkan abang Awi dan Tok Mat hidup di Negeri Silam dan sebelum ini kami tidak pernah kembali ke Negeri Silam untuk menjenguk mereka. Rasa bersalah itu teradun bersama rindu yang memberat di jiwa. Tanpa saya sedar, air mata saya menitis mengenai jari-jemari tuanya.

Sejak hari itu, saya menjaga abang Awi di hospital. Saya terkenangkan bagaimana sebelum ini ketika saya masih kecil abang Awi berperanan seperti abang kandung saya, menjaga saya dengan penuh kasih. Dan kini tibalah giliran saya membalasnya dan semoga hayatnya masih panjang, sesungguhnya saya, bonda dan seluruh penduduk Negeri Sekarang merindui senyuman dan segala-galanyanya tentangnya. Biarpun hanya ada saya serta abang Awi di dalam wad ini dan sesekali doktor dan jururawat menjenguk serta memeriksa keadaan kesihatannya, saya tidak berasa sunyi menemani abang Awi kerana kekadang, kisah-kisah yang bonda kisahkan pada saya turut bersama-sama menemani saya di ruang bilik ini.

Doktor yang merawat abang Awi juga saya golongkan sebagai perkara yang aneh sebaik-baik menjengah ke Negeri Silam. Sebaik-baik sahaja dia memeriksa keadaan abang Awi pada malam itu, dia ajak saya untuk minum kopi di kafeteria. Bukankah agak luar biasa perangainya. Jika ada sesuatu yang ingin dibincangkan, pasti doktor akan mengajak kita berbincang di biliknya sahaja.
“Kenapa doktor mengajak saya minum kopi pada waktu malam begini? Saya kira ia sungguh aneh.”

“Oh, saya juga manusia biasa. Saya bukannya makhluk asing yang berperwatakan aneh. Sesekali mahu juga saya mendekati pesakit dan keluarga pesakit." Doktor muda ini begitu ramah orangnya dan bicaranya diteruskan lagi.

“Sebenarnya kamu yang telah membawa keanehan ke sini.” Saya pula terkejut apabila disabitkan dengan perkataan ‘keanehan’.

“Saya tidak faham maksud tersirat yang cuba doktor sampaikan.”

“Masihkah kamu ingat pada hari pertama kamu ke sini? Ketika itu saya khabarkan abang kamu sudah berada dalam keadaan yang terlalu tenat. Dan ketika itu juga segala yang ada hanya doa kerana jasad abang kamu tidak memberi sebarang tindak balas positif terhadap ubat dan rawatan yang kami berikan. Namun, sejak kamu hadir, keanehan tiba-tiba bertebaran di wad abang kamu. Sebenarnya keadaan abang kamu semakin baik sejak kamu hadir dan saya rasa sehari dua lagi dia akan sedar dari lenanya yang panjang.”

Jelas kebahagiaan terpancar di wajahnya sebagai seorang doktor yang merawat. Saya kira bukan keanehan yang bertebaran tetapi tulus doa tanpa putus oleh mereka yang mendoakan kesejahteraan abang Awi didengari Tuhan.

Sebelum malam itu berakhir, saya berbisik-bisik di cuping telinga abang Awi dengan penuh rasa kasih.

“Selamat malam abang Awi. Semoga lekas sembuh kerana matahari esok masih belum berputus asa berharap untuk menyapamu pada setiap pagi.”

IV
Negeri Silam bukanlah sebuah negeri yang lucu hanya kerana didiami oleh dua orang manusia sahaja iaitu abang Awi dan Tok Mat, tetapi sebuah negeri permai yang tidak sunyi daripada suara-suara kebenaran tradisi. Negeri Silam diwakafkan kepada Sang Sejarah yang jujur dan setia pada masa. Sang Sejarah melempar senyum bahagia pada kami ketika langkah kami mula diatur. Sebelum melangkah pergi meninggalkan Negeri Silam abang Awi berjanji untuk membawa saya bertemu Tok Mat.

“Rumi, sebenarnya Tuhan lebih menyayangi Tok Mat. Yang masih bernyawa ialah semangatnya melesta-ri budaya.” Dan saya tertanya-tanya jika Tok Mat telah pergi terlebih dahulu dan sesungguhnya Negeri Silam hanya didiami abang Awi dan Tok Mat, siapakan gerangan orang tua yang menyapa saya di sungai sebelum ini?

Saya biarkan soalan aneh itu gugur bersama derap langkah yang kian menjauh meninggalkan pusara Tok Mat.

Saya dan abang Awi menoleh buat kali terakhir pusara Tok Mat sebelum meneruskan perjalanan ke Negeri Sekarang. Wangi kemboja dan surah al-fatihah yang suci menenteramkan suasana.

Terlalu mudah curi maklumat

Oleh Afiq Hanif 

Jika anda mengunjungi restoran atau kafe, perkara pertama yang dilakukan sebelum memesan makanan pastinya bertanyakan kata laluan sambungan WiFi untuk melayari Internet.

Namun, tahukah anda WiFi percuma ini mempunyai risiko keselamatan yang tinggi? Ia memberi ruang kepada penjenayah siber untuk mencuri maklumat peribadi anda melalui sambungan WiFi percuma ini.

Penasihat Keselamatan F-Secure Corporation Sdn Bhd (F-Secure), Goh Su Gim berkata, disebabkan kebergantungan tinggi terhadap teknologi, pengguna sebenarnya tidak sedar kemudahan WiFi percuma ini berupaya mendedahkan maklumat peribadi seseorang.

"Di Malaysia kemudahan WiFi percuma sudah menjadi satu keperluan.

"Pengguna telefon pintar, tablet dan laptop yang berhubung melalui pelbagai aplikasi sosial sudah pasti mencari WiFi percuma ini ke mana saja mereka pergi tidak kira di hotel, lapangan terbang, kedai kopi malah di hospital," katanya.

Namun Gim berkata, WiFi secara asas tidak dibangunkan bersama ciri keselamatan awam dan pemasangannya tidak memerlukan sebarang peraturan khas.

"Sesiapa sahaja boleh memasang titik akses WiFi di mana saja kerana ia tidak sukar untuk dilakukan.
"Selain itu, pengguna juga terlalu percaya kepada teknologi sehingga tidak menyedari bahaya sebenar," katanya.

Menurut Gim, kelemahan ini dieksploitasi sepenuhnya penjenayah dengan menawarkan hotspot WiFi untuk memperdaya dan mencuri data peribadi.

"WiFi palsu ini boleh digunakan untuk merancang serangan dipanggil 'orang tengah' yang mana gambar, teks dan video yang dihantar menerusi rangkaian ini boleh dipintas dan dicuri selagi ia tidak dienkripsi," katanya.

Katanya lagi, malah WiFi sebenar seperti di hotel boleh 'ditendang' keluar dengan menggunakan WiFi yang mempunyai isyarat lebih kuat serta tidak menggunakan kata laluan yang memperdaya sesiapa saja untuk masuk semula ke WiFi tanpa menyedari ia sebenarnya perangkap.

Baru-baru ini, F-Secure menjalankan kajian di bandar besar London bagi menunjukkan pengguna yang leka menggunakan WiFi awam tanpa menghiraukan keselamatan peribadi.

Dalam eksperimen ini, mereka menyediakan hotspot WiFi palsu yang mendedahkan trafik Internet, maklumat peribadi, kandungan e-mel malah bersetuju kepada klausa mengarut seperti melepaskan 'hak penjagaan anak sulung' pengguna untuk menggunakan WiFi percuma ini.

Dalam masa 30 minit, sebanyak 250 peranti disambungkan ke WiFi ini kebanyakannya secara automatik tanpa disedari pengguna dengan 33 individu secara aktif melayari Internet dan menghantar e-mel.

Pengkaji senario terbabit menemui teks e-mel yang dihantar menerusi format 'POP3' boleh dibaca dengan jelas seperti alamat penerima dan penghantar serta kata laluan penghantar bagi menekankan kepentingan penggunaan enkripsi.

Apa yang menakutkan, pengguna tidak membaca langsung terma dan syarat sebelum bersetuju menggunakan perkhidmatan WiFi percuma ini.

"Dalam eksperimen ini, F Secure meletakkan syarat seperti melepaskan hak penjagaan anak sulung mereka serta binatang peliharaan kesayangan untuk mendapat kebenaran menggunakan WiFi percuma," ulas Gim.

Kajian bebas ini disokong pihak berkuasa Europol serta Institut Penyelidikan Siber UK dan SySS, syarikat ujian penembusan dari Jerman.

Dalam kajian ini, SySS membina hotspot WiFi mudah alih daripada komponen yang berkos sekitar RM800 saja dan sedikit pengetahuan teknikal.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi dan Pemasaran Serantau F-Secure, Lydia Chic pula menjelaskan, pengguna boleh menjauhi penggunaan WiFi percuma atau melaksanakan langkah keselamatan ketika menggunakannya.

"Anda boleh menjadikan sambungan tidak kelihatan kepada individu lain dan data tidak boleh dibaca kerana ia dienkripsi.

"Jika ada yang cuba menceroboh, mereka tidak akan berjaya," katanya.

F-Secure sendiri mempunyai teknologi F-Secure Freedome yang berasaskan rangkaian peribadi maya (VPN) dan penyelesaian privasi 'online'.

Freedome mengenkripsi data yang mengelakkannya daripada dibaca meskipun anda bersambung ke WiFi awam yang tidak selamat.

Ia menghalang laman web dan aplikasi berbahaya serta mempertahankan privasi anda dan menjadikannya seakan 'tanpa nama'.

Cybersecurity Malaysia (CSM) yang bernaung di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pula menggariskan langkah penggunaan sambungan WiFi sama ada di rumah atau kawasan awam.

Penggunaan WiFi dirumah perlu langkah lebih berhati-hati apabila kebanyakan individu memilih untuk membiarkan sambungan rangkaian WiFi mereka terbuka, sekali gus mencipta hotspot yang membolehkan sesiapa saja berdekatan kawasan itu untuk membuat sambungan ke Internet.

Antara tip perlu difikirkan:

> Adakah hotspot anda menyalahi peraturan pembekal perkhidmatan Internet? Sesetengah pembekal Internet jalur lebar melarang pengguna berkongsi sambungan WiFi dengan orang yang tidak dikenali. Larangan ini biasanya terkandung dalam syarat perkhidmatan oleh pembekal Internet ketika anda mendaftar untuk menggunakan Internet.

> Adakah komputer dan rangkaian anda selamat? Pastikan kata laluan komputer anda sukar diteka dan dihafal. Ia penting terutama jika anda mempunyai rangkaian komputer di rumah.

Semestinya anda tidak mahu orang yang tidak dikenali menggunakan sambungan WiFi anda untuk mengakses komputer anda.

Adakah anda sudah menukar kata laluan stesen utama (base station)?

 Kebanyakan stesen utama WiFi menggunakan kata laluan yang mudah diteka seperti 'admin' atau 'default' membolehkan penggodam untuk mengambil alih aturan stesen utama anda. Pastikan anda menukar kata laluan stesen utama WiFi kepada yang sukar diteka, tetapi mudah diingati.

Tip menutup rangkaian WiFi awam

Jika anda mahu melindungi rangkaian WiFi daripada orang yang tidak dikenali, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil:

> Jangan siarkan Service Set Identifier (SSID) anda. Ia langkah yang paling mudah untuk mencegah seseorang daripada memasuki rangkaian WiFi anda. Bagaimanapun ia masih lagi belum selamat. Secara automatik, semua stesen utama WiFi menghebahkan kehadiran mereka menggunakan pengenalan yang dipanggil SSID kepada sesiapa yang berdekatan.

> Enkripsi kata laluan rangkaian tanpa wayar.

> Pastikan stesen utama hanya menerima alamat 'MAC' anda.

Tip menghantar maklumat sensitif melalui rangkaian WiFi

> Jangan hantar fail yang sensitif jika anda tahu rangkaian WiFi tidak selamat.

> Gunakan 'Virtual Private Network' (VPN) untuk memastikan keselamatan maklumat yang dihantar melalui WiFi.

> Gunakan rangkaian yang selamat.
-

Berfesyen sekadar ikut trend atau sunnah?

Oleh NORSHARI NASIR 


ISLAM agama relevan dengan setiap keadaan dan tempat, bukan sahaja ia sesuai pada zaman baginda Rasulullah s.a.w., akan tetapi sesuai sepanjang zaman hingga hari kiamat. Ini kerana ia adalah satu-satunya agama daripada Allah SWT yang lengkap, sejagat dan menepati naluri manusia, termasuklah dalam isu pemakaian khususnya kepada muslimat.

Islam menitik-beratkan persoalan menutup aurat ketika berpakaian adalah untuk memelihara kehormatan wanita daripada sebarang pencerobohan ke atas diri mereka. Namun etika berpakaian dalam Islam mempunyai garis panduan dengan tidak berlebihan dalam hingga dianggap sebagai fesyen.

Walaupun Islam tidak menghalang berfesyen, ia mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Di Malaysia masa kini nyata ramai yang berfesyen bertujuan untuk menonjol pada khalayak ramai berbanding dalam mengekalkan imej bersopan mengikut sunnah yang digariskan dalam Islam terutama golongan wanita. Bahkan dilihat mereka telah semakin jinak dengan perkembangan hidup masyarakat “luar” yang jelas tidak mementingkan agama sebagai nilai kehidupan.

Masyarakat luar yang dimaksudkan adalah masyarakat Barat yang kini seakan-akan telah mengubah pemikiran dan cara hidup masyarakat Islam khususnya di Malaysia pada ketika ini secara keseluruhannya.

Tidak salah bagi setiap wanita untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa selagi panduan syarak diutamakan dalam semua keadaan dan mampu mengawal diri supaya tidak melanggar batasan yang digariskan dalam Islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.

Aurat itu adalah perkara yang perlu dijaga dan ditutupi oleh semua anggota masyarakat Islam dulu kini dan selamanya.

Paling ketara kita dapat lihat dalam pemakaian tudung mula bertukar menjadi fesyen selari dengan peredaran masa dan dunia yang semakin moden.

Tetapi ada juga sebahagian wanita yang mengutuk golongan bertudung ini dengan mengatakan bahawa mereka pakai tudung tetapi akhlak mereka tidak baik. Pada hari ini juga dapat kita perhatikan ramai wanita mulai sedar akan kewajipan mengenakan tudung (menutup aurat sepenuhnya).

Walau bagaimanapun, sayangnya kebanyakan daripada mereka masih belum mengenakan tudung yang benarbenar sesuai dengan kehendak syariat dan hanya lebih selesa mengikut trend masa kini.

Dalam keghairahan bertudung mengikut pembangunan fesyen semasa, mereka masih alpa mengenai aurat sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan umat Islam. Kini, pelbagai fesyen tudung dipakai mengikut proses transformasi dan permodenan semasa. Namun, pemakaiannya masih dianggap tidak sempurna jika masih menampakkan bahagian leher dan dada.

Menutup aurat bukan sekadar jika kepala sudah kemas diliputi tudung sudah dikira menutup aurat tetapi wajib menutup seluruh badannya kecuali pada bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan. Padahal telah jelas dalil menyebutkan: “Dan hendaklah mereka menutupkan tudung ke dada mereka…” (QS. An Nur : 31)

Dalam isu pemakaian tudung, ia bukan sekadar berfesyen atau budaya untuk dijadikan ikutan semata-mata tetapi demi menjaga maruah mereka sebagai wanita Islam. Jika wanita itu berpakaian dengan sempurna pasti dapat mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan mungkar.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka.

Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya.” (Riwayat Muslim) Namun, apa yang ditonjolkan oleh golongan wanita pada hari ini masih tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan syariat Islam. Oleh itu, setiap wanita Muslim perlu mengambil serius perkara ini supaya mereka terlepas daripada fitnah pandangan lelaki bukan mahram selain menjaga maruah wanita Muslim.

Wanita juga perlu mengelak daripada berhias atau berpakaian secara berlebihlebihan sehingga menarik perhatian orang ramai. Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berfesyen dan mengikuti aliran fesyen terkini tetapi pastikan setiap wanita yang bertudung menutup aurat keseluruhannya bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

>> Penulis adalah siswi Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM

6 Tip Jimat Ruang Pada Gajet

6 Tip Jimat Ruang Pada Gajet

Jika perkara ini berlaku, ia semestinya diakibatkan oleh pengurusan storan yang tidak sistematik. Selang sebulan, anda mesti mengemas kini storan kerana mungkin kadangkala, ada kemas kini, muat turun serta video-video yang muncul secara automatik tanpa disedari. Jadi, cuba aplikasikan tip-tip ini untuk lebih jimat serta meningkatkan produktiviti.

1.   Aplikasi
 
Aplikasi yang dimuat turun akan secara automatik akan disimpan di memori terbina di peranti anda. Ada beberapa peranti yang membenarkan anda untuk menyimpannya dalam kad SD. Selain itu, anda perlu lebih rajin untuk mengemas kini aplikasi mana yang telah dimuat turun tetapi tidak berguna, rosak dan versi percubaan. Jangan terasa rugi untuk terus membuangnya.

2.   Foto

Kini, terdapat pelbagai versi peranti dengan kamera yang memiliki mega piksel yang besar. Oleh itu, saiz foto yang diambil akan turut sama dalam saiz yang sangat besar. Untuk kegunaan yang penting dan anda memang memerlukan foto yang tajam, cantik dan sebagainya tiada masalah. Tetapi, jika hanya sekadar untuk memuat turun di Facebook, anda perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan sedikit saiz bagi menjimatkan ruang dan memuatkan lebih baik foto.

3.   Data aplikasi

Sesetengah aplikasi menyimpan banyak fail-fail sementara dalam memori terbina pada peranti anda dan ia akan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Data-data aplikasi ini selalunya tidak ditetapkan untuk pengurusan secara sistematik. Masalah ini tidak berlaku kepada aplikasi popular seperti Google Maps, Facebook dan sebagainya.

4.   Cache pelayar

Sesetengah peranti telefon pintar dan tablet memerlukan anda membersihkan kesemua fail internet sementara yang disimpan oleh pelayar web anda secara manual. Tetapan secara automatik mengakibatkan ia terus disimpan sehingga melebihi kapasiti sepatutnya. Ia perlu dilakukan selang seminggu atau sebulan bergantung pada penggunaan pelayar web.

5.   E-mel

Ada beberapa versi peranti yang tidak memiliki kesesuaian untuk bekerja dengan e-mel yang terlalu banyak. Pengurusannya kurang sistematik mengakibatkan kadangkala ia akan menyesakkan ruang dan memenuhkan memori sehingga memperlahankan peranti tanpa disedari. Ambil masa untuk melihat dan memadamkan mana yang sudah tidak berguna lagi.

6.   Video

Kebanyakan video yang diambil dengan peranti mudah alih kini sangat berkualiti sehingga beresolusi definisi tinggi (HD). Perkara ini perlu dititikberatkan oleh pengguna kerana saiz video sangat besar dan akan memakan banyak ruangan di storan anda. Rajin-rajinkan diri untuk memindahkan fail video yang dirakamkan bagi membolehkan storan anda boleh dimuatkan oleh data-data yang lain sama.

Kenali 10 Negara Paling Mahal Untuk Beli Kereta

Harga sesebuah kereta bagi setiap negara adalah dijual pada harga berbeza-beza diatas beberapa faktor termasuklah cukai.

Menurut laporan sebuah portal, Jalopnik yang mana sebuah laman web yang popular telah menyenaraikan senarai 10 negara yang paling mahal untuk membeli kereta.

Perbandingan itu dibuat terhadap jenis kereta Toyota Prius dan Scion FR-S di negara America Syarikat dan negara-negara lain.

Berdasarkan kenyataan yang dipetik oleh laman web tersebut, penilaian bagi menempatkan kedudukan negara-negara dalam senarai adalah bersarkan pendapat-pendapat dari rakyat-rakyat negara tersebut termasuk warga asing.

Harga kereta yang dijual di negara-negara ini adalah berkali-kali ganda dengan harga yang dijual di Amerika. Lebih mengejutkan kami adalah Malaysia juga tersenarai. - Siakapkeli.com.my

10 - CUBA





9 - NORTH KOREA




8 -  ST. KITTS AND NEVI



7 - UNITED KINGDOM



6 - BRAZIL



5 - CHINA



4 - NICARAGUA


3 - INDONESIA



2 -  MALAYSIA



1 - SINGAPURA

Komitmen semua ditagih untuk selamatkan Tasik Chini

Oleh ROSMIDZATUL AZILA MAT YAMIN

BELUM pun reda isu pembalakan haram di Cameron Highlands, timbul pula isu Tasik Chini yang turut berhadapan ancaman kemusnahan ekoran aktiviti pembalakan, perlombongan dan perladangan yang tidak terkawal di kawasan tersebut.

Lebih menyedihkan apabila dilaporkan lima buah bukit berhampiran tasik berkenaan hampir botak ditarah untuk aktiviti perlombo­ngan bijih besi. Apabila situasi ini berlaku, siapa yang harus dipersalahkan?

Apa yang lebih dikesali apabila dilaporkan terdapatnya surat kebenaran yang dikeluarkan oleh pihak tertentu yang memberi laluan untuk aktiviti penarahan bukit dilakukan oleh pihak pelombong.

Inilah jadinya apabila amanah yang sepatutnya dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab sewenang-wenangnya dikhianati dek dikaburi wang ringgit tanpa memikirkan implikasi buruk yang bakal timbul daripada tindakan yang dilakukan.

Perkara ini tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi melibatkan kawasan tasik semula jadi yang mempunyai kekayaan rizab biosfera yang tinggi dan berpotensi besar dalam prospek penyelidikan negara. Sebaliknya, ia perlu dipelihara dengan sebaik mungkin agar kelangsungan flora dan fauna serta tumbuh-tumbuhan akuatik di kawasan ber­kenaan terus terpelihara.

Jika persekitaran tasik terus dibiarkan rakus diterokai, ia pasti­nya akan merencatkan aktiviti penyelidikan di kawasan berkenaan. Malah, aktiviti penarahan bukit yang dilakukan sedemikian rupa turut memperlihatkan kegagalan banyak pihak dalam memastikan kelestarian kawasan tersebut dikekalkan sehinggakan pihak pelombong sewenang-wenangnya bergiat aktif tanpa mempedulikan nasib alam sekitar yang diperjudikan.

Perhatian serius dan komitmen semua terutamanya pihak berkuasa negeri diperlukan bagi menyelamatkan Tasik Chini daripada terus dinodai. Aktiviti penarahan bukit untuk tujuan perlombongan bijih besi perlu dihentikan segera. Sementara itu, usaha dan fokus terhadap aktiviti pemulihan Tasik Chini perlu dipercepatkan agar keadaan tidak menjadi bertambah buruk.

Justeru, dalam menggerakkan usaha ini satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi meneliti dan membangunkan pelan jangka panjang sebagai inisiatif awal dalam memulihkan semula Tasik Chini.

Dalam konteks ini, pendekatan yang paling berkesan perlu diambil bagi menangani isu dan permasalahan ini sehingga ke akar umbi, selain pelbagai aspek perlu diperhalusi dan ditangani bagi menutup episod duka ini dan memastikan perkara sama tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Siasatan terperinci juga perlu dilakukan bagi mengenalpasti dalang yang terlibat terutamanya dalam memberi kebenaran untuk aktiviti berkenaan dijalankan tanpa sebarang pemantauan sehingga me­ngundang kemusnahan yang teruk terhadap ekosistem Tasik Chini.

Operasi secara bersepadu juga perlu dilakukan bagi membolehkan akar umbi kepada permasalahan dikenalpasti agar tiada lagi ruang untuk aktiviti-aktiviti seumpama ini bertunas pada masa hadapan dalam memastikan kelestarian ekosistem Tasik Chini terus terpelihara.

Aktiviti pemulihan mungkin boleh dimulakan dengan mengorek semula tasik yang cetek akibat proses sedimentasi (pemendapan kelodak yang terkumpul di dasar tasik) ekoran hakisan. Langkah seterusnya adalah melakukan aktiviti penanaman semula tumbuh-tumbuhan bagi mengembalikan semula keindahan landskap hijau di sekitar tasik berkenaan walaupun ia tidak mungkin dapat mengembalikan nilai keasliannya.

Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilakukan secara berterusan dan tidak hanya hangat-hangat tahi ayam dan lesu apabila isu ini tidak lagi menjadi tumpuan di dada-dada akhbar dan media massa. Sebaliknya, ia perlu diberi perhatian berterusan oleh semua pihak terutamanya dalam melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT dalam memakmurkan alam sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dia­lah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya” (Surah Hud, ayat 61).

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Filem kutuk Melayu?

Filem Lelaki Harapan Dunia jelajah ke serata dunia


TIDAK berniat untuk memburukkan atau memperkecilkan orang Melayu, pengarah filem Lelaki Harapan Dunia, Liew Seng Tat sebaliknya mahu mengangkat budaya angkat rumah yang pernah popular dalam kalangan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.


Pada sesi prebiu filem berkenaan yang diadakan di ibu kota baru-baru ini, karya terbitan Everything Films itu dilihat sarat dengan lontaran dialog yang begitu sinikal bagi menggambarkan masyarakat Melayu secara amnya.

Bagaimanapun, Seng Tat menjelaskan bahawa isu tersebut tidak sepatutnya timbul kerana segala kritikan yang diselitkan menerusi skripnya sekadar jenaka dan ia bersifat subjektif serta tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.

“Setiap individu mempunyai sudut pandang yang berbeza untuk membuat sebarang penilaian. Tetapi, saya sedikit pun tidak berniat mahu menyelar sesiapa pun atau membangkitkan kemarahan mana-mana pihak.

“Objektif penerbitan karya ini sekadar mahu mengetengahkan budaya mengangkat rumah yang begitu popular pada zaman dahulu dalam kalangan orang Melayu. Buktinya, sekitar 90-an, ada satu iklan komersial yang turut mengetengahkan konsep sama,” katanya.

Filem berkenaan yang dibarisi pelakon Wan Hanafi Su, Azhan Rani, Harun Salim Bachik, Sofi Jikan, Jalil Hamid, Hishamuddin Rais serta ramai lagi mula ditayangkan 27 November lalu di pawagam seluruh negara.

Sementara itu, sebelum mula ditayangkan di Malaysia, Lelaki Harapan Dunia terlebih dahulu dipertontonkan di beberapa buah negara termasuk Itali, Kanada, India, Taiwan, Amerika dan Jepun.
Menurut Seng Tat, dia berbangga apabila karya tempatan mendapat tempat di beberapa festival bertaraf antarabangsa dan menerima maklum balas yang sangat baik.

“Ia turut ditayangkan dengan beberapa buah filem terpilih dari pelbagai negara di seluruh dunia. Satu peluang yang sukar untuk diperoleh terutama bagi pengarah yang baru mahu mencuba dan memasuki industri perfileman Melayu seperti saya.

“Penayangan tersebut ibarat satu penghargaan yang tidak terhingga untuk seluruh krew produksi Everything Films serta pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak,” katanya.

Pada masa yang sama, pengarah berusia 35 tahun itu mengambil masa selama dua tahun untuk menghasilkan skrip filem tersebut sebelum meneruskan penggambaran.

“Keindahan budaya mengangkat rumah itu tiada pada bangsa lain. Ia melambangkan semangat tolong-menolong yang tinggi sesama mereka. Apatah lagi konsep gotong-royong yang unik turut diselitkan ketika budaya itu mahu direncanakan,” katanya.

Lelaki Harapan Dunia berlatarkan sebuah kampung yang pada awalnya begitu aman, namun terjadi sedikit kekacauan akibat salah faham antara penduduk yang menganggap sebuah rumah terbiar yang terletak di belantara berhampiran dihuni oleh penunggu.

Pak Awang yang ingin menghadiahkan rumah tersebut kepada anak perempuannya yang bakal berkahwin sedaya upaya menyangkal dakwaan tersebut, akan tetapi tidak dihiraukan oleh penduduk kampung yang begitu taksub mempercayainya.-Utusan Malaysia

Perlukan penyokong 
sejati bukan samseng

Oleh Herman Hamid 

SEBELUM menarik diri daripada saingan liga bola sepak tanah air pada pertengahan tahun 90-an, pertemuan Singapura menentang Selangor adalah perlawanan paling ditunggu peminat. Baik Selangor mahu pun pasukan seberang tambak itu, kedua-duanya kaya dengan tradisi bola sepak selain dibarisi pemain ternama dan dilimpahi pelbagai kejuaraan terutama trofi berprestij, Piala Malaysia.


Rekod itu mirip kepada dominasi Real Madrid dan Barcelona dalam saingan bola sepak Sepanyol dengan pertemuan dua musuh tradisi itu dinamakan sebagai ‘El Clasico’ - perlawanan yang sentiasa dinantikan peminat seluruh dunia.

Berikutan itu, pertembungan Selangor dan Singapura mendapat label sebagai ‘El Clasico’ versi tempatan kerana persamaan dominasi pasukan terlibat dalam saingan liga masing-masing. Namun begitu, sejak ketiadaan Singapura dan Selangor juga agak longgar cengkamannya, sukar untuk melabelkan pertembungan bertaraf ‘El Clasico’ versi Malaysia apatah lagi sudah tidak wujud kuasa dominan seperti mana dahulu.

Kuasa bola sepak tanah air seakan bersilih ganti dengan rekod cemerlang hanya mampu dikekalkan untuk beberapa musim sebelum dilanda prestasi yoyo seperti mana berlaku pada Kelantan, Pahang, Perak, Kedah dan beberapa pasukan lagi termasuk Selangor sendiri.

Bagaimanapun, kemunculan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia sejak tahun lalu memperlihatkan satu usaha yang begitu serius di bawah teraju Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pasukan Harimau Selatan itu yang menjalani proses revolusi dengan setiap posisi dibarisi pemain bertaraf bintang lantas menjadikan JDT kuasa bola sepak baru.

Akhirnya selepas setahun, pelaburan besar mereka berbaloi apabila meraih kejuaraan pertama setelah merangkul Liga Super musim ini biar pun terlepas Piala FA kepada pasukan Pahang.

Ironinya, kemenangan Piala FA buat Pahang yang pernah mendapat jolokan Real Madrid Malaysia pada era 90-an kerana turut memiliki ramai pemain bintang seakan memberi petunjuk yang Tok Gajah kembali bangkit . Bermula dengan menjulang Piala Malaysia 2013 diikuti Piala Sumbangsih dan Piala FA musim ini, reputasi skuad Tok Gajah semakin kukuh apatah lagi mereka berjaya melayakkan diri ke saingan akhir Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Justeru, pertemuan Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil antara Harimau Selatan dan Tok Gajah sememangnya menarik perhatian ramai sehingga dianggap final impian.

Malah tidak salah untuk dilabel pertembungan antara dua pasukan ini umpama bayangan ‘El Clasico’ versi dekad baru bagi kejuaraan tempatan menggantikan pertembungan musuh tradisi Singapura dan Selangor. Apatah lagi dalam tempoh dua musim ini, sehangat aksi di padang begitulah juga suhunya di luar padang melibatkan kedua-dua penyokong.

Kebetulan, perlawanan sulung JDT dengan kelibat Daniel Guiza, bekas penjaring terbanyak La Liga dalam saingan Liga Super musim lalu adalah menentang Pahang di Kuantan yang menyajikan drama dengan keputusan berakhir 3-2 memihak Pahang biar pun lawan mendahului dua jaringan pada babak pertama.

Terdapat insiden kecil selepas perlawanan tersebut antara kedua penyokong yang kemudian berlarutan pula dengan hampir setiap perlawanan antara dua pasukan sering berlangsung dalam keadaan tegang. Paling tidak boleh dilupakan pastinya perlawanan separuh akhir kedua Piala FA pada 28 Mei 2013 antara JDT dengan Pahang apabila terpaksa didakan semula di venue berkecuali di Stadium Nasional akibat insiden limpahan penyokong.

Bagi penyokong Pahang, versi mereka permainan malam tersebut boleh diteruskan selepas penonton meninggalkan trek stadium dan menyalahkan pemain JDT kerana meninggalkan stadium lebih awal sebelum pengesahan polis. Maka api persengketaan semakin meluap apatah lagi kewujudan media sosial ibarat minyak yang menyamarakkan lagi sentimen yang ada angkara provokasi dari papan kekunci.

Pada awal musim ini pula berlaku drama perebutan pemain tengah, Mohd. Amirulhadi Zainal antara JDT dan bekas majikannya, Pahang yang menghangatkan lagi perang mulut penyokong kedua-dua pasukan. Di Youtube boleh dilihat video insiden-insiden ini antaranya perlawanan Liga Super 8 Februari lalu di Kuantan yang mana aksi tegang di padang berlarutan melibatkan penyokong hingga mengundang campur tangan polis selain insiden 28 Mei 2013.

Pada perlawanan separuh akhir Piala FA tahun ini yang menemukan kembali antara JDT dan Pahang pada 31 Mei lalu di Kuantan juga tidak terlepas daripada insiden provokasi penyokong.

Insiden seperti ini jika dinilai dari sudut penyokong Pahang tidak berlaku ketika menerima kunjungan pasukan lain. Malah dalam perlawanan separuh akhir kedua tempoh hari menentang Kedah, semangat kesukanan tinggi ditunjukkan penyokong kedua-dua pasukan.

Di sudut JDT, imej segelintir kecil penyokong fanatik dengan ada yang bertopeng hitam masih terus dibangkitkan. Tambahan pula tindakan segelintir penyokong menganggu latihan pemain Felda United di Johor Bahru selain insiden melibatkan negeri jiran tetangga Pahang, Terengganu memanaskan lagi keadaan.

Jika ditinjau di media sosial, provokasi antara penyokong sudah mula berlaku. Jangan biarkan kemeriahan liga tempatan yang suatu ketika hilang seri diganggu gugat oleh sikap segelintir penyokong yang tidak rasional. Jangan dibiarkan gejala samseng atau hooligan yang mencemari kemeriahan bola sepak di Eropah seperti di England sedikit masa dahulu menjangkiti Malaysia.

Pada era Youtube, memang penyokong semakin terdedah dengan aksi termasuk pakaian kelompok ‘peminat ultras’ kelab luar negara yang mula mempengaruhi mereka seperti mengadakan perarakan dan nanyian sorakan sebelum dan selepas perlawanan. Selagi terkawal, pakailah apa nak pakai, buatlah apa nak buat kerana itu juga penting bagi menambah kemeriahan bola sepak.

Cuma liga kita tidak perlukan samseng bola sepak. Biarlah penyokong sejati yang setia jatuh bangun bersama pasukan kesayangan hadir ke stadium. Ingatlah, kekalahan dan kemenangan suatu yang perlu diterima.

Rancang cuti sekolah elak masa terbuang

Oleh P Kamalanathan

Cuti sekolah tiba lagi. Ketika ini pelbagai ragam dan keadaan dialami pelajar dari 10,101 sekolah yang memulakan cuti semester akhir penggal persekolahan tahun 2014 selama 44 hari sejak minggu lalu.

Ketika ramai yang sudah mengemaskan beg sekolah masing-masing dan menutup buku lama. Ada yang gembira dan bersedih apabila sudah menerima keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang diumumkan pada 26 November di seluruh negara.

Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan sekalung tahniah kepada pelajar yang berjaya mencapai keputusan cemerlang 5A dan 7A dalam ujian itu. Kepada yang kurang menyerlah, usah bergundah-gulana kerana perjuangan belum selesai. Anda tetap boleh melanjutkan pelajaran di Tingkatan Satu pada tahun 2015 nanti.

Bercerita pengalaman cuti sekolah yang pernah saya lalui beberapa tahun lalu amatlah menarik untuk dikongsi bersama pelajar, guru dan ibu bapa kepada lebih 5,218,621 pelajar seluruh negara. Dulu lain, sekarang pula lain.

Saya menggunakan masa lapang sempena cuti sekolah ketika berada dalam alam sekolah menengah dengan melakukan kerja sampingan mencari wang saku untuk belanja digunakan ketika melanjutkan pelajaran di menara gading. Saya membantu meringankan beban ditanggung kedua ibu bapa. Ketika itu, saya berkerja sambilan di sebuah kilang memproses simen di Rawang, Selangor.

Masa yang ada juga digunakan untuk menambahkan pendapatan sampingan apabila mengambil upah memotong rumput di beberapa rumah jiran berdekatan perumahan sekitar bandar di Rawang, Selangor. Pengalaman itu cukup menyeronokkan apabila dikenang kembali.

Bijak rancang program bermanfaat

Kini, masa dan zaman sudah berubah. Ramai adik pelajar kita gemar menggunakan cuti semester untuk mencari pendapatan sampingan dengan menjadi pembantu jurujual di restoran, pasar raya, stesen minyak dan gerai menjaja makanan harian di kawasan kediaman mereka.

Usah dilupakan pesanan lebih 400,000 guru di sekolah rendah dan menengah kepada anak murid mereka akan kepentingan mengisi masa dengan tabiat bermanfaat musim cuti persekolahan.
Kini, dapatlah dilihat anak pelajar lebih proaktif, kreatif dan berketrampilan mengisi masa lapang sempena musim cuti sekolah. Ada yang mengambil kursus jangka masa pendek, kelas bahasa, kelas kemahiran dan kelas bidang perniagaan.

Sebaiknya, pelajar perlu bijak memilih dan merancang program bermanfaat sepanjang cuti persekolahan ini. Anda perlu mengikut nasihat guru yang amat berguna. Tambahan pula cuaca yang tidak menentu mengundang bencana alam seperti banjir dan kejadian yang tidak baik berlaku di beberapa kawasan dalam negara kita.

Saban kali, kita terbaca dan terdengar berita kurang baik yang berlaku kepada masyarakat pelajar di beberapa sekolah negara ini. Ada yang menghidap sakit ketika cuti sekolah dan juga ada yang meninggal dunia kerana terbabit dengan beberapa kejadian yang tidak disengajakan.

Beri faedah tersendiri

Cuti sekolah tidak bermakna, pelajar terus bercuti daripada buku dan juga dunia pendidikan. Pembelajaran adalah sepanjang hayat dan tidak pernah ada noktahnya. Sebaiknya rancanglah aktiviti cuti persekolahan agar memberi faedah tersendiri.

Penyertaan pelajar dengan program kecergasan, dunia keilmuan, teknologi maklumat, kesukanan, kemahiran teknikal dan kem keagamaan amat menarik untuk dipraktikkan. Ibu bapa perlu bijak memilih destinasi terbaik untuk dihantar anak mereka mengisi masa lapang. Ramai yang gemar menganjur program berbentuk kem cuti sekolah dengan pengisian slot yang amat menarik dan sesuai diikuti anak remaja.

Bagi mereka yang berkemampuan dan mempunyai sumber pendapatan mencukupi bolehlah melancong dalam negara melihat keindahan bumi Malaysia kita yang tercinta ini. Pengalaman dilalui anak pelajar kita ini amat berguna kepada mereka. Sambil merehatkan minda daripada kepenatan belajar di sekolah, mereka mampu memperoleh kenangan baharu yang amat berharga.

Kepada pelajar yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sudah menamatkan alam persekolahan sekolah menengah, tahniah diucapkan. Anda perlu bijak menyesuaikan diri melangkah kaki ke alam baharu dunia pendidikan tinggi pula.

Masa senggang yang ada lebih tiga bulan boleh digunakan melakukan pelbagai aktiviti yang berguna dari semasa ke semasa. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah belajar memandu kereta, belajar berniaga, belajar kelas bahasa antarabangsa, kelas komputer dan menyertai aktiviti kesukanan.

Sertai aktiviti kemasyarakatan

Tidak ketinggalan juga, aktiviti khidmat sosial dan kemasyarakatan turut boleh disertai bekas pelajar kita di seluruh negara. Sebelum menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mereka boleh menyertai program belia secara aktif di setiap kawasan kediaman masing-masing.

Selain itu, saya juga ada dimaklumkan oleh seorang rakan yang juga guru dan jurulatih berpengalaman acara sukan catur bahawa banyak temasya dan kejohanan diadakan sepanjang musim cuti persekolahan.

Pengalaman menjadi atlet catur yang dimiliki pelajar sekolah mampu menggilap bakat mereka agar lebih cemerlang. Peluang yang ada ini perlu direbut pelajar dengan menguji kemampuan diri masing-masing.

Pemimpin di setiap kawasan perlu memberikan sokongan padu dalam usaha memastikan penyertaan aktif generasi pelajar dalam acara catur terbabit. Minda menjadi matang dan sentiasa terbuka dalam apa jua keadaan. Tidak ketinggalan beberapa acara sukan lain seperti bola sepak, hoki dan badminton juga boleh disertai secara aktif ketika cuti sekolah ini.

Tradisi balik kampung yang diamalkan ketika musim cuti persekolahan ini juga perlu diteruskan lagi demi membudayakan amalan ukhuwah dan muafakat antara satu sama lain. Ibu bapa kebiasaannya mengambil cuti tahunan mereka membawa keluarga pulang ke kampung. Selain dapat bermesra dengan nenek dan datuk, anak kita dapat mengenali budaya dan adat resam bangsa dengan lebih rapat lagi.

Tingkat azam, komitmen

Warna-warni alam cuti persekolahan terlalu indah untuk dibicarakan. Dari kenduri perkahwinan hinggalah amalan kunjung ziarah ke rumah sanak saudara, itulah yang sering bermain dalam minda generasi pelajar kita di negara ini.

Saya terus mendoakan agar pelajar, guru dan ibu bapa sentiasa sihat dan mampu selesa ketika musim cuti persekolahan ini. Teruskan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan sepanjang masa agar bersama mendokong aspirasi pendidikan kita bertaraf dunia.

Selamat tinggal tahun 2014 dengan seribu satu kenangan indah untuk dikenangkan. Marilah kita tingkatkan azam dan komitmen menyambut tahun baharu 2015 dengan berjanji melonjak prestasi diri ke tahap lonjakan saujana yang mengagumkan lagi.

Penulis ialah Timbalan Menteri Pendidikan II merangkap Ahli Parlimen Hulu Selangor

Bacaan al-Quran diperdengar semasa pertabalan Putera Charles?

LONDON . – Seorang biskop kanan Gereja England, mencadangkan bacaan ayat suci al-Quran diperdengarkan pada majlis pertabalan Putera Charles, sekiranya beliau diangkat sebagai pemerintah negara ini.


Bekas Biskop Oxford, Harries of Pentregarth berkata, langkah itu akan membolehkan penduduk Islam ‘rasa diterima’ di Britain, sekali gus membuatkan lebih banyak lapisan masyarakat termasuk bukan Islam menerima Putera Charles sebagai pemerintah baharu monarki di negara ini.

Beliau mencadangkan perkara itu ketika sesi perbahasan di Dewan Tinggi Parlimen.

Harries berkata, Gereja England perlu meneruskan peranan mempromosi keharmonian agama dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Beliau berkata, tahun lalu, satu majlis sivik di Gereja Besar Bristol menyaksikan bacaan ayat suci al-Quran diperdengarkan pada acara permulaan satu majlis agama Kristian selepas mendapat persetujuan pihak berkuasa.

“Tindakan itu kreatif, sekali gus menjadikan penganut Islam rasa diterima dan pada masa sama tidak meminggirkan penganut Kristian,’’ katanya.

Sementara itu, pengkritik mengecam idea tersebut dan menuduh Gereja England hilang keyakinan ke atas institusi dan tradisi mereka.-30 Nov

 

TAWARAN ISTIMEWA

Headlines News

Iklan

Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Berani Kerana Benar - All Rights Reserved

PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER